Oleh: Dr.
Mahyuddin bin Ismail
Pengarah Pusat
Islam
Universiti
Malaysia Pahang
Pendahuluan
Pada tahun 1999,
Profesor Masaru Emoto dari Institut Hado
di Tokyo telah menemui rahsia yang mengagumkan pada kejadian air. Dalam buku
beliau, Messages from Water, beliau menyatakan bahawa molekul air berubah
mengikut apa yang dituturkan oleh orang di sekelilingnya.
Penemuan ini
telah dijadikan dalil oleh sesetengah orang bahawa air yang dibacakan jampi,
mantera atau ayat-ayat ruqyah mampu menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh
seseorang. Maka terhasillah pelbagai jenis produk air jampi dan ruqyah di
pasaran dengan pelbagai nama. Bahkan lebih dari itu, terdapat pelbagai bahan campuran
yang diadun bersama air jampi seperti sarang anai-anai yang makan al-Quran, kelambu
kaabah, kopi ruqyah dan seumpamanya. Fenomena ini mencetuskan persoalan sejauh
mana produk yang dibacakan jampi dan ruqyah ini benar-benar memberikan kesan.
Adakah air jampi yang dijual di kedai-kedai mampu memberikan kesan positif
kepada peminumnya?
Kisah Pesakit dan Air Jampi
Guru saya, Dr. Haji Jahid bin Sidek pernah menceritakan perihal seorang
wanita yang baru kematian bapanya. Wanita tersebut mengalami kemurungan yang
kronik. Suami wanita ini pergi menemui seorang perawat untuk menyelesaikan
masalah tersebut. Perawat ini memberitahu bahawa penyakit wanita itu boleh
sembuh dengan cara meminum air yang dibacakan Yasin dan dimasukkan sedikit
tanah yang diambil dari kubur bapanya. Suami wanita tersebut melakukan
sebagaimana yang disuruh. Setelah meminum air Yasin yang dicampur tanah kubur
itu, keadaan wanita tersebut menjadi semakin teruk. Beliau hilang kewarasan dan
sering mendengar bisikan ghaib. Beliau kadang-kadang berlari dalam keadaan
tanpa pakaian dan mengetuk pintu rumah jiran untuk memberitahu bahawa dia akan
mati tidak lama lagi.
Air Jampi Sebagai Simpulan Sihir
Ramai orang tidak menyedari bahawa ayat-ayat jampi dan mantera yang
dituturkan boleh menjadi simpulan sihir. Bahkan ayat-ayat Al-Quran yang
digunakan juga boleh menjadi sedemikian. Hal ini berlaku kerana dua sebab:
1.
Apabila ayat-ayat al-Quran, jampi, mantera, serapah, wirid dan zikir tersebut
diambil dari pengamal perubatan yang terlibat dalam amalan syirik seperti
sihir, nujum, tilik, pemujaan makhluk halus dan seumpamanya. Ayat-ayat
yang diterima ini merupakan syarat yang
ditetapkan oleh syaitan untuk memastikan kemujarabannya.
2.
Apabila ayat-ayat yang diterima itu disertai dengan amalan-amalan yang
menjadi amalan kebiasaan bomoh, pawang, tukang tilik atau ahli sihir. Sebagai
contoh, untuk mendapatkan kembali barang yang dicuri, ada pengamal
yang mensyaratkan mangsa curi supaya membaca ayat ke 16 surah Luqman sebanyak
116 kali sambil menggoreng batu. Amalan membaca ayat tersebut merupakan
doa agar Allah mengembalikan semula barang tersebut. Yang menjadi salahnya
ialah apabila ayat tersebut mesti dibaca sambil menggoreng batu dengan niat
pencuri tersebut akan kepanasan. Kaedah menggoreng batu adalah amalan yang
diajar oleh pawang dan bomoh. Contoh lain ialah ada perawat yang mengajar untuk
membinasakan orang yang zalim dengan cara dibacakan ayat 17 Surah Al-Anfal
sambil memotong patung manusia yang dibentuk dari tanah liat atau tepung.
