Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Wednesday, December 9, 2015

KUMAN ITU BANGSA JIN???

 



KUMAN ITU BANGSA JIN???
(Al-Islam Januari 2016)

Pendahuluan
Kuman itu bangsa jin? Kedengaran agak pelik. Bila masa pula kuman ini dikategorikan sebagai jin? Saintis mana yang kata macam tu? Buku mana yang dirujuk? Mungkin itu antara reaksi para pembaca. Untuk makluman anda, ini sebenarnya hipotesis atau andaian yang boleh jadi benar, dan boleh jadi tidak benar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, alam jin dan syaitan merupakan alam ghaib yang tidak dapat kita capai melalui pancaindera. Maka, maklumat yang paling tepat tentang alam ini perlu datang dari Tuhan Yang Maha Pencipta. Mungkin melalui analisa yang mendalam terhadap apa yang disabdakan oleh para Nabi dan RasulNya, mampu membuka satu dimensi dan rahsia baru dalam dunia perubatan.

Bentuk dan Jenis Jin
Kejadian jin tidak sama dengan kejadian manusia. Ia dijadikan dari lidah api dan sifatnya boleh berubah-ubah. Sesetengahnya boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Mereka juga mempunyai pelbagai kategori dan kebolehan yang tertentu. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda:
Jin terdiri daripada tiga golongan: Golongan yang mendapat pahala dan juga siksa, golongan yang berterbangan di antara langit dan bumi, dan golongan yang berupa ular dan anjing.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dari Abu Thalabah al Khisyni r.a, Rasulullah SAW bersabda:
Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.

Maka, tidak hairanlah jika ada riwayat tentang kisah para Nabi, sahabat dan alim ulama yang terserempak dengan jin dalam keadaan mereka berbentuk seperti manusia, haiwan dan binatang, atau bentuk lain seperti bayangan, lembaga hitam, hantu dengan rupa yang menyeramkan dan pelbagai lagi. Justeru, jelas kepada kita bahawa jin itu mempunyai bentuk dan kebolehan yang tertentu.

Jin dan Syaitan Memasuki Tubuh Manusia
Antara kebolehan yang dimiliki oleh makhluk jin ialah kemampuan memasuki dan bergerak dalam tubuh manusia melalui salur darah. Sabda Rasulullah S.A.W. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:
Sesungguhnya syaitan itu berlari (bergerak bebas) di dalam tubuh anak Adam melalui saluran darah.

Dalam surah Sad, ayat 41, terdapat kisah tentang nabi Ayub a.s. yang diganggu fizikalnya melalui kemasukan syaitan ke dalam tubuh baginda sehingga menimbulkan pelbagai penyakit. Firman Allah SWT:
Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami, Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ” Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan kesusahan dan azab seksa (penyakit)”.

Melalui pengalaman merawat pesakit, boleh dikatakan bahawa sebahagian besar gangguan pada fizikal dan mental manusia bermula apabila makhluk jin mula memasuki dan menyerap ke dalam tubuh mangsa. Penyerapan ke dalam tubuh manusia ini berlaku kerana makhluk ini mempunyai tubuh yang halus dan menyerupai angin. Menurut guru saya, Dr Haji Jahid Sidek, oleh kerana asal kejadian jin dan syaitan daripada api, maka jasad mereka hanya terdiri dari dua unsur iaitu api yang bersifat panas dan angin yang bersifat halus (yang tidak boleh dilihat tapi dapat di rasa). Manakala dalam Kitab Al-Rūh, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah menggambarkan penyerapan jin ke dalam tubuh manusia umpama serapnya air ke dalam batang kayu atau ke dalam awan, serapnya kepanasan api dalam besi, atau serapnya makanan ke dalam badan.

Bagaimana Syaitan dan Jin Memasuki Tubuh Manusia?
Terdapat beberapa hadis yang mengandungi pesanan oleh Rasulullah SAW untuk mencegah kemasukan syaitan atau jin ke dalam jasad anak adam. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).

