HIPNOSIS MINDA BAWAH SEDAR MENURUT ISLAM
Oleh: Dr
Mahyuddin bin Ismail
Artikel dalam Majalah Al Islam Julai 2012
Sambutan masyarakat terhadap
kursus-kursus menguasai minda bawah sedar atau separa sedar (subconcious
mind) sangat mengalakkan. Kursus ini melatih minda untuk terbiasa dengan
suatu arahan yang menjadi rutin hidup seseorang dan akhirnya mendorongnya berjaya
dalam apa yang difikirkan. Menurut pengamalnya, penguasaan minda separa sedar
akan membantu memperbaiki kehidupan kita dan orang lain. Bagi ibubapa yang
mempunyai anak yang degil, atau guru yang mempunyai murid yang tidak dengar cakap,
maka teknik sebegini akan digunakan bagi menguasai minda anak dan murid agar
mereka taat dan patuh kepada arahan.
Melalui pengalaman mengikuti program
menguasai minda separa sedar, jurulatih mendedahkan teknik menguasai diri dan
kehendak kita. Pada peringkat permulaan, beliau akan menyelitkan unsur-unsur positif
dan keagamaan. Katakan anda ingin bangun awal untuk solat subuh, maka anda perlu
lakukan 3 langkah mudah seperti berikut. Pertama, beri arahan kepada minda separa sedar sewaktu hendak
tidur dengan menyebut berulang kali: “Aku mahu bangun untuk solat Subuh
pukul 6 pagi esok”. Kedua, anda perlu bayangkan keadaan itu berlaku. Bayangkan
dalam fikiran bahawa anda terjaga tepat jam 6 pagi, lalu bangun, berwudu’ dan
bersolat. Ketiga, anda perlu bayangkan perasan anda setelah berjaya bangun dan
menunaikan solat Subuh tadi. Pastinya anda akan merasa lega kerana berjaya
melaksanakan satu perintah Allah. Setelah anda telah berjaya menguasai peringkat
ini, anda akan diajar dengan teknik-teknik yang seterusnya termasuklah memilih
dan menentukan parking kereta anda hanya dengan petikan jari.
Di peringkat yang lebih tinggi, jurulatih
akan menegaskan: “Jika kita mampu menguasai kehendak diri, kita pasti mampu
menguasai kehendak orang lain.” Maka jurulatih mula mengajar anda untuk
menggunakan teknik menguasai orang sekeliling anda. Contohnya untuk melariskan
perniagaan, anda perlu memberi
arahan kepada minda separa sedar sewaktu membuka perniagaan: “Aku
mahu untung sebanyak RM 5,000 hari ini”. Seterusnya, anda akan membayangkan
wajah-wajah pelanggan anda
berpusu-pusu datang ke kedai anda dan anda mendapat keuntungan yang banyak.
Setelah semua gambaran itu diprogramkan dalam minda, anda dikehendaki menyerahkan
kepada minda separa sedar pula untuk bekerja. Anda juga akan diajar menggunakan
kekuatan roh dan hati untuk berkomunikasi dengan roh dan hati pelanggan agar
membeli produk anda. Sesetengah jurulatih mengajar teknik menyalurkan kemahuan
anda kepada minda separa-sedar pelanggan melalui sentuhan seperti berjabat
tangan, tepuk bahu dan sebagainya.
Sekiranya anda mengikuti tahap
seterusnya, anda akan didedahkan dengan teknik menguasai minda lawan, menolak
bala, mengelak kemalangan, membenteng dari sihir, menjadikan diri dikasihi
hingga tahap boleh mengalih hujan! Ada sesetengah teknik ini mempunyai
unsur-unsur ghaib dan mistik seperti hipnosis dan meditasi. Teknik tersebut
memang terbukti berjaya dan ianya dijadikan testimoni bagi menarik lebih ramai
lagi mempelajari kaedah ini.
Konsep Tauhid dalam Penguasaan Minda
separa sedar
Apabila mempelajari sesuatu yang
bersifat kerohanian dan metafizik, maka kita perlu memastikan akidah dan
keimanan kita kepada Allah tidak terjejas. Tanggungjawab ini seharusnya dipikul
oleh jurulatih agar orang yang dilatihnya tidak tersasar dari akidah Islam.
