Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Monday, February 2, 2015

KASIH YANG BAWA KE NERAKA









KASIH YANG MEMBAWA KE NERAKA
Dr. Mahyuddin Ismail
Kisah 1
Hajar telah bertemu dengan seorang bomoh untuk mengadu perihal suaminya yang dikatakan lebih sayangkan isteri muda berbanding dirinya. Bomoh tersebut minta kuku jari manis Hajar dan seutas tali ikat lembu. Kedua-dua bahan ini dijampi dan dimasukkan ke dalam sebotol air mineral. Air itu telah Hajar beri minum kepada suaminya secara diam-diam. Ternyata jampi bomoh itu mujarab dan suami mula ikut cakap Hajar. Hajar puas hati kerana suaminya lebih sayang kepadanya berbanding isteri mudanya. Suaminya akan ikut sahaja cakapnya ibarat lembu yang dicucuk hidungnya.
Kisah 2
Sarah akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Neneknya menyatakan bahawa jika Sarah mahu suaminya sentiasa sayangkannya, maka Sarah perlu belajar ’ilmu syarat tubuh’ darinya. Sarah belajar ilmu tersebut dan ternyata setelah hampir 7 tahun berkahwin, suami Sarah mengakui bahawa keadaan fizikal Sarah masih seperti anak dara. Sarah berasa bangga. Suami dan rakan sekerjanya sering memuji Sarah yang dikatakan sangat pandai jaga badan.
Kisah 3
Fauziah sering didera oleh suaminya. Saban hari beliau dicaci, dimaki, ditumbuk, ditampar dan diterajang. Tidak tahan dengan sikap baran suaminya, Fauziah pergi bertemu bomoh. Bomoh memberikan Fauziah satu tangkal yang diperbuat daripada kulit harimau. Sejak itu, suami Fauziah menjadi takut apabila berdepan Fauziah, seolah-olah dia berdepan dengan harimau. Fauziah mula berasa tenang dan aman kerana suaminya melayannya dengan penuh adab dan sopan.
Kisah 4
Mariah seorang guru kaunselor. Dia selalu berasa bimbang suaminya akan berkahwin lain. Dia pergi bertemu bomoh orang asli untuk membeli minyak cenuai yang berharga ribuan ringgit. Minyak itu disapu pada kening dan dagu terutama apabila bulan mengambang. Sehingga kini, suami Mariah tidak pernah berasa tertarik kepada wanita lain kerana baginya Mariah adalah wanita paling cantik. Mariah sudah tidak berasa bimbang.

