::HALAMAN::

Monday, February 2, 2015

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN TUAN




HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN TUAN
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
 
Sepanjang 11 tahun terlibat dalam bidang pengubatan Islam, boleh dikatakan hampir 60-70% pesakit yang saya temui ada membuat pagar pendinding, sama ada di rumah mahupun di premis perniagaan. Ada yang menanam tahi besi, jarum, paku, batang kayu, bertih, jagung di empat penjuru, ada yang menabur beras kunyit di keliling rumah, ada yang menanam telur angsa yang dicucuk paku ke dalam pasu, ada yang menggantung lada kering dan kuda laut di muka pintu, ada yang meletak duit 1 sen diatas alang pintu, ada yang mengikat kain atau benang tiga warna di setiap tingkap dan pelbagai lagi cara dan bahan. Apabila ditanya tujuan berbuat demikian, mereka menyatakan bahawa ianya adalah salah satu ikhtiar untuk menghalang kemasukan jin, syaitan, hantu, iblis dan lain-lain makhlus halus yang sewaktu dengannya. Ia juga didakwa mampu menghalang perbuatan khianat oleh orang-orang yang dengki kepada mereka.

Tetapi, tahukah para pembaca bahawa antara punca gangguan misteri yang dialami ialah akibat perbuatan memagar rumah dan premis dengan cara yang bertentangan dengan apa yang diajarkan dalam Islam. Berdasarkan pengalaman, ada sebahagian pesakit mengadu bahawa penyakitnya makin bertambah berat setelah rumah mereka dipagar. Ada juga yang memberitahu terdapat kelibat lembaga di dalam rumah. Ada juga isi rumah yang sentiasa bergaduh apabila berada di rumah, katanya rumah terasa panas. Jika sembuh, mungkin ianya sementara. Musibah yang datang selepas itu lebih berat dari yang sebelumnya.

Siapa yang menjadi penjaga rumah anda?
Apabila kediaman atau premis anda dipagar, anda perlu menjawab satu soalan mudah. Siapakah sebenarnya yang menjaga rumah anda itu? Ada responden yang mendakwa bahawa rumahnya dijaga oleh malaikat. Buktinya, kepingan besi yang dipaku ditiang seri rumahnya tertulis nama empat malaikat iaitu Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail. Benarkah dakwaan dan kepercayaan itu?

Allah telah menegaskan bahawa malaikat hanya takut kepadaNya dan hanya patuh kepada perintahNya sebagaimana dalam surah An-Nahl ayat 49-50:
Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada  di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat, sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadah dan sujud kepadaNya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan olehNya.

Kedatangan malaikat yang membawa rahmat tidak perlu dengan cara membuat pagar atau pendinding yang tidak diajar dalam Islam. Cukup dengan cara kita mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah dan zikir, pasti akan mengundang kedatangan para malaikat rahmat. Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit.

Adakah Jin Islam menjaga rumah anda?
Ada juga yang mendakwa bahawa penjaga rumahnya adalah jin Islam dan juga rijalul ghaib. Memang tidak dinafikan bahawa ada sebahagian rumah yang menjadi kediaman jin berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Ubaid: "Pada setiap rumah kaum muslimin ada jin Islam yang tinggal di atapnya. Setiap kali makanan diletakkan, maka mereka turun dan makan bersama penghuni rumah."

Namun begitu, itu bukanlah perkara yang  dituntut. Bahkan, jika ada jin yang mendiami rumah kita, maka Rasulullah SAW perintahkan agar kita minta mereka keluar dari rumah. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
”Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang  Islam. Sekiranya kamu melihat mereka (di rumah kamu), maka berilah amaran selama 3 hari. Sekiranya dia masih berada selepas ini (selepas tiga hari), bunuhlah dia kerana itu adalah syaitan.”