Namun, agak mengecewakan kerana kebanyakan jurulatih kekuatan minda ini tidak
menitik beratkan soal qudrat (kekuasaan)
dan iradat (kehendak) Allah,
tetapi lebih menekankan teori-teori psikologi Barat yang berpaksi kepada
potensi dan kekuatan diri semata-mata. Jurulatih ini menanamkan dalam minda: "Kita
mesti yakin kepada diri sendiri! Kita ini manusia luar biasa hebat! Kita mampu
lakukan itu dan buat ini.” Lebih malang lagi apabila jurulatih tersebut
adalah bukan orang Islam. Sekiranya peserta yang hadir tidak mempunyai asas
akidah yang mantap, pasti tidak mampu mengaitkan antara qudrat dan iradat
Allah dalam setiap perkara yang terjadi. Merangsang minda untuk berfikiran
positif dan kreatif amat diperlukan dalam kehidupan kita sehari-sehari, akan
tetapi kekuasaan dan ketentuan Allah
Ta'ala tidak boleh diketepikan apatah lagi dinafikan. Pergantungan kepada kemampuan
dan potensi diri sendiri tanpa mengaitkan dengan kekuasaan Allah boleh membawa
kepada sikap riya’, takbur, bongkak, ‘ujub dan syirik.
Jika ditinjau dari sudut sejarah, konsep
minda separa sedar ini diasaskan oleh Sigmund Freud, seorang ahli psikologi berbangsa
yahudi yang telah memperkenalkan teori psikoanalitik. Sigmund Freud pada permulaannya
mempelajari teknik pukau atau hipnosis. Setelah berjaya menguasai teknik
tersebut, beliau memperkenalkan metod free-association yang berkisar kepada
penguasaan minda pesakit yang telah dihipnosis bagi tujuan terapi kejiwaan. Teknik
ini dikembangkan ke seluruh dunia termasuk Malaysia. Oleh kerana istilah ‘pukau’
dan hipnosis merupakan salah satu cabang sihir yang dilarang dalam Islam, maka
ianya ditukar kepada nama lain yang lebih saintifik seperti mind programming,
super power minds, neuro language, subconscious mind empowerment,
aura metafizik dan lain-lain.
Hipnosis (pukau) adalah cabang
sihir
Ibnu Kathir dalam tafsirnya, juzu’ 1,
halaman 367 menyatakan bahawa penggunaan kekuatan roh oleh seseorang bagi
tujuan memberi kesan dan pengaruh kepada orang lain dikategorikan sebagai salah
satu bentuk sihir. Dalam dunia hari ini, hipnosis atau pukau tidak lagi
melibatkan jampi mantera, tetapi cukup dengan hanya menggunakan kerahan roh yang
dilatih untuk menguasai pemikiran seseorang. Dalam perniagaan, sudah ada
kursus-kursus yang mengajar teknik menarik perhatian dan fokus pelanggan dengan
cara menguasai minda bawah sedar mereka. Fenomena ini merupakan sebahagian dari
teknik memukau pembeli untuk membeli barangan mereka.
Hipnosis sudah lama diamalkan oleh para
pengamal yoga, sami hindu dan sami budha dalam agama mereka. Ianya dilakukan melalui
meditasi dan pertapaan dengan mengosongkan minda dan menumpukan kepada suatu
kehendak. Melalui cara ini mereka mendapat ketenangan yang akhirnya
menghasilkan perkara luarbiasa seperti mampu membaca hati orang, meramal apa
yang akan berlaku, mengubah nasib diri, menguasai kehendak orang lain dan
sebagainya. Zahirnya ianya tidak melibatkan bacaan mantera atau jampi serapah.
Tetapi tanpa disedari, ianya melibatkan peranan syaitan bagi merealisasikan
impian pengamalnya. Syaitan mengetahui apa yang diidamkan oleh seseorang.
Dengan memenuhi hajat pengamal, maka keyakinan seseorang terhadap kebolehan
dirinya sendiri akan meningkat. Secara perlahan-lahan, pergantungan kepada
Allah akan berkurangan. Justeru, ramai umat Islam tidak menyedari adanya tipu
daya jin dan syaitan dalam amalan hipnosis ini.
