Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Wednesday, May 14, 2014

KAEDAH MENCARI BARANG HILANG MENURUT ISLAM




KAEDAH MENCARI BARANG HILANG MENURUT ISLAM
Oleh Tuan Guru Dr Hj. Jahid bin Hj. Sidek
 

PENDAHULUAN
Salah satu faktor yang menyebabkan seseorang dilanda tekanan (stress) ialah apabila sesuatu barang miliknya yang berharga dan disayangi hilang. Kehilangan itu makin dirasai terutamanya sesudah semua masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit dibelanjakan dalam usaha untuk mencarinya. Semakin berharga milikannya yang hilang itu, maka semakin serius tekanan dialami. Contohnya, kehilangan anak tunggal kesayangan boleh menimbulkan kesan negative kepada seseorang. Dalam sejarah, Nabi Yakub a.s. menjadi buta matanya kerana kehilangan putera kesayangannya, nabi Yusuf a.s.

Apabila menghadapi masalah kehilangan sesuatu milik kesayangannya, masyarakat kita cenderung untuk mengambil jalan pintas, tanpa memikirkan soal halal atau haramnya. Tumpuan utama mereka ialah tukang tilik, pak nujum, pawang, bomoh yang dianggap mengetahui perkara yang ghaib dan boleh membantu mereka untuk menemui barang mereka yang hilang itu. Ada juga yang tergamak meminta pertolongan tukang tilik  bukan Islam seperti bomoh orang asli, tok cha Siam dan sebagainya. Apa yang penting, barang mereka yang hilang mesti ditemui dengan segera. Mereka melupakan wasiat Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menemui ‘arraf (tukang tilik) atau munajjim (tukang ramal dengan menggunakan peredaran bintang) atau kahin (pawang dan bomoh), sesungguhnya dia telah kufur terhadap kebenaran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.” Setengah ulamak menegaskan maksud kufur dalam hadis ini, bukan kufur yang menjadikan seseorang terkeluar dari Islam, tetapi ia bermakna berdosa besar atau fasiq. Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa solatnya (termasuk ibadatnya yang lain) tidak diterima oleh Allah selama empat puluh hari empat puluh malam.

TUKANG TILIK DAN AHLI NUJUM ADALAH PEMBOHONG
Dalam satu riwayat, seorang sahabat (yang berasa kagum terhadap kebenaran seorang munajjim yang ditemuinya) bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keharusan beliau menemui dan mempercayai kata-kata munajjim itu. Baginda s.a.w. menegaskan bahawa ianya tidak harus. Sahabat tersebut menyatakan bahawa semua kata-kata munajjim itu benar belaka. Rasulullah s.a.w. segera bersabda: “Munajjim itu pembohong, walaupun cakapnya benar”.

Persoalan timbul mengapa Rasulullah s.a.w. mengatakan tukang tilik dan ahli nujum sebagai pembohong? Sebabnya adalah kerana kebenaran yang disampaikan hanya satu sahaja (sebagai umpan) sedangkan pembohongannya seribu. Oleh sebab itu, munajjim yang suka berbohong dan menipu ini dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 128 yang bermaksud: “…nerakalah tempat kamu semua ( wahai manusia dan syaitan yang bersekongkol dalam berbuat kejahatan ketika di dunia). Mereka kekal selama-lamanya dalam neraka…”. Pembohongan dan penipuan tersebut sangat ketara kerana Allah telah menegaskan bahawa tidak ada makhluk yang tahu tentang sesuatu yang ghaib. Firman Allah dalam surah al-Naml ayat 65 yang bermaksud: “Katakanlah (ya Muhammad) apa juga makhluk yang di langit dan di bumi tidak mengetahui yang ghaib, kecuali Allah”. Malah, ada sesetengah sahabat yang beranggapan bahawa Rasulullah s.a.w. tahu perkara yang ghaib, lalu Baginda menafikannya. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 188 yang bermaksud: “…jika aku mengetahui perkara yang ghaib, nescaya aku boleh buat banyak kebaikan dan tidak ada keburukan menimpa aku..”

