Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Tuesday, February 14, 2012

JENAYAH SIHIR VS. KANUN KESEKSAAN



Kertas kerja ini telah saya bentangkan dalam
The 6th UUM International Legal Conference 2011 (ILC2011),
anjuran College of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS), UUM
di Paradise Sandy Beach Resort, Pulau Pinang
pada 20 November 2011.


MENJUSTIFIKASIKAN ILMU DAN AMALAN SIHIR SEBAGAI SATU JENAYAH BERDASARKAN PERUNTUKAN DALAM KANUN KESEKSAAN
Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail
LLB (IIUM), MCL (IIUM), PhD (UKM)


ABSTRAK

Sejarah membuktikan bahawa ilmu sihir boleh digunakan untuk melakukan perbuatan jenayah dan ianya terus menimbulkan ancaman terhadap keamanan dalam kehidupan masyarakat semenjak dahulu hingga ke hari ini. Kesukaran untuk menemukan titik persamaan antara perlakuan jenayah dalam ilmu sihir dengan perlakuan jenayah secara fizikal menyebabkan kezaliman ini dibiarkan tanpa apa-apa sekatan. Jika dilihat dari segi zahir, undang-undang jenayah di Malaysia khususnya Kanun Keseksaan tidak mempunyai peruntukan yang khusus tentang jenayah ini. Ironinya, penelitian terhadap peruntukan-peruntukan dalam Kanun Keseksaan boleh membuktikan bahawa terdapat persamaan antara jenayah sihir dan jenayah biasa terutama dari segi kesan dan matlamat yang hendak dicapai. Dalam sesetengah keadaan, jenayah sihir mempunyai kesan yang lebih kejam dan melampaui peruntukan yang terdapat dalam Kanun Keseksaan. Kertas kerja ini bertujuan menjustifikasikan fakta bahawa ilmu dan amalan sihir merupakan satu jenayah yang perlu dibanteras melalui mekanisma perundangan. Melalui perbandingan dengan peruntukan-peruntukan dalam Kanun Keseksaan, maka kajian ini diharap dapat menjadi titik permulaan dalam usaha membela individu-individu yang menjadi mangsa kepada jenayah yang dilakukan secara halus ini.


Pengenalan
Mengkategorikan ilmu dan amalan sihir sebagai jenayah bukanlah satu perkara baru yang tidak pernah terjadi. Ia telahpun dilaksanakan dalam tamadun-tamadun terdahulu seperti tamadun Mesopotamia, tamadun Rom, tamadun China, tamadun Parsi, tamadun Islam dan tamadun Barat. William Blackstone menyatakan:

To deny the possibility, nay, actual existence, of witchcraft and sorcery is at once flatly to contradict the revealed word of God, in various passages both of the old and new testament: and the thing itself is a truth to which every nation in the world has in its turn borne testimony, either by examples seemingly well attested, or by prohibitory laws; which at least suppose the possibility of a commerce with evil spirits.”

Di Malaysia, kesedaran tentang keperluan kepada pembanterasan jenayah sihir melalui undang-undang telah pun timbul sejak kebelakangan ini. Sebagai contoh, Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Selangor pada 17 Disember 2009 yang diikuti dengan Muzakarah Pakar: Cabaran Pendakwaan Ahli Sihir di Mahkamah pada 21 Julai 2010 telah menghasilkan satu resolusi supaya kegiatan jenayah yang menggunakan ilmu sihir dibanteras melalui mekanisma perundangan. Hal yang sama turut disuarakan dalam Seminar Undang-undang Jenayah Sihir yang telah diadakan pada 10 Oktober 2010. Senario ini menunjukkan wujudnya desakan supaya penjenayah sihir dibawa ke muka pengadilan. Walaupun kesedaran dan desakan telah timbul, namun pihak berwajib belum mampu memenuhi kehendak tersebut kerana halangan-halangan tertentu. Antara isu yang paling ketara ialah adakah ilmu dan amalan sihir ini satu jenayah dan bagaimana untuk menjustifikasikannya?

Bagi menyelesaikan permasalahan ini, maka tulisan ini akan menganalisa bentuk amalan-amalan sihir yang boleh dihubungkaitkan dengan peruntukan-peruntukan dalam Kanun Keseksaan. Analisa ini akan menjadi justifikasi bagi menyatakan bahawa ilmu dan amalan sihir adalah satu jenayah dan ianya perlu diperangi melalui mekanisma perundangan.

Jenayah Sihir Dan Kaitannya Dengan Kesalahan-Kesalahan Dalam Kanun Keseksaan
Para Sarjana Islam dan Sarjana Barat secara jelas menyatakan bahawa ilmu sihir membolehkan pengamalnya mencederakan mangsa, mengubah rupa manusia menjadi haiwan (seperti keldai, babi, anjing), menghilangkan perasaan kasih sayang antara ahli keluarga, memisahkan pasangan suami dan isteri, menghilangkan kewarasan akal, memperoleh harta secara tipuan, menyebabkan pelbagai penyakit sehingga ke tahap membunuh mangsa tanpa perlu disentuh. Jika diteliti dan dibandingkan dengan Kanun Keseksaan, terdapat beberapa peruntukan kesalahan jenayah yang sebenarnya boleh dihubung kaitkan dengan kegiatan sihir. Walaupun kesan zahir akibat perbuatan sihir tidak kelihatan sebagaimana yang biasa disaksikan oleh mata kasar, namun matlamat dan tujuan yang hendak dicapai melalui perbuatan tersebut mempunyai persamaan dengan jenayah biasa. Antara kesalahan-kesalahan yang diperuntukan dalam Kanun Keseksaan yang boleh dilakukan melalui ilmu sihir adalah seperti yang berikut:

(a) Menyebabkan kematian dengan menggunakan ilmu sihir
Membunuh mangsa dengan menggunakan ilmu sihir bukanlah satu perkara yang asing dalam mana-mana masyarakat di dunia. Kaedah penyihiran sebegini boleh didapati dalam segenap bangsa dengan nama-nama yang tertentu. Dalam masyarakat Melayu di Malaysia, santau dan tuju-tuju adalah antara bentuk ilmu sihir yang biasa digunakan untuk membunuh mangsa. Santau yang cukup masak boleh menyebabkan kematian sekiranya mangsa tidak dirawat dengan segera. Penggunaan santau bagi tujuan sedemikian boleh dilihat dalam kes Pendakwa Raya lwn Mat Saad bin Mat Isa & 2 Lagi.

Sihir untuk membunuh juga boleh dilakukan melalui angin contohnya seperti santau angin atau dengan memuja tengkorak orang mati atau patung dengan dituju dan dikasadkan kepada orang yang dihajatinya. Terdapat juga ahli sihir yang melakukan sihir membunuh dengan cara membakar patung yang dikasadkan sebagai jasad mangsa selama tujuh hari tujuh malam dengan bacaan mantera khusus. Kaedah sihir ini menyerupai sihir voodoo yang amat terkenal dan amat ditakuti di sebelah Afrika. Di Eropah, wujud amalan sihir yang digunakan untuk membunuh wanita yang cuba menganggu rumahtangga seseorang. Ahli sihir akan menyediakan peralatan sihir seperti pisau, patung yang diperbuat dari cebisan pakaian mangsa dan serangga atau katak yang ditangkap dalam keadaan tertentu. Apabila kesemua alatan tersebut telah disediakan, penyihir akan menjalankan upacara pemujaan bagi menyeru kehadiran khadam sihir. Seterusnya dia akan menikam dan merobek-robek patung yang mewakili mangsa sambil membaca mantera tertentu.

