Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Monday, September 17, 2012

‘KENA SIHIR’ SEBAGAI SATU PEMBELAAN DALAM KES PERCERAIAN: ANALISA DARI SUDUT HUKUM SYARA’ DAN PENGAPLIKASIANNYA DI MAHKAMAH SYARIAH DI MALAYSIA




‘KENA SIHIR’ SEBAGAI SATU PEMBELAAN DALAM KES PERCERAIAN:
ANALISA DARI SUDUT HUKUM SYARA’ DAN PENGAPLIKASIANNYA
DI MAHKAMAH SYARIAH DI MALAYSIA

Dr. Mahyuddin bin Ismail
Jabatan Sains Kemanusiaan, Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan,
Universiti Malaysia Pahang, Lebuhraya Tun Razak, 26300 Gambang, Kuantan.
Tel: +019-9800573 Fax: 09-51493112 E-mel: mahyuddin@ump.edu.my

 
PENGENALAN

Ilmu dan amalan sihir merupakan antara ilmu dan amalan yang tertua di dunia. Ilmu ini melibatkan penggunaan khidmat jin dan syaitan dan diamalkan dengan tujuan-tujuan yang tertentu. Ia sering digunakan untuk menghilangkan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga, memisahkan antara suami dan isteri, menghilangkan kewarasan akal, menyebabkan penyakit sehingga ke tahap membunuh mangsa tanpa perlu disentuh . Maka tidak hairanlah jika timbul dakwaan wujudnya penggunaan ilmu sihir dalam perceraian antara suami dan isteri. Allah SWT telah menyatakan kemungkinan terjadinya hal ini melalui firmanNya yang bermaksud:“Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya…” (Al-Quran 2: 102)

Di Malaysia, isu penggunaan ilmu sihir bagi mencerai beraikan pasangan suami isteri ada dibangkitkan dalam beberapa kes dalam mahkamah Syariah. Antaranya ialah kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman [1410] JH 41, kes Re Wan Norsuriya [1418] JH 211 dan kes Muhammad Kamran Babar Nazir Khan dan Yani Yuhana Mohd Zambri (Muhamaad Razis Ismail, 2011). Malangnya, isu tersebut tidak mendapat perhatian disebabkan ketiadaan garis panduan dan peruntukan undang-undang berkaitan sihir (Mahyuddin, 2012).

Penggunaan Sihir Dalam Perceraian
Berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 102, para ulama sependapat bahawa ilmu sihir digunakan untuk memecah belahkan hubungan suami dan isteri. Perceraian dengan menggunakan ilmu sihir ini biasanya berlaku dalam keadaan yang pelik dan luar dari kebiasaan. Melalui pengalaman yang penulis pernah hadapi, ada suami yang mengadu bahawa lidahnya seakan-akan dikuasai sesuatu sehingga melafazkan talaq terhadap isterinya. Ada pula yang mendakwa tidak sedar dan tidak ingat bila dan di mana dia melafazkan cerai. Terdapat juga suami atau isteri mendakwa berlaku perubahan mendadak pada perasaan hingga timbul rasa benci dan meluat yang amat sangat hingga memukul pasangannya tanpa kerelaan hati. Penulis pernah berdepan dengan kes isteri yang beriya-iya mendesak suaminya agar menceraikannya tanpa sebarang sebab. Tidak kurang juga ada isteri memohon cerai fasakh atas alasan suami mengalami lemah syahwat ketika hendak menyetubuhinya sedangkan dengan isterinya yang lain tidak begitu.

Dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman, perayu mendakwa telah melafazkan talaq dalam keadaan beliau tidak sedar kerana dipengaruhi sihir. Menurut perayu, gangguan sihir bermula setelah beliau berjaya mendapatkan tender kantin di sebuah kilang. Semenjak itu, fikirannya menjadi tidak tenteram, berasa benci dan marah pada isterinya tanpa sebab. Pernah beliau memukul isterinya sedangkan dia sendiri tidak menyedari apa yang dilakukannya. Dalam keadaan tidak sedar juga beliau telah membuat permohonan untuk menceraikan isterinya. Perayu menemui bungkusan kain putih di dalam kantin tersebut. Beliau mendapatkan rawatan dari seorang perawat tradisional dan menurut perawat tersebut, beliau telah kena sihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin tersebut. Penyihirnya itu berasa dengki lalu menyihirnya agar rumahtangganya bercerai berai. Setelah mendapatkan rawatan dan keluar dari kantin tersebut, beliau telah pulih dan boleh berfikir secara normal. Perayu merayu agar mahkamah menyemak semula perceraian talaq tiga yang telah direkodkan oleh mahkamah sebelumnya. Hakim Mahkamah Rayuan memutuskan kes ini belum didengar sewajarnya dan memerintah ianya dibicarakan semula ekoran kegagalan Hakim Mahkamah Rendah Syariah untuk mendapatkan pendapat pakar (racyu al-khabīr) berkenaan isu tersebut. YAA Hakim menyarankan agar perawat yang merawat perayu dipanggil untuk diminta pendapatnya sebagai pakar.

