Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Monday, June 9, 2014

MENCAPAI KESEMPURNAAN SOLAT MELALUI TAREKAT TASAWUF



Artikel ini adalah tulisan guru saya yang tersiar dalam majalah Al-Islam, Jun 2014.



MENCAPAI KESEMPURNAAN SOLAT MELALUI TAREKAT TASAWUF
Dr Hj Jahid Hj Sidek

PENDAHULUAN
Sama seperti amal ibadat lain,solat juga terbahagi kepada tiga tingkat:
1.      Solat tingkat Islam iaitusolat golongan awamyang berhati lalai (ghaflah).
2.      Solat tingkat iman iaitu solat golongan manusia khusus(khawas) yang hati mereka selalu ingatkan Allah.
3.      Solat tingkat ihsan iaitu solat golongan manusia yang khusus antara yang khusus (khawasul-khawas)yang hati mereka hanya ingatkan Allah semata-mata.

Amalan zikir dalam tarekat tasawuf dapat menyegerakan perubahan sifat-sifat hati (maqamat qalbiyyah) dan emosi hati (ahwal qalbiyyah) menjadi lebih baik.Berubah dari lalai (ghaflah) menjadi sedar (yaqazah), kemudian menjadi hudur dan akhirnya menjadi ghaiybah, iaitu hilang segala ingatan terhadap makhluk, hanya Allah sahaja yang diingat.Apabila keadaan hati bertambah baik, maka solat yang dikerjakan juga bertambah baik sehingga menjadi sebaik-baik solat. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat 18 yang bermaksud: “Sampaikanlah berita yang benar lagi mengembirakan hati para hambaKu. Para hambaKu ialah mereka yang selalu mendengar pengajaran Allah dalam al-Quran lalu mereka lakukan sebaik-baiknya.”

TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUS
Tarekat dari sudut bahasa bermakna jalan.Di dalam al-Quran, kalimah tarekat ini disebut beberapa kali sahaja. Antaranya dalam surah al-Jin ayat 16 yang bermaksud: “Dan sekiranya mereka istiqamah diatas tarekat ini (agama Islam) nescaya kami akan kurniakan mereka air yang melimpah ruah (kebaikan zahir dan batin yang terlalu banyak)”.

Semua ahli tafsir menafsirkan kalimah at-tariqah yang tersebut dalam surah al-Jin diatas dengan makna al-Islam.Tarekat tasawuf juga mempunyai makna yang sama. Yang membezakan antara kedua-duanya ialah istilah tarekat dalam surah al-Jin itu bersifat umum manakala tarekat tasawuf bersifat khusus.Tarekat yang umum hanya didasarkan kepada dua asas sahaja iaitu beriman kepada rukun iman yang enam dan melakukan amalan soleh yang diasaskan kepada rukun Islam yang lima.

Tarekat dalam tasawuf adalah jalan syariat agama Islam yang khusus kerana ia didasarkan kepada tiga syarat iaitu:
1.      Beriman kepada rukun iman yang enam.
2.      Beramal solehberasaskan rukun Islam yang lima.
3.      Berzikir terus menerus sehingga hati menjadi mutmainnah.
Ketiga-tiga syarat tersebut disebutkan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud:“Mereka adalah orang-orang yang beriman (dan beramal soleh) dan tenang tenteram hati mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

Kaedah mempelajari tarekat tasawuf dan mengamalkannyajuga dilakukan secara khusus, dengan syarat-syarat yang khusus, melalui tahap-tahap yang khusus, ada pimpinan yang khusus dengan tujuan yang khusus dan sebagainya lagi.Oleh itu, orang yang beramal dengan tarekat yang khusus dapat menjalani ketiga-tiga asas agama Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.

