Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Friday, December 21, 2012

BOLEHKAH PAKAI TANGKAL DAN AZIMAT DARI AYAT AL-QURAN?



BOLEHKAH PAKAI TANGKAL DAN AZIMAT DARI AYAT AL-QURAN?
Dr. Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Kemanusiaan, UMP

PENGENALAN
Manusia sering mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebagai perlindungan untuk diri, keluarga dan harta benda. Ada yang melakukan dengan cara yang bersesuaian dengan hukum alam seperti menyediakan senjata untuk pertahanan diri, membina tembok pagar untuk melindungi harta benda dan seumpamanya. Ada juga yang mengambil jalan yang luar dari kebiasaan. Mereka menggunakan azimat dan tangkal yang dipakai pada tubuh atau disimpan dalam beg sebagai satu kaedah melindungi diri dari serangan jin, syaitan dan penyakit, mengelakkan kecelakaan, menjadikan orang gerun atau kasih padanya.

Sesetengahnya pula menggantung tangkal pada rumah kediaman, kedai dan juga kenderaan bagi tujuan menjaga keselamatan premis dan kenderaan dari sebarang musibah atau kemalangan. Ada yang menanam paku, tahi besi, serbuk emas, telur itik, telur angsa, cabang buluh, daun berduri, kemenyan, botol berisi kacang hijau dan seumpamanya di empat penjuru rumah, dalam pasu bunga, depan pintu, dekat pagar; atau menampal ayat-ayat dan rajah azimat, wafaq, ta’wiz, di dinding rumah; atau mengantung cebisan kelambu kaabah, Quran kecil, kulit kijang putih, atau menyimpan keris berpuja, cincin azimat, batu geliga, susuk, batu serai, bunga serai, ibu duit, wafaq, kayu kokka dan batu petir.

SEJARAH PENGGUNAAN TANGKAL DAN AZIMAT
Penggunaan tangkal dan azimat sudah lama bertapak dalam kehidupan manusia. Catatan sejarah tamadun Mesir Kuno menunjukkan hampir semua penduduk ketika itu memakai tangkal dan azimat. Tentera Parsi juga dikhabarkan melukis rajah dan simbol sihir pada bendera dan panji yang digunakan dalam peperangan. Menurut William Shaw dalam bukunya Aspects of Malaysian Magic, tangkal dan azimat kebal juga digunakan dalam peperangan menentang Portugis semasa zaman kesultanan Melayu Melaka.

Pada zaman moden ini, penggunaan tangkal dan azimat masih lagi berleluasa. Ada yang menggunakannya untuk kepentingan diri dan ada yang menggunakannya untuk tujuan jenayah. Kes rompakan yang dilakukan oleh Geng Ipol dan juga Geng Pak Ee adalah antara contoh kumpulan penjenayah yang menggunakan tangkal kebal ketika melakukan rompakan. Dalam bidang perubatan tradisional pula, penggunaan tangkal dan azimat  yang dihasilkan oleh pawang, bomoh dan dukun begitu meluas diamalkan. Terdapat juga individu yang bergelar ustaz atau ustazah, pak haji, tuan guru dan kiyai terlibat juga dalam kegiatan membuat tangkal azimat. Untuk meyakinkan orang ramai, mereka mendakwa yang mereka buat itu bukan tangkal azimat tetapi ta’wiz, wafa’, istighathah, isti’anah yang menggunakan ayat al-Quran.

TANGKAL MENGGUNAKAN AYAT-AYAT AL-QURAN
Amalan memakai tangkal dan azimat masih lagi diamalkan oleh sebahagian masyarakat Melayu-Islam di Malaysia. Kebanyakan mereka tahu hukum memakai tangkal adalah haram dan boleh membawa kepada syirik. Namun, oleh kerana tangkal itu mengandungi potongan ayat-ayat Al-Quran dan huruf-huruf hijaiyyah, mereka merasakan ianya harus dan dibolehkan. Perkara ini terbukti apabila ada di kalangan perawat yang mencampur adukkan ayat Al-Quran dengan simbol-simbol yang tidak diketahui makna dan asalnya. Sebagai contoh, rajah 1 menunjukkan tangkal penunduk dan pembungkam. Ia dihasilkan dengan ayat 134 dari surah Al-Baqarah yang ditulis di bawah simbol-simbol yang tidak diketahui maknanya selain salah ejaan pada ayat terakhir ( يعملونditulis يعمل ن).

