Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Tuesday, September 24, 2013

MERUNGKAI MISTERI SAKA KETURUNAN



Artikel Majalah Al Islam Bulan Oktober 2013
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pengarah, Pusat Islam dan Pembangunan Insan
Universiti Malaysia Pahang


KONSEP SAKA
Istilah saka mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat. Ada yang melenting bila dikatakan mewarisi saka, dan ada yang menerimanya dengan hati terbuka. Ramai yang tertanya-tanya benarkah ianya wujud dan tidak kurang juga yang tersalah faham tentang istilah ini. Kamus Dewan mentakrifkan saka sebagai leluhur (keturunan) daripada sebelah emak; manakala saka baka pula ialah leluhur daripada kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa. Dalam kalangan pengamal perubatan tradisional dan komplementari, saka merupakan istilah yang digunakan untuk makhluk halus (jin dan syaitan) yang diwarisi dari keturunan. Konsep saka ini bukan hanya terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja, tetapi juga dikesan dalam beberapa bangsa lain dengan istilah yang berbeza. Sebagai contoh di Sudan, ia dikenali sebagai mangu, iaitu semangat atau roh yang diwarisi dari ibu dan bapa. Di Sri Lanka, ia dikenali sebagai mala yakā (the inferior spirit of a dead ancestor). Dalam masyarakat Cina, India dan masyarakat Orang Asli pula, mereka percaya bahawa roh nenek moyang yang tidak disemadikan dengan sempurna akan kembali mengganggu anak cucu.

Dalam Al-Quran, memang tiada istilah saka digunakan, tetapi perbuatan meminta perlindungan dari jin dan syaitan, atau menjadikannya sahabat, khadam, pendamping ada dinyatakan dalam surah Al-Jinn ayat 6: Dan bahawa sesungguhnya adalah beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

Apabila manusia memohon perlindungan dari jin atau syaitan, maka mereka akan segera datang untuk memenuhi Sasaran Kerja Tahunan (SKT) mereka iaitu menyesatkan anak Adam. Ada yang datang dan memasuki hati manusia lalu menimbulkan perasaan was-was, benci, dendam dan permusuhan antara manusia. Kebiasaannya, jenis sebegini datang silih berganti dan keluar dari tubuh manusia. Namun, di sana, terdapat jenis jin dan syaitan yang akan tinggal berdampingan dengan manusia, menjadi qarin dan sahabat manusia, tinggal dalam tubuh manusia, makan, minum dan kencing dalam tubuh dan kediaman manusia. Jenis ini bukan sahaja menimbulkan penyakit pada hati dan rohani, malah akan turut menyakiti tubuh jasmani manusia. Ia juga akan turut mengganggu anak cucu dan pasangan seseorang setelah kematian orang itu. Makhluk ini bukanlah diwarisi secara sukarela, tetapi mereka berpindah kepada keturunan berikutan dendam kesumat mereka kepada anak Adam. Inilah makhluk halus yang dipanggil saka dalam kalangan masyarakat Melayu.

BAGAIMANA SAKA DIWARISI
Makhluk jin dan syaitan ini datang mendampingi manusia melalui beberapa cara. Ada sesetengahnya berlaku dengan disengajakan dan ada yang berlaku tanpa disedari dan tanpa kerelaan kita. Pewarisan saka secara sedar biasanya dilakukan melalui upacara tertentu seperti akad atau melalui pewarisan sesuatu barang yang menjadi simbol perjanjian antara mereka seperti keris, barangan kemas, barang hiasan tembaga dan atau apa sahaja yang menjadi milikan tuannya. Sekiranya seseorang waris menolak pewarisan khadam ini, maka makhluk ini akan menimbulkan gangguan kepada waris tersebut berupa penyakit-penyakit misteri. Gangguan juga boleh berlaku sekiranya tuan punya khadam atau warisnya melanggar pantang larang perjanjian seperti tidak menyediakan jamuan (ancak) atau tidak mengasapkan senjata dengan kemenyan pada waktu tertentu dan sebagainya.

Ada ketikanya gangguan saka ini berlaku tanpa disedari. Ini berlaku kerana keghairahan kita mengejar kehebatan dan ganjaran dunia tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi. Antaranya ialah melalui:

1.      Ilmu dan amalan kebatinan yang menyeleweng.
Seseorang yang menuntut ilmu kebatinan seperti ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu seri muka dan seumpamanya akan mempunyai risiko diganggu makhluk halus. Makhluk halus ini datang kerana upacara yang dilakukan oleh pengamal tersebut melalui pelbagai amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat tertentu dalam waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya. Mungkin semasa hayatnya, tiada apa-apa berlaku. Tetapi, menjelang akhir hayatnya, terutama ketika sakaratul maut, makhluk halus ini akan menagih balasannya. Selepas meninggal, saka ini akan mencari keturunannya pula.

2.      Khidmat rawatan menggunakan makhluk halus.
Seseorang yang mendapatkan rawatan dari perawat yang menggunakan makhluk halus sebenarnya telah membuka ruang kepada khadam perawat tersebut untuk memasuki dan menyerap dalam tubuhnya. Rawatan ini biasanya melibatkan upacara yang aneh dan pelik seperti menurun, main puteri, tok bageh, bedah batin, ulek mayang, alin telur dan yang seumpamanya. Begitu juga perbuatan menggantung atau menyimpan sebarang tangkal, azimat, wafaq atau barang berpuja yang dibekalkan oleh perawat tersebut boleh mengundang gangguan kepada diri dan kediaman mangsa.