TUKANG TILIK DAN AHLI NUJUM KEHILANGAN TARING
Di zaman pemerintahan Firaun, ramalan yang dilakukan oleh ‘arraf, munajjim dan kahin semuanya benar-benar terjadi. Misalnya, ramalan mereka mengenai kelahiran nabi Musa a.s dan kehancuran kekuasaan pengaruh Firaun di tangan baginda. Mengapa ramalan mereka begitu canggih dan mengkagumkan? Faktor utamanya ialah kerana Allah masih memberi peluang kepada syaitan untuk naik sampai langit yang ketujuh lalu mereka mendengar perbualan para malaikat mengenai apa yang akan berlaku di bumi. Syaitan ini lalu memberitahu hal tersebut kepada  tukang tilik dan ahli nujum. Selepas kelahiran nabi ‘Isa a.s., sebahagian pintu langit telah ditutup dan syaitan hanya mampu sampai ke langit yang ketiga sahaja. Apabila Rasulullah s.a.w dilahirkan, semua langit ditutup. Syaitan hanya mampu menghampiri langit pertama sahaja. Itupun mereka akan dipanah oleh tahi-tahi bintang. Firman Allah dalam surah as-Sofat ayat 5-10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami hiasi langit yang dunia terendah dengan hiasan bintang-bintang sebagai menjaga dari syaitan marid. Mereka tidak dapat mendengar perbualan malaikat di langit yang tertinggi melainkan mereka dilempar dari segenap penjuru. Kecuali syaitan yang cuba mencuri-curi pendengaran, maka mereka akan dikejar oleh tahi bintang”. Disebabkan oleh faktor penutupan semua pintu langit ini, maka tukang tilik dan ahli nujum telah kehilangan taring. Kemampuan ramalan mereka menjadi terbatas dan terlalu lemah kerana syaitan hanya mendapat sumber maklumat dari perbualan malaikat di bumi sahaja.

SYAITAN DAN JIN MENYOROKKAN BARANG
Islam tidak menolak kebolehan syaitan atau jin yang mampu menyorokkan sesuatu barang termasuk batang tubuh manusia hingga tidak mudah bagi manusia biasa melihat dan menemuinya semula. Ini adalah kerana sifat kemurahan Allah yang bersifat ar-Rahman yang berkuasa mengabulkan permintaan syaitan dan jin yang jahat sekalipun. Misalnya permintaan syaitan untuk masuk ke dalam tubuh badan nabi Ayub a.s. telah dikabulkan oleh Allah hingga baginda a.s. menderita sakit selama 18 tahun. Ada ketikanya bukan barang yang disorokkan, tetapi kedua-dua mata manusia yang mencari barang tersebut yang ditutupkan oleh jin dan syaitan sehingga tidak dapat melihat jalan, rumah, sekolah, kapalterbang dan lain-lain objek yang besar yang berada di hadapannya. Seorang yang sesat di hutan, ditemui berdiri di lorong yang biasa di laluinya. Beliau tidak nampak lorong tersebut kerana kedua matanya telah ditutupi oleh syaitan.

ISLAM MENOLAK  PERANGKAP SYAITAN
Syaitan yang telah berjaya meyakinkan ‘arraf, munajjim dan kahin dengan maklumat yang benar akan mudah memerangkap mereka dan masyarakat umum melalui cerita-cerita karut dan khurafat. Syaitan ini akan menetapkan pelbagai syarat dan kaedah pelik yang berlawanan dengan akidah dan syariah yang mesti dipenuhi untuk menemui semula barang yang hilang. Amalan dan kepercayaan karut serta khurafat inilah yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Islam. Kononnya, apa sahaja barang yang hilang boleh ditemui dengan mudah sekiranya dibuat beberapa langkah seperti berikut:

Pertama, puja hajat iaitu solat hajat special oleh sekumpulan wali ghaib terpilih yang memerlukan kos yang tinggi hingga mencecah puluh ribu.

Kedua, dengan menyembelih dua ekor kambing hitam. Dagingnya dibuat kenduri untuk arwah emak ayah dan datuk nenek. Kedua-dua kepala kambing korban itu mesti diletakkan di atas dua rakit batang pisang dan dihanyutkan ke sungai. Kononnya, kedua-dua kepala itu akan dapat diterima oleh raja jin laut yang tinggal di kuala sungai itu.

Ketiga, dengan menunaikan pengeras iaitu derma kepada mana-mana masjid atau surau sebanyak RM2.25 yang boleh dimasukkan ke dalam tabung masjid atau surau. Kononnya, selepas itu barulah barang atau anak akan dijumpai sebab raja jin dan kumpulannya akan membuka semua hijab ghaib yang melindungi selama ini.

Hakikatnya, menerusi tiga upacara tesebut, mereka telah terhumban ke dalam perangkap syaitan yang mengerikan tanpa sedar. Apa yang menghairankan ialah mereka berasa bertuah kerana telah dapat melaksanakan tiga amalan yang baik yang menjanjikan kejayaan menemui barang atau orang yang hilang. Ketiga-tiga amalan itu bukan sahaj karut dan khurafat, tetapi menyebabkan mereka syirik. Upacara penyembelihan dua ekor kambing dan menghanyutkan kepalanya adalah amalan menyemah atau buang ancak yang diharamkan. Begitu juga dengan pengeras. Walaupun kelihatan sangat remeh, tetapi mengandungi maksud tunduk dan taqarrub kepada syaitan. Rasulullah s.a.w pernah menggambarkan dalam sebuah hadis bahawa seorang mukmin yang memberi pengeras berupa bangkai seekor lalat kepada berhala, akan dimasukkan ke dalam neraka. Manakala seorang mukmin yang enggan memberi pengeras tersebut sehingga dibunuh, akan dimasukkan ke dalam syurga.

