Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Thursday, March 8, 2012

SOP BAGI DAKWAAN PENGGUNAAN ILMU SIHIR DALAM KES-KES PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN


Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam 2nd International Seminar on Shariah and Common Law(ISCOL 2012) anjuran fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia pada 6 Mac 2012.
DAKWAAN PENGGUNAAN ILMU SIHIR DALAM KES-KES PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN DI MAHKAMAH SHARIAH: KEPERLUAN KEPADA SATU PROSEDUR KENDALIAN STANDARD (S.O.P)
Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail
LLB (IIUM), MCL (IIUM), PhD (UKM)


ABSTRAK

Kertas kerja ini bertujuan untuk mencadangkan satu Prosedur Kendalian Standard (S.O.P) bagi menangani dakwaan penggunaan ilmu sihir dalam kes-kes perkahwinan dan perceraian di Mahkamah Syariah. Prosedur yang dicadangkan ini adalah satu usaha untuk membantu semua pihak untuk berlaku adil dan dalam masa yang sama dapat membela pasangan yang menjadi mangsa kepada perbuatan jahat penyihir. Keperluan kepada Prosedur Kendalian Standard ini dijustifikasikan oleh beberapa kes yang melibatkan dakwaan disihir di beberapa buah mahkamah syariah. Kertas kerja ini turut meneliti pendekatan yang diambil oleh para hakim mahkamah Syariah di Kuala Terengganu dan Kuantan dalam mempertimbangkan dakwaan tersebut dan pandangan mereka terhadap isu ini.


PENGENALAN

Isu berkenaan penggunaan ilmu sihir dalam kehidupan manusia bukanlah suatu perkara yang baharu. Ianya telah lama dibincangkan semenjak bermulanya tamadun manusia hinggalah ke hari ini. Sejarah tamadun-tamadun terdahulu seperti tamadun Mesopotamia,[1] tamadun Rom,[2] tamadun China,[3] tamadun Parsi,[4] tamadun Islam[5] dan tamadun Barat[6] mencatatkan kewujudan undang-undang khas bagi menyekat dan membanteras amalan sihir dalam kegiatan jenayah. Ini disokong oleh kenyataan William Blackstone:

To deny the possibility, nay, actual existence, of witchcraft and sorcery is at once flatly to contradict the revealed word of God, in various passages both of the Old and New testament: and the thing itself is a truth to which every nation in the world has in its turn borne testimony, either by examples seemingly well attested, or by prohibitory laws; which at least suppose the possibility of a commerce with evil spirits.”[7]

Para Sarjana Islam dan Sarjana Barat bersetuju bahawa ilmu sihir boleh digunakan untuk mencederakan mangsa, mengubah rupa mangsa kelihatan seperti haiwan,[8] menghilangkan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga, memisahkan antara suami dan isteri,[9] menghilangkan kewarasan akal, memperoleh harta secara tipuan,[10] menyebabkan pelbagai penyakit sehingga ke tahap membunuh mangsa tanpa perlu disentuh.[11] Melalui pengalaman penulis sebagai perawat, terdapat sebilangan kes-kes gangguan misteri terhadap pasangan suami isteri berpunca dari penggunaan sihir. Maka tidak hairanlah jika timbulnya dakwaan oleh suami atau isteri bahawa masalah rumahtangga yang dihadapi mereka adalah akibat terkena sihir.


Dakwaan Penggunaan Ilmu Sihir Dalam Kes Perkahwinan dan Perceraian

Allah SWT telah menyatakan dalam surah al Baqarah ayat 102:

“Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut & Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya”

Ayat di atas secara jelas menunjukkan bahawa antara bentuk kemudaratan penggunaan ilmu sihir ke atas manusia ialah kebolehannya memisahkan antara seorang suami dan isterinya. Biasanya, perceraian dengan menggunakan ilmu sihir ini berlaku dalam keadaan yang pelik dan luar dari kebiasaan. Melalui pengalaman yang penulis pernah hadapi, ada suami yang mengadu bahawa lidahnya seakan-akan dikuasai sesuatu sehingga melafazkan talaq terhadap isterinya. Terdapat juga isteri yang beriya-iya mendesak suaminya agar menceraikannya tanpa sebarang sebab. Ada pula yang mendakwa tidak sedar dan tidak ingat bila dan di mana dia melafazkan cerai. Tidak kurang juga ada isteri memohon cerai fasakh atas alasan suami mengalami lemah syahwat ketika hendak menyetubuhinya sedangkan dengan isteri-isterinya yang lain tidak begitu. Kedapatan juga suami atau isteri mendakwa berlaku perubahan mendadak pada perasaannya terhadap pasangannya hingga timbul rasa benci dan meluat yang amat sangat hingga memukul pasangannya tanpa kerelaan hati.

Dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman,[12] perayu mendakwa telah melafazkan talaq dalam keadaan beliau tidak sedar kerana dipengaruhi sihir. Menurut perayu, beliau disihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin di sebuah kilang. Akibatnya, fikirannya menjadi tidak tenteram, selalu bergaduh dan marah pada isterinya yang disayangi. Pernah dia memukul isterinya sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang dilakukannya. Dalam keadaan tidak sedar juga, beliau telah membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk menceraikan isterinya. Beliau ada menemui bungkusan kain putih di dalam kantin tersebut dan menurut orang yang mengubatinya, beliau telah terkena sihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin tersebut. Orang yang menyihirnya merasa dengki lalu menyihirnya agar rumahtangganya bercerai berai.

Selain penggunaan sihir dalam perceraian, timbul juga dakwaan penggunaan sihir bagi tujuan memikat, menunduk, menguasai perasaan dan pertimbangan pasangan yang ingin dikahwini. Kesannya, mangsa menuruti kehendak penyihir tanpa sedar dan di luar kawalan. Ada isteri mengadu kepada penulis bahawa setelah beberapa tahun berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak, barulah beliau sedar bahawa beliau sudah menjadi isteri orang. Lebih melucukan, lelaki yang menjadi suaminya itu juga tidak pernah dikenalinya.

Dalam kes Re Wan Norsuriya,[13] pemohon telah membuat permohonan kepada mahkamah agar perkahwinan beliau dibubarkan kerana adanya unsur ketidakrelaan. Melalui temubual dengan Hakim yang mengendalikan kes tersebut,[14] beliau secara peribadi berpendapat wujudnya unsur penggunaan sihir dalam kes ini. Menurut beliau, wanita tersebut tidak tahu dan tidak sedar apa yang berlaku kepada dirinya sepanjang berada dalam kurungan defendan. Hatta ketika berkahwin, beliau sendiri tidak menyedari bahawa beliau menyatakan persetujuan untuk berkahwin dengan lelaki yang mengurungnya. Oleh kerana ketiadaan peruntukan undang-undang khas mengenai dakwaan disihir, maka kes tersebut diputuskan atas dasar tiada kerelaan dari wanita yang dikahwini.

Pendekatan yang sama juga diambil dalam kes yang baru diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 26 Jun 2011 yang lalu. Dalam kes tersebut, seorang warga Pakistan Muhammad Kamran Babar Nazir Khan, 46 memohon kepada mahkamah agar mengesahkan perkahwinan beliau dengan Yani Yuhana Mohd Zambri, 24. Hakim memutuskan perkahwinan tersebut sah di sisi hukum syarak meskipun defendan mendakwa perkahwinan itu berlangsung dalam keadaan beliau disihir.[15]

Senario yang berlaku menunjukkan terdapat dakwaan penggunaan ilmu sihir dalam kes-kes perkahwinan dan perceraian di Mahkamah Syariah. Apabila dakwaan-dakwaan sedemikian dibawa ke muka pengadilan, sama ada sebagai satu pembelaan bagi memastikan perceraian tidak akan berlaku, atau sebagai alasan untuk menyokong tuntutan perceraian, maka institusi perundangan berhadapan satu masalah; sama ada untuk mengesahkannya dan menerimanya, atau menafikannya seterusnya menolak dakwaan tersebut.

Pandangan Hakim Mahkamah Syariah Kuantan dan Kuala Terengganu

Berdasarkan kes-kes yang telah dikemukakan serta temubual bersama 6 orang hakim mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan juga Kuala Terengganu, kesemua hakim percaya bahawa penggunaan sihir dalam kes-kes rumahtangga memang wujud. Malah kesemua hakim pernah berdepan dengan dakwaan sedemikian semasa dalam perbicaraan. Malangnya dakwaan sedemikian tidak mendapat perhatian yang serius kerana dua sebab utama iaitu:

a)      kegagalan pihak yang mendakwa untuk membuktikan wujudnya unsur-unsur sihir ke atas diri mereka;

b)      ketiadaan garis panduan dan peruntukan dalam enakmen berkaitan isu ini.