Dalam Kanun Keseksaan, kesalahan mematikan orang dengan salah dan kesalahan membunuh mengandungi perkataan ’niat’ dan ’pengetahuan’ yang merupakan suatu mens rea yang khusus yang diperlukan untuk kesalahan ini. Jika dibandingkan dengan jenayah sihir, seseorang yang ingin menyebabkan kematian seseorang dengan menggunakan ilmu sihir juga mempunyai niat dan ianya boleh dilihat dari bentuk amalan sihir dan bahan sihir yang digunakan. Sebagai contoh, sekiranya jarum atau pisau yang dipuja ditikamkan ke bahagian jantung atau otak patung yang dikasadkan sebagai mangsa, maka dapat disimpulkan bahawa ahli sihir tersebut memang berniat untuk membunuh mangsa. Tetapi sekiranya tikaman itu hanyalah pada tangan dan kaki, biasanya ianya bertujuan untuk mencederakan atau melumpuhkan mangsa sahaja atau mungkin untuk menjadikannya mangsa menderita.

(b) Mendatangkan kecederaan atau kecederaan parah dengan menggunakan ilmu sihir
Selain menyebabkan kematian, sihir juga boleh digunakan untuk mendatangkan kecederaan dan kecederaan parah kepada mangsa. Jika diteliti peruntukan seksyen 319 Kanun Keseksaan, cedera termasuklah apa-apa bentuk kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh. Jenis kecederaan tersebut juga boleh dilakukan oleh mana-mana penyihir yang menyimpan perasaan dendam dan dengki kepada mangsa. Sesetengah mangsa dikenakan sihir yang menyebabkan tubuh mereka berkudis dengan bau yang busuk, terasa sakit seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar belakangnya atau telinganya, merasa badannya sentiasa sakit menyucuk-nyucuk seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam berbisa, anggota badan tertentu seperti belakang, leher atau dada terasa panas, terasa bisa-bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, kadang-kadang badan terasa kebas dan sebagainya.

Sihir juga biasa digunakan untuk menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa. Antara bentuk kecederaan parah, sebagaimana yang diperuntukan dalam seksyen 320 Kanun Keseksaan ialah, menghilangkan tenaga kelakian seseorang (atau ringkasnya menyebabkan mati pucuk atau lemah syahwat kepada mangsa). Jenis sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini ialah sihir santau dan sihir jerutan. Ivo of Chartres adalah antara ahli teologi yang menegaskan kemungkinan wujudnya unsur sihir bagi kes-kes mati pucuk dengan mengatakan ”The Catholic faith teaches that there are demons and that by their doings they can inflict injury to men and prevent carnal copulation”. Richard Keickhefer turut menyentuh menyentuh persoalan ini dan beliau menyatakan: ”Could they cause sexual impotence? Yes, Thomas Aquinas and other authorities concluded. As a lawyer in the late fifteenth century, Ulrich Molitoris encountered many cases in which women charged their husbands with impotence, but physicians testified that there was no natural cause, and thus they must be bewitched.” Sihir jenis ini telahpun bermula semenjak Tamadun Mesopotamia dan masih wujud hingga ke hari ini. Selain itu, sihir juga boleh digunakan untuk menyebabkan buta, tuli, bisu, lumpuh, herot muka yang diklasifikasikan sebagai cedera parah di bawah seksyen 320.

(c) Melakukan serangan dengan menggunakan ilmu sihir
Serangan merupakan apa-apa perbuatan yang dilakukan oleh seorang penyerang yang menyebabkan mangsa merasa bimbang akan berlaku suatu keganasan peribadi yang menyalahi undang-undang. Berdasarkan seksyen 351 Kanun Keseksaan, serangan tidak memerlukan apa-apa sentuhan, tetapi memadai tindakan penyerang, sama ada melalui apa-apa isyarat atau persiapan yang menimbulkan kebimbangan kepada mangsa yang merasa dirinya akan dikenakan kekerasan jenayah.

Melakukan serangan dengan menggunakan ilmu sihir sangat mudah. Memadai jika seorang yang dikenali sebagai tukang sihir atau diketahui mempunyai kemahiran dalam ilmu sihir, membuat apa-apa isyarat atau apa-apa persiapan yang diketahui menjadi sebahagian dari syarat atau persiapan untuk menyihir, dengan niat supaya orang yang ditujukan isyarat itu merasa bimbang bahawa dia akan dikenakan sihir kepadanya. Sebagai contoh jika A, seorang yang diketahui oleh B sebagai bomoh santau, menundingkan jari telunjuknya kepada B sambil membaca mantera, dengan maksud atau dengan mengetahui mungkin bahawa ia boleh dengan jalan demikian itu menyebabkan B, percaya bahawa ia hampir hendak mengenakan santau kepada B. Maka A boleh dikira telah melakukan satu serangan.

Bagaimana pula dengan kata-kata yang dilafazkan? Huraian seksyen 351 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa kata-kata tidak terjumlah sebagai satu serangan. Situasi ini mungkin berbeza dengan penggunaan kata-kata dalam serangan menggunakan ilmu sihir. Sekiranya perkataan-perkataan yang dituturkan oleh penyerang berupa jampi mantera atau serapah, maka ia perlu dikategorikan sebagai serangan kerana ia berkemungkinan boleh memberi kesan kepada mangsa.

(d) Menggunakan ilmu sihir untuk mengurung orang dengan salah
Pengurungan salah, sebagaimana yang diperuntukan dalam seksyen 340 Kanun Keseksaan merupakan tindakan menyekat pergerakan seseorang secara salah melebihi tempoh 24 jam. Pengurungan salah tidak semestinya melibatkan penahanan fizikal. Sekiranya seseorang, dengan kata-katanya, menyebabkan seseorang yang lain mematuhi kehendak orang itu, maka ia boleh jadi pengurungan salah.

Ilmu sihir bukan sahaja boleh digunakan untuk mengurung fizikal seseorang, malah dapat mengawal mental dan emosinya juga secara salah. Sihir jenis pelalau, sebagai contoh, berupaya menyebabkan seorang mangsa tidak dapat menemui laluan keluar masuk dari satu tempat ke satu tempat yang lain (contohnya dari rumah ke tempat kerja atau destinasi yang hendak ditujunya), atau beliau merasakan seolah-olah ada orang hendak membunuhnya jika dia keluar dari rumah, atau merasa dibelenggu dan dirantai oleh sesuatu sehingga akhirnya dia tidak mampu melakukan apa-apa tindakan. Sekiranya mangsa berada di tempat kerja, dia biasanya akan rasa mengantuk yang amat sangat, atau malas yang amat sangat, berserabut dan berkecamuk bila hendak memulakan tugas dan bermacam-macam lagi. Selain itu, terdapat juga sihir yang dinamakan sihir pembenci. Ia menyebabkan seseorang merasa benci untuk datang bekerja lalu akhirnya minta diberhentikan. Kebiasaannya, senario ini berlaku disebabkan perebutan pangkat, kuasa dan jawatan, rakan kongsi yang tamak, majikan yang terlalu garang dan tidak bertimbang rasa. Sihir ini menyebabkan seseorang mangsa merasa penat, tidak berminat untuk melakukan apa-apa aktiviti dalam hidupnya, risau, tidak jumpa pejabat, cemas, cepat marah tanpa sebab dan kebingungan.