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah memberi panduan kepada kita agar memberi amaran kepada kepada jin yang datang ke rumah kita supaya keluar, walaupun jin itu jin Islam. Mereka boleh melihat kita sedangkan kita tidak boleh melihat mereka. Kita tidak tahu apakah yang mereka lakukan dalam kediaman kita. Yang lebih membimbangkan ialah sekiranya jin tersebut jin kafir yang jahat. Justeru, perbuatan memagar rumah dengan meletak makhluk halus atas nama khadam atau penjaga rumah berlawanan dengan apa yang Nabi SAW tunjukkan.

Pandangan Islam Terhadap Amalan Memagar Rumah
Perbuatan memagar rumah atau membuat pendinding dengan menanam, menampal atau menggantung sesuatu seperti azimat, tangkal dan wafaq di dalam premis dengan kepercayaan bahawa ianya akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Terdapat dalil yang jelas berkenaan larangan ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhaniyy:
Rasulullah SAW telah didatangi oleh sepuluh orang lelaki. Maka Rasulullah SAW membai’ahkan sembilan dari mereka manakala seorang lagi ditahan. Mereka bertanya: ”Wahai Rasulullah, Tuan membai’ahkan sembilan dan menahan seorang?” Jawab Baginda  SAW: ”Ada tangkal pada lelaki itu.” Lelaki itu lantas memotong tangkalnya, maka dibai’ahkan dia oleh Rasulullah SAW seraya bersabda: Sesiapa yang mengantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah menyekutukan Allah.”

Perbuatan memagar rumah ini juga sebenarnya akan menyebabkan rumah dan kediaman kita lebih mudah untuk dimasuki oleh jin dan syaitan yang jahat. Fakta ini boleh disimpulkan berdasarkan kisah Rasulullah SAW yang ternampak gelang tembaga yang di pakai seorang lelaki di lengannya. Lelaki itu mendakwa ianya tangkal untuk menguatkan tubuh. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada tubuhmu. Maka sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya”.

Justeru, perbuatan memagar rumah dengan cara yang bertentangan dengan Islam akan menyebabkan rumah kita semakin terdedah kepada ancaman jin dan syaitan.

Cara Memagar Rumah Menurut Islam
Sudah tentu kita akan berasa risau dan bimbang apabila mendapati terdapat gangguan dalam premis atau kediaman kita. Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kepada kita beberapa kaedah yang mudah dan berkesan.

Pertama, pastikan rumah kita bersih dari segala perkara khurafat dan syirik yang menghalang kedatangan malaikat rahmat. Perbuatan menggantung tangkal, azimat, wafaq, gambar atau patung yang dipuja merupakan perbuatan syirik. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.”

Kedua, kita perlu pastikan kediaman kita bersih dari patung-patung hiasan dan juga anjing. Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada kedua-dua perkara ini. Sabda Nabi SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu: “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.”

Sebahagian ulama mentafsirkan perkataan anjing dalam hadis di atas merujuk kepada syaitan dan jin yang jahat. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Thalabah al Khisyni r.a.: “Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.” Perlu diketahui bahawa tangkal dan azimat serta pagar pendinding merupakan kediaman dan tumpuan jin. Selain itu, jin juga suka mendiami barang-barang pusaka yang ditinggalkan oleh seseorang yang diketahui mempunyai amalan khurafat seperti senjata atau barang perhiasan lama. Sekiranya kita mahu malaikat datang membawa rahmat ke dalam kediaman kita, maka kita perlu memastikan barang-barang yang menjadi sarang dan tempat tinggal jin itu dimusnahkan.

Ketiga, laungkan azan di premis atau kediaman kita. Melaungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru atau mana-mana premis bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Menurut satu hadis Rasulullah s.a.w., sesebuah premis atau rumah yang ditinggalkan kosong tanpa penghuni akan dimasuki sejenis jin yang bernama al-’Ammar.

