::HALAMAN::

Wednesday, August 8, 2012



HIPNOSIS MINDA BAWAH SEDAR MENURUT ISLAM
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Artikel dalam Majalah Al Islam Julai 2012

Sambutan masyarakat terhadap kursus-kursus menguasai minda bawah sedar atau separa sedar (subconcious mind) sangat mengalakkan. Kursus ini melatih minda untuk terbiasa dengan suatu arahan yang menjadi rutin hidup seseorang dan akhirnya mendorongnya berjaya dalam apa yang difikirkan. Menurut pengamalnya, penguasaan minda separa sedar akan membantu memperbaiki kehidupan kita dan orang lain. Bagi ibubapa yang mempunyai anak yang degil, atau guru yang mempunyai murid yang tidak dengar cakap, maka teknik sebegini akan digunakan bagi menguasai minda anak dan murid agar mereka taat dan patuh kepada arahan.

Melalui pengalaman mengikuti program menguasai minda separa sedar, jurulatih mendedahkan teknik menguasai diri dan kehendak kita. Pada peringkat permulaan, beliau akan menyelitkan unsur-unsur positif dan keagamaan. Katakan anda ingin bangun awal untuk solat subuh, maka anda perlu lakukan 3 langkah mudah seperti berikut. Pertama, beri arahan kepada minda separa sedar sewaktu hendak tidur dengan menyebut berulang kali: “Aku mahu bangun untuk solat Subuh pukul 6 pagi esok”. Kedua, anda perlu bayangkan keadaan itu berlaku. Bayangkan dalam fikiran bahawa anda terjaga tepat jam 6 pagi, lalu bangun, berwudu’ dan bersolat. Ketiga, anda perlu bayangkan perasan anda setelah berjaya bangun dan menunaikan solat Subuh tadi. Pastinya anda akan merasa lega kerana berjaya melaksanakan satu perintah Allah. Setelah anda telah berjaya menguasai peringkat ini, anda akan diajar dengan teknik-teknik yang seterusnya termasuklah memilih dan menentukan parking kereta anda hanya dengan petikan jari.

Di peringkat yang lebih tinggi, jurulatih akan menegaskan: “Jika kita mampu menguasai kehendak diri, kita pasti mampu menguasai kehendak orang lain.” Maka jurulatih mula mengajar anda untuk menggunakan teknik menguasai orang sekeliling anda. Contohnya untuk melariskan perniagaan, anda perlu memberi arahan kepada minda separa sedar sewaktu membuka perniagaan: “Aku mahu untung sebanyak RM 5,000 hari ini”. Seterusnya, anda akan membayangkan wajah-wajah pelanggan anda berpusu-pusu datang ke kedai anda dan anda mendapat keuntungan yang banyak. Setelah semua gambaran itu diprogramkan dalam minda, anda dikehendaki menyerahkan kepada minda separa sedar pula untuk bekerja. Anda juga akan diajar menggunakan kekuatan roh dan hati untuk berkomunikasi dengan roh dan hati pelanggan agar membeli produk anda. Sesetengah jurulatih mengajar teknik menyalurkan kemahuan anda kepada minda separa-sedar pelanggan melalui sentuhan seperti berjabat tangan, tepuk bahu dan sebagainya.

Sekiranya anda mengikuti tahap seterusnya, anda akan didedahkan dengan teknik menguasai minda lawan, menolak bala, mengelak kemalangan, membenteng dari sihir, menjadikan diri dikasihi hingga tahap boleh mengalih hujan! Ada sesetengah teknik ini mempunyai unsur-unsur ghaib dan mistik seperti hipnosis dan meditasi. Teknik tersebut memang terbukti berjaya dan ianya dijadikan testimoni bagi menarik lebih ramai lagi mempelajari kaedah ini.