(e) Melarikan atau memikat atau membawa pergi orang dengan menggunakan ilmu sihir
Seksyen 362 Kanun Keseksaan memperuntukan kesalahan melarikan orang manakala seksyen 498 memperuntukan kesalahan memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan niat jenayah. Kedua-dua jenayah ini melibatkan pemelarian orang tanpa kebenaran penjaga atau pasangannya dalam bentuk yang boleh dilihat, dan boleh dihalang dengan mudah sekiranya mangsa sedar. Berlainan pula dengan ilmu sihir. Sihir berbentuk pukau boleh digunakan untuk menculik atau melarikan seseorang termasuk isteri atau suami orang, anak gadis dan kanak-kanak tanpa tentangan. Ilmu sihir menggunakan minyak guna-guna seperti ‘minyak senyonyong’ atau ‘minyak dagu’ yang di sapu pada mana-mana bahagian badan orang yang dikehendaki atau dimasukkan dalam makanan atau minuman akan menyebabkan orang yang dipujanya itu ingat menggila, tidak senang duduk, merasa resah gelisah, terasa seolah-olah ditarik-tarik agar menapak berjumpa orang yang memujanya. Ilmu panah asmara, sebagai contoh, dilakukan dengan memuja gambar seorang perempuan yang diminatinya, sehingga menyebabkan perempuan tersebut terasa seolah-olah ditarik-tarik untuk mengikut orang yang memuja itu, walaupun perempuan itu sangat tidak menyukainya. Tangkal ‘syahwat sang bedal’ juga biasa digunakan oleh pemakainya untuk memikat mana-mana wanita yang disukai untuk datang menyerah diri kepadanya. Selain itu, ilmu sihir juga boleh menyebabkan seorang perempuan, secara tidak sedar mengikut orang yang menyihirnya ke mana sahaja dia pergi. Sebagai contoh, Harian Metro bertarikh 4 November 2009 melaporkan seorang gadis yang berasal dari Melaka telah dilarikan oleh seorang lelaki selama dua minggu dengan tujuan untuk mengikis duitnya.

(f) Menggunakan ilmu sihir untuk memperkosa dan merogol
Jenayah rogol merupakan antara jenayah yang paling ditakuti oleh wanita dan ia merupakan kesalahan jenayah seksual yang berat dan serius di bawah seksyen 375 Kanun Keseksaan. Terdapat kes-kes tukang sihir menggunakan ilmu sihir untuk mengkhayalkan wanita-wanita sebelum merogol mangsa. Ini boleh dilihat dalam kes PP v. Abdul Rahman Mohamad yang mana tertuduh telah menggunakan jampi dan mantera bagi mengkhayalkan mangsa sebelum merogolnya. Kerelaan seorang perempuan yang didapati dalam keadaan tidak sempurna akal akibat mabuk atau jampi bukanlah satu pembelaan bagi seorang perogol. Selain itu, terdapat juga sesetengah ahli sihir yang ingin mencuba ilmunya dengan memuja jin supaya memperkosa dan mengganggu wanita-wanita tertentu ketika mereka sedang tidur. Wanita yang diperkosa ini akan merasai yang dirinya benar-benar diperkosa oleh lelaki tersebut. Dalam kes Pendakwa raya lwn Mohd Ridzwan bin Md Borhan, Yang Arif Hakim Low Hop Bing menyatakan bahawa untuk membuktikan suatu kesalahan rogol, terdapat intipati yang perlu dibuktikan menurut seksyen 375 Kanun Keseksaan dan antaranya ialah wujudnya kemasukan zakar ke dalam faraj. Walaupun rogol yang dilakukan melalui sihir tidak melibatkan kemasukan tersebut, namun kesan penggunaan ilmu sihir tersebut akan menyebabkan wanita tersebut menanggung penderitaan fizikal dan mental yang berpanjangan yang akhirnya boleh menyebabkan kemurungan dan tekanan perasaan, sama seperti mangsa yang benar-benar dirogol. Lebih bahaya ialah apabila seseorang yang mengamalkan ilmu sihir disyaratkan untuk memperkosa anak dara dalam jumlah tertentu (biasanya 40 orang) bagi memastikan ilmu yang diamalkannya menjadi. Penjenayah ini biasanya dikenali sebagai ’orang minyak’.

(g) Menggunakan ilmu sihir untuk melakukan perbuatan khianat
Seksyen 425 Kanun Keseksaan secara khusus memperuntukkan kesalahan melakukan khianat. Antara elemen yang perlu ada dalam jenayah khianat ialah niat hendak menyebabkan kerugian atau kehilangan salah kepada seseorang, kebinasaan apa-apa harta, atau perubahan kepada apa-apa harta, atau kedudukannya, yang membinasa atau mengurangkan harga atau kegunaannya, atau yang membencanakannya. Kesemua elemen tersebut sebenarnya terdapat dalam sesuatu jenayah sihir. Seseorang yang hendak mengenakan sihir kepada mangsa tidak pernah menginginkan kebaikan kepada mangsa bahkan seboleh-bolehnya ingin melihat orang yang disihir itu mengalami kerugian dan kebinasaan sesuatu harta, atau kehilangan sesuatu jawatan dan kurniaan. Ilmu sihir yang menggunakan tanah kubur atau abu mayat yang ditabur sekeliling kedai boleh menyebabkan pelanggan kedai menjadi kurang berminat untuk memasuki kedai tersebut. Biasa berlaku keadaan di mana pelanggan nampak seolah-olah kedai tersebut ditutup sedangkan hakikatnya ianya dibuka seperti biasa, atau nampak dibuka tetapi seperti tidak perasan ataupun terasa hambar. Berlaku juga keadaan di mana kedai makan dipenuhi dengan lalat dan langau sehingga makanan menjadi basi sedangkan kedai makan yang terletak bersebelahan dengannya tidak mengalami apa-apa masalah. Hal ini disebabkan perasaan irihati dengan kewujudan dan kemajuan kedai tersebut. Akibat daripada sihir jenis ini, tuan punya kedai tidak minat bekerja, terpaksa berlawan dan mengagahi diri untuk ke kedai. Ketika di kedai, mangsa merasa begitu malas untuk bekerja, untuk memasak, membersihkan kedai, merasa mengantuk yang bersangatan, takut, gelisah, dan sakit badan. Tetapi, anehnya, situasi yang dialami pulih seperti sediakala sebaik sahaja melangkah keluar dari kedai. Sihir jenis ini juga boleh dilakukan dengan menabur bulu kongkang yang dipuja disekeliling kedai, dengan niat untuk menyebabkan pelanggan yang datang, nampak seolah-olah kedai mangsa sentiasa tertutup.

(h) Menggunakan ilmu sihir untuk mencuri dan merompak
Ilmu sihir juga biasa digunakan dalam kegiatan jenayah mencuri, merompak dan menyamun. Martin Luther menyatakan:
“The law that sorceresses should be killed is most just, since they do many cursed things while they remain undiscovered, for they can steal milk, butter, and all things from the house; thinking about some cow, they can say one good word or another and get milk from a towel, a table, or a handle…”

Jika dibandingkan dengan kesalahan mencuri sebagaimana yang diperuntukan seksyen 378 Kanun Keseksaan, mencuri menggunakan ilmu sihir turut memenuhi kesemua elemen yang dinyatakan dalam seksyen tersebut. Ia melibatkan pengambilan harta seseorang secara curang tanpa kerelaan orang itu. Berbeza dengan kes kecurian biasa yang dilakukan secara senyap tanpa disedari mangsa, kecurian menggunakan sihir boleh dilakukan sama ada secara sedar atau tidak. Antara jenis sihir yang biasa digunakan ialah sihir pukau dan ilmu penunduk. Ilmu pukau adalah salah satu ilmu sihir yang tidak asing dalam masyarakat Melayu dan selalu digunakan untuk mengambil milikan orang tanpa disedari. Kes yang berlaku di Kuala Terengganu pada tahun 2009 membabitkan penggunaan pukau oleh penjenayah melibatkan kehilangan barang kemas dari sebuah kedai emas menyebabkan mangsa kerugian hampir RM 1 juta.

