Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Monday, February 2, 2015

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN TUAN




HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN TUAN
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
 
Sepanjang 11 tahun terlibat dalam bidang pengubatan Islam, boleh dikatakan hampir 60-70% pesakit yang saya temui ada membuat pagar pendinding, sama ada di rumah mahupun di premis perniagaan. Ada yang menanam tahi besi, jarum, paku, batang kayu, bertih, jagung di empat penjuru, ada yang menabur beras kunyit di keliling rumah, ada yang menanam telur angsa yang dicucuk paku ke dalam pasu, ada yang menggantung lada kering dan kuda laut di muka pintu, ada yang meletak duit 1 sen diatas alang pintu, ada yang mengikat kain atau benang tiga warna di setiap tingkap dan pelbagai lagi cara dan bahan. Apabila ditanya tujuan berbuat demikian, mereka menyatakan bahawa ianya adalah salah satu ikhtiar untuk menghalang kemasukan jin, syaitan, hantu, iblis dan lain-lain makhlus halus yang sewaktu dengannya. Ia juga didakwa mampu menghalang perbuatan khianat oleh orang-orang yang dengki kepada mereka.

Tetapi, tahukah para pembaca bahawa antara punca gangguan misteri yang dialami ialah akibat perbuatan memagar rumah dan premis dengan cara yang bertentangan dengan apa yang diajarkan dalam Islam. Berdasarkan pengalaman, ada sebahagian pesakit mengadu bahawa penyakitnya makin bertambah berat setelah rumah mereka dipagar. Ada juga yang memberitahu terdapat kelibat lembaga di dalam rumah. Ada juga isi rumah yang sentiasa bergaduh apabila berada di rumah, katanya rumah terasa panas. Jika sembuh, mungkin ianya sementara. Musibah yang datang selepas itu lebih berat dari yang sebelumnya.

Siapa yang menjadi penjaga rumah anda?
Apabila kediaman atau premis anda dipagar, anda perlu menjawab satu soalan mudah. Siapakah sebenarnya yang menjaga rumah anda itu? Ada responden yang mendakwa bahawa rumahnya dijaga oleh malaikat. Buktinya, kepingan besi yang dipaku ditiang seri rumahnya tertulis nama empat malaikat iaitu Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail. Benarkah dakwaan dan kepercayaan itu?

Allah telah menegaskan bahawa malaikat hanya takut kepadaNya dan hanya patuh kepada perintahNya sebagaimana dalam surah An-Nahl ayat 49-50:
Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada  di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat, sedang mereka (malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadah dan sujud kepadaNya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan olehNya.

Kedatangan malaikat yang membawa rahmat tidak perlu dengan cara membuat pagar atau pendinding yang tidak diajar dalam Islam. Cukup dengan cara kita mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadah dan zikir, pasti akan mengundang kedatangan para malaikat rahmat. Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para Malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Para Malaikat selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat sentiasa memerhatikan majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malaikat naik ke langit.

Adakah Jin Islam menjaga rumah anda?
Ada juga yang mendakwa bahawa penjaga rumahnya adalah jin Islam dan juga rijalul ghaib. Memang tidak dinafikan bahawa ada sebahagian rumah yang menjadi kediaman jin berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Ubaid: "Pada setiap rumah kaum muslimin ada jin Islam yang tinggal di atapnya. Setiap kali makanan diletakkan, maka mereka turun dan makan bersama penghuni rumah."

Namun begitu, itu bukanlah perkara yang  dituntut. Bahkan, jika ada jin yang mendiami rumah kita, maka Rasulullah SAW perintahkan agar kita minta mereka keluar dari rumah. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
”Sesungguhnya di Madinah ini ada jin yang  Islam. Sekiranya kamu melihat mereka (di rumah kamu), maka berilah amaran selama 3 hari. Sekiranya dia masih berada selepas ini (selepas tiga hari), bunuhlah dia kerana itu adalah syaitan.”

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah memberi panduan kepada kita agar memberi amaran kepada kepada jin yang datang ke rumah kita supaya keluar, walaupun jin itu jin Islam. Mereka boleh melihat kita sedangkan kita tidak boleh melihat mereka. Kita tidak tahu apakah yang mereka lakukan dalam kediaman kita. Yang lebih membimbangkan ialah sekiranya jin tersebut jin kafir yang jahat. Justeru, perbuatan memagar rumah dengan meletak makhluk halus atas nama khadam atau penjaga rumah berlawanan dengan apa yang Nabi SAW tunjukkan.