Konsep Tauhid dalam Penguasaan Minda separa sedar
Apabila mempelajari sesuatu yang bersifat kerohanian dan metafizik, maka kita perlu memastikan akidah dan keimanan kita kepada Allah tidak terjejas. Tanggungjawab ini seharusnya dipikul oleh jurulatih agar orang yang dilatihnya tidak tersasar dari akidah Islam. Namun, agak mengecewakan kerana kebanyakan jurulatih kekuatan minda ini tidak menitik beratkan soal qudrat (kekuasaan) dan iradat (kehendak) Allah, tetapi lebih menekankan teori-teori psikologi Barat yang berpaksi kepada potensi dan kekuatan diri semata-mata. Jurulatih ini menanamkan dalam minda: "Kita mesti yakin kepada diri sendiri! Kita ini manusia luar biasa hebat! Kita mampu lakukan itu dan buat ini.” Lebih malang lagi apabila jurulatih tersebut adalah bukan orang Islam. Sekiranya peserta yang hadir tidak mempunyai asas akidah yang mantap, pasti tidak mampu mengaitkan antara qudrat dan iradat Allah dalam setiap perkara yang terjadi. Merangsang minda untuk berfikiran positif dan kreatif amat diperlukan dalam kehidupan kita sehari-sehari, akan tetapi kekuasaan dan ketentuan Allah Ta'ala tidak boleh diketepikan apatah lagi dinafikan. Pergantungan kepada kemampuan dan potensi diri sendiri tanpa mengaitkan dengan kekuasaan Allah boleh membawa kepada sikap riya’, takbur, bongkak, ‘ujub dan syirik.

Jika ditinjau dari sudut sejarah, konsep minda separa sedar ini diasaskan oleh Sigmund Freud, seorang ahli psikologi berbangsa yahudi yang telah memperkenalkan teori psikoanalitik. Sigmund Freud pada permulaannya mempelajari teknik pukau atau hipnosis. Setelah berjaya menguasai teknik tersebut, beliau memperkenalkan metod free-association yang berkisar kepada penguasaan minda pesakit yang telah dihipnosis bagi tujuan terapi kejiwaan. Teknik ini dikembangkan ke seluruh dunia termasuk Malaysia. Oleh kerana istilah ‘pukau’ dan hipnosis merupakan salah satu cabang sihir yang dilarang dalam Islam, maka ianya ditukar kepada nama lain yang lebih saintifik seperti mind programming, super power minds, neuro language, subconscious mind empowerment, aura metafizik dan lain-lain.

Hipnosis (pukau) adalah cabang sihir
Ibnu Kathir dalam tafsirnya, juzu’ 1, halaman 367 menyatakan bahawa penggunaan kekuatan roh oleh seseorang bagi tujuan memberi kesan dan pengaruh kepada orang lain dikategorikan sebagai salah satu bentuk sihir. Dalam dunia hari ini, hipnosis atau pukau tidak lagi melibatkan jampi mantera, tetapi cukup dengan hanya menggunakan kerahan roh yang dilatih untuk menguasai pemikiran seseorang. Dalam perniagaan, sudah ada kursus-kursus yang mengajar teknik menarik perhatian dan fokus pelanggan dengan cara menguasai minda bawah sedar mereka. Fenomena ini merupakan sebahagian dari teknik memukau pembeli untuk membeli barangan mereka.

Hipnosis sudah lama diamalkan oleh para pengamal yoga, sami hindu dan sami budha dalam agama mereka. Ianya dilakukan melalui meditasi dan pertapaan dengan mengosongkan minda dan menumpukan kepada suatu kehendak. Melalui cara ini mereka mendapat ketenangan yang akhirnya menghasilkan perkara luarbiasa seperti mampu membaca hati orang, meramal apa yang akan berlaku, mengubah nasib diri, menguasai kehendak orang lain dan sebagainya. Zahirnya ianya tidak melibatkan bacaan mantera atau jampi serapah. Tetapi tanpa disedari, ianya melibatkan peranan syaitan bagi merealisasikan impian pengamalnya. Syaitan mengetahui apa yang diidamkan oleh seseorang. Dengan memenuhi hajat pengamal, maka keyakinan seseorang terhadap kebolehan dirinya sendiri akan meningkat. Secara perlahan-lahan, pergantungan kepada Allah akan berkurangan. Justeru, ramai umat Islam tidak menyedari adanya tipu daya jin dan syaitan dalam amalan hipnosis ini.