Apabila dilaungkan azan, syaitan yang berada di sekeliling kita akan melarikan diri. Imam al-Bukhari meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda: ”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali.” Imam Muslim dalam sahihnya: Dari Abu Sufyan dari Jabir beliau berkata aku mendengar Nabi SAW bersabda Sesungguhnya syaitan ketika ia mendengar seruan azan, ia lari hingga sampai ke Rauha.” Berkata Sulaiman, maka aku bertanya tentang Rauha. Maka ia menjawab ia adalah satu tempat yang terletak kira-kira 36 batu dari Madinah." Disarankan agar azan dilaungkan sebanyak 7 kali.

Yang keempat, bacalah al-Quran di rumah khususnya surah al-Baqarah. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah.” Selain surah al-Baqarah, surah lain yang disarankan untuk dibaca ialah surah Yasin, ayat al-Kursi, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas.

Yang kelima ialah memperbanyakkan solat dan ibadah-ibadah sunat di rumah. Imam al-Baihaqi meriwayatkan satu hadis dari Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran.”

Justeru, berhati-hatilah apabila meminta seseorang membuat pagar pendinding rumah. Adakalanya kita berharap pada pagar untuk melindungi kita, padahal pagar itulah yang makan tuan. Yang terbaik, berharap kepada Allah dengan mengikuti apa yang telah diajar oleh RasulNya, pasti kita akan selamat.

KASIH YANG BAWA KE NERAKA









KASIH YANG MEMBAWA KE NERAKA
Dr. Mahyuddin Ismail
Kisah 1
Hajar telah bertemu dengan seorang bomoh untuk mengadu perihal suaminya yang dikatakan lebih sayangkan isteri muda berbanding dirinya. Bomoh tersebut minta kuku jari manis Hajar dan seutas tali ikat lembu. Kedua-dua bahan ini dijampi dan dimasukkan ke dalam sebotol air mineral. Air itu telah Hajar beri minum kepada suaminya secara diam-diam. Ternyata jampi bomoh itu mujarab dan suami mula ikut cakap Hajar. Hajar puas hati kerana suaminya lebih sayang kepadanya berbanding isteri mudanya. Suaminya akan ikut sahaja cakapnya ibarat lembu yang dicucuk hidungnya.
Kisah 2
Sarah akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Neneknya menyatakan bahawa jika Sarah mahu suaminya sentiasa sayangkannya, maka Sarah perlu belajar ’ilmu syarat tubuh’ darinya. Sarah belajar ilmu tersebut dan ternyata setelah hampir 7 tahun berkahwin, suami Sarah mengakui bahawa keadaan fizikal Sarah masih seperti anak dara. Sarah berasa bangga. Suami dan rakan sekerjanya sering memuji Sarah yang dikatakan sangat pandai jaga badan.
Kisah 3
Fauziah sering didera oleh suaminya. Saban hari beliau dicaci, dimaki, ditumbuk, ditampar dan diterajang. Tidak tahan dengan sikap baran suaminya, Fauziah pergi bertemu bomoh. Bomoh memberikan Fauziah satu tangkal yang diperbuat daripada kulit harimau. Sejak itu, suami Fauziah menjadi takut apabila berdepan Fauziah, seolah-olah dia berdepan dengan harimau. Fauziah mula berasa tenang dan aman kerana suaminya melayannya dengan penuh adab dan sopan.
Kisah 4
Mariah seorang guru kaunselor. Dia selalu berasa bimbang suaminya akan berkahwin lain. Dia pergi bertemu bomoh orang asli untuk membeli minyak cenuai yang berharga ribuan ringgit. Minyak itu disapu pada kening dan dagu terutama apabila bulan mengambang. Sehingga kini, suami Mariah tidak pernah berasa tertarik kepada wanita lain kerana baginya Mariah adalah wanita paling cantik. Mariah sudah tidak berasa bimbang.

Cerita-cerita di atas adalah kisah benar yang diceritakan oleh pesakit-pesakit yang mengalami gangguan misteri akibat amalan ilmu pengasih. Mereka kini sudah insaf dan bertaubat.
Ilmu pengasih ini terlalu banyak jenisnya. Ada yang menamakannya ilmu guna-guna, ilmu asmara, ilmu pegang jantung hati, ilmu panah arjuna dan lain-lain. Ilmu ini merupakan sebahagian dari amalan sihir yang juga dikenali sebagai sihir mahabbah. Dipanggil sihir kerana ia bertepatan dengan makna sihir itu sendiri iaitu menjadikan sesuatu itu kelihatan berlawanan dengan hakikatnya yang sebenar. Orang yang tak cantik kelihatan cantik, orang yang lemah kelihatan sangat hebat, orang yang tua dilihat seperti masih muda. Ilmu ini adalah termasuk at-tiwalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Masud dengan katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.” Maka orang ramai bertanya: Wahai bapa kepada Abdul Rahman! Jampi dan tangkal kami sudah tahu. Apa pula tiwalah itu? Jawab Abdullah: Sesuatu yang diperbuat oleh wanita-wanita supaya jatuh kasih suami kepadanya.”
KESAN ILMU PENGASIH
Mana-mana ilmu sihir adalah ilmu syaitan. Ilmu yang penuh dengan tipu daya. Pada permulaan, semua yang kita hajati kita akan dapat. Nak nampak muda, nak nampak cantik, nak nampak bergetah, semua dapat. Tetapi awas!!! Semua itu adalah perangkap syaitan. Dia tidak berkhidmat secara percuma, tetapi mesti dibayar. Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang akibat mengambil ilmu dan beramal dengan ilmu sihir melalui firmanNya dalam surah Al-Baqarah, ayat 102:
Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (ilmu sihir) yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.
Kita mungkin tertanya-tanya sejauh mana kesan buruk itu kepada manusia. Jika dilihat pada keempat-empat kisah di atas, tiada yang negatif, semua positif. Tiada mudarat. Ruamhtangga jadi aman dan bahagia. Tunggu! Sebenarnya, kisah itu belum habis lagi. Sekarang akan diceritakan kesudahan negatif yang telah ditanggung oleh keempat-empat wanita di atas.
Kesudahan Kisah 1: Hajar diganggu lembaga misteri
Hajar puas hati kerana suaminya lebih sayang kepadanya berabnding isteri mudanya. Suami tersebut seolah-olah lupakan terus madunya. Tidak lama selepas itu, Hajar mengalami kejadian-kejadian aneh yang menakutkan. Terkadang dia nampak lembaga hitam berbulu lebat dalam rumahnya. Tubuhnya mula gatal-gatal dan berkudis. Dia tidak dapat tidur lena kerana sering diganggu oleh bisikan. Menurut bomoh yang ditemui, dia sudah disantau oleh madunya yang marahkan dia. Tetapi, dia tidak percaya. Dia bertemu dengan pengamal pengubatan Islam. Setelah diselidiki, gangguan itu dipercayai berpunca dari amalan sihir yang dikenakan kepada suaminya. Hajar diminta supaya bertaubat dari amalan sihir telah dilakukan. Dia dan suaminya dirawat dan semakin sihat. Dia berasa lebih tenang untuk menerima ketentuan dari Allah SWT.
Kesudahan Kisah 2: Sarah diekori lembaga hodoh