Dalam kebanyakan praktis rawatan jiwa, pesakit
perlu mengosongkan minda dan hanya memberi sepenuh fokus kepada arahan dan
saranan perawat. Dalam keadaan dihipnosis, minda
bawah sedar pesakit mudah diprogramkan bagi tujuan mengurangkan stress dan masalah-masalah
kejiwaan. Sewaktu
dihipnosis, minda akan menjadi tenang dan tenteram. Jika diukur dengan alat pengukuran
gelombang otak Electroencephalography (EEG), maka bacaan graf gelombang otak
juga akan menjadi stabil. Namun, keadaan ini hanya dialami oleh pesakit ketika
dihipnosis oleh perawat. Setelah habis sesi rawatan, perasaan tidak tenteram akan
kembali seperti sedia.
Untuk mengubah sikap dan tabiat buruk
seseorang, rawatannya perlu bermula dari hati. Nabi SAW bersabda: “Dalam diri anak Adam ada segumpal darah.
Jika ia baik, maka baiklah seluruh (perilaku) anggota tubuh. Jika ia jahat,
maka jahatlah (perilaku) seluruh anggota tubuh. Ketahuilah bahawa itulah hati.”
Hati yang jahat dan rosak hanya boleh disembuhkan dengan banyak mengingati
Allah, bukan setakat kata-kata rangsangan jurulatih semata-mata. Sabda Nabi
SAW: “Berzikir mengingati Allah itu
adalah ubat penyembuh bagi hati.” Latihan mengosongkan hati dan minda bagi
mendapatkan ketenangan dilihat tidak selari dengan saranan Allah SWT dalam
surah al Ra’d ayat 19: “Tidakkah dengan berzikir mengingati Allah itu hati
akan menjadi tenang?” Oleh kerana itu, dalam terapi pengubatan Islam,
pesakit dinasihatkan agar sentiasa memenuhi jiwa dengan ingatan kepada Allah
melalui bacaan ayat-ayat Al-Quran dan zikir-zikir yang terpilih. Ini dilakukan
bagi menghindari penaklukan jin dan syaitan ke dalam minda. Sekiranya minda dibiarkan
kosong, maka dikhuatiri akan mudah dimasuki dan dikuasai oleh makhluk halus.
Pernah berlaku kepada seorang alim di
Pekan, Pahang, yang didatangi oleh seorang pengamal yoga yang mempunyai
kebolehan membaca hati manusia. Apabila berdepan dengan orang alim ini, dia
tidak mampu membaca hati orang alim tersebut. Keadaan ini membingungkan sami
tersebut kerana dia tidak pernah gagal membaca hati orang sebelum ini. Menurut
orang alim tersebut, kebolehan sami meneroka hati dan minda tersebut dibantu oleh
syaitan. Apabila berdepan dengan sami tersebut, beliau memfokuskan ingatannya
hanya kepada Allah memohon pertolongan dariNya. Itulah sebenarnya kelebihan dan
kekuatan yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba Allah yang mengingatiNya.
Islam telah pun menyediakan penyelesaian
terbaik bagi merawat hati dan jiwa yang berkecamuk. Al-Quran menegaskan bahawasanya
hati hanya akan menjadi tenang dengan menyebut dan mengingati Allah. Kajian
tentang teknologi bio-feedback yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nubli Abdul
Wahab dan Ustaz Abdul Kamil Jamaluddin dari Universiti Malaysia Pahang
membuktikan bahawa kaedah rawatan melalui pendekatan Islam seperti berwudu,
berzikir, bertaubat dan bersolat bukan sahaja mampu menenangkan minda, malah dapat
mententeramkan hati dan anggota tubuh responden. Hal ini membuktikan kebenaran
firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 23: “Kemudian kulit dan hati mereka
itu menjadi lembut (tenang) disebabkan zikrullah (ingatan mereka kepada Allah).”
