Selamat Datang
Friday, June 21, 2013
Wednesday, May 15, 2013
BENGKEL KAJIAN UNDANG-UNDANG SIHIR JAKIM-UMP
PERBINCANGAN Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama
Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini mencapai persetujuan
bagi mewujudkan satu undang-undang khusus mengenai jenayah sihir.
Keputusan dicapai melalui program muzakarah Kajian Undang-Undang
Sihir anjuran Jakim melalui Jabatan Penasihat Undang-Undang yang
diadakan di Hotel Eastin, Petaling Jaya, Selangor.
Justeru, pasukan kajian khas akan ditubuhkan bagi meneliti
undang-undang tersebut yang diketuai oleh Pensyarah Kanan UPM, Dr.
Mahyuddin Ismail yang juga merupakan penulis buku Ahli Sihir ke Tali Gantung.
Muzakarah selama tiga hari iaitu pada 28 hingga 30 April lalu itu
diadakan bertujuan untuk mendapatkan pandangan mengenai pengamalan sihir
di Malaysia dan pihak pelaksana yang terlibat secara langsung dalam
menangani kes-kes berkaitan amalan sihir.
Program yang dihadiri oleh pakar dalam bidang sihir tersebut turut
membincangkan mekanisme perundangan yang sesuai serta perkara-perkara
lain yang berkaitan dalam usaha untuk menghasilkan kajian yang
komprehensif bagi menangani isu berkaitan sihir.
Turut hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama negeri, Ahli Akademik,
wakil Kementerian Kesihatan, wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Jabatan
Kehakiman Syariah Malaysia, pengamal pengubatan Islam dan pengamal
undang-undang.
Sebanyak lapan tajuk kertas kerja serta satu perkongsian pengalaman
dibentangkan menerusi perbincangan tersebut, antaranya bertajuk Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Sihir di Malaysia oleh Dr. Mahyuddin, Amalan Sihir Masyarakat Melayu oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Ahli Jawatan Kuasa Fatwa, Datuk Dr. Amran Kasimin dan Amalan Sihir Sebagai Satu Kesalahan: Pandangan dan Pengalaman Pengamal Undang-Undang disampaikan oleh, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130515/ba_02/Capai-persetujuan#ixzz2TQWPcWXX
© Utusan Melayu (M) Bhd
BATU DIGORENG, PENCURI KEPANASAN- RAWATAN JARAK JAUH
BATU
DIGORENG, PENCURI KEPANASAN
RENCANA MAJALAH AL-ISLAM FEBRUARI 2013
Suatu masa, tangan saya pernah terseliuh. Apabila dibawa berjumpa seorang bomoh patah,
dia hanya mengukur lengan saya dengan sebatang lidi kelapa dan menyuruh saya
pulang. Dia berpesan, jika terasa sesuatu mengurut lengan saya pada
malam nanti, itu adalah sebahagian
proses rawatan. Pada waktu itu, saya
baru berusia 15 tahun dan belum memahami kaedah rawatan yang digunakan. Namun,
lama-kelamaan baru saya sedar tentang kaedah rawatan jarak jauh.
Hari ini,
muncul pelbagai kaedah rawatan jarak jauh. Hanya bank-in duit, SMSkan nama,
nombor telefon, hajat anda akan diusahakan. Jika para pembaca google perkataan
‘rawatan jarak jauh’, berlambak-lambak perkhidmatan sebegini ditawarkan melalui
internet. Bukan sahaja orang Melayu, bangsa lain termasuk orang barat yang
bukan beragama Islam juga mengamalkan kaedah ini.
Bila ada yang
menelefon saya minta dirawat atau didiagnos dari jarak jauh, maka saya rasa
terpanggil untuk menghuraikan permasalahan ini. Mudah-mudahan kita semua
dilindung oleh Allah dari melakukan perbuatan yang menyalahi syariat Allah SWT
dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
DIAGNOS
PENYAKIT DARI JARAK JAUH
Bagi mereka
yang sukar bertemu perawat, perkhidmatan diagnos (atau lebih popular dengan
istilah scan) dari jauh disediakan. Pesakit tidak perlu hadir bertemu
perawat. Memadai hanya melalui telefon atau SMS nama pesakit, nama ibu dan
tarikh lahir. Segalanya dilakukan secara on-line. Perawat akan meneliti nama
pesakit dan angka-angka yang diberi untuk menentukan jenis dan punca penyakit. Kaedah
diagnos sebegini merupakan sebahagian amalan menilik yang dilarang dalam Islam.
Kaedah ini sama sahaja dengan apa yang dilakukan pada zaman jahiliyyah di mana dukun
dan pawang hanya memerlukan nama pesakit dan nama ibunya serta tarikh lahir
untuk ditilik. Nabi SAW melarang perbuatan ini dengan sabdanya: “Barangsiapa
yang datang berjumpa bomoh dan tukang tilik, segala amal ibadah solatnya tidak
akan diterima selama 40 malam”.
Seseorang yang
mempunyai kebolehan menilik sebenarnya dikurniakan kasyaf. Kasyaf ialah suatu
keadaan seseorang itu dibukakan hijab pandangan matanya sehingga dapat melihat
sesuatu yang ghaib, yang tiada di hadapannya. Walau bagaimanapun, kita perlu
ingat bahawa kasyaf ini boleh jadi kurniaan dari Allah dan boleh jadi dari tipu
daya syaitan. Cara paling mudah untuk membezakannya ialah dengan melihat
kekerapan kejadiannya. Kasyaf yang dikurniakan Allah hanya berlaku sekali
sekala dan tidak boleh ditentukan. Ianya datang secara mengejut dan tidak boleh
diprogramkan.