SERIBU SATU MACAM KARUT-MARUT
Kaedah karut dan penuh khurafat yang disebutkan di atas merupakan salah satu daripada seribu satu macam kaedah mencari barang yang hilang yang digunakan oleh pawang dan bomoh di Malaysia. Kita temui banyak lagi kaedah yang lebih karut, lebih lucu, lebih bodoh, lebih tak masuk akal. Antara yang telah kita semua saksikan ialah aksi meneropong pesawat MH 370 yang dilakukan di KLIA tempoh hari. Kononnya melalui upacara tersebut, pandangan mereka dapat menembusi berbagai hijab ghaib angkara syaitan dan jin.

Kita tentu mengimbau semula kejadian sebuah helikopter yang terhempas di hutan Bario pada bulan Julai tahun 2004. Menurut dakwaan sekumpulan ahli nujum, kononnya mereka berjaya membantu menemuinya setelah berjaya memujuk syaitan dan jin yang menutupi  bangkai helikopter itu dengan hijab ghaib kerana marah dengan pihak kerajaan yang membina projek empangan Bakun. Ahli nujum tersebut mendakwa kononnya kejayaan itu dicapai setelah syarat yang ditentukan oleh syaitan dan jin yang mahukan sembelihan dua ekor kambing hitam ditunaikan.

KAEDAH TERBAIK PILIHAN ALLAH
Bagi mengelakkan manusia memilih ‘arraf, munajjim dan kahin sebagai penyelesaian kepada masalah manusia (termasuk masalah mendapatkan semula sesuatu yang telah hilang), maka Islam telah menyediakan kaedah alternatif yang terbaik. Terdapat banyak kaedah yang ditarbiyahkan oleh para ulama yang berlainan. Bagaimanapun, asas utamanya sama sahaja iaitu takwa dan tawakkal. Firman Allah dalam surah at-Tolaq ayat 2-3 yang bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan jadikan untuknya jalan keluar (dari apa juga masalah) dan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah maka cukup sempurnalah Allah sebagai tempat pergantungannya, sesungguhnya urusan Allah tetap berlaku. Sesungguhnya Allah telah menjadikan ketentuan bagi setiap sesuuatu”.

Seorang rakan penulis kehilangan semua wang ketika mengerjakan umrah. Beliau tidak mahu menceritakan kejadian itu kepada rakan jemaahnya. Sebaliknya, beliau segera mengerjakan solat sunat taubat dan solat sunat hajat serta berzikir dalam masjidil Haram. Ketika beliau berjalan keluar dari masjid, tiba-tiba muncul seorang Arab yang tidak dikenali menegurnya dan memeluknya. Kemudian orang Arab itu menghadiahkan segenggam wang. Beliau dapati wang itu berjumlah dua kali ganda dari wangnya yang hilang.

SATU KAEDAH AMALAN GOLONGAN SUFIYYAH
Penulis ingin berkongsi amalan mencari barang yang hilang yang ditarbiyahkan oleh sesetengah sufiyyah yang mengandungi beberapa langkah:

LANGKAH PERTAMA: Lakukan taubat yang merangkumi empat amalan:
1.      Membanyakkan istighfar;
2.      Mandi sunat taubat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhaj al-‘Abidin;
3.      Solat sunat taubat;
4.      Solat sunat awwabin iaitu bertaubat dari dosa dalaman yang sukar disedari.
Sebaik-baiknya, semua amalan taubat tersebut terpimpin. Para sahabat Rasulullah apabila bertaubat, mereka akan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 64 yang bermaksud: “Sekiranya mereka yang telah menzalimi diri mereka sendiri (kerana melakukan dosa) datang menemui engkau (ya Muhammad), lalu mereka meminta keampunan kepada Allah, dan Rasulullah s.a.w. juga meminta keampunan dari Allah untuk mereka, nescaya mereka akan dapati bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

LANGKAH KEDUA: Solat sunat hajat 2 rakaat. Adalah baik jika pada rakaat pertama, selepas membaca surah al-Fatihah, dibacakan surah al-Insyirah; dan pada rakaat kedua pula dibacakan surah al-Ikhlas.