Selain mengamalkan jampi mantera pukau, bahan-bahan sihir seperti tangkal dan azimat untuk tujuan kebal boleh mendorong dan menimbulkan keberanian dalam diri seseorang untuk melakukan jenayah rompakan bersenjata. Ini disebabkan kepercayaan bahawa pemakainya tidak akan dicederakan oleh apa-apa senjata. Kes rompakan yang dilakukan oleh Geng Ipol dan juga Geng Pak Ee adalah antara contoh kumpulan penjenayah yang menggunakan tangkal kebal ketika melakukan rompakan. Memandangkan kesemua elemen-elemen bagi kesalahan mencuri sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 378 Kanun Keseksaan turut terdapat dalam perbuatan mencuri yang dilakukan melalui sihir, maka ianya seharusnya dikategorikan sebagai jenayah.

(i) Menggunakan ilmu sihir untuk melakukan penipuan
Penipuan adalah suatu yang lumrah dilakukan oleh mereka yang dipengaruhi syaitan. Walaupun seksyen 415 Kanun Keseksaan mempunyai peruntukan berkaitan penipuan, namun ianya tidak mampu untuk menangani kesalahan menipu dengan menggunakan ilmu sihir. Ini disebabkan sifat ilmu sihir itu yang mampu mempengaruhi mangsa untuk percaya kepada apa yang dikata oleh tukang sihir. Menurut Ketua Biro Aduan dan Khidmat Awam MCA, Datuk Michael Chong, bagi tahun 2009 sahaja, biro itu telah menerima aduan sebanyak 17 kes membabitkan bomoh yang menipu sejumlah RM433,000.00 selain mencabul kehormatan mangsa berbanding lapan kes melibatkan jumlah RM260,000.00 pada tahun lepas. Mangsa-mangsa adalah terdiri dari wanita yang mahu kelihatan muda, jelita serta menikmati kekayaan. Dalam satu kes yang dilaporkan Harian Metro, seorang lelaki yang mendakwa kononnya dia adalah Presiden Kelab Bomoh Malaysia telah menipu ramai pesakit dengan mengenakan bayaran hingga mencecah puluhan ribu ringgit bagi tujuan mengubati pesakit. Kes yang hampir sama juga melibatkan penipuan oleh bomoh yang mengaku kononnya berkhidmat selaku bomoh diraja kepada pihak istana dan mengenakkan caj sehingga RM 4000.00. Di daerah Jerantut dan Kuantan, pihak polis telah menerima dua aduan yang hampir sama melibatkan penipuan oleh tiga lelaki yang memiliki syiling toyol yang didakwa mampu memberikan kekebalan serta rezeki berganda kepada pemiliknya. Manakala di Muar, seorang wanita kerugian hampir RM 60,000 apabila ditipu seorang bomoh yang mendakwa kononnya suami beliau terkena ilmu guna-guna seorang wanita. Peningkatan kes-kes sebegini memerlukan satu pendekatan yang teliti dan bantuan dari mereka yang benar-benar pakar dan ahli dalam perkara ini.

(j) Menggunakan ilmu sihir untuk melakukan pencerobohan
Seksyen 441 Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa pencerobohan sebagai satu kesalahan jenayah. Dalam ilmu sihir, seorang tukang sihir boleh menghantar khadam belaannya bagi menakut-nakutkan mangsa. Sebagai contoh, sekiranya A mendapat tender untuk satu projek pembinaan yang juga dimasuki oleh B, dan B tidak berpuas hati lalu mendapatkan khidmat tukang sihir supaya menimbulkan gangguan dan huru hara yang luarbiasa di pejabat A dengan tujuan supaya A gagal meneruskan projek tersebut. Hasilnya, pekerja-pekerja A selalu nampak makhluk yang menakutkan di pejabat dan di tapak pembinaan dan mereka bekerja dalam ketakutan sehingga gagal memenuhi spesifikasi dan syarat-syarat yang ditetapkan. Ada juga kes-kes mangsa yang disihir sehingga mengakibatkan porak peranda rumahtangga dan keluarga. Dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeba Abd Rahman, pihak menuntut telah menceraikan isterinya dalam keadaan beliau dipengaruhi sihir. Menurut beliau, semenjak beliau berjaya mendapatkan tender kantin di sebuah kilang, fikirannya telah tidak tenteram, selalu bergaduh dan marah pada isterinya, timbul rasa benci, sedangkan dia sendiri tidak tahu apa yang dilakukannya. Beliau menemui bungkusan kain putih di dalam kantin tersebut dan menurut orang yang mengubatinya, beliau telah kena sihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin tersebut. Oleh itu, sebarang perbuatan menceroboh dengan menggunakan ilmu sihir ke atas harta yang dimiliki oleh seseorang lain, atau kediaman seseorang dengan niat hendak melakukan sesuatu kesalahan atau hendak menakutkan, mengaibkan, atau menggusarkan mana-mana orang yang memiliki harta atau kediaman itu hendaklah dihukum oleh undang-undang bagi mewujudkan satu kehidupan dan persaingan yang sihat.

Begitu juga dengan kegiatan menceroboh tempat-tempat ibadah atau tanah-tanah perkuburan dengan tujuan melaksanakan upacara sihir dan pemujaan. Tempat-tempat sebegini, terutamanya tanah perkuburan dan kawasan yang kononnya dianggap keramat dan keras, merupakan antara tempat yang menjadi tumpuan upacara sihir seperti upacara tarik duit, tilik nombor, tilik nasib dan tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai lokasi pertapaan. Seksyen 297 Kanun Keseksaaan telah memperuntukan bahawa perbuatan tersebut adalah satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum. Oleh itu, perbuatan menceroboh rumah ibadah atau kawasan perkuburan atau tempat yang dikhaskan untuk menjalankan istiadat kebumian, atau sebagai tempat simpanan mayat, dengan tujuan untuk menjalankan apa-apa kegiatan yang mempunyai kaitan dengan ilmu sihir atau bagi mendapatkan bahan-bahan sihir, hendaklah dikategorikan sebagai satu kesalahan.

(k) Kesalahan memfitnah seseorang sebagai tukang sihir
Tuduhan sebagai tukang sihir atau orang yang menggunakan khidmat tukang sihir merupakan satu isu yang sensitif dan boleh menimbulkan impak yang sangat besar kepada orang yang dituduh. Di Afrika, sebagai contoh, tuduhan sedemikian, jika dilakukan oleh seorang pengamal perubatan tradisional (witchdoctor), boleh menyebabkan orang yang dituduh ditangkap dan dibunuh. Hal yang sama juga berlaku di India dan Nepal. Bagi kebanyakan masyarakat di Malaysia, tuduhan sebagai tukang sihir atau sebagai seorang yang membela hantu atau jin adalah satu perkara yang sensitif dan jarang sekali individu yang terlibat dengannya akan membuat pengakuan bahawa mereka mengamalkan sihir. Tidak hairanlah jika terdapat kes-kes pergaduhan yang dilaporkan berpunca dari tuduhan sebegini ke atas mangsa. Walaupun isu fitnah atau tuduhan melulu tanpa sebarang bukti nyata dikategorikan sebagai kesalahan tort di bawah undang-undang sivil, namun sekiranya ianya melibatkan sihir, maka ia perlu diletakkan di bawah undang-undang jenayah. Ini disebabkan impak dari tuduhan tersebut dan tanggapan masyarakat terhadap individu yang dituduh itu. Keadaan ini adalah sama dengan tuduhan sebagai pelacur ke atas seorang wanita sebagaimana yang diperuntukan dalam seksyen 499 Kanun Keseksaan.