Sebagai contoh,
Saidina Umar sendiri pernah dikurniakan kasyaf, dibukakan hijab pandangan
sehingga dapat melihat pasukan tentera Islam yang diketuai sahabat bernama Sariyah
dalam bahaya. Saat tersebut berlaku ketika Umar sedang menyampaikan khutbah di
Madinah sedangkan Sariyah dan tenteranya berada di Dakhistan yang jaraknya beratus
kilometer dari ibu kota tersebut. Perkara itu berlaku hanya sekali sahaja dan
tanpa diprogramkan oleh Umar. Manakala pada malam beliau dibunuh, orang yang
menikamnya iaitu Abu Lu’luah hanya berada beberapa kaki di belakangnya sahaja. Sekiranya
kasyaf itu boleh diprogramkan, maka sudah tentu Umar dapat melihat tindakan Abu
Lu’luah itu. Oleh sebab itu, para ulama mengatakan bahawa terbukanya hijab
sehingga dapat melihat perkara-perkara ghaib merupakan sebahagian karamah. Ianya
terjadi mengikut kehendak Allah dan tidak boleh diatur mengikut kehendak kita.
Kasyaf syaitan dan jin pula boleh diatur mengikut
kehendak kita. Sebab itu, orang yang mendakwa boleh melakukan tilikan atau
melihat sesuatu yang ghaib, maka mereka perlu berhati-hati kerana kemungkinan iaya
adalah tipu daya syaitan. Ia bukanlah deria keenam atau kebolehan istimewa. Ketika
Nabi Muhammad SAW disihir oleh Labid al-A’sam, baginda sendiri tidak menyedari
bahawa baginda disihir sehingga dimaklumkan oleh para malaikat. Sekiranya Nabi
SAW dan para sahabat boleh mengetahui perkara ghaib melalui tilikan, maka sudah
tentu Nabi SAW dapat mengelakkanya. Firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat
188: “Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat
bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah;
dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan
mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan
(tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh
Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita
gembira bagi orang-orang yang beriman.”
RAWATAN JARAK JAUH
Selain scan, ada juga perawat yang menyediakan
perkhidmatan merawat penyakit dari jarak jauh. Antara yang paling popular ialah
membuang saka dari jarak jauh atau menghapus sihir dengan mengambil barang
sihir dari jauh. Pesakit hanya perlu berada di rumah dan melakukan beberapa
perkara seperti yang diarahkan perawat. Sesetengah perawat meminta pesakit
membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran ketika rawatan untuk menampakkan
ciri Islamik.
Sekiranya
diteliti kisah Nabi SAW disihir oleh Labid al-A’sam, baginda sendiri
memerintahkan para sahabat agar pergi ke telaga Za’rawan dan menyuruh mereka
meleraikan ikatan sihir tersebut. Tidak ada riwayat mengatakan nabi menyuruh
mana-mana malaikat mengambilnya secara ghaib. Kisah ini memberi panduan kepada
para perawat akan selok-belok perubatan Islam yang sebenar.
Ada juga perawat
yang menyediakan khidmat ‘memulangkan semula’ sihir kepada pembuatnya. Mereka menggunakan
objek tertentu seperti keris, serban, sejadah dan seumpamanya untuk menghukum diri
penyihir yang melakukan sihir terhadap pesakitnya. Beberapa potong ayat
al-Quran dibaca dan dihembus kepada objek tersebut. Serban atau sejadah ini
dipukulkan pada tubuh pesakit dengan niat memindahkan kesakitan pukulan kepada
penyihir. Dengan kaedah ini, mereka yakin penyihir akan merasa sakit terkena
pukulan atau tikaman.
Dalam hadis tentang
kisah Nabi SAW disihir oleh Labid al-A’sam, Aisyah bertanya kepada baginda mengapa
bahan-bahan sihir yang ditemui dalam telaga Za’rawan tidak dibakar,
mudah-mudahan si penyihir tersebut merasai kesakitan. Jawab Nabi SAW: “Allah telah menyembuhkan aku. Aku tidak
suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain”. Itulah
uswah contoh terbaik yang perlu diteladani oleh para perawat Islam. Tidak perlu
membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan.
MENGHUKUM DAN
MEMUKUL DARI JARAK JAUH
Islam juga
melarang para perawat menghukum seseorang yang melakukan kejahatan dengan
menggunakan kaedah yang tiada dalam sunnah. Sebagai contoh, dalam kes kecurian,
ada pengamal yang mensyaratkan mangsa merebus telur yang telah dilukiskan wajah
pencuri. Menurut pengamal ini, selagi mangsa tidak memulangkan barang tersebut,
selagi itu dia akan berasa panas. Selain telur, ada juga pengamal yang
mensyaratkan mangsa supaya menggoreng batu sambil membaca ayat ke 16 surah
Luqman sebanyak 116 kali. Memang ada ulama yang memberi panduan agar membaca
ayat tersebut, mudah-mudahan Allah mengembalikan semula barang tersebut. Yang
menjadi khurafatnya ialah apabila ayat tersebut mesti dibaca sambil menggoreng
batu dengan niat pencuri tersebut akan kepanasan. Kaedah menggoreng adalah
amalan yang diajar oleh pawang dan bomoh. Contoh amalan sedemikian merupakan
percampuran antara kaedah perubatan Islam dan amalan-amalan khurafat.
Ilmu pertahanan
diri turut diresapi penggunaan unsur ghaib dan mistik seperti jurus kebatinan.
Di Malaysia, pertubuhan seperti persaudaraan al-Maunah, Nasrul haq, penjuru 13
dan seumpamanya mengajar pengamalnya teknik pukulan dan jurus jarak jauh. Ada
pengamalnya yang mendakwa bahawa ianya pernah digunakan oleh para sahabat. Lalu
dinamakan jurus Saidina Umar dan Silat Saidina Ali. Agak melucukan kerana para
sahabat tidak pernah mengasaskan mana-mana persilatan. Apabila pergi berperang,
para sahabat akan berdepan secara bersemuka dengan musuh, bukannya menggunakan
jurus sebagaimana yang didakwa. Mereka meminta Nabi SAW mendoakan agar mereka
beroleh syahid. Jadi, tidak mungkin ada antara mereka yang menggunakan jurus
dari jarak jauh untuk berperang dengan tentera musuh.