Secara tidak langsung, kita dapat mengetahui bahawa jin dan syaitan masuk ke dalam tubuh kita melalui mulut. Baginda juga menyuruh agar makanan dan minuman ditutup tidak dibiarkan terdedah kerana dibimbangi akan dimasuki syaitan dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Diriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tutuplah bekas-bekas makanan dan ikatlah kantung air kamu, kuncilah pintu-pintu dan padamkan lampu-lampu. Sesungguhnya syaitan tidak akan membuka kantung minuman yang diikat, pintu yang dikunci dan juga bekas makanan yang ditutup.
Berdasarkan hadis di atas, kita dapat maklumat bahawa jin dan syaitan turut memasuki mana-mana bekas makanan dan minuman yang tidak ditutup. Penemuan sains dan perubatan moden menunjukkan bahawa makanan atau minuman yang terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria. Kuman dan bakteria ini biasanya akan dibawa masuk dan disebar melalui serangga dan haiwan melata seperti nyamuk, lipas, tikus, cicak dan lalat yang tinggal di tempat-tempat kotor seperti longkang, tandas dan tong sampah. Tempat-tempat yang kotor dan busuk merupakan antara kawasan yang disukai dan dihuni oleh jin dan syaitan. Justeru, adakah persamaan sifat dan habitat jin dan syaitan dengan kuman itu merupakan suatu kebetulan? Bahkan, serangga yang menjadi agen penyebaran kuman ini kebanyakkannya keluar di waktu senja, iaitu saat syaitan keluar berkeliaran dan beroperasi. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Shahih Muslim:” Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan berkata kepada golongannya: “Tiada tempat untuk bermalam dan tiada makan malam untuk kita semua di sini”. Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata kepada golongannya: “Kita telah mendapat tempat untuk bermalam.”


Suatu persoalan yang menarik untuk difikirkan juga ialah adakah serangga yang melata itu, yang bertindak sebagai agen penyebaran kuman dan bakteria, adalah tunggangan jin?

Kuman dan Jin Menurut Ulama
Dalam memperkatakan perihal kuman dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha menyatakan dalam kitab al Tafsir wa al Mufassirun, halaman 585:
Dan Ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata: Sesungguhnya jin itu adalah (makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh dilihat. Dan sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami nyatakan berkali-kali bahawa: “Makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus, yang dikenali di zaman ini sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop, adalah sebenarnya satu jenis dari bangsa jin. Dan telah pun terbukti bahawa ianya merupakan antara punca bagi kebanyakan penyakit.

Kuman dan bakteria adalah unsur luar yang tidak dikenali yang memasuki tubuh manusia sama ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan bergerak di dalam tubuh badan manusia melalui salur darah lalu menempati di sel-sel serta organ-organ dalaman.  Ini adalah bersamaan dengan sifat kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan. Ia boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan terdedah seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma. Fakta ini mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang mendedahkan punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak iaitu antaranya melalui udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar.

Kuman Adalah Sebahagian dari penyebab Penyakit
Dalam kitab Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa Saidina Umar hendak pergi ke Iraq. Lalu Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya dengan berkata:
“Wahai Amirul Mu’minin! janganlah engkau ke sana kerana di sana sembilan persepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan jin yang fasik serta wabak penyakit yang berjangkit.”

Sebenarnya, terdapat dua unsur penting yang ada pada jasad manusia yang banyak mempengaruhi kesihatan seorang manusia iaitu air dan darah. Fungsi darah ialah untuk menyalurkan oksigen ke otak dan bahagian-bahagian tubuh lain manakala air sebagai bendalir untuk penghasilan cecair-cecair enzim di dalam tubuh dan membantu sistem perkumuhan. Sekiranya salah satu unsur ini kurang atau terjejas akibat jangkitan kuman dan  bakteria, maka ia akan memberi kesan kepada seluruh atau sebahagian anggota badan. Kita juga biasa mendengar bahawa apabila seseorang itu dijangkiti kuman, antara simptom paling awal yang dialaminya ialah demam dan panas dalam tubuh. Adakah mungkin kuman yang menjangkiti itu adalah jin kerana sifat panas itu berpunca dari jin yang dijadikan dari api? Itu persoalan yang perlu para pembaca sama-sama fikirkan.

Menghalang Kemasukan Jin dan Syaitan ke dalam tubuh
Sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk sebagaimana kejadian api. Walau bagaimanapun, keistimewaan ini mempunyai beberapa batasan. Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi sesuatu yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan  tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.

