KAEDAH
MENCARI BARANG HILANG MENURUT ISLAM
Oleh Tuan Guru Dr Hj. Jahid
bin Hj. Sidek
PENDAHULUAN
Salah satu
faktor yang menyebabkan seseorang dilanda tekanan (stress) ialah apabila
sesuatu barang miliknya yang berharga dan disayangi hilang. Kehilangan itu
makin dirasai terutamanya sesudah semua masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit
dibelanjakan dalam usaha untuk mencarinya. Semakin berharga milikannya yang
hilang itu, maka semakin serius tekanan dialami. Contohnya, kehilangan anak
tunggal kesayangan boleh menimbulkan kesan negative kepada seseorang. Dalam
sejarah, Nabi Yakub a.s. menjadi buta matanya kerana kehilangan putera
kesayangannya, nabi Yusuf a.s.
Apabila
menghadapi masalah kehilangan sesuatu milik kesayangannya, masyarakat kita cenderung
untuk mengambil jalan pintas, tanpa memikirkan soal halal atau haramnya. Tumpuan
utama mereka ialah tukang tilik, pak nujum, pawang, bomoh yang dianggap mengetahui
perkara yang ghaib dan boleh membantu mereka untuk menemui barang mereka yang
hilang itu. Ada juga yang tergamak meminta pertolongan tukang tilik bukan Islam seperti bomoh orang asli, tok cha
Siam dan sebagainya. Apa yang penting, barang mereka yang hilang mesti ditemui dengan
segera. Mereka melupakan wasiat Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang
menemui ‘arraf (tukang tilik) atau munajjim (tukang ramal dengan
menggunakan peredaran bintang) atau kahin (pawang dan bomoh),
sesungguhnya dia telah kufur terhadap kebenaran yang dibawa oleh Muhammad
s.a.w.” Setengah ulamak menegaskan maksud kufur dalam hadis ini, bukan kufur
yang menjadikan seseorang terkeluar dari Islam, tetapi ia bermakna berdosa
besar atau fasiq. Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w.
menegaskan bahawa solatnya (termasuk ibadatnya yang lain) tidak diterima oleh
Allah selama empat puluh hari empat puluh malam.
TUKANG TILIK DAN
AHLI NUJUM ADALAH PEMBOHONG
Dalam satu
riwayat, seorang sahabat (yang berasa kagum terhadap kebenaran seorang munajjim
yang ditemuinya) bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keharusan beliau
menemui dan mempercayai kata-kata munajjim itu. Baginda s.a.w. menegaskan
bahawa ianya tidak harus. Sahabat tersebut menyatakan bahawa semua kata-kata munajjim
itu benar belaka. Rasulullah s.a.w. segera bersabda: “Munajjim itu
pembohong, walaupun cakapnya benar”.
Persoalan
timbul mengapa Rasulullah s.a.w. mengatakan tukang tilik dan ahli nujum sebagai
pembohong? Sebabnya adalah kerana kebenaran yang disampaikan hanya satu sahaja (sebagai
umpan) sedangkan pembohongannya seribu. Oleh sebab itu, munajjim yang
suka berbohong dan menipu ini dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah dalam
surah Al-An’am ayat 128 yang bermaksud: “…nerakalah tempat kamu semua ( wahai manusia
dan syaitan yang bersekongkol dalam berbuat kejahatan ketika di dunia). Mereka kekal
selama-lamanya dalam neraka…”. Pembohongan dan penipuan tersebut sangat ketara
kerana Allah telah menegaskan bahawa tidak ada makhluk yang tahu tentang
sesuatu yang ghaib. Firman Allah dalam surah al-Naml ayat 65 yang bermaksud: “Katakanlah
(ya Muhammad) apa juga makhluk yang di langit dan di bumi tidak mengetahui yang
ghaib, kecuali Allah”. Malah, ada sesetengah sahabat yang beranggapan bahawa Rasulullah
s.a.w. tahu perkara yang ghaib, lalu Baginda menafikannya. Firman Allah dalam
surah al-A’raf ayat 188 yang bermaksud: “…jika aku mengetahui perkara yang
ghaib, nescaya aku boleh buat banyak kebaikan dan tidak ada keburukan menimpa
aku..”
