HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN
TUAN
Oleh: Dr Mahyuddin bin
Ismail
Sepanjang
11 tahun terlibat dalam bidang pengubatan Islam, boleh dikatakan hampir 60-70%
pesakit yang saya temui ada membuat pagar pendinding, sama ada di rumah mahupun
di premis perniagaan. Ada yang menanam tahi besi, jarum, paku, batang kayu,
bertih, jagung di empat penjuru, ada yang menabur beras kunyit di keliling
rumah, ada yang menanam telur angsa yang dicucuk paku ke dalam pasu, ada yang menggantung
lada kering dan kuda laut di muka pintu, ada yang meletak duit 1 sen diatas
alang pintu, ada yang mengikat kain atau benang tiga warna di setiap tingkap
dan pelbagai lagi cara dan bahan. Apabila ditanya tujuan berbuat demikian,
mereka menyatakan bahawa ianya adalah salah satu ikhtiar untuk menghalang
kemasukan jin, syaitan, hantu, iblis dan lain-lain makhlus halus yang sewaktu
dengannya. Ia juga didakwa mampu menghalang perbuatan khianat oleh orang-orang
yang dengki kepada mereka.
Tetapi,
tahukah para pembaca bahawa antara punca gangguan misteri yang dialami ialah
akibat perbuatan memagar rumah dan premis dengan cara yang bertentangan dengan
apa yang diajarkan dalam Islam. Berdasarkan pengalaman, ada sebahagian pesakit
mengadu bahawa penyakitnya makin bertambah berat setelah rumah mereka dipagar.
Ada juga yang memberitahu terdapat kelibat lembaga di dalam rumah. Ada juga isi
rumah yang sentiasa bergaduh apabila berada di rumah, katanya rumah terasa
panas. Jika sembuh, mungkin ianya sementara. Musibah yang datang selepas itu
lebih berat dari yang sebelumnya.
Siapa yang menjadi penjaga rumah anda?
Apabila
kediaman atau premis anda dipagar, anda perlu menjawab satu soalan mudah.
Siapakah sebenarnya yang menjaga rumah anda itu? Ada responden yang mendakwa
bahawa rumahnya dijaga oleh malaikat. Buktinya, kepingan besi yang dipaku
ditiang seri rumahnya tertulis nama empat malaikat iaitu Jibril, Mikail,
Israfil dan Izrail. Benarkah dakwaan dan kepercayaan itu?
Allah
telah menegaskan bahawa malaikat hanya takut kepadaNya dan hanya patuh kepada
perintahNya sebagaimana dalam surah An-Nahl ayat 49-50:
Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit
dan yang ada di bumi, dari
makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat, sedang mereka (malaikat-malaikat
itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadah dan sujud kepadaNya).
Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya),
serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan olehNya.
Kedatangan
malaikat yang membawa rahmat tidak perlu dengan cara membuat pagar atau
pendinding yang tidak diajar dalam Islam. Cukup dengan cara kita mendekatkan
diri kepada Allah melalui ibadah dan zikir, pasti akan mengundang kedatangan
para malaikat rahmat. Imam Muslim
meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w
bersabda:
Sesungguhnya Allah s.w.t
Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai
kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi
bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka
dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti
majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka
sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut
dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam
majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit.
Adakah Jin Islam menjaga rumah anda?
Ada
juga yang mendakwa bahawa penjaga rumahnya adalah jin Islam dan juga rijalul
ghaib. Memang tidak dinafikan bahawa ada sebahagian rumah yang menjadi
kediaman jin berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Ubaid: "Pada
setiap rumah kaum muslimin ada jin Islam yang tinggal di atapnya. Setiap kali
makanan diletakkan, maka mereka turun dan makan bersama penghuni rumah."
Namun
begitu, itu bukanlah perkara yang
dituntut. Bahkan, jika ada jin yang mendiami rumah kita, maka Rasulullah
SAW perintahkan agar kita minta mereka keluar dari rumah. Sabda Rasulullah SAW
sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
”Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang Islam. Sekiranya kamu melihat mereka (di
rumah kamu), maka berilah amaran selama 3 hari. Sekiranya dia masih berada selepas
ini (selepas tiga hari), bunuhlah dia kerana itu adalah syaitan.”
Berdasarkan
hadis di atas, Rasulullah memberi panduan kepada kita agar memberi amaran
kepada kepada jin yang datang ke rumah kita supaya keluar, walaupun jin itu jin
Islam. Mereka boleh melihat kita sedangkan kita tidak boleh melihat mereka. Kita
tidak tahu apakah yang mereka lakukan dalam kediaman kita. Yang lebih
membimbangkan ialah sekiranya jin tersebut jin kafir yang jahat. Justeru,
perbuatan memagar rumah dengan meletak makhluk halus atas nama khadam atau
penjaga rumah berlawanan dengan apa yang Nabi SAW tunjukkan.