Kes di atas adalah salah satu kes melibatkan sihir yang di bawa ke mahkamah. Realitinya, terdapat beratus-ratus (mungkin beribu-ribu) lagi kes yang hampir sama dialami oleh mangsa-mangsa sihir di luar mahkamah. Melalui temubual yang dijalankan terhadap beberapa orang hakim mahkamah Syariah di Kuantan dan Kuala Terengganu, mereka percaya bahawa penggunaan sihir dalam kes-kes perceraian memang wujud. Malah hakim-hakim tersebut pernah berdepan dengan kes sedemikian (Mahyuddin, 2011). Oleh kerana ketiadaan satu garis panduan dan peruntukan dalam enakmen berkaitan isu ini, maka para hakim mengambil jalan lebih selamat iaitu dengan mengadili kes berkenaan atas alasan yang zahir pada pandangan mata kasar dan dapat diterima logik akal. Selain itu, para hakim juga melihat faktor-faktor sampingan seperti latar belakang dan sikap pengadu dalam membuat penghakiman. Justeru, gesaan YAA Hakim dalam kes Mustafa Batcha perlu dilihat sebagai satu isyarat betapa perlunya diwujudkan tatacara khusus bagi membicarakan kes-kes sedemikian demi menyelamatkan rumah tangga dari angkara sihir.

Hukum Syara’ Berhubung Kes Perceraian Dalam Keadaan Akal Tidak Sempurna
Isu perceraian khususnya perceraian melalui talaq merupakan satu isu yang sangat sensitif dan perlu ditangani secara berhati-hati dan teliti. Ianya salah satu perkara yang boleh terjadi sama ada dengan niat sengaja atau niat main-main. Sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi yang bermaksud: ”Tiga perkara yang dibuat sungguh-sungguh jadi sungguh-sungguh, dan dibuat main-main jadi sungguh-sungguh, iaitu nikah, talaq dan rujuk.”

Justeru, para ulama sangat berhati-hati dalam membicarakan persoalan hukum cerai talaq ini. Syeikh Abi Bakr Usman (1995) menyatakan terdapat beberapa syarat yang perlu ada bagi menjadikan suatu lafaz talaq itu sah iaitu suami, isteri, sighah, qasad talaq dan kekuasaan suami. Kekuasaan yang dimaksudkan di sini ialah kemahuan hati yang disertai dengan kewarasan akal yang sempurna. Oleh itu, talaq yang dilafazkan oleh seorang suami dalam keadaan akalnya yang tidak sempurna atau dalam keadaan kemahuannya yang dikuasai oleh seseorang atau oleh sesuatu adalah tidak sah. Ini adalah selari dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (1995), Abu Daud (1952) dan Ibn Majah (1972) yang bermaksud: ”Tidak gugur talak dan tidak sah memerdekakan hamba ketika dalam keadaan ighlaq (marah yang bersangatan).”

Syeikh Abdul Rahman Al-Jaziri (1987) menyatakan dalam kitabnya Al-Fiqh cala al-Mazāhib al-Arbacah, juzu 4 halaman 142 yang bermaksud: ”Maka disyaratkan pada orang yang mentalak itu beberapa perkara; antaranya ialah berakal sempurna. Maka tidak sah talaq orang gila (majnun) walaupun gilanya itu terputus-putus yang datang sekejap kemudian hilang. Apabila dia menjatuhkan talaq sewaktu dalam keadaan gilanya, maka talaq tersebut tidak diambil kira. Yang dikatakan gila (junun) ialah sesiapa yang hilang akalnya disebabkan oleh sakit, demam, sakit kepala yang bersangatan.” Pendapat yang sama turut diutarakan oleh Imam As-Shāficī, Imam Al-Mawardi dan Dr. Wahbah al-Zuhaily.

Tegasnya, para ulama sepakat mengatakan bahawa talaq yang dilafazkan oleh seorang yang tidak berakal sempurna atau dipengaruhi sesuatu sehingga hilang kawalannya adalah tidak sah. Jika didasarkan dengan pengalaman penulis dan juga apa yang dicatat oleh kebanyakan mereka yang terlibat dalam merawat mangsa sihir, keadaan tidak sempurna akal dan hilang kawalan sering dialami oleh mereka yang disihir, bahkan lebih dari itu. Ia juga memberi kesan kepada emosi, fizikal, kerjaya, hubungan dengan orang di sekeliling hinggalah pada kediaman atau premis mangsa (Mahyuddin, 2011). Selalunya, mangsa akan mudah rasa tertekan, berserabut, benci, marah, meluat atau sedih yang bersangatan dan tidak dapat dikawal. Adakalanya mangsa mendengar bisikan-bisikan agar menceraikan isteri atau diperlihatkan gambaran-gambaran pasangannya melakukan perbuatan curang sehingga menimbulkan kemarahan yang melampau.