TUKANG TILIK DAN
AHLI NUJUM KEHILANGAN TARING
Di zaman
pemerintahan Firaun, ramalan yang dilakukan oleh ‘arraf, munajjim dan
kahin semuanya benar-benar terjadi. Misalnya, ramalan mereka mengenai
kelahiran nabi Musa a.s dan kehancuran kekuasaan pengaruh Firaun di tangan
baginda. Mengapa ramalan mereka begitu canggih dan mengkagumkan? Faktor
utamanya ialah kerana Allah masih memberi peluang kepada syaitan untuk naik
sampai langit yang ketujuh lalu mereka mendengar perbualan para malaikat
mengenai apa yang akan berlaku di bumi. Syaitan ini lalu memberitahu hal
tersebut kepada tukang tilik dan ahli
nujum. Selepas kelahiran nabi ‘Isa a.s., sebahagian pintu langit telah ditutup
dan syaitan hanya mampu sampai ke langit yang ketiga sahaja. Apabila Rasulullah
s.a.w dilahirkan, semua langit ditutup. Syaitan hanya mampu menghampiri langit
pertama sahaja. Itupun mereka akan dipanah oleh tahi-tahi bintang. Firman Allah
dalam surah as-Sofat ayat 5-10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami hiasi langit
yang dunia terendah dengan hiasan bintang-bintang sebagai menjaga dari syaitan marid.
Mereka tidak dapat mendengar perbualan malaikat di langit yang tertinggi
melainkan mereka dilempar dari segenap penjuru. Kecuali syaitan yang cuba
mencuri-curi pendengaran, maka mereka akan dikejar oleh tahi bintang”. Disebabkan
oleh faktor penutupan semua pintu langit ini, maka tukang tilik dan ahli nujum
telah kehilangan taring. Kemampuan ramalan mereka menjadi terbatas dan terlalu
lemah kerana syaitan hanya mendapat sumber maklumat dari perbualan malaikat di
bumi sahaja.
SYAITAN DAN JIN
MENYOROKKAN BARANG
Islam tidak
menolak kebolehan syaitan atau jin yang mampu menyorokkan sesuatu barang termasuk
batang tubuh manusia hingga tidak mudah bagi manusia biasa melihat dan
menemuinya semula. Ini adalah kerana sifat kemurahan Allah yang
bersifat ar-Rahman yang berkuasa mengabulkan permintaan syaitan dan jin yang
jahat sekalipun. Misalnya permintaan syaitan untuk masuk ke dalam tubuh badan
nabi Ayub a.s. telah dikabulkan oleh Allah hingga baginda a.s. menderita sakit
selama 18 tahun. Ada ketikanya bukan barang yang disorokkan, tetapi kedua-dua
mata manusia yang mencari barang tersebut yang ditutupkan oleh jin dan syaitan
sehingga tidak dapat melihat jalan, rumah, sekolah, kapalterbang dan lain-lain
objek yang besar yang berada di hadapannya. Seorang yang sesat di hutan,
ditemui berdiri di lorong yang biasa di laluinya. Beliau tidak nampak lorong
tersebut kerana kedua matanya telah ditutupi oleh syaitan.
ISLAM MENOLAK PERANGKAP SYAITAN
Syaitan yang telah berjaya meyakinkan ‘arraf,
munajjim dan kahin dengan maklumat yang benar akan mudah memerangkap
mereka dan masyarakat umum melalui cerita-cerita karut dan khurafat. Syaitan
ini akan menetapkan pelbagai syarat dan kaedah pelik yang berlawanan dengan
akidah dan syariah yang mesti dipenuhi untuk menemui semula barang yang hilang.
Amalan dan kepercayaan karut serta khurafat inilah yang ditolak
sekeras-kerasnya oleh Islam. Kononnya, apa sahaja barang yang hilang boleh
ditemui dengan mudah sekiranya dibuat beberapa langkah seperti berikut:
Pertama, puja
hajat iaitu solat hajat special oleh sekumpulan wali ghaib terpilih yang
memerlukan kos yang tinggi hingga mencecah puluh ribu.
Kedua, dengan
menyembelih dua ekor kambing hitam. Dagingnya dibuat kenduri untuk arwah emak
ayah dan datuk nenek. Kedua-dua kepala kambing korban itu mesti diletakkan di
atas dua rakit batang pisang dan dihanyutkan ke sungai. Kononnya, kedua-dua
kepala itu akan dapat diterima oleh raja jin laut yang tinggal di kuala sungai
itu.
Ketiga, dengan
menunaikan pengeras iaitu derma kepada mana-mana masjid atau surau sebanyak RM2.25
yang boleh dimasukkan ke dalam tabung masjid atau surau. Kononnya, selepas itu
barulah barang atau anak akan dijumpai sebab raja jin dan kumpulannya akan membuka
semua hijab ghaib yang melindungi selama ini.
