Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Friday, December 21, 2012

BELAJAR ILMU LADUNI DARI NABI KHIDIR A.S



BELAJAR ILMU LADUNI DARI NABI KHIDIR A.S.
Dr. Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan di Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang

Baru-baru ini, penulis dimaklumkan ada hamba Allah di Pahang dan Negeri Sembilan yang mendakwa selalu dikunjungi oleh Nabi Khidir a.s. dalam pelbagai rupa untuk membantunya melakukan rawatan. Di Terengganu pula, ada yang mendakwa diajar ilmu laduni oleh Nabi Khidir dan orang-orang tertentu. Mungkin ini adalah satu kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka dan ia tidak mustahil boleh terjadi. Namun, dari satu sudut, kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan sunnah untuk menilai sama ada ianya sesuatu yang benar dari Allah SWT, atau hanya tipu daya jin, syaitan dan iblis.
Dalam Al-Quran, terdapat satu kisah pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari ilmu laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini. Kisah ini diabadikan oleh Allah SWT dalam surah Al-Kahfi bermula ayat 60-82. Menurut Imam al-Razi dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah SWT, adakah terdapat manusia yang lebih alim dari baginda. Lalu Allah SWT berfirman bahawa ada seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir. Nabi Musa a.s. lalu memohon kepada Allah SWT untuk bertemu dan belajar dari Khidir. Para ulama berselisih pendapat tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan beliau adalah wali Allah. Namun, majoriti berpendapat bahawa beliau adalah salah seorang Nabi.

Perjalanan Musa yang jauh untuk bertemu Khidir
Kita mulakan kisah ini dengan meneliti firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi, ayat 60: "Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: 'Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan; atau aku akan terus berjalan sampai bertahun-tahun."
Ayat di atas menceritakan beberapa syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh Nabi Musa a.s. Baginda berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir. Syarat kedua, sifat merendah diri dan tawaddu’. Walaupun Musa sudah bergelar Rasul dan mempunyai murid dan pengikut yang ramai, baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang nabi yang bukan bertaraf rasul. Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah rahsia dan tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah SWT. Nabi Musa hanya diperintahkan membawa bekalan dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan antara dua laut yang baginda sendiri tidak tahu di mana dan bila. Ketiga-tiga syarat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan Nabi Khidir bukan semudah yang disangka. Hatta Nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah SWT bertemu dengan Nabi Khidir. Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu dikunjungi Nabi Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang ada pada orang itu. Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada sifat mujahadah dalam melawan hawa nafsu, maka dakwaan tersebut perlu dinilai semula.

Titik Pertemuan Musa dan Khidir suatu yang rahsia
Kita sambung kisah seterusnya dengan meneliti firman Allah SWT dalam ayat 61-65: "Maka ketika mereka berdua sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka berjalan melampaui tempat itu, berkatalah Musa kepada muridnya: 'Bawalah ke mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan kita ini.' Muridnya menjawab: 'Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.' Musa berkata: 'Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami. "

Ayat di atas mengisahkan dugaan-dugaan dihadapi oleh Nabi Musa dalam perjalanannya untuk bertemu Khidir. Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup dan melompat berenang ke laut. Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yusya’ bin Nun. Malangnya, syaitan telah menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada Nabi Musa. Lalu mereka meneruskan perjalanan yang jauh sehingga Nabi Musa sekali lagi keletihan. Kejadian ini menunjukkan bahawa pertemuan dengan Nabi Khidir bukan sahaja akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan, malah syaitan akan turut datang untuk mengagalkannya. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa sering bertemu dengan Nabi Khidir tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan, maka kita perlu bertanya adakah yang datang itu benar-benar Nabi Khidir atau syaitan yang cuba memesongkan kita? Sama-sama kita fikirkan.

Syarat untuk belajar dari Khidir
Kisah ini diteruskan dengan firman Allah SWT dalam ayat 66-70:"Musa berkata kepada hamba Allah itu: “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepada ku ilmu dari apa yang telah Allah ajarkan pada kamu?” Jawab hamba Allah itu:" Sesungguhnya kamu Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu." Musa pun menjawab," Insya Allah kamu akan mendapati aku seorang yang sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan pun." Hamba Allah itu berkata:"Jika kamu mengikutiku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu."