Rasulullah SAW pernah disihir sehingga Baginda merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya sedangkan Baginda SAW tidak melakukan demikian. Peristiwa ini dicatat dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim. Ini menunjukkan kemampuan penyihir mempengaruhi pemikiran dan kehendak mangsa terutama dalam perkara berkaitan rumahtangga. Sebagai contoh, sihir pemisah atau sihir pembenci digunakan bagi memisahkan pasangan suami isteri atas sebab-sebab tertentu yang selalunya dikaitkan dengan masalah peribadi, dengki, balas dendam, khianat dan sebagainya (Amran Kasimin, 2002). Hasilnya, timbul rasa benci antara suami isteri, selalu berlaku perselisihan faham, timbul prasangka dan was-was terhadap pasangan, rasa marah yang tidak tahu puncanya, gelisah bila bersama, rasa ingin bercerai dan ada yang melihat rupa pasangan menjadi sangat buruk dan hodoh (Wahid, A.B. S & Daud, M.S, 1994). Ada juga penyihir yang menggunakan bahan-bahan dari haiwan yang suka bercakar seperti tulang kucing dan anjing yang dipuja, lalu di tanam di bawah rumah atau diletakkan atas bumbung rumah mangsa. Natijahnya, kehidupan mangsa dan pasangannya yang aman bertukar menjadi huru hara dan selalu bertengkar ibarat kucing dan anjing.

Dalam kitab Fatāwa wa ishtishārāt al-Islām al-Yaum, juz 11, hal. 358, ditegaskan:
Dan adapun orang yang disihir yang mana sihir tersebut menyebabkan hilang kewarasan dan kesedaran akalnya, sehingga menyebabkan dia mengucapkan apa yang dia tidak mahukan, maka sesungguhnya talaq yang diucapkan ketika itu tidak berlaku berdasarkan hadis Nabi SAW: “Tidak jatuh talaq yang dilafazkan dalam keadaan ighlaq”.

Pendapat ini selari dengan pendapat Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab Mukhtasar Al-Fatawa Al-Misriyyah halaman 544 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang disihir sehingga ke tahap dia tidak menyedari apa yang diucapkan maka talaq tersebut tidak berlaku. Manakala sekiranya sihir yang dikenakan itu tidak menyebabkan perubahan pada kewarasan akal dan kesedarannya, seperti sihir untuk menghalangnya dari melakukan persetubuhan sahaja, maka talaq itu sah.”

Bekas Presiden Universiti Islam Madinah, Syeikh Abdul Muhsin Ibn Hamd Al-cIbād pernah ditanya berkenaan hukuman bagi seseorang yang melakukan kesalahan dalam keadaan dia dirasuk atau disihir. Beliau menjawab dengan maksud: ”Sekiranya dia melakukan kesalahan itu dalam keadaan akal yang tidak waras, maka dia tidak dikenakan hukuman. Manakala sekiranya dia melakukan kesalahan tersebut sedangkan akalnya waras, maka dia dikenakan hukuman walaupun dia mengalami kesakitan, kemurungan dan ketidakselesaan. Perkara yang hanya memberikan pelepasan baginya hanya akal yang tidak waras.”

Oleh yang demikian, bolehlah disimpulkan bahawa sekiranya mana-mana suami menjatuhkan talaq dalam keadaan hilang pertimbangan akal akibat disihir, maka hukum talaq tersebut tidak sah. Seseorang yang melakukan perbuatan dalam keadaan tiada akal (ghair cāqil) tidak akan menanggung sebarang akibat perbuatan beliau berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a. yang bermaksud: ”Diangkat pena dari tiga golongan: Dari orang yang tidur sehinggalah dia terjaga, dari kanak-kanak sehinggalah dia baligh dan dari orang gila hinggalah dia berakal atau sedar dari gilanya.”

Dalam pada itu, ada juga kes tuntutan cerai fasakh yang difailkan atas sebab kecederaan dan kecacatan fizikal yang dialami oleh mana-mana pasangan seperti penyakit kusta, sopak atau kudis yang sukar diubati, ratqa (tertutup kemaluan wanita dengan daging), qarna (tertutup kemaluan wanita dengan tulang), cunnah (mati pucuk bagi lelaki). Sebenarnya, sesetengah kes mati pucuk, hilang tenaga kelakian dan lemah syahwat yang dialami oleh lelaki boleh juga disebabkan oleh angkara sihir (Amran Kasimin, 1995). Jenis sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini ialah sihir batang keladi dan sihir jerutan. Menurut Walter Farber (1995), sihir jenis ini telah pun diamalkan sejak tamadun Mesopotamia lagi dan ianya berterusan sehingga ke hari ini. Penggunaan sihir sebegini juga banyak dilaporkan berlaku di Eropah sekitar kurun ke-15 (Richard Kieckhefer, 1990). Sihir santau yang dihasilkan dari benda-benda gatal dan berbisa seperti miang buluh, rebung, ulat bulu pula boleh menyebabkan tubuh mangsa berkudis dengan bau yang busuk (Jahid Sidek, 2006), badan terasa sakit seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam dan terasa bisa-bisa pada badan (Amran Kasimin, 2002). Sekiranya mana-mana pasangan mengadu bahawa punca kecacatan atau kecederaan fizikal yang dialami itu dipercayai adalah angkara sihir melalui tanda-tanda yang lazim, maka pihak mahkamah perlu memberi peluang kepada pihak yang teraniaya untuk membela diri.