Sarah rasa bangga kerana suaminya dan rakan sekerjanya sering memuji kecantikannya. Namun, baru-baru ini, Sarah mengadu yang dia nampak satu lembaga wanita berambut panjang berwajah hodoh di luar rumah. Dan lembaga itu sering mengekorinya. Apabila diselidiki oleh pengamal pengubatan Islam, disebalik kecantikan Sarah, suaminya terpaksa mengakui bahawa Sarah adalah seorang isteri yang panas baran dan suka marah tidak bertempat. Perkara kecil pun menjadi punca kepada perbalahan yang besar. Suaminya tidak dapat melawan dan kelu lidah, dia sering makan hati berulam jantung. Yang paling ketara, Sarah menjadi seorang yang mudah lupa sesuatu perkara walaupun usianya baru lewat 30an. Sarah diminta bertaubat dari kesyirikan yang dilakukan. Setelah dirawat, panas baran Sarah berkurangan.
Kisah 3: Suami Fauziah Menjadi Dungu
Fauziah berasa tenang dan aman. Hari-hari yang dilalui berbeza dari dahulu. Suaminya tidak akan melakukan sesuatu kecuali dengan kebenarannya. Contohnya, dia tidak akan makan nasi kecuali Fauziah benarkan. Apabila makan, dia hanya makan nasi tanpa mengambil lauk melainkan setelah di suruh Fauziah. Lama kelamaan, timbul rasa kasihan dan penyesalan dalam hati Fauziah kerana memperlakukan suaminya sedemikian. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat nasihat dari guru agama. Guru agama tersebut menasihati dia supaya bertaubat dan bertemu dengan pengamal pengubatan Islam untuk membuang amalan sihir tersebut. Dia bersetuju dan telah bertaubat. setelah diselidiki, rupa-rupanya sikap panas baran suaminya berpunca dari amalan ilmu persilatan kebatinan yang diamalkan. Dia dan suaminya dirawat. Dia berasa lega kerana terselamat tipu daya syaitan. Dia menyatakan bahawa dia lebih bimbangkan dirinya dipukul malaikat dalam kubur berbanding dipukul suami di atas dunia ini.
Kisah 4: Mariah disahkan mengidap barah buah dada
Mariah sudah tidak berasa bimbang. Dengan adanya minyak cenuai itu, sudah pasti suaminya tidak akan memandang wanita lain. Namun, kelegaan itu tidak berpanjangan. Baru-baru ini, dia telah diahkan menghidap barah payu dara tahap ke 4. Doktor menasihatkan agar dia menjalani kimoterapi. Dia berasa sangat takut. Dia tidak mahu mati dalam keadaan syirik. Dalam hatinya, dia rasa sangat berdosa kepada suami. Akhirnya, dia bertaubat dan mendapatkan rawatan dari pengamal pengubatan Islam. Setelah beberapa kali rawatan, penyakitnya beransur pulih.
Itulah gambaran kesan amalan sihir kepada pengamalnya. Mungkin ramai lagi di antara kita yang memandang remeh perkara ini. Kesan buruk amalan sihir adakalanya kelihatan dalam masa terdekat, dan adakalanya timbul selepas suatu tempoh yang panjang. Mudah cerita, usahlah kita menjerumuskan ke dalam lembah kebinasaan.
Kasih dan sayang tidak boleh dipaksa. Bukan kita yang menentukannya. Dan bukan kita yang boleh meletakkannya dalam hati seseorang. Ia adalah dalam kekuasaan Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Anfal ayat 63:
”Dan (Dia lah) yang menyatukan padukan di antara hati mereka (yag beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang adadi bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Musibah dan masalah yang kita alami adalah ujian dari Allah. Dia mahu menguji kita sama ada kita akan syukur atau kita akan kufur. Syaitan akan sentiasa menunjukkan jalan penyelesaian yang mudah untuk dicapai, tetapi dengan syarat tersembunyi iaitu kufur kepada Allah. Justeru, apabila berdepan krisis kasih sayang, janganlah dicari jalan kufur. Sebaliknya kembalilah kepada Allah SWT.