Hakikatnya,
menerusi tiga upacara tesebut, mereka telah terhumban ke dalam perangkap
syaitan yang mengerikan tanpa sedar. Apa yang menghairankan ialah mereka berasa
bertuah kerana telah dapat melaksanakan tiga amalan yang baik yang menjanjikan
kejayaan menemui barang atau orang yang hilang. Ketiga-tiga amalan itu bukan sahaj
karut dan khurafat, tetapi menyebabkan mereka syirik. Upacara penyembelihan dua
ekor kambing dan menghanyutkan kepalanya adalah amalan menyemah atau buang
ancak yang diharamkan. Begitu juga dengan pengeras. Walaupun kelihatan sangat
remeh, tetapi mengandungi maksud tunduk dan taqarrub kepada syaitan. Rasulullah s.a.w
pernah menggambarkan dalam sebuah hadis bahawa seorang mukmin yang memberi
pengeras berupa bangkai seekor lalat kepada berhala, akan dimasukkan ke dalam neraka.
Manakala seorang mukmin yang enggan memberi pengeras tersebut sehingga dibunuh,
akan dimasukkan ke dalam syurga.
SERIBU SATU MACAM KARUT-MARUT
Kaedah karut dan penuh khurafat yang
disebutkan di atas merupakan salah satu daripada seribu satu macam kaedah mencari
barang yang hilang yang digunakan oleh pawang dan bomoh di Malaysia. Kita temui
banyak lagi kaedah yang lebih karut, lebih lucu, lebih bodoh, lebih tak masuk
akal. Antara yang telah kita semua saksikan ialah aksi meneropong pesawat MH
370 yang dilakukan di KLIA tempoh hari. Kononnya melalui upacara tersebut,
pandangan mereka dapat menembusi berbagai hijab ghaib angkara syaitan dan jin.
Kita tentu mengimbau semula kejadian
sebuah helikopter yang terhempas di hutan Bario pada bulan Julai tahun 2004.
Menurut dakwaan sekumpulan ahli nujum, kononnya mereka berjaya membantu
menemuinya setelah berjaya memujuk syaitan dan jin yang menutupi bangkai helikopter itu dengan hijab ghaib kerana
marah dengan pihak kerajaan yang membina projek empangan Bakun. Ahli nujum
tersebut mendakwa kononnya kejayaan itu dicapai setelah syarat yang ditentukan
oleh syaitan dan jin yang mahukan sembelihan dua ekor kambing hitam ditunaikan.
KAEDAH TERBAIK PILIHAN ALLAH
Bagi mengelakkan manusia memilih ‘arraf,
munajjim dan kahin sebagai penyelesaian kepada masalah manusia (termasuk
masalah mendapatkan semula sesuatu yang telah hilang), maka Islam telah menyediakan
kaedah alternatif yang terbaik. Terdapat banyak kaedah yang ditarbiyahkan oleh
para ulama yang berlainan. Bagaimanapun, asas utamanya sama sahaja iaitu takwa
dan tawakkal. Firman Allah dalam surah at-Tolaq ayat 2-3 yang bermaksud:
“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan jadikan untuknya jalan keluar
(dari apa juga masalah) dan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka. Sesiapa
yang bertawakkal kepada Allah maka cukup sempurnalah Allah sebagai tempat
pergantungannya, sesungguhnya urusan Allah tetap berlaku. Sesungguhnya Allah
telah menjadikan ketentuan bagi setiap sesuuatu”.
Seorang rakan
penulis kehilangan semua wang ketika mengerjakan umrah. Beliau tidak mahu
menceritakan kejadian itu kepada rakan jemaahnya. Sebaliknya, beliau segera mengerjakan
solat sunat taubat dan solat sunat hajat serta berzikir dalam masjidil Haram. Ketika
beliau berjalan keluar dari masjid, tiba-tiba muncul seorang Arab yang tidak
dikenali menegurnya dan memeluknya. Kemudian orang Arab itu menghadiahkan segenggam
wang. Beliau dapati wang itu berjumlah dua kali ganda dari wangnya yang hilang.
SATU KAEDAH AMALAN
GOLONGAN SUFIYYAH
Penulis ingin
berkongsi amalan mencari barang yang hilang yang ditarbiyahkan oleh sesetengah sufiyyah
yang mengandungi beberapa langkah:
LANGKAH
PERTAMA: Lakukan taubat yang merangkumi empat amalan:
1.
Membanyakkan
istighfar;
2.
Mandi sunat
taubat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhaj
al-‘Abidin;
3.
Solat sunat
taubat;
4.
Solat sunat
awwabin iaitu bertaubat dari dosa dalaman yang sukar disedari.
Sebaik-baiknya,
semua amalan taubat tersebut terpimpin. Para sahabat Rasulullah apabila
bertaubat, mereka akan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah
an-Nisa’ ayat 64 yang bermaksud: “Sekiranya mereka yang telah menzalimi diri
mereka sendiri (kerana melakukan dosa) datang menemui engkau (ya Muhammad),
lalu mereka meminta keampunan kepada Allah, dan Rasulullah s.a.w. juga meminta
keampunan dari Allah untuk mereka, nescaya mereka akan dapati bahawa Allah Maha
Pengampun lagi Maha Penyayang”.
