Artikel Majalah Al-Islam Bulan Julai 2013
Oleh: Dr Mahyuddin Bin Ismail
Pada suatu hari, ketika
Atha’ b. Abi Rabah sedang mengiringi Ibnu Abbas r.a., mereka ternampak seorang
wanita berkulit hitam di sisi Kaabah. Lantas Ibnu Abbas berkata kepada Atha’:
“Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi
penghuni syurga?” Atha menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibnu Abbas lalu
berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya
aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah
kepada Allah agar aku sembuh”. Nabi saw bersabda: “Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu
akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia
menyembuhkanmu.” Lalu wanita itu berkata: “Aku (pilih untuk) bersabar”. Wanita
itu berkata lagi: “Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk),
maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah.” Maka Nabi berdoa
untuknya.” Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab shahihnya, juz
17, hlm. 389, hadis no. 5220.
Wanita yang
dimaksudkan dalam hadis di atas ialah Ummu Zufar. Beliau ditimpa penyakit
misteri iaitu kerasukan jin. Apabila dirasuk, beliau akan berkelakuan luar dari
kebiasaan sehingga auratnya terdedah. Beliau bertemu Rasulullah SAW untuk
memohon didoakan kesembuhan baginya. Maka Rasulullah SAW memberi dua pilihan;
sama ada beliau bersabar dan sebagai balasan, beliau akan masuk syurga; atau beliau
akan sembuh dengan berkat doa Baginda. Wanita itu memilih untuk bersabar dan
mohon Nabi SAW doakan agar auratnya tidak terdedah. Setiap kali beliau dirasuk,
beliau akan berada dalam keadaan bersujud dengan kedua tangannya memeluk tubuh.
Dengan cara demikian, auratnya tidak terdedah.
Hadis ini sangat
sesuai untuk dijadikan pedoman oleh sebahagian orang-orang Islam yang ditimpa
penyakit misteri dan kerasukan. Ada antara mereka yang telah menanggung
penyakit tersebut bertahun-tahun, malah ada yang berbelas dan berpuluh tahun. Walaupun
beratus perawat telah ditemui dan beratus jenis ubat telah ditelan, penyakit
tidak juga sembuh. Ada sebahagian dari mereka yang dapat bersabar. Tidak kurang
juga yang berkata: “Apa sahaja kaedah rawatan, bomoh ke, pawang ke, bomoh orang
asli ke, tok cha siam ke, aku tak kisah. Yang penting, aku sembuh”.
Jika diteliti
peristiwa yang berlaku kepada Ummu Zufar, secara tidak sedar, seseorang yang
mengalami gangguan misteri terutamanya kerasukan telah mendapat suatu jaminan
berupa syurga sekiranya dia bersabar. Bagi seseorang yang ditimpa gangguan
makhluk halus, memang agak sukar untuk menerima perkataan ‘sabar’. Seboleh-bolehnya
beliau ingin segera dirawat dan cepat sembuh. Mereka ibarat seorang yang sedang
lemas di lautan. Apa sahaja yang dapat dicapai, maka akan segera dipautnya
sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan diri. Kalau yang dicapai itu pelampung
keselamatan, Alhamdulillah, dia akan selamat. Tetapi, apa akan jadi kalau yang
dipautnya itu ialah seekor jerung atau buaya?
Manusia yang ditimpa musibah
ini boleh dibahagikan kepada 3 kategori:
·
Kategori 1
ialah kumpulan manusia yang apabila ditimpa musibah, maka mereka akan mengeluh
dan merasa susah hati, lalu mereka melakukan apa yang diharamkan Allah seperti
mendapatkan khidmat rawatan yang mengandungi unsur khurafat.
·
Kategori 2
pula ialah kumpulan manusia yang bersabar atas musibah, menahan lidah dari
mengeluh dan dapat menahan diri dari melakukan apa yang diharamkan Allah. Maka
mereka adalah golongan yang bersabar dan peluang untuk masuk ke syurga sangat
cerah.