Dalam kebanyakan praktis rawatan jiwa, pesakit perlu mengosongkan minda dan hanya memberi sepenuh fokus kepada arahan dan saranan perawat. Dalam keadaan dihipnosis, minda bawah sedar pesakit mudah diprogramkan bagi tujuan mengurangkan stress dan masalah-masalah kejiwaan. Sewaktu dihipnosis, minda akan menjadi tenang dan tenteram. Jika diukur dengan alat pengukuran gelombang otak Electroencephalography (EEG), maka bacaan graf gelombang otak juga akan menjadi stabil. Namun, keadaan ini hanya dialami oleh pesakit ketika dihipnosis oleh perawat. Setelah habis sesi rawatan, perasaan tidak tenteram akan kembali seperti sedia.

Untuk mengubah sikap dan tabiat buruk seseorang, rawatannya perlu bermula dari hati. Nabi SAW bersabda: “Dalam diri anak Adam ada segumpal darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh (perilaku) anggota tubuh. Jika ia jahat, maka jahatlah (perilaku) seluruh anggota tubuh. Ketahuilah bahawa itulah hati.” Hati yang jahat dan rosak hanya boleh disembuhkan dengan banyak mengingati Allah, bukan setakat kata-kata rangsangan jurulatih semata-mata. Sabda Nabi SAW: “Berzikir mengingati Allah itu adalah ubat penyembuh bagi hati.” Latihan mengosongkan hati dan minda bagi mendapatkan ketenangan dilihat tidak selari dengan saranan Allah SWT dalam surah al Ra’d ayat 19: “Tidakkah dengan berzikir mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang?” Oleh kerana itu, dalam terapi pengubatan Islam, pesakit dinasihatkan agar sentiasa memenuhi jiwa dengan ingatan kepada Allah melalui bacaan ayat-ayat Al-Quran dan zikir-zikir yang terpilih. Ini dilakukan bagi menghindari penaklukan jin dan syaitan ke dalam minda. Sekiranya minda dibiarkan kosong, maka dikhuatiri akan mudah dimasuki dan dikuasai oleh makhluk halus.

Pernah berlaku kepada seorang alim di Pekan, Pahang, yang didatangi oleh seorang pengamal yoga yang mempunyai kebolehan membaca hati manusia. Apabila berdepan dengan orang alim ini, dia tidak mampu membaca hati orang alim tersebut. Keadaan ini membingungkan sami tersebut kerana dia tidak pernah gagal membaca hati orang sebelum ini. Menurut orang alim tersebut, kebolehan sami meneroka hati dan minda tersebut dibantu oleh syaitan. Apabila berdepan dengan sami tersebut, beliau memfokuskan ingatannya hanya kepada Allah memohon pertolongan dariNya. Itulah sebenarnya kelebihan dan kekuatan yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba Allah yang mengingatiNya.

Islam telah pun menyediakan penyelesaian terbaik bagi merawat hati dan jiwa yang berkecamuk. Al-Quran menegaskan bahawasanya hati hanya akan menjadi tenang dengan menyebut dan mengingati Allah. Kajian tentang teknologi bio-feedback yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nubli Abdul Wahab dan Ustaz Abdul Kamil Jamaluddin dari Universiti Malaysia Pahang membuktikan bahawa kaedah rawatan melalui pendekatan Islam seperti berwudu, berzikir, bertaubat dan bersolat bukan sahaja mampu menenangkan minda, malah dapat mententeramkan hati dan anggota tubuh responden. Hal ini membuktikan kebenaran firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 23: “Kemudian kulit dan hati mereka itu menjadi lembut (tenang) disebabkan zikrullah (ingatan mereka kepada Allah).”

