Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Wednesday, May 15, 2013

MISTERI KEHILANGAN BAYI DALAM KANDUNGAN

MISTERI KEHILANGAN BAYI DALAM KANDUNGAN
RENCANA MAJALAH AL ISLAM JANUARI 2013
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail

FENOMENA BAYI HILANG

Para pembaca pasti pernah menonton filem alien yang mengisahkan makhluk asing menggunakan rahim manusia sebagai tempat untuk meletakkan benih dan kandungan mereka. Sampai masanya, alien itu akan datang mengambil anaknya. Dalam alam realiti pula, fenomena bayi hilang dari kandungan manusia juga selalu diperkatakan. Kejadian ini menimbulkan tanda tanya kerana doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan kewujudan bayi tersebut dan perkembangan kandungannya direkodkan. Beberapa kes bayi hilang dalam kandungan pernah dilaporkan dalam rencana televisyen dan majalah di Malaysia sekitar tahun 2008. Persoalannya, ke mana menghilangnya bayi dalam kandungan? Adakah benar dakwaan bahawa bayi tersebut adalah makhluk halus yang menumpang rahim manusia?

PENDAPAT PAKAR PERUBATAN

Dalam perubatan alopati, kes ini dikenali sebagai pseudosiesis atau phantom pregnancy. Ianya berlaku kepada seseorang wanita yang terlalu percaya atau mengharapkan kehamilan sehingga menyebabkan tubuhnya menghasilkan hormon yang menyebabkan perubahan-perubahan tertentu pada mental dan fizikal yang menyamai ciri-ciri wanita hamil. Tidak kurang juga ada pengamal perubatan moden yang skeptikal dan menganggap cerita kehilangan kandungan itu sebagai karut dan wanita itu sengaja mengada-adakan cerita kehamilannya. Walau bagaimanapun, anggapan seperti ini disanggah oleh bukti kewujudan imej fizikal bayi dan denyut jantungnya melalui pemeriksaan menggunakan mesin imbasan ultra sound sebelum kehilangannya. Sesetengah ibu ini masih menyimpan imej-imej tersebut sebagai pengubat rindu terhadap bayi mereka yang telah hilang. Adakah mesin pengimbasan ultra sound juga tersilap?
 
SIMPTOM YANG DIALAMI 
Melalui pemerhatian terhadap kejadian-kejadian ini, kebanyakan wanita yang mengalami kehilangan misteri ini mengalami simptom yang hampir sama ketika mengandungkan anak tersebut. Antaranya ialah mimpi didatangi oleh seseorang (biasanya wanita tua) yang minta kebenaran untuk mengambil dan memelihara anaknya yang bakal lahir. Biasanya ianya berlaku ketika kandungan mencapai usia matang. Ada juga yang mimpi bersalin dan dibidankan oleh orang-orang yang tidak dikenali. Apabila tersedar dari mimpi, perut wanita tersebut akan menjadi kempis dan ada darah keluar seolah-olah baru lepas bersalin.
Ada juga wanita yang bermimpi didatangi seseorang yang memberi amaran bahawa anak tersebut bukan anak mereka. Mimpi sebegini biasa dialami mereka di awal tempoh mengandung. Ianya berlaku sekali atau beberapa kali. Selain itu, mereka juga mengalami alahan yang teruk dan mengidam makanan yang pelik-pelik. Ada juga wanita yang bermimpi melihat makhluk hodoh atau lembaga hitam yang mengambil kandungan mereka secara kasar. Biasanya, jika ini yang dialami, bayi tersebut sama ada akan meninggal dalam kandungan atau wanita tersebut mengalami keguguran.
 
PANDANGAN ISLAM 
Untuk menghurai misteri kehilangan bayi dalam kandungan, sama-sama kita hayati firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 5: “...dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya…”. Justeru, apabila berdepan dengan kejadian bayi hilang, maka perlu diyakini bahawa semua itu adalah ketentuan Allah. Dia berkuasa mencipta sesuatu dan memusnahkannya, mewujudkan sesuatu dan menghilangkannya.

