Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Wednesday, May 15, 2013

BATU DIGORENG, PENCURI KEPANASAN- RAWATAN JARAK JAUH



BATU DIGORENG, PENCURI KEPANASAN
RENCANA MAJALAH AL-ISLAM FEBRUARI 2013
 
Suatu masa,  tangan saya pernah terseliuh.  Apabila dibawa berjumpa seorang bomoh patah, dia hanya mengukur lengan saya dengan sebatang lidi kelapa dan menyuruh saya pulang.   Dia berpesan,  jika terasa sesuatu mengurut lengan saya pada malam nanti,  itu adalah sebahagian proses rawatan.  Pada waktu itu, saya baru berusia 15 tahun dan belum memahami kaedah rawatan yang digunakan. Namun, lama-kelamaan baru saya sedar tentang kaedah rawatan jarak jauh.

Hari ini, muncul pelbagai kaedah rawatan jarak jauh. Hanya bank-in duit, SMSkan nama, nombor telefon, hajat anda akan diusahakan. Jika para pembaca google perkataan ‘rawatan jarak jauh’, berlambak-lambak perkhidmatan sebegini ditawarkan melalui internet. Bukan sahaja orang Melayu, bangsa lain termasuk orang barat yang bukan beragama Islam juga mengamalkan kaedah ini.

Bila ada yang menelefon saya minta dirawat atau didiagnos dari jarak jauh, maka saya rasa terpanggil untuk menghuraikan permasalahan ini. Mudah-mudahan kita semua dilindung oleh Allah dari melakukan perbuatan yang menyalahi syariat Allah SWT dan sunnah Nabi Muhammad SAW.

DIAGNOS PENYAKIT DARI JARAK JAUH
Bagi mereka yang sukar bertemu perawat, perkhidmatan diagnos (atau lebih popular dengan istilah scan) dari jauh disediakan. Pesakit tidak perlu hadir bertemu perawat. Memadai hanya melalui telefon atau SMS nama pesakit, nama ibu dan tarikh lahir. Segalanya dilakukan secara on-line. Perawat akan meneliti nama pesakit dan angka-angka yang diberi untuk menentukan jenis dan punca penyakit. Kaedah diagnos sebegini merupakan sebahagian amalan menilik yang dilarang dalam Islam. Kaedah ini sama sahaja dengan apa yang dilakukan pada zaman jahiliyyah di mana dukun dan pawang hanya memerlukan nama pesakit dan nama ibunya serta tarikh lahir untuk ditilik. Nabi SAW melarang perbuatan ini dengan sabdanya: “Barangsiapa yang datang berjumpa bomoh dan tukang tilik, segala amal ibadah solatnya tidak akan diterima selama 40 malam”.

Seseorang yang mempunyai kebolehan menilik sebenarnya dikurniakan kasyaf. Kasyaf ialah suatu keadaan seseorang itu dibukakan hijab pandangan matanya sehingga dapat melihat sesuatu yang ghaib, yang tiada di hadapannya. Walau bagaimanapun, kita perlu ingat bahawa kasyaf ini boleh jadi kurniaan dari Allah dan boleh jadi dari tipu daya syaitan. Cara paling mudah untuk membezakannya ialah dengan melihat kekerapan kejadiannya. Kasyaf yang dikurniakan Allah hanya berlaku sekali sekala dan tidak boleh ditentukan. Ianya datang secara mengejut dan tidak boleh diprogramkan.

Sebagai contoh, Saidina Umar sendiri pernah dikurniakan kasyaf, dibukakan hijab pandangan sehingga dapat melihat pasukan tentera Islam yang diketuai sahabat bernama Sariyah dalam bahaya. Saat tersebut berlaku ketika Umar sedang menyampaikan khutbah di Madinah sedangkan Sariyah dan tenteranya berada di Dakhistan yang jaraknya beratus kilometer dari ibu kota tersebut. Perkara itu berlaku hanya sekali sahaja dan tanpa diprogramkan oleh Umar. Manakala pada malam beliau dibunuh, orang yang menikamnya iaitu Abu Lu’luah hanya berada beberapa kaki di belakangnya sahaja. Sekiranya kasyaf itu boleh diprogramkan, maka sudah tentu Umar dapat melihat tindakan Abu Lu’luah itu. Oleh sebab itu, para ulama mengatakan bahawa terbukanya hijab sehingga dapat melihat perkara-perkara ghaib merupakan sebahagian karamah. Ianya terjadi mengikut kehendak Allah dan tidak boleh diatur mengikut kehendak kita.

