Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Monday, June 9, 2014

PERINTAH SYAITAN DALAM SYARAT PERBOMOHAN




PENGENALAN
Baru-baru ini, seorang pelajar saya bertanya tentang ilmu yang beliau pelajari dari seorang tukang urut tradisional.Sebagai syarat pengijazahan, beliau dikehendaki mencelup tangan ke dalam kawah minyak panas.Dengan melakukan demikian, maka ilmu urutan yang dipelajari akan mujarab. Seminggu sebelum itu, seorang jemaah surau saya turut bertanya perkara yang hampir sama. Datuknya ingin menurunkan ilmu perubatan tradisional kepada beliau dengan syarat beliau mesti menyediakan jarum dan duit syiling 25 sen sebagai syarat pengijazahan. Jika syarat itu tidak dituruti, maka ilmu tersebut tidak akan menjadi.

Isu tersebut banyak berlaku dalam masyarakat kita dengan pelbagai versi.Apabila diteliti, iasebenarnya berkisar tentang sumber pengambilan ilmu tersebut. Ada pengamal yang memperolehi ilmu secara langsung dari guru-guru, ustaz-ustaz, pengamal-pengamal perubatan tradisional, bomoh dan pawang dan pelbagai lagi.Ada juga yang memperolehinya melalui carayang luar dari kebiasaan seperti pertapaan, mimpi, ilham, kasyaf, bisikan dan seumpamanya.

INSTITUSI PERBOMOHAN
Dalam mana-mana komuniti di dunia ini, memang terdapat individu-individu yang mempunyai kebolehan luar biasa terutama dalam aspek berkaitan perubatan tradisional. Sebagai contoh, mereka dikenali sebagai witchdoctor dan sorcererdi Eropah, Sangomadi Afrika Selatan, toa malidi Pulau Flores, jhakridi Nepaldan ’arraf serta kahin dalam masyarakat Arab Jahiliyyah.

Di Malaysia, khususnya dalam masyarakat Melayu, istilah bomoh, dukun, pawang, ahli nujum, tukang tilik adalah antara individu-individu yang dianggap insan yang mempunyai kebolehan luar biasa. Mereka mempunyai kedudukan dan peranan yang sangat besar dalam masyarakat Melayu, dijadikan rujukan ketika hendak membuka tanah dan menanam padi, menjaga tanaman, menjaga harta dan keturunan mereka.

Menurut Datuk Dr. Amran Kasimin dalam buku beliau Sihir suatu amalan kebatinan, pada zaman dahulu, pawang mempunyai reputasi tinggi, kakitangan kerajaan yang diberi gaji, berfungsi merawat penyakit, memberi petua atau arahan kepada para petani, menjaga lombong-lombong dan memberi khidmat kepada para nelayan. Pawang adalah orang yang paling penting di sesuatu tempat seperti yang disebut dalam Perak Laws.Dalam hal ini, Walter William Skeat menyatakan dalam bukunya Malay Magic: Being an introduction to the folklore and popular religion of the Malay Peninsula:
The pawang is a functionary of great and traditional importance in a Malay village, though in places near towns the office is falling into abeyance. In the inland districts, however, the pawang is still a power and regarded as part of the constituted order of society, without whom no village community would be complete.

Apabila Islam mula tersebar di Tanah Melayu pada awal kurun ke 10, maka usaha-usaha telah giat dijalankan bagi membanteras amalan-amalan khurafat yang bercanggah dengan syara’termasuk amalan berpawang. Pun begitu, ketaksuban dan kesebatian jiwa sebahagian dari masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu dengan amalan-amalan dan adat yang diwarisi dari kepercayaan animisme, ajaran Hindu dan Buddha tetap menebal di dalam jiwa. Hasilnya, amalan-amalan tersebut telah bercampur aduk dengan amalan ibadah sehingga ada yang beranggapan bahawa pawang adalah sebahagian daripada institusi agama Islam.Keadaan ini digambarkan oleh William Skeat seperti berikut:
It must be clearly understood that he (pawang) has nothing to do with the official Muhammadan religion of the mosque: the village has its regular staff of elders- the Imām, Khātib or Bilal.

HUKUM BERTEMU DAN BERAMAL DENGAN AJARAN BOMOH DAN PAWANG
Apabila diteliti dari aspek hukum, terdapat sejumlah hadis yang secara terang-terangan melarang umat Islam dari terlibat dalam amalan perbomohan. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari ‘Imran bin Husain bahawa Rasulullah SAWbersabda:“Bukan termasuk dalam golongan kami sesiapa yang beranggapan sial atau membenarkan orang yang beranggapan sial, atau sesiapa yang mendatangi tukang ramal atau membenarkan ucapannya, atau sesiapa yang melakukan perbuatan sihir atau membenarkannya.”

Imam Muslim pula meriwayatkan dalam Shahihnya bahawa Nabi SAWbersabda:“Barangsiapa yang datang bertemu tukang tilik, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.”Manakala Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Barangsiapa mendatangi seorang dukun atau tukang tilik kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka ia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Hadis-hadisdi atas melarang kita dari menemui dukun dan tukang ramal untuk bertanya sesuatu dari hal-hal yang ghaib, mistik, luar biasa dan seumpamanya.Jika perkataan yang diucapkan bomoh pun kita dilarang mempercayainya, maka apatah lagi jika kita belajar dan beramal dengan amalan yang diajarkannya serta menyebarkan amalan tersebut kepada orang lain.