Allah SWT juga telah mengingatkan manusia tentang dendam iblis kepada Adam dan keturunannya melalui ayat 16-17 surah Al A’raf: “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur.” Iblis sudah berjanji akan menganggu dan merosakkan keturunan Adam. Antara cara yang digunakan ialah memasuki tubuh manusia melalui salur darah. Ia akan menyerang organ-organ yang mempunyai salur darah yang banyak seperti otak, hati dan tidak ketinggalan rahim wanita. Ia akan menganggu sistem kitaran haid, menyebabkan kesakitan dan pendarahan. Imam Abu Daud meriwayatkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi tentang keadaan beliau yang mengalami haid melebihi 15 hari. Rasulullah SAW bersabda bahawa itu adalah darah istihazah dan ia berpunca dari gangguan berupa sepak terajang syaitan di dalam rahim.

Berkenaan kemampuan makhluk jin untuk mengambil bayi dalam kandungan, perkara ini bukan suatu yang mustahil. Dalam surah An-Naml ayat 38-39, Allah SWT telah menyatakan kebolehan jin untuk mengambil sesuatu yang ghaib melalui dialog antara Nabi Sulaiman a.s. dan menteri-menterinya: ”Sulaiman berkata: “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya (Balqis) sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkata ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.

Begitu juga kemampuan jin untuk menimbulkan kemudaratan kepada manusia termasuk bayi. Ada yang boleh membunuh dan juga mencacatkan bayi dalam kandungan kerana dendam atau marah dengan perbuatan manusia yang menyakiti mereka. Ini dapat dilihat dalam satu peristiwa yang berlaku kepada seorang pemuda di zaman Rasulullah SAW. Beliau yang baru berkahwin meminta keizinan dari Rasulullah SAW untuk balik dari medan perang Khandak. Apabila sampai di rumah, isterinya memberitahu ada seekor ular masuk ke dalam rumahnya. Pemuda ini lantas membunuh ular tersebut. Dengan tidak semena-mena, pemuda ini menggelupur dan terus meninggal. Apabila Rasulullah SAW diberitahu kejadian ini, maka Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya di Madinah ini terdapat jin-jin yang telah memeluk Islam. Maka, apabila kamu melihat sesuatu daripada mereka (dalam bentuk ular), hendaklah kamu memberi amaran selama tiga hari. Jika ternyata kepada kamu selepas itu (bahawa ular yang berada dalam rumah kamu itu sememangnya ular), maka hendaklah kamu membunuhnya. Sesungguhnya itu adalah syaitan”. Peristiwa di atas menunjukkan bahawa jin mampu membalas perbuatan manusia yang menyakitinya dengan mengenakan kesakitan kepada pembuatnya atau zuriatnya. Mungkin inilah yang dikatakan orang sebagai ’kenan’.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: “Bunuhlah Zu-Sufyatain, kerana dia dapat membutakan mata dan menggugurkan janin.” Menurut Ibnu ‘Abdil Barr, Zu-Sufyatain adalah jenis ular yang mempunyai dua garis putih di belakangnya dan ia adalah sejenis bangsa jin.

PUNCA

 Punca berlakunya kejadian bayi hilang dalam kandungan secara misteri ini boleh dibahagikan kepada beberapa sebab.

1) Perjanjian dengan makhluk halusAntara perkara yang menjadi syarat untuk berdamping dengan makhluk jin dan syaitan ialah menyediakan korban dari haiwan seperti kambing atau ayam atau apa-apa jamuan. Pengamal-pengamal ilmu khurafat ini yang tidak sedar bahawa perbuatan ini akan menjerumuskan keturunannya kepada kebinasaan. Setelah beliau meninggal, tiada siapa tahu bahawa jin yang didampingi itu perlu disediakan korban. Jin saka ini akan melakukan pelbagai kejahatan dan kerosakan kepada anak cucu tuannya. Adakalanya ia menjelma menjadi tuannya dan tidur bersama isteri tuannya. Ada yang menjelma dalam rupa hodoh yang menakutkan anak cucu tuannya. Tidak kurang juga yang menjelma dalam mimpi dan minta bayi yang dikandung oleh anak cucu tuannya.