3.      Memagar atau mendinding rumah dengan cara yang berlawanan syariat.
’Harapkan pagar, pagar makan padi’. Begitulah perbuatan memagar kediaman dengan cara yang salah. Ia sebenarnya menjerumuskan penghuni kediaman kepada gangguan makhluk halus. Ini kerana yang ditugaskan untuk menjaga rumah bukanlah malaikat tetapi makhluk-makhluk halus yang lambat laun akan menjahanamkan keharmonian rumahtangga. Apabila tuan rumah meninggal dunia, makhluk yang menjaga rumah tersebut tetap mendiami rumah tersebut dan menimbulkan gangguan kepada penghuni dan keturunannya.

4.      Menyimpan barang-barang berunsur khurafat.
Seseorang yang menyimpan barangan yang pernah menjalani suatu upacara khusus seperti keris yang dipuja, tombak yang dimandikan darah; atau batu permata yang dikatakan diambil dari alam ghaib; atau barang perhiasan seperti tepak sirih yang diwarisi dari pengamal ilmu-ilmu khurafat; atau barang kemas yang diwarisi secara turun temurun dengan syarat-syarat tertentu, maka besar kemungkinan ianya boleh menimbulkan gangguan misteri. Melalui pengalaman penulis, barangan tersebut biasanya dihuni dan dijaga oleh makhluk halus ini.
BENARKAH SAKA ITU ROH NENEK MOYANG?
Ramai orang tersalah anggap tentang makhluk saka ini. Mereka menyangka bahawa ianya adalah roh ibu bapa atau nenek moyang yang telah meninggal dunia. Sebenarnya anggapan sedemikian sangat silap dan meleset. Apabila seseorang meninggal dunia, rohnya akan dibawa ke alam barzakh, iaitu alam yang memisahkan antara hidup dunia dengan kehidupan akhirat kelak. Roh manusia yang telah meninggal dunia tidak akan kembali semula ke dunia sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mu’minun ayat 99-100: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa Allah tidak akan sesekali membenarkan roh orang yang telah mati terutamanya roh orang yang kufur untuk kembali ke dunia. Jikalau benar roh-roh ini dibenarkan kembali, nescaya penulis yakin mereka tidak akan membuang masa untuk mengganggu anak cucu tetapi mereka pasti akan ke rumah ibadah untuk beribadah dan melakukan pelbagai lagi amalan soleh sebagai bekal untuk pulang semula ke akhirat. Sebaliknya, yang mengganggu anak cucu itu adalah jin dan syaitan yang mengambil kesempatan atas kejahilan manusia. Adakalanya seseorang itu tidak mengetahui bahawa ada sesuatu yang mendampinginya. Apabila dia meninggal dunia, makhluk tadi akan mencari pendamping baru yang mempunyai pertalian darah dengan si mati tadi.

Penulis membuat satu andaian, bahawa penyakit genetik merupakan satu istilah perubatan moden yang sebenarnya adalah merujuk kepada saka. Kita biasa mendengar, jika datuk atau bapa ada sakit jantung dan darah tinggi, kemungkinan anak atau cucu lelakinya akan mewarisi penyakit yang sama kelak. Jika nenek atau ibunya menghidap kencing manis, maka besar kemungkinan anak perempuannya akan turut terkena kencing manis. Bahkan, banyak penyakit-penyakit moden yang dikenali dalam perubatan moden dikatakan mempunyai kaitan dengan genetik dan faktor keturunan seperti kanser, ketumbuhan, tumor dan sebagainya.

MEMBUANG SAKA BERDASARKAN KISAH NABI MUSA DAN SAMIRI
Tidak dinafikan bahawa merawat penyakit berpunca dari saka agak sukar terutama apabila ada ahli keluarga yang membantah dan enggan bekerjasama ekoran silap faham tentang isu saka ini. Penulis ingin membawa satu kaedah yang ditunjukan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah Ta-Ha ayat 97: ”Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ‘, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.”

Kisah ini adalah berkenaan seorang lelaki bernama Samiri dari umat Nabi Musa a.s. Menurut Ibnu Abbas r.a., Samiri adalah seorang penduduk Bajarma dan berasal daripada kaum yang menyembah berhala. Ketika Nabi Musa pergi bermunajat kepada Allah selama 40 hari di bukit Tursina, Samiri telah mencipta patung seekor lembu betina dari emas untuk dijadikan bahan sembahan Bani Israel. Ahli sejarah berpendapat patung lembu tersebut adalah patung Hathor (patung lembu sapi betina dengan kepalanya dihiasi cakera matahari) atau Hapis (patung lembu jantan). Istimewanya, patung lembu tersebut boleh bercakap. Menurut Ibnu Kathir dan Ath-Tabari, kebolehan patung itu bercakap adalah kerana pertolongan syaitan melalui ilmu sihir yang diamalkan oleh Samiri. Rahsia tersebut ialah dengan mengambil segenggam tanah yang dipijak oleh kuda tunggangan Jibrail as. dan dicampakkan ke dalam adunan emas yang sedang dibakar. Terpukau dengan lembu yang boleh bercakap, maka bani Israel telah menjadikannya sebagai tuhan sembahan.