Amalan sedemikian merupakan percampuran antara kaedah perubatan Islam dan
amalan-amalan khurafat. Sekiranya perawat sebegini menjampi atau membaca
ayat-ayat pada air, maka air tersebut boleh menjadi sebagai simpulan sihir
sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Falaq ayat 4:
“…(dan
aku berlindung kepada Allah) dari kejahatan penghembus-penghembus yang
menghembus pada simpulan-simpulan sihir…”
Air Sebagai Medium Penyembuhan
Islam mengiktiraf bahawa air yang
dibacakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa yang mathur dari hadis merupakan
sebahagian dari kaedah rawatan dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri menggunakan
air yang didoakan sebagai ikhtiar untuk penyembuhan. Antaranya ialah hadis yang
diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud dalam kitab Sunan Ibnu Majah:
“Ketika Rasulullah sedang
sujud dalam solatnya, jari beliau disengat kala jengking. Setelah selesai
solat, baginda bersabda: “Semoga Allah melaknat kala jengking yang menganggu
nabi atau selainnya.’ Lalu baginda mengambil bekas yang berisi air dan garam. Kemudian beliau
meletakkan bahagian tangan yang tersengat kala jengking dalam larutan air dan
garam (merendamnya), seraya membaca surat al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas,
sampai beliau merasa tenang.”
Diriwayatkan dari Ibn Abbas bahawa Nabi
SAW pernah memerintahkan agar ditulis beberapa potongan ayat dari Al-Quran pada
bekas minuman yang bersih lalu diberi minum dan mandi kepada wanita yang sukar
untuk bersalin. Begitu juga
dengan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Sahal bin Hanif r.a. yang
terkena penyakit pandangan mata (‘ain). Apabila diadukan perkara ini kepada Rasulullah
SAW, maka baginda SAW memerintahkan agar sahabat tersebut dimandikan dengan air
yang ditadah dari wudu orang yang mengenakan ‘ain itu.
Dalam
kitab al-Jami’ Li Ahkam al-Quran karangan Imam Al-Qurtubhi, diriwayatkan
bahawa saidatina Aisyah r.a. telah membacakan al-mu’awizatain kepada air dalam
sebuah bekas, dan kemudian menyuruh seseorang menuang air itu ke atas pesakit.
Bahkan amalan ini turut menjadi sebahagian dari metod rawatan ulama-ulama
terdahulu sebagaimana yang diriwayatkan dari Abdullah ibn Ahmad ibn Hanbal
bahawa beliau melihat ayahnya membacakan ayat al-muawizzat kepada air lalu
meminumnya, dan menuangkan air itu pada dirinya (mandi).
MENJAMPI AIR MENGGUNAKAN AYAT AL-QURAN
Menjampi air menggunakan ayat al-Quran
adalah digalakkan. Antara amalan orang-orang alim terdahulu ialah membacakan
surah Yasin pada air pada setiap malam Jumaat. Ini kerana Al-Quran mengandungi
keberkatan, dan keberkatannya ini meliputi apa sahaja yang berada di
sekelilingnya sama ada daripada air atau lain-lain. Maka air tersebut menjadi
berkat dengan keberkatan al-Quran, dan dengan keberkatan ini mudah-mudahan ia
menjadi penyembuhan dengan izin Allah Yang Maha Esa. Firman Allah SWT dalam
surah al-Isra ayat 82:
”Dan Kami turunkan dengan
beransur-ansur dari Al-Quran,ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan
rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”
Menurut Syeikh Mutawalli As-Sya’rawi dalam tafsirnya, ayat tersebut
menunjukkan bahawa ayat-ayat al-Quran menjadi rahmat dan penyembuh jika dibaca
oleh orang-orang yang beriman. Ia akan memberikan kesan yang sangat mendalam
kepada yang mendengarnya tidak kira Islam mahupun orang kafir. Dalilnya, ketika
Saidina Umar mendengar ayat Quran dibaca oleh kaum musyrik dihadapannya,
bertambah kebencian dan kemarahannya terhadap Islam, dan ingin ia lari dari
mendengarnya. Tetapi apabila mendengar ayat tersebut dibaca oleh adiknya yang
telah beriman, maka terus lembut jiwanya lantas beliau terus memeluk Islam.
Hal tersebut digambarkan oleh Allah dalam surah at Taubah ayat 124-125
yang bermaksud: ”Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka
di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek):
"Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah
ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman
mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada
penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan
kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka
mati, sedang mereka berkeadaan kafir.”
Justeru, sekiranya ayat-ayat Al-Quran dibaca sebagai jampi oleh seseorang
perawat dengan disertai amalan-amalan khurafat atau syirik, maka ia merupakan
satu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan ia merupakan amalan sihir. Ia tidak
akan mendatangkan manfaat tetapi membawa kemudaratan kepada orang lain.