Lantas para hakim mengambil jalan lebih selamat iaitu dengan mengadili kes berkenaan atas alasan yang zahir pada pandangan mata kasar dan dapat diterima logik akal. Para hakim juga melihat faktor-faktor sampingan seperti latar belakang dan sikap pengadu dalam membuat penghakiman. Ini adalah pendekatan lebih berkesan kerana terdapat sesetengah pengadu membuat dakwaan sedemikian kerana terpengaruh dengan telahan semberono oleh perawat alternatif seperti bomoh dan dukun yang merawat mereka. Sesetengahnya pula membuat dakwaan sedemikian sebagai helah untuk menjaga kepentingan diri.

Masalah ini mungkin dapat di atasi sekiranya satu prosedur khas bagi menilai kesahihan dakwaan tersebut dapat diwujudkan dan dipakai secara seragam di seluruh mahkamah. Prosedur ini bukan sahaja dapat membantu  para hakim dan pengamal undang-undang untuk menilai kesahihan dakwaan tersebut, malah dalam masa yang sama dapat mengelak penganiayaan ke atas mana-mana pihak sekiranya apa yang didakwa itu tidak benar. Bagi merealisasikan perkara ini, berikut adalah cadangan prosedur yang boleh digunapakai dalam berhadapan dengan dakwaan sedemikian.

CADANGAN PROSEDUR KENDALIAN STANDARD (S.O.P) UNTUK MENANGANI DAKWAAN DISIHIR

Langkah 1: Pihak yang mendakwa perlu membuktikan dakwaan beliau

Apabila ada pihak-pihak dalam satu perbicaraan (sama ada mangsa atau pasangannya atau ahli keluarga terdekat)[16] mempercayai dan mendakwa bahawa beliau atau pasangannya berkemungkinan terkena ilmu sihir, maka hakim perlu meminta pihak yang mendakwa untuk memberi keterangan dan mengemukakan bukti bahawa dakwaannya adalah benar.[17] Untuk itu, orang yang mendakwa perlu membuktikan wujudnya simptom-simptom gangguan sihir pada dirinya atau pasangannya. Kebiasaannya, seseorang yang disihir akan menunjukkan simptom-simptom dan perubahan-perubahan tertentu pada rohani dan jasmani. Antara simptom dan perubahan yang biasa dialami oleh mangsa-mangsa sihir ialah:[18]

(a) Kesan pada fikiran dan perasaan

Sihir pada kebiasaannya akan mempengaruhi jiwa dan fikiran seseorang mangsa. Seseorang yang disihir akan menunjukkan perubahan-perubahan pada emosi, perasaan dan cara berfikir. Antara kesan yang biasa berlaku ialah:

(i)                 Mangsa menjadi resah dan gelisah sehingga tidak boleh tidur malam, sering bermimpi buruk dan mengerikan.[19] Biasanya, mangsa juga akan bermimpi dikejar binatang buas atau lembaga berwarna hitam, didatangi atau disengat haiwan berbisa seperti ular, kala jengking, atau terasa seperti hendak jatuh dari tempat yang tinggi.[20]

(ii)               Fikiran mangsa menjadi tidak keruan dan berserabut. Kadang-kadang tindakannya terjadi dengan sendiri tanpa dapat dikawal. Mangsa mungkin akan meracau-racau, ketawa mengilai-gilai atau bercakap seorang diri. Lama-kelamaan, mangsa boleh menjadi gila, hilang ingatan, tidak siuman, mereng dan seumpamanya.[21]

(iii)             Sentiasa terkenang atau teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah, sentiasa tercengang-cengang dan lupa, meracau-racau, mata terbeliak, tidak tetap di satu-satu tempat, tidak fokus pada suatu pekerjaan, kerap berjalan waktu tidur.[22]

(iv)             Tanda terkena sihir pengasih ialah perasaan cinta dan sayang yang menggila, merasa terlalu ingin melakukan persetubuhan, tidak dapat menahan sabar ketika melihat isteri atau kekasihnya, melihat perempuan tersebut sebagai wanita paling cantik, mengikut perintah isteri atau suami membabi buta.[23]

(v)               Terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang mengatakan:"kamu akan mati tidak lama lagi” dan sebagainya.