2) Amalan khurafat ibu bapa bayi
Ada dikalangan ibu atau bapa kepada bayi yang dikandung itu beramal dengan amalan-amalan khurafat seperti memakai susuk, ilmu syarat tubuh, ilmu pengasih, ilmu seri muka, ilmu gagah, ilmu kebal, ilmu kuat dan sebagainya. Ilmu-ilmu sebegini boleh menyebabkan kehadiran jin dan syaitan itu sebagai qarin berdasarkan firman Allah dalam FirmanNya dalam surah Az Zukhruf ayat 36-37: ”Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu qarinnya (temannya yang tidak renggang daripadanya).” Apabila sudah menjadi qarin, maka ia akan melakukan kerosakan kepada manusia yang didampinginya.

3) Diurut oleh seseorang yang memakai khadam
Sesetengah wanita gemar mendapatkan khidmat tukang urut ketika mengandung. Dari aspek kesihatan, perkara ini tidak salah. Namun, sebelum mendapatkan khidmat urutan, kita perlu selidiki latar belakang amalan tukang urut tersebut. Ini kerana terdapat sebilangan tukang urut yang menggunakan bantuan khadam dari kalangan jin ketika mengurut. Jika ini berlaku, maka jin-jin yang menjadi khadam ini akan masuk ke tubuh wanita ini melalui liang-liang roma dan meresap ke dalam saluran darah. Sekiranya kita ketahui tukang urut mempunyai kemahiran mengesan urat saraf berdasarkan pengalaman beliau, tanpa melibatkan apa pertolongan makhluk halus, maka itu tidak mengapa.

4) Melakukan sesuatu yang menyakiti makhluk tersebut
Orang tua selalu berpesan kepada anak atau menantu mereka yang sedang mengandung agar tidak menyakiti haiwan, kerana dibimbangi terkena ’kenan’. Pesan ini ada benarnya kerana adakalanya jin ini menjelma dalam bentuk haiwan. Apabila ia disakiti, maka ia akan membalas dendam atas perbuatan manusia itu. Mungkin kemarahan itu akan dilampiaskan kepada bayi yang dikandung itu. Adakalanya, keluarga jin tersebut menuntut bela atas kematian ahli keluarganya dengan menjadikan bayi yang dikandung itu sebagai gantinya.

CARA MENGHINDARI GANGGUAN SYAITAN DAN JIN TERHADAP BAYI
Umat Islam perlu menghindari segala amalan yang boleh menyebabkan kehadiran makhluk jin dan syaitan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya. Rasulullah SAW juga ada menunjukkan beberapa panduan. Antaranya ialah:

1) Menghapuskan pintu-pintu kedatangan jin dan syaitan
Sekiranya kehilangan bayi berlaku dalam keluarga, maka kita perlu selidik sama ada ianya mempunyai kaitan dengan amalan khurafat dalam keturunan kita atau ilmu kebatinan yang kita sendiri amalkan. Sekiranya gangguan dipercayai ada kaitan dengan keturunan, maka barang-barang yang diwariskan oleh mereka seperti senjata, barang perhiasan atau barang kemas perlu dimusnahkan. Kebiasannya, barang-barang itu turut dijaga oleh makhluk tersebut selepas kematian tuannya. Sekiranya kita beramal dengan ilmu-ilmu khurafat, maka ia perlu dihentikan dan kita perlu bertaubat. Sekiranya kita ada menyimpan atau memakai tangkal dan azimat, maka ianya perlu dibakar. Mudah-mudahan jin dan syaitan tidak dapat memasuki urusan hidup kita.

2) Membaca Bismillah pada setiap perbuatan
Allah menyuruh agar hambaNya mengingatiNya dalam setiap perbuatan. Orang yang sentiasa ingat Allah akan dijauhi dari gangguan jin dan syaitan. Sekiranya kita tidak mampu mengingati Allah sepanjang masa, maka memadai dengan mengingatiNya dengan menyebut Bismillah di awal perbuatan. Bacaan Bismillah yang disertai dengan sepenuh penghayatan terhadap sifat keagungan dan kesempurnaan Allah dapat menghalang syaitan dari menyertai kehidupan kita. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan  tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.”