Maka berbezalah tarekat  tasawuf yang bersifat khusus ini dengan tarikat yang umum, iaitu jalan syariat agama Islam yang biasa diamalkan oleh orang ramai. Tarekat atau jalan syariat agama Islam yang umum tidak terikat dengan berbagai syarat seperti yang disebutkan diatas.Oleh kerana itu, semua orang Islam bertarekat iaitu dengan tarekat yang umum.Mereka hanya dapat menghayati dua asas dari tiga asas agama Islam, iaitu Islam dan iman sahaja.Mereka tidak dapat menghayati Ihsan melainkan mereka belajar dan beramal dengan tarekat tasawuf.

Sifat khusus tarekat dalam tasawuf dapat kita lihat lebih jelas dalam definisiyang diutarakan oleh Syeikh Mohammad Zakaria al-Kandahlawi dalam kitabnya Al-Syari’ahWa Al-Tariqah. Katanya: “Tarekat ialah jalan (syariat agama Islam) yang membolehkan seseorang mukmin sampai ke darjat Ihsan.Tanpa tarekat yang khusus ini seorang mukmin biasanya tidak akan sampai ke darjat Ihsan, kecuali bila dapat Inayah Allah secara khusus”.

Kesimpulannya, tarekat tasawuf adalah satu kaedah atau satu aliran atau satu madrasah mujahadah golongan sufiyyah yang teratur, tersusun dan terpimpin yang membolehkan tercapainya darjat Ihsan.Ianya mempunyai berbagai prinsip. Antaranya, mesti ada syeikh mursyid, berbaiah dengan guru dan ditalkinkan oleh guru, adanya suhbah (hubungan yang erat dengan guru), ada zikir dan tafakkur, melakukan uzlah dan khalwat, ada himmah yang tinggi, bertaqwa, mencari ilmu, menjaga adab yang ditentukan dan sebagainya.

TAREKAT TASAWUF DAN KAITANNYA DENGAN SOLAT
Setelah kita faham tentang tarekattasawuf seperti yang dijelaskan, marilah kita lihat bagaimana peranannya dalam solat. Kita boleh lihat peranan penting yang dimainkan oleh tarekat tasawuf dalam solat dari beberapa sudut seperti di bawah ini:

1. Membaiki niat dan konsep niatdalam solat.
Dalam ilmu fekah, kita diajar berniat mengerjakan solat semasa takbiratul ihram.Sebaliknya dalam tarekat, niat mempunyai makna yang luas.Di samping niat mengerjakan solat, niat difahami dalam tarekat sebagai gerak hatisebagaimana amalan adalah gerak tubuh badan atau jasad.Ini dapat kita fahami daripada hadis nabi s.a.w yang bermaksud:“Bahawasanya amalan-amalan itu ada berbagai niat, seseorang dapat balasan baik dari pada amalannya setakat mana yang diniatkan.” 

Dalam tarekat, ilmu dan kefahaman niat  ditingkatkan kepada  gerak hati yang meliputi tiga jangka masa:
a)      Gerak hati sebelum melakukan solat.                                                        
b)      Gerak hati sepanjang masa mengerjakan solat.  
c)      Gerak hati selepas selesai solat.

Perlu difahami bahawa gerak hati yang baik hanya akan wujud jika hati bersifat baik dan diselubungi oleh emosi yang baik. Kedua-dua sifat hati dan emosi hati dikenali dalam tarekat sebagai makam-makam hati (maqamat qalbiyyah) dan hal ehwal hati (ahwal qalbiyyah).Kedua-dua sifat hati yang baik dan emosi hati yang baik inilah yang menjadi tumpuan pandangan Allah atau perkiraan Allah terhadap amalan seseorang mukmin. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak (hanya) melihat (menilai) amalan-amalan kamu dan juga tidak melihat rupa kamu, akan tetapi Allah melihat hati kamu.”