(b) Kesan pada anggota tubuh badan (fizikal)

Berikut ialah antara kesan-kesan fizikal yang dialami oleh mangsa akibat disihir:-

(i)                 Mangsa akan merasa badannya sentiasa sakit menyucuk-nyucuk seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam berbisa, anggota badan tertentu seperti belakang, leher atau dada terasa panas, terasa bisa-bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, kadang-kadang badan terasa kebas dan sebagainya.[24] Ada juga yang berkudis seluruh tubuh dengan bau yang busuk hingga membawa maut.[25]

(ii)               Selalu timbul tompok lebam bewarna biru kehitaman pada anggota tertentu tubuh seperti lengan atau celah peha.[26]

(i)                 Mengalami sakit kepala sebelah sama ada di sebelah kanan atau kiri, atau seluruh kepala pada waktu-waktu tertentu terutama menjelang senja atau tengah malam.

(ii)               Dapat melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh manusia biasa seperti melihat jin yang menjelma dalam bentuk makhluk yang sangat hodoh, berbau busuk yang selalu mengekorinya.[27]

(iii)             Alat kelamin mati tiba-tiba apabila hendak bersetubuh. Hal ini biasa berlaku terutamanya bagi lelaki yang beristeri lebih dari satu.[28]

(iv)             Badan terasa berat seperti memikul sesuatu dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya atau telinganya.[29]

(v)               Mangsa terhidu bau busuk di merata-rata tempat sehingga menganggu kehidupannya. Terkadang orang disekelilingnya juga boleh menghidu bau tersebut.[30]


(c) Kesan pada kediaman dan tempat tinggal

(i)                 Sekiranya sihir dikenakan pada kediaman atau premis, maka kebiasaannya orang itu akan merasa tidak selesa tinggal dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan serabut.

(ii)               Adakalanya kediaman atau premis diganggu seperti dinding diketuk dan dicakar, pintu tiba-tiba terbuka, paip air dan lampu tiba-tiba terpasang, api tiba-tiba menyala dan membakar pakaian dalam rumah.[31]

(iii)             Jelmaan bayangan menakutkan dan bunyi-bunyian yang pelik di premis.[32]


(d) Kesan pada hubungan dengan ahli keluarga

(i)                 Rumah tangga sentiasa bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku walau disebabkan oleh kesalahan yang kecil. Orang yang terkena sihir akan mudah marah yang bersangatan tanpa sebab.[33]

(ii)               Nampak muka pasangan sangat hodoh dan menakutkan.[34]

(iii)             Merasa sakit bersangatan bila dipegang atau disentuh pasangan.

(e) Kesan pada prestasi kerja atau perniagaan

(i)                 Sekiranya mangsa menjalankan perniagaan, pelanggan yang datang ke kedainya nampak seolah-olah kedainya tutup walaupun sebenarnya ia dibuka.

(ii)               Pekerja-pekerjanya juga sentiasa bertukar dan tidak senang dengan majikan.

(iii)             Pekerja yang asalnya cemerlang tiba-tiba berubah menjadi malas, berat untuk datang kerja, sehingga ada yang lupa jalan untuk ke tempat kerjanya.[35]


(f) Kesan pada hubungan dengan masyarakat

(i)                 Sentiasa menolak pinangan orang yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anak teruna mereka enggan berkahwin sampai ke tua.

(ii)               Mangsa akan lebih suka menyendiri tidak mahu bergaul dengan orang sekeliling.

(iii)             Menjadi amat pemalu dan segan tidak bertempat.

(iv)             Mula membenci kawan-kawan dan tidak mahu bercakap dengan mereka, fikiran selalu berserabut dan pening kepala berpanjangan. Ini antara tanda sihir pengasingan.[36]

Selain simptom di atas, mangsa sihir juga biasanya akan mengalami perubahan mendadak terhadap sikap dan tingkahlaku, kewarasan pemikiran, rutin kehidupan seharian dan juga kerjayanya. Untuk menentukan perubahan yang berlaku itu adalah berpunca dari akibat disihir, pengadu dan orang yang terdekat dengannya seperti pasangan atau ibubapanya boleh ditemubual. Antara ciri-ciri perubahan akibat sihir ialah:

·               Perubahan itu berlaku secara mendadak tanpa sebab;

·               Sebahagian besar perubahan tersebut berlawanan dengan keadaan asal mangsa sebelum disihir.

·               Perubahan tersebut berlaku setelah mangsa, sama ada secara sedar atau tidak, melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan mana-mana orang merasa dengki, irihati, marah, dendam, hasad, meluat dan seumpamanya.