3) Memohon Perlindungan Allah dari kejahatan makhluk
Allah SWT sendiri memberi peringatan khas kepada umat Islam agar sentiasa berdoa memohon perlindungan dari segala kejahatan melalui firmanNya dalam surah al-Falaq. Rasulullah SAW sendiri mengajar umatnya agar membaca doa ketika hendak bersetubuh: “Ya Allah, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang Engkau akan kurniakan kepada kami (berupa zuriat yang lahir dari persetubuhan ini)”. Mudah-mudahan dengan berkat doa tersebut, maka Allah akan lindungi zuriat kita dari bencana. Bagi ibu yang mengandung, lazimkan bacaan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Mudah-mudahan syaitan dan jin tidak dapat masuk untuk menganggu kandungan. Selain itu, cara yang paling mudah untuk memohon perlindungan dari kejahatan makhluk ialah dengan banyak bertahlil. Dalam satu hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: “Sesiapa yang menyebut La Ilaha Illallah, maka sesungguhnya dia telah masuk ke dalam benteng Aku. Sesiapa yang memasuki benteng Aku, maka nescaya dia akan selamat dari azab kebinasaan.”

4) Berakhlak baik dengan makhluk Allah yang lain
Dalam peristiwa pemuda yang dibunuh jin di atas, Rasulullah SAW menyedarkan kita bahawa dunia ini turut dihuni oleh makhluk lain. Baginda SAW menyeru agar umatnya berhati-hati dalam setiap pekerjaan. Jika terserempak dengan ular di dalam rumah, maka lakukanlah apa yang telah disarankan Baginda SAW.

Sebagai kesimpulan, pasangan yang menanti kelahiran bayi perlu memohon perlindungan Allah untuk diri, bayi dan keluarga melalui solat taubat, solat hajat, berdoa dan bertahlil. Kita juga perlu mengisi waktu terutamanya waktu malam dengan amalan-amalan yang boleh mengundang rahmat dan keredhaan Allah seperti bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan seumpamanya. Sekiranya rumah kita dipenuhi dengan lagu-lagu yang melalaikan, atau filem-filem yang mengandungi unsur khurafat dan tercela, atau aktiviti-aktiviti yang dimurkai Allah, maka jin dan syaitan mudah masuk dan melakukan kerosakan.

7 comments:

  1. Penculikan fetus memang kejadian yg berlaku di merata dunia bukan di Malaysia sahaja. Di Itali warga bukan Islam juga menjadi mangsa. Sehingga sekarang kita masih mencari jawapan yg masih belum kita temui atau jawapan itu disorok oleh pihak2 tertentu supaya kita menjadi lebih terpinga2.

    ReplyDelete
  2. Assalam.. adalah tidak adil meletakkan kesalahan kepada ibu bapa sahaja dalam kes kehilangan bayi dari kandungan. Ada kes dimana ibubapa bayi kerap disihir oleh pihak tertentu dan pihak tersebut tidak mahu melihat mereka mendptkan zuriat. Jadi apabila ditakdirkan Allah ibu itu hamil.. sihir tetap dihantar sehinggakan si ibu sakit teruk. Akhirnya bila kandungan cukup 7bln. Bayi tersebut diambil ke alam ghaib utk melindunginya dari dibunuh. Itu yg diberitahu kepada saya oleh beberapa org pengamal perubatan Islam wallahualam..

    ReplyDelete
  3. Assalam.. adalah tidak adil meletakkan kesalahan kepada ibu bapa sahaja dalam kes kehilangan bayi dari kandungan. Ada kes dimana ibubapa bayi kerap disihir oleh pihak tertentu dan pihak tersebut tidak mahu melihat mereka mendptkan zuriat. Jadi apabila ditakdirkan Allah ibu itu hamil.. sihir tetap dihantar sehinggakan si ibu sakit teruk. Akhirnya bila kandungan cukup 7bln. Bayi tersebut diambil ke alam ghaib utk melindunginya dari dibunuh. Itu yg diberitahu kepada saya oleh beberapa org pengamal perubatan Islam wallahualam..

    ReplyDelete
  4. Sy tengah hamil 7 bulan. Baru1 ni pon bermimpi pelik bersalin tanpa sakit tapi anak dah pandai jalan dan ckp skit. Mimpi ada bunian perempuan baju putih dan selendang marah2 nak ambil baby.. Semoga Allah melindungu bayi sy sampai selamat dilahirkan.. Risau

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hazmi pohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan usahalah mendapatkan nasihat dari pengamal perubatan Islam atau ustazah

      Delete
    2. Asslmuaalaikum..boleh sy thu adakah bayi awk slmt dilahirkan...sy doakan kslmtn utk diri awk..trima kasih

      Delete