Larangan mempercayai pawang, dukun atau bomoh dan mempelajari ilmu daripada mereka disebabkan terselitnya unsur-unsur penipuan dan kebatilan.Kebanyakan perkhabaran berita, syarat dan bentuk amalan yang ditetapkan oleh mereka merupakan ilham dan bisikan oleh syaitan. Firman Allah dalam surah as-Syu’ara ayat 221-223:
”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun?Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”

Perbuatan belajar dari bomoh dan pawang dengan tujuan untuk beramal dengan ilmu tersebutsecara jelas mengengkari perintah Nabi SAW.Secara tidak langsung, iamenunjukkan bahawa kita berasa tidak cukup dengan apa yang telah dibekalkan oleh Rasulullah SAWsehingga terpaksa mendapatkan dari sumber yang lain.

SYARAT BERAMAL DENGAN ILMU BOMOH DAN PAWANG
Antara sebab utama ilmu perbomohan dianggap sebagai perbuatan kufur ialah kerana ilmu tersebut berasal dari syaitan.Ilmu perbomohan menetapkan syarat-syarat yang pelik-pelik, tidak logik dan tiada kaitan dengan sebab dan musabbab.Syarat-syarat tersebut merupakan helah iblis dan syaitan untuk melihat sejauh mana kepatuhan anak Adam kepada mereka. Satu kisah yang paling jelas untuk kita hayati ialah sebuahathar yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi dalam kitab Sunan beliau bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata:

“Telah datang kepadaku seorang wanita dari penduduk Daumah Al-Jandal mencari Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda untuk bertanya tentang satu perkara berkaitan mempelajari sihir tetapi tidak beramal dengannya. Kata wanita ini: “Suamiku telah hilang dariku. Kemudian datang seorang wanita tua lalu aku mengadu hal ini kepadanya. Lalu wanita tua itu berkata: “Sekiranya engkau melakukan apa yang aku suruh, nescaya suamimu akan kembali kepadamu”. Apabila tiba waktu malam, wanita tua itu datang bersama dua ekor anjing hitam.Maka aku menaiki salah satu anjing itu dan dia menaiki yang seekor lagi.Dalam masa yang sekejap, kami sudah sampai di Babilon.Aku dapati ada dua orang lelaki yang tergantung dengan kakinya. Lalu lelaki itu berkata: “Apa yang kamu mahu?” Maka aku berkata: “Aku ingin belajar sihir”. Mereka berkata: “Sesungguhnya kami ini fitnah, jangan kamu kufur. Oleh itu, pulanglah”. Aku tidak mempedulikan nasihat mereka lalu berkata: “Aku tidak akan pulang!” Mereka berdua berkata: “Pergilah engkau kepada bekas nyalaan api itu dan kencinglah padanya. Selepas itu, datanglah kembali”.Maka aku pun pergi, dan aku rasa menggeletar serta takut. Kemudian aku kembali mendapatkan mereka berdua dan aku berkata: “Aku telah lakukan apa yang kamu suruh tadi”. Mereka bertanya: “Apa yang kamu nampak?”. Aku menjawab: “Aku tidak nampak apa-apa”. Maka mereka berkata: “Engkau berbohong. Engkau belum kencing di situ.Pulanglah ke negeri engkau dan jangan kamu jadi orang yang kufur.Sesungguhnya engkau bertanggungan atas urusan kamu”. Aku enggan pulang, lalu mereka berkata: “Pergilah engkau kepada bekas nyalaan api itu dan kencinglah padanya”. Lalu aku pun pergi dan kencing padanya.Maka aku melihat seorang pahlawan berkuda yang memakai baju besi keluar dari tubuhku dan naik ke langit sehingga dia hilang dari pandanganku. Dan aku datang bertemu dengan kedua-duanya lalu aku berkata: “Aku telah lakukan apa yang kamu suruh tadi”. Mereka bertanya: “Apa yang kamu nampak?”Aku menjawab: “Aku melihat seorang pahlawan berkuda yang memakai baju besi keluar dari tubuhku dan naik ke langit sehingga dia hilang dari pandanganku”. Kedua-duanya berkata: “Engkau benar. Itulah iman engkau telah keluar dari engkau.Sekarang pergilah engkau”. Maka aku berkata kepada wanita tua itu: “Demi Allah!Aku tidak tahu sesuatu tentang ini dan tiadalah kedua-dua orang itu memberitahu aku sesuatu apa pun”. Maka perempuan tua itu berkata: “Bukan begitu. Tiadalah sesuatu yang engkau inginkan kecuali ia akan menjadi. Ambil biji gandum ini dan semai”. Maka aku semaikan dan aku berkata: “Tumbuhlah!”Maka tumbuhlah gandum itu. Dan aku berkata lagi: “Membiaklah!” Maka gandum itu berkembang biak. Dan aku berkata: “Tuailah!”Maka iapun tertuai. Dan aku berkata: “Kisarlah!”Maka ia pun terkisar. Dan aku berkata: “Jadilah roti!” Maka ia menjadi roti.Dan apabila dapati setiap sesuatu yang aku inginkan segera berada ditanganku, makaaku rasa amat menyesal.Dan demi Allah wahai Ummu Mukminin, tiadalah aku melakukan sesuatu dan aku tidak akan melakukannya selama-lamanya.”

Berdasarkan athar di atas, kita akan dapati betapa mudahnya untuk mempelajari sihir. Hanya dengan kencing di bara api, maka wanita itu sudah mempunyai kebolehan yang luar biasa. Terdapat beberapa pengajaran dari kisah di atas:
1.      Syarat utama dalam amalan perbomohan ialah melaksanakan syarat yang ditetapkan oleh syaitan.
2.      Syarat yang ditetapkan selalunya tidak logik dan tiada kaitan dengan amalan perubatan.
3.      Pematuhan syarat tersebut boleh menyebabkan seseorang itu kufur tanpa disedari.
4.      Ilmu tersebut akan mujarab sekiranya syarat tersebut dilaksanakan.

