Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Monday, March 26, 2012

KHADAM AYAT: MALAIKAT @ SYAITAN?



ARTIKEL BULAN APRIL 2012

KHADAM AYAT: MALAIKAT ATAU SYAITAN?
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan Kolej Antarabangsa IKIP


Al Quran adalah merupakan satu rahmat untuk manusia khususnya umat Islam. Ia merupakan satu-satunya mukjizat Rasulullah SAW yang kekal sehingga hari kiamat. Isi kandungannya mengandungi panduan dan pedoman untuk kita melayari kehidupan. Ayat-ayatnya pula menjadi penawar bagi segala penyakit sama ada penyakit rohani mahupun penyakit jasmani. Tidak hairanlah jika ramai antara kita yang mengamalkan ayat-ayat tertentu dari al-Quran sebagai penyembuh atau untuk hajat tertentu. Antara ayat-ayat Al Quran yang biasa diamalkan dalam masyarakat kita ialah ayat 31 dari surah Al Baqarah sebagai ayat pengasih, ayat 1 dari Surah Al Masad sebagai ayat kebal, ayat 9 dari surah Yasin untuk ghaib, ayat 2-3 dari surah Al Talaq sebagai pelaris dan ayat 31 dari surah Yusuf sebagai ayat penyeri muka. Pengamalan ayat-ayat ini kelihatan lebih baik dari beramal dengan jampi serapah dan mantera yang merapu-rapu. Walau bagaimanapun, timbul persoalan, sejauh manakah amalan sebegini dibenarkan? Apakah syarat-syarat untuk beramal dengannya? Dan apakah kesan sekiranya amalan tersebut berlawanan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW?

Iman yang Mantap adalah Syarat Utama
Allah Taala telah berfirman dalam surah al-Isra ayat 82: ”Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.” Menurut Syeikh Mutawalli As-Sya’rawi dalam tafsirnya halaman 5287, ayat tersebut menunjukkan bahawa ayat-ayat al Quran hanya menjadi rahmat dan penyembuh penyakit jika dibaca dan diamalkan oleh orang-orang yang benar-benar beriman. Antara tanda-tanda orang yang tulin imannya ialah solatnya kusyuk, sentiasa menjauhi perkara melalaikan, menunaikan zakat, menjaga kemaluan, menepati janji, menjaga solat, baik akhlak, menghormati jiran dan sebagainya. Ciri-ciri ini dapat dilihat dalam Al Quran dan juga hadis Nabi SAW. Bacaan ayat-ayat Al Quran oleh orang-orang yang mempunyai ciri-ciri sebegini akan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada yang mendengarnya tidak kira Islam mahupun orang kafir.

Peristiwa pengislaman Saidina Umar merupakan contoh terbaik. Ketika Saidina Umar mendengar ayat Quran dibaca oleh kaum musyrik dihadapannya, bertambah kebencian dan kemarahannya terhadap Islam, dan ingin ia lari dari mendengarnya. Tetapi apabila mendengar ayat tersebut dari mulut adiknya yang telah beriman, maka terus lembut jiwanya dan terpancar cahaya keimanan dari lubuk hatinya lantas beliau terus memeluk Islam. Hal ini digambarkan oleh Allah dalam surah at Taubah ayat 124-125 yang bermaksud: ”Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.”

Yang demikian, jelas bahawa syarat terpenting untuk menggunakan ayat Al Quran sebagai penyembuh ialah keimanan yang mantap kepada Allah. Dalam beberapa riwayat, diceritakan bahawa para sahabat Nabi SAW mampu menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk kerasukan dan penyakit gila hanya dengan membaca surah Al fatihah dan Al Ikhlas sahaja. Keimanan dan keyakinan mereka terhadap kekuasaan Allah untuk menyembuh menjadi senjata utama mereka.

Syeikh Mutawalli Sya’rawi seterusnya berkata, sekiranya ayat-ayat Al Quran dibaca sebagai jampi oleh seseorang yang zalim, fasik atau munafik, maka ia tidak akan mendatangkan manfaat tetapi membawa kemudaratan. Sekiranya pengamal ayat-ayat ini mempunyai iman yang lemah, lama-kelamaan dia akan terpedaya oleh tipuan syaitan sehingga timbul keyakinan bahawa ayat itu yang berkuasa. Secara tidak langsung, dia telah melakukan perbuatan syirik. Apabila keadaan ini berlaku, syaitan dan jin yang jahat akan mengambil kesempatan dengan mendakwa mereka adalah khadam atau malaikat yang menjaga ayat tersebut.