Sekembalinya Nabi Musa dari munajatnya, baginda terkejut dengan apa yang berlaku. Lalu baginda menghalau Samiri. Baginda juga membakar dan menghancurkan patung lembu tersebut dan menaburkan abunya di laut sehingga hilang lenyap. Seterusnya, nabi Musa memerintahkan  agar bertaubat kepada Allah melalui firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 54: ”Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

Langkah 1: Musnahkan barang kediaman saka
Berdasarkan dua ayat di atas, terdapat dua langkah utama yang perlu dilakukan oleh pesakit untuk mengelakkan gangguan makhluk jin dan syaitan. Yang pertama ialah dengan menghapuskan sesuatu yang pernah dijadikan sebagai bahan perlindungan, bahan sembahan, bahan pergantungan atau bahan simbolik perjanjian dengan syaitan dengan cara membakar, menghancur dan membuangnya jauh-jauh ke laut atau sungai. Oleh itu, jika kita ada menyimpan barangan-barangan tertentu yang disimpan secara khas dengan syarat tertentu, maka eloklah dimusnahkan supaya gangguan dapat dielakkan. Sekiranya barang tersebut berupa senjata lama yang perlu melalui upacara khusus seperti perlu diperasap pada malam bulan purnama; atau mungkin ianya disimpan dengan balutan khusus berwarna tertentu, maka cara  untuk mematikannya ialah dengan membuangnya ke laut sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Musa.

Sekiranya barang itu berupa barang kemas yang diwarisi dari seseorang yang diketahui terlibat dengan perkara-perkara khurafat dan mengamalkan ilmu-ilmu kebatinan, maka barang kemas tersebut perlu dilupuskan dengan cara menjualnya kepada tukang emas untuk dileburkan. Sekiranya barang tersebut berupa barang perhiasan yang diperbuat dari tembaga seperti tepak sirih, dulang, pahar atau kacip pinang, cara untuk memusnahkannya ialah dengan melupuskan ia dari kepunyaan kita sama ada dengan menjual atau membuangnya jauh-jauh.

Sekiranya bahan tersebut berupa fabrik, pakaian atau kertas, cara untuk menghapuskannya ialah dengan membakarnya. Ada pesakit yang berasa sedih apabila barang-barang tersebut termasuk gambar dimakan api. Sebenarnya, cara terbaik untuk mengingati keturunan kita yang telah meninggal dunia ialah dengan berdoa memohon agar rohnya dirahmati Allah, membuat majlis tahlil arwah dan lain-lain ibadah dengan niat agar Allah menyampaikan pahala tersebut kepada mereka. Menyimpan barang kenangan belum tentu menambah pahala kepada si mati.

Langkah 2: Banyakkan taubat
Setelah kesemua barangan tersebut dimusnahkan, maka pesakit perlu memperbanyakkan taubat, memohon ampun kepada Allah atas segala kejahilan dan kekufuran yang telah dilakukan. Cara taubat yang sebaik-baiknya ialah melalui taubat terpimpin iaitu dengan menemui seorang pembimbing dari kalangan orang alim yang beramal dengan ilmunya dan belajar cara taubat yang sebetulnya. Kebiasaannya, sebahagian besar masalah tersebut akan dapat di atasi melalui kaedah banyak bertaubat.

PESANAN UNTUK PEWARIS SAKA
Dalam banyak situasi, ahli keluarga pesakit enggan mengaku bahawa keluarga mereka ada mewarisi saka. Bahkan, ada juga yang memarahi perawat kerana membuat tuduhan melulu. Dalam menghadapi keadaan ini, ahli keluarga pesakit tidak perlu melenting apabila didapati punca penyakit misteri yang dihidapinya berpunca dari gangguan saka. Perawat pula janganlah beriya-iya menyalahkan keturunan pesakit sebagai punca masalah. Sebaik-baiknya kedua-dua pihak, sama ada pesakit atau perawat, berlapang dada menerima kenyataan bahawa masalah yang dihadapi adalah berpunca dari kejahatan dan dendam kesumat iblis dan syaitan terhadap Adam dan keturunannya. Firman Allah Taala dalam surah Al-A’raf ayat 16-17: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.

Penulis yakin tidak ada ibu bapa atau datuk nenek kita yang ingin melihat keturunannya hidup dalam penderitaan dan ketakutan. Adakalanya, mereka sendiri tidak menyedari bahawa amalan tersebut menjadi punca kedatangan jin kafir dan syaitan untuk menganggu anak cucu mereka. Kadang-kadang, dorongan nafsu untuk menjadi kaya, menjadi hebat, menjadi cantik menyebabkan mereka beramal dengan ilmu-ilmu tersebut. Oleh yang demikian, jangan sesekali menyalahkan ibu bapa, datuk nenek atas kesilapan mereka. Apa yang perlu kita lakukan ialah memohon kepada Allah agar Allah mengampunkan dosa adn kejahilan mereka. Dalam masa yang sama, kita berikhtiar untuk sembuh dengan cara yang ditunjukkan oleh Allah dalam Al-Quran.