Pandangan Islam Terhadap Amalan Memagar Rumah
Perbuatan memagar
rumah atau membuat pendinding dengan menanam, menampal atau menggantung sesuatu
seperti azimat, tangkal dan wafaq di dalam premis dengan kepercayaan bahawa ianya akan
menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang dilarang
dalam Islam. Terdapat dalil yang jelas
berkenaan larangan ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah
bin Amir al-Juhaniyy:
Rasulullah SAW
telah didatangi oleh sepuluh orang lelaki. Maka Rasulullah SAW membai’ahkan
sembilan dari mereka manakala seorang lagi ditahan. Mereka bertanya: ”Wahai
Rasulullah, Tuan membai’ahkan sembilan dan menahan seorang?” Jawab Baginda SAW: ”Ada tangkal pada lelaki itu.” Lelaki
itu lantas memotong tangkalnya, maka dibai’ahkan dia oleh Rasulullah SAW seraya
bersabda: Sesiapa yang mengantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah menyekutukan
Allah.”
Perbuatan
memagar rumah ini juga sebenarnya akan menyebabkan rumah dan kediaman kita
lebih mudah untuk dimasuki oleh jin dan syaitan yang jahat. Fakta ini boleh
disimpulkan berdasarkan kisah Rasulullah SAW yang ternampak gelang tembaga yang
di pakai seorang lelaki di lengannya. Lelaki itu mendakwa ianya tangkal untuk
menguatkan tubuh. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada
tubuhmu. Maka sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal
itu nescaya engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya”.
Justeru,
perbuatan memagar rumah dengan cara yang bertentangan dengan Islam akan
menyebabkan rumah kita semakin terdedah kepada ancaman jin dan syaitan.
Cara
Memagar Rumah Menurut Islam
Sudah tentu kita
akan berasa risau dan bimbang apabila mendapati terdapat gangguan dalam premis
atau kediaman kita. Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kepada kita beberapa kaedah
yang mudah dan berkesan.
Pertama, pastikan
rumah kita bersih dari segala perkara khurafat dan syirik yang menghalang
kedatangan malaikat rahmat. Perbuatan menggantung tangkal, azimat, wafaq, gambar
atau patung yang dipuja merupakan perbuatan syirik. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: ”Sesungguhnya
jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.”
Kedua, kita perlu
pastikan kediaman kita bersih dari patung-patung hiasan dan juga anjing.
Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada kedua-dua perkara ini. Sabda Nabi
SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
“Suatu
ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui
Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu:
“Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya
mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.”
Sebahagian
ulama mentafsirkan perkataan anjing dalam hadis di atas merujuk kepada syaitan
dan jin yang jahat. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Thalabah al Khisyni
r.a.: “Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di
udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan
berpindah randah.” Perlu diketahui bahawa tangkal dan azimat serta pagar
pendinding merupakan kediaman dan tumpuan jin. Selain itu, jin juga suka mendiami barang-barang pusaka yang ditinggalkan oleh seseorang yang
diketahui mempunyai amalan khurafat seperti senjata atau barang perhiasan lama.
Sekiranya kita mahu malaikat datang
membawa rahmat ke dalam kediaman kita, maka kita perlu memastikan barang-barang
yang menjadi sarang dan tempat tinggal jin itu dimusnahkan.
Ketiga, laungkan
azan di premis atau kediaman kita. Melaungkan azan
ketika pertama kali masuk rumah baru atau mana-mana premis bangunan yang telah
lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Menurut satu hadis Rasulullah
s.a.w., sesebuah premis atau rumah yang ditinggalkan kosong tanpa penghuni akan
dimasuki sejenis jin yang bernama al-’Ammar.
Apabila dilaungkan
azan, syaitan yang berada di sekeliling kita akan melarikan diri. Imam
al-Bukhari meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah
r.a katanya Nabi s.a.w bersabda: ”Apabila dikumandangkan azan untuk solat,
syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila
muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun
lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali.” Imam
Muslim dalam sahihnya: Dari Abu Sufyan
dari Jabir beliau berkata aku mendengar Nabi SAW bersabda Sesungguhnya syaitan
ketika ia mendengar seruan azan, ia lari hingga sampai ke Rauha.” Berkata Sulaiman, maka aku bertanya tentang Rauha.
Maka ia menjawab ia adalah satu tempat yang terletak kira-kira 36 batu dari
Madinah." Disarankan agar
azan dilaungkan sebanyak 7 kali.
Yang keempat, bacalah al-Quran di rumah
khususnya surah al-Baqarah. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah
kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari
rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah.” Selain surah al-Baqarah, surah lain
yang disarankan untuk dibaca ialah surah Yasin, ayat al-Kursi, surah al-Ikhlas,
al-Falaq dan An-Nas.
Yang kelima ialah memperbanyakkan solat
dan ibadah-ibadah sunat di rumah. Imam al-Baihaqi meriwayatkan satu hadis dari Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud: “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan
membaca al-Quran.”
Justeru,
berhati-hatilah apabila meminta seseorang membuat pagar pendinding rumah. Adakalanya
kita berharap pada pagar untuk melindungi kita, padahal pagar itulah yang makan
tuan. Yang terbaik, berharap kepada Allah dengan mengikuti apa yang telah
diajar oleh RasulNya, pasti kita akan selamat.