Sekiranya pengadu, semasa sesi soal jawab itu, ada menyatakan pernah terjumpa sesuatu yang pelik seperti patung tergantung atau beras kunyit di laluan masuk, bangkai haiwan yang dibakar dan digantung depan pagar, atau telur mentah dibaling di laman rumah, bulu kongkang bertaburan di premis perniagannya atau yang seumpamanya, maka semua perkara itu mesti diambil kira dan disimpan sebagai bukti sokongan. Besar kemungkinan itu adalah bahan-bahan yang digunakan untuk menyihir mangsa. Langkah ini sangat penting bagi menentukan sama ada wujud kaitan antara gangguan yang berlaku dengan apa yang dilalui oleh mangsa sebelum dan selepas kejadian itu.[37]


Langkah ke 2: Meminta pendapat pakar

Peranan dan kerjasama individu-indididu yang memahami selok belok ilmu dan amalan sihir amat diperlukan. Dalam Islam, seorang yang dahulunya terkenal sebagai ahli sihir, tetapi telah berhenti dari menjadi ahli sihir dan bertaubat dari kejahatan tersebut boleh dipanggil sebagai saksi bagi memberikan keterangan mengenai selok belok ilmu sihir. Inilah pendapat Ibn Rifācah sebagaimana yang disebutkan oleh Khātib Sharbiniy.[38]

Bagi tujuan perbicaraan dalam mahkamah Shariah pada hari ini, pendapat pakar boleh diminta bagi menentukan:

a)      sama ada simptom yang dialami oleh mangsa adalah salah satu tanda sihir;

b)      sejauh mana kesan sihir yang dikenakan itu terhadap hubungan rumahtangga;

c)      pertalian antara bahan sihir (jika ada) dan kesannya kepada mangsa;

d)     kemungkinan wujudnya qarinah yang boleh dikaitkan dalam dakwaan yang dikemukakan;

e)      kebarangkalian bahawa mangsa memang terkena sihir;

f)       dan lain-lain perkara yang berkaitan.

Metodologi sebegini adalah bersesuaian dengan peruntukan seksyen 33 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Selangor) 2003[39] yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil seseorang yang pakar dalam undang-undang negara asing atau mengenai sains atau seni, atau tentang identiti atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari atau berhubungan penentuan nasab untuk memberikan pendapat mereka di mahkamah. Keperluan kepada pendapat pakar dalam isu sihir dapat dilihat dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeeba Abd Rahman. Hakim Mahkamah Rayuan menyatakan:

”Hakim yang Arif tidak langsung mencatatkan di dalam rekod perbicaraannya fakta kes tersebut dan juga beliau telah tidak memanggil dukun yang mengubati Perayu untuk mendapatkan keterangan untuk mempastikan sama ada Perayu benar-benar sakit kena buatan orang (sihir) yang menyebabkan perceraian.”[40]

 Apa yang disarankan oleh YAA Hakim dalam kes ini merupakan satu usaha untuk menyelamatkan rumah tangga defendan dari dihancurkan akibat perbuatan sihir. Walaupun tiada peruntukan tentang keterangan oleh saksi pakar dalam hal sihir, namun gesaan YAA Hakim supaya dipanggil dukun tersebut boleh dianggap sebagai satu isyarat betapa perlunya diwujudkan tatacara khusus bagi membicarakan isu melibatkan sihir.

Langkah ke 3: Memerintahkan mangsa mendapatkan rawatan dari pusat rawatan bertauliah.

Sekiranya hakim (setelah meneliti simptom yang dihadapi mangsa dan setelah mendengar pendapat pakar tentang hal tersebut) mempunyai sebab untuk mempercayai pengadu mengalami simptom-simptom disihir, maka hakim boleh mengeluarkan perintah agar pengadu dirujuk ke pusat-pusat rawatan yang boleh dipercayai dan diberikan tempoh tertentu untuk menjalani rawatan. Tujuan utama dijalankan rawatan adalah bagi memastikan pengadu benar-benar pulih dari pengaruh sihir dan dapat dibicarakan di mahkamah dalam keadaan beliau sempurna akal. Kebiasaannya, apabila mangsa bebas dari ikatan sihir, beliau akan mempertimbangkan tindakan yang telah diambilnya dengan lebih rasional. Dalam keadaan ini, maka mahkamah boleh mendengar semula tuntutan yang difailkan sama ada oleh pengadu atau pasangannya. Kaedah ini lebih adil kerana semua pihak dalam tuntutan atau permohonan tersebut berada dalam keadaan akal yang sempurna.