(l) Menggunakan ilmu sihir untuk menakutkan secara jenayah
Seksyen 503 Kanun Keseksaan memperuntukan kesalahan menakutkan secara jenayah. Hal yang sama boleh dilakukan dengan menggunakan sihir. Sebagai contoh, sekiranya A mengugut hendak menyihir B dan keluarganya sekiranya B meneruskan niat untuk menjalankan suatu guaman sivil terhadapnya, maka perbuatan A itu adalah tergolong dalam kesalahan menakutkan secara jenayah. Oleh itu, satu peruntukan undang-undang diperlukan bagi menghukum mereka-mereka yang mengugut hendak mendatangkan bencana kepada seseorang sama ada kepada tubuh, nama baik atau harta orang itu, atau seseorang yang orang itu ada kepentingan, dengan menggunakan khidmat tukang sihir.

(m) Menjual, membekal atau menyediakan alatan dengan tujuan pelaksanaan sihir
Sekiranya Kanun Keseksaan melalui seksyen 273 menjadikan penjualan makanan dan minuman yang berbahaya sebagai satu jenayah yang boleh dihukum, maka ilmu sihir juga tidak terkecuali. Ilmu sihir sebenarnya bukan sahaja boleh diamalkan, tetapi juga boleh dijadikan sumber pendapatan bagi mereka yang mahir. Antaranya ialah dengan menjual alat-alat tertentu seperti tangkal, minyak, batu permata, kayu, bungkusan, tali, tongkat dan lain-lain yang dipuja dengan kaedah-kaedah sihir kepada pelanggan yang berminat. Oleh itu, penjualan atau penawaran atau pameran untuk jualan, apa-apa sahaja bahan-bahan sihir atau yang telah disihir, atau apa-apa barang yang telah dijadikan atau dipuja, untuk apa-apa tujuan hendaklah dijadikan sebagai satu kesalahan.

Sebenarnya kesalahan-kesalahan jenayah yang mampu dilakukan dengan menggunakan ilmu sihir masih banyak dan sebahagiannya tidak mampu dicakupi dalam Kanun Keseksaan. Antara jenayah tersebut ialah menggunakan sihir untuk menganggu emosi dan perasaan seseorang, menyekat jodoh seseorang, memecahbelahkan hubungan kekeluargaan, menganggu prosiding mahkamah dan pelbagai lagi.

Kesimpulan
Dari perbincangan di atas, kita dapati ilmu sihir boleh digunakan dalam apa-apa bentuk jenayah sama ada yang terkandung dalam Kanun Keseksaan mahupun tidak. Kesannya juga lebih kejam dan menyeksakan berbanding jenayah biasa. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan sihir ialah suatu amalan yang dilaknat sejak berkurun lamanya dan mengklasifikasikannya sebagai satu jenayah adalah satu langkah yang amat wajar. Emmet V. Mittlebeeler menyatakan“If we accept the theory that the law of crimes developed from direct public action against a malefactor, witchcraft may have been the first of all crimes.” Sebenarnya terdapat beratus-ratus jenis sihir dengan pelbagai nama, yang digunakan untuk mendatangkan kemudaratan kepada mangsa. Walaupun berbeza dari segi nama, ia mempunyai persamaan dari segi bentuk amalan dan matlamat yang hendak dicapai. Sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa mengisytiharkan ilmu sihir sebagai satu jenayah dan pengamalnya atau orang-orang yang mendapatkan khidmatnya dihukum oleh undang-undang.

*Nota kaki kertas kerja ini telah dipadamkan bagi menjaga copyright. Sila email saya untuk mendapatkan kertas kerja asal.

Wednesday, February 1, 2012

ARTIKEL UNDANG2 JENAYAH SIHIR DALAM METRO




MINDA: JENAYAH TANPA AKTA
Oleh Asmizan Mohd Samiran (Ketua Biro Harian Metro Kelantan)

BARU-BARU ini, penyanyi rock terkenal, Awie mendakwa menjadi mangsa perbuatan jahat pihak tertentu yang menghantar ‘santau tuju-tuju’ menyebabkan kesihatannya terjejas dan mengalami beberapa kejadian pelik, termasuk muntah jarum dan bulu ayam. Awie atau Ahmad Azhar Othman, 43, dikatakan mengalami serangan santau itu sejak beberapa tahun lalu sebelum bertambah serius kebelakangan ini apabila dia turut diserang batuk dan bengkak kaki.Kejadian terbaru berlaku ketika dia menjayakan persembahan pentas bersama Ella di Istana Budaya, Kuala Lumpur, minggu lalu apabila tiba-tiba beberapa bulu ayam terkeluar daripada mulutnya.

Pada 10 November tahun lalu pula, muka depan Harian Metro melaporkan kisah usahawan bertaraf VIP di Johor menggadai akidah apabila menggunakan ilmu sihir ‘bersenjatakan’ patung diperbuat daripada tanah kubur yang dibeli daripada bomoh dengan harga antara RM1,000 hingga RM2,000.Patung sihir yang dikafan dan diikat dengan benang itu dikatakan mempunyai kuasa untuk menghilangkan sesebuah premis daripada pandangan orang ramai jika objek terbabit diletak atau ditanam di kawasan premis.Taktik kotor dalam perniagaan itu didedahkan seorang usahawan yang dikenali sebagai Datuk Ahmad, 55, selepas dia menjadi mangsa pesaingnya yang menggunakan patung sihir terbabit.

Dua kisah berkenaan hanya sebahagian kisah penggunaan sihir di kalangan masyarakat kita. Masalah ini bukan baru, tetapi berlaku sejak zaman berzaman. Penulis pernah menemubual beberapa bomoh yang melakukan kerja sihir. Asalkan menerima upah, kerja terkutuk itu dilakukan tanpa belas kasihan dan antara yang mengupah bukan orang lain seperti adik beradik sendiri yang berdendam atas sebab berebut harta. Masih terngiang-ngiang, sepatah ayat yang keluar daripada mulut bomoh terbabit tatkala ditanya mengenai kerja terkutuknya itu. Dengan selamba bomoh terbabit mengaku pekerjaannya itu adalah kerja jenayah tanpa akta atau dalam erti kata lain, tiada peruntukan undang-undang yang membolehkan dia dikenakan tindakan undang-undang. Begitu juga dengan kerja sihir lain seperti menghancurkan perniagaan pesaing dan mengunci nafsu lelaki atau wanita, bomoh terbabit boleh melakukannya dengan sewenang-wenangnya kerana bebas daripada tindakan undang-undang.