Tipu daya Syaitan sebagai Khadam Penjaga Ayat
Allah menegaskan bahwa sesiapa yang berpaling dari intipati dan pengajaran sebenar dari ayat yang diturunkan, maka Allah akan jadikan syaitan sebagai qarin (pendamping) yang akan menyesatkannya dari jalan yang sebenar. FirmanNya dalam surah Az Zukhruf ayat 36-37: ”Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ibnu Qayyim Al Jauzi dalam tafsirnya, juzu 1, halaman 490 menyatakan bahawa Al Quran adalah jalan bagi hati seseorang mendapat ketenangan. Justeru, sesiapa yang berpaling dari ajaran sebenar Al Quran atau menggunakan ayat Al Quran dari tujuan asal ia diturunkan, maka Allah akan jadikan baginya seekor syaitan yang menjadi Qarin. Qarin inilah yang akan berkhidmat kepada pengamalnya. Lalu timbul tanggapan bahawa malaikat yang menjaga ayat tersebut telah menjadi penolongnya. Inilah tipudaya dalam amalan-amalan kebatinan seperti ilmu ghaib, ilmu kebal, ilmu khadam ayat dan seumpamanya.

Melalui pengalaman merawat individu-individu yang mengamalkan ilmu tertentu khususnya ilmu khadam ayat, memang mereka mengakui memperolehi banyak kebaikan. Akan tetapi, sampai satu masa, ahli keluarga mereka (biasanya isteri) terlihat lembaga menyerupai diri pengamal walhal ketika itu beliau keluar bekerja dan tidak bermalam di rumah. Ini menunjukkan bahawa jelmaan beliau itu adalah qarin syaitan yang kononnya menjaga diri, keluarga dan kediamannya. Lama kelamaan qarin syaitan ini akan menganggu keharmonian hidup keluarga pengamal tersebut.


CARA BERAMAL AYAT AL QURAN
Para ulama ada memberi panduan khas untuk seseorang untuk beramal dengan sesuatu ayat bagi tujuan penyembuhan pesakit.

Yang pertama, kita mesti mengiktikad bahawa apa segala yang berlaku hasil dari bacaan ayat-ayat tadi adalah dengan keizinan Allah. Ayat yang dibaca, sekalipun keseluruhan ayat Al Quran, tidak akan memberi bekas, bahkan Allah lah yang berkuasa memberinya. Firman Allah dalam surah al Ra’d ayat 31:
“Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, bahkan semua perkara-perkara tersebut berlaku tertentu bagi Allah.”

Imam Al Qusyairi menegaskan dalam tafsirnya, jilid 4, halaman 12, bahawa segala sesuatu yang terzahir perubahannya setelah dibacakan ayat-ayat dari Al-Quran, adalah berlaku dengan kekuasaan Allah. Yang baik atau buruk adalah dari Allah, dan kesemuanya adalah urusanNya.

Yang kedua, hendaklah kita memahami, menghayati dan melaksanakan pengajaran dari ayat yang dibacakan. Sekiranya maksudnya baik dan mengandingi panduan, maka hendaklah kita amalkan. Sekiranya maksudnya sebaliknya, maka jadikan ia sebagai tauladan dan mohonlah perlindungan Allah dari menjadi sebahagian darinya.

Sebagai contoh, ayat 31 dari Al Baqarah yang selalu dijadikan ayat pengasih bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada umatmu, Sekiranya kamu cintakan Allah maka ikutlah aku nescaya Allah akan mencintai kamu”. Jika dihayati, ayat tersebut memberi panduan bahawa jika kita ingin dicintai Allah, maka kita perlu mengikut apa yang Nabi SAW ajarkan. Antara yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada para isteri supaya dikasihi suami ialah mentaati dan melayani suami sebaik-baiknya. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Isteri tidak mahu patuh pada perintah suami, selalu melawan cakapnya dan tidak mahu melayannya sebaik-baiknya. Natijahnya, kasih suami padanya terhakis. Akhirnya, si isteri ini diajar supaya membaca ayat tadi dan dihembus ke ubun-ubun suaminya ketika tidur. Kaedah seumpama ini tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi SAW. Dibimbangi perbuatan mengamal ayat tersebut tanpa memahami pengajarannya merupakan perbuatan At-Tiwalah iaitu guna-guna yang dilarang oleh Nabi SAW.