Pandangan Islam Terhadap Amalan Memagar Rumah
Perbuatan memagar rumah atau membuat pendinding dengan menanam, menampal atau menggantung sesuatu seperti azimat, tangkal dan wafaq di dalam premis dengan kepercayaan bahawa ianya akan menjaga dan memelihara keselamatan penghuninya adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam. Terdapat dalil yang jelas berkenaan larangan ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir al-Juhaniyy:
Rasulullah SAW telah didatangi oleh sepuluh orang lelaki. Maka Rasulullah SAW membai’ahkan sembilan dari mereka manakala seorang lagi ditahan. Mereka bertanya: ”Wahai Rasulullah, Tuan membai’ahkan sembilan dan menahan seorang?” Jawab Baginda  SAW: ”Ada tangkal pada lelaki itu.” Lelaki itu lantas memotong tangkalnya, maka dibai’ahkan dia oleh Rasulullah SAW seraya bersabda: Sesiapa yang mengantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah menyekutukan Allah.”

Perbuatan memagar rumah ini juga sebenarnya akan menyebabkan rumah dan kediaman kita lebih mudah untuk dimasuki oleh jin dan syaitan yang jahat. Fakta ini boleh disimpulkan berdasarkan kisah Rasulullah SAW yang ternampak gelang tembaga yang di pakai seorang lelaki di lengannya. Lelaki itu mendakwa ianya tangkal untuk menguatkan tubuh. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada tubuhmu. Maka sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya”.

Justeru, perbuatan memagar rumah dengan cara yang bertentangan dengan Islam akan menyebabkan rumah kita semakin terdedah kepada ancaman jin dan syaitan.

Cara Memagar Rumah Menurut Islam
Sudah tentu kita akan berasa risau dan bimbang apabila mendapati terdapat gangguan dalam premis atau kediaman kita. Nabi Muhammad SAW telah mengajarkan kepada kita beberapa kaedah yang mudah dan berkesan.

Pertama, pastikan rumah kita bersih dari segala perkara khurafat dan syirik yang menghalang kedatangan malaikat rahmat. Perbuatan menggantung tangkal, azimat, wafaq, gambar atau patung yang dipuja merupakan perbuatan syirik. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.”

Kedua, kita perlu pastikan kediaman kita bersih dari patung-patung hiasan dan juga anjing. Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada kedua-dua perkara ini. Sabda Nabi SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:
“Suatu ketika Malaikat Jibril berjanji kepada Nabi yang mana dia akan datang menemui Nabi, tetapi dia tidak datang-datang. Dan kemudiannya dia (Jibril) memberitahu: “Kami dari golongan malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya mengandungi gambar (berupa makhluk bernyawa) atau anjing.”

Sebahagian ulama mentafsirkan perkataan anjing dalam hadis di atas merujuk kepada syaitan dan jin yang jahat. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Thalabah al Khisyni r.a.: “Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.” Perlu diketahui bahawa tangkal dan azimat serta pagar pendinding merupakan kediaman dan tumpuan jin. Selain itu, jin juga suka mendiami barang-barang pusaka yang ditinggalkan oleh seseorang yang diketahui mempunyai amalan khurafat seperti senjata atau barang perhiasan lama. Sekiranya kita mahu malaikat datang membawa rahmat ke dalam kediaman kita, maka kita perlu memastikan barang-barang yang menjadi sarang dan tempat tinggal jin itu dimusnahkan.

Ketiga, laungkan azan di premis atau kediaman kita. Melaungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru atau mana-mana premis bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Menurut satu hadis Rasulullah s.a.w., sesebuah premis atau rumah yang ditinggalkan kosong tanpa penghuni akan dimasuki sejenis jin yang bernama al-’Ammar.

Apabila dilaungkan azan, syaitan yang berada di sekeliling kita akan melarikan diri. Imam al-Bukhari meriwayatkan satu hadis dari Abu Hurairah r.a katanya Nabi s.a.w bersabda: ”Apabila dikumandangkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak terdengar olehnya azan. Apabila muazzin berhenti, ia pun kembali. Begitu pula apabila qamat dibacakan, dia pun lari. Dan apabila iqamat telah selesai, dia datang kembali.” Imam Muslim dalam sahihnya: Dari Abu Sufyan dari Jabir beliau berkata aku mendengar Nabi SAW bersabda Sesungguhnya syaitan ketika ia mendengar seruan azan, ia lari hingga sampai ke Rauha.” Berkata Sulaiman, maka aku bertanya tentang Rauha. Maka ia menjawab ia adalah satu tempat yang terletak kira-kira 36 batu dari Madinah." Disarankan agar azan dilaungkan sebanyak 7 kali.

Yang keempat, bacalah al-Quran di rumah khususnya surah al-Baqarah. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah.” Selain surah al-Baqarah, surah lain yang disarankan untuk dibaca ialah surah Yasin, ayat al-Kursi, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan An-Nas.

Yang kelima ialah memperbanyakkan solat dan ibadah-ibadah sunat di rumah. Imam al-Baihaqi meriwayatkan satu hadis dari Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca al-Quran.”

Justeru, berhati-hatilah apabila meminta seseorang membuat pagar pendinding rumah. Adakalanya kita berharap pada pagar untuk melindungi kita, padahal pagar itulah yang makan tuan. Yang terbaik, berharap kepada Allah dengan mengikuti apa yang telah diajar oleh RasulNya, pasti kita akan selamat.

No comments:

Post a Comment