·
Kategori 3
ialah kumpulan manusia yang bukan sahaja dapat bersabar, malah redha dan
bersyukur dengan setiap takdir Allah ke atas dirinya. Maka, orang ini bukan
sahaja mendapat pahala sabar, bahkan mendapat keredhaan Allah serta dilipat
gandakan ni’matnya di dalam syurga. Diriwayatkan dalam satu hadis Sahih bahawa
seseorang mukmin yang mempunyai sifat sabar dan redha akan mendapat kedudukan
yang tinggi di dalam syurga yang tidak dapat dicapai oleh orang lain. Kedudukan
tersebut dicapai bukan kerana banyak amal ibadahnya, tetapi disebabkan kesabaran
dan keredhaan atas musibah-musibah yang ditimpakan ke atasnya.
Nah! Sekarang
jelas betapa besarnya balasan yang Allah sediakan kepada insan-insan yang diuji
dengan derita kerasukan. Sememangnya bukan mudah untuk berhadapan dengan
musibah ini. Bagi mereka yang mengalami gangguan ini, maka mereka akan mengakui
betapa ia memerlukan kesabaran yang
tinggi. Sekira berjaya diharungi, maka beruntunglah. Namun, sekiranya
gagal, mereka bukan sahaja rugi di dunia, malah rugi di akhirat. Oleh yang demikian,
sebagai panduan kepada insan-insan yang berhadapan dengan musibah berbentuk
gangguan makluk halus ini, maka anda perlu memahami beberapa perkara:
2. Kerasukan juga adalah satu proses Allah menghapuskan dosa-dosa kita dan menyedarkan kita dari kelalaian. Mungkin ada ketikanya kita melakukan dosa tanpa sedar. Oleh itu, diutusnya jin dan syaitan yang merasuk kita agar kita insaf dan sedar atas kesalahan dan kelalaian kita. Sabda Nabi SAW: “Tidaklah suatu musibah menimpa seseorang Muslim, kecuali Allah menghapuskan dengan musibah itu akan dosanya walau sekadar duri yang menusuknya”. Oleh itu, sayugia anda melazimi solat sunat taubat dan sentiasa beristighfar.
3. Kerasukan merupakan jalan pintas ke syurga, tetapi dengan syarat kita sabar dan redha. Maka, sayugia kita melazimi diri dengan amalan zikir dan tafakur di dalam hati sanubari sehingga terbuka tabir-tabir rahsia kejadian itu. Apabila tersingkap tabir tersebut, maka barulah kita sedar bahawa apa sahaja yang Allah takdirkan kepada kita merupakan satu ni’mat dan pemberian yang mengandungi 1001 hikmah. Amalan zikir dan tafakur ini perlu dipelajari dari seorang guru yang mursyid, bukan diambil dari buku, CD atau internet.
Amat malang
kerana terdapat sebilangan pesakit yang mengalami gangguan misteri ini mensia-siakan
peluang keemasan ini. Mereka pergi mendapatkan rawatan dari perawat-perawat
yang menggunakan kaedah yang bertentangan dengan syariat seperti menilik jenis
dan punca penyakit, membedah secara batin, memakai tangkal pendinding, rawatan
jarak jauh, menggunakan pertolongan jin atau bunian dan pelbagai lagi. Sesungguhnya
kaedah-kaedah tersebut dilarang melalui hadis-hadis yang banyak diriwayatkan
dari Rasulullah SAW. Bahkan orang sebegini dibimbangi terkeluar dari golongan
umat Nabi Muhammad SAW.