Monday, July 8, 2013

SYURGA UNTUK ORANG YANG KERASUKAN



Artikel Majalah Al-Islam Bulan Julai 2013
Oleh: Dr Mahyuddin Bin Ismail

Pada suatu hari, ketika Atha’ b. Abi Rabah sedang mengiringi Ibnu Abbas r.a., mereka ternampak seorang wanita berkulit hitam di sisi Kaabah. Lantas Ibnu Abbas berkata kepada Atha’: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibnu Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh”. Nabi saw bersabda:  “Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu.” Lalu wanita itu berkata: “Aku (pilih untuk) bersabar”. Wanita itu berkata lagi: “Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah.” Maka Nabi berdoa untuknya.” Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab shahihnya, juz 17, hlm. 389, hadis no. 5220.

Wanita yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah Ummu Zufar. Beliau ditimpa penyakit misteri iaitu kerasukan jin. Apabila dirasuk, beliau akan berkelakuan luar dari kebiasaan sehingga auratnya terdedah. Beliau bertemu Rasulullah SAW untuk memohon didoakan kesembuhan baginya. Maka Rasulullah SAW memberi dua pilihan; sama ada beliau bersabar dan sebagai balasan, beliau akan masuk syurga; atau beliau akan sembuh dengan berkat doa Baginda. Wanita itu memilih untuk bersabar dan mohon Nabi SAW doakan agar auratnya tidak terdedah. Setiap kali beliau dirasuk, beliau akan berada dalam keadaan bersujud dengan kedua tangannya memeluk tubuh. Dengan cara demikian, auratnya tidak terdedah.

Hadis ini sangat sesuai untuk dijadikan pedoman oleh sebahagian orang-orang Islam yang ditimpa penyakit misteri dan kerasukan. Ada antara mereka yang telah menanggung penyakit tersebut bertahun-tahun, malah ada yang berbelas dan berpuluh tahun. Walaupun beratus perawat telah ditemui dan beratus jenis ubat telah ditelan, penyakit tidak juga sembuh. Ada sebahagian dari mereka yang dapat bersabar. Tidak kurang juga yang berkata: “Apa sahaja kaedah rawatan, bomoh ke, pawang ke, bomoh orang asli ke, tok cha siam ke, aku tak kisah. Yang penting, aku sembuh”.

Jika diteliti peristiwa yang berlaku kepada Ummu Zufar, secara tidak sedar, seseorang yang mengalami gangguan misteri terutamanya kerasukan telah mendapat suatu jaminan berupa syurga sekiranya dia bersabar. Bagi seseorang yang ditimpa gangguan makhluk halus, memang agak sukar untuk menerima perkataan ‘sabar’. Seboleh-bolehnya beliau ingin segera dirawat dan cepat sembuh. Mereka ibarat seorang yang sedang lemas di lautan. Apa sahaja yang dapat dicapai, maka akan segera dipautnya sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan diri. Kalau yang dicapai itu pelampung keselamatan, Alhamdulillah, dia akan selamat. Tetapi, apa akan jadi kalau yang dipautnya itu ialah seekor jerung atau buaya?

Manusia yang ditimpa musibah ini boleh dibahagikan kepada 3 kategori:
·        Kategori 1 ialah kumpulan manusia yang apabila ditimpa musibah, maka mereka akan mengeluh dan merasa susah hati, lalu mereka melakukan apa yang diharamkan Allah seperti mendapatkan khidmat rawatan yang mengandungi unsur khurafat.
·        Kategori 2 pula ialah kumpulan manusia yang bersabar atas musibah, menahan lidah dari mengeluh dan dapat menahan diri dari melakukan apa yang diharamkan Allah. Maka mereka adalah golongan yang bersabar dan peluang untuk masuk ke syurga sangat cerah.
·        Kategori 3 ialah kumpulan manusia yang bukan sahaja dapat bersabar, malah redha dan bersyukur dengan setiap takdir Allah ke atas dirinya. Maka, orang ini bukan sahaja mendapat pahala sabar, bahkan mendapat keredhaan Allah serta dilipat gandakan ni’matnya di dalam syurga. Diriwayatkan dalam satu hadis Sahih bahawa seseorang mukmin yang mempunyai sifat sabar dan redha akan mendapat kedudukan yang tinggi di dalam syurga yang tidak dapat dicapai oleh orang lain. Kedudukan tersebut dicapai bukan kerana banyak amal ibadahnya, tetapi disebabkan kesabaran dan keredhaan atas musibah-musibah yang ditimpakan ke atasnya.

Nah! Sekarang jelas betapa besarnya balasan yang Allah sediakan kepada insan-insan yang diuji dengan derita kerasukan. Sememangnya bukan mudah untuk berhadapan dengan musibah ini. Bagi mereka yang mengalami gangguan ini, maka mereka akan mengakui betapa ia memerlukan kesabaran yang  tinggi. Sekira berjaya diharungi, maka beruntunglah. Namun, sekiranya gagal, mereka bukan sahaja rugi di dunia, malah rugi di akhirat. Oleh yang demikian, sebagai panduan kepada insan-insan yang berhadapan dengan musibah berbentuk gangguan makluk halus ini, maka anda perlu memahami beberapa perkara:

1.      Kerasukan sebenarnya adalah salah satu ujian Allah terhadap keimanan kita. Walaupun ianya berupa gangguan dari syaitan dan jin, kita tidak perlu merasa takut atau gentar kerana ianya datang dengan ketetapan dari Allah. Allah tidak akan menghantar jin dan syaitan untuk menguji kita melainkan Dia mengetahui bahawa kita mampu menghadapinya. Justeru, sayugia anda melazimi solat hajat dan berdoa mohon dikurniakan kekuatan untuk menghadapinya dan disembuhkan. 