MENGAMBIL
BARANG GHAIB DARI JARAK JAUH
Masyarakat
Islam di Malaysia turut digembar-gemburkan dengan kebolehan perawat mengambil
barang dari jauh, atau barang dari alam ghaib, atau menarik duit dan harta
karun. Perkara ini juga merupakan sebahagian dari tipu daya syaitan terhadap
manusia. Sebenarnya, kebolehan mengambil batu permata dari perut bumi, mutiara
dari lautan, objek-objek tertentu seperti singgahsana, keris dan sebagainya
merupakan salah satu kebolehan yang dimiliki oleh para jin. Fakta ini sudah
dinyatakan secara jelas dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. khususnya dalam ayat 12
surah Saba. Oleh itu, sekiranya ada perawat yang mempunyai kebolehan membawa
sesuatu dari alam ghaib atau sesuatu yang berada jauh dari kita, janganlah kita
merasa takjub dan hairan. Itu semua adalah tipu daya syaitan agar kita mempercayai
kehebatan perawat tanpa menyedari ia
didalangi syaitan.
ISLAM DAN
KAEDAH PERUBATAN JARAK JAUH
Islam telah
menyediakan panduan kepada penganutnya dalam soal halal dan haram. Sebagaimana
yang kita maklum, sumber pengambilan hukum syariat perlu berdasarkan sumber
utama yang disepakati iaitu Al-Quran, As-Sunnah, Al-Ijma dan Al-Qiyas. Dalam
perubatan Islam, prinsip yang sama perlu diguna pakai. Segala kaedah dan bahan
yang digunakan perlu mempunyai sandaran nas-nas atau pendapat ulama. Hari ini,
ramai perawat yang memakai title ustaz, ustazah dan perawat Islam tetapi
masih menggunakan kaedah perubatan jahiliyyah. Sesetengah mangsa terpedaya
kerana mereka menggunakan ayat Al Quran.
Perbuatan
menemui perawat yang mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti punca penyakit
melalui ramalan, tilikan, imbasan (scan), ilham dan lain-lain unsur
mistik boleh menjerumuskan kita ke dalam tipu daya syaitan. Ini kerana
berita-berita ghaib yang disampaikan oleh mereka adalah bersumber dari syaitan
dan jin yang dijadikan khadam atau sahabat. Firman Allah Taala dalam surah
As-Syu’ara ayat 221-223: ”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah
syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta
yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh
syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”
Melalui
tilikan, perawat mendakwa pesakit terkena buatan orang, dimandrem,
terkena ilmu hitam, terkena guna-guna, santau angin dan sebagainya. Kepercayaan
kepada dakwaan sedemikian mengundang pelbagai kesan negatif dan ianya perlu dihindari.
Sebagai seorang Islam, kita wajar menyiasat dahulu adakah dakwaan sedemikian
benar. Perbuatan menuduh seseorang melakukan perbuatan mensyirikkan Allah
(iaitu sihir dan ilmu hitam) boleh menjejaskan akidah sekiranya tuduhan
tersebut tidak benar. Allah SWT telah mengingatkan kita akan bahaya mempercayai
berita, cerita, perkhabaran, telahan, ramalan atau tuduhan yang dilakukan oleh
orang fasik. FirmanNya dalam surah Al Hujurat ayat 6: ”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang
kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk
menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan
perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
MISTERI KEHILANGAN BAYI DALAM KANDUNGAN
MISTERI KEHILANGAN BAYI DALAM KANDUNGAN
RENCANA MAJALAH AL ISLAM JANUARI 2013
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
RENCANA MAJALAH AL ISLAM JANUARI 2013
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
FENOMENA BAYI HILANG
Para pembaca pasti pernah menonton filem alien yang mengisahkan makhluk asing menggunakan rahim manusia sebagai tempat untuk meletakkan benih dan kandungan mereka. Sampai masanya, alien itu akan datang mengambil anaknya. Dalam alam realiti pula, fenomena bayi hilang dari kandungan manusia juga selalu diperkatakan. Kejadian ini menimbulkan tanda tanya kerana doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan kewujudan bayi tersebut dan perkembangan kandungannya direkodkan. Beberapa kes bayi hilang dalam kandungan pernah dilaporkan dalam rencana televisyen dan majalah di Malaysia sekitar tahun 2008. Persoalannya, ke mana menghilangnya bayi dalam kandungan? Adakah benar dakwaan bahawa bayi tersebut adalah makhluk halus yang menumpang rahim manusia?
PENDAPAT PAKAR PERUBATAN
Dalam perubatan alopati, kes ini dikenali sebagai pseudosiesis atau phantom pregnancy. Ianya berlaku kepada seseorang wanita yang terlalu percaya atau mengharapkan kehamilan sehingga menyebabkan tubuhnya menghasilkan hormon yang menyebabkan perubahan-perubahan tertentu pada mental dan fizikal yang menyamai ciri-ciri wanita hamil. Tidak kurang juga ada pengamal perubatan moden yang skeptikal dan menganggap cerita kehilangan kandungan itu sebagai karut dan wanita itu sengaja mengada-adakan cerita kehamilannya. Walau bagaimanapun, anggapan seperti ini disanggah oleh bukti kewujudan imej fizikal bayi dan denyut jantungnya melalui pemeriksaan menggunakan mesin imbasan ultra sound sebelum kehilangannya. Sesetengah ibu ini masih menyimpan imej-imej tersebut sebagai pengubat rindu terhadap bayi mereka yang telah hilang. Adakah mesin pengimbasan ultra sound juga tersilap?
SIMPTOM YANG DIALAMI
Melalui pemerhatian terhadap kejadian-kejadian ini, kebanyakan wanita yang mengalami kehilangan misteri ini mengalami simptom yang hampir sama ketika mengandungkan anak tersebut. Antaranya ialah mimpi didatangi oleh seseorang (biasanya wanita tua) yang minta kebenaran untuk mengambil dan memelihara anaknya yang bakal lahir. Biasanya ianya berlaku ketika kandungan mencapai usia matang. Ada juga yang mimpi bersalin dan dibidankan oleh orang-orang yang tidak dikenali. Apabila tersedar dari mimpi, perut wanita tersebut akan menjadi kempis dan ada darah keluar seolah-olah baru lepas bersalin.