LANGKAH KETIGA: selesai solat hajat, bacalah ayat ke 16 dari surah Luqman seberapa banyak yang boleh dengan tatacara yang berikut:
1.      Istighfar dengan menyebut Astaghfirullah sebanyak 70 kali.
2.      Membaca al-Fatihah sekali diniatkan supaya Allah sampaikan pahalanya kepada Rasulullah s.a.w., para guru kita dan semua umatnya yang soleh.
3.      Membaca ayat ke 16 dari surah Luqman seberapa banyak yang boleh sambil membayangkan Allah memulangkan barang yang hilang kepada kita.
4.      Berzikir dengan menyebut terus seberapa lama yang mampu YA LATIF YA KHABIR

LANGKAH KEEMPAT: Berzikir tahlil terus menerus seberapa lama yang boleh dalam keadaan muraqabah ma’iyyah sambil ditumpukan doa dalam hati: “Ya Allah hanya dengan rahmatMu, kehendakMu dan kekuasaanMu sahaja barang tersebut dapat ditemui”;

LANGKAH KELIMA: Buat nazar apa sahaja yang baik dan mudah dilakukan seperti puasa sunat sehari atau sebagainya;

LANGKAH KEENAM: Bersedekah setiap hari walaupun RM1.00;

LANGKAH KETUJUH: Kekalkan diri dalam keadaan berwuduk;

LANGKAH KELAPAN: Sentiasa ingat kehendak dan keazaman makhluk tidak dapat mengatasi takdir Allah;

LANGKAH KESEMBILAN: Sentiasa menjada adab terhadap Allah iaitu mengingati namaNya, muraqabah wujudNya, keagunganNya dan kesempurnaanNya.

LANGKAH KESEPULUH: Berdoa secara khusus dengan membaca doa qunut sebanyak 13 kali sehari.

KISAH DALAM FAIL PENULIS
Seorang hamba Allah telah kehilangan motosikal berkuasa besar miliknya selama hampir enam bulan. Penulis ajarkan amalan di atas dan beliau telah mengamalkan kaedah tersebut selama tiga hari tiga malam. Beliau menumpukan amalan tersebut di rumahnya dan tidak keluar rumah kecuali ada urusan yang penting. Selepas kira-kira 2 atau 3 minggu, ketika beliau turun daripada pejabat untuk balik ke rumah, beliau terperanjat besar kerana motosikalnya berada  di tempat yang biasa beliau letakkan beserta dengan anak kuncinya sekali. Setelah diperiksa, beliau yakin itu adalah motosikalnya yang hilang. Cuma nombor platnya sahaja yang telah ditukar. Ada kemungkinan orang yang mencurinya telah memulangkannya semula. Bagaimanapun hakikatnya, Allah yang memulangkan.

Seorang jiran penulis yang kehilangan semua barang kemas warisan keluarga dapat menemui semula semua barang kemasnya sesudah beliau terus menerus bertahlil selama kira-kira satu bulan. Pencuri telah memulangkan barang kemasnya di depan pintu rumahnya di dalam beg plastik berwarna kuning.

Demikianlah sedikit sebanyak kisah benar yang berlaku. Semuanya adalah gambaran bagaimana kekuasaan Allah untuk mengabulkan permintaan hambaNya. Ada diantara hambaNya yang meminta dengan jalan yang yang syirik, tetapi Allah tetap mengabulkannya. Ada juga hambaNya yang meminta dengan jalan yang diredhaiNya, maka dikabulkan juga. Semuanya adalah ujian untuk melihat sejauh mana manusia akan percaya dan beriman dengan ketentuan Allah. Bagi mereka yang menggunakan kaedah yang syirik lalu mendapat kembali barang yang hilang, maka tiada keuntungan baginya diakhirat, bahkan dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Manakala mereka yang kehilangan suatu milikan, lalu bersabar dan berikhtiar dengan cara yang Allah redhai, maka Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang lebih baik di dunia dan akhirat, sekalipun barang tersebut tidak ditemui.

MENEROPONG NASIB MH 370






MENEROPONG NASIB MH 370
(Artikel Al-Islam Mei 2014)

PENGENALAN
Satu dunia gempar dengan kemunculan Bomoh Nujum VIP di KLIA yang turut membantu misi mencari pesawat MH 370 yang dilaporkan hilang. Dengan berbekalkan peralatan perubatan tradisional seperti bubu, teropong, tikar, buah kelapa, bakul, tongkat dan diiringi dengan bacaan-bacaan tertentu, maka beliau mendakwa memperolehi alamat-alamat tertentu. Ada yang marah dan geram dengan tindakan tersebut dan tidak kurang juga yang ketawa melihat telatah mereka.

Tidak lama kemudian, muncul pula ustaz-ustaz dari pelbagai aliran perubatan tradisional dan juga Islam yang mendakwa bermimpi melihat pesawat malang tersebut. Ada yang melihat ianya disedut ke dalam laut. Ada yang mendakwa melihat ianya di tawan. Pada masa yang sama, ada juga yang mendakwa mempunyai kebolehan untuk mengembara ke alam roh dan pergi ke lokasi pesawat tersebut berada. Setelah rohnya kembali memasuki tubuh, maka diceritakan bahawa dia melihat itu dan ini. Ramalan dan tilikan tersebut datang dalam pelbagai versi dan kelihatan bercanggah antara satu sama lain.