Beban Pembuktian ’Kena Sihir’ Sebagai Pembelaan
Pengalaman menyaksikan kes-kes pasangan suami isteri yang bercerai angkara perbuatan sihir menyedarkan penulis agar satu pembaharuan dalam perundangan perlu dilakukan bagi membela nasib mereka yang teraniaya terutama isteri dan anak-anak. Pihak yang teraniaya ini seharusnya diberikan peluang untuk membela dan mempertahankan rumahtangga mereka atas alasan pasangannya ’kena sihir’. Setiap kali cadangan seumpama ini dikemukakan kepada pihak yang mempunyai autoriti, penulis akan diajukan soalan iaitu bagaimana perkara ini hendak dibuktikan dalam mahkamah.

Untuk merealisasikan bentuk pembelaan ini, beban pembuktian oleh pihak yang mendakwa akan diperincikan. Bagi kes cerai talaq, sekiranya:
a)      seorang suami mendakwa talaq dilafazkan dalam keadaan dirinya dipengaruhi sihir; atau,
b)      seorang isteri mendakwa suaminya melafazkan talaq dalam keadaan diri suami tersebut dipengaruhi sihir;
maka pihak yang mendakwa perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:
i).      wujud tanda-tanda dan ’simptom-simptom lazim terkena sihir’ pada diri suami;
ii).    suami mengalami ketidak warasan/ ketidak sempurnaan akal akibat terkena sihir semasa beliau melafazkan talaq.
iii).  ketidak warasan pemikiran akibat terkena sihir itu menjejaskan kebolehan untuk mempertimbangkan apa yang dilakukannya itu benar atau salah.
Oleh itu, sekiranya seorang suami mendakwa bahawa dia telah menceraikan isterinya dalam keadaan akalnya tidak sempurna akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas beliau untuk menunjukkan bahawa wujudnya ’simptom lazim terkena sihir’ ke atas diri beliau dan sihir tersebut benar-benar menyebabkan beliau hilang kewarasan akal. Manakala jika seorang isteri mendakwa suaminya telah menceraikannya dalam keadaan akal suami tersebut tidak sempurna akibat terkena sihir, maka beban pembuktian adalah ke atas isterinya untuk membuktikan bahawa wujudnya simptom lazim terkena sihir pada diri suaminya dan sihir tersebut benar-benar menyebabkan suaminya hilang kewarasan akal.
Bagi kes tuntutan cerai fasakh atas alasan yang hanya melibatkan unsur fizikal tanpa mempengaruhi mental mangsa (seperti penyakit kusta, sopak atau kudis, ratqa, qarna dan cunnah), maka pasangan yang percaya bahawa alasan tersebut berpunca dari ‘kena sihir’, maka beliau perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa:
a)      wujudnya kecederaan atau kecacatan pada fizikalnya;
b)      wujudnya simptom-simptom lazim terkena sihir yang mempunyai kaitan dengan kecederaan atau kecacatan itu;
c)      kecederaan atau kecacatan fizikal itu menjadi alasan tuntutan fasakh oleh pasangannya.
Sekiranya berjaya dibuktikan, mahkamah seharusnya mengeluarkan perintah agar mangsa atau pasangannya mendapatkan rawatan pemulihan dari pengaruh sihir tersebut dalam tempoh tertentu sebelum kes tersebut dibicarakan semula.
Keperluan Meminta Pendapat Pakar Bagi mengenalpasti ’simptom lazim terkena sihir’
Mangsa-mangsa sihir biasanya akan mengalami simptom-simptom tertentu yang boleh dinamakan sebagai ’simptom lazim terkena sihir’ (Mahyuddin Ismail, 2011). Bagi menilai sama ada simptom-simptom yang didakwa akibat terkena sihir itu benar-benar tergolong dalam simptom lazim terkena sihir, maka pendapat pakar yang memahami selok belok ilmu dan amalan sihir perlu diminta. Perkara ini telah pun dibincangkan oleh para ulama. Menurut Al-Khatib As Syarbini (1978), seorang yang dahulunya terkenal sebagai ahli sihir, tetapi telah bertaubat dari mengamalkan ilmu tersebut boleh dipanggil sebagai saksi bagi memberikan keterangan mengenai selok belok ilmu sihir. Oleh itu, mana-mana individu yang mempunyai pengalaman yang luas dan diiktiraf masyarakat sebagai pakar perubatan Islam boleh dipanggil bagi memberi pendapat sebagai pakar. Terpulang kepada hakim untuk menerima atau menolak keterangan tersebut. Keperluan kepada pendapat pakar dalam isu sihir telah diisyaratkan oleh Y.A.A. Hakim Mahkamah Rayuan dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeeba Abd Rahman:
”Hakim yang Arif tidak langsung mencatatkan di dalam rekod perbicaraannya fakta kes tersebut dan juga beliau telah tidak memanggil dukun yang mengubati Perayu untuk mendapatkan keterangan untuk mempastikan sama ada Perayu benar-benar sakit kena buatan orang (sihir) yang menyebabkan perceraian.”