Ada juga wanita yang bermimpi didatangi seseorang yang memberi amaran bahawa anak tersebut bukan anak mereka. Mimpi sebegini biasa dialami mereka di awal tempoh mengandung. Ianya berlaku sekali atau beberapa kali. Selain itu, mereka juga mengalami alahan yang teruk dan mengidam makanan yang pelik-pelik. Ada juga wanita yang bermimpi melihat makhluk hodoh atau lembaga hitam yang mengambil kandungan mereka secara kasar. Biasanya, jika ini yang dialami, bayi tersebut sama ada akan meninggal dalam kandungan atau wanita tersebut mengalami keguguran.

PANDANGAN ISLAM
Untuk menghurai misteri kehilangan bayi dalam kandungan, sama-sama kita hayati firman Allah dalam Surah Al-Hajj ayat 5: “...dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya…”. Justeru, apabila berdepan dengan kejadian bayi hilang, maka perlu diyakini bahawa semua itu adalah ketentuan Allah. Dia berkuasa mencipta sesuatu dan memusnahkannya, mewujudkan sesuatu dan menghilangkannya.
Allah SWT juga telah mengingatkan manusia tentang dendam iblis kepada Adam dan keturunannya melalui ayat 16-17 surah Al A’raf: “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur.” Iblis sudah berjanji akan menganggu dan merosakkan keturunan Adam. Antara cara yang digunakan ialah memasuki tubuh manusia melalui salur darah. Ia akan menyerang organ-organ yang mempunyai salur darah yang banyak seperti otak, hati dan tidak ketinggalan rahim wanita. Ia akan menganggu sistem kitaran haid, menyebabkan kesakitan dan pendarahan. Imam Abu Daud meriwayatkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi tentang keadaan beliau yang mengalami haid melebihi 15 hari. Rasulullah SAW bersabda bahawa itu adalah darah istihazah dan ia berpunca dari gangguan berupa sepak terajang syaitan di dalam rahim.
Berkenaan kemampuan makhluk jin untuk mengambil bayi dalam kandungan, perkara ini bukan suatu yang mustahil. Dalam surah An-Naml ayat 38-39, Allah SWT telah menyatakan kebolehan jin untuk mengambil sesuatu yang ghaib melalui dialog antara Nabi Sulaiman a.s. dan menteri-menterinya: ”Sulaiman berkata: “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya (Balqis) sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkata ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah.
Begitu juga kemampuan jin untuk menimbulkan kemudaratan kepada manusia termasuk bayi. Ada yang boleh membunuh dan juga mencacatkan bayi dalam kandungan kerana dendam atau marah dengan perbuatan manusia yang menyakiti mereka. Ini dapat dilihat dalam satu peristiwa yang berlaku kepada seorang pemuda di zaman Rasulullah SAW. Beliau yang baru berkahwin meminta keizinan dari Rasulullah SAW untuk balik dari medan perang Khandak. Apabila sampai di rumah, isterinya memberitahu ada seekor ular masuk ke dalam rumahnya. Pemuda ini lantas membunuh ular tersebut. Dengan tidak semena-mena, pemuda ini menggelupur dan terus meninggal. Apabila Rasulullah SAW diberitahu kejadian ini, maka Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya di Madinah ini terdapat jin-jin yang telah memeluk Islam. Maka, apabila kamu melihat sesuatu daripada mereka (dalam bentuk ular), hendaklah kamu memberi amaran selama tiga hari. Jika ternyata kepada kamu selepas itu (bahawa ular yang berada dalam rumah kamu itu sememangnya ular), maka hendaklah kamu membunuhnya. Sesungguhnya itu adalah syaitan”. Peristiwa di atas menunjukkan bahawa jin mampu membalas perbuatan manusia yang menyakitinya dengan mengenakan kesakitan kepada pembuatnya atau zuriatnya. Mungkin inilah yang dikatakan orang sebagai ’kenan’.
Rasulullah SAW juga pernah bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari: “Bunuhlah Zu-Sufyatain, kerana dia dapat membutakan mata dan menggugurkan janin.” Menurut Ibnu ‘Abdil Barr, Zu-Sufyatain adalah jenis ular yang mempunyai dua garis putih di belakangnya dan ia adalah sejenis bangsa jin.
PUNCA
Punca berlakunya kejadian bayi hilang dalam kandungan secara misteri ini boleh dibahagikan kepada beberapa sebab.
1) Perjanjian dengan makhluk halusAntara perkara yang menjadi syarat untuk berdamping dengan makhluk jin dan syaitan ialah menyediakan korban dari haiwan seperti kambing atau ayam atau apa-apa jamuan. Pengamal-pengamal ilmu khurafat ini yang tidak sedar bahawa perbuatan ini akan menjerumuskan keturunannya kepada kebinasaan. Setelah beliau meninggal, tiada siapa tahu bahawa jin yang didampingi itu perlu disediakan korban. Jin saka ini akan melakukan pelbagai kejahatan dan kerosakan kepada anak cucu tuannya. Adakalanya ia menjelma menjadi tuannya dan tidur bersama isteri tuannya. Ada yang menjelma dalam rupa hodoh yang menakutkan anak cucu tuannya. Tidak kurang juga yang menjelma dalam mimpi dan minta bayi yang dikandung oleh anak cucu tuannya.
2) Amalan khurafat ibu bapa bayi
Ada dikalangan ibu atau bapa kepada bayi yang dikandung itu beramal dengan amalan-amalan khurafat seperti memakai susuk, ilmu syarat tubuh, ilmu pengasih, ilmu seri muka, ilmu gagah, ilmu kebal, ilmu kuat dan sebagainya. Ilmu-ilmu sebegini boleh menyebabkan kehadiran jin dan syaitan itu sebagai qarin berdasarkan firman Allah dalam FirmanNya dalam surah Az Zukhruf ayat 36-37: ”Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu qarinnya (temannya yang tidak renggang daripadanya).” Apabila sudah menjadi qarin, maka ia akan melakukan kerosakan kepada manusia yang didampinginya.