KAEDAH MENJAMPI PADA AIR
Untuk mengelakkan diri kita tertipu dengan lambakan perkhidmatan rawatan
atau produk yang didakwa berasaskan jampi atau ruqyah dari al-Quran, maka kita
perlu lebih berhati-hati. Saya sendiri pernah melihat lori-lori yang membawa
muatan air yang telah diruqyah ini memasang lagu-lagu yang membingitkan telinga
selain menuturkan kata-kata yang kurang elok. Besar kemungkinan molekul air
yang telah diruqyah tersebut telah bertukar akibat terkesan dengan muzik dan
tutur kata tersebut.
Sekiranya kita ingin berikhtiar untuk berubat dengan menggunakan perkhidmatan
dan produk berasaskan air jampi ini, maka berikut adalah antara panduannya:
Yang pertama, carilah seseorang alim di kawasan sekitar yang betul-betul
memelihara agamanya, tidak terlibat dalam amalan syirik. Mintalah orang ini untuk
membacakan ayat-ayat al-Quran dan berdoa untuk kita.
Yang kedua, sekiranya sukar untuk menemui orang alim, maka kita sendiri
boleh membaca dan berdoa agar Allah menyembuhkan kita. Doa orang dizalimi dan
doa orang yang sakit antara doa yang makbul. Berikut adalah antara ayat-ayat
yang pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW, sahabat, para ulama sebagai ruqyah atau
jampi untuk penyembuhan:
·
Surah
al-Fatihah, ayat 1 - 7
·
Surah
al-Baqarah, ayat 1 - 6
·
Surah
al-Baqarah, ayat 102
·
Surah
al-Baqarah, ayat 163 - 164
·
Surah
al-Baqarah, ayat 255 (ayat kursi)
·
Surah al-Baqarah,
ayat 285 - 286
·
Surah Ali
Imran, ayat 18 - 19
·
Surah al-A’raf,
ayat 54 - 56
·
Surah al-A’raf,
ayat 117 - 122
·
Surah Yunus,
ayat 81 - 82
·
Surah Taha,
ayat 69
·
Surah
al-Mukminun, ayat 115 - 118
·
Surah
As-Saffat, ayat 1 - 10
·
Surah al-Ahqaf,
ayat 29 - 32
·
Surah Ar-Rahman,
ayat 33 - 36
·
Surah al-Hasyr,
ayat 21 - 24
·
Surah al-Jin
ayat 1 - 9
·
Surah
al-Ikhlas, ayat 1 - 4
·
Surah al-Falaq,
ayat 1 - 5
·
Surah An Nas,
ayat 1 – 6
Sebelum memulakan bacaan, sebaik-baiknya kita terlebih dahulu mengerjakan
solat sunat taubat dan hajat memohon agar dihapuskan dosa dan diterima doa kita
untuk penyembuhan.
Bacaan ayat-ayat tersebut hendaklah dijadikan amalan harian kerana Allah
menyukai seseorang yang beramal dengan sesuatu amalan secara konsisten. Sabda
Nabi SAW:
”Sesungguhnya Allah mencintai seseorang dari kamu yang apabila dia beramal,
maka dia tekun dan kekal beramal dengan amalan tersebut”.
Selain itu, kita juga boleh bawa air ke masjid-masjid yang mengadakan
bacaan yasin dan tahlil pada setiap malam jumaat atau mana-mana majlis ilmu dan
zikir. Dengan cara tersebut, dapatlah kita menumpang keberkatan majlis, dan
mudah-mudahan molekul-molekul air yang kita bawa itu bertindak positif terhadap
perkataan-perkataan yang baik yang dibacakan dalam majlis tersebut. Itu adalah
lebih baik dari kita membeli produk-produk yang kita sendiri tidak tahu
siapakah yang menjampinya, ayat jampi apa yang digunanya dan untuk tujuan apa
ia dijampi.
alhamdulillah mohon di amalkan
ReplyDeleteSilakan
ReplyDeleteAssalamualaikum. saya mencari rawatan di sekitar Kelantan.sebelum ini saya ada terambil rokok dan makanan pemberian jiran, selepas itu saya terasa sakit dan banyak gangguan berlaku dibahagian dada,perut dan muka.
ReplyDeleteIni email saya : tubuhsatu@gmail.com