Dari Ibnu Abbas r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Telah ditunjukkan kepadaku berbagai-bagai umat. Aku melihat ada seorang
Nabi dan bersamanya sekumpulan kecil manusia (antara 3 hingga 10 orang). Ada
pula Nabi yang bersamanya seorang atau dua pengikut sahaja, bahkan ada pula
Nabi yang langsung tidak mempunyai pengikut. Lalu diperlihatkan kepadaku satu kumpulan
manusia yang besar, lalu aku mengira bahawa mereka itulah umatku. Lalu
dikatakan padaku: "Ini adalah Musa dengan kaumnya. Tetapi sekarang lihatlah
ke ufuk sana”. Kemudian aku pun melihatnya, lalu kelihatan di situ suatu
gerombolan umat yang besar. Selanjutnya dikatakan pula kepadaku: "Sekarang
lihatlah ke ufuk sana pula." Kelihatan di situ suatu kelompok manusia yang
besar juga. Lalu dikatakan kepadaku: "Itulah umatmu dan beserta mereka itu
ada sejumlah 70,000 orang yang dapat memasuki syurga tanpa hisab dan tidak
terkena siksa." Kemudian Rasulullah s.a.w. bangun dan terus memasuki
rumahnya. Para sahabat yang hadir berbincang-bincang mengenai kumpulan manusia
yang memasuki syurga tanpa dihisab dan tanpa disiksa itu. Sebahagian dari
sahabat itu ada yang berkata: "Barangkali mereka itu ialah orang-orang
yang telah menjadi sahabat Rasulullah s.a.w." Sebahagian lagi pula berkata:
"Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang dilahirkan di zaman sudah
munculnya agama Islam, kemudian tidak pernah mempersekutukan sesuatu dengan
Allah." Dan pelbagai lagi andaian lain yang mereka kemukakan. Rasulullah
s.a.w. lalu keluar menemui mereka lalu bertanya: "Apakah yang kamu semua sedang
bincangkan itu?" Para sahabat memberitahukan hal itu kepada Baginda.
Selanjutnya Baginda s.a.w. bersabda: "Orang-orang yang memasuki syurga
tanpa hisab dan siksa itu ialah mereka yang tidak pernah menjampi, tidak minta
dijampi oleh orang lain (karena sangatnya bertawakkal kepada Allah), tidak
melakukan tilikan dan mereka yang bertawakkal kepada Tuhannya." 'Ukasyah bin
Mihsan al-Asadi, kemudian berkata: "(Ya Rasulullah), Doakanlah kepada
Allah supaya saya termasuk golongan mereka itu." Baginda s.a.w. lalu
bersabda: "Engkau termasuk golongan mereka." Selanjutnya ada pula
orang lain yang berdiri lalu berkata: "Doakanlah saya kepada Allah supaya
saya oleh Allah dijadikan termasuk golongan mereka itu pula." Kemudian Baginda
SAW bersabda: "Permohonan seperti itu telah didahului oleh 'Ukasyah."
(Muttafaq 'alaih).
Berdasarkan hadis di atas, maka
kita faham bahawa syarat utama untuk bergelar umat Nabi Muhammad SAW ialah
menjauhkan diri dari amalan syirik dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Memadailah
bagi seseorang yang mengalami kerasukan untuk terus bersabar dan melazimi lidah
dengan sebutan La Ilaha Illallah sebanyak-banyaknya. Dengan cara ini,
seseorang itu akan diberikan kekuatan oleh Allah dalam dirinya untuk menghadapi
gangguan tersebut. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Ibrahim
ayat ke 27: ”Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang
beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat...” Selain itu, sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat: ”Perbaharuilah
(teguhkanlah dan kuatkanlah) iman kamu dengan memperbanyak sebutan kalimah La
Ilaha Illallah.” Selain menguatkan iman kita, kalimah ini juga berupaya
menjadi benteng terhadap serangan makhluk tersebut. Firman Allah SWT dalam
sebuah hadis Qudsi: ”Barangsiapa menyebut La Ilaha Illallah, nescaya dia
telah masuk ke dalam benteng Aku. Barang siapa yang masuk ke dalam benteng Aku,
maka akan selamat dari siksaan azabKu.”
No comments:
Post a Comment