Dari ayat di atas, terdapat perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan Khidir yang tegas menyatakan bahawa Musa tidak akan mampu bersabar dengannya. Dialog ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha dengan apa yang terjadi. Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan hal ini. Jika Nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat yang hebat pun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat cetek ilmu. Jika Nabi Musa yang dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara terus dengan Allah SWT pun dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana pula dengan kita yang sering mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah SWT. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi sabar dan redha, maka kita perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar Nabi Khidir.

Ujian pertama: Khidir merosakkan kapal
Dilanjutkan kisah ini dengan firman Allah SWT dalam ayat 71-73:"Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki bahtera lalu Khidir melubanginya. Musa berkata: “Mengapa kamu melubangi bahtera itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.' Dia (Khidir) berkata: 'Bukankah aku telah berkata: 'Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.' Musa berkata: 'Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.'

Ayat ini membuktikan kebenaran peringatan awal yang diberikan oleh Khidir kepada Musa. Tindakan aneh Khidir memecahkan dinding bahtera milik nelayan yang ditumpangi secara percuma itu menimbulkan persoalan di hati Musa. Sebab itulah Musa telah diberi peringatan agar berdiam diri dan merahsiakan sahaja apa yang terlintas di hati. Kisah ini sebenarnya memberi pengajaran bahawa seseorang yang dikurniakan ilmu laduni perlu bersabar dan menahan diri dari mempersoalkan apatah lagi bercerita tentang keajaiban dan keanehan ilmu kepada sesiapa. Oleh itu, sekiranya kita mendakwa memperolehi ilmu laduni dan asyik menceritakannya kepada orang, maka kita perlu bertanya adakah benar itu ilmu laduni? Sama-sama kita fikirkan.

Ujian kedua: Khidir membunuh kanak-kanak
Kisah tersebut disambung Allah SWT melalui firmanNya dalam ayat 74-76: “Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: 'Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar.' Khidir berkata: 'Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku?' Musa berkata: 'Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau memperbolehkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.'

Jika tadi Musa diuji oleh Khidir dengan kerosakan pada harta, sekarang Musa diuji pula dengan pembunuhan yang dilakukannya ke atas seorang kanak-kanak. Sebagai seorang Nabi yang memahami syariat, Musa dengan lantang bertanya Khidir tentang perkara itu. Lantas Khidir kembali mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya. Begitulah ujian demi ujian yang harus dilalui oleh seseorang yang ingin mendapatkan ilmu dan hikmah dari Nabi Khidir. Sabar dan redha sebenarnya adalah kunci kepada ilmu laduni. Justeru, seharusnya kita fikirkan adakah tahap kesabaran kita mencapai tahap kesabaran Nabi Musa yang tergolong dalam salah seorang Rasul yang mempunyai keazaman yang teguh (ulul Azmi)?

Ujian Ketiga: Khidir membaiki tembok
Allah SWT seterusnya berfirman dalam ayat 77-78:Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mau menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata: 'Jikalau kamu mau, nescaya kamu mengambil upah untuk itu.' Khidir berkata: 'Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.