Begitu juga dengan ayat 31 dari surah Yusuf yang sering diguna sebagai ayat seri muka. Ayat tersebut bermaksud: “Maka ketika mereka melihatnya (Yusuf), mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!" Ayat ini menceritakan reaksi isteri-isteri pembesar Mesir tatkala melihat ketampanan Nabi Yusuf a.s. Sekiranya kita memahami sikap dan akhlak Nabi Yusuf a.s., maka kita akan dapati ketampanan baginda bukan hanya pada lahiriah sahaja, tetapi juga pada batin Baginda. Hati Baginda sangat takut jika ada manusia yang tertarik kepadanya angkara nafsu, lalu Baginda berkata: “Aku tidak berlepas dari perdayaan nafsuku. Seungguhnya nafsu itu mendorong kepada kejahatan kecuali mereka yang Allah beri rahmat ke atasnya.” Oleh itu, jika seseorang membaca ayat ini untuk menarik perhatian orang kepadanya, maka cara penggunaannya bertentangan dengan pengajaran ayat tersebut. Apa yang patut dilakukan ialah menghayati sikap Nabi Yusuf a.s. dan berusaha untuk menjauhi dari tipuan nafsu.

Bagi golongan peniaga, ayat 2-3 dari Surah Al Talaq (yang juga dikenali sebagai ayat 1000 dinar) sering diamal dan digantung di premis perniagaan. Ayat ini bermaksud:“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar, serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” Ayat tersebut memberi panduan berguna bagi seseorang yang ingin melariskan perniagaannya. Yang pertama ialah TAQWA. Antara tanda taqwa ialah melakukan segala yang disuruh seperti menjaga sembahyang walau sibuk berniaga, menjual produk yang halal, baik dan bersih, tidak melakukan penipuan dalam timbangan dan sebagainya. Dengan sifat taqwa kepada Allah, maka Allah akan mengurniakan rezeki yang melimpah ruah tanpa disangka-sangka. Syarat yang kedua ialah TAWAKAL. Sekiranya perniagaan dilakukan dengan sebaik-baiknya, tetapi masih tidak menghasilkan keuntungan, maka hendaklah dia bertawakkal dan yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki. Dengan adanya tawakal dalam hati peniaga, maka dia akan sentiasa berharap kepada Allah yang terkenal dengan sifat dengan Maha Pemurah. Malangnya, ramai antara kita hanya membaca dan menggantungnya sahaja setiap kali memulakan perniagaan, tetapi meninggalkan pengajaran ayat tersebut.

Terdapat pengamal ilmu kebal yang menggunakan ayat 1 dari Surah Al Masad. Pengamal akan membaca ayat tersebut sambil dikatupkan mulut dan diiktikad kulitnya tidak dapat ditembus apa-apa kecuali dia membuka mulut. Ayat tersebut bermaksud: “Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!”. Ia diturunkan berikutan perbuatan Abu Lahab yang memusuhi dan memerangi Nabi SAW. Jika ditelitikan, tiada kaitan langsung antara ayat tersebut dengan kekebalan. Ayat tersebut merupakan ayat laknat terhadap musuh Allah dan musuh Rasulullah. Para ulama apabila membaca ayat-ayat berbentuk laknat ke atas musuh Islam seperti Abu Lahab, Firaun, Haman dan Abrahah (tentera bergajah), mereka akan merasa benci dan mohon dijauhkan dari bersama golongan tersebut. Jika ilmu kebal ada diajar dalam Islam, pasti Baginda SAW adalah orang pertama yang akan mengajarkannya kepada sahabat supaya mereka tidak cedera dalam peperangan. Dan sekiranya dengan membaca ayat tersebut boleh menjadikan sahabat kebal, nescaya Rasulullah SAW pasti tidak akan bertawasul mengambil keberkatan dari bapa saudaranya yang kafir.  Justeru, memahami, menghayati dan melaksanakan pengajaran ayat Al-Quran lebih dituntut berbanding membacanya untuk sesuatu kelebihan tanpa memahami apa yang diamalkan.

Syarat yang ketiga, ulama berpesan agar kita mengakhiri setiap bacaan ayat-ayat Al Quran dengan doa dan munajat, memohon kepada Allah agar mengabulkan permintaan. Imam As Suyuti menyebut dalam Kitab At Tibb An Nabawi:Apabila kamu membaca sesuatu ayat dari Al Quran bagi mendapat sesuatu kebaikan dan pertolongan dari Allah, maka akhirilah bacaan ayat tadi dengan doa dan munajat kepadaNya.”

Sebagai kesimpulan, kita harus berhati-hati dalam beramal dengan ayat-ayat tertentu dari al-Quran agar tidak terpedaya dengan tipuan syaitan.

1 comment: