BATU
DIGORENG, PENCURI KEPANASAN
RENCANA MAJALAH AL-ISLAM FEBRUARI 2013
Suatu masa, tangan saya pernah terseliuh. Apabila dibawa berjumpa seorang bomoh patah,
dia hanya mengukur lengan saya dengan sebatang lidi kelapa dan menyuruh saya
pulang. Dia berpesan, jika terasa sesuatu mengurut lengan saya pada
malam nanti, itu adalah sebahagian
proses rawatan. Pada waktu itu, saya
baru berusia 15 tahun dan belum memahami kaedah rawatan yang digunakan. Namun,
lama-kelamaan baru saya sedar tentang kaedah rawatan jarak jauh.
Hari ini,
muncul pelbagai kaedah rawatan jarak jauh. Hanya bank-in duit, SMSkan nama,
nombor telefon, hajat anda akan diusahakan. Jika para pembaca google perkataan
‘rawatan jarak jauh’, berlambak-lambak perkhidmatan sebegini ditawarkan melalui
internet. Bukan sahaja orang Melayu, bangsa lain termasuk orang barat yang
bukan beragama Islam juga mengamalkan kaedah ini.
Bila ada yang
menelefon saya minta dirawat atau didiagnos dari jarak jauh, maka saya rasa
terpanggil untuk menghuraikan permasalahan ini. Mudah-mudahan kita semua
dilindung oleh Allah dari melakukan perbuatan yang menyalahi syariat Allah SWT
dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
DIAGNOS
PENYAKIT DARI JARAK JAUH
Bagi mereka
yang sukar bertemu perawat, perkhidmatan diagnos (atau lebih popular dengan
istilah scan) dari jauh disediakan. Pesakit tidak perlu hadir bertemu
perawat. Memadai hanya melalui telefon atau SMS nama pesakit, nama ibu dan
tarikh lahir. Segalanya dilakukan secara on-line. Perawat akan meneliti nama
pesakit dan angka-angka yang diberi untuk menentukan jenis dan punca penyakit. Kaedah
diagnos sebegini merupakan sebahagian amalan menilik yang dilarang dalam Islam.
Kaedah ini sama sahaja dengan apa yang dilakukan pada zaman jahiliyyah di mana dukun
dan pawang hanya memerlukan nama pesakit dan nama ibunya serta tarikh lahir
untuk ditilik. Nabi SAW melarang perbuatan ini dengan sabdanya: “Barangsiapa
yang datang berjumpa bomoh dan tukang tilik, segala amal ibadah solatnya tidak
akan diterima selama 40 malam”.
Seseorang yang
mempunyai kebolehan menilik sebenarnya dikurniakan kasyaf. Kasyaf ialah suatu
keadaan seseorang itu dibukakan hijab pandangan matanya sehingga dapat melihat
sesuatu yang ghaib, yang tiada di hadapannya. Walau bagaimanapun, kita perlu
ingat bahawa kasyaf ini boleh jadi kurniaan dari Allah dan boleh jadi dari tipu
daya syaitan. Cara paling mudah untuk membezakannya ialah dengan melihat
kekerapan kejadiannya. Kasyaf yang dikurniakan Allah hanya berlaku sekali
sekala dan tidak boleh ditentukan. Ianya datang secara mengejut dan tidak boleh
diprogramkan.
Sebagai contoh,
Saidina Umar sendiri pernah dikurniakan kasyaf, dibukakan hijab pandangan
sehingga dapat melihat pasukan tentera Islam yang diketuai sahabat bernama Sariyah
dalam bahaya. Saat tersebut berlaku ketika Umar sedang menyampaikan khutbah di
Madinah sedangkan Sariyah dan tenteranya berada di Dakhistan yang jaraknya beratus
kilometer dari ibu kota tersebut. Perkara itu berlaku hanya sekali sahaja dan
tanpa diprogramkan oleh Umar. Manakala pada malam beliau dibunuh, orang yang
menikamnya iaitu Abu Lu’luah hanya berada beberapa kaki di belakangnya sahaja. Sekiranya
kasyaf itu boleh diprogramkan, maka sudah tentu Umar dapat melihat tindakan Abu
Lu’luah itu. Oleh sebab itu, para ulama mengatakan bahawa terbukanya hijab
sehingga dapat melihat perkara-perkara ghaib merupakan sebahagian karamah. Ianya
terjadi mengikut kehendak Allah dan tidak boleh diatur mengikut kehendak kita.
Kasyaf syaitan dan jin pula boleh diatur mengikut
kehendak kita. Sebab itu, orang yang mendakwa boleh melakukan tilikan atau
melihat sesuatu yang ghaib, maka mereka perlu berhati-hati kerana kemungkinan iaya
adalah tipu daya syaitan. Ia bukanlah deria keenam atau kebolehan istimewa. Ketika
Nabi Muhammad SAW disihir oleh Labid al-A’sam, baginda sendiri tidak menyedari
bahawa baginda disihir sehingga dimaklumkan oleh para malaikat. Sekiranya Nabi
SAW dan para sahabat boleh mengetahui perkara ghaib melalui tilikan, maka sudah
tentu Nabi SAW dapat mengelakkanya. Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat
188: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat
bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah;
dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan
mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan
(tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh
Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita
gembira bagi orang-orang yang beriman.”
RAWATAN JARAK JAUH
Selain scan, ada juga perawat yang menyediakan
perkhidmatan merawat penyakit dari jarak jauh. Antara yang paling popular ialah
membuang saka dari jarak jauh atau menghapus sihir dengan mengambil barang
sihir dari jauh. Pesakit hanya perlu berada di rumah dan melakukan beberapa
perkara seperti yang diarahkan perawat. Sesetengah perawat meminta pesakit
membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran ketika rawatan untuk menampakkan
ciri Islamik.
Sekiranya
diteliti kisah Nabi SAW disihir oleh Labid al-A’sam, baginda sendiri
memerintahkan para sahabat agar pergi ke telaga Za’rawan dan menyuruh mereka
meleraikan ikatan sihir tersebut. Tidak ada riwayat mengatakan nabi menyuruh
mana-mana malaikat mengambilnya secara ghaib. Kisah ini memberi panduan kepada
para perawat akan selok-belok perubatan Islam yang sebenar.
Ada juga perawat
yang menyediakan khidmat ‘memulangkan semula’ sihir kepada pembuatnya. Mereka menggunakan
objek tertentu seperti keris, serban, sejadah dan seumpamanya untuk menghukum diri
penyihir yang melakukan sihir terhadap pesakitnya. Beberapa potong ayat
al-Quran dibaca dan dihembus kepada objek tersebut. Serban atau sejadah ini
dipukulkan pada tubuh pesakit dengan niat memindahkan kesakitan pukulan kepada
penyihir. Dengan kaedah ini, mereka yakin penyihir akan merasa sakit terkena
pukulan atau tikaman.
Dalam hadis tentang
kisah Nabi SAW disihir oleh Labid al-A’sam, Aisyah bertanya kepada baginda mengapa
bahan-bahan sihir yang ditemui dalam telaga Za’rawan tidak dibakar,
mudah-mudahan si penyihir tersebut merasai kesakitan. Jawab Nabi SAW: “Allah telah menyembuhkan aku. Aku tidak
suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain”. Itulah
uswah contoh terbaik yang perlu diteladani oleh para perawat Islam. Tidak perlu
membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan.
MENGHUKUM DAN
MEMUKUL DARI JARAK JAUH
Islam juga
melarang para perawat menghukum seseorang yang melakukan kejahatan dengan
menggunakan kaedah yang tiada dalam sunnah. Sebagai contoh, dalam kes kecurian,
ada pengamal yang mensyaratkan mangsa merebus telur yang telah dilukiskan wajah
pencuri. Menurut pengamal ini, selagi mangsa tidak memulangkan barang tersebut,
selagi itu dia akan berasa panas. Selain telur, ada juga pengamal yang
mensyaratkan mangsa supaya menggoreng batu sambil membaca ayat ke 16 surah
Luqman sebanyak 116 kali. Memang ada ulama yang memberi panduan agar membaca
ayat tersebut, mudah-mudahan Allah mengembalikan semula barang tersebut. Yang
menjadi khurafatnya ialah apabila ayat tersebut mesti dibaca sambil menggoreng
batu dengan niat pencuri tersebut akan kepanasan. Kaedah menggoreng adalah
amalan yang diajar oleh pawang dan bomoh. Contoh amalan sedemikian merupakan
percampuran antara kaedah perubatan Islam dan amalan-amalan khurafat.
Ilmu pertahanan
diri turut diresapi penggunaan unsur ghaib dan mistik seperti jurus kebatinan.