Contohnya, sebelum masuk waktu solat, hati mula ingat dengan penuh sedar tentang kewajipan solat, ingatkan Allah, wujudNya, sifat-sifat jalal dan jamalNya. Dengan caraitu, maka hati terhias dengan pelbagai sifat kehambaan iaitu bersifat taubat, sabar, syukur, takut, penuh harap pada rahmatNya, tawakal, redha, mahabbah dan sebagainya.Emosi hati turut menjadi sebaik-baik emosi seperti tenang, ikhlas, hanya mahukan Allah dan keredhaanNya dan sebagainya.

2. Memudahkan tercapainya khusyuk.
Dalam solat, hati mesti mengingati Allah dengan penuhkhusyuk. Firman Allah dalam surah Toha ayat 14 yang bermaksud: “…dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”Kita hanya akan dapat mencapai khusyuk dalam solat jika hati kita sentiasa berzikrullah diluar solat. Rasulullah s.a.w sentiasa ingat akanAllah sepanjang masa, sehingga semasa tidur pun baginda s.a.w ingat Allah. Baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dua mataku tidur sedangkan hatiku tidak tidur.”

Seorang mukmin yang beramal dengan tarekat tasawuf sentiasa meniru amalan zikir Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w sentiasa berzikir.Oleh sebab itu, mudah Rasulullah s.a.w khusyuk dalam solat.Begitulah juga ahli tarekat sepatutnya mudah khusyuk dalam solat.

Amalan zikir dalam sesuatu tarekat sememangnya bertujuan dapat mengubahkeadaan hati daripada lalai (ghaflah) kepada sedar (yaqazah). Malahan keadaan hati akan terus bertambah baik sehingga hati akan tenggelam dalam mengingati Allah. Mari kita lihat tingkat-tingkat zikir seperti yang diajarkan oleh Ibnu Ata’illah dalam kitabnya Hikam.Menurut beliau, zikirullah ada empat tingkat:
a)      Zikir ghaflah
Di tingkat zikir ghaflah, tazakkur (satu unsur penting dalam yaqazah) belum berlaku, kerana hati masih lalai (ghaflah).Hati yang lalai tidak berfungsi.Hati yang tidak berfungsi adalah hati yang tidur. Hati yang tidur sama juga dengan hati yang mati. Hati inilah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Jawahir al-Quran dengan katanya: “Sesungguhnya anda hidup di dunia ini (hati anda) tidur, sekalipun tubuh badan anda berjaga.Hati  manusia tidur. Apabila mereka mati, maka hati mereka baru terjaga”.Jika hati tidur tentulah sangat sukar untuk khusyuk dalam solat.Sebaliknya solatnya tenggelam dalam lautan lalai.

b)      Zikir yaqazah
Di tingkat dhikiryaqazah, tazakkur baru bermula, kerana hati telah sedar atau telah terjaga atau telah hidup dan dilimpahi cahaya hidayat Allah. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 122 yang bermaksud: “dan Adakah orang yang hatinya mati, kemudian Kami hidupkan, dan Kami jadikan baginya cahaya hidayat yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapat) menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti orang yang (hatinya tetap mati) berada dalam berbagai kegelapan, yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya”.

Di tingkat ini, nur hidayah yang Allah limpahkan ke dalam hati diistilahkan dengan nur intibah, kerana hati menjadi sedar dan hidup.Orang yang menerima permulaan tazakkur ini digelarkan dengan gelaran salik.Golongan salik inilah yang mempunyai peluang yang besar untuk mendapat khusyuk yang minima dalam solat, kerana khusyuk dihubungkan dengan hati yang ingatkan Allah. Firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 16 yang bermaksud: “Adakah belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mengingati Allah serta membaca (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?...”