Oleh itu, sekiranya mana-mana pasangan dalam kes perceraian mendakwa wujudnya penggunaan sihir bagi mencerai beraikan rumah tangganya, maka pihak mahkamah boleh meminta pendapat pakar (yang dilantik oleh mahkamah atau oleh pihak yang mendakwa) bagi mengenal pasti dan menentukan perkara-perkara berikut:
a)      Adakah benar simptom-simptom yang dialami oleh mangsa benar-benar berpunca dari perbuatan sihir, ataupun hanyalah simptom akibat gangguan makhluk halus yang berpunca dari saka yang diwarisi, amalan kebatinan khurafat, rawatan tradisional yang menyeleweng atau selainnya;
b)      Sejauh mana sihir yang dikenakan itu memberi kesan terhadap mental dan fizikal mangsa;
c)      Adakah wujud sebarang kolerasi dan pertalian antara simptom yang dialami, bahan sihir (jika ada) dan kesannya kepada mangsa;
d)     Adakah wujud qarinah yang boleh dikaitkan dalam dakwaan yang dikemukakan;
e)      dan lain-lain perkara yang berkaitan.

Metodologi sebegini adalah bersesuaian dengan peruntukan seksyen 33 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah negeri negeri di Malaysia yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil seseorang yang pakar dalam suatu sains atau seni untuk memberikan pendapat mereka di mahkamah.

Sekiranya hakim (setelah meneliti dan mendengar pendapat pakar tentang hal tersebut) mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa orang yang mendakwa itu benar-benar mengalami simptom-simptom disihir, maka beliau boleh mengeluarkan perintah agar orang tersebut dirujuk ke pusat-pusat rawatan yang boleh dipercayai dan diberikan tempoh tertentu untuk menjalani rawatan. Tujuan utama dijalankan rawatan adalah bagi memastikan mangsa benar-benar pulih dari pengaruh sihir dan dapat dibicarakan di mahkamah dalam keadaan beliau sempurna akal. Kebiasaannya, apabila mangsa bebas dari ikatan sihir, beliau akan mempertimbangkan tindakan yang telah diambilnya dengan lebih rasional. Dalam keadaan ini, maka mahkamah boleh mendengar semula tuntutan yang difailkan sama ada oleh mangsa atau pasangannya. Kaedah ini lebih adil kerana semua pihak dalam tuntutan atau permohonan tersebut berada dalam keadaan akal yang sempurna.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, isu penggunaan sihir dalam rumahtangga memang berlaku dan pernah dibangkitkan dalam beberapa kes di Mahkamah Syariah. Para ulama Islam juga sepakat mengatakan bahawa perceraian yang didalangi ilmu sihir tidak sah di sisi syara. Justeru, isu ini perlu diteliti dan diperincikan agar menjadi panduan untuk para hakim dalam menghakimi kes-kes perceraian yang melibatkan sihir. Dibimbangi sekiranya hakim tidak memahami selok belok isu ini akan tersalah hukum. Secara tidak langsung, misi iblis dan syaitan untuk mencerai beraikan anak Adam dapat direalisasikan melalui institusi kehakiman Islam. Penelitian terhadap isu ini bukan sahaja dapat memberikan keadilan kepada pasangan suami dan isteri, malah dapat mengembalikan kerukunan dan keharmonian rumahtangga mereka. Langkah-langkah yang dicadangkan dlam kertas kerja ini merupakan salah satu langkah bagi membela nasib pasangan yang teraniaya akibat diceraikan angkara penggunaan sihir. 

Untuk full paper (abstrak n rujukan), sila hubungi saya.

CERITA ORANG BUNIAN DAN HANTU RAYA




HANTU RAYA DAN ORANG BUNIAN ADALAH BANGSA JIN
Dr Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan di Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang

Menjelang hari raya, semua orang sibuk memperkatakan tentang baju raya, duit raya, kuih raya dan bermacam-macam ‘raya’ lagi. Ada satu lagi perkataan raya yang sering disebut-sebut walaupun ia tiada kaitan dengan hari raya iaitu ‘hantu raya’. Sempena ketibaan hari raya aidilfitri tahun ini, elok juga dijelaskan kekeliruan yang dihadapi oleh masyarakat tentang pengertian sebenar hantu raya dan juga makhluk bunian. Ini kerana sebahagian filem dan cerita hantu yang ditayang dilayar perak sempena hari raya ini terlalu melebih-lebihkan kehebatan hantu dan puaka sehingga menyimpang dari realiti yang sebenar. Kesannya, timbul rasa ketakutan dan ketaksuban terhadap mereka sehingga wujud amalan-amalan khurafat seperti meminta izin penjaga dan penunggu sesuatu kawasan. Tidak kurang juga yang menyimpan hasrat ingin masuk ke alam bunian dan berkahwin dengan mereka.