Minda Separa Sedar Menurut Islam
Minda merupakan sebahagian dari kejadian roh dan ia bersifat rohani dan rabbani. Rahsia-rahsia berkaitan roh sangat sedikit diketahui oleh manusia. Allah berfirman dalam surah al Isra ayat 85: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh. Katakanlah bahawa roh itu adalah urusan Tuhanku, dan tidak Aku berikan kepada kamu ilmu tentangnya kecuali sedikit sahaja.” Oleh itu, maklumat rahsia berkenaan roh seharusnya datang dari manusia-manusia yang hampir kepada Allah seperti para Nabi dan Rasul serta ulama-ulama yang benar-benar ikhlas, wara dan bertaqwa. Bukannya dari orang-orang yang tidak beriman dan tidak mengenal Tuhan yang mencipta roh itu sendiri.

Dalam Islam, terdapat lima perkara yang perlu dilindungi oleh umatnya dari sebarang pencerobohan iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Islam melarang sebarang bentuk pencerobohan ke atas 5 perkara ini. Sesiapa yang melakukan pencerobohan ke atas hak ini, maka dia akan dikenakan hukuman. Sebagai contoh, orang yang menceroboh nyawa orang lain, maka dia akan dikenakan hukum bunuh balas (qisas). Hipnosis dan pukau merupakan salah satu pencerobohan ke atas roh dan akal seseorang. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan perbuatan menceroboh dan menguasai akal dan minda seseorang melalui cara tersebut.

Seseorang yang menguasai kehendak orang lain supaya menuruti perintahnya tanpa kerelaannya adalah tergolong dalam kategori manusia yang zalim. Ianya boleh menyebabkan kerugian dan penganiayaan kepada pihak yang dikuasai. Beberapa kenalan yang saya temui memberitahu bahawa mereka pernah terbeli produk dari penjual tanpa disedari. Mereka seolah-olah tidak dapat membantah dan menurut sahaja kehendak dan kemahuan penjual. Apabila tiba di rumah, barulah mereka terfikir kenapa mereka membeli sesuatu yang mereka sendiri tidak perlukan. Sekiranya penjual tersebut memang menggunakan hipnosis untuk menguasai kehendak pelanggan, maka perbuatan begini adalah suatu dosa.

Hanya Allah Berkuasa mengubah
Pendekatan memberi arahan kepada minda separa sedar sebelum tidur sebenarnya diambil dari kata-kata Thomas Edison: “Never go to sleep without a request to your subconscious”. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya lebih mengagungkan sunnah dan ajaran Baginda berbanding lain-lain manusia. Baginda SAW mengajar agar sentiasa bergantung harap dan meletakkan kepercayaan kepada Allah dalam setiap langkah dan pekerjaan kita. Sentiasa bertaubat dan berdoa pada setiap masa. Mudah-mudahan dengan doa yang datang dari lidah dan hati yang telah bertaubat, maka Allah akan memakbulkannya. Dengan cara ini, kita akan sentiasa merasa berharap kepada Allah, bukannya kepada upaya dan usaha diri sendiri. Kita disaran supaya sentiasa menyebut La Haula Wa la Quwwata Illa Billah ‘Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuasaan Allah.’

Sekiranya berlaku perubahan positif mahupun negatif, maka kita harus sedar bahawa ianya berlaku dengan qudrat dan iradat Allah. Kita perlu menerima ketentuan qada’ dan qadar Allah dengan hati redha, kerana kita tidak punya kuasa atas diri kita mahupun diri orang lain. Hanya Allah yang berkuasa mengubahnya. FirmanNya dalam surah Al Qasas ayat 56: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak akan sesekali mampu memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih, akan tetapi Allah lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” Oleh itu, sentiasa jadikan Allah sebagai tempat bergantung dalam hidup seharian kita.

*Artikel di atas adalah berdasarkan pengalaman mengikuti beberapa program menguasai minda separa sedar. Mungkin apa yang para pembaca ikuti berbeza dari apa yang penulis alami. Sekiranya kursus tersebut memberi manafaat, maka teruskanlah dan sentiasa mengharap rahmat Allah pada setiap perubahan positif. Sekiranya para pembaca dapati apa yang ditulis terjadi pada diri anda, maka berhati-hatilah. Dibimbangi ianya bukan dari ajaran agama kita dan membawa kepada murka Allah.