Kasyaf syaitan dan jin pula boleh diatur mengikut kehendak kita. Sebab itu, orang yang mendakwa boleh melakukan tilikan atau melihat sesuatu yang ghaib, maka mereka perlu berhati-hati kerana kemungkinan iaya adalah tipu daya syaitan. Ia bukanlah deria keenam atau kebolehan istimewa. Ketika Nabi Muhammad SAW disihir oleh Labid al-A’sam, baginda sendiri tidak menyedari bahawa baginda disihir sehingga dimaklumkan oleh para malaikat. Sekiranya Nabi SAW dan para sahabat boleh mengetahui perkara ghaib melalui tilikan, maka sudah tentu Nabi SAW dapat mengelakkanya. Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 188: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah; dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

RAWATAN JARAK JAUH
Selain scan, ada juga perawat yang menyediakan perkhidmatan merawat penyakit dari jarak jauh. Antara yang paling popular ialah membuang saka dari jarak jauh atau menghapus sihir dengan mengambil barang sihir dari jauh. Pesakit hanya perlu berada di rumah dan melakukan beberapa perkara seperti yang diarahkan perawat. Sesetengah perawat meminta pesakit membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran ketika rawatan untuk menampakkan ciri Islamik.
Sekiranya diteliti kisah Nabi SAW disihir oleh Labid al-A’sam, baginda sendiri memerintahkan para sahabat agar pergi ke telaga Za’rawan dan menyuruh mereka meleraikan ikatan sihir tersebut. Tidak ada riwayat mengatakan nabi menyuruh mana-mana malaikat mengambilnya secara ghaib. Kisah ini memberi panduan kepada para perawat akan selok-belok perubatan Islam yang sebenar.

Ada juga perawat yang menyediakan khidmat ‘memulangkan semula’ sihir kepada pembuatnya. Mereka menggunakan objek tertentu seperti keris, serban, sejadah dan seumpamanya untuk menghukum diri penyihir yang melakukan sihir terhadap pesakitnya. Beberapa potong ayat al-Quran dibaca dan dihembus kepada objek tersebut. Serban atau sejadah ini dipukulkan pada tubuh pesakit dengan niat memindahkan kesakitan pukulan kepada penyihir. Dengan kaedah ini, mereka yakin penyihir akan merasa sakit terkena pukulan atau tikaman.

Dalam hadis tentang kisah Nabi SAW disihir oleh Labid al-A’sam, Aisyah bertanya kepada baginda mengapa bahan-bahan sihir yang ditemui dalam telaga Za’rawan tidak dibakar, mudah-mudahan si penyihir tersebut merasai kesakitan. Jawab Nabi SAW: “Allah telah menyembuhkan aku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain”. Itulah uswah contoh terbaik yang perlu diteladani oleh para perawat Islam. Tidak perlu membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan.

MENGHUKUM DAN MEMUKUL DARI JARAK JAUH
Islam juga melarang para perawat menghukum seseorang yang melakukan kejahatan dengan menggunakan kaedah yang tiada dalam sunnah. Sebagai contoh, dalam kes kecurian, ada pengamal yang mensyaratkan mangsa merebus telur yang telah dilukiskan wajah pencuri. Menurut pengamal ini, selagi mangsa tidak memulangkan barang tersebut, selagi itu dia akan berasa panas. Selain telur, ada juga pengamal yang mensyaratkan mangsa supaya menggoreng batu sambil membaca ayat ke 16 surah Luqman sebanyak 116 kali. Memang ada ulama yang memberi panduan agar membaca ayat tersebut, mudah-mudahan Allah mengembalikan semula barang tersebut. Yang menjadi khurafatnya ialah apabila ayat tersebut mesti dibaca sambil menggoreng batu dengan niat pencuri tersebut akan kepanasan. Kaedah menggoreng adalah amalan yang diajar oleh pawang dan bomoh. Contoh amalan sedemikian merupakan percampuran antara kaedah perubatan Islam dan amalan-amalan khurafat.