LANGKAH KEDUA:
Solat sunat hajat 2 rakaat. Adalah baik jika pada rakaat
pertama, selepas membaca surah al-Fatihah, dibacakan surah al-Insyirah; dan pada
rakaat kedua pula dibacakan surah al-Ikhlas.
LANGKAH
KETIGA: selesai solat hajat, bacalah ayat ke 16 dari surah Luqman
seberapa banyak yang boleh dengan tatacara yang berikut:
1.
Istighfar
dengan menyebut Astaghfirullah sebanyak 70 kali.
2.
Membaca al-Fatihah
sekali diniatkan supaya Allah sampaikan pahalanya kepada Rasulullah s.a.w., para
guru kita dan semua umatnya yang soleh.
3.
Membaca ayat
ke 16 dari surah Luqman seberapa banyak yang boleh sambil membayangkan Allah memulangkan
barang yang hilang kepada kita.
4.
Berzikir
dengan menyebut terus seberapa lama yang mampu YA LATIF YA KHABIR
LANGKAH
KEEMPAT: Berzikir tahlil terus menerus seberapa lama yang
boleh dalam keadaan muraqabah ma’iyyah sambil ditumpukan doa dalam hati:
“Ya Allah hanya dengan rahmatMu, kehendakMu dan kekuasaanMu sahaja barang tersebut
dapat ditemui”;
LANGKAH
KELIMA: Buat nazar apa sahaja yang baik dan mudah dilakukan
seperti puasa sunat sehari atau sebagainya;
LANGKAH
KEENAM: Bersedekah setiap hari walaupun RM1.00;
LANGKAH
KETUJUH: Kekalkan diri dalam keadaan berwuduk;
LANGKAH
KELAPAN: Sentiasa ingat kehendak dan keazaman makhluk tidak dapat
mengatasi takdir Allah;
LANGKAH
KESEMBILAN: Sentiasa menjada adab terhadap Allah iaitu mengingati
namaNya, muraqabah wujudNya, keagunganNya dan kesempurnaanNya.
LANGKAH KESEPULUH:
Berdoa secara khusus dengan membaca doa qunut sebanyak
13 kali sehari.
KISAH DALAM
FAIL PENULIS
Seorang hamba
Allah telah kehilangan motosikal berkuasa besar miliknya selama hampir enam
bulan. Penulis ajarkan amalan di atas dan beliau telah mengamalkan kaedah
tersebut selama tiga hari tiga malam. Beliau menumpukan amalan tersebut di
rumahnya dan tidak keluar rumah kecuali ada urusan yang penting. Selepas
kira-kira 2 atau 3 minggu, ketika beliau turun daripada pejabat untuk balik ke
rumah, beliau terperanjat besar kerana motosikalnya berada di tempat yang biasa beliau letakkan beserta
dengan anak kuncinya sekali. Setelah diperiksa, beliau yakin itu adalah
motosikalnya yang hilang. Cuma nombor platnya sahaja yang telah ditukar. Ada
kemungkinan orang yang mencurinya telah memulangkannya semula. Bagaimanapun
hakikatnya, Allah yang memulangkan.
Seorang jiran
penulis yang kehilangan semua barang kemas warisan keluarga dapat menemui
semula semua barang kemasnya sesudah beliau terus menerus bertahlil selama
kira-kira satu bulan. Pencuri telah memulangkan barang kemasnya di depan pintu
rumahnya di dalam beg plastik berwarna kuning.
Demikianlah
sedikit sebanyak kisah benar yang berlaku. Semuanya adalah gambaran bagaimana
kekuasaan Allah untuk mengabulkan permintaan hambaNya. Ada diantara hambaNya
yang meminta dengan jalan yang yang syirik, tetapi Allah tetap mengabulkannya.
Ada juga hambaNya yang meminta dengan jalan yang diredhaiNya, maka dikabulkan
juga. Semuanya adalah ujian untuk melihat sejauh mana manusia akan percaya dan
beriman dengan ketentuan Allah. Bagi mereka yang menggunakan kaedah yang syirik
lalu mendapat kembali barang yang hilang, maka tiada keuntungan baginya
diakhirat, bahkan dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Manakala mereka yang
kehilangan suatu milikan, lalu bersabar dan berikhtiar dengan cara yang Allah
redhai, maka Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang lebih baik di dunia
dan akhirat, sekalipun barang tersebut tidak ditemui.