Seperti yang pernah dibangkitkan dan heboh diperkatakan dua tahun lalu, kerajaan dicadangkan mewujudkan Akta Kesalahan Jenayah Sihir bagi membendung amalan sihir yang sememangnya sebati di kalangan masyarakat kita. Pada Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis di Shah Alam, tahun lalu, tokoh agama terkenal, Datuk Dr Haron Din menegaskan wujud keperluan mendesak supaya undang-undang sihir diwujudkan di negara ini kerana amalan itu semakin berleluasa dan mengancam akidah umat Islam. “Berdasarkan keadaan semasa, eloklah difikirkan cara yang sesuai. Sudah tiba masanya kita ada undang-undang. Allah s.w.t tidak akan ubah situasi, tetapi masyarakat yang berhak mengubahnya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid pula berpendapat semua mufti di setiap negeri seharusnya memikirkan permasalahan itu dengan serius kerana amalan sihir ibarat ‘duri dalam daging’ kepada umat Islam. “Pengamal undang-undang boleh memberi idea untuk kerajaan mewujudkan undang-undang sihir supaya pengamal sihir boleh dikenakan tindakan sebagai pengajaran kepada orang lain,” katanya.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam reaksinya bersetuju dengan saranan berkenaan, tetapi beberapa aspek perlu dilihat bagi memperkemaskan undang-undang itu. Menurut Zainul, undang-undang membanteras amalan sihir tidak hanya perlu dilihat daripada kacamata undang-undang jenayah, tetapi hendaklah juga terpakai kepada undang-undang lain sama ada sivil ataupun syariah kerana sihir juga berlaku dalam keluarga, perniagaan dan persahabatan. Katanya, sihir bukan saja membabitkan orang Islam, malah bukan Islam juga ramai mengamalkannya kerana masyarakat bukan Islam di Malaysia dan di luar negara juga tidak asing daripada gejala sihir. “Oleh itu, jika sihir diletak di bawah ruang lingkup Mahkamah Syariah jika diperkenalkan, bukan Islam akan terlepas daripada kawalan undang-undang itu. “Undang-Undang ini haruslah mencakupi Mahkamah Syariah dan Sivil,” katanya.

Zainul turut memberi pandangan bahawa pembuktian adalah masalah paling utama bagi mensabitkan kesalahan mengamalkan sihir disebabkan sihir menggunakan makhluk halus yang tidak dapat dilihat mata kasar. “Kesukaran membuktikan sihir sebenarnya berlaku di dua peringkat iaitu pertama, bagi membuktikan amalan itu adalah sebenarnya amalan sihir. Kedua, bagi membuktikan orang itu mengamalkan sihir dan terkena kepada mangsa tertentu. “Sudah pasti isu ini mendatangkan kesukaran bagi pihak berkenaan membuktikannya di mahkamah dan jalan bijak pada pandangan saya ialah pihak berkenaan menubuhkan badan khas dianggotai pakar berkredibiliti tinggi termasuk kalangan ulama. Mereka ini disaring dan dipastikan benar-benar mempunyai kepakaran dalam bidang itu dan diberi tanggungjawab untuk memperakukan mengenai amalan sihir serta kesannya,” katanya.

Bagi Zainul, selama ini tidak ada undang-undang yang menjadikan satu kesalahan bagi mengamalkan sihir sehingga natijahnya, amalan sihir berleluasa dan mangsa sihir semakin bertambah.  “Sudah sampai waktunya kerajaan mengambil inisiatif memastikan gejala sihir tidak terus merebak. Bagaimanapun, syor di atas perlu diteliti dengan mendalam bagi mengelak undang-undang ini diperlekehkan dan sabitan kes jenayah sihir menjadi suatu yang terlalu ideal. “Saya mengesyorkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan Jabatan Peguam Negara yang dianggotai ulama dan pakar perundangan Islam. Dengan cara ini undang-undang bakal digubal akan menjadi undang-undang yang komprehensif, dinamik dan boleh menyekat amalan khurafat dan syirik seperti sihir,” katanya.

Keperluan diwujudkan Akta Kesalahan Jenayah Sihir turut dibangkitkan Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa IKIP, Dr Mahyuddin Ismail pada Seminar Undang-Undang Jenayah Sihir di Kolej Antarabangsa IKIP pada Oktober 2010. Menurut Dr Mahyuddin, penggubalan akta itu memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan kerana ilmu hitam bukan saja boleh merosakkan akidah umat Islam, tetapi menyebabkan kematian. “Langkah ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil sebarang tindakan perlu bagi mendakwa pengamal ilmu hitam,” katanya.

Mahyuddin yang juga penulis buku Ahli Sihir ke Tali Gantung berkata, negara ini mempunyai individu yang boleh dijadikan rujukan dalam pengendalian kes jenayah sihir. “Jika pihak berkuasa serius melaksanakan undang-undang jenayah sihir, dua langkah yang menjadi asas kepada kewujudan undang-undang sihir perlu diambil kira. “Yang pertama ialah menggubal satu akta khusus yang mengandungi peruntukan berhubung kesalahan jenayah sihir dan prosedur untuk mengendalikannya, manakala yang kedua ialah menubuhkan sebuah jabatan khas yang mempunyai kuasa untuk menjalankan segala prosedur yang dinyatakan dalam akta tersebut,” katanya.

Berdasarkan pendapat, idea dan saranan dikemukakan, Akta Jenayah Sihir bukan sesuatu yang mustahil untuk diwujudkan. Namun, sehingga hari ini, belum ada usaha yang bersungguh-sungguh merealisasikannya. Seperti satu kelaziman, sesuatu perkara itu hanya heboh buat seketika dan akan dilupakan entah sampai bila. Seperti hebohnya usaha untuk mewujudkan Akta Hidu Gam, begitulah juga Akta Jenayah Sihir yang sehingga hari ini tidak ketahuan.

Sunday, January 29, 2012

RAHSIA WAKTU SENJA


ARTIKEL DALAM MAJALAH AL ISLAM NOVEMBER 2011
RAHSIA WAKTU SENJA
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan Kolej Antarabangsa IKIP

Senja merupakan waktu peralihan antara siang dan malam. Allah telah menjadikan aturan yang khusus buat makhlukNya pada kedua-dua waktu yang tersebut. Waktu siang adalah waktu untuk manusia bekerja dan mencari rezeki manakala waktu malamnya pula adalah waktu untuk beristirehat dan tidur. Firman Allah Taala dalam surah An Naba’ ayat 10-11: ”Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi), dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) sebagai masa untuk mencari rezeki.”

Jika siang adalah waktu untuk manusia keluar mencari rezeki, maka waktu malam pula merupakan waktu di mana jin dan syaitan berkeliaran untuk menjalankan kegiatan mereka. Justeru, tidak hairanlah jika pusat-pusat maksiat seperti kelab malam, rumah pelacuran, disko, fun fair, pusat judi, konsert hiburan dan karaoke aktif pada sebelah malam. Begitu juga dengan aktiviti merempit dan lumba kereta lebih hangat di sebelah malam. Menyedari bahayanya godaan dan gangguan pada malam hari, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya dengan sabda Baginda: “Sekiranya manusia mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya mereka tidak akan berani berjalan sendirian di malam hari.”

Waktu senja merupakan waktu permulaan bagi malam. Pada waktu ini, syaitan akan keluar berkeliaran. Antara tabiat syaitan ialah mereka suka berada di antara dua situasi atau dua keadaan. Contohnya antara siang malam dan siang, antara teduh dan panas terik, antara sejuk dan dingin, antara hujan dan panas. Nabi Muhammad SAW melarang seseorang untuk duduk antara kawasan teduhan dan kawasan yang disinari cahaya matahari. Begitu juga larangan orang-orang tua agar jangan bermain hujan panas kerana dipercayai mudah terkena penyakit demam panas. Syaitan juga suka berada di antara seorang lelaki dan seorang wanita (bukan mahram) yang duduk berdua-duaan.