Hantu adalah bangsa jin dan syaitan
Sebelum topik hantu raya dan orang bunian ini diperincikan, ada baiknya kita memahami konsep sebenar kejadian-kejadian makhluk di atas muka bumi. Secara asasnya, Allah adalah Tuhan yang mencipta segala makhluk yang ada di alam semesta ini. Di antara makhluk-makhluk ini, ada yang dapat dilihat dengan mata kasar dan ada pula yang halus dan ghaib. Jin dan syaitan merupakan antara makhluk ghaib yang tinggal di atas muka bumi. Dalilnya firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 36:
“Ingatlah kamu ketika Kami berfirman: Turunlah kamu semua (manusia dan jin), kamu bermusuhan antara satu sama lainnya dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kehidupan di atas muka bumi.”

Ayat di atas jelas membuktikan bahawa jin juga tinggal di atas muka bumi seperti manusia, bukannya di suatu alam ghaib yang istimewa. Bezanya, kita tidak dapat melihat mereka kerana kejadian tubuhnya yang halus. Sebagaimana kita tidak dapat melihat angin, begitulah juga kita tidak dapat melihat jin dan syaitan walaupun mereka berada di depan mata kita.

Menurut Imam As Sayuti dalam kitabnya Ahkam al-Jan, jin dan syaitan suka mendiami tempat-tempat kotor, seperti najis binatang, sampah sarap dan sebagainya. Mereka juga tinggal di air, di udara, di tanah perkuburan, di padang pasir, di gunung, di hutan rimba dan juga pohon-pohon. Justeru, orang Melayu yang terserempak dengan makhluk ini menamakannya bersempena lokasi ianya ditemui. Timbullah istilah hantu kubur, jembalang tanah, hantu air dan hantu laut.
Dari segi fizikal, ada jin yang kerdil dan kecil maka digelar toyol, yang bertelanjang tanpa pakaian maka digelar hantu kopek, yang berbungkus kain kapan digelar hantu bungkus, yang tinggi digelar hantu galah atau hantu tinggi, yang berkulit hitam digelar orang minyak, yang terbang mengilai digelar langsuir, yang melompat-lompat digelar hantu pocong, yang menyerupai belalang digelar pelesit dan yang menyerupai manusia digelar orang bunian. Maka, dapat disimpulkan bahawa makhluk-makhluk ghaib yang dikenali sebagai hantu dalam masyarakat Melayu ini adalah makhluk jin yang menjelma dalam pelbagai rupa dan bentuk.
Kisah Nabi Sulaiman, Ifrit, Balqis dan Seorang Ilmuan tentang Al-Kitab
Untuk mengenali sifat dan sikap makhluk-makhluk ghaib khususnya yang digelar hantu raya dan orang bunian ini, maka dialog antara Nabi Sulaiman a.s. dan menteri-menterinya dalam surah An Naml ayat 38-39 boleh dijadikan sandaran. Firman Allah SWT:
Sulaiman berkata: “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya (Balqis) sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkata ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah. Berkata seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab: “Aku akan datangkan singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkelip.” Maka setelah dilihatnya singgahsana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: “Ini adalah kurnia Tuhanku untuk menguji aku apakah aku bersyukur atau mengingkari.” Dan barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, Lagi Maha Mulia.

Dalam ayat ini, terdapat beberapa watak makhluk yang memiliki kebolehan dan kedudukan yang istimewa. Antaranya ialah Ifrit, Balqis dan seorang lelaki yang mempunyai ilmu dari Al-Kitab.

Ifrit Segagah-gagah dan sejahat-jahat Jin
Berdasarkan ayat di atas, dapat kita ketahui bahawa Ifrit adalah salah satu bangsa jin yang gagah, kuat dan perkasa. Menurut Ibnu Ajibah dalam tafsirnya Al-Bahr al-Madid, nama ifrit tersebut ialah Zakuan atau Sakhra’. Ia mendakwa mampu untuk membawa singgahsana Balqis yang diperbuat daripada emas padu bertatahkan manikam, zamrud, zabarzad dan mutiara dari negeri Saba ke Palestin dalam masa yang singkat. Selain terkenal dengan kekuatannya, ifrit juga masyhur sebagai makhluk yang sangat banyak tipu helah dan suka memperbodohkan manusia. Menurut ahli tafsir, oleh kerana ifrit bimbang Nabi Sulaiman tidak mempercayainya, maka ia terpaksa menegaskan kesungguhannya itu dengan berkata: “sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.

Ifrit merupakan rakan kongsi utama syaitan dan ia menaruh dendam yang amat mendalam terhadap manusia. Ia akan melakukan pelbagai usaha untuk merosakkan manusia termasuk kepada para nabi-nabi. Ada riwayat mengatakan bahawa salah seekor ifrit yang bernama Sokhel pernah menjelma dalam rupa Nabi Sulaiman bagi memperdayakan penyimpan cincin hikmat Nabi Sulaiman. Akibat kehilangan cincin tersebut, Sokhel telah berjaya mengambil alih pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman selama 40 hari. Nabi Muhammad SAW juga pernah didatangi oleh ifrit untuk menggoda Baginda supaya terputus daripada mengerjakan sembahyang. Begitulah kejahatan dan kedengkian makhluk ini terhadap manusia. Namun, disebalik keburukan sifat ifrit ini, masih terdapat sebilangan manusia yang sanggup mengambil makhluk yang jahat ini sebagai sahabat atau pendamping mereka.
Dalam masyarakat Melayu, ifrit yang dijadikan sahabat ini dikenali sebagai hantu raya. Sebagaimana kebolehan ifrit di zaman Nabi Sulaiman, maka ifrit atau hantu raya yang dibela ini juga boleh menjelma menyerupai tuannya, boleh disuruh menjaga harta tuannya, boleh mengambil sesuatu jauh dengan cepat, boleh digunakan untuk menggerunkan musuh dan lain-lain. Manusia yang menggunakan khidmat ifrit kebanyakannya akan menghadapi masalah di akhir hayat mereka. Pelbagai gangguan dan penyakit akan ditimpakan ke atasnya. Apabila tuannya meninggal, ifrit ini akan mencari tuan baru dari kalangan anak cucu tuannya. Inilah yang dikenali sebagai saka. Begitulah cara ifrit melakukan tipudaya untuk menyesatkan keturunan Nabi Adam. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah dalam surah Al’A’raf ayat 16-17: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan menghalangi mereka (keturunan Adam) semua dari jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.
Oleh kerana itu, para ulama melarang keras umat Islam dari bersahabat dengan makhluk jin kerana ia tidak memberi sebarang manafaat. Syeikh Abdul Wahab As-Sya’rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir: “Barangsiapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama, maka orang itu sangat jahil.  Ini kerana menjadi tabiat jin untuk melampau-lampau dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana tabiat orang fasik.  Maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin sepertimana dia perlu mengelak dari bersahabat dan bersekutu dengan manusia yang fasik.”
Balqis adalah dari keturunan manusia dan jin
Dalam ayat tersebut dinyatakan juga tentang singgahsana milik seorang ratu yang bernama Balqis. Siapakah Balqis dan apakah keistimewaan Balqis? Menurut Ibnu Kathir dan Al-Qurtubi dalam tafsir mereka, Balqis adalah anak yang terhasil dari perkahwinan pembesar kerajaan Yaman yang bernama Syarahil dengan wanita dari bangsa jin bernama Raihanah As-Sakan. Ibu Balqis ini mempunyai rupa dan tubuh yang sama seperti manusia. Cuma yang berbeza ialah beliau hanya boleh dilihat oleh suaminya sahaja. Isu perkahwinan antara jin dan manusia ini turut dibahaskan oleh para ulama. Ada yang mengatakan ianya boleh terjadi dan ada yang mengatakannya mustahil. Namun yang pasti, majoriti ulama melarang manusia dari mengahwini bangsa jin.

Bangsa jin yang berkahwin dengan manusia ini biasanya mempunyai kehidupan seperti manusia, mempunyai kampung halaman, bandar dan struktur pentadbiran. Ada juga antara mereka yang suka berpindah randah. Hal ini menyamai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Thalabah al Khisyni r.a. dimana Rasulullah SAW bersabda: “Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.”

Dalam masyarakat Melayu, bangsa jin yang mempunyai bentuk seperti manusia ini dikenali sebagai orang bunian. Dalam kamus Dewan, orang bunian membawa maksud orang halus. Secara ringkas, orang bunian ialah makhluk jin yang mempunyai rupa bentuk seperti manusia tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kewujudan orang bunian bukan sahaja terdapat dalam masyarakat Melayu di Malaysia, tetapi juga di serata dunia dengan nama yang berbeza. Di sebelah negara Arab, orang bunian dikenali dengan nama Rijalul Ghaib yang membawa makna yang sama iaitu ‘orang yang ghaib’. Dalam kitab Syarah At-Thohawiyyah fi al-Aqidah as-Salafiyyah, juz 3, halaman 247, dinyatakan bahawa rijalul ghaib itu adalah bangsa jin. Dalam kitab Majmu’ fatawa, juz 2 halaman 62, Ibnu Taimiyyah menyebutkan bahawasanya rijalul ghaib adalah bangsa jin yang menyerupai manusia.
Orang bunian ini boleh dikenali dengan beberapa ciri. Antaranya ialah dari aspek pemakaian, orang bunian gemar memakai pakaian yang mempunyai satu warna sahaja. Baju, seluar, kain, tudung atau serban semuanya mempunyai warna yang sama. Mereka juga sukakan bilik yang keseluruhannya dihiasi dengan fabrik berwarna kuning atau putih atau hitam sahaja. Orang bunian juga sangat bersopan dan lemah lembut dalam berurusan tetapi amat mudah berkecil hati. Mereka juga mudah menjadi agresif jika permintaannya tidak ditunaikan.