3) Diurut oleh seseorang yang memakai khadam
Sesetengah wanita gemar mendapatkan khidmat tukang urut ketika mengandung. Dari aspek kesihatan, perkara ini tidak salah. Namun, sebelum mendapatkan khidmat urutan, kita perlu selidiki latar belakang amalan tukang urut tersebut. Ini kerana terdapat sebilangan tukang urut yang menggunakan bantuan khadam dari kalangan jin ketika mengurut. Jika ini berlaku, maka jin-jin yang menjadi khadam ini akan masuk ke tubuh wanita ini melalui liang-liang roma dan meresap ke dalam saluran darah. Sekiranya kita ketahui tukang urut mempunyai kemahiran mengesan urat saraf berdasarkan pengalaman beliau, tanpa melibatkan apa pertolongan makhluk halus, maka itu tidak mengapa.
4) Melakukan sesuatu yang menyakiti makhluk tersebut
Orang tua selalu berpesan kepada anak atau menantu mereka yang sedang mengandung agar tidak menyakiti haiwan, kerana dibimbangi terkena ’kenan’. Pesan ini ada benarnya kerana adakalanya jin ini menjelma dalam bentuk haiwan. Apabila ia disakiti, maka ia akan membalas dendam atas perbuatan manusia itu. Mungkin kemarahan itu akan dilampiaskan kepada bayi yang dikandung itu. Adakalanya, keluarga jin tersebut menuntut bela atas kematian ahli keluarganya dengan menjadikan bayi yang dikandung itu sebagai gantinya.

CARA MENGHINDARI GANGGUAN SYAITAN DAN JIN TERHADAP BAYI
Umat Islam perlu menghindari segala amalan yang boleh menyebabkan kehadiran makhluk jin dan syaitan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya. Rasulullah SAW juga ada menunjukkan beberapa panduan. Antaranya ialah:
1) Menghapuskan pintu-pintu kedatangan jin dan syaitan
Sekiranya kehilangan bayi berlaku dalam keluarga, maka kita perlu selidik sama ada ianya mempunyai kaitan dengan amalan khurafat dalam keturunan kita atau ilmu kebatinan yang kita sendiri amalkan. Sekiranya gangguan dipercayai ada kaitan dengan keturunan, maka barang-barang yang diwariskan oleh mereka seperti senjata, barang perhiasan atau barang kemas perlu dimusnahkan. Kebiasannya, barang-barang itu turut dijaga oleh makhluk tersebut selepas kematian tuannya. Sekiranya kita beramal dengan ilmu-ilmu khurafat, maka ia perlu dihentikan dan kita perlu bertaubat. Sekiranya kita ada menyimpan atau memakai tangkal dan azimat, maka ianya perlu dibakar. Mudah-mudahan jin dan syaitan tidak dapat memasuki urusan hidup kita.
2) Membaca Bismillah pada setiap perbuatan
Allah menyuruh agar hambaNya mengingatiNya dalam setiap perbuatan. Orang yang sentiasa ingat Allah akan dijauhi dari gangguan jin dan syaitan. Sekiranya kita tidak mampu mengingati Allah sepanjang masa, maka memadai dengan mengingatiNya dengan menyebut Bismillah di awal perbuatan. Bacaan Bismillah yang disertai dengan sepenuh penghayatan terhadap sifat keagungan dan kesempurnaan Allah dapat menghalang syaitan dari menyertai kehidupan kita. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.”
3) Memohon Perlindungan Allah dari kejahatan makhluk
Allah SWT sendiri memberi peringatan khas kepada umat Islam agar sentiasa berdoa memohon perlindungan dari segala kejahatan melalui firmanNya dalam surah al-Falaq. Rasulullah SAW sendiri mengajar umatnya agar membaca doa ketika hendak bersetubuh: “Ya Allah, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang Engkau akan kurniakan kepada kami (berupa zuriat yang lahir dari persetubuhan ini)”. Mudah-mudahan dengan berkat doa tersebut, maka Allah akan lindungi zuriat kita dari bencana. Bagi ibu yang mengandung, lazimkan bacaan surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Mudah-mudahan syaitan dan jin tidak dapat masuk untuk menganggu kandungan. Selain itu, cara yang paling mudah untuk memohon perlindungan dari kejahatan makhluk ialah dengan banyak bertahlil. Dalam satu hadis Qudsi, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman: “Sesiapa yang menyebut La Ilaha Illallah, maka sesungguhnya dia telah masuk ke dalam benteng Aku. Sesiapa yang memasuki benteng Aku, maka nescaya dia akan selamat dari azab kebinasaan.”
4) Berakhlak baik dengan makhluk Allah yang lain
Dalam peristiwa pemuda yang dibunuh jin di atas, Rasulullah SAW menyedarkan kita bahawa dunia ini turut dihuni oleh makhluk lain. Baginda SAW menyeru agar umatnya berhati-hati dalam setiap pekerjaan. Jika terserempak dengan ular di dalam rumah, maka lakukanlah apa yang telah disarankan Baginda SAW.
Sebagai kesimpulan, pasangan yang menanti kelahiran bayi perlu memohon perlindungan Allah untuk diri, bayi dan keluarga melalui solat taubat, solat hajat, berdoa dan bertahlil. Kita juga perlu mengisi waktu terutamanya waktu malam dengan amalan-amalan yang boleh mengundang rahmat dan keredhaan Allah seperti bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan seumpamanya. Sekiranya rumah kita dipenuhi dengan lagu-lagu yang melalaikan, atau filem-filem yang mengandungi unsur khurafat dan tercela, atau aktiviti-aktiviti yang dimurkai Allah, maka jin dan syaitan mudah masuk dan melakukan kerosakan.
Friday, December 21, 2012
BOLEHKAH PAKAI TANGKAL DAN AZIMAT DARI AYAT AL-QURAN?
BOLEHKAH PAKAI TANGKAL DAN AZIMAT DARI AYAT AL-QURAN?
Dr.
Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan, Jabatan
Sains Kemanusiaan, UMP
PENGENALAN
Manusia sering mencari
sesuatu yang boleh dijadikan sebagai perlindungan untuk diri, keluarga dan
harta benda. Ada yang melakukan dengan cara yang bersesuaian dengan hukum alam
seperti menyediakan senjata untuk pertahanan diri, membina tembok pagar untuk
melindungi harta benda dan seumpamanya. Ada juga yang mengambil jalan yang luar
dari kebiasaan. Mereka menggunakan azimat dan tangkal yang dipakai pada tubuh
atau disimpan dalam beg sebagai satu kaedah melindungi diri dari serangan jin, syaitan dan penyakit, mengelakkan kecelakaan,
menjadikan orang gerun atau kasih padanya.