RAMALAN MENURUT ISLAM
Ramalan dan tilikan merupakan antara perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW. Walau seikhlas mana pun niat untuk membantu, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan apa yang sudah diharamkan disisi Islam. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari ‘Imran bin Husain: “Bukan termasuk dalam golongan kami sesiapa yang beranggapan sial atau membenarkan orang yang beranggapan sial, atau sesiapa yang mendatangi tukang ramal atau membenarkan ucapannya, atau sesiapa yang melakukan perbuatan sihir atau membenarkannya.”

Kesan dari perbuatan mempercayai ramalan bomoh nujum dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahihnya bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang datang bertemu tukang tilik, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.” Manakala Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mendatangi seorang dukun atau tukang tilik kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka ia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.

ALAMAT DALAM MIMPI
Ada juga yang membuat ramalan berdasarkan mimpi yang dialami. Adakalanya mimpi itu sebagai petunjuk dan adakalanya mimpi itu sebagai mainan syaitan untuk memperdaya anak Adam. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abi Sa’id bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah dia mengucapkan ‘alhamdulillah’ dan ceritakannya kepada orang yang lain. Dan sebaliknya apabila dia melihat mimpi yang mendukacitakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”

Menurut Ibnu Sirin, tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu, namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan. Berkenaan mimpi yang dialami oleh beberapa orang individu tentang misteri kehilangan pesawat MH 370, boleh jadi ianya betul dan boleh jadi ianya salah. Ianya bergantung kepada bagaimana bentuk mimpi yang dialami.

MIMPI YANG BENAR
Mimpi yang benar adalah daripada Allah S.W.T. Ianya membawa kebaikan untuk seseorang itu dunia dan akhirat. Mimpi sebegini biasanya dalam bentuk misalan atau gambaran dan ia perlu dibuat penafsiran yang berhati-hati oleh orang-orang yang alim. Contoh gambaran dan misalan ialah apa yang berlaku kepada Nabi Yusuf a.s. Ketika remaja, baginda bermimpi melihat 11 buah bintang, bulan serta matahari melutut di hadapan baginda. Mimpi tersebut dalam bentuk gambaran sahaja dan ia telah ditafsirkan oleh bapanya, Nabi Yaakub. Begitu juga ketika dalam penjara. Baginda telah didatangi oleh dua orang banduan yang minta ditafsirkan mimpi mereka. Salah seorang diberi gambaran dalam mimpi bahawa dirinya sedang memerah arak manakala seorang lagi membawa sebakul roti di atas kepala dan burung-burung memakannya dari dalam bakul tersebut. Begitu juga dengan kisah raja Mesir yang telah meminta Nabi Yusuf mentafsirkan mimpinya melihat tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu kurus, dan tujuh tangkai gandum  yang elok dan tujuh lagi tangkai gandum yang kering. Kesemua mimpi tersebut berupa gambaran dan misal tentang sesuatu yang bakal berlaku.

Namun ada juga mimpi yang jelas dan terang seolah-olah ditayangkan filem tentang apa yang berlaku. Biasanya mimpi sebegini dialami oleh para Nabi dan Rasul sahaja. Contohnya mimpi Nabi Ibrahim yang melihat beliau menyembelih anaknya Nabi Ismail. Begitu juga mimpi Rasulullah SAW melihat Baginda dan para sahabat memasuki kota Mekah dalam keadaan berihram.

MIMPI YANG BATIL
Mimpi yang batil merupakan permainan syaitan. Biasanya mimpi jenis ini akan menimbulkan kesedihan dan kebimbangan kepada orang tersebut. Selalunya orang tersebut melihat mala petaka, kemalangan, musibah, kesedihan dalam mimpi berkenaan. Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan. Sekiranya salah seorang daripada kamu bermimpi buruk, ludahlah ke arah kiri tiga kali dan mintalah perlindungan kepada Allah. maka mimpinya tidak akan memberi apa-apa kesan.”

Justeru, sekiranya seseorang bermimpi melihat sesuatu yang mendukacitakan seperti pesawat terhempas atau krew dan penumpang pesawat ditawan, maka tidak perlulah dia menceritakan mimpi itu kerana ianya bakal menimbulkan kesedihan dan kerunsingan kepada banyak pihak.


MIMPI YANG TIADA MAKNA
Mimpi jenis ini berpunca dari keadaan persekitaran yang dialami oleh seseorang manusia. Apa yang diingini atau apa yang dialami pada waktu siang, kadang-kadang boleh terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mimpi jenis ini berkait rapat dengan keinginan nafsu dan kehidupan duniawi. Sebagai contoh, seseorang yang menaruh hati pada seseorang wanita akan sentiasa terkenang-kenang wanita itu hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Begitu juga seseorang yang menaruh imipian untuk memiliki kereta baru, pasti akan terfikir tentang kereta tersebut sehingga terbawa ke dalam mimpi. Mimpi seperti ini terjadi kerana pengaruh fikiran seseorang. Mimpi sebegini juga tidak perlu dihebah-hebahkan kerana ianya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada orang lain.