c)      Zikir hudur
Di tingkat zikir yang ketiga, ingatan dan tumpuan hati kepada Allah menjadi cukup kuat sehingga hati tertumpu kepada Allah semata-mata.Nur yang dilimpahkan oleh Allah melalui ruang hati diistilahkan sebagai nur al-Iqbal.Dengan nur tersebut, hati benar-benar takut dan gerun terhadap Allah disamping bergantung kepada rahmatNya semata-mata.Hati orang tersebut menjadi merdeka dari semua pengaruh makhluk.Hati tersebut hanya menjadi hamba Allah, yang membolehkan orang tersebut terus bersifat sabar semata-mata inginkan Allah dan keredhaanNya.Orang yang disampaikan di peringkat ini digelarkan dengan salik yang khawas atau salik yang khusus.Golongan inilah yang dapat khusyuk dalam solat yang lebih baik.

d)      Zikir ghaiybah
Di tingkat zikir ke empat, tazakkur menjadi sempurna.Nur yang Allah limpahkan ke dalam ruang hati diistilahkan dengan nur al-Wisol iaitu suatu Nur khusus yang menyampaikan hati seseorang ke tingkat haqiqat dan makrifatullah, atau menyampaikannya ke tingkat Ihsan.Di peringkat inilah biasanya orang tersebut mengalami fana’dan kemudiannya diletakkan oleh Allah dalam keadaan baqa’.Menurut ulama-ulama tasawuf, orang yang sampai di peringkat ini dikenali sebagai salik yang khawasul-khawas atau salik yang khususul-khusus.Golongan inilah yang benar-benar dapat mencapai khusyuk sebenar dalam solat.


3. Membantu tercapainya hikmah solat.
Menurut Ibn ‘Ata’illah, Allah akan limpahkan lima rahmat yang pentingdalam solat yang khusyukiaitu:
a)      Hati dibersihkan dari kekotoran pelbagai dosa dan sifat-sifat jahat;
b)      Pandangan mata hati (basirah) diperlihatkan berbagai ayat-ayat Allah di alam malakut;
c)      Hati merasa hampir dengan Allah sehingga dapat bermunajat kepadaNya;
d)      Sirr terasa dilimpahi berbagai hikmah ilahiyyah oleh Allah;
e)      Cahaya dalam hati kian terang benderang.

4. Membantu rohani orang yang solat merasai lazat dan manisnya buah solat.
Rohani orang yang solat penuh khusyuk dan dapat mencapai tujuan solat yang sebenar akan merasai sedap dan lazatnya buah solat. Apabila dapat merasai buah solat, bererti solatnya akan diterima oleh Allah. Ibnu Ata’illah menyebutkan: "Sesiapa yang merasai buah amalnya ketika didunia, maka itu adalah satu tanda atau bukti amalannya akan diterima oleh Allah di akhirat”.Buah amal ada lima perkara. Dalam solat kelima-lima buah amal boleh dirasakan menerusi hati yang hidup iaitu:
a)      Rasa sedap, lazat pada rohani dan jasmani ketika solat;
b)      Rasa manis hati atau rohani ketika bermunajat dalam solat;
c)      Hati jinak kepada Allah ketika melakukan muraqabah dalam solat;
d)      Hati atau roh suka gembira ketika musyahadah;
e)      Sirr berasa suka gembira ketika menerima berbagai rahmat dan nikmat atau ketikamenerima berbagai tajalliyyah.

5.  Membantu mencapai ikhlas hati dalam solat.
Dengan melihat tingkat-tingkat zikir seperti yang disebutkan diatas, hati hanya akan bersifat ikhlas apabila sampai ke tingkat zikir ghaiybah. Ketika itulah orang tersebut Allah sampaikan ke darjat Ihsan, maka ia menjadi seorang muhsin. Setelah menjadi seorang muhsin  barulah Allah kurniakan sifat ikhlas di dalam hati. Sebuah hadis qudsi bermaksud:“Ikhlas adalah satu rahsia dari berbagai rahsiaKu yang Aku limpahkan ke dalam hati seseorang yang Aku kasihi dari kalangan para hambaKu. Keikhlasan tersebut tidak dapat diketahui oleh malaikat, kerana malaikat tidak dapat menuliskan pahala keikhlasan hati.Syaitan juga tidak dapat mengetahuinya.Oleh kerana itu syaitan tidak boleh merosakkan amalan orang yang berhati ikhlas.”