Sesetengahnya
pula menggantung tangkal pada rumah kediaman, kedai dan juga kenderaan bagi
tujuan menjaga keselamatan premis dan kenderaan dari sebarang musibah atau
kemalangan. Ada yang menanam paku, tahi besi, serbuk emas, telur itik, telur
angsa, cabang buluh, daun berduri, kemenyan, botol berisi kacang hijau dan seumpamanya di empat penjuru rumah, dalam pasu bunga,
depan pintu, dekat pagar; atau menampal ayat-ayat dan rajah azimat, wafaq,
ta’wiz, di dinding rumah; atau mengantung cebisan kelambu kaabah, Quran kecil,
kulit kijang putih, atau menyimpan keris berpuja, cincin azimat, batu geliga, susuk, batu serai, bunga serai, ibu duit, wafaq, kayu
kokka dan batu petir.
SEJARAH PENGGUNAAN TANGKAL DAN AZIMAT
Penggunaan tangkal dan azimat sudah lama bertapak
dalam kehidupan manusia. Catatan sejarah tamadun Mesir Kuno menunjukkan hampir
semua penduduk ketika itu memakai tangkal dan azimat. Tentera Parsi juga dikhabarkan melukis rajah dan simbol sihir pada bendera dan panji yang digunakan dalam peperangan. Menurut William Shaw
dalam bukunya Aspects of Malaysian Magic, tangkal dan azimat kebal juga digunakan
dalam peperangan menentang Portugis semasa zaman kesultanan Melayu Melaka.
Pada zaman
moden ini, penggunaan tangkal dan azimat masih lagi berleluasa. Ada yang
menggunakannya untuk kepentingan diri dan ada yang menggunakannya untuk tujuan
jenayah. Kes rompakan yang dilakukan oleh Geng Ipol dan juga Geng Pak Ee adalah
antara contoh kumpulan penjenayah yang menggunakan tangkal kebal ketika
melakukan rompakan. Dalam bidang perubatan
tradisional pula, penggunaan tangkal dan azimat
yang dihasilkan oleh pawang, bomoh dan dukun begitu meluas diamalkan. Terdapat
juga individu yang bergelar ustaz atau ustazah, pak haji, tuan guru dan kiyai
terlibat juga dalam kegiatan membuat tangkal azimat. Untuk meyakinkan orang ramai,
mereka mendakwa yang mereka buat itu bukan tangkal azimat tetapi ta’wiz,
wafa’, istighathah, isti’anah yang menggunakan ayat al-Quran.
TANGKAL MENGGUNAKAN AYAT-AYAT AL-QURAN
Amalan memakai tangkal dan
azimat masih lagi diamalkan oleh sebahagian masyarakat Melayu-Islam di
Malaysia. Kebanyakan mereka tahu hukum memakai tangkal adalah haram dan boleh
membawa kepada syirik. Namun, oleh kerana tangkal itu mengandungi potongan
ayat-ayat Al-Quran dan huruf-huruf hijaiyyah, mereka merasakan ianya harus dan
dibolehkan. Perkara ini
terbukti apabila ada di kalangan perawat yang mencampur adukkan ayat Al-Quran
dengan simbol-simbol yang tidak diketahui makna dan asalnya. Sebagai contoh,
rajah 1 menunjukkan tangkal penunduk dan pembungkam. Ia dihasilkan dengan ayat
134 dari surah Al-Baqarah yang ditulis di bawah simbol-simbol yang tidak
diketahui maknanya selain salah ejaan pada ayat terakhir ( يعملونditulis يعمل ن).

Rajah 1: Tangkal Pembungkam
Rajah 2 pula menunjukkan tangkal kebal yang
digunakan dalam peperangan dan pertempuran. Selain itu, ia digunakan bagi
menundukkan orang atasan dan majikan. Antara ayat yang ditulis pada rajah ini
ialah ayat 89 surah Al-Anbiya. Kebanyakan ayat yang terdapat dalam tangkal ini
ditulis secara salah sama ada tertinggal huruf atau dieja salah selain
penggunaan huruf dan nombor yang tidak difahami maksudnya. Lagipun, jika benar
ianya boleh menjadikan tubuh kebal, sudah pasti Rasulullah SAW memakaikannya
kepada para pahlawan Islam yang berperang.
Rajah 2: Tangkal
Kebal Perang
Penggunaan ayat-ayat Al-Quran dengan cara yang berlawanan dengan tujuan
ia diturunkan sebenarnya sangat bahaya. Allah akan jadikan syaitan sebagai
qarin (pendamping) yang akan menyesatkannya dari jalan yang sebenar. FirmanNya
dalam surah Az Zukhruf ayat
36-38: Dan sesiapa yang tidak
mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha
Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya),
lalu jadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya”. Oleh itu, boleh dikatakan bahawa kesan luarbiasa yang
timbul dari pemakaian tangkal dan azimat yang diperbuat dari ayat Al-Quran
adalah berpunca dari peranan syaitan yang menjadi qarin pendamping pemakainya. Dari
satu sudut yang lain, perbuatan mencampur adukkan ayat Al-Quran dengan simbol
lain sehingga menghilangkan susunan ayat, maksud ayat dan tujuan diturunkan
merupakan salah satu syarat untuk beramal dengan ilmu sihir.
TANGKAL MENGGUNAKAN HURUF-HURUF
HIJAIYYAH DAN NOMBOR
Sesetengah pemakai tangkal percaya bahawa
huruf-huruf hijaiyyah dan nombor-nombor tertentu mengandungi khasiat-khasiat istimewa
dan boleh memberi manafaat kepada pemakainya. Oleh yang demikian, maka
timbullah pelbagai tangkal dan azimat yang mengandungi pelbagai simbol dan
nombor-nombor yang tidak difahami. Antara tangkal yang terkenal ialah tangkal Beduh
seperti di Rajah 3. Tangkal ini terkenal di kalangan peniaga sebagai tangkal
untuk melindungi perniagaan dari sebarang perbuatan musuh. Tangkal tersebut
mengandungi 4 huruf utama iaitu ح, و, د, ب di penjuru bucu rajah yang dijuga ditulis dalam bentuk nombor seperti Rajah
4.