EVOLUSI INSTITUSI KAHIN DAN ‘ARRAF DI ZAMAN MODEN
Zaman semakin berubah. Begitu juga metodologi perbomohan pada zaman moden ini. Jika dahulu, gelaran bomoh, pawang dan dukun diberikan kepada pengamal perubatan tradisional.Zaman sekarang, golongan ini tanpa segan silu menggunakan gelaran perawat Islam, kiyai, haji dan pelbagai lagi semata-mata untuk menyakinkan pesakit.Malah, ada juga yang menggunakan gelaran Dr., Dato, Syeikh, Prof. Emiritius dan sebagainya walaupun tidak pernah menghasilkan sebarang kajian ilmiah atau menyumbang kepada perkembangan akademik.

Sebahagian bomoh ini tidak lagi berpakaian serba hitam, serba kuning, sebaliknya mula berpakaian kemas, berkot, berjubah dan berkopiah. Sebahagian bomoh ini tidak lagi menggunakan kemenyan, beras kunyit, ayam panggang, bertih, keris, sebaliknya mula menggunakan alatan saintifik, aura, warna, air, minyak wangi, quran kecil dan kelambu kaabah. Sebahagian bomoh ini tidak lagi menggunakan tilikan dalam air dan menurun, sebaliknya menggunakan tasbih berpusing, sejadah, hypnosis dan juga solat untuk menilik penyakit.Sebahagian bomoh ini tidak lagi menggunakan bisikan qarin, kasyaf jin, sebaliknya menggunakan ilham, laduni dan deria keenam.Sebahagian bomoh ini tidak lagi menggunakan gua atau hutan sebagai tempat latihan, sebaliknya mula menggunakan dewan seminar untuk mengajarkan ilmu tersebut.

Jika dahulu tukang tilik menilik untung nasib seseorang, jodoh pertemuan, barang hilang dan punca penyakit. Namun zaman sekarang, bidang tilikan ini makin berkembang maju apabila ada yang sudah boleh menilik penyakit berdasarkan nombor, menilik jumlah jin dalam tubuh pesakit dan menilik ayat-ayat yang boleh digunakan dalam rawatan dan seumpamanya.Selain evolusi dalam kaedah rawatan, institusi kahin juga mengalami perubahan dalam penggunaan terma perkataan yang lebih canggih dan Islamik.Perkataan bertapa sudah ditukar menjadi meditasi dan tafakkur.Perkataan khadam dan qarin sekarang telah ditukar kepada roh orang soleh dan roh wali Allah.Inilah antara proses evolusi dalam institusi bomoh dan pawang.

ISLAMISASI AMALAN PERBOMOHAN
Ada juga yang mendakwa fenomena di atas bukan evolusi, tetapi proses islamisasi amalan perubatan tradisional. Perkara ini memerlukan penelitian yang sangat rapi.Ini kerana sebahagian amalan perbomohanmasyarakat Melayu berasal dari pengaruh agama Hindu, agama Buddha dan adat masyarakat Asli yang terang-terangan mempunyai unsur syirik.Hal yang sama pernah berlaku ketika hayat Rasulullah SAW. Baginda SAW ditanya oleh sahabat tentang jampi yang diamalkan semasa zaman jahiliyyah. Nabi membenarkan dengan syarat ia tidak mengandungi unsur syirik. Dalam hal ini, apa yang dimaksudkan oleh Baginda SAW merujuk kepada jampi-jampi yang lebih bersandar kepada adat (uruf) dan tidak melibatkan sebarang pematuhan kepada syarat tertentu yang ditetapkan syaitan. Pada masa yang sama, Nabi juga bersabda: “Sesungguhnya jampi dan tiwalah itu syirik”. Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar jampi pada zaman itu disertai dengan amalan yang berasal dari syaitan.

Rasulullah SAW juga turut melarang keras pengambilan unsur-unsur kepercayaan luar ke dalam Islam khususnya perkara yang berkaitan dengan akidah. Dibimbangi ia boleh menyebabkan timbulnya kekeliruan dan fitnah. Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis dari Jabir bin Abdullah, bahawa Umar bin al-Khattab telah bertemu Nabi SAW dengan membawa sebuah kitab yang diambil daripada ahli Kitab. Umar pun membaca kitab itu dihadapan Rasulullah.Tiba-tiba Rasulullah menjadi marah lantas bersabda: "Adakah orang yang hairan dan syak wahai anak al-Khattab? Demi Tuhan yang diriku berada di tanganNya! Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengannya dalam keadaan putih bersih. Janganlah kamu tanya mereka mereka tentang sesuatu pun. Ditakuti mereka itu menceritakan perkara yang haq tetapi kamu menuduhnya dusta atau pun mereka bercerita dengan cerita batil maka engkau membenarkan kata-katanya. Demi Tuhan yang mana diriku berada di kekuasaanNya! Sekiranya Musa masih hidup, pasti dia juga akan mengikutiku."

Teguran Rasulullah SAW begitu keras sehingga Umar melepaskan lembaran Taurat yang ada ditangannya. Jika perbuatan Saidina Umar (yang mempunyai iman yang mantap) membawa dan membaca kitab Taurat (yang turut datang dari Allah) dibimbangi akan menimbulkan fitnah setelah ketiadaan Baginda SAW, maka bagaimana pula dengan perbuatan kita yang belajar, mengamalkan dan mengajarkan kepada orang lain amalan perbomohan yang ditegah dalam Islam.Justeru, islamisasi perubatan tradisional yang mempunyai amalan syirik bukanlah suatu yang tepat kerana pokok pangkal sudah tidak menepati syara.