2.      Kerasukan juga adalah satu proses Allah menghapuskan dosa-dosa kita dan menyedarkan kita dari kelalaian. Mungkin ada ketikanya kita melakukan dosa tanpa sedar. Oleh itu, diutusnya jin dan syaitan yang merasuk kita agar kita insaf dan sedar atas kesalahan dan kelalaian kita. Sabda Nabi SAW: “Tidaklah suatu musibah menimpa seseorang Muslim, kecuali Allah menghapuskan dengan musibah itu akan dosanya walau sekadar duri yang menusuknya”. Oleh itu, sayugia anda melazimi solat sunat taubat dan sentiasa beristighfar. 

3.      Kerasukan merupakan jalan pintas ke syurga, tetapi dengan syarat kita sabar dan redha. Maka, sayugia kita melazimi diri dengan amalan zikir dan tafakur di dalam hati sanubari sehingga terbuka tabir-tabir rahsia kejadian itu. Apabila tersingkap tabir tersebut, maka barulah kita sedar bahawa apa sahaja yang Allah takdirkan kepada kita merupakan satu ni’mat dan pemberian yang mengandungi 1001 hikmah. Amalan zikir dan tafakur ini perlu dipelajari dari seorang guru yang mursyid, bukan diambil dari buku, CD atau internet.

Amat malang kerana terdapat sebilangan pesakit yang mengalami gangguan misteri ini mensia-siakan peluang keemasan ini. Mereka pergi mendapatkan rawatan dari perawat-perawat yang menggunakan kaedah yang bertentangan dengan syariat seperti menilik jenis dan punca penyakit, membedah secara batin, memakai tangkal pendinding, rawatan jarak jauh, menggunakan pertolongan jin atau bunian dan pelbagai lagi. Sesungguhnya kaedah-kaedah tersebut dilarang melalui hadis-hadis yang banyak diriwayatkan dari Rasulullah SAW. Bahkan orang sebegini dibimbangi terkeluar dari golongan umat Nabi Muhammad SAW.

Dari Ibnu Abbas r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Telah ditunjukkan kepadaku berbagai-bagai umat. Aku melihat ada seorang Nabi dan bersamanya sekumpulan kecil manusia (antara 3 hingga 10 orang). Ada pula Nabi yang bersamanya seorang atau dua pengikut sahaja, bahkan ada pula Nabi yang langsung tidak mempunyai pengikut. Lalu diperlihatkan kepadaku satu kumpulan manusia yang besar, lalu aku mengira bahawa mereka itulah umatku. Lalu dikatakan padaku: "Ini adalah Musa dengan kaumnya. Tetapi sekarang lihatlah ke ufuk sana”. Kemudian aku pun melihatnya, lalu kelihatan di situ suatu gerombolan umat yang besar. Selanjutnya dikatakan pula kepadaku: "Sekarang lihatlah ke ufuk sana pula." Kelihatan di situ suatu kelompok manusia yang besar juga. Lalu dikatakan kepadaku: "Itulah umatmu dan beserta mereka itu ada sejumlah 70,000 orang yang dapat memasuki syurga tanpa hisab dan tidak terkena siksa." Kemudian Rasulullah s.a.w. bangun dan terus memasuki rumahnya. Para sahabat yang hadir berbincang-bincang mengenai kumpulan manusia yang memasuki syurga tanpa dihisab dan tanpa disiksa itu. Sebahagian dari sahabat itu ada yang berkata: "Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang telah menjadi sahabat Rasulullah s.a.w." Sebahagian lagi pula berkata: "Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang dilahirkan di zaman sudah munculnya agama Islam, kemudian tidak pernah mempersekutukan sesuatu dengan Allah." Dan pelbagai lagi andaian lain yang mereka kemukakan. Rasulullah s.a.w. lalu keluar menemui mereka lalu bertanya: "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan itu?" Para sahabat memberitahukan hal itu kepada Baginda. Selanjutnya Baginda s.a.w. bersabda: "Orang-orang yang memasuki syurga tanpa hisab dan siksa itu ialah mereka yang tidak pernah menjampi, tidak minta dijampi oleh orang lain (karena sangatnya bertawakkal kepada Allah), tidak melakukan tilikan dan mereka yang bertawakkal kepada Tuhannya." 'Ukasyah bin Mihsan al-Asadi, kemudian berkata: "(Ya Rasulullah), Doakanlah kepada Allah supaya saya termasuk golongan mereka itu." Baginda s.a.w. lalu bersabda: "Engkau termasuk golongan mereka." Selanjutnya ada pula orang lain yang berdiri lalu berkata: "Doakanlah saya kepada Allah supaya saya oleh Allah dijadikan termasuk golongan mereka itu pula." Kemudian Baginda SAW bersabda: "Permohonan seperti itu telah didahului oleh 'Ukasyah." (Muttafaq 'alaih).

