‘KENA SIHIR’ SEBAGAI SATU PEMBELAAN DALAM KES
PERCERAIAN:
ANALISA DARI SUDUT HUKUM SYARA’ DAN
PENGAPLIKASIANNYA
DI MAHKAMAH SYARIAH DI MALAYSIA
Dr. Mahyuddin bin Ismail
Jabatan Sains
Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Malaysia
Pahang, Lebuhraya Tun Razak, 26300 Gambang, Kuantan.
Tel: +019-9800573
Fax: 09-51493112 E-mel: mahyuddin@ump.edu.my
PENGENALAN
Ilmu dan amalan sihir merupakan antara
ilmu dan amalan yang tertua di dunia. Ilmu ini melibatkan penggunaan khidmat
jin dan syaitan dan diamalkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu. Ia sering
digunakan untuk menghilangkan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga,
memisahkan antara suami dan isteri, menghilangkan kewarasan akal, menyebabkan
penyakit sehingga ke tahap membunuh mangsa tanpa perlu disentuh . Maka tidak
hairanlah jika timbul dakwaan wujudnya penggunaan ilmu sihir dalam perceraian
antara suami dan isteri. Allah SWT
telah menyatakan kemungkinan terjadinya hal ini melalui firmanNya yang
bermaksud:“Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari
mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara
seorang suami dengan isterinya…” (Al-Quran 2: 102)
Di Malaysia, isu penggunaan ilmu sihir bagi mencerai beraikan pasangan
suami isteri ada dibangkitkan dalam beberapa kes dalam mahkamah Syariah. Antaranya
ialah kes Mustafa Batcha lawan
Habeeba Abd. Rahman [1410]
JH 41, kes Re Wan Norsuriya [1418] JH 211 dan kes Muhammad Kamran
Babar Nazir Khan dan Yani Yuhana Mohd Zambri (Muhamaad Razis Ismail, 2011).
Malangnya, isu tersebut
tidak mendapat perhatian disebabkan ketiadaan garis panduan dan peruntukan undang-undang berkaitan sihir
(Mahyuddin, 2012).
Penggunaan Sihir Dalam Perceraian
Berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 102, para ulama
sependapat bahawa ilmu sihir digunakan untuk memecah belahkan hubungan suami
dan isteri. Perceraian dengan menggunakan ilmu sihir ini biasanya berlaku dalam
keadaan yang pelik dan luar dari kebiasaan. Melalui pengalaman yang penulis
pernah hadapi, ada suami yang mengadu bahawa lidahnya seakan-akan dikuasai
sesuatu sehingga melafazkan talaq terhadap isterinya. Ada pula yang mendakwa tidak
sedar dan tidak ingat bila dan di mana dia melafazkan cerai. Terdapat juga suami
atau isteri mendakwa berlaku perubahan mendadak pada perasaan hingga timbul
rasa benci dan meluat yang amat sangat hingga memukul pasangannya tanpa
kerelaan hati. Penulis pernah berdepan dengan kes isteri yang beriya-iya
mendesak suaminya agar menceraikannya tanpa sebarang sebab. Tidak kurang juga
ada isteri memohon cerai fasakh atas alasan suami mengalami lemah syahwat
ketika hendak menyetubuhinya sedangkan dengan isterinya yang lain tidak begitu.
Dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman, perayu mendakwa
telah melafazkan talaq dalam keadaan
beliau tidak sedar kerana dipengaruhi sihir. Menurut perayu, gangguan sihir
bermula setelah beliau berjaya mendapatkan tender kantin di sebuah kilang.