Dalam kejadian terakhir ini, kedua-duanya tiba di sebuah desa dalam keadaan tersangat letih, haus dan lapar. Mereka berdua meminta makanan daripada penduduk desa itu, tetapi penduduk desa enggan menjamu mereka. Dalam keadaan itu, Khidir berusaha membina semula dinding sebuah rumah yang hampir roboh di desa itu. Perbuatannya membuatkan Musa kehairanan lalu bertanya mengapa tidak diambil upah atas kerjanya itu. Peristiwa ini menunjukkan bahawa seorang yang ingin berguru atau bersahabat dengan Khidir mestilah mempunyai sifat ikhlas yang tinggi. Dia seharusnya tidak menjadikan sikap buruk seseorang sebagai penghalang untuk dia berbakti kepada orang lain. Apa yang diharapkannya hanyalah keredhaan Allah SWT, bukannya habuan dunia. Ada ulama mengatakan bahawa pertanyaan Musa kepada Khidir tentang kejadian pertama (merosakkan bahtera) dan kejadian kedua (membunuh kanak-kanak) masih boleh dimaafkan oleh Khidir kerana Musa berbuat demikian demi kebaikan umat dan berlandaskan hukum syariat. Namun, apabila Musa mempersoalkan bayaran upah atas kerja yang dilakukan, pertanyaan tersebut mempunyai unsur keduniaan dan kepentingan diri. Pertanyaan itulah yang menjadi titik pemisah antara mereka berdua. Oleh itu, bagi seseorang yang benar-benar belajar ilmu laduni dari Nabi Khidir, sudah pasti dia dapat memahami dan mengerti akan makna sebenar ikhlas dan ihsan.

Rahsia Kenapa Khidir Merosakkan Bahtera
Bagi menghuraikan rahsia perbuatan Nabi Khidir, Allah SWT berfirman dalam ayat 78-79: “Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku sengaja merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.”

Perbuatan Khidir merosakkan bahtera nelayan merupakan salah satu cabang ilmu laduni yang berupa kasyaf. Dengan kurniaan tersebut, Khidir dapat melihat apa yang sedang berlaku di pelabuhan yang jauh dari lokasi mereka berada. Khidir melihat setiap bahtera yang sampai di pelabuhan tersebut diperiksa oleh raja. Bahtera-bahtera yang berkeadaan elok akan dirampas, manakala bahtera yang rosak dan berlubang akan dibiarkan. Oleh sebab itu, Khidir sengaja melubangi bahtera itu agar raja tidak akan merampasnya. Dikalangan ahli sufi, kasyaf ini dikenali sebagai Toyyu al-Makan iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga seseorang mampu melihat apa yang sedang berlaku di satu tempat yang jauh dari tempat ia berada. Saidina Umar r.a. pernah dikurniakan kasyaf ini sehingga beliau dapat melihat tentera Islam yang berada kira-kira 500 km dari Madinah dalam keadaan bahaya. Bagaimanapun, kasyaf sebegini hanya terjadi sekali sekala dan tidak boleh diprogramkan. Oleh kerana itu, pada malam Saidina Umar dibunuh, beliau tidak nampak musuh yang hendak menikamnya walaupun musuh itu berada di belakang beliau. Sekiranya seseorang dikurniakan kasyaf sebegini, ia perlu disembunyikan dan tidak boleh dihebahkan. Itulah yang ditunjukkan oleh Khidir a.s. Baginda tidak menceritakan apa yang dilihatnya kepada Musa sehingga menyebabkan Musa tidak dapat bersabar atas tindakannya itu. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mendakwa dikurniakan kasyaf dan ianya dihebah-hebahkan kepada orang lain, itu menandakan kasyaf tersebut bukan ilmu laduni, tetapi adalah kasyaf dari jin dan syaitan.

Rahsia Kenapa Khidir Membunuh budak
Allah SWT mengungkapkan rahsia seterusnya dalam dalam ayat 80-81: “Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan kami menghendaki supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapaknya).”

Dalam kejadian ini, Nabi Khidir dikurniakan kasyaf sehingga dapat melihat apa yang akan berlaku di masa lepas dan masa hadapan. Ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga boleh melihat merentasi masa. Menurut Imam al-Khazin dalam kitabnya Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani Al-Tanzil, budak yang dibunuh Nabi Khidir As bernama Haisur. Ibu dan bapanya adalah orang yang soleh. Dengan izin Allah SWT, Khidir dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh budak ini pada masa lepas dan akan datang. Budak ini selalu mencuri dan apabila dewasa, dia akan menjadi kafir dan memaksa kedua orang tuanya kepada kekufuran. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Khidir a.s. adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam soal iman dan akidah. Baginda tidak akan membiarkan seseorang memaksa seorang yang lain melakukan kekufuran. Oleh itu, sekiranya seorang yang mendakwa dirinya dikurniakan ilmu laduni dengan tujuan untuk bermegah dan menunjukkan kehebatan diri, sudah pasti orang itu akan dihukum oleh Nabi Khidir lantaran perbuatan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu adalah sebahagian dari perbuatan kufur.