د
|
ط
|
ب
|
٤
|
٩
|
۲
|
|
ج
|
ه
|
ز
|
٣
|
٥
|
٧
|
|
ح
|
ا
|
و
|
٨
|
۱
|
٦
|
Rajah 3: Tangkal Beduh Rajah 4: Tangkal Beduh dalam nombor
Namun ramai pemakainya tidak mengetahui asal
tangkal ini. Menurut K.H. Ali Uthman, Beduh ini adalah nama seorang pedagang Arab
dari Hijaz. Beliau merupakan seorang yang jujur lagi bertaqwa. Atas
kesolehannya ini, beliau dikurniakan satu kelebihan (karamah) iaitu barang
perniagaannya sentiasa selamat dan tidak pernah hilang atau dirompak dalam
perjalanan. Setelah beliau meninggal
dunia, ramai yang menulis nama beliau atau angka nilaiannya (seperti Rajah 4)
pada barangan dan ternyata barangan mereka selamat. Perkara ini berterusan dan
akhirnya ianya dijadikan tangkal keselamatan dan pengasih oleh orang-orang
jahil. Hal ini sangat bertentangan dengan sifat dan sikap sebenar Beduh yang
menyakini bahawa hanya
Allah sebaik-baik pelindung dan penjaga.
Hal yang sama juga dapat dilihat pada tangkal di rajah
5 dan rajah 6 yang digunakan untuk menundukkan orang dan melindungi pemakainya
dari sebarang bala bencana. Tangkal di Rajah 5 menggunakan ayat 73 dari surah
al-An’am yang bermaksud: ”FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa
pemerintahan” selain nama empat malaikat iaitu Jibril,
Mikail, Israfil dan Izrail yang kononnya menjadi penjaga kepada pemakainya. Agak
menghairankan kerana malaikat terpaksa bertugas sebagai pengawal keselamatan
kepada pemakainya. Tangkal di Rajah 6 pula mengandungi huruf-huruf dari bahasa
Ibrani dan Suryani yang dicampur adukkan dengan huruf hijaiyyah dan perkataan على dan عظيم yang
dipercayai diambil dari potongan ayat 255 dari surah Al-Baqarah. Kedua-dua rajah jelas
menunjukkan percampuran antara ayat suci Al-Quran, simbol dan huruf yang tidak
dapat dimengertikan makna dan maksudnya. Perbuatan ini boleh mencemarkan kesucian
Al-Quran itu sendiri.
Rajah
5: Tangkal Pelindung Rajah 6:
Tangkal Pelindung
HUKUM MEMAKAI TANGKAL DAN AZIMAT
Umat Islam secara umumnya menerima bahawa pemakaian tangkal
dan azimat adalah haram disisi Islam dan boleh membawa kepada perbuatan mensyirikkan
Allah SWT. Ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu
Mas’ud: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu syirik.”
Namun, para ulama berbeza pendapat tentang hukum
menggantungkan azimat dan tangkal yang mengandungi nama-nama Allah dan
sifatNya, ayat-ayat al-Quran dan doa-doa yang ma’thur. Saidatina A’isyah, Imam
Malik dan sebahagian ulama mazhab Syafie mengharuskannya dengan hujah bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh Abdullah
Ibn Amr yang pernah menulis satu doa dan digantung dileher anaknya yang masih
belum baligh. Menurut mereka, yang diharamkan hanyalah tangkal
dan azimat yang selain dari ayat Al-Quran. Segolongan ulama lagi mengharamkan
pemakaiannya. Mereka terdiri dari Ibnu Mas’ud, Ibnu Abbas, Huzaifah, Uqbah Ibnu
‘Amir, Abdullah Ibnu ‘Akim dan para pengikut mereka dari kalangan tabi’in. Mereka
mengatakan bahawa hadis berkenaan larangan memakai tangkal dan azimat adalah
mencakupi semua jenis tangkal. Mereka juga berhujah bahawa apa yang dilakukan
oleh Ibnu Amr tidak dilakukan oleh lain-lain sahabat. Ianya dilakukan untuk
anaknya yang masih kecil dan tidak mampu menghafal atau membaca, sedangkan
untuk yang dewasa tidak begitu.
Imam Fakhruddin Al-Razi menyebutkan dalam
tafsirnya bahawa ketika Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, Jibril telah
membawa jubah sutera dari syurga dan dipakaikan kepadanya. Jubah itu diwariskan
kepada Nabi Ishak, kemudian kepada Nabi Ya’kub. Nabi Ya’kub kemudiannya
menjadikannya sebagai azimat dan digantung di leher Nabi Yusuf. Jibril segera datang
lalu membuangnya dan memakaikan semula jubah tersebut kepada Nabi Yusuf. Oleh
itu, jelas bahawa larangan menggantungkan tangkal atau azimat walaupun ianya
berupa ayat al Quran atau sesuatu yang mulia dari syurga.
KESAN MEMAKAI TANGKAL DAN
AZIMAT KEPADA UMAT ISLAM
Larangan memakai tangkal dan
azimat mempunyai banyak hikmah. Perkara ini dapat dilihat pada kesan yang
timbul akibat pemakaiannya.
1). Kesan pada akidah
Seseorang yang memakai
tangkal dan azimat secara terang-terangan telah mensyirikkan Allah. Ini
berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud: ”Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu
syirik.” Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah bin
Amir bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa menggantungkan tamimah (tali
yang digantung pada leher kanak-kanak), maka dia telah melakukan syirik.”
Para sahabat Rasulullah SAW
juga memerangi perbuatan memakai tangkal dan azimat. Huzaifah
al-Yamani diriwayatkan pernah menziarahi seseorang yang sedang terlantar sakit.
Beliau ternampak seutas tali yang dijadikan azimat pada lengan pesakit. Maka
beliau pun mencabutnya dan membaca firman Allah (dari Surah Yusuf ayat 106): “Dan
sebahagian besar dari mereka tidak beriman kepada Allah melainkan dalam keadaan
mensyirikkan Allah.”