Bila orang tersebut mengerjakan apa sahaja ibadat seumpama solat, barulah keikhlasan ibadat yang dilakukan dapat dicapai. Keikhlasan hati akan melipat gandakan balasan baik dari Allah. Maksud sebuah hadis: “Satu solat dalam masjidku adalah lebih baik seribu kali berbanding dengan solat dimana-mana masjid, kecuali Masjidil Haram. Satu solat di Masjidil Haram adalah lebih baik seratus kali berbanding dengan solat di masjidku.Dan yang terlebih baik dari yang tersebut ialah seseorang solat dua rakaat dalam bilik rumahnya, tidak sesiapa pun yang mengetahui kecuali Allah.”Ternyata orang yang berhati ikhlas sangat istimewa disisi Allah. Hati yang ikhlas hanya akan dikurniakan oleh Allah apabila seseorang terus berzikir dan muroqabah.

Tanda hatinya Ikhlas ketika solat ialahapabila seseorang itu tidak memandang solat yang dilakukan. Begitu juga dia tidak memandang ibadat-ibadat yang lain. Yang dipandang hanyalah rahmat Allah, kerana rahmat Allah lebih sempurna dan jauh lebih baik. Ibnu Ata’illah berkata: “Apabila Allah kurniakan anda pada zahir taat dan pada batin berasa kaya dengan rahmat Allah, tidak terasa kaya dengan ketaatan (amal ibadat), ketahuilah sesungguhnya Allah telah melimpahkan berbagai nikmat yang sempurna zahir dan batin kepada anda.”

6. Membantu menjaga dan menghayati janji dan ikrar
Seseorang yang bersolat dengan penuh kesedaran hati kepada Allah sebenarnya sedang menerima dan menghayati pelbagai kebaikan, rahmat dan nikmat.Dia juga sedangmelaksanakan pelbagai ikrar, janji dan pengakuan dalam solat, sehingga menjadi mukmin sejati dan hamba Allah yang sentiasa menjaga semua kebaikan yang tersirat dan yang tersurat dalam solat. Allah berfirman dalam surah Al-Mu’minun ayat 9 yang bermaksud: “Dan mereka yang tetap memelihara (berbagai kebaikan yang terkandung dalam) sembahyangnya.”

KESIMPULAN
Sebagaimana pentingnya ilmu feqah dan tauhid dalam suatu amal ibadah kita, maka ilmu tasawuf juga demikian juga.Sekiranya amal dan ibadah hanya difokuskan kepada fizikal dan mental sahaja tanpa ditekankan penghayatan dari sudut spiritual dan rohaninya, maka agar sukar untuk mencapai kesempurnaan solat yang sebenarnya.

3 comments:

  1. assalam,
    i think most of us lack of understanding in the practice.turned out dissappointing. :(

    ReplyDelete
  2. kupasan yang baik. izinkan saya copy & paste

    ReplyDelete
  3. http://semuaceritavipdomino.blogspot.com/2017/11/disangka-rudal-korut-bola-api-di-langit.html
    http://semuaceritavipdomino.blogspot.com/2017/11/waspada-vape-dengan-berbagai-rasa.html
    http://semuaceritavipdomino.blogspot.com/2017/11/panglima-tni-beberkan-tuntutan-tak.html


    Tunggu Apa Lagi Guyss..
    Let's Join With Us At Dominovip.com ^^
    Untuk info lebih jelas silahkan hubungi CS kami :
    - BBM : D8809B07 / 2B8EC0D2
    - Skype : Vip_Domino
    - WHATSAPP : +62813-2938-6562
    - LINE : DOMINO1945.COM
    - No Hp : +855-8173-4523

    ReplyDelete