Rajah 1: Tangkal Pembungkam

Rajah 2 pula menunjukkan tangkal kebal yang digunakan dalam peperangan dan pertempuran. Selain itu, ia digunakan bagi menundukkan orang atasan dan majikan. Antara ayat yang ditulis pada rajah ini ialah ayat 89 surah Al-Anbiya. Kebanyakan ayat yang terdapat dalam tangkal ini ditulis secara salah sama ada tertinggal huruf atau dieja salah selain penggunaan huruf dan nombor yang tidak difahami maksudnya. Lagipun, jika benar ianya boleh menjadikan tubuh kebal, sudah pasti Rasulullah SAW memakaikannya kepada para pahlawan Islam yang berperang.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjRS6i98lvy9HSpj2DHtQOf3JB8WlloeMSFdHjOjY333WLtI_tc8Uqo3LRqORDCE8ynbuq5N7jdiBm817xUWDgr8wPaHWjR6HUVh_T1yjk8j4k_fl4UL6Ov0HC8Cud9fbsH57pIdLll2Ic/s400/2028084914_6aead123f8.jpg
Rajah 2: Tangkal Kebal Perang
Penggunaan ayat-ayat Al-Quran dengan cara yang berlawanan dengan tujuan ia diturunkan sebenarnya sangat bahaya. Allah akan jadikan syaitan sebagai qarin (pendamping) yang akan menyesatkannya dari jalan yang sebenar. FirmanNya dalam surah Az Zukhruf ayat 36-38: Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu jadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya”. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa kesan luarbiasa yang timbul dari pemakaian tangkal dan azimat yang diperbuat dari ayat Al-Quran adalah berpunca dari peranan syaitan yang menjadi qarin pendamping pemakainya. Dari satu sudut yang lain, perbuatan mencampur adukkan ayat Al-Quran dengan simbol lain sehingga menghilangkan susunan ayat, maksud ayat dan tujuan diturunkan merupakan salah satu syarat untuk beramal dengan ilmu sihir.
TANGKAL MENGGUNAKAN HURUF-HURUF HIJAIYYAH DAN NOMBOR
Sesetengah pemakai tangkal percaya bahawa huruf-huruf hijaiyyah dan nombor-nombor tertentu mengandungi khasiat-khasiat istimewa dan boleh memberi manafaat kepada pemakainya. Oleh yang demikian, maka timbullah pelbagai tangkal dan azimat yang mengandungi pelbagai simbol dan nombor-nombor yang tidak difahami. Antara tangkal yang terkenal ialah tangkal Beduh seperti di Rajah 3. Tangkal ini terkenal di kalangan peniaga sebagai tangkal untuk melindungi perniagaan dari sebarang perbuatan musuh. Tangkal tersebut mengandungi 4 huruf utama iaitu ح, و, د, ب di penjuru bucu rajah yang dijuga ditulis dalam bentuk nombor seperti Rajah 4.

د
ط
ب

٤
٩
۲
 ج
ه
ز

٣
٥
٧
ح
ا
و

٨
۱
٦
                        Rajah 3: Tangkal Beduh          Rajah 4: Tangkal Beduh dalam nombor

Namun ramai pemakainya tidak mengetahui asal tangkal ini. Menurut K.H. Ali Uthman, Beduh ini adalah nama seorang pedagang Arab dari Hijaz. Beliau merupakan seorang yang jujur lagi bertaqwa. Atas kesolehannya ini, beliau dikurniakan satu kelebihan (karamah) iaitu barang perniagaannya sentiasa selamat dan tidak pernah hilang atau dirompak dalam perjalanan. Setelah beliau meninggal dunia, ramai yang menulis nama beliau atau angka nilaiannya (seperti Rajah 4) pada barangan dan ternyata barangan mereka selamat. Perkara ini berterusan dan akhirnya ianya dijadikan tangkal keselamatan dan pengasih oleh orang-orang jahil. Hal ini sangat bertentangan dengan sifat dan sikap sebenar Beduh yang menyakini bahawa hanya Allah sebaik-baik pelindung dan penjaga.

Hal yang sama juga dapat dilihat pada tangkal di rajah 5 dan rajah 6 yang digunakan untuk menundukkan orang dan melindungi pemakainya dari sebarang bala bencana. Tangkal di Rajah 5 menggunakan ayat 73 dari surah al-An’am yang bermaksud: ”FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan” selain nama empat malaikat iaitu Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail yang kononnya menjadi penjaga kepada pemakainya. Agak menghairankan kerana malaikat terpaksa bertugas sebagai pengawal keselamatan kepada pemakainya. Tangkal di Rajah 6 pula mengandungi huruf-huruf dari bahasa Ibrani dan Suryani yang dicampur adukkan dengan huruf hijaiyyah dan perkataan على dan عظيم yang dipercayai diambil dari potongan ayat 255 dari surah Al-Baqarah. Kedua-dua rajah jelas menunjukkan percampuran antara ayat suci Al-Quran, simbol dan huruf yang tidak dapat dimengertikan makna dan maksudnya. Perbuatan ini boleh mencemarkan kesucian Al-Quran itu sendiri.

      https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiC-jh1wY9vhCrH3085BhgJaBJYgk6xWFNkZkuehVJT8aK_OQRHUPmFcWoEFTq_qntvjD0jXJiipwU0oYkY-wHgjOSmxA8n9MaM0_KQe42MrBKuUGcEAPFP6owYSkMvJRpuZbn4Q2PyP7U/s400/ilmu-laduni-a1.jpg
                        Rajah 5: Tangkal Pelindung                Rajah 6: Tangkal Pelindung

HUKUM MEMAKAI TANGKAL DAN AZIMAT
Umat Islam secara umumnya menerima bahawa pemakaian tangkal dan azimat adalah haram disisi Islam dan boleh membawa kepada perbuatan mensyirikkan Allah SWT. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.”

Namun, para ulama berbeza pendapat tentang hukum menggantungkan azimat dan tangkal yang mengandungi nama-nama Allah dan sifatNya, ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang ma’thur. Saidatina A’isyah, Imam Malik dan sebahagian ulama mazhab Syafie mengharuskannya dengan hujah bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh Abdullah Ibn Amr yang pernah menulis satu doa dan digantung dileher anaknya yang masih belum baligh. Menurut mereka, yang diharamkan hanyalah tangkal dan azimat yang selain dari ayat Al-Quran. Segolongan ulama lagi mengharamkan pemakaiannya. Mereka terdiri dari Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Huzaifah, Uqbah Ibnu ‘Amir, Abdullah Ibnu ‘Akim dan para pengikut mereka dari kalangan tabi’in. Mereka mengatakan bahawa hadis berkenaan larangan memakai tangkal dan azimat adalah mencakupi semua jenis tangkal. Mereka juga berhujah bahawa apa yang dilakukan oleh Ibnu Amr tidak dilakukan oleh lain-lain sahabat. Ianya dilakukan untuk anaknya yang masih kecil dan tidak mampu menghafal atau membaca, sedangkan untuk yang dewasa tidak begitu.

Imam Fakhruddin Al-Razi menyebutkan dalam tafsirnya bahawa ketika Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, Jibril telah membawa jubah sutera dari syurga dan dipakaikan kepadanya. Jubah itu diwariskan kepada Nabi Ishak, kemudian kepada Nabi Ya’kub. Nabi Ya’kub kemudiannya menjadikannya sebagai azimat dan digantung di leher Nabi Yusuf. Jibril segera datang lalu membuangnya dan memakaikan semula jubah tersebut kepada Nabi Yusuf. Oleh itu, jelas bahawa larangan menggantungkan tangkal atau azimat walaupun ianya berupa ayat al Quran atau sesuatu yang mulia dari syurga.

KESAN MEMAKAI TANGKAL DAN AZIMAT KEPADA UMAT ISLAM
Larangan memakai tangkal dan azimat mempunyai banyak hikmah. Perkara ini dapat dilihat pada kesan yang timbul akibat pemakaiannya.

1). Kesan pada akidah
Seseorang yang memakai tangkal dan azimat secara terang-terangan telah mensyirikkan Allah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.” Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menggantungkan tamimah (tali yang digantung pada leher kanak-kanak), maka dia telah melakukan syirik.”

Para sahabat Rasulullah SAW juga memerangi perbuatan memakai tangkal dan azimat. Huzaifah al-Yamani diriwayatkan pernah menziarahi seseorang yang sedang terlantar sakit. Beliau ternampak seutas tali yang dijadikan azimat pada lengan pesakit. Maka beliau pun mencabutnya dan membaca firman Allah (dari Surah Yusuf ayat 106): “Dan sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan mensyirikkan Allah.”

Begitu juga dengan Ibnu Mas’ud. Dalam satu athar, beliau pernah memotong azimat yang berupa benang yang dipakai oleh isterinya Zainab. Benang itu dijampi oleh seorang yahudi dengan tujuan menghindari Zainab dari sakit mata. Sebaliknya, Ibnu Mas’ud menyuruh isterinya berdoa sebagaimana yang diajarkan kepadanya oleh Rasulullah SAW.

b). Kesan kepada penerimaan Ibadah
Oleh kerana perbuatan memakai tangkal dan azimat merupakan perbuatan syirik, maka amal ibadah pemakainya secara automatik akan tertolak dan kebaikan yang sudah dilakukan sebelum ini juga akan terhapus ibarat debu yang berterbangan. Firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 88: “Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.”

Rasulullah SAW sendiri pernah menolak untuk membai’ahkan seorang lelaki yang memakai tangkal besi kuning di lengannya. Ini dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir Al-Juhaniyy: Rasulullah SAW telah didatangi oleh sepuluh orang lelaki. Maka Rasulullah SAW membai’ahkan sembilan dari mereka manakala seorang lagi ditahan. Mereka bertanya: ”Wahai Rasulullah, Tuan membai’ahkan sembilan dan menahan seorang?” Jawab Baginda  SAW: ”Ada tangkal pada lelaki itu.” Lelaki itu lantas memotong tangkalnya, maka dibai’ahkan dia oleh Rasulullah SAW seraya bersabda: Sesiapa yang mengantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah menyekutukan Allah.”

c). Kesan kepada kehidupan dunia
Sesiapa yang menggantungkan tangkal dan azimat, kehidupannya akan menjadi tidak tenteram dan mudah diganggu. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menggantung tamimah, Allah tidak menyempurnakan apa yang dimilikinya, dan sesiapa yang menggantungkan wada’ah (bahan-bahan berupa cengkerang seperti kulit siput atau kerang yang dijadikan sebagai kalung bertujuan menjaga diri dari gangguan), Allah tidak membiarkannya dalam ketenangan.”

Perkara ini disebabkan syaitan dan jin yang menghuni tangkal dan azimat itu akan menyakiti dan memusnahkan kehidupan pemakainya. Hakikatnya, tangkal azimat adalah merupakan satu simpulan sihir (al-‘Uqad) sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Falaq ayat 4 yang bermaksud: (Kami juga berlindung dengan Engkau ya Allah) daripada kejahatan tiupan-tiupan ahli sihir pada simpulan sihir. Oleh demikian, sesiapa yang memakai tangkal azimat, maka dia telah menyihirkan dirinya sendiri. Kesan dari sihir tersebut akan menyebabkan kehidupannya tidak tenteram. Melalui pengalaman penulis, antara kesan-kesan negatif yang dialami oleh individu-individu yang memakai tangkal adalah seperti berikut:
a)      Fizikal: penyakit misteri yang sukar diubati
b)      Mental: pening, migrain, nyanyuk, gila
c)      Emosi: sensitif, mudah marah, panas baran, mudah menangis
d)      Spiritual: malas beribadah, tidak suka perkara agama
e)      Kediaman: Rumah panas, ada kelibat dan lembaga
f)       Rezeki, kerjaya dan jodoh seolah-olah terhalang dan sukar dapat

Selain itu, pemakaian tangkal dan azimat ini juga akan memberi kesan yang berlawanan dengan tujuan ianya dipakai. Sebagai contoh, jika azimat pelaris dipakai, ia akan menyebabkan perniagaan seseorang itu semakin rugi. Jika tangkal pelindung yang dipakai, ia akan membuka lebih banyak gangguan kepada pemakai. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW: Rasulullah SAW berkata kepada seorang yang memakai gelang tembaga di lengannya: “Apakah ini?” Orang itu menjawab: ”Tangkal untuk mengatasi badan yang lemah.” Lalu beliau bersabda: “Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada tubuhmu. Maka sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya”.

Pemakai tangkal juga tidak akan mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh ibnu cAkim r.a.: “Sesiapa yang menggantungkan sesuatu (berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada tangkal).”

PIHAK BERKUASA PERLU BANTERAS AMALAN KHURAFAT
Dr. Yusuf Al-Qardhawi menegaskan bahawa pemakaian tangkal dan azimat merupakan satu kemungkaran yang besar dan menjadi tanggunjawab pihak berkuasa untuk melarang dan menghapuskan amalan tersebut. Justeru, pihak berkuasa khususnya JAKIM dan Jabatan agama Islam negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani kegiatan-kegiatan yang berlawanan dengan akidah ini. Antaranya ialah dengan penguatkuasaan beberapa peruntukan dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri untuk membanteras penjualan produk berupa tangkal dan azimat. Sebagai contoh, peruntukan seksyen 4 dan 9 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan pemujaan salah dan perbuatan mempersendakan ayat Al-Quran dan Hadith perlu dikuatkuasakan. Selain itu, kerjasama dengan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran (BKPTQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga boleh dilakukan untuk menguatkuasakan peruntukan sedia ada seperti seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 1987), seksyen 14 Akta Penerbitan dan Teks al-Quran 1986, dan Garis Panduan Rampasan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam.

BELAJAR ILMU LADUNI DARI NABI KHIDIR A.S



BELAJAR ILMU LADUNI DARI NABI KHIDIR A.S.
Dr. Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan di Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang

Baru-baru ini, penulis dimaklumkan ada hamba Allah di Pahang dan Negeri Sembilan yang mendakwa selalu dikunjungi oleh Nabi Khidir a.s. dalam pelbagai rupa untuk membantunya melakukan rawatan. Di Terengganu pula, ada yang mendakwa diajar ilmu laduni oleh Nabi Khidir dan orang-orang tertentu. Mungkin ini adalah satu kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada mereka dan ia tidak mustahil boleh terjadi. Namun, dari satu sudut, kita perlu merujuk kepada Al-Quran dan sunnah untuk menilai sama ada ianya sesuatu yang benar dari Allah SWT, atau hanya tipu daya jin, syaitan dan iblis.
Dalam Al-Quran, terdapat satu kisah pertemuan antara Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khidir a.s. untuk mempelajari ilmu laduni. Rasanya elok jika kisah ini dikupas sebagai pendedahan dan panduan dalam memahami perkara-perkara aneh dan luarbiasa ini. Kisah ini diabadikan oleh Allah SWT dalam surah Al-Kahfi bermula ayat 60-82. Menurut Imam al-Razi dalam tafsirnya, Nabi Musa a.s bertanya kepada Allah SWT, adakah terdapat manusia yang lebih alim dari baginda. Lalu Allah SWT berfirman bahawa ada seorang hamba yang lebih alim iaitu Khidir. Nabi Musa a.s. lalu memohon kepada Allah SWT untuk bertemu dan belajar dari Khidir. Para ulama berselisih pendapat tentang siapakah Khidir ini. Ada yang mengatakan beliau adalah wali Allah. Namun, majoriti berpendapat bahawa beliau adalah salah seorang Nabi.

Perjalanan Musa yang jauh untuk bertemu Khidir
Kita mulakan kisah ini dengan meneliti firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi, ayat 60: "Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada muridnya: 'Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai di pertemuan dua buah lautan; atau aku akan terus berjalan sampai bertahun-tahun."
Ayat di atas menceritakan beberapa syarat penting untuk bertemu Khidir. Syarat yang pertama ialah kesungguhan dan kesabaran yang tinggi. Itulah yang dipamerkan oleh Nabi Musa a.s. Baginda berazam tidak akan berhenti berjalan walaupun terpaksa mengambil masa bertahun-tahun semata-mata untuk bertemu Khidir. Syarat kedua, sifat merendah diri dan tawaddu’. Walaupun Musa sudah bergelar Rasul dan mempunyai murid dan pengikut yang ramai, baginda tetap merendah diri untuk berguru dengan seorang nabi yang bukan bertaraf rasul. Yang ketiga, masa dan lokasi pertemuan adalah rahsia dan tiada siapa boleh menentukannya kecuali Allah SWT. Nabi Musa hanya diperintahkan membawa bekalan dan berjalan terus sehingga sampai pertemuan antara dua laut yang baginda sendiri tidak tahu di mana dan bila. Ketiga-tiga syarat di atas jelas menunjukkan bahawa untuk bertemu dengan Nabi Khidir bukan semudah yang disangka. Hatta Nabi Musa yang bergelar ulul azmi pun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh dan sukar sebelum diizinkan Allah SWT bertemu dengan Nabi Khidir. Oleh itu, sekiranya ada yang mendakwa selalu dikunjungi Nabi Khidir, maka perhatikanlah tahap kesungguhan dan keazaman yang ada pada orang itu. Jika ternyata dia seorang yang tiada kesungguhan dan tiada sifat mujahadah dalam melawan hawa nafsu, maka dakwaan tersebut perlu dinilai semula.

Titik Pertemuan Musa dan Khidir suatu yang rahsia
Kita sambung kisah seterusnya dengan meneliti firman Allah SWT dalam ayat 61-65: "Maka ketika mereka berdua sampai di pertemuan dua buah laut itu, maka mereka berdua terlupa akan hal ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. Tatkala mereka berjalan melampaui tempat itu, berkatalah Musa kepada muridnya: 'Bawalah ke mari makanan tengahari kita; sesungguhnya kita merasa letih kerana perjalanan kita ini.' Muridnya menjawab: 'Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan tentang) ikan itu dan tidak adalah yang melupakan aku untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.' Musa berkata: 'Itulah (tempat) yang kita cari; lalu keduanya kembali, mengikuti jejak mereka semula. Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami. "

Ayat di atas mengisahkan dugaan-dugaan dihadapi oleh Nabi Musa dalam perjalanannya untuk bertemu Khidir. Yang pertama ialah keletihan yang dialaminya setelah menempuh perjalanan yang amat jauh. Ketika tertidur akibat kepenatan, berlaku satu peristiwa aneh. Ikan yang dibawa mereka sebagai bekalan tiba-tiba hidup dan melompat berenang ke laut. Peristiwa ini disaksikan oleh muridnya Yusya’ bin Nun. Malangnya, syaitan telah menjadikan beliau lupa untuk menceritakan hal tersebut kepada Nabi Musa. Lalu mereka meneruskan perjalanan yang jauh sehingga Nabi Musa sekali lagi keletihan. Kejadian ini menunjukkan bahawa pertemuan dengan Nabi Khidir bukan sahaja akan diuji dengan kesusahan dan kepayahan, malah syaitan akan turut datang untuk mengagalkannya. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa sering bertemu dengan Nabi Khidir tanpa melalui sebarang ujian dan dugaan, maka kita perlu bertanya adakah yang datang itu benar-benar Nabi Khidir atau syaitan yang cuba memesongkan kita? Sama-sama kita fikirkan.

Syarat untuk belajar dari Khidir
Kisah ini diteruskan dengan firman Allah SWT dalam ayat 66-70:"Musa berkata kepada hamba Allah itu: “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepada ku ilmu dari apa yang telah Allah ajarkan pada kamu?” Jawab hamba Allah itu:" Sesungguhnya kamu Musa sekali-kali tidak sanggup sabar bersamaku. Dan bagaimana kamu dapat bersabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu." Musa pun menjawab," Insya Allah kamu akan mendapati aku seorang yang sabar dan tidak akan menentang kamu dalam sesuatu urusan pun." Hamba Allah itu berkata:"Jika kamu mengikutiku maka janganlah kamu menanyakan kepadaku tentang sesuatu apapun, sampai aku sendiri menerangkannya kepadamu."

Dari ayat di atas, terdapat perbezaan antara permintaan Musa yang penuh dengan kesopanan dengan jawapan Khidir yang tegas menyatakan bahawa Musa tidak akan mampu bersabar dengannya. Dialog ini membuka satu rahsia besar yang menjadi syarat utama untuk seseorang dikurniakan ilmu laduni iaitu sifat kesabaran yang tinggi dan sifat redha dengan apa yang terjadi. Sejak awal lagi, Khidir telah mengingatkan Musa akan hal ini. Jika Nabi Musa yang dikurniakan ilmu dari kitab Taurat dan mukjizat yang hebat pun tidak mampu bersabar, inikan pula kita manusia biasa yang sangat cetek ilmu. Jika Nabi Musa yang dikurniakan kelebihan dapat berdialog secara terus dengan Allah SWT pun dikenakan syarat supaya jangan bertanya, bagaimana pula dengan kita yang sering mempersoalkan ketentuan dan takdir Allah SWT. Oleh itu, sekiranya seseorang mendakwa mempelajari ilmu laduni tanpa dilengkapi sabar dan redha, maka kita perlu menyiasat adakah yang mengajar itu benar-benar Nabi Khidir.

Ujian pertama: Khidir merosakkan kapal
Dilanjutkan kisah ini dengan firman Allah SWT dalam ayat 71-73:"Maka berjalanlah keduanya, hingga tatkala keduanya menaiki bahtera lalu Khidir melubanginya. Musa berkata: “Mengapa kamu melubangi bahtera itu yang akibatnya kamu menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.' Dia (Khidir) berkata: 'Bukankah aku telah berkata: 'Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku.' Musa berkata: 'Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.'

Ayat ini membuktikan kebenaran peringatan awal yang diberikan oleh Khidir kepada Musa. Tindakan aneh Khidir memecahkan dinding bahtera milik nelayan yang ditumpangi secara percuma itu menimbulkan persoalan di hati Musa. Sebab itulah Musa telah diberi peringatan agar berdiam diri dan merahsiakan sahaja apa yang terlintas di hati. Kisah ini sebenarnya memberi pengajaran bahawa seseorang yang dikurniakan ilmu laduni perlu bersabar dan menahan diri dari mempersoalkan apatah lagi bercerita tentang keajaiban dan keanehan ilmu kepada sesiapa. Oleh itu, sekiranya kita mendakwa memperolehi ilmu laduni dan asyik menceritakannya kepada orang, maka kita perlu bertanya adakah benar itu ilmu laduni? Sama-sama kita fikirkan.

Ujian kedua: Khidir membunuh kanak-kanak
Kisah tersebut disambung Allah SWT melalui firmanNya dalam ayat 74-76: “Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidir membunuhnya. Musa berkata: 'Mengapa kamu membunuh jiwa yang bersih itu, bukan kerana dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar.' Khidir berkata: 'Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan sabar bersamaku?' Musa berkata: 'Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu sesudah (kali) ini, maka janganlah engkau memperbolehkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan uzur kepadaku.'

Jika tadi Musa diuji oleh Khidir dengan kerosakan pada harta, sekarang Musa diuji pula dengan pembunuhan yang dilakukannya ke atas seorang kanak-kanak. Sebagai seorang Nabi yang memahami syariat, Musa dengan lantang bertanya Khidir tentang perkara itu. Lantas Khidir kembali mengingatkan Musa bahawa dia tidak akan mampu bersabar bersamanya. Begitulah ujian demi ujian yang harus dilalui oleh seseorang yang ingin mendapatkan ilmu dan hikmah dari Nabi Khidir. Sabar dan redha sebenarnya adalah kunci kepada ilmu laduni. Justeru, seharusnya kita fikirkan adakah tahap kesabaran kita mencapai tahap kesabaran Nabi Musa yang tergolong dalam salah seorang Rasul yang mempunyai keazaman yang teguh (ulul Azmi)?

Ujian Ketiga: Khidir membaiki tembok
Allah SWT seterusnya berfirman dalam ayat 77-78:Maka keduanya berjalan; hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka minta dijamu kepada penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mau menjamu mereka, kemudian keduanya mendapatkan dalam negeri itu dinding rumah yang hampir roboh, maka Khidir menegakkan dinding itu. Musa berkata: 'Jikalau kamu mau, nescaya kamu mengambil upah untuk itu.' Khidir berkata: 'Inilah perpisahan antara aku dengan kamu. Aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.

Dalam kejadian terakhir ini, kedua-duanya tiba di sebuah desa dalam keadaan tersangat letih, haus dan lapar. Mereka berdua meminta makanan daripada penduduk desa itu, tetapi penduduk desa enggan menjamu mereka. Dalam keadaan itu, Khidir berusaha membina semula dinding sebuah rumah yang hampir roboh di desa itu. Perbuatannya membuatkan Musa kehairanan lalu bertanya mengapa tidak diambil upah atas kerjanya itu. Peristiwa ini menunjukkan bahawa seorang yang ingin berguru atau bersahabat dengan Khidir mestilah mempunyai sifat ikhlas yang tinggi. Dia seharusnya tidak menjadikan sikap buruk seseorang sebagai penghalang untuk dia berbakti kepada orang lain. Apa yang diharapkannya hanyalah keredhaan Allah SWT, bukannya habuan dunia. Ada ulama mengatakan bahawa pertanyaan Musa kepada Khidir tentang kejadian pertama (merosakkan bahtera) dan kejadian kedua (membunuh kanak-kanak) masih boleh dimaafkan oleh Khidir kerana Musa berbuat demikian demi kebaikan umat dan berlandaskan hukum syariat. Namun, apabila Musa mempersoalkan bayaran upah atas kerja yang dilakukan, pertanyaan tersebut mempunyai unsur keduniaan dan kepentingan diri. Pertanyaan itulah yang menjadi titik pemisah antara mereka berdua. Oleh itu, bagi seseorang yang benar-benar belajar ilmu laduni dari Nabi Khidir, sudah pasti dia dapat memahami dan mengerti akan makna sebenar ikhlas dan ihsan.

Rahsia Kenapa Khidir Merosakkan Bahtera
Bagi menghuraikan rahsia perbuatan Nabi Khidir, Allah SWT berfirman dalam ayat 78-79: “Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut, dan aku sengaja merosakkan bahtera itu, kerana di hadapan mereka ada seorang raja yang merampas tiap-tiap bahtera.”

Perbuatan Khidir merosakkan bahtera nelayan merupakan salah satu cabang ilmu laduni yang berupa kasyaf. Dengan kurniaan tersebut, Khidir dapat melihat apa yang sedang berlaku di pelabuhan yang jauh dari lokasi mereka berada. Khidir melihat setiap bahtera yang sampai di pelabuhan tersebut diperiksa oleh raja. Bahtera-bahtera yang berkeadaan elok akan dirampas, manakala bahtera yang rosak dan berlubang akan dibiarkan. Oleh sebab itu, Khidir sengaja melubangi bahtera itu agar raja tidak akan merampasnya. Dikalangan ahli sufi, kasyaf ini dikenali sebagai Toyyu al-Makan iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga seseorang mampu melihat apa yang sedang berlaku di satu tempat yang jauh dari tempat ia berada. Saidina Umar r.a. pernah dikurniakan kasyaf ini sehingga beliau dapat melihat tentera Islam yang berada kira-kira 500 km dari Madinah dalam keadaan bahaya. Bagaimanapun, kasyaf sebegini hanya terjadi sekali sekala dan tidak boleh diprogramkan. Oleh kerana itu, pada malam Saidina Umar dibunuh, beliau tidak nampak musuh yang hendak menikamnya walaupun musuh itu berada di belakang beliau. Sekiranya seseorang dikurniakan kasyaf sebegini, ia perlu disembunyikan dan tidak boleh dihebahkan. Itulah yang ditunjukkan oleh Khidir a.s. Baginda tidak menceritakan apa yang dilihatnya kepada Musa sehingga menyebabkan Musa tidak dapat bersabar atas tindakannya itu. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mendakwa dikurniakan kasyaf dan ianya dihebah-hebahkan kepada orang lain, itu menandakan kasyaf tersebut bukan ilmu laduni, tetapi adalah kasyaf dari jin dan syaitan.

Rahsia Kenapa Khidir Membunuh budak
Allah SWT mengungkapkan rahsia seterusnya dalam dalam ayat 80-81: “Dan adapun anak itu maka kedua orang tuanya adalah orang-orang mukmin dan kami khuatir bahawa dia akan mendorong orang tuanya itu kepada kesesatan dan kekafiran. Dan kami menghendaki supaya Tuhan mereka mengganti bagi mereka dengan anak yang lebih baik kesuciannya dari anaknya itu dan lebih dalam dari kasih sayangnya (kepada ibu dan bapaknya).”

Dalam kejadian ini, Nabi Khidir dikurniakan kasyaf sehingga dapat melihat apa yang akan berlaku di masa lepas dan masa hadapan. Ini dikenali sebagai Toyyu al-Zaman iaitu hijab pandangan zahir dilipat atau diangkat sehingga boleh melihat merentasi masa. Menurut Imam al-Khazin dalam kitabnya Lubab al-Ta’wil fi Ma’ani Al-Tanzil, budak yang dibunuh Nabi Khidir As bernama Haisur. Ibu dan bapanya adalah orang yang soleh. Dengan izin Allah SWT, Khidir dapat melihat apa yang telah dilakukan oleh budak ini pada masa lepas dan akan datang. Budak ini selalu mencuri dan apabila dewasa, dia akan menjadi kafir dan memaksa kedua orang tuanya kepada kekufuran. Peristiwa ini menunjukkan bahawa Khidir a.s. adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam soal iman dan akidah. Baginda tidak akan membiarkan seseorang memaksa seorang yang lain melakukan kekufuran. Oleh itu, sekiranya seorang yang mendakwa dirinya dikurniakan ilmu laduni dengan tujuan untuk bermegah dan menunjukkan kehebatan diri, sudah pasti orang itu akan dihukum oleh Nabi Khidir lantaran perbuatan bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk itu adalah sebahagian dari perbuatan kufur.

Rahsia Kenapa Khidir Membina Semula Tembok
Berkenaan rahsia tembok, Allah SWT berfirman dalam ayat 82: “Adapun dinding rumah itu adalah kepunyaan anak yatim di kota itu, dan di bawahnya ada harta benda simpanan bagi mereka berdua, sedang ayahnya seseorang yang soleh, maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka sampai kepada kedewasaannya dan mengeluarkan simpanannya itu, sebagai rahmat dari Tuhanmu; dan bukanlah aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Demikian itu adalah tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat sabar terhadapnya.”

Apa yang diungkapkan Khidir menunjukkan bahawa pengetahuan baginda tentang sesuatu yang ghaib adalah kurniaan secara langsung dari Allah SWT. Ini adalah bukti bahawa ilmu laduni tidak boleh dipelajari atau diwarisi. Ianya dikurniakan terus dari Allah SWT untuk hamba-hambaNya yang mempunyai sifat ikhlas hati dan kesabaran yang tinggi. Sesiapa yang mendakwa dapat mempelajari ilmu laduni dari seseorang, sesungguhnya dakwaan tersebut adalah batil.

Demikianlah pelajaran dan pengajaran yang didapati dari kisah pengembaraan Nabi Musa dan Nabi Khidir. Walaupun kelihatan seolah-olah Musa gagal memperolehi ilmu laduni, sebenarnya tidak begitu. Hasil ujian yang dilalui Musa ketika bersama Khidir, baginda dikurniakan kasyaf yang istimewa iaitu dibukakan hijab pandangan batin sehingga dapat melihat kekurangan diri sendiri seperti rasa besar diri, gopoh, kurang mujahadah, kurang syukur, kurang keyakinan kepada Allah SWT dan pentingkan diri. Hasilnya, Allah SWT kurniakan ilmu laduni yang lebih istimewa secara terus ke dalam hati baginda iaitu sifat tawaddu’, sabar, mujahadah, ikhlas, syukur, tawakal, redha dan mahabbah. Sifat-sifat tersebut lebih penting kerana ia akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Ianya lebih bernilai berbanding mendapat ilmu kasyaf suwari (iaitu kebolehan melihat gambaran sesuatu yang telah atau akan berlaku) yang hanya bersifat duniawi. Inilah yang dianjurkan dalam Islam agar kita dapat mengenal kekurangan diri dan memperbaikinya agar menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa.

Berdasarkan kisah ini, para ulama tasauf mengatakan sekiranya seseorang ingin memperbaiki hati yang rosak dan dipenuhi sifat mazmumah, maka dia perlu mencari seorang guru mursyid yang memahami syariat dan hakikat. Mudah-mudahan guru tersebut dapat membantu kita mengenalpasti kekurangan diri dan membimbing proses pembersihannya (tazkiyyah an-Nafs). Apabila hati telah bersih, maka mudahlah cahaya ilmu Allah untuk menyuluh masuk. Apabila cahaya ini sudah menerangi hati, maka ia akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah sebagaimana yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s. Itulah sebahagian cahaya dari pelbagai cahaya ilmu laduni milik Allah SWT yang sebenar.