Di Malaysia, pertubuhan seperti persaudaraan al-Maunah, Nasrul haq, penjuru 13
dan seumpamanya mengajar pengamalnya teknik pukulan dan jurus jarak jauh. Ada
pengamalnya yang mendakwa bahawa ianya pernah digunakan oleh para sahabat. Lalu
dinamakan jurus Saidina Umar dan Silat Saidina Ali. Agak melucukan kerana para
sahabat tidak pernah mengasaskan mana-mana persilatan. Apabila pergi berperang,
para sahabat akan berdepan secara bersemuka dengan musuh, bukannya menggunakan
jurus sebagaimana yang didakwa. Mereka meminta Nabi SAW mendoakan agar mereka
beroleh syahid. Jadi, tidak mungkin ada antara mereka yang menggunakan jurus
dari jarak jauh untuk berperang dengan tentera musuh.
MENGAMBIL
BARANG GHAIB DARI JARAK JAUH
Masyarakat
Islam di Malaysia turut digembar-gemburkan dengan kebolehan perawat mengambil
barang dari jauh, atau barang dari alam ghaib, atau menarik duit dan harta
karun. Perkara ini juga merupakan sebahagian dari tipu daya syaitan terhadap
manusia. Sebenarnya, kebolehan mengambil batu permata dari perut bumi, mutiara
dari lautan, objek-objek tertentu seperti singgahsana, keris dan sebagainya
merupakan salah satu kebolehan yang dimiliki oleh para jin. Fakta ini sudah
dinyatakan secara jelas dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. khususnya dalam ayat 12
surah Saba. Oleh itu, sekiranya ada perawat yang mempunyai kebolehan membawa
sesuatu dari alam ghaib atau sesuatu yang berada jauh dari kita, janganlah kita
merasa takjub dan hairan. Itu semua adalah tipu daya syaitan agar kita mempercayai
kehebatan perawat tanpa menyedari ia
didalangi syaitan.
ISLAM DAN
KAEDAH PERUBATAN JARAK JAUH
Islam telah
menyediakan panduan kepada penganutnya dalam soal halal dan haram. Sebagaimana
yang kita maklum, sumber pengambilan hukum syariat perlu berdasarkan sumber
utama yang disepakati iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Al-Ijma dan Al-Qiyas. Dalam
perubatan Islam, prinsip yang sama perlu diguna pakai. Segala kaedah dan bahan
yang digunakan perlu mempunyai sandaran nas-nas atau pendapat ulama. Hari ini,
ramai perawat yang memakai title ustaz, ustazah dan perawat Islam tetapi
masih menggunakan kaedah perubatan jahiliyyah. Sesetengah mangsa terpedaya
kerana mereka menggunakan ayat Al Quran.
Perbuatan
menemui perawat yang mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti punca penyakit
melalui ramalan, tilikan, imbasan (scan), ilham dan lain-lain unsur
mistik boleh menjerumuskan kita ke dalam tipu daya syaitan. Ini kerana
berita-berita ghaib yang disampaikan oleh mereka adalah bersumber dari syaitan
dan jin yang dijadikan khadam atau sahabat. Firman Allah Taala dalam surah
As-Syu’ara ayat 221-223: ”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah
syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta
yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh
syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”
Melalui
tilikan, perawat mendakwa pesakit terkena buatan orang, dimandrem,
terkena ilmu hitam, terkena guna-guna, santau angin dan sebagainya. Kepercayaan
kepada dakwaan sedemikian mengundang pelbagai kesan negatif dan ianya perlu dihindari.
Sebagai seorang Islam, kita wajar menyiasat dahulu adakah dakwaan sedemikian
benar. Perbuatan menuduh seseorang melakukan perbuatan mensyirikkan Allah
(iaitu sihir dan ilmu hitam) boleh menjejaskan akidah sekiranya tuduhan
tersebut tidak benar. Allah SWT telah mengingatkan kita akan bahaya mempercayai
berita, cerita, perkhabaran, telahan, ramalan atau tuduhan yang dilakukan oleh
orang fasik. FirmanNya dalam surah Al Hujurat ayat 6: ”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang
kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk
menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan
perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Assalamualaikum. saya mencari rawatan di sekitar Kelantan.sebelum ini saya ada terambil rokok dan makanan pemberian jiran, selepas itu saya terasa sakit dan banyak gangguan berlaku dibahagian dada,perut dan muka.
ReplyDeleteIni email saya : tubuhsatu@gmail.com
Semoga Allah membalas kebaikkan tuan dengan kebaikkan yang banyak.