Jika dianalisa lebih mendalam, lautan yang terletak di pertemuan antara dua arus menjadi lokasi pilihan syaitan dan iblis untuk membina istananya. Kepercayaan bahawa Segitiga Bermuda dan Segitiga Formosa (iaitu kawasan yang selalu berlaku kehilangan kapal laut dan pesawat secara misteri) sebagai kawasan yang dikuasai oleh kerajaan jin mungkin ada benarnya. Kajian sains menunjukkan kedua-dua segitiga tersebut merupakan kawasan pertemuan antara arus air hangat dan air yang dingin. Di dalam Shahih Muslim, Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia). Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan yang paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.”

Ibnu Qayyim Al Jauzi berkata, senja ialah waktu yang paling disukai syaitan. Pergerakan syaitan pada malam hari lebih hebat berbanding di siang hari. Sebab kegelapan malam memberikan kekuatan kepada mereka. Selain kegelapan, warna hitam turut memberikan kekuatan kepadanya. Pemuja-pemuja syaitan kebiasaannya memakai panji dan pakaian berwarna hitam. Rasulullah SAW juga menyuruh agar membunuh anjing berwarna hitam yang mempunyai titik putih di atas mata kerana ia adalah syaitan.

Jika waktu pagi adalah waktu manusia berpusu-pusu keluar untuk bekerja, maka waktu senja adalah waktu untuk syaitan dan jin keluar berpusus-pusu untuk menjalankan operasi mereka. Bagi menghindari dari diganggu oleh makhluk yang berkeliaran ini, maka Islam menetapkan beberapa ketentuan yang boleh dijadikan sebagai panduan keselamatan.

1. Menahan kanak-kanak dari berada di luar rumah pada waktu senja

Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa antara hikmah Rasulullah SAW melarang anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja ialah kebimbangan terhadap keselamatan mereka dari gangguan syaitan. Pada saat itu, kotoran-kotoran dan najis-najis yang sangat disukai oleh syaitan biasanya masih melekat pada diri anak-anak ketika mereka leka bermain. Kanak-kanak juga tidak membentengi diri mereka dengan amalan-amalan zikir yang boleh mencegah gangguan syaitan terhadap mereka. Ketika syaitan-syaitan berkeliaran, biasanya mereka akan bergantungan pada apa sahaja yang boleh mereka jadikan gantungan. Kerana itu dibimbangi terjadi hal-hal yang tidak diinginkan pada anak-anak itu.

Dari satu aspek lain, kanak-kanak terutamanya yang belum mumayyiz memiliki hati yang bersih dari dosa dan tiada hijab. Oleh sebab itu, kebiasaannya kanak-kanak dapat melihat makhluk-makhluk halus atau merasai tindakan makhluk tersebut. Nabi SAW bersabda: “Setiap anak Adam ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).” Kerana itulah bayi yang baru lahir dapat merasai tusukan tersebut lalu menangis. Tidak hairan juga jika ada bayi-bayi yang menangis di waktu senja atau tengah malam kerana diganggu oleh makhluk-makhluk ini. Untuk mengelakkan masalah ini dari terjadi, maka ibu bapa dan ahli kelurga seharusnya menahan anak-anak dari keluar dan mengunci pintu sebelum masuk waktu senja.

Selain kanak-kanak, Islam juga melarang penganutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran di waktu senja. Di kalangan jin dan syaitan, mereka juga mempunyai haiwan ternakan. Boleh jadi dibimbangi haiwan ternakan manusia ini akan dirosakkan oleh jin yang menyerupai anjing atau oleh haiwan ternakan jin itu sendiri.

2. Menutup bekas minuman dan makanan ketika waktu malam

Waktu malam adalah waktu di mana syaitan dan jin giat beroperasi. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggoda atau menumpang makan. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Shahih Muslim:” Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan berkata kepada golongannya: “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makanan malam. Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata kepada golongannya: “Kalian telah mendapat tempat bermalam.”

Perintah Rasulullah SAW agar menutup bekas air dan makanan ada asasnya. Penemuan sains dan perubatan moden menunjukkan bahawa makanan atau minuman yang terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria. Ianya boleh mengundang pelbagai penyakit dan kemudaratan kepada kesihatan manusia. Dalam memperkatakan perihal kuman, virus dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha menyatakan: ”Dan Ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata: Sesungguhnya jin itu adalah (makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh dilihat. Dan sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami nyatakan berkali-kali bahawa makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus, yang dikenali di zaman ini sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop, adalah sebenarnya satu jenis dari bangsa jin. Dan telah pun terbukti bahawa ianya merupakan antara punca bagi kebanyakan penyakit.”

Kebolehan jin, syaitan dan iblis memasuki tubuh manusia melalui salur darah telahpun diketahui oleh Rasulullah S.A.W. melalui sabda Baginda: ”Sesungguhnya syaitan itu bergerak bebas di dalam tubuh anak Adam melalui saluran-saluran darahnya.”

Virus dan bakteria adalah unsur luar yang tidak dikenali yang memasuki tubuh manusia sama ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan bergerak di dalam tubuh badan manusia melalui salur darah lalu menempati di sel-sel serta organ-organ dalaman. Ini adalah bersamaan dengan sifat kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan. Ia boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan terdedah seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma. Fakta ini mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang mendedahkan punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak iaitu antaranya melalui udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a.: ”Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).”

Begitu juga saranan agar menutup bekas makanan dan minuman agar tidak dimasuki kuman. Serangga dan haiwan melata seperti lipas, tikus, nyamuk, cicak dan lalat yang tinggal di tempat-tempat yang disukai jin seperti longkang, tandas dan tong sampah merupakan kenderaan yang menjadi tunggangan jin berbentuk virus. Apabila serangga begini menyentuh makanan yang tidak ditutup maka mereka akan memindahkan virus tersebut kepada makanan. Dan serangga-serangga ini kebanyakkannya keluar di waktu senja iaitu saat syaitan keluar berkeliaran.

Dalam kitab Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa Saidina Umar hendak pergi ke Iraq. Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya dengan berkata: “Wahai Amirul Mu’minin, janganlah engkau ke sana kerana di sana sembilan persepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan jin yang fasik serta wabak penyakit yang berjangkit.” Ianya jelas menunjukkan bahawa antara hikmah suruhan menutup bekas makanan adalah untuk menghindari mudarat penyakit yang berpunca dari gangguan jin melalui pemakanan.

3. Membaca Bismillah bagi menghalang syaitan masuk

Sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk sebagaimana kejadian api. Walau bagaimanapun, keistimewaan ini mempunyai beberapa batasan. Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi sesuatu yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: “Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.”