Orang bunian ini tidak boleh terbang dan menjelma dalam bentuk lain. Mereka hidup seperti manusia dengan berjalan kaki atau berkenderaan. Adakalanya mereka menumpang kenderaan manusia, malah dikatakan turut menunaikan haji dengan menaiki kapal sama seperti manusia. Guru saya iaitu Dr. Haji Jahid Sidek Al-Khalidi pernah menceritakan satu kisah benar yang berlaku sekitar tahun 70an. Ada seorang hamba Allah yang berasal dari Kedah pergi menunaikan haji dengan menggunakan kapal laut. Dalam perjalanan pulang, beliau berkenalan dengan seorang jemaah yang berasal dari Muar. Setelah sampai di Malaysia, beliau berhasrat menziarahi kenalannya ini. Apabila tiba di Muar, beliau meminta pemandu teksi menghantarnya ke alamat kenalannya itu. Pemandu teksi berasa pelik kerana tiada kampung di kawasan yang hendak dituju itu. Apabila sampai, tiada tanda wujudnya penempatan di situ. Beliau gagahi juga berjalan masuk ke dalam semak. Tiba-tiba, beliau menemui kampung dan rumah kenalannya. Kenalannya itu menjemput beliau masuk, tetapi ditolak beliau kerana lebih suka duduk ditangga bagi mengambil angin. Tersinggung dengan penolakan itu, salah seorang ahli keluarga kenalannya itu menolak beliau ke bawah. Sebaik terjatuh ke atas tanah, beliau dapati rumah dan kampung tersebut sudah ghaib dan sekelilingnya adalah semak dan belukar.

Walaupun banyak diceritakan tentang keindahan alam bunian dan kebaikan mereka, umat Islam perlu mengelak sebarang hubungan dengan makhluk ghaib ini. Dibimbangi syaitan akan mengambil kesempatan atas kelalaian kita yang menyangka bersahabat dengan jin itu boleh membantu mendekatkan diri kita kepada Allah. Syeikh Muhyiddin Ibnu al-Arabi menegaskan perkara ini di dalam kitabnya al-Futuhat:  “Adapun orang yang bersahabat dengan jin itu tiada beroleh ilmu Allah, kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya. Dan terkadang orang yang bersahabat dengan jin itu menyangka bahawa segala perkara (ghaib) yang dikhabarkan oleh jin itu itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka sangkaannya itu adalah batil”.

Lelaki Yang Memiliki Ilmu dari Al-Kitab
Watak ketiga yang dinyatakan dalam ayat 40 surah An-Naml itu ialah seorang lelaki yang dikurniakan Allah suatu ilmu dari al-Kitab. Terdapat berbagai-bagai riwayat tentang lelaki ini. Ada yang mengatakan bahawa lelaki itu ialah Jibril, Nabi Khidir dan ada yang mengatakan beliau ialah Nabi Sulaiman a.s. itu sendiri. Namun, pendapat yang paling masyhur ialah beliau adalah Asif b. Burkhiya, salah seorang menteri kepada Nabi Sulaiman. Dengan keimanan yang mantap dan kefahaman tentang rahsia-rahsia dari Kitab yang diturunkan, beliau mampu mengatasi keupayaan ifrit tadi. Ibnu Ajibah meriwayatkan bahawa Asif telah berkata kepada Nabi Sulaiman: “Lemparkanlah pandanganmu sejauh mana engkau mampu”. Maka Nabi Sulaiman pun memandang ke arah Yaman. Maka Asif pun berdoa dengan nama-nama Allah Yang Maha Besar iaitu Ya Hayyu Ya Qayyum. Dengan izin Allah, singgahsana Balqis muncul di hadapan Nabi Sulaiman.

Peristiwa luarbiasa ini sebenarnya memberi pengajaran kepada kita terutamanya perawat-perawat Islam tentang akhlak sebenar seorang manusia yang benar-benar beriman kepada Allah. Apabila hajat Baginda a.s. supaya singgahsana tersebut dibawa ke hadapannya termakbul, Baginda terus melafaz kesyukuran dengan mengatakan bahawa apa yang berlaku adalah kurniaan dan ihsan Allah ke atas baginda, sedangkan Baginda tidak punya kuasa untuk mengadakannya. Baginya, kehebatan dan keajaiban ini adalah ujian untuk Baginda. Disebabkan itulah, maka Nabi Sulaiman dipuji oleh Allah dalam surah Shad ayat 30 sebagai sebaik-baik hamba.

Daripada kisah ini, dapat kita simpulkan bahawa segagah-gagah dan sejahat-jahat jin tidak akan mampu menandingi manusia yang mempunyai keimanan dan tawakal yang tinggi kepada Allah. Kemampuan mengalahkan makhluk tersebut merupakan kurniaan dan rahmat dari Allah semata-mata. Ianya juga adalah ujian kepada kita sama ada kita akan bersyukur atas pertolongan tersebut atau kita mendabik dada dengan mengatakan bahawa kita ada power untuk menundukkan ifrit tersebut.

Di kesempatan bulan Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari lagi ini, sama-samalah kita membetulkan tauhid dengan meninggalkan terus perkara-perkara yang membawa kepada kesesatan seperti bersahabat atau berkawan dengan makhluk ghaib terutama ifrit dan hantu raya. Biarlah kita menyambut hari raya tanpa hantu raya. Itu lebih baik dan lebih menepati fitrah kita sebagai manusia yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi. Mudah-mudahan dengan cara ini, Allah akan mengurniakan taqwa dan tawakal sebagai bekal menghadapi godaan syaitan yang akan kembali menjalankan misinya setelah hampir sebulan dipenjarakan. Amin.