Cerita-cerita di atas adalah kisah benar yang diceritakan oleh pesakit-pesakit yang mengalami gangguan misteri akibat amalan ilmu pengasih. Mereka kini sudah insaf dan bertaubat.
Ilmu pengasih ini terlalu banyak jenisnya. Ada yang menamakannya ilmu guna-guna, ilmu asmara, ilmu pegang jantung hati, ilmu panah arjuna dan lain-lain. Ilmu ini merupakan sebahagian dari amalan sihir yang juga dikenali sebagai sihir mahabbah. Dipanggil sihir kerana ia bertepatan dengan makna sihir itu sendiri iaitu menjadikan sesuatu itu kelihatan berlawanan dengan hakikatnya yang sebenar. Orang yang tak cantik kelihatan cantik, orang yang lemah kelihatan sangat hebat, orang yang tua dilihat seperti masih muda. Ilmu ini adalah termasuk at-tiwalah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah ibnu Masud dengan katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.” Maka orang ramai bertanya: Wahai bapa kepada Abdul Rahman! Jampi dan tangkal kami sudah tahu. Apa pula tiwalah itu? Jawab Abdullah: Sesuatu yang diperbuat oleh wanita-wanita supaya jatuh kasih suami kepadanya.”
KESAN ILMU PENGASIH
Mana-mana ilmu sihir adalah ilmu syaitan. Ilmu yang penuh dengan tipu daya. Pada permulaan, semua yang kita hajati kita akan dapat. Nak nampak muda, nak nampak cantik, nak nampak bergetah, semua dapat. Tetapi awas!!! Semua itu adalah perangkap syaitan. Dia tidak berkhidmat secara percuma, tetapi mesti dibayar. Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang akibat mengambil ilmu dan beramal dengan ilmu sihir melalui firmanNya dalam surah Al-Baqarah, ayat 102:
Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara (ilmu sihir) yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.
Kita mungkin tertanya-tanya sejauh mana kesan buruk itu kepada manusia. Jika dilihat pada keempat-empat kisah di atas, tiada yang negatif, semua positif. Tiada mudarat. Ruamhtangga jadi aman dan bahagia. Tunggu! Sebenarnya, kisah itu belum habis lagi. Sekarang akan diceritakan kesudahan negatif yang telah ditanggung oleh keempat-empat wanita di atas.
Kesudahan Kisah 1: Hajar diganggu lembaga misteri
Hajar puas hati kerana suaminya lebih sayang kepadanya berabnding isteri mudanya. Suami tersebut seolah-olah lupakan terus madunya. Tidak lama selepas itu, Hajar mengalami kejadian-kejadian aneh yang menakutkan. Terkadang dia nampak lembaga hitam berbulu lebat dalam rumahnya. Tubuhnya mula gatal-gatal dan berkudis. Dia tidak dapat tidur lena kerana sering diganggu oleh bisikan. Menurut bomoh yang ditemui, dia sudah disantau oleh madunya yang marahkan dia. Tetapi, dia tidak percaya. Dia bertemu dengan pengamal pengubatan Islam. Setelah diselidiki, gangguan itu dipercayai berpunca dari amalan sihir yang dikenakan kepada suaminya. Hajar diminta supaya bertaubat dari amalan sihir telah dilakukan. Dia dan suaminya dirawat dan semakin sihat. Dia berasa lebih tenang untuk menerima ketentuan dari Allah SWT.
Kesudahan Kisah 2: Sarah diekori lembaga hodoh
Sarah rasa bangga kerana suaminya dan rakan sekerjanya sering memuji kecantikannya. Namun, baru-baru ini, Sarah mengadu yang dia nampak satu lembaga wanita berambut panjang berwajah hodoh di luar rumah. Dan lembaga itu sering mengekorinya. Apabila diselidiki oleh pengamal pengubatan Islam, disebalik kecantikan Sarah, suaminya terpaksa mengakui bahawa Sarah adalah seorang isteri yang panas baran dan suka marah tidak bertempat. Perkara kecil pun menjadi punca kepada perbalahan yang besar. Suaminya tidak dapat melawan dan kelu lidah, dia sering makan hati berulam jantung. Yang paling ketara, Sarah menjadi seorang yang mudah lupa sesuatu perkara walaupun usianya baru lewat 30an. Sarah diminta bertaubat dari kesyirikan yang dilakukan. Setelah dirawat, panas baran Sarah berkurangan.
Kisah 3: Suami Fauziah Menjadi Dungu
Fauziah berasa tenang dan aman. Hari-hari yang dilalui berbeza dari dahulu. Suaminya tidak akan melakukan sesuatu kecuali dengan kebenarannya. Contohnya, dia tidak akan makan nasi kecuali Fauziah benarkan. Apabila makan, dia hanya makan nasi tanpa mengambil lauk melainkan setelah di suruh Fauziah. Lama kelamaan, timbul rasa kasihan dan penyesalan dalam hati Fauziah kerana memperlakukan suaminya sedemikian. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat nasihat dari guru agama. Guru agama tersebut menasihati dia supaya bertaubat dan bertemu dengan pengamal pengubatan Islam untuk membuang amalan sihir tersebut. Dia bersetuju dan telah bertaubat. setelah diselidiki, rupa-rupanya sikap panas baran suaminya berpunca dari amalan ilmu persilatan kebatinan yang diamalkan. Dia dan suaminya dirawat. Dia berasa lega kerana terselamat tipu daya syaitan. Dia menyatakan bahawa dia lebih bimbangkan dirinya dipukul malaikat dalam kubur berbanding dipukul suami di atas dunia ini.
Kisah 4: Mariah disahkan mengidap barah buah dada
Mariah sudah tidak berasa bimbang. Dengan adanya minyak cenuai itu, sudah pasti suaminya tidak akan memandang wanita lain. Namun, kelegaan itu tidak berpanjangan. Baru-baru ini, dia telah diahkan menghidap barah payu dara tahap ke 4. Doktor menasihatkan agar dia menjalani kimoterapi. Dia berasa sangat takut. Dia tidak mahu mati dalam keadaan syirik. Dalam hatinya, dia rasa sangat berdosa kepada suami. Akhirnya, dia bertaubat dan mendapatkan rawatan dari pengamal pengubatan Islam. Setelah beberapa kali rawatan, penyakitnya beransur pulih.
Itulah gambaran kesan amalan sihir kepada pengamalnya. Mungkin ramai lagi di antara kita yang memandang remeh perkara ini. Kesan buruk amalan sihir adakalanya kelihatan dalam masa terdekat, dan adakalanya timbul selepas suatu tempoh yang panjang. Mudah cerita, usahlah kita menjerumuskan ke dalam lembah kebinasaan.
Kasih dan sayang tidak boleh dipaksa. Bukan kita yang menentukannya. Dan bukan kita yang boleh meletakkannya dalam hati seseorang. Ia adalah dalam kekuasaan Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Anfal ayat 63:
”Dan (Dia lah) yang menyatukan padukan di antara hati mereka (yag beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang adadi bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.
Musibah dan masalah yang kita alami adalah ujian dari Allah. Dia mahu menguji kita sama ada kita akan syukur atau kita akan kufur. Syaitan akan sentiasa menunjukkan jalan penyelesaian yang mudah untuk dicapai, tetapi dengan syarat tersembunyi iaitu kufur kepada Allah. Justeru, apabila berdepan krisis kasih sayang, janganlah dicari jalan kufur. Sebaliknya kembalilah kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment