Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Wednesday, March 25, 2015

ANALISIS AWANI: AMALAN SIHIR SEBAGAI SATU JENAYAH


KLIK LINK DI BAWAH INI UNTUK LIHAT VIDEO:

KUALA LUMPUR: Konsep pembuktian dalam menangani kes-kes jenayah sihir bukan lagi sesuatu yang samar kerana ia boleh dibuktikan dengan gabungan empat bidang kepakaran, kata Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang, Dr Mahyuddin Ismail.

Beliau yang juga mengetuai unit kajian khas dalam meneliti undang-undang sihir berkata demikian ketika menjadi tamu dalam buletin AWANI 7.45 pada Rabu.

“Dalam kajian yang dijalankan, kami pernah menggunakan empat bidang kepakaran iaitu perubatan moden, psikiatri, perubatan Islam dan forensik.

“Kami yakin melalui gabungan pakar-pakar dalam bidang masing-masing ini, sesuatu yang berbentuk metafizik atau ghaib yang sebelum ini sukar dibuktikan boleh dijadikan sesuatu yang lebih berbentuk fizikal untuk tujuan pembuktian,” ujarnya.

Tambah Mahyuddin, jawatankuasa kajiannya turut membangunkan prosedur operasi standard (SOP) untuk pihak penguatkuasa menjalankan tangkapan, siasatan dan penyitaan berkaitan kes jenayah sihir kerana penjenayah sihir bukan orang biasa.

“Oleh itu, barang yang disita juga perlu mengikut prosedur khas dan (garis panduan) itu telah kami lakukan dengan teliti termasuk mengambil kira pandangan pihak penguatkuasa, pendakwa, pihak polis dan sebagainya,” jelasnya.

Melalui kajian yang dijalankan pihak Mahyuddin, terdapat empat jenis kesalahan yang boleh diguna pakai dalam pendakwaan kes jenayah sihir.

“Kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan adalah kesalahan mengamalkan sihir, menggunakan sihir, mengupah seseorang untuk menggunakan sihir dan menyebarkan ilmu sihir,” jelas Mahyuddin.

Menurutnya, sehingga kini jawatankuasa teknikal undang-undang syarak telah menerima cadangan pasukan kajiannya dan kini menunggu lampu hijau daripada mana-mana negeri di Semenanjung untuk menerima pakai hasil kajian tersebut.

“Kerajaan Brunei juga telah meminta bantuan daripada jawatankuasa kami untuk membantu mereka menguatkuasakan Seksyen 208 Kanun Jenayah Syariah berkaitan undang-undang sihir.

Dalam pada itu, Mahyuddin juga menafikan undang-undang jenayah sihir, jika dilaksanakan, akan memberi penyelesaian kepada orang Islam sahaja.

Jelasnya, terdapat 13 kes Mahkamah Sivil yang dirujuk dalam kajian mereka dengan lima daripadanya merupakan kes melibatkan orang Islam manakala selebihnya daripada kaum lain.

“Jika diselusuri mana-mana sejarah dan tamadun terdahulu, pernah berlaku kes-kes sedemikian namun dari segi pembuktian ternyata sudah berbeza. Kita dalam zaman ini sudah mempunyai teknologi forensik yang berasaskan pembuktian.

“Saya percaya teknologi sekaramg boleh melengkapi tujuan tersebut,” jelas Mahyuddin.

Sementara itu, bekas Ketua Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Amidon Anan yang mengulas dari perspektif pihak berkuasa, berkata bahawa usaha meletakkan amalan sihir sebagai satu jenayah tidak mustahil untuk dilakukan namun perlu dikukuhkan aspeknya dari beberapa sudut.

“Sebelum ini, pelaku sihir hanya pihak syariah tidak dapat membuktikan sesuatu jenayah sihir kerana tiada analisis terhadap bahan-bahan bukti yang dirampas daripada pengamal sihir.

“Kita belum cuba secara menyeluruh. Susah untuk komen tentang kejituan perbuatan sihir itu kerana selama ini tiada pihak pernah uji kaji bahan-bahan bukti tersebut.

“Tidak menjadi masalah kalau dicuba,” ujarnya yang mengatakan bahawa pengakuan daripada pengamal sihir belum cukup untuk diterima sebagai pembuktian.