MENEROPONG KUDRAT DAN IRADAT ALLAH
Apa yang berlaku dalam peristiwa kehilangan pesawat MH 370 memperlihatkan kuasa dan kehendak Allah SWT. Melalui peristiwa ini, terserlah kelemahan kita sebagai manusia yang berbangga dan bergantung kepada kecanggihan peralatan teknologi. Kita semua hanya akan dapat memandang kehebatan ilmu Allah SWT apabila kita merasai kelemahan dan bertemu jalan buntu. Sampai satu masa, kita semua akan menyerahkan diri bulat-bulat kepadaNya apabila semua kepakaran dan semua alatan canggih yang digunakan menemui kegagalan. Ketika itu, barulah datang pertolongan Allah SWT. Perkara ini telah terbukti dalam kegetiran peristiwa perang Badar yang dihadapi oleh tentera Islam. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 123: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

Merasa lemah dan tiada daya merupakan kunci kepada pertolongan Allah. Apabila kita berasa lemah, maka ketika itu terzahirlah sifat keagungan Allah SWT yang Maha Mengetahui. Allah menegaskan bahawa Dia Mengetahui segalanya. Bukan hanya kapal terbang bahkan daun yang jatuh di dalam hutan pun diketahuiNya. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 59: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang terang nyata.”

Penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah perlu disertai dengan taubat dari segala dosa dan menjauhi perkara-perkara yang syirik. Percampuran unsur-unsur tersebut akan menghijabkan doa yang dipinta. Mudah-mudahan Allah menerima doa dan membantu pasukan penyelamat untuk menemui noktah pencarian ini. #Remembering MH 370.

BUAH KHULDI UNTUK KEBAL MATI






BUAH KHULDI UNTUK KEBAL MATI
(Artikel Majalah Al-Islam bulan April 2014)

Sekitar tahun 1989 dahulu, seorang pemuda dari negara jiran bernama Dulisman telah ditangkap pihak berkuasa Malaysia melalui Ops Rabun. Beliau telah dituduh atas kesalahan memperkosa lebih dari 40 orang anak gadis di Lembah Kelang. Dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa, Dulisman mengaku bahawa perbuatan terkutuk tersebut terpaksa dilakukan demi memenuhi syarat ilmu hitam yang diamalkannya. Menurutnya, dia perlu memperkosa lebih kurang 88orang anak dara untuk memastikan dia dapat kekal muda dan hidup lebih lama.

ILMU KEBAL SENJATA SYAITAN
Dulisman adalah antara salah seorang manusia yang ditimpa nasib malang dalam usaha mencari kekebalan hidup. Jika kita kaji lebih mendalam, kita akan dapati bahawa keinginan untuk hidup lama merupakan salah satu dari senjata yang digunakan iblis untuk mengeluarkan Nabi Adam a.s. dari syurga. Firman Allah SWT dalam Al-Quran Surah Taha, ayat 120 yang bermaksud:

Setelah itu maka syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam! Mahukah aku tunjukkan kepada kamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?

Keinginan manusiauntuk kebal dari kematian dan kebal dari kecederaansangat diketahui oleh iblis dan kuncu-kuncunya. Lalu mereka mencipta pelbagai tipu daya untuk menjerumuskan manusia ke dalam amalan-amalan khurafat yang bertentangan dengan perintah Allah.Antaranya ialah ilmu kebal kaca, ilmu dabus, kebal kulit nangka, kebal kanuragan, ilmu sangka bunuh dan pelbagai lagi dengan pelbagai nama dan versi. Ilmu sedemikian merupakan salah satu strategi iblis dan syaitan untuk menipu daya manusia. Iblis tahu manusia akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi lebih kaya, lebih hebat, lebih gagah, lebih tampan, lebih cantik. Apabila sikap ingin lebih dari orang lain ada pada diri seseorang, maka akan timbul sifat tidak bersyukur. Apabila tidak bersyukur, maka ia akan membuka ruang kepada syaitan untuk menyusup masuk.

Bagi individu yang mempunyai latar belakang agama, maka iblis membisikkan kononnya ilmu kebal ini ada dalam Islam. Bahkan mereka mendakwa bahawa sebahagian sahabat Nabi SAW ada yang belajar ilmu kebal. Dakwaan sebegini sangat bertentangan dengan apa yang sebenarnya. Untuk menafikan dakwaan sebegini, maka sama-sama kita telusuri sejarah yang terkandung dalam Al-Quran dan juga sunnah.

SEJARAH MANUSIA HIDUP LAMA
Dalam lipatan sejarah, terdapat beberapa kisah manusia yang Allah takdirkan hidup lebih lama dari kebiasaan manusia biasa. Antara kisah yang terkenal ialah kisah penghuni gua (Ashabul Kahfi) yang ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun. Firman Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 10-12:

”Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad) bahawa kisah ’Ashabul Kahfi’ dan ’Ar-Raqiim’ itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.”