Semenjak itu, fikirannya menjadi tidak tenteram, berasa benci dan marah pada
isterinya tanpa sebab. Pernah beliau memukul isterinya sedangkan dia sendiri
tidak menyedari apa yang dilakukannya. Dalam keadaan tidak sedar juga beliau telah
membuat permohonan untuk menceraikan isterinya. Perayu menemui bungkusan kain
putih di dalam kantin tersebut. Beliau mendapatkan rawatan dari seorang perawat
tradisional dan menurut perawat tersebut, beliau telah kena sihir kerana
berjaya mendapatkan tender kantin tersebut. Penyihirnya itu berasa dengki lalu
menyihirnya agar rumahtangganya bercerai berai. Setelah mendapatkan rawatan dan
keluar dari kantin tersebut, beliau telah pulih dan boleh berfikir secara
normal. Perayu merayu agar mahkamah menyemak semula perceraian talaq tiga yang
telah direkodkan oleh mahkamah sebelumnya. Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kes
ini belum didengar sewajarnya dan memerintah ianya dibicarakan semula ekoran
kegagalan Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan pendapat pakar (racyu
al-khabīr) berkenaan isu tersebut. YAA Hakim menyarankan agar perawat yang
merawat perayu dipanggil untuk diminta pendapatnya sebagai pakar.
Kes di atas adalah salah satu kes melibatkan sihir yang di bawa ke
mahkamah. Realitinya, terdapat beratus-ratus (mungkin beribu-ribu) lagi kes
yang hampir sama dialami oleh mangsa-mangsa sihir di luar mahkamah. Melalui
temubual yang dijalankan terhadap beberapa orang hakim mahkamah Syariah di
Kuantan dan Kuala Terengganu, mereka percaya bahawa penggunaan sihir dalam
kes-kes perceraian memang wujud. Malah hakim-hakim tersebut pernah berdepan
dengan kes sedemikian (Mahyuddin, 2011). Oleh kerana ketiadaan satu garis
panduan dan peruntukan dalam enakmen berkaitan isu ini, maka para hakim
mengambil jalan lebih selamat iaitu dengan mengadili kes berkenaan atas alasan
yang zahir pada pandangan mata kasar dan dapat diterima logik akal. Selain itu,
para hakim juga melihat faktor-faktor sampingan seperti latar belakang dan
sikap pengadu dalam membuat penghakiman. Justeru, gesaan YAA Hakim dalam kes Mustafa Batcha perlu dilihat sebagai
satu isyarat betapa perlunya diwujudkan tatacara khusus bagi membicarakan kes-kes
sedemikian demi menyelamatkan rumah tangga dari angkara sihir.
Hukum Syara’ Berhubung Kes Perceraian
Dalam Keadaan Akal Tidak Sempurna
Isu perceraian khususnya perceraian melalui talaq merupakan satu isu yang
sangat sensitif dan perlu ditangani secara berhati-hati dan teliti. Ianya salah
satu perkara yang boleh terjadi sama ada dengan niat sengaja atau niat
main-main. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi yang
bermaksud: ”Tiga perkara yang dibuat sungguh-sungguh jadi sungguh-sungguh,
dan dibuat main-main jadi sungguh-sungguh, iaitu nikah, talaq dan rujuk.”
Justeru, para ulama sangat berhati-hati dalam membicarakan persoalan hukum
cerai talaq ini. Syeikh Abi Bakr Usman (1995) menyatakan terdapat beberapa
syarat yang perlu ada bagi menjadikan suatu lafaz talaq itu sah iaitu suami, isteri,
sighah, qasad talaq dan kekuasaan suami. Kekuasaan yang dimaksudkan di
sini ialah kemahuan hati yang disertai dengan kewarasan akal yang sempurna.
Oleh itu, talaq yang dilafazkan oleh seorang suami dalam keadaan akalnya yang
tidak sempurna atau dalam keadaan kemahuannya yang dikuasai oleh seseorang atau
oleh sesuatu adalah tidak sah. Ini adalah selari dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (1995), Abu
Daud (1952) dan Ibn Majah (1972) yang bermaksud: ”Tidak gugur talak dan
tidak sah memerdekakan hamba ketika dalam keadaan ighlaq (marah yang
bersangatan).”
Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri (1987) menyatakan dalam kitabnya Al-Fiqh cala
al-Mazāhib al-Arbacah, juzu 4
halaman 142 yang bermaksud: ”Maka disyaratkan pada orang yang mentalak itu
beberapa perkara; antaranya ialah berakal sempurna. Maka tidak sah
talaq orang gila (majnun) walaupun gilanya itu terputus-putus yang datang sekejap
kemudian hilang. Apabila dia menjatuhkan talaq sewaktu dalam keadaan gilanya,
maka talaq tersebut tidak diambil kira. Yang dikatakan gila (junun) ialah
sesiapa yang hilang akalnya disebabkan oleh sakit, demam, sakit kepala yang
bersangatan.” Pendapat
yang sama turut diutarakan oleh Imam As-Shāficī, Imam Al-Mawardi dan Dr. Wahbah al-Zuhaily.
Tegasnya, para ulama sepakat mengatakan
bahawa talaq yang dilafazkan oleh seorang yang tidak berakal sempurna atau
dipengaruhi sesuatu sehingga hilang kawalannya adalah tidak sah. Jika
didasarkan dengan pengalaman penulis dan juga apa yang dicatat oleh kebanyakan
mereka yang terlibat dalam merawat mangsa sihir, keadaan tidak sempurna akal
dan hilang kawalan sering dialami oleh mereka yang disihir, bahkan lebih dari itu.
Ia juga memberi kesan kepada emosi, fizikal, kerjaya, hubungan dengan orang di sekeliling
hinggalah pada kediaman atau premis mangsa (Mahyuddin, 2011). Selalunya, mangsa akan mudah rasa tertekan, berserabut,
benci, marah, meluat atau sedih yang bersangatan dan tidak dapat dikawal. Adakalanya
mangsa mendengar bisikan-bisikan agar menceraikan isteri atau diperlihatkan
gambaran-gambaran pasangannya melakukan perbuatan curang sehingga menimbulkan
kemarahan yang melampau.
Rasulullah SAW pernah disihir sehingga Baginda
merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya sedangkan
Baginda SAW tidak melakukan demikian. Peristiwa ini dicatat dalam Sahih Al-Bukhari
dan Sahih Muslim. Ini menunjukkan kemampuan penyihir mempengaruhi pemikiran dan
kehendak mangsa terutama dalam perkara berkaitan rumahtangga. Sebagai contoh, sihir
pemisah atau sihir pembenci digunakan bagi memisahkan pasangan suami isteri
atas sebab-sebab tertentu yang selalunya dikaitkan dengan masalah peribadi,
dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya (Amran
Kasimin, 2002). Hasilnya,
timbul rasa benci antara suami isteri, selalu berlaku perselisihan faham,
timbul prasangka dan was-was terhadap pasangan, rasa marah yang tidak tahu
puncanya, gelisah bila bersama, rasa ingin bercerai dan ada yang melihat rupa
pasangan menjadi sangat buruk dan hodoh (Wahid, A.B. S & Daud, M.S, 1994).
Ada juga penyihir yang menggunakan bahan-bahan dari haiwan yang suka bercakar
seperti tulang kucing dan
anjing yang dipuja, lalu di tanam di bawah rumah atau diletakkan atas bumbung
rumah mangsa. Natijahnya,
kehidupan mangsa dan pasangannya yang aman bertukar menjadi huru hara dan
selalu bertengkar ibarat kucing dan anjing.
Dalam kitab Fatāwa wa ishtishārāt al-Islām al-Yaum, juz 11, hal.
358, ditegaskan:
Dan adapun orang yang disihir yang mana sihir
tersebut menyebabkan hilang kewarasan dan kesedaran akalnya, sehingga
menyebabkan dia mengucapkan apa yang dia tidak mahukan, maka sesungguhnya talaq
yang diucapkan ketika itu tidak berlaku berdasarkan hadis Nabi SAW: “Tidak
jatuh talaq yang dilafazkan dalam keadaan ighlaq”.
Pendapat ini selari dengan pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam
kitab Mukhtasar Al-Fatawa Al-Misriyyah halaman 544 yang bermaksud: “Dan
sesiapa yang disihir sehingga ke tahap dia tidak menyedari apa yang diucapkan
maka talaq tersebut tidak berlaku. Manakala sekiranya sihir yang dikenakan itu
tidak menyebabkan perubahan pada kewarasan akal dan kesedarannya, seperti sihir
untuk menghalangnya dari melakukan persetubuhan sahaja, maka talaq itu sah.”