SARANAN RASULULLAH SAW
Sesungguhnya, sistem pengubatan Islam ini telah pun lengkap.Tidak perlu kita mengambil dari sumber yang kita tidak pasti.Sumber pengambilan ilmu dari bomoh dan pawang boleh menimbulkan pelbagai tohmahan dan fitnah, sedangkan kaedah-kaedah pengubatan Islam yang lengkap telah pun diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW melalui para sahabat dan ulama.Sayugia kita sebagai umat Baginda SAW mengambil sepenuhnya apa yang baginda sampaikan. Firman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 7: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah.”

Sekiranya kaedah-kaedah perubatan tersebut kelihatan meragukan, maka pesan Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dari Al-Hasan bin Ali:“Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan”.Oleh yang demikian, sepatutnya amalan-amalan yang diwarisi dari sumber perbomohan dibuang dan dielakkan dari diamalkan.Ianya merupakan fitnah yang besar kepada umat Islam.Kelak orang yang cubamembetulkannya dianggap sebagai pemfitnah sedangkan orang itu yang sebenarnya terjatuh ke dalam lubang fitnah yang diciptakan. Firman Allah dalam surah At-Taubah, ayat 49:
”Di antara mereka ada yang berkata: Berilah saya keizinan dan janganlah kamu menjadikan saya terjerumus ke dalam fitnah. Ketahuilah bahawa mereka itu telah pun terjerumus ke dalam fitnah.”

Wednesday, May 14, 2014

KAEDAH MENCARI BARANG HILANG MENURUT ISLAM




KAEDAH MENCARI BARANG HILANG MENURUT ISLAM
Oleh Tuan Guru Dr Hj. Jahid bin Hj. Sidek
 

PENDAHULUAN
Salah satu faktor yang menyebabkan seseorang dilanda tekanan (stress) ialah apabila sesuatu barang miliknya yang berharga dan disayangi hilang. Kehilangan itu makin dirasai terutamanya sesudah semua masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit dibelanjakan dalam usaha untuk mencarinya. Semakin berharga milikannya yang hilang itu, maka semakin serius tekanan dialami. Contohnya, kehilangan anak tunggal kesayangan boleh menimbulkan kesan negative kepada seseorang. Dalam sejarah, Nabi Yakub a.s. menjadi buta matanya kerana kehilangan putera kesayangannya, nabi Yusuf a.s.

Apabila menghadapi masalah kehilangan sesuatu milik kesayangannya, masyarakat kita cenderung untuk mengambil jalan pintas, tanpa memikirkan soal halal atau haramnya. Tumpuan utama mereka ialah tukang tilik, pak nujum, pawang, bomoh yang dianggap mengetahui perkara yang ghaib dan boleh membantu mereka untuk menemui barang mereka yang hilang itu. Ada juga yang tergamak meminta pertolongan tukang tilik  bukan Islam seperti bomoh orang asli, tok cha Siam dan sebagainya. Apa yang penting, barang mereka yang hilang mesti ditemui dengan segera. Mereka melupakan wasiat Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menemui ‘arraf (tukang tilik) atau munajjim (tukang ramal dengan menggunakan peredaran bintang) atau kahin (pawang dan bomoh), sesungguhnya dia telah kufur terhadap kebenaran yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.” Setengah ulamak menegaskan maksud kufur dalam hadis ini, bukan kufur yang menjadikan seseorang terkeluar dari Islam, tetapi ia bermakna berdosa besar atau fasiq. Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa solatnya (termasuk ibadatnya yang lain) tidak diterima oleh Allah selama empat puluh hari empat puluh malam.

TUKANG TILIK DAN AHLI NUJUM ADALAH PEMBOHONG
Dalam satu riwayat, seorang sahabat (yang berasa kagum terhadap kebenaran seorang munajjim yang ditemuinya) bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang keharusan beliau menemui dan mempercayai kata-kata munajjim itu. Baginda s.a.w. menegaskan bahawa ianya tidak harus. Sahabat tersebut menyatakan bahawa semua kata-kata munajjim itu benar belaka. Rasulullah s.a.w. segera bersabda: “Munajjim itu pembohong, walaupun cakapnya benar”.

Persoalan timbul mengapa Rasulullah s.a.w. mengatakan tukang tilik dan ahli nujum sebagai pembohong? Sebabnya adalah kerana kebenaran yang disampaikan hanya satu sahaja (sebagai umpan) sedangkan pembohongannya seribu. Oleh sebab itu, munajjim yang suka berbohong dan menipu ini dimasukkan ke dalam neraka. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 128 yang bermaksud: “…nerakalah tempat kamu semua ( wahai manusia dan syaitan yang bersekongkol dalam berbuat kejahatan ketika di dunia). Mereka kekal selama-lamanya dalam neraka…”. Pembohongan dan penipuan tersebut sangat ketara kerana Allah telah menegaskan bahawa tidak ada makhluk yang tahu tentang sesuatu yang ghaib. Firman Allah dalam surah al-Naml ayat 65 yang bermaksud: “Katakanlah (ya Muhammad) apa juga makhluk yang di langit dan di bumi tidak mengetahui yang ghaib, kecuali Allah”. Malah, ada sesetengah sahabat yang beranggapan bahawa Rasulullah s.a.w. tahu perkara yang ghaib, lalu Baginda menafikannya. Firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 188 yang bermaksud: “…jika aku mengetahui perkara yang ghaib, nescaya aku boleh buat banyak kebaikan dan tidak ada keburukan menimpa aku..”

TUKANG TILIK DAN AHLI NUJUM KEHILANGAN TARING
Di zaman pemerintahan Firaun, ramalan yang dilakukan oleh ‘arraf, munajjim dan kahin semuanya benar-benar terjadi. Misalnya, ramalan mereka mengenai kelahiran nabi Musa a.s dan kehancuran kekuasaan pengaruh Firaun di tangan baginda. Mengapa ramalan mereka begitu canggih dan mengkagumkan? Faktor utamanya ialah kerana Allah masih memberi peluang kepada syaitan untuk naik sampai langit yang ketujuh lalu mereka mendengar perbualan para malaikat mengenai apa yang akan berlaku di bumi. Syaitan ini lalu memberitahu hal tersebut kepada  tukang tilik dan ahli nujum. Selepas kelahiran nabi ‘Isa a.s., sebahagian pintu langit telah ditutup dan syaitan hanya mampu sampai ke langit yang ketiga sahaja. Apabila Rasulullah s.a.w dilahirkan, semua langit ditutup. Syaitan hanya mampu menghampiri langit pertama sahaja. Itupun mereka akan dipanah oleh tahi-tahi bintang. Firman Allah dalam surah as-Sofat ayat 5-10 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami hiasi langit yang dunia terendah dengan hiasan bintang-bintang sebagai menjaga dari syaitan marid. Mereka tidak dapat mendengar perbualan malaikat di langit yang tertinggi melainkan mereka dilempar dari segenap penjuru. Kecuali syaitan yang cuba mencuri-curi pendengaran, maka mereka akan dikejar oleh tahi bintang”. Disebabkan oleh faktor penutupan semua pintu langit ini, maka tukang tilik dan ahli nujum telah kehilangan taring. Kemampuan ramalan mereka menjadi terbatas dan terlalu lemah kerana syaitan hanya mendapat sumber maklumat dari perbualan malaikat di bumi sahaja.

SYAITAN DAN JIN MENYOROKKAN BARANG
Islam tidak menolak kebolehan syaitan atau jin yang mampu menyorokkan sesuatu barang termasuk batang tubuh manusia hingga tidak mudah bagi manusia biasa melihat dan menemuinya semula. Ini adalah kerana sifat kemurahan Allah yang bersifat ar-Rahman yang berkuasa mengabulkan permintaan syaitan dan jin yang jahat sekalipun. Misalnya permintaan syaitan untuk masuk ke dalam tubuh badan nabi Ayub a.s. telah dikabulkan oleh Allah hingga baginda a.s. menderita sakit selama 18 tahun. Ada ketikanya bukan barang yang disorokkan, tetapi kedua-dua mata manusia yang mencari barang tersebut yang ditutupkan oleh jin dan syaitan sehingga tidak dapat melihat jalan, rumah, sekolah, kapalterbang dan lain-lain objek yang besar yang berada di hadapannya. Seorang yang sesat di hutan, ditemui berdiri di lorong yang biasa di laluinya. Beliau tidak nampak lorong tersebut kerana kedua matanya telah ditutupi oleh syaitan.

ISLAM MENOLAK  PERANGKAP SYAITAN
Syaitan yang telah berjaya meyakinkan ‘arraf, munajjim dan kahin dengan maklumat yang benar akan mudah memerangkap mereka dan masyarakat umum melalui cerita-cerita karut dan khurafat. Syaitan ini akan menetapkan pelbagai syarat dan kaedah pelik yang berlawanan dengan akidah dan syariah yang mesti dipenuhi untuk menemui semula barang yang hilang. Amalan dan kepercayaan karut serta khurafat inilah yang ditolak sekeras-kerasnya oleh Islam. Kononnya, apa sahaja barang yang hilang boleh ditemui dengan mudah sekiranya dibuat beberapa langkah seperti berikut:

Pertama, puja hajat iaitu solat hajat special oleh sekumpulan wali ghaib terpilih yang memerlukan kos yang tinggi hingga mencecah puluh ribu.

Kedua, dengan menyembelih dua ekor kambing hitam. Dagingnya dibuat kenduri untuk arwah emak ayah dan datuk nenek. Kedua-dua kepala kambing korban itu mesti diletakkan di atas dua rakit batang pisang dan dihanyutkan ke sungai. Kononnya, kedua-dua kepala itu akan dapat diterima oleh raja jin laut yang tinggal di kuala sungai itu.

Ketiga, dengan menunaikan pengeras iaitu derma kepada mana-mana masjid atau surau sebanyak RM2.25 yang boleh dimasukkan ke dalam tabung masjid atau surau. Kononnya, selepas itu barulah barang atau anak akan dijumpai sebab raja jin dan kumpulannya akan membuka semua hijab ghaib yang melindungi selama ini.

Hakikatnya, menerusi tiga upacara tesebut, mereka telah terhumban ke dalam perangkap syaitan yang mengerikan tanpa sedar. Apa yang menghairankan ialah mereka berasa bertuah kerana telah dapat melaksanakan tiga amalan yang baik yang menjanjikan kejayaan menemui barang atau orang yang hilang. Ketiga-tiga amalan itu bukan sahaj karut dan khurafat, tetapi menyebabkan mereka syirik. Upacara penyembelihan dua ekor kambing dan menghanyutkan kepalanya adalah amalan menyemah atau buang ancak yang diharamkan. Begitu juga dengan pengeras. Walaupun kelihatan sangat remeh, tetapi mengandungi maksud tunduk dan taqarrub kepada syaitan. Rasulullah s.a.w pernah menggambarkan dalam sebuah hadis bahawa seorang mukmin yang memberi pengeras berupa bangkai seekor lalat kepada berhala, akan dimasukkan ke dalam neraka. Manakala seorang mukmin yang enggan memberi pengeras tersebut sehingga dibunuh, akan dimasukkan ke dalam syurga.