MATI PUCUK ANGKARA SIHIR




MATI PUCUK ANGKARA SIHIR
Dr Mahyuddin bin Ismail

Allah SWT telah berfirman dalam surah Al Baqarah, ayat 102:
”...Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka...”

Berdasarkan ayat di atas, antara perkara-perkara yang sering dilakukan oleh syaitan dan iblis ialah meretakkan hubungan suami isteri melalui pelbagai cara. Selain mengapi-apikan perasaan dan menimbulkan rasa cemburu atau curiga dalam hati pasangan, syaitan juga menjadi dalang dalam penggunaan ilmu sihir yang bertujuan untuk mengganggu hubungan kelamin antara suami dan isteri. Antara bentuk gangguan tersebut ialah hilang tenaga kelakian, mati pucuk dan lemah syahwat.

Menurut Doktor Mohamed Hatta Shaharom dalam bukunya Psikiatri: Perubatan, Undang-undang dan Masyarakat, penyakit mati pucuk atau impotens ditakrifkan sebagai kegagalan zakar mencapai ketegangan atau keadaan ereksi yang secukupnya untuk perhubungan seks yang memuaskan. Penyakit ini merupakan satu igauan buruk dan amat ditakuti oleh kaum lelaki, dan bagi mereka yang mengidapi masalah ini, usaha akan dilakukan bagi mencari penawarnya tanpa mengira berapa harga yang perlu dibayar.

Perubatan moden menjelaskan bahawa punca berlakunya mati pucuk atau anaphrodisiacs banyak dipengaruhi oleh faktor usia, tekanan emosi, corak pemakanan dan gaya hidup yang diamalkan. Namun kita juga tidak boleh menolak adanya unsur-unsur penggunaan ilmu sihir dan ilmu hitam untuk menghalang berlakunya persetubuhan. Menurut Dato Dr. Amran Kasimin dalam bukunya Tanda Sihir & Kekuatan Roh Untuk mengatasinya, jenis sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini ialah sihir santau dan sihir jerutan.

Penggunaan ilmu sihir untuk menyebabkan mati pucuk bukanlah satu perkara yang baru dikenali di zaman ini. Ianya sudah berlaku ribuan tahun dahulu. Menurut Walter Farber dalam bukunya Witchcraft, magic and divination in Ancient Mesopotamia, gejala ini telahpun wujud sejak zaman tamadun Mesopotamia (zaman Nabi Ibrahim a.s) atau lebih awal lagi. Kaum lelaki pada zaman itu yang mengalami masalah tersebut akan mengamalkan jampi tertentu yang dikenali sebagai Šaziga (potency) bagi menaikkan kembali alat kelamin yang tiba-tiba tidak berfungsi. Antaranya ialah:
         Let the wind blow, let the palm grove away,
         Let the clouds mass together, and a rainstorm pour down!
         Let my potency flow like river water!
         Let my penis be (as taut as) a harp string, so that it will not slip out of her.

Di dalam sejarah Islam, Rasulullah SAW juga pernah disihir sehingga Baginda SAW merasakan seolah-olah telah mendatangi isterinya walhal hakikatnya ianya tidak berlaku. Peristiwa ini diceritakan oleh Syaidatina Aisyah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhāri dalam Ṣahīhnya: “Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW telah disihir sehingga baginda merasa seolah-olah telah mendatangi isteri-isterinya, padahal baginda tidak mendatangi mereka, dan hal ini adalah akibat dari sihir yang kuat.”

Di Eropah, Ivo of Chartres adalah antara ahli teologi yang menegaskan kemungkinan wujudnya unsur sihir bagi kes-kes mati pucuk. Beliau menyatakan: ”The Catholic faith teaches that there are demons and that by their doings they can inflict injury to men and prevent carnal copulation.”

Richard Keickhefer dalam bukunya Magic in the Middle Ages turut menyentuh persoalan ini dengan menyatakan: ”Could they cause sexual impotence? Yes, Thomas Aquinas and other authorities concluded. As a lawyer in the late fifteenth century, Ulrich Molitoris encountered many cases in which women charged their husbands with impotence, but physicians testified that there was no natural cause, and thus they must be bewitched.”