Bekas Presiden Universiti Islam Madinah, Syeikh Abdul Muhsin Ibn Hamd Al-cIbād
pernah ditanya berkenaan hukuman bagi seseorang yang melakukan kesalahan dalam
keadaan dia dirasuk atau disihir. Beliau menjawab dengan maksud: ”Sekiranya
dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan akal yang tidak waras, maka dia tidak
dikenakan hukuman. Manakala sekiranya dia melakukan kesalahan
tersebut sedangkan akalnya waras, maka dia dikenakan hukuman walaupun dia
mengalami kesakitan, kemurungan dan ketidakselesaan. Perkara yang hanya
memberikan pelepasan baginya hanya akal yang tidak waras.”
Oleh yang demikian, bolehlah disimpulkan bahawa sekiranya mana-mana suami
menjatuhkan talaq dalam keadaan hilang pertimbangan akal akibat disihir, maka
hukum talaq tersebut tidak sah. Seseorang yang
melakukan perbuatan dalam keadaan tiada akal (ghair cāqil)
tidak akan menanggung sebarang akibat perbuatan beliau berdasarkan hadis Nabi
SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a. yang bermaksud: ”Diangkat
pena dari tiga golongan: Dari orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dari
kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan dari orang gila hinggalah dia berakal
atau sedar dari gilanya.”
Dalam pada itu, ada juga kes tuntutan cerai fasakh yang
difailkan atas sebab kecederaan dan kecacatan fizikal yang dialami oleh
mana-mana pasangan seperti penyakit
kusta, sopak atau kudis yang sukar diubati, ratqa (tertutup kemaluan
wanita dengan daging), qarna (tertutup kemaluan wanita dengan tulang), cunnah
(mati pucuk bagi lelaki). Sebenarnya, sesetengah kes
mati pucuk, hilang tenaga kelakian dan lemah syahwat yang dialami oleh lelaki boleh juga disebabkan oleh
angkara sihir (Amran Kasimin, 1995). Jenis sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini
ialah sihir batang keladi dan sihir jerutan. Menurut Walter Farber
(1995), sihir jenis ini telah pun
diamalkan sejak tamadun Mesopotamia lagi dan ianya berterusan sehingga ke hari
ini. Penggunaan sihir sebegini juga banyak dilaporkan berlaku di Eropah sekitar
kurun ke-15 (Richard Kieckhefer, 1990). Sihir
santau yang dihasilkan dari benda-benda gatal dan berbisa seperti miang buluh,
rebung, ulat bulu pula boleh menyebabkan tubuh mangsa berkudis dengan bau yang
busuk (Jahid Sidek, 2006), badan terasa sakit seolah-olah ditusuk sesuatu yang
tajam dan terasa bisa-bisa pada badan (Amran Kasimin, 2002). Sekiranya mana-mana pasangan mengadu
bahawa punca kecacatan atau kecederaan fizikal yang dialami itu dipercayai
adalah angkara sihir melalui tanda-tanda yang lazim, maka pihak mahkamah perlu
memberi peluang kepada pihak yang teraniaya untuk membela diri.
Beban Pembuktian ’Kena Sihir’ Sebagai
Pembelaan
Pengalaman menyaksikan kes-kes pasangan suami isteri yang bercerai angkara
perbuatan sihir menyedarkan penulis agar satu pembaharuan dalam perundangan
perlu dilakukan bagi membela nasib mereka yang teraniaya terutama isteri dan
anak-anak. Pihak yang teraniaya ini seharusnya diberikan peluang untuk membela
dan mempertahankan rumahtangga mereka atas alasan pasangannya ’kena sihir’.
Setiap kali cadangan seumpama ini dikemukakan kepada pihak yang mempunyai
autoriti, penulis akan diajukan soalan iaitu bagaimana perkara ini hendak
dibuktikan dalam mahkamah.