SERIBU SATU MACAM KARUT-MARUT
Kaedah karut dan penuh khurafat yang disebutkan di atas merupakan salah satu daripada seribu satu macam kaedah mencari barang yang hilang yang digunakan oleh pawang dan bomoh di Malaysia. Kita temui banyak lagi kaedah yang lebih karut, lebih lucu, lebih bodoh, lebih tak masuk akal. Antara yang telah kita semua saksikan ialah aksi meneropong pesawat MH 370 yang dilakukan di KLIA tempoh hari. Kononnya melalui upacara tersebut, pandangan mereka dapat menembusi berbagai hijab ghaib angkara syaitan dan jin.

Kita tentu mengimbau semula kejadian sebuah helikopter yang terhempas di hutan Bario pada bulan Julai tahun 2004. Menurut dakwaan sekumpulan ahli nujum, kononnya mereka berjaya membantu menemuinya setelah berjaya memujuk syaitan dan jin yang menutupi  bangkai helikopter itu dengan hijab ghaib kerana marah dengan pihak kerajaan yang membina projek empangan Bakun. Ahli nujum tersebut mendakwa kononnya kejayaan itu dicapai setelah syarat yang ditentukan oleh syaitan dan jin yang mahukan sembelihan dua ekor kambing hitam ditunaikan.

KAEDAH TERBAIK PILIHAN ALLAH
Bagi mengelakkan manusia memilih ‘arraf, munajjim dan kahin sebagai penyelesaian kepada masalah manusia (termasuk masalah mendapatkan semula sesuatu yang telah hilang), maka Islam telah menyediakan kaedah alternatif yang terbaik. Terdapat banyak kaedah yang ditarbiyahkan oleh para ulama yang berlainan. Bagaimanapun, asas utamanya sama sahaja iaitu takwa dan tawakkal. Firman Allah dalam surah at-Tolaq ayat 2-3 yang bermaksud: “Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan jadikan untuknya jalan keluar (dari apa juga masalah) dan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka. Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah maka cukup sempurnalah Allah sebagai tempat pergantungannya, sesungguhnya urusan Allah tetap berlaku. Sesungguhnya Allah telah menjadikan ketentuan bagi setiap sesuuatu”.

Seorang rakan penulis kehilangan semua wang ketika mengerjakan umrah. Beliau tidak mahu menceritakan kejadian itu kepada rakan jemaahnya. Sebaliknya, beliau segera mengerjakan solat sunat taubat dan solat sunat hajat serta berzikir dalam masjidil Haram. Ketika beliau berjalan keluar dari masjid, tiba-tiba muncul seorang Arab yang tidak dikenali menegurnya dan memeluknya. Kemudian orang Arab itu menghadiahkan segenggam wang. Beliau dapati wang itu berjumlah dua kali ganda dari wangnya yang hilang.

SATU KAEDAH AMALAN GOLONGAN SUFIYYAH
Penulis ingin berkongsi amalan mencari barang yang hilang yang ditarbiyahkan oleh sesetengah sufiyyah yang mengandungi beberapa langkah:

LANGKAH PERTAMA: Lakukan taubat yang merangkumi empat amalan:
1.      Membanyakkan istighfar;
2.      Mandi sunat taubat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhaj al-‘Abidin;
3.      Solat sunat taubat;
4.      Solat sunat awwabin iaitu bertaubat dari dosa dalaman yang sukar disedari.
Sebaik-baiknya, semua amalan taubat tersebut terpimpin. Para sahabat Rasulullah apabila bertaubat, mereka akan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 64 yang bermaksud: “Sekiranya mereka yang telah menzalimi diri mereka sendiri (kerana melakukan dosa) datang menemui engkau (ya Muhammad), lalu mereka meminta keampunan kepada Allah, dan Rasulullah s.a.w. juga meminta keampunan dari Allah untuk mereka, nescaya mereka akan dapati bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

LANGKAH KEDUA: Solat sunat hajat 2 rakaat. Adalah baik jika pada rakaat pertama, selepas membaca surah al-Fatihah, dibacakan surah al-Insyirah; dan pada rakaat kedua pula dibacakan surah al-Ikhlas.

LANGKAH KETIGA: selesai solat hajat, bacalah ayat ke 16 dari surah Luqman seberapa banyak yang boleh dengan tatacara yang berikut:
1.      Istighfar dengan menyebut Astaghfirullah sebanyak 70 kali.
2.      Membaca al-Fatihah sekali diniatkan supaya Allah sampaikan pahalanya kepada Rasulullah s.a.w., para guru kita dan semua umatnya yang soleh.
3.      Membaca ayat ke 16 dari surah Luqman seberapa banyak yang boleh sambil membayangkan Allah memulangkan barang yang hilang kepada kita.
4.      Berzikir dengan menyebut terus seberapa lama yang mampu YA LATIF YA KHABIR

LANGKAH KEEMPAT: Berzikir tahlil terus menerus seberapa lama yang boleh dalam keadaan muraqabah ma’iyyah sambil ditumpukan doa dalam hati: “Ya Allah hanya dengan rahmatMu, kehendakMu dan kekuasaanMu sahaja barang tersebut dapat ditemui”;

LANGKAH KELIMA: Buat nazar apa sahaja yang baik dan mudah dilakukan seperti puasa sunat sehari atau sebagainya;

LANGKAH KEENAM: Bersedekah setiap hari walaupun RM1.00;

LANGKAH KETUJUH: Kekalkan diri dalam keadaan berwuduk;

LANGKAH KELAPAN: Sentiasa ingat kehendak dan keazaman makhluk tidak dapat mengatasi takdir Allah;

LANGKAH KESEMBILAN: Sentiasa menjada adab terhadap Allah iaitu mengingati namaNya, muraqabah wujudNya, keagunganNya dan kesempurnaanNya.