Berdasarkan hadis di atas, maka kita faham bahawa syarat utama untuk bergelar umat Nabi Muhammad SAW ialah menjauhkan diri dari amalan syirik dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Memadailah bagi seseorang yang mengalami kerasukan untuk terus bersabar dan melazimi lidah dengan sebutan La Ilaha Illallah sebanyak-banyaknya. Dengan cara ini, seseorang itu akan diberikan kekuatan oleh Allah dalam dirinya untuk menghadapi gangguan tersebut. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat ke 27: ”Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat...” Selain itu, sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat: ”Perbaharuilah (teguhkanlah dan kuatkanlah) iman kamu dengan memperbanyak sebutan kalimah La Ilaha Illallah.” Selain menguatkan iman kita, kalimah ini juga berupaya menjadi benteng terhadap serangan makhluk tersebut. Firman Allah SWT dalam sebuah hadis Qudsi: ”Barangsiapa menyebut La Ilaha Illallah, nescaya dia telah masuk ke dalam benteng Aku. Barang siapa yang masuk ke dalam benteng Aku, maka akan selamat dari siksaan azabKu.”

Friday, June 21, 2013

PEMBUKTIAN JENAYAH SIHIR MELALUI SAINS - UTUSAN MALAYSIA 20 JUN 2013

SISIPAN MEGA-UTUSAN MALAYSIA- 20 JUN 2013
 
BONGKAR SIHIR MELALUI SAINS...

 PEMBUKTIAN JENAYAH SIHIR MELALUI KEPAKARAN PERAWAT DI GAPPIMA, APLIKASI SAINS FORENSIK DAN PENGGUNAANTEKNOLOGI BIOFEEDBACK



Wednesday, May 15, 2013

BENGKEL KAJIAN UNDANG-UNDANG SIHIR JAKIM-UMP


PERBINCANGAN Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini mencapai persetujuan bagi mewujudkan satu undang-undang khusus mengenai jenayah sihir.

Keputusan dicapai melalui program muzakarah Kajian Undang-Undang Sihir anjuran Jakim melalui Jabatan Penasihat Undang-Undang yang diadakan di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor.

Justeru, pasukan kajian khas akan ditubuhkan bagi meneliti undang-undang tersebut yang diketuai oleh Pensyarah Kanan UPM, Dr. Mahyuddin Ismail yang juga merupakan penulis buku Ahli Sihir ke Tali Gantung.

Muzakarah selama tiga hari iaitu pada 28 hingga 30 April lalu itu diadakan bertujuan untuk mendapatkan pandangan mengenai pengamalan sihir di Malaysia dan pihak pelaksana yang terlibat secara langsung dalam menangani kes-kes berkaitan amalan sihir.

Program yang dihadiri oleh pakar dalam bidang sihir tersebut turut membincangkan mekanisme perundangan yang sesuai serta perkara-perkara lain yang berkaitan dalam usaha untuk menghasilkan kajian yang komprehensif bagi menangani isu berkaitan sihir.

Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama negeri, Ahli Akademik, wakil Kementerian Kesihatan, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal pengubatan Islam dan pengamal undang-undang.

Sebanyak lapan tajuk kertas kerja serta satu perkongsian pengalaman dibentangkan menerusi perbincangan tersebut, antaranya bertajuk Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Sihir di Malaysia oleh Dr. Mahyuddin, Amalan Sihir Masyarakat Melayu oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Ahli Jawatan Kuasa Fatwa, Datuk Dr. Amran Kasimin dan Amalan Sihir Sebagai Satu Kesalahan: Pandangan dan Pengalaman Pengamal Undang-Undang disampaikan oleh, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

BATU DIGORENG, PENCURI KEPANASAN- RAWATAN JARAK JAUH



BATU DIGORENG, PENCURI KEPANASAN
RENCANA MAJALAH AL-ISLAM FEBRUARI 2013
 
Suatu masa,  tangan saya pernah terseliuh.  Apabila dibawa berjumpa seorang bomoh patah, dia hanya mengukur lengan saya dengan sebatang lidi kelapa dan menyuruh saya pulang.   Dia berpesan,  jika terasa sesuatu mengurut lengan saya pada malam nanti,  itu adalah sebahagian proses rawatan.  Pada waktu itu, saya baru berusia 15 tahun dan belum memahami kaedah rawatan yang digunakan. Namun, lama-kelamaan baru saya sedar tentang kaedah rawatan jarak jauh.

Hari ini, muncul pelbagai kaedah rawatan jarak jauh. Hanya bank-in duit, SMSkan nama, nombor telefon, hajat anda akan diusahakan. Jika para pembaca google perkataan ‘rawatan jarak jauh’, berlambak-lambak perkhidmatan sebegini ditawarkan melalui internet. Bukan sahaja orang Melayu, bangsa lain termasuk orang barat yang bukan beragama Islam juga mengamalkan kaedah ini.