Gajala mati pucuk akibat terkena sihir kelihatan kelihatan seolah-olah tidak masuk akal dan sukar untuk dipercayai. Sebenarnya, kerjasama syaitan dan penyihir memang berlaku dan ianya merupakan syarat utama keberhasilan amalan sihir. Menurut Syeikh Wahid Abdussalam Baly dalam bukunya Ilmu Sihir dan Penangkalnya: Tinjauan Al Quran, Hadith dan Ulama, khadam sihir (yang terdiri dari jin dan syaitan) akan bersarang di otak atau lebih tepatnya di pusat pembangkit nafsu seks yang mengirimkan isyarat kepada organ seks. Kemudian ia membiarkan organ seks itu berfungsi secara biasa. Apabila seorang suami mendekati isterinya dan ingin melakukan hubungan seks dengannya, maka khadam sihir tersebut menghentikan aktiviti pusat pembangkit nafsu seks yang ada di otak, sehingga isyarat-isyarat yang diberikannya tidak sampai kepada organ seks yang mengalirkan darah ke zakar. Dengan demikian, darah akan kembali dengan cepat dari zakar sehingga membuatnya mengendur dan mengkerut. Biasanya tanda terkena sihir ialah apabila keupayaan lelakinya hilang apabila hendak melakukan hubungan seks dengan orang lain selainnya isterinya atau mengalami masalah mati pucuk apabila dia hendak bersama-sama dengan isterinya tetapi tidak pula apabila bersama isteri-isterinya yang lain atau pelacur ataupun perempuan simpanan. Dalam perubatan moden, ini dinamakan sebagai impotens situational.

Peter Bankart dalam bukunya Talking cures: A history of Western & Eastern psychotherapies, turut memuatkan panduan untuk mengenali antara gejala mati pucuk yang disebabkan oleh sihir dan mati pucuk yang disebabkan oleh oleh faktor semulajadi dengan berkata: ”When the member is in no way stirred and can ever perform the act of coition, this is a sign of frigidity of nature; but when it stirred and becomes erect, yet cannot perform, it is a sign of witchcraft.”

Masalah ini sering berlaku terutama dalam rumahtangga yang mengalami konflik akibat suami yang curang, atau disebabkan kehadiran orang ketiga bahkan terjadi juga dalam perkahwinan poligami. Sehingga kini, kemelut ini seakan-akan tiada kesudahan. Akhirnya, kedua-dua pihak saling tuduh menuduh, dan kesudahanannya menggunakan khidmat bomoh atau pawang untuk memulihkan tenaga batin dan menghantar semula sihir tersebut kepada tuannya. Ironinya, syaitan telah berjaya dalam misinya untuk memisahkan hubungan perkahwinan manusia.

Dari kacamata undang-undang, sememangnya tidak terdapat apa-apa peruntukan untuk menghukum tukang sihir ataupun orang yang menggunakan khidmatnya atas kesalahan menyebabkan mati pucuk. Namun seksyen 320 (a) Kanun Keseksaan menyebut:
Hanya jenis-jenis cedera yang berikut sahaja dinamakan “parah”:
(a)              Hilang tenaga kelakian;

Maka perbuatan menggunakan ilmu sihir bagi melemahkan tenaga kelakian adalah tergolong sebagai kesalahan menyebabkan cedera parah. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut hanya terhad kepada jenayah yang dilakukan secara fizikal dan dapat dilihat dengan mata kasar. Jika dibuat kajian lebih mendalam, sebenarnya ilmu sihir boleh digunakan untuk melakukan segala jenis jenayah yang kita kenali pada hari ini seperti membunuh, menyebabkan kecederaan, mengambil harta orang lain secara salah, merogol, mencabul kehormatan, mengurung secara salah dan lain-lain sebagaimana yang terkandung dalam Kanun Keseksaan.

Apa yang perlu diusahakan ialah mewujudkan satu peruntukan khusus bagi menangani jenayah sihir dan menyusun kaedah-kaedah pembuktian di mahkamah. Sekiranya masalah ini dibiarkan berleluasa, masyarakat akan terdedah kepada jenayah halus ini tanpa pembelaan.