LANGKAH KESEPULUH: Berdoa secara khusus dengan membaca doa qunut sebanyak 13 kali sehari.

KISAH DALAM FAIL PENULIS
Seorang hamba Allah telah kehilangan motosikal berkuasa besar miliknya selama hampir enam bulan. Penulis ajarkan amalan di atas dan beliau telah mengamalkan kaedah tersebut selama tiga hari tiga malam. Beliau menumpukan amalan tersebut di rumahnya dan tidak keluar rumah kecuali ada urusan yang penting. Selepas kira-kira 2 atau 3 minggu, ketika beliau turun daripada pejabat untuk balik ke rumah, beliau terperanjat besar kerana motosikalnya berada  di tempat yang biasa beliau letakkan beserta dengan anak kuncinya sekali. Setelah diperiksa, beliau yakin itu adalah motosikalnya yang hilang. Cuma nombor platnya sahaja yang telah ditukar. Ada kemungkinan orang yang mencurinya telah memulangkannya semula. Bagaimanapun hakikatnya, Allah yang memulangkan.

Seorang jiran penulis yang kehilangan semua barang kemas warisan keluarga dapat menemui semula semua barang kemasnya sesudah beliau terus menerus bertahlil selama kira-kira satu bulan. Pencuri telah memulangkan barang kemasnya di depan pintu rumahnya di dalam beg plastik berwarna kuning.

Demikianlah sedikit sebanyak kisah benar yang berlaku. Semuanya adalah gambaran bagaimana kekuasaan Allah untuk mengabulkan permintaan hambaNya. Ada diantara hambaNya yang meminta dengan jalan yang yang syirik, tetapi Allah tetap mengabulkannya. Ada juga hambaNya yang meminta dengan jalan yang diredhaiNya, maka dikabulkan juga. Semuanya adalah ujian untuk melihat sejauh mana manusia akan percaya dan beriman dengan ketentuan Allah. Bagi mereka yang menggunakan kaedah yang syirik lalu mendapat kembali barang yang hilang, maka tiada keuntungan baginya diakhirat, bahkan dia akan dimasukkan ke dalam neraka. Manakala mereka yang kehilangan suatu milikan, lalu bersabar dan berikhtiar dengan cara yang Allah redhai, maka Allah akan membalasnya dengan ganjaran yang lebih baik di dunia dan akhirat, sekalipun barang tersebut tidak ditemui.

MENEROPONG NASIB MH 370






MENEROPONG NASIB MH 370
(Artikel Al-Islam Mei 2014)

PENGENALAN
Satu dunia gempar dengan kemunculan Bomoh Nujum VIP di KLIA yang turut membantu misi mencari pesawat MH 370 yang dilaporkan hilang. Dengan berbekalkan peralatan perubatan tradisional seperti bubu, teropong, tikar, buah kelapa, bakul, tongkat dan diiringi dengan bacaan-bacaan tertentu, maka beliau mendakwa memperolehi alamat-alamat tertentu. Ada yang marah dan geram dengan tindakan tersebut dan tidak kurang juga yang ketawa melihat telatah mereka.

Tidak lama kemudian, muncul pula ustaz-ustaz dari pelbagai aliran perubatan tradisional dan juga Islam yang mendakwa bermimpi melihat pesawat malang tersebut. Ada yang melihat ianya disedut ke dalam laut. Ada yang mendakwa melihat ianya di tawan. Pada masa yang sama, ada juga yang mendakwa mempunyai kebolehan untuk mengembara ke alam roh dan pergi ke lokasi pesawat tersebut berada. Setelah rohnya kembali memasuki tubuh, maka diceritakan bahawa dia melihat itu dan ini. Ramalan dan tilikan tersebut datang dalam pelbagai versi dan kelihatan bercanggah antara satu sama lain.

RAMALAN MENURUT ISLAM
Ramalan dan tilikan merupakan antara perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW. Walau seikhlas mana pun niat untuk membantu, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan apa yang sudah diharamkan disisi Islam. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari ‘Imran bin Husain: “Bukan termasuk dalam golongan kami sesiapa yang beranggapan sial atau membenarkan orang yang beranggapan sial, atau sesiapa yang mendatangi tukang ramal atau membenarkan ucapannya, atau sesiapa yang melakukan perbuatan sihir atau membenarkannya.”

Kesan dari perbuatan mempercayai ramalan bomoh nujum dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Shahihnya bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang datang bertemu tukang tilik, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.” Manakala Imam Ahmad meriwayatkan dalam musnadnya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa mendatangi seorang dukun atau tukang tilik kemudian membenarkan apa yang ia katakan, maka ia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.”

ALAMAT DALAM MIMPI
Ada juga yang membuat ramalan berdasarkan mimpi yang dialami. Adakalanya mimpi itu sebagai petunjuk dan adakalanya mimpi itu sebagai mainan syaitan untuk memperdaya anak Adam. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dari Abi Sa’id bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apabila seseorang darimu melihat mimpi yang menggembirakannya maka hendaklah dia mengucapkan ‘alhamdulillah’ dan ceritakannya kepada orang yang lain. Dan sebaliknya apabila dia melihat mimpi yang mendukacitakannya, maka mimpi itu adalah dari syaitan, kerana itu hendaklah ia mengucapkan isti’azah dan jangan ceritakannya kepada orang lain kerana mimpi itu tidak mendatangkan mudarat kepada nya.”