Begitu juga dengan kisah Nabi Uzair yang telah ditidurkan oleh Allah selama 100 tahun. Kisah ini tercatat dalam surah Al-Baqarah ayat 259:

“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?” Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “Berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Ia menjawab: “Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Berdasarkan kedua-dua kisah di atas, maka kita dapat melihat beberapa perbezaan antara suatu perkara luar biasa yang dikurniakan Allah berbanding dengan keajaiban yang berlaku hasil pertolongan syaitan melalui amalan-amalan salah.

1.      Kisah luarbiasa yang berlaku kepada Ashabul Kahfi dan Nabi Uzair adalah bertujuan untuk menunjukkan kekuasaan Allah kepada manusia. Mudah-mudahan dengan yang demikian akan menjadikan manusia semakin yakin kepada Allah dan menambahkan lagi keimanan mereka. Berlainan dengan ilmu kebal. Ianya lebih untuk menunjukkan kehebatan pengamalnya, bukan untuk menunjukkan kekuasaan Allah.

2.      Kisah Ashabul Kahfi dan Nabi Uzair berlaku tanpa dirancang. Ianya adalah kurniaan Allah dalam bentuk mukjizat dan karamah. Ia berlaku secara spontan, tidak dipelajari dan tidak berulang. Berlainan dengan ilmu kebal. Ianya merupakan istidraj dan sihir kerana ianya perlu dipelajari, boleh dirancang dan terjadi berulang kali mengikut kehendak pengamalnya.

3.      Kisah Ashabul Kahfi dan Nabi Uzair tidak melibatkan sesuatu yang berupa larangan dan tegahan Allah. Ianya berlaku tanpa memerlukan syarat tertentu. Manakala sesuatu yang datang dari syaitan biasanya dalam bentuk amalan yang dilarang oleh Allah. Contohnya, larangan memakan buah khuldi, larangan memperkosa, larangan menuntut ilmu dari kahin (bomoh dan pawang), larangan bertemu ’arraf (tukang tilik) untuk mengetahui hari nahas, larangan menggantung tangkal kebal dan seumpamanya.

BOLEHKAH MANUSIAKEBAL DARI KEMATIAN?
Timbul persoalan adakah manusia itu mampu hidup kekal abadi, atau paling tidak, hidup lebih lama dari kebiasaan? Persoalan ini sering dilupakan oleh orang-orang yang mengejar kehebatan diri dan kemegahan dunia. Sedangkan Allah telah menjawab soalan ini dengan sejelas-jelasnya dalam surah Ar Rahman, ayat 26-27: 
Setiap sesuatu yang di atas muka bumi akan hancur binasa. Dan yang kekal abadi adalah wajah Tuhanmu (Allah) yang memiliki Kebesaran dan Kemuliaan.”

Walaupun begitu, masih ramai juga yang tidak mempedulikan pengajaran ayat tersebut. Mereka mengatakan bahawa ilmu kebal dan ilmu pantang ajal ini wujud dalam Islam. Pengamal ilmu ini memberikan beberapa hujah bahawa ada dikalangan sahabat Rasulullah SAW yang kebal, tidak lut ditikam senjata musuh ketika berperang melawan tentera musuh.

Mereka tidak sedar bahawa itu semua sebenarnya adalah sebahagian dari janji-janji syaitan yang penuh dengan tipu daya.Dalam sejarah Islam, memang terdapat beberapa kisah sahabat yang dikurniakan kelebihan dan karamah. Antaranya ialah Khalid Al Walidpernah terselamat dari sebarang kecederaan akibat ditetak pedang. Namun, dalam banyak peperangan, beliau turut mengalami kecederaan sehingga beliau berkata: “Aku telah melihat (mengikuti) seratus peperangan dan tidak ada sejengkal pada badanku kecuali padanya ada tetakan pedang, lontaran anak panah atau cucukan tombak, dan sekarang ini keadaanku sakit mati atas tilam dengan perasaanku, aku mati sebagai seorang pengecut.”

Bukti yang paling jelas untuk menolak kebatilan ini ialah sikap para sahabat Nabi SAW ketika menyertai peperangan. Tidak ada sahabat yang datang kepada Rasulullah SAW minta agar diajarkan ilmu kebal, supaya mereka tidak lut ditikam musuh, supaya mereka dapat pulang dengan selamat. Rata-rata sahabat meminta agarNabi SAW mendoakan agar mereka dikurniakan mati syahid. Ini menggambarkan keberanian dan kekuatan iman para sahabat. Dalam masa yang sama, ia memberi maklum kepada kita bahawa orang-orang yang belajar ilmu kebal ini adalah orang-orang yang penakut dan kurang keyakinan terhadap janji Allah.