Rahsia Kenapa Khidir Membina Semula Tembok
Berkenaan rahsia tembok, Allah SWT berfirman dalam ayat 82: “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya seseorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Apa yang diungkapkan Khidir menunjukkan bahawa pengetahuan baginda tentang sesuatu yang ghaib adalah kurniaan secara langsung dari Allah SWT. Ini adalah bukti bahawa ilmu laduni tidak boleh dipelajari atau diwarisi. Ianya dikurniakan terus dari Allah SWT untuk hamba-hambaNya yang mempunyai sifat ikhlas hati dan kesabaran yang tinggi. Sesiapa yang mendakwa dapat mempelajari ilmu laduni dari seseorang, sesungguhnya dakwaan tersebut adalah batil.

Demikianlah pelajaran dan pengajaran yang didapati dari kisah pengembaraan Nabi Musa dan Nabi Khidir. Walaupun kelihatan seolah-olah Musa gagal memperolehi ilmu laduni, sebenarnya tidak begitu. Hasil ujian yang dilalui Musa ketika bersama Khidir, baginda dikurniakan kasyaf yang istimewa iaitu dibukakan hijab pandangan batin sehingga dapat melihat kekurangan diri sendiri seperti rasa besar diri, gopoh, kurang mujahadah, kurang syukur, kurang keyakinan kepada Allah SWT dan pentingkan diri. Hasilnya, Allah SWT kurniakan ilmu laduni yang lebih istimewa secara terus ke dalam hati baginda iaitu sifat tawaddu’, sabar, mujahadah, ikhlas, syukur, tawakal, redha dan mahabbah. Sifat-sifat tersebut lebih penting kerana ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Ianya lebih bernilai berbanding mendapat ilmu kasyaf suwari (iaitu kebolehan melihat gambaran sesuatu yang telah atau akan berlaku) yang hanya bersifat duniawi. Inilah yang dianjurkan dalam Islam agar kita dapat mengenal kekurangan diri dan memperbaikinya agar menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa.

Berdasarkan kisah ini, para ulama tasauf mengatakan sekiranya seseorang ingin memperbaiki hati yang rosak dan dipenuhi sifat mazmumah, maka dia perlu mencari seorang guru mursyid yang memahami syariat dan hakikat. Mudah-mudahan guru tersebut dapat membantu kita mengenalpasti kekurangan diri dan membimbing proses pembersihannya (tazkiyyah an-Nafs). Apabila hati telah bersih, maka mudahlah cahaya ilmu Allah untuk menyuluh masuk. Apabila cahaya ini sudah menerangi hati, maka ia akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s. Itulah sebahagian cahaya dari pelbagai cahaya ilmu laduni milik Allah SWT yang sebenar.

6 comments:

  1. Saya selalu berfikir tentang ini. Jika saya tidak faham akan sesuatu....adalah lebih baik saya diam dari berbicara. Sangat sukar untuk tidak berkongsi kebaikan kepada orang ramai tetapi perkara itu hanyalah difahami oleh saya sendiri sahaja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. cari lh guru mursyid..istikarah lh utk dipertemukn dgn guru yg benar2 mursyid.yg boleh mendidik zahir dan batin.