Menurut Ibnu Sirin, tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu, namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan. Berkenaan mimpi yang dialami oleh beberapa orang individu tentang misteri kehilangan pesawat MH 370, boleh jadi ianya betul dan boleh jadi ianya salah. Ianya bergantung kepada bagaimana bentuk mimpi yang dialami.

MIMPI YANG BENAR
Mimpi yang benar adalah daripada Allah S.W.T. Ianya membawa kebaikan untuk seseorang itu dunia dan akhirat. Mimpi sebegini biasanya dalam bentuk misalan atau gambaran dan ia perlu dibuat penafsiran yang berhati-hati oleh orang-orang yang alim. Contoh gambaran dan misalan ialah apa yang berlaku kepada Nabi Yusuf a.s. Ketika remaja, baginda bermimpi melihat 11 buah bintang, bulan serta matahari melutut di hadapan baginda. Mimpi tersebut dalam bentuk gambaran sahaja dan ia telah ditafsirkan oleh bapanya, Nabi Yaakub. Begitu juga ketika dalam penjara. Baginda telah didatangi oleh dua orang banduan yang minta ditafsirkan mimpi mereka. Salah seorang diberi gambaran dalam mimpi bahawa dirinya sedang memerah arak manakala seorang lagi membawa sebakul roti di atas kepala dan burung-burung memakannya dari dalam bakul tersebut. Begitu juga dengan kisah raja Mesir yang telah meminta Nabi Yusuf mentafsirkan mimpinya melihat tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu kurus, dan tujuh tangkai gandum  yang elok dan tujuh lagi tangkai gandum yang kering. Kesemua mimpi tersebut berupa gambaran dan misal tentang sesuatu yang bakal berlaku.

Namun ada juga mimpi yang jelas dan terang seolah-olah ditayangkan filem tentang apa yang berlaku. Biasanya mimpi sebegini dialami oleh para Nabi dan Rasul sahaja. Contohnya mimpi Nabi Ibrahim yang melihat beliau menyembelih anaknya Nabi Ismail. Begitu juga mimpi Rasulullah SAW melihat Baginda dan para sahabat memasuki kota Mekah dalam keadaan berihram.

MIMPI YANG BATIL
Mimpi yang batil merupakan permainan syaitan. Biasanya mimpi jenis ini akan menimbulkan kesedihan dan kebimbangan kepada orang tersebut. Selalunya orang tersebut melihat mala petaka, kemalangan, musibah, kesedihan dalam mimpi berkenaan. Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Mimpi baik itu daripada Allah dan mimpi buruk itu daripada syaitan. Sekiranya salah seorang daripada kamu bermimpi buruk, ludahlah ke arah kiri tiga kali dan mintalah perlindungan kepada Allah. maka mimpinya tidak akan memberi apa-apa kesan.”

Justeru, sekiranya seseorang bermimpi melihat sesuatu yang mendukacitakan seperti pesawat terhempas atau krew dan penumpang pesawat ditawan, maka tidak perlulah dia menceritakan mimpi itu kerana ianya bakal menimbulkan kesedihan dan kerunsingan kepada banyak pihak.


MIMPI YANG TIADA MAKNA
Mimpi jenis ini berpunca dari keadaan persekitaran yang dialami oleh seseorang manusia. Apa yang diingini atau apa yang dialami pada waktu siang, kadang-kadang boleh terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mimpi jenis ini berkait rapat dengan keinginan nafsu dan kehidupan duniawi. Sebagai contoh, seseorang yang menaruh hati pada seseorang wanita akan sentiasa terkenang-kenang wanita itu hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Begitu juga seseorang yang menaruh imipian untuk memiliki kereta baru, pasti akan terfikir tentang kereta tersebut sehingga terbawa ke dalam mimpi. Mimpi seperti ini terjadi kerana pengaruh fikiran seseorang. Mimpi sebegini juga tidak perlu dihebah-hebahkan kerana ianya tidak membawa apa-apa kebaikan kepada orang lain.

MENEROPONG KUDRAT DAN IRADAT ALLAH
Apa yang berlaku dalam peristiwa kehilangan pesawat MH 370 memperlihatkan kuasa dan kehendak Allah SWT. Melalui peristiwa ini, terserlah kelemahan kita sebagai manusia yang berbangga dan bergantung kepada kecanggihan peralatan teknologi. Kita semua hanya akan dapat memandang kehebatan ilmu Allah SWT apabila kita merasai kelemahan dan bertemu jalan buntu. Sampai satu masa, kita semua akan menyerahkan diri bulat-bulat kepadaNya apabila semua kepakaran dan semua alatan canggih yang digunakan menemui kegagalan. Ketika itu, barulah datang pertolongan Allah SWT. Perkara ini telah terbukti dalam kegetiran peristiwa perang Badar yang dihadapi oleh tentera Islam. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 123: “Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

Merasa lemah dan tiada daya merupakan kunci kepada pertolongan Allah. Apabila kita berasa lemah, maka ketika itu terzahirlah sifat keagungan Allah SWT yang Maha Mengetahui. Allah menegaskan bahawa Dia Mengetahui segalanya. Bukan hanya kapal terbang bahkan daun yang jatuh di dalam hutan pun diketahuiNya. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 59: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang terang nyata.”

Penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah perlu disertai dengan taubat dari segala dosa dan menjauhi perkara-perkara yang syirik. Percampuran unsur-unsur tersebut akan menghijabkan doa yang dipinta. Mudah-mudahan Allah menerima doa dan membantu pasukan penyelamat untuk menemui noktah pencarian ini. #Remembering MH 370.