KISAH AL-HARITH AD-DIMASYQI
Dalam kitab Majmu’ Fatawa,Syaikhul Islam Ibnu Taimiah mencatatkan sebuah kisah yang terjadi semasa pemerintahan khalifah ‘Abdul Malik bin Marwan. Ada seorang lelaki yang bernama al-Harith ad-Dimasyqi yang mengaku dirinya sebagai nabi. Lelaki ini mempunyai kebolehan luar biasa. Antaranya ialah dia mampu membuka rantai-rantai besi yang mengikat kakinya, menjadikan batu marmar bertasbih apabila disentuh tangannya, mendakwa dapat melihat kumpulan manusia berjalan dan menunggang kuda terbang di udara. Apabila tentera khalifah berjaya menang­kap al-Harith, dia dibawa ke hadapan khalifah untuk dibunuh. Salah seorang tentera menikamkan tombak ke tubuh al-Harith, namun tombak tersebut tidak berupaya menembusi tubuhnya. Tentera tersebut berasa hairan dan takut. Melihatkan hal itu, maka khalifah berkata: “Yang demikian berlaku kerana kamu tidak menyebut nama Allah SWTketika menikamnya.” Maka tentera itu pun membaca Bismillahdan menikamnya. Saat itu, tombak itu berjaya menembusi tubuh al-Harith. Menurut Ibnu Taimiyah, perkara luar biasa tersebut terjadi dengan bantuan syaitan. Apabila dibacakan ayat-ayat pengusir seperti ayat kursi, maka syaitan tersebut akan lari meninggalkan pengamalnya.

PEGAJARAN KISAH BUAH KHULDI
Dalam surah Taha ayat 120, Allah menceritakan bagaimana iblis menipudaya Adam dan Hawa melalui akuan bersumpah bahawa sekiranya mereka berdua memakan buah khuldi, nescaya mereka akan hidup lama. Firman Allah SWT:

”Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya, dengan berkata: “Wahai Adam!Mahukah aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?” Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya).

Akhirnya, janji tersebut bukan sahaja menyebabkan Adam dan Hawa tidak dapat keabadian hidup, malah dimalukan dengan didedahkan bahagian sulit kedua-duanya. Yang lebih malang, Allah SWT murka dan mengeluarkan mereka berdua dari syurga. Inilah sebenarnya tipu daya syaitan dalam ilmu-ilmu sebegini. Hal yang sama terjadi kepada Dulisman. Keinginan untuk awet muda dan hidup lebih lama menyebabkan dia terjatuh ke dalam perangkap syaitan hingga terpaksa melakukan perkara yang ditegah oleh syara dan juga undang-undang. Akhirnya, bukan sahaja ditangkap, malah berdepan dengan hukuman penjara yang berat.

KESAN BERAMAL ILMU KEBAL
Ilmu kebal dan tangkal kebal sebenarnya akan memberi kesan yang berlawanan dengan tujuan ianya diamal atau dipakai. Ini bermakna, seseorang yang beramal dengan ilmu kebal atau memakai tangkal kebal bukan akan menjadi kebal, tetapi sebaliknya akan menjadi lemah dan mudah dicederakan. Jika kebal pun, hanya untuk seketika. Ini adalah berdasarkan satu kisah yang berlaku ketika hayat Nabi Muhammad SAW. Suatu ketika, Baginda SAW ternampak seorang lelaki memakai gelang tembaga di lengannya. Lalu Baginda SAW bertanya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: ”Tangkal untuk mengatasi badan yang lemah.” Lalu Baginda SAW bersabda: “Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada tubuhmu. Maka sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya”.

Kes kumpulan perompak yang dikenali sebagai Pak Ee dan Geng Ipol yang ditembak mati pada tahun 2009 adalah antara contoh terbaik. Kumpulan perompak bersenjata ini beramal dengan ilmu kebal serta memakai tangkal kebal. Mereka sangat percaya bahawa tangkal kebal yang mereka pakai menjadikan mereka tidak akan lut peluru. Namun akhirnya, ahli kumpulanini mati juga ditembak oleh pihak polis.

Risiko beramal dengan ilmu syaitan ini tidak terhenti setakat itu sahaja. Seseorang yang menuntut ilmu kebatinan seperti ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu seri muka dan seumpamanya akan berdepan dengan gangguan makhluk halus. Makhluk halus ini menjadi sahabat dan pendamping kepada pengamal melalui amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat tertentu dalam waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya.Mungkin semasa hayatnya, tiada apa-apa berlaku. Tetapi, menjelang akhir hayatnya, terutama ketika sakaratul maut, makhluk halus ini akan datang menagih balasannya. Lebih malang lagi, makhluk ini akan mengganggu keturunan tuannya pula dalam bentuk saka selepas pengamal itu meninggal dunia. Itulah rantaian dendam kesumat iblis kepada Adam dan anak cucunya.