Ilmu pertahanan diri turut diresapi penggunaan unsur ghaib dan mistik seperti jurus kebatinan. Di Malaysia, pertubuhan seperti persaudaraan al-Maunah, Nasrul haq, penjuru 13 dan seumpamanya mengajar pengamalnya teknik pukulan dan jurus jarak jauh. Ada pengamalnya yang mendakwa bahawa ianya pernah digunakan oleh para sahabat. Lalu dinamakan jurus Saidina Umar dan Silat Saidina Ali. Agak melucukan kerana para sahabat tidak pernah mengasaskan mana-mana persilatan. Apabila pergi berperang, para sahabat akan berdepan secara bersemuka dengan musuh, bukannya menggunakan jurus sebagaimana yang didakwa. Mereka meminta Nabi SAW mendoakan agar mereka beroleh syahid. Jadi, tidak mungkin ada antara mereka yang menggunakan jurus dari jarak jauh untuk berperang dengan tentera musuh.

MENGAMBIL BARANG GHAIB DARI JARAK JAUH
Masyarakat Islam di Malaysia turut digembar-gemburkan dengan kebolehan perawat mengambil barang dari jauh, atau barang dari alam ghaib, atau menarik duit dan harta karun. Perkara ini juga merupakan sebahagian dari tipu daya syaitan terhadap manusia. Sebenarnya, kebolehan mengambil batu permata dari perut bumi, mutiara dari lautan, objek-objek tertentu seperti singgahsana, keris dan sebagainya merupakan salah satu kebolehan yang dimiliki oleh para jin. Fakta ini sudah dinyatakan secara jelas dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. khususnya dalam ayat 12 surah Saba. Oleh itu, sekiranya ada perawat yang mempunyai kebolehan membawa sesuatu dari alam ghaib atau sesuatu yang berada jauh dari kita, janganlah kita merasa takjub dan hairan. Itu semua adalah tipu daya syaitan agar kita mempercayai kehebatan perawat tanpa  menyedari ia didalangi syaitan.

ISLAM DAN KAEDAH PERUBATAN JARAK JAUH
Islam telah menyediakan panduan kepada penganutnya dalam soal halal dan haram. Sebagaimana yang kita maklum, sumber pengambilan hukum syariat perlu berdasarkan sumber utama yang disepakati iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Al-Ijma dan Al-Qiyas. Dalam perubatan Islam, prinsip yang sama perlu diguna pakai. Segala kaedah dan bahan yang digunakan perlu mempunyai sandaran nas-nas atau pendapat ulama. Hari ini, ramai perawat yang memakai title ustaz, ustazah dan perawat Islam tetapi masih menggunakan kaedah perubatan jahiliyyah. Sesetengah mangsa terpedaya kerana mereka menggunakan ayat Al Quran.

Perbuatan menemui perawat yang mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti punca penyakit melalui ramalan, tilikan, imbasan (scan), ilham dan lain-lain unsur mistik boleh menjerumuskan kita ke dalam tipu daya syaitan. Ini kerana berita-berita ghaib yang disampaikan oleh mereka adalah bersumber dari syaitan dan jin yang dijadikan khadam atau sahabat. Firman Allah Taala dalam surah As-Syu’ara ayat 221-223: ”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”

Melalui tilikan, perawat mendakwa pesakit terkena buatan orang, dimandrem, terkena ilmu hitam, terkena guna-guna, santau angin dan sebagainya. Kepercayaan kepada dakwaan sedemikian mengundang pelbagai kesan negatif dan ianya perlu dihindari. Sebagai seorang Islam, kita wajar menyiasat dahulu adakah dakwaan sedemikian benar. Perbuatan menuduh seseorang melakukan perbuatan mensyirikkan Allah (iaitu sihir dan ilmu hitam) boleh menjejaskan akidah sekiranya tuduhan tersebut tidak benar. Allah SWT telah mengingatkan kita akan bahaya mempercayai berita, cerita, perkhabaran, telahan, ramalan atau tuduhan yang dilakukan oleh orang fasik. FirmanNya dalam surah Al Hujurat ayat 6: ”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

No comments:

Post a Comment