      Delete
  2. apa yang berlaku adalah ketentuan.jangan menyesali apa yang telah belaku adalah kita hamba yang sebanar hamba..

    sekadar renungan

    ReplyDelete
  3. Salam Dr..sbg info..sblmnya sy prnah lalui pgalaman yg amat menyeksakn zahir & batin dimn sy merasakn dri slalu diperhatikn dSalam isamping gangguan dr suara bisikn2 yg pd awlnya menyeru kearah kjahatan/kmaksiatan..mbuatkn sy jd xkruan..merasakn diri seolah2 dpukau & bkelakuan spt org hlg akal..stiap mlm tidurnya btemankn kbasahan air mata dipipi.dringkaskn..pd thp plg kronik sy didtgi bisikn yg mmperkenalkn drinya sbg wali songo ke-6 & dia memperihalkn ttg salasilah wali songo 1-9 scara kiasan..pd masa itu sy msh anggapnya sbg salah 1 gangguan yg dtg..krn sjujurnya sy xprnah mdengar nama wali songo apatah lg mengetahui sjarah mengenainya.. ALLAH MAHA BESAR..kmudiannya dgn xsengaja sy disaksikn scara nyata ttg informasi & bukti2 akn kwujudan & sejarah Wali Songo. ksedaran mulai hdir akn kbenarannya. Kead ini bterusan & dgn izin-NYA berkat bimbingan & panduan yg diberikan akhirnya sy bjaya keluar dr zon gangguan tsbut. Smasa proses pemulihan sy amat bersyukur kehadrat ALLAH krn sdikit sebnyak sempat jg sy mrasai & menyaksikan keagungan, kbesaran, ciptaan..ALLAH. smada scara nyata & ghaib. antaranya swaktu mbaca al-fatihah sy jugak mdengar suara rmai lelaki & perempuan trut mengaji bsama2 sy seolah brada didlm sbuah surau..dismping scara nyata blakunya hujan,ribut,guruh & petir yg amat mnakutkn(xpnah alami sblmnya) mbuatkn kead petang yg cerah tiba2 mjd amt gelap skali (trjd stelah tcetus dr mulut sy mmohon agar turunnya ribut petir dsaat jiwa amat sedih,ttekan & tiada daya lg akibat asakan gangguan yg dtg)..strusnya kead kmbali tenang. Bisikan tsebut jg memberitahu & menunjukkan bbrapa tanda kebesaran ALLAH s.w.t yg ada pd kdua2 belah telapak tangan sy(tanpa disedari air mata tiba2 bercucuran di pipi mengenangkan betapa tingginya nilai KASIH & SAYANG ALLAH YG MAHA BESAR terhadap diri yg kotor lg hina ini. Disamping itu bisikan tsbut turut menyatakan ttg salasilah kturunan keluarga sy yg ada kaitan dgn Tok Kenali, selama hampir 2 tahun sy pendamkn hal ini tanpa berani menceritakan @ bertanyakannya pd org lain...malah ada ant. kawan2 yg pernah bertanyakan akan hal ini ttp sy tetap mbisu(bkn maksud sy utk menafikannya). Syukur Allhamdulillah..ALLAH MAHA MENGETAHUI..setelah pulang ke kg d kota bharu bberapa bulan lalu untuk terus tinggal bersama ibu yg sdh tua..tiba-tiba tanpa ditanya ibu sy memceritakan bahawa arwah bapa sy mmg ada pertalian darah dengan Tok Kenali. Sekembali ke kg sy jg begitu teringin mendapatkn & memelihara seekor ikan yg mempunyai kalimah ALLAH di badannya...syukur akhirnya dimakbulkan-NYA jua.
    Tp sehingga kehari ini sy merasakan diri ini begitu jahil & kotor sekali di sisiNYA sementelah dgn kekurangan ilmu agama yg teramat sgt dlm diri ini & dengan dosa2 yg telah dilakukan....hingga disaat ini sy sendiri blm pasti kearah mn langkah sy sterusnya..yg terbaik buat diri ini dlm mcri keredhaaNYA ....Ya ALLAH aku mohon jln petunjuk driMU ya ALLAH..sesungguhnya aku tidak mahu tersasar dr paksiMU ya ALLAH.....Tunjukilah,,Bimbingilh hambamu yg lemah lg hina ini dlm mencari jalan keredhaan-Mu Ya ALLAH..AMIN...

    ReplyDelete
  4. Subhanallah...Alhamdulillah...Allahu Akbar.

    ReplyDelete
  5. Subbhanallah...Alhamdulillah...Allahu Akbar...

    ReplyDelete