Dalam pada itu, pihak yang terlibat juga perlu berhati-hati apabila mendapatkan rawatan dari pusat rawatan komplementari. Terdapat banyak pusat-pusat rawatan yang menawarkan rawatan alternatif sama ada berbentuk Islamik mahupun tradisional. Malangnya, sehingga hari ini, institusi kehakiman dan perundangan Syariah belum mempunyai satu badan induk yang mempunyai kuasa bagi menilai dan mengiktiraf sesebuah pusat rawatan alternatif sebagai layak untuk dijadikan rujukan dalam kes-kes sebegini. Oleh yang demikian, banyak pusat rawatan tidak bertauliah muncul dan sebahagian mereka menjalankan rawatan untuk menipu dan mengambil kesempatan atas mangsa yang terdesak.

Permasalahan tersebut telah disedari oleh beberapa pihak. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) berusaha untuk menyediakan deraf garis panduan kepada pengamal perubatan Islam dan Tradisional Melayu. Melalui usaha BPTK juga, para pengamal-pengamal perubatan Islam telah bersepakat untuk menubuhkan satu gabungan pengamal perubatan Islam yang diiktiraf yang dikenali sebagai Gabungan Persatuan Perawat Islam Malaysia atau GAPIMA. Selain itu, beberapa pihak juga telah menganjurkan pelbagai seminar bagi menimbulkan kesedaran tentang isu ini. Antaranya Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Selangor pada 17 Disember 2009 yang diikuti dengan Muzakarah Pakar: Cabaran Pendakwaan Ahli Sihir di Mahkamah pada 21 Julai 2010 telah menghasilkan satu resolusi supaya kegiatan jenayah yang menggunakan ilmu sihir dibanteras melalui mekanisma perundangan.

Dalam hal ini, penulis berpendapat insititusi-institusi pentadbiran dan perundangan Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan agama Islam negeri dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) seharusnya lebih terkehadapan dalam mendepani isu ini kerana ianya melibatkan isu perundangan Syariah dan juga isu akidah ummah. Oleh itu, penulis mencadangkan agar kajian lebih mendalam tentang isu-isu berkaitan undang-undang amalan sihir perlu dimulakan dalam rangka membela nasib mangsa dan menjaga akidah ummah.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, isu penggunaan sihir dalam rumahtangga memang berlaku dan adakalanya dibangkitkan dalam mahkamah. Ketiadaan garis panduan dan peruntukan undang-undang mencacatkan perjalanan sistem keadilan. Justeru, kajian mendalam bagi mewujudkan satu Prosedur Kendalian Standard (S.O.P) bagi menangani dakwaan tersebut bukan sahaja dapat memberikan keadilan kepada pasangan suami dan isteri serta ahli keluarga, malah dapat mengembalikan kerukunan dan keharmonian rumahtangga. Prosedur yang dicadangkan merupakan salah satu langkah bagi mengelakkan berlaku kezaliman dan kesilapan dalam membuat keputusan. Sesungguhnya syaitan dan kuncu-kuncunya yang mendalangi amalan sihir sangat gembira sekiranya sesebuah institusi rumahtangga dapat diruntuhkan. Isu jenayah sihir ini harus dipandang serius oleh semua pihak. Ini kerana jenayah sihir bukan sahaja boleh meretakkan hubungan kekeluargaan, malah dapat menghancurkan perpaduan dan keamanan dalam masyarakat. Emmet V. Mittlebeeler menyatakan“If we accept the theory that the law of crimes developed from direct public action against a malefactor, witchcraft may have been the first of all crimes.”[

3 comments:

  1. bagus.. nasib orang2 yang x bersalah akan terbela disini nanti. bila undang2 ni akan berkuat kuasa?

    ReplyDelete
  2. Buat masa skrang, pihak JAKIM dan Jab Peguam Negara telah mengadakan perbincangan dgn saya. Sudah dua kali pertemuan dan mereka nampak positif. Insya Allah kalau tiada aral, bulan september nanti akan di bawa ke Jawatan Kuasa Teknikal untuk keputusan samada perlu bawa ke peringkat nasional atau di laksanakan di mahkamah syariah dahulu. Doakan lah semoga ianya dpt direalisasi demi kesejahteraan insan.

    ReplyDelete
  3. Encik..saya pelajar dari politeknik... saya tgh buat assiment mengenai sihir.. boleh kah encik beri pandangan bagaimana hendak menangani masalah sihir ini??

    ReplyDelete