Begitu juga dengan Ibnu
Mas’ud. Dalam satu athar, beliau pernah
memotong azimat yang berupa benang yang dipakai oleh isterinya Zainab. Benang
itu dijampi oleh seorang yahudi dengan tujuan menghindari Zainab dari sakit
mata. Sebaliknya, Ibnu Mas’ud menyuruh isterinya berdoa sebagaimana yang diajarkan
kepadanya oleh Rasulullah SAW.
b). Kesan kepada penerimaan Ibadah
Oleh kerana perbuatan
memakai tangkal dan azimat merupakan perbuatan syirik, maka amal ibadah
pemakainya secara automatik akan tertolak dan kebaikan yang sudah dilakukan
sebelum ini juga akan terhapus ibarat debu yang berterbangan. Firman Allah SWT
dalam surah al-An’am, ayat 88: “Jika mereka mensyirikkan Allah, nescaya
lenyaplah amal-amal kebaikan yang telah mereka usahakan.”
Rasulullah SAW sendiri
pernah menolak untuk membai’ahkan seorang lelaki yang memakai tangkal besi
kuning di lengannya. Ini dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Uqbah
bin Amir Al-Juhaniyy: Rasulullah SAW telah didatangi oleh sepuluh orang
lelaki. Maka Rasulullah SAW membai’ahkan sembilan dari mereka manakala seorang
lagi ditahan. Mereka bertanya: ”Wahai Rasulullah, Tuan membai’ahkan sembilan
dan menahan seorang?” Jawab Baginda SAW:
”Ada tangkal pada lelaki itu.” Lelaki itu lantas memotong tangkalnya, maka
dibai’ahkan dia oleh Rasulullah SAW seraya bersabda: Sesiapa yang mengantungkan
tangkal, sesungguhnya dia telah menyekutukan Allah.”
c). Kesan kepada kehidupan
dunia
Sesiapa yang menggantungkan tangkal
dan azimat, kehidupannya akan menjadi tidak tenteram dan mudah diganggu. Ini berdasarkan
sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menggantung tamimah, Allah tidak
menyempurnakan apa yang dimilikinya, dan sesiapa yang menggantungkan wada’ah
(bahan-bahan berupa cengkerang seperti kulit siput atau kerang yang dijadikan
sebagai kalung bertujuan menjaga diri dari gangguan), Allah tidak membiarkannya
dalam ketenangan.”
Perkara
ini disebabkan syaitan dan jin yang menghuni tangkal dan azimat itu akan
menyakiti dan memusnahkan kehidupan pemakainya. Hakikatnya,
tangkal azimat adalah merupakan satu simpulan sihir (al-‘Uqad)
sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Falaq ayat 4 yang bermaksud: (Kami
juga berlindung dengan Engkau ya Allah) daripada kejahatan tiupan-tiupan ahli
sihir pada simpulan sihir. Oleh demikian, sesiapa yang memakai tangkal
azimat, maka dia telah menyihirkan dirinya sendiri. Kesan dari sihir tersebut
akan menyebabkan kehidupannya tidak tenteram. Melalui pengalaman penulis, antara
kesan-kesan negatif yang dialami oleh individu-individu yang memakai tangkal adalah
seperti berikut:
a)
Fizikal:
penyakit misteri yang sukar diubati
b)
Mental:
pening, migrain, nyanyuk, gila
c)
Emosi:
sensitif, mudah marah, panas baran, mudah menangis
d)
Spiritual:
malas beribadah, tidak suka perkara agama
e)
Kediaman:
Rumah panas, ada kelibat dan lembaga
f)
Rezeki,
kerjaya dan jodoh seolah-olah terhalang dan sukar dapat
Selain
itu, pemakaian tangkal dan azimat ini juga akan memberi kesan yang berlawanan
dengan tujuan ianya dipakai. Sebagai contoh, jika azimat pelaris dipakai, ia
akan menyebabkan perniagaan seseorang itu semakin rugi. Jika tangkal pelindung
yang dipakai, ia akan membuka lebih banyak gangguan kepada pemakai. Ini adalah
berdasarkan hadis Nabi SAW: Rasulullah SAW berkata
kepada seorang yang memakai gelang tembaga di lengannya: “Apakah ini?” Orang
itu menjawab: ”Tangkal untuk mengatasi badan yang lemah.” Lalu beliau bersabda:
“Buanglah segera, kerana ia hanya menambah kelemahan pada tubuhmu. Maka
sesungguhnya jika engkau mati sedang engkau masih memakai tangkal itu nescaya
engkau tidak akan mendapat kebahagiaan selama-lamanya”.
Pemakai
tangkal juga tidak akan mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah. Sabda
Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh
ibnu cAkim r.a.: “Sesiapa yang menggantungkan sesuatu
(berupa tangkal), maka segala urusannya akan diserahkan kepadanya (kepada
tangkal).”
PIHAK BERKUASA PERLU BANTERAS AMALAN KHURAFAT
Dr. Yusuf Al-Qardhawi menegaskan bahawa pemakaian
tangkal dan azimat merupakan satu kemungkaran yang besar dan menjadi
tanggunjawab pihak berkuasa untuk melarang dan menghapuskan amalan tersebut. Justeru, pihak berkuasa khususnya
JAKIM dan Jabatan agama Islam negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk menangani
kegiatan-kegiatan yang berlawanan dengan akidah ini. Antaranya ialah dengan penguatkuasaan beberapa peruntukan dalam enakmen-enakmen
jenayah syariah negeri untuk membanteras penjualan produk berupa tangkal dan
azimat. Sebagai contoh, peruntukan seksyen 4 dan 9 Enakmen Jenayah Syariah
(Selangor) 1995 berkaitan pemujaan salah dan perbuatan mempersendakan ayat
Al-Quran dan Hadith perlu dikuatkuasakan. Selain itu, kerjasama dengan Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran (BKPTQ)
Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga boleh dilakukan untuk menguatkuasakan
peruntukan sedia ada seperti seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
(Pindaan 1987), seksyen 14 Akta Penerbitan dan Teks al-Quran 1986, dan Garis
Panduan Rampasan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam.
Subscribe to:
Posts (Atom)