Minda Separa Sedar Menurut Islam
Minda merupakan sebahagian dari kejadian
roh dan ia bersifat rohani dan rabbani. Rahsia-rahsia berkaitan roh sangat
sedikit diketahui oleh manusia. Allah berfirman dalam surah al Isra ayat 85: “Dan
mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh. Katakanlah bahawa roh
itu adalah urusan Tuhanku, dan tidak Aku berikan kepada kamu ilmu tentangnya
kecuali sedikit sahaja.” Oleh itu, maklumat rahsia berkenaan roh seharusnya
datang dari manusia-manusia yang hampir kepada Allah seperti para Nabi dan Rasul
serta ulama-ulama yang benar-benar ikhlas, wara dan bertaqwa. Bukannya dari
orang-orang yang tidak beriman dan tidak mengenal Tuhan yang mencipta roh itu
sendiri.
Dalam Islam, terdapat lima perkara yang
perlu dilindungi oleh umatnya dari sebarang pencerobohan iaitu agama, nyawa,
akal, maruah dan harta. Islam melarang sebarang bentuk pencerobohan ke atas 5
perkara ini. Sesiapa yang melakukan pencerobohan ke atas hak ini, maka dia akan
dikenakan hukuman. Sebagai contoh, orang yang menceroboh nyawa orang lain, maka
dia akan dikenakan hukum bunuh balas (qisas). Hipnosis dan pukau
merupakan salah satu pencerobohan ke atas roh dan akal seseorang. Oleh sebab itu,
Islam mengharamkan perbuatan menceroboh dan menguasai akal dan minda seseorang melalui
cara tersebut.
Seseorang yang menguasai kehendak orang
lain supaya menuruti perintahnya tanpa kerelaannya adalah tergolong dalam
kategori manusia yang zalim. Ianya boleh menyebabkan kerugian dan penganiayaan
kepada pihak yang dikuasai. Beberapa kenalan yang saya temui memberitahu bahawa
mereka pernah terbeli produk dari penjual tanpa disedari. Mereka seolah-olah tidak
dapat membantah dan menurut sahaja kehendak dan kemahuan penjual. Apabila tiba
di rumah, barulah mereka terfikir kenapa mereka membeli sesuatu yang mereka
sendiri tidak perlukan. Sekiranya penjual tersebut memang menggunakan hipnosis
untuk menguasai kehendak pelanggan, maka perbuatan begini adalah suatu dosa.
Hanya Allah Berkuasa mengubah
Pendekatan memberi arahan kepada minda
separa sedar sebelum tidur sebenarnya diambil dari kata-kata Thomas Edison: “Never
go to sleep without a request to your subconscious”. Sebagai umat Nabi
Muhammad SAW, kita seharusnya lebih mengagungkan sunnah dan ajaran Baginda berbanding
lain-lain manusia. Baginda SAW mengajar agar sentiasa bergantung harap dan meletakkan
kepercayaan kepada Allah dalam setiap langkah dan pekerjaan kita. Sentiasa bertaubat
dan berdoa pada setiap masa. Mudah-mudahan dengan doa yang datang dari lidah
dan hati yang telah bertaubat, maka Allah akan memakbulkannya. Dengan cara ini,
kita akan sentiasa merasa berharap kepada Allah, bukannya kepada upaya dan
usaha diri sendiri. Kita disaran supaya sentiasa menyebut La Haula Wa la
Quwwata Illa Billah ‘Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuasaan Allah.’
Sekiranya berlaku perubahan positif
mahupun negatif, maka kita harus sedar bahawa ianya berlaku dengan qudrat
dan iradat Allah. Kita perlu menerima ketentuan qada’ dan qadar
Allah dengan hati redha, kerana kita tidak punya kuasa atas diri kita mahupun
diri orang lain. Hanya Allah yang berkuasa mengubahnya. FirmanNya dalam surah
Al Qasas ayat 56: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak akan sesekali
mampu memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih, akan tetapi
Allah lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” Oleh
itu, sentiasa jadikan Allah sebagai tempat bergantung dalam hidup seharian
kita.
*Artikel di atas adalah berdasarkan pengalaman
mengikuti beberapa program menguasai minda separa sedar. Mungkin apa yang para
pembaca ikuti berbeza dari apa yang penulis alami. Sekiranya kursus tersebut memberi
manafaat, maka teruskanlah dan sentiasa mengharap rahmat Allah pada setiap
perubahan positif. Sekiranya para pembaca dapati apa yang ditulis terjadi pada
diri anda, maka berhati-hatilah. Dibimbangi ianya bukan dari ajaran agama kita
dan membawa kepada murka Allah.