Bila ada yang menelefon saya minta dirawat atau didiagnos dari jarak jauh, maka saya rasa terpanggil untuk menghuraikan permasalahan ini. Mudah-mudahan kita semua dilindung oleh Allah dari melakukan perbuatan yang menyalahi syariat Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

DIAGNOS PENYAKIT DARI JARAK JAUH
Bagi mereka yang sukar bertemu perawat, perkhidmatan diagnos (atau lebih popular dengan istilah scan) dari jauh disediakan. Pesakit tidak perlu hadir bertemu perawat. Memadai hanya melalui telefon atau SMS nama pesakit, nama ibu dan tarikh lahir. Segalanya dilakukan secara on-line. Perawat akan meneliti nama pesakit dan angka-angka yang diberi untuk menentukan jenis dan punca penyakit. Kaedah diagnos sebegini merupakan sebahagian amalan menilik yang dilarang dalam Islam. Kaedah ini sama sahaja dengan apa yang dilakukan pada zaman jahiliyyah di mana dukun dan pawang hanya memerlukan nama pesakit dan nama ibunya serta tarikh lahir untuk ditilik. Nabi SAW melarang perbuatan ini dengan sabdanya: “Barangsiapa yang datang berjumpa bomoh dan tukang tilik, segala amal ibadah solatnya tidak akan diterima selama 40 malam”.

Seseorang yang mempunyai kebolehan menilik sebenarnya dikurniakan kasyaf. Kasyaf ialah suatu keadaan seseorang itu dibukakan hijab pandangan matanya sehingga dapat melihat sesuatu yang ghaib, yang tiada di hadapannya. Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa kasyaf ini boleh jadi kurniaan dari Allah dan boleh jadi dari tipu daya syaitan. Cara paling mudah untuk membezakannya ialah dengan melihat kekerapan kejadiannya. Kasyaf yang dikurniakan Allah hanya berlaku sekali sekala dan tidak boleh ditentukan. Ianya datang secara mengejut dan tidak boleh diprogramkan.

Sebagai contoh, Saidina Umar sendiri pernah dikurniakan kasyaf, dibukakan hijab pandangan sehingga dapat melihat pasukan tentera Islam yang diketuai sahabat bernama Sariyah dalam bahaya. Saat tersebut berlaku ketika Umar sedang menyampaikan khutbah di Madinah sedangkan Sariyah dan tenteranya berada di Dakhistan yang jaraknya beratus kilometer dari ibu kota tersebut. Perkara itu berlaku hanya sekali sahaja dan tanpa diprogramkan oleh Umar. Manakala pada malam beliau dibunuh, orang yang menikamnya iaitu Abu Lu’luah hanya berada beberapa kaki di belakangnya sahaja. Sekiranya kasyaf itu boleh diprogramkan, maka sudah tentu Umar dapat melihat tindakan Abu Lu’luah itu. Oleh sebab itu, para ulama mengatakan bahawa terbukanya hijab sehingga dapat melihat perkara-perkara ghaib merupakan sebahagian karamah. Ianya terjadi mengikut kehendak Allah dan tidak boleh diatur mengikut kehendak kita.

Kasyaf syaitan dan jin pula boleh diatur mengikut kehendak kita. Sebab itu, orang yang mendakwa boleh melakukan tilikan atau melihat sesuatu yang ghaib, maka mereka perlu berhati-hati kerana kemungkinan iaya adalah tipu daya syaitan. Ia bukanlah deria keenam atau kebolehan istimewa. Ketika Nabi Muhammad SAW disihir oleh Labid al-A’sam, baginda sendiri tidak menyedari bahawa baginda disihir sehingga dimaklumkan oleh para malaikat. Sekiranya Nabi SAW dan para sahabat boleh mengetahui perkara ghaib melalui tilikan, maka sudah tentu Nabi SAW dapat mengelakkanya. Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 188: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah; dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

RAWATAN JARAK JAUH
Selain scan, ada juga perawat yang menyediakan perkhidmatan merawat penyakit dari jarak jauh. Antara yang paling popular ialah membuang saka dari jarak jauh atau menghapus sihir dengan mengambil barang sihir dari jauh. Pesakit hanya perlu berada di rumah dan melakukan beberapa perkara seperti yang diarahkan perawat. Sesetengah perawat meminta pesakit membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran ketika rawatan untuk menampakkan ciri Islamik.
Sekiranya diteliti kisah Nabi SAW disihir oleh Labid al-A’sam, baginda sendiri memerintahkan para sahabat agar pergi ke telaga Za’rawan dan menyuruh mereka meleraikan ikatan sihir tersebut. Tidak ada riwayat mengatakan nabi menyuruh mana-mana malaikat mengambilnya secara ghaib. Kisah ini memberi panduan kepada para perawat akan selok-belok perubatan Islam yang sebenar.

Ada juga perawat yang menyediakan khidmat ‘memulangkan semula’ sihir kepada pembuatnya. Mereka menggunakan objek tertentu seperti keris, serban, sejadah dan seumpamanya untuk menghukum diri penyihir yang melakukan sihir terhadap pesakitnya. Beberapa potong ayat al-Quran dibaca dan dihembus kepada objek tersebut. Serban atau sejadah ini dipukulkan pada tubuh pesakit dengan niat memindahkan kesakitan pukulan kepada penyihir. Dengan kaedah ini, mereka yakin penyihir akan merasa sakit terkena pukulan atau tikaman.

Dalam hadis tentang kisah Nabi SAW disihir oleh Labid al-A’sam, Aisyah bertanya kepada baginda mengapa bahan-bahan sihir yang ditemui dalam telaga Za’rawan tidak dibakar, mudah-mudahan si penyihir tersebut merasai kesakitan. Jawab Nabi SAW: “Allah telah menyembuhkan aku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain”. Itulah uswah contoh terbaik yang perlu diteladani oleh para perawat Islam. Tidak perlu membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan.