Untuk merealisasikan bentuk pembelaan ini, beban pembuktian oleh pihak yang
mendakwa akan diperincikan. Bagi kes cerai talaq, sekiranya:
a)
seorang suami mendakwa talaq dilafazkan dalam
keadaan dirinya dipengaruhi sihir; atau,
b)
seorang isteri mendakwa suaminya melafazkan talaq
dalam keadaan diri suami tersebut dipengaruhi sihir;
maka pihak yang mendakwa perlu membuktikan kepada
mahkamah bahawa:
i).
wujud tanda-tanda dan ’simptom-simptom
lazim terkena sihir’ pada diri suami;
ii).
suami mengalami ketidak warasan/
ketidak sempurnaan akal akibat terkena sihir semasa beliau melafazkan talaq.
iii). ketidak
warasan pemikiran akibat terkena sihir itu menjejaskan kebolehan untuk mempertimbangkan
apa yang dilakukannya itu benar atau salah.
Oleh itu, sekiranya
seorang suami mendakwa bahawa dia telah menceraikan isterinya dalam keadaan
akalnya tidak sempurna akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke
atas beliau untuk menunjukkan bahawa wujudnya ’simptom lazim terkena sihir’ ke
atas diri beliau dan sihir tersebut benar-benar menyebabkan beliau hilang
kewarasan akal. Manakala jika seorang isteri mendakwa suaminya telah
menceraikannya dalam keadaan akal suami tersebut tidak sempurna akibat terkena
sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas isterinya untuk membuktikan bahawa
wujudnya simptom lazim terkena sihir pada diri suaminya dan sihir tersebut
benar-benar menyebabkan suaminya hilang kewarasan akal.
Bagi kes tuntutan cerai fasakh atas alasan yang hanya melibatkan unsur
fizikal tanpa mempengaruhi mental mangsa (seperti penyakit kusta, sopak atau
kudis, ratqa, qarna dan cunnah), maka pasangan yang percaya bahawa alasan tersebut berpunca dari
‘kena sihir’, maka beliau perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:
a)
wujudnya
kecederaan atau kecacatan pada fizikalnya;
b)
wujudnya
simptom-simptom lazim terkena sihir yang mempunyai kaitan dengan kecederaan
atau kecacatan itu;
c)
kecederaan
atau kecacatan fizikal itu menjadi alasan tuntutan fasakh oleh pasangannya.
Sekiranya berjaya dibuktikan, mahkamah seharusnya
mengeluarkan perintah agar mangsa atau pasangannya mendapatkan rawatan
pemulihan dari pengaruh sihir tersebut dalam tempoh tertentu sebelum kes
tersebut dibicarakan semula.
Keperluan
Meminta Pendapat Pakar Bagi mengenalpasti ’simptom lazim terkena sihir’
Mangsa-mangsa sihir biasanya akan mengalami simptom-simptom tertentu yang
boleh dinamakan sebagai ’simptom lazim terkena sihir’ (Mahyuddin Ismail, 2011).
Bagi menilai sama ada simptom-simptom yang didakwa akibat terkena sihir itu
benar-benar tergolong dalam simptom lazim terkena sihir, maka pendapat pakar yang memahami
selok belok ilmu dan amalan sihir perlu diminta. Perkara ini telah pun
dibincangkan oleh para ulama. Menurut Al-Khatib As Syarbini (1978), seorang yang dahulunya terkenal sebagai ahli
sihir, tetapi telah bertaubat dari mengamalkan ilmu tersebut boleh dipanggil
sebagai saksi bagi memberikan keterangan mengenai selok belok ilmu sihir. Oleh
itu, mana-mana individu yang mempunyai pengalaman yang luas dan diiktiraf
masyarakat sebagai pakar perubatan Islam boleh dipanggil bagi memberi pendapat
sebagai pakar. Terpulang kepada hakim untuk menerima atau menolak keterangan
tersebut. Keperluan kepada pendapat pakar dalam isu sihir telah diisyaratkan oleh Y.A.A. Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeeba Abd
Rahman:
”Hakim yang Arif
tidak langsung mencatatkan di dalam rekod perbicaraannya fakta kes tersebut dan
juga beliau telah tidak memanggil dukun yang mengubati Perayu untuk mendapatkan
keterangan untuk mempastikan sama ada Perayu benar-benar sakit kena buatan
orang (sihir) yang menyebabkan perceraian.”
Oleh itu, sekiranya
mana-mana pasangan dalam kes perceraian mendakwa wujudnya penggunaan sihir bagi
mencerai beraikan rumah tangganya, maka pihak mahkamah boleh meminta pendapat pakar
(yang dilantik oleh mahkamah atau oleh pihak yang mendakwa) bagi mengenal pasti
dan menentukan perkara-perkara berikut:
a)
Adakah benar
simptom-simptom yang dialami oleh mangsa benar-benar berpunca dari perbuatan
sihir, ataupun hanyalah simptom akibat gangguan makhluk halus yang berpunca
dari saka yang diwarisi, amalan kebatinan khurafat, rawatan tradisional yang
menyeleweng atau selainnya;
b)
Sejauh mana sihir yang
dikenakan itu memberi kesan terhadap mental dan fizikal mangsa;
c)
Adakah wujud sebarang kolerasi
dan pertalian antara simptom yang dialami, bahan sihir (jika ada) dan kesannya
kepada mangsa;
d)
Adakah wujud qarinah yang boleh dikaitkan dalam dakwaan
yang dikemukakan;
e)
dan lain-lain perkara
yang berkaitan.
Metodologi sebegini adalah bersesuaian dengan peruntukan seksyen 33 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah negeri negeri di Malaysia yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk
memanggil seseorang yang pakar dalam suatu sains atau seni untuk memberikan
pendapat mereka di mahkamah.
Sekiranya
hakim (setelah meneliti dan mendengar pendapat pakar tentang hal tersebut)
mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang yang mendakwa itu benar-benar
mengalami simptom-simptom disihir, maka beliau boleh mengeluarkan perintah agar
orang tersebut dirujuk ke pusat-pusat rawatan yang boleh dipercayai dan
diberikan tempoh tertentu untuk menjalani rawatan. Tujuan utama dijalankan rawatan adalah bagi memastikan mangsa benar-benar pulih dari pengaruh sihir dan
dapat dibicarakan di mahkamah dalam keadaan beliau sempurna akal. Kebiasaannya,
apabila mangsa bebas dari ikatan sihir, beliau akan mempertimbangkan tindakan yang
telah diambilnya dengan lebih rasional. Dalam keadaan ini, maka mahkamah boleh
mendengar semula tuntutan yang difailkan sama ada oleh mangsa atau pasangannya.
Kaedah ini lebih adil kerana semua pihak dalam tuntutan atau permohonan
tersebut berada dalam keadaan akal yang sempurna.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, isu penggunaan sihir dalam
rumahtangga memang berlaku dan pernah dibangkitkan dalam beberapa kes di
Mahkamah Syariah. Para ulama Islam juga sepakat
mengatakan bahawa perceraian yang didalangi ilmu sihir tidak sah di sisi syara.
Justeru, isu ini perlu diteliti dan diperincikan agar menjadi panduan untuk para
hakim dalam menghakimi kes-kes perceraian yang melibatkan sihir. Dibimbangi
sekiranya hakim tidak memahami selok belok isu ini akan tersalah hukum. Secara
tidak langsung, misi iblis dan syaitan untuk mencerai beraikan anak Adam dapat
direalisasikan melalui institusi kehakiman Islam. Penelitian terhadap isu ini bukan sahaja dapat memberikan keadilan
kepada pasangan suami dan isteri, malah dapat mengembalikan kerukunan dan
keharmonian rumahtangga mereka. Langkah-langkah
yang dicadangkan dlam kertas kerja ini merupakan salah satu langkah bagi membela
nasib pasangan yang teraniaya akibat diceraikan angkara penggunaan sihir.
Untuk full paper (abstrak n rujukan), sila hubungi saya.