Selain bacaan Bismillah, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan sebagai jampi ruqyah. Bahkan melalui pengalaman perawat-perawat Islam, terdapat sebahagian penyakit yang berpunca dari jangkitan kuman dan virus dapat disembuhkan melalui bacaan ruqyah melalui kaedah tertentu dalam satu jangka masa yang tertentu.

Andaikata Kuman itu Bukan Jin…
Boleh jadi andaian bahawa kuman dan bakteria adalah salah satu bangsa jin mungkin tepat, dan mungkin juga sebaliknya. Kita tetap mengharapkan agar ada pihak yang boleh membuat kajian lebih mendalam terutama dari sudut klinikal dan sains moden. Melalui kajian ini, andaian tersebut boleh diputuskan sama ada tepat atau tidak. Sekiranya tidak tepat sekalipun, kita harus percaya bahawa tubuh kita ini boleh dimasuki oleh makhluk tersebut. Perkara ini dinyatakan oleh ulama terkenal, Sheikh Muhammad Mutawalli Al-Sh’arawiyy dalam kitabnya Al-Shaitan wa al-Insan, hlm. 107-108:
Sesungguhnya darah itu terdiri daripada banyak unsur-unsur yang mengalir di dalamnya seperti besi, fosfat, kalsium dan unsur-unsur lainnya sebagaimana yang telah didedahkan kepada kita melalui kajian-kajian moden. Bahkan mikrob dan kuman-kuman yang merupakan bentuk berjisim boleh menembusi kulit dan masuk ke dalam darah dan hidup dalamnya serta membiak sehingga menjadi banyak dan akhirnya terjadilah peperangan antara kuman-kuman tersebut dengan sel darah putih. Sedangkan syaitan tidak berjisim dan berbentuk lebih halus daripada kuman.

Sekiranya para pembaca mempunyai pandangan atau cadangan tentang perkara ini, maka boleh disalurkan mellaui email. Mudah-mudahan satu penerokaan terhadap persoalan kajian ini dapat membuka pelbagai lagi rahsia kejadian yang Allah ciptakan.

10 comments:

  1. Bagaimanakah santau berkerja itu adakah dari kuman masuk dalam tubuh serta jin

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas soalan. Tapi, soalan tidak berapa jelas. Mohon perincian.

      Delete
  2. Bagaimanakah santau berkerja itu adakah dari kuman masuk dalam tubuh serta jin

    ReplyDelete
  3. Asssalamualaikum,

    "Dan Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Ku (Allah)" al-Dzariyat : ayat 56

    "Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman." al a'raaf : 27.

    1. Pertanyaan tuan nanti adakah KUMAN/BAKTERIA itu ada yang KAFIR atau ISLAM ?
    2. Adakah KUMAN/BAKTERIA itu akan berdakwah sesama jenisnya untuk mengislamkan kaumnya?
    2. Jika Syaitan itu dari JIN dan MANUSIA, maka ayat surah al araaf boleh jadi macam mana tuan? KUMAN/BAKTERIA itu kita boleh lihat dengan mikroskop biasa atau elektron.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak perlu cakap pasal kuman / bakteria boleh dilihat dari mikroskop electron. Jin juga boleh dilihat melalui video Dan gambar yang diambil oleh kamera handphone Zaman sekarang. Cuma itu semua dengan izin Allah swt

      Delete
  4. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. Assalamualaikum..

    Terdapat Dalil Yang Mengatakan Jin ni banyak spesis iaitu seperti manusia, binatang dan angin. Mungkin juga kuman Virus antara spesis jin.

    Antara sifat yang sama jin dan virus/kuman:-
    1.Suka tempat kotor
    2.Cepat membiak
    3.Aktif dengan haba
    4.Pasif dengan sejuk
    5.Alah dengan benda masam/masin
    6.Boleh mati
    7.Boleh dihapus
    8.Ada hayat
    9.Terkesan dengan ubat2an

    Malah ada sahaja kaedah rawatan di Malaysia yang mampu mengubati virus2 hipertaitis, tibi, hiv dll.

    Wallahualam.

    ReplyDelete