MENGHUKUM DAN MEMUKUL DARI JARAK JAUH
Islam juga melarang para perawat menghukum seseorang yang melakukan kejahatan dengan menggunakan kaedah yang tiada dalam sunnah. Sebagai contoh, dalam kes kecurian, ada pengamal yang mensyaratkan mangsa merebus telur yang telah dilukiskan wajah pencuri. Menurut pengamal ini, selagi mangsa tidak memulangkan barang tersebut, selagi itu dia akan berasa panas. Selain telur, ada juga pengamal yang mensyaratkan mangsa supaya menggoreng batu sambil membaca ayat ke 16 surah Luqman sebanyak 116 kali. Memang ada ulama yang memberi panduan agar membaca ayat tersebut, mudah-mudahan Allah mengembalikan semula barang tersebut. Yang menjadi khurafatnya ialah apabila ayat tersebut mesti dibaca sambil menggoreng batu dengan niat pencuri tersebut akan kepanasan. Kaedah menggoreng adalah amalan yang diajar oleh pawang dan bomoh. Contoh amalan sedemikian merupakan percampuran antara kaedah perubatan Islam dan amalan-amalan khurafat.

Ilmu pertahanan diri turut diresapi penggunaan unsur ghaib dan mistik seperti jurus kebatinan. Di Malaysia, pertubuhan seperti persaudaraan al-Maunah, Nasrul haq, penjuru 13 dan seumpamanya mengajar pengamalnya teknik pukulan dan jurus jarak jauh. Ada pengamalnya yang mendakwa bahawa ianya pernah digunakan oleh para sahabat. Lalu dinamakan jurus Saidina Umar dan Silat Saidina Ali. Agak melucukan kerana para sahabat tidak pernah mengasaskan mana-mana persilatan. Apabila pergi berperang, para sahabat akan berdepan secara bersemuka dengan musuh, bukannya menggunakan jurus sebagaimana yang didakwa. Mereka meminta Nabi SAW mendoakan agar mereka beroleh syahid. Jadi, tidak mungkin ada antara mereka yang menggunakan jurus dari jarak jauh untuk berperang dengan tentera musuh.

MENGAMBIL BARANG GHAIB DARI JARAK JAUH
Masyarakat Islam di Malaysia turut digembar-gemburkan dengan kebolehan perawat mengambil barang dari jauh, atau barang dari alam ghaib, atau menarik duit dan harta karun. Perkara ini juga merupakan sebahagian dari tipu daya syaitan terhadap manusia. Sebenarnya, kebolehan mengambil batu permata dari perut bumi, mutiara dari lautan, objek-objek tertentu seperti singgahsana, keris dan sebagainya merupakan salah satu kebolehan yang dimiliki oleh para jin. Fakta ini sudah dinyatakan secara jelas dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. khususnya dalam ayat 12 surah Saba. Oleh itu, sekiranya ada perawat yang mempunyai kebolehan membawa sesuatu dari alam ghaib atau sesuatu yang berada jauh dari kita, janganlah kita merasa takjub dan hairan. Itu semua adalah tipu daya syaitan agar kita mempercayai kehebatan perawat tanpa  menyedari ia didalangi syaitan.

ISLAM DAN KAEDAH PERUBATAN JARAK JAUH
Islam telah menyediakan panduan kepada penganutnya dalam soal halal dan haram. Sebagaimana yang kita maklum, sumber pengambilan hukum syariat perlu berdasarkan sumber utama yang disepakati iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Al-Ijma dan Al-Qiyas. Dalam perubatan Islam, prinsip yang sama perlu diguna pakai. Segala kaedah dan bahan yang digunakan perlu mempunyai sandaran nas-nas atau pendapat ulama. Hari ini, ramai perawat yang memakai title ustaz, ustazah dan perawat Islam tetapi masih menggunakan kaedah perubatan jahiliyyah. Sesetengah mangsa terpedaya kerana mereka menggunakan ayat Al Quran.

Perbuatan menemui perawat yang mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti punca penyakit melalui ramalan, tilikan, imbasan (scan), ilham dan lain-lain unsur mistik boleh menjerumuskan kita ke dalam tipu daya syaitan. Ini kerana berita-berita ghaib yang disampaikan oleh mereka adalah bersumber dari syaitan dan jin yang dijadikan khadam atau sahabat. Firman Allah Taala dalam surah As-Syu’ara ayat 221-223: ”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”

Melalui tilikan, perawat mendakwa pesakit terkena buatan orang, dimandrem, terkena ilmu hitam, terkena guna-guna, santau angin dan sebagainya. Kepercayaan kepada dakwaan sedemikian mengundang pelbagai kesan negatif dan ianya perlu dihindari. Sebagai seorang Islam, kita wajar menyiasat dahulu adakah dakwaan sedemikian benar. Perbuatan menuduh seseorang melakukan perbuatan mensyirikkan Allah (iaitu sihir dan ilmu hitam) boleh menjejaskan akidah sekiranya tuduhan tersebut tidak benar. Allah SWT telah mengingatkan kita akan bahaya mempercayai berita, cerita, perkhabaran, telahan, ramalan atau tuduhan yang dilakukan oleh orang fasik. FirmanNya dalam surah Al Hujurat ayat 6: ”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”