Selain makanan dan minuman, aurat manusia juga menjadi perhatian syaitan. Sesetengahnya menjadikan kemaluan manusia sebagai kediaman, dan sesetengah yang lain pula duduk bertenggek pada aurat yang terdedah seperti rambut, punggung dan dada wanita. Walaupun makhluk ini boleh melihat aurat manusia, namun penglihatan tersebut menjadi terhalang sekiranya manusia membaca doa-doa tertentu yang diwaridkan dari Rasulullah SAW. Sebagai contoh, doa masuk tandas sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Saidina Ali b. Abu Thalib bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tabir antara mata jin dan aurat-aurat Bani Adam jika salah seorang di antara kamu masuk bilik mandi hendaklah ia mengucapkan Bismillah”. Begitu juga dengan aurat yang ditutup rapi semata-mata kerana Allah (bukan kerana fesyen) menyebabkan syaitan dan jin tidak dapat masuk. Maka disebabkan itulah Rasulullah SAW menyarankan umatnya agar berdoa dengan doa masuk tandas mahupun ketika hendak bersama dengan isteri. Amalan-amalan memagar dan mendinding rumah kediaman dengan menggantung pelbagai bahan azimat, menyelit kertas-kertas wafaq dan tangkal, atau menabur bahan-bahan tertentu yang kononnya boleh menghalang kemasukan makhluk halus adalah tipudaya syaitan sangat berbahaya. Makhluk yang ditugaskan untuk menjaga rumah itu adalah syaitan dan jin yang sebenarnya akan menimbulkan masalah dan huru hara dalam rumah di kemudian hari.

4. Memohon Perlindungan Allah dari angkara sihir dan bahaya malam

Oleh kerana amalan sihir melibatkan penggunaan syaitan dan jin, maka tidak hairanlah jika ada mangsa-mangsa sihir yang menjadi bertambah tenat dan meracau-racau terutama bila tibanya malam. Pada waktu malam, segala kejahatan mengambil peranan. Dalam surah al Falaq, Allah sendiri memberi peringatan khas kepada umat Islam agar sentiasa berdoa memohon perlindungan denganNya dari segala kejahatan: “Katakanlah (Wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya".

Oleh yang demikian, kita sepatutnya mengisi waktu malam dengan amalan-amalan yang boleh mengundang rahmat dan keredhaan Allah seperti bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan seumpamanya. Sekiranya rumah kita dipenuhi dengan lagu-lagu yang melalaikan, atau filem-filem yang mengandungi unsur khurafat dan tercela, atau aktiviti-aktiviti yang dimurkai Allah, maka serangan sihir mudah berlaku kerana kita telah gagal membenteng diri dan keluarga dengan perlindungan Allah.

5. Menjaga aurat terutama kepala ketika keluar rumah waktu senja

Waktu senja adalah waktu syaitan giat menghasut dan menggoda manusia. Mereka akan mencari ruang dan pintu yang boleh mereka tembusi pada tubuh manusia. Para ulama bersepakat bahawa otak manusia merupakan antara sasaran utama syaitan kerana itulah pengawalan segala aktiviti anggota tubuh. Kita mungkin pernah mendengar pesan orang-orang tua kita agar menutup kepala ketika keluar rumah pada waktu senja. Pesanan ini mungkin ada hikmahnya. Kita dapat perhatikan amalan orang-orang alim yang mendoakan kebaikan anak-anak dengan mengucup atau meniupkan doa pada ubun-ubun mereka. Amalan ini dilakukan dengan harapan agara ubun-ubun itu akan sentiasa mengilhamkan perkara-perkara baik untuk dikerjakan oleh anggota tubuh. Sebahagian lagi menyarankan agar kita menutup ubun-ubun dengan sesuatu agar ia tidak terdedah kepada bisikan syaitan yang suka meracuni hati dan fikiran manusia.

Kajian sains terhadap struktur otak manusia menemukan kebenaran ini. Menurut Prof Keith L. More, di dalam otak manusia terdapat satu bahagian yang dikenali sebagai frontal lobe yang menjadi pusat segala perancangan manusia. Sama ada perancangan itu baik atau jahat, ianya bermula dari situ. Menurut Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee, itulah ubun-ubun. (rujuk Al Islam keluaran Mac 2010). Allah telah pun menegaskan hal ini melalui firmanNya dalam surah al Alaq ayat 15-16 yang bermaksud: “Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi Sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), (iaitu) ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.” Dalam surah Al Rahman ayat 41, Allah juga berfirman: “Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas ubun-ubun kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka);

Menurut satu qaul dalam mazhab Shafii, seseorang yang tidak menutup kepalanya dengan suatu tutupan dianggap sebagai orang fasiq dan tidak bersifat adil. Boleh jadi, itulah sebab orang-orang tua dahulu menyarankan agar kita menutup kepala supaya syaitan tidak dapat meracuni fikiran kita.

6. Tidak membiarkan roh dan jasad lalai ketika tidur

Oleh kerana syaitan suka berada di antara dua keadaan, maka waktu tidur adalah antara waktu yang mudah untuk seseorang dimasuki syaitan. Ini kerana waktu tidur terletak antara hidup dan mati seseorang sebagaimana sabda Nabi SAW: “Tidur itu saudara mati.” Oleh yang demikian, ketika manusia tidur dalam keadaan lalai, maka mudahlah syaitan menerjah masuk ke dalam mimpi dan perasaannya. Adakalanya orang yang tidur akan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan hasil serangan syaitan itu tadi. Begitu juga dengan orang yang suka tidur di waktu senja menjelang maghrib. Mereka akan mengalami kecelaruan fikiran tatkala bangun dari tidur. Memang tiada dalil yang melarang seseorang tidur selepas asar. Tetapi apabila diperhatikan kepada bahaya membiarkan jasad dalam keadaan separuh sedar di saat syaitan berkeliaran, maka sesetengah ulama melarang seseorang dari tidur selepas asar. Sesetengahnya berpendapat sekiranya dilakukan 40 hari berturut-turut boleh menyebabkan jadi gila (Dalam bahasa arab, orang gila disebut ‘Majnun’ yang bermakna ‘orang yang dimasuki jin’). Besar kemungkinan ini disebabkan oleh penguasaan syaitan terhadap otaknya.

Dalam kitab Mishkatul Masabih ada disebutkan: “Tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah saw ada juga melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajjud di malam hari.” Ibn Qaiyim menambah:"Tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat. Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar).”

Bagi seseorang yang terpaksa keluar ketika mana para syaitan sedang berkeliaran mencari mangsa, maka pendekatan yang harus dilakukan ialah dengan mengamalkan apa yang ditunjuki oleh Nabi SAW iaitu: (1) berdoa mohon perlindungan dari kejahatan jin dan syaitan,(2) pastikan diri dalam keadaan suci dari hadas, (3) hati dan fikiran kena selalu berzikir ingat kepada Allah, (4) tidak keluar bersendirian kecuali ditemani seorang mahram, (5) menjauhi dari melalui kawasan-kawasan gelap atau sarang maksiat, (6) menutup aurat terutama bahagian kepala.

Saturday, January 28, 2012

KEHILANGAN KANAK-KANAK DAN KAITANNYA DENGAN KEGIATAN PEMUJAAN DALAM ILMU SIHIR: SATU TINJAUAN




KEHILANGAN KANAK-KANAK DAN KAITANNYA DENGAN KEGIATAN PEMUJAAN DALAM ILMU SIHIR: SATU TINJAUAN

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail
LLB (IIUM), MCL (IIUM), PhD (UKM)



PENGENALAN

Kes kehilangan kanak-kanak adalah antara fenomena yang semakin kerap didengari dan ianya semakin meningkat dari sehari ke sehari. Statitistik yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia menunjukkan terdapat peningkatan kes tersebut antara tahun 2008 hingga tahun 2010. Antara faktor yang dikenalpasti menjadi dorongan berlakunya kes kehilangan kanak-kanak ialah mengikut kawan (17.34%), salah faham (6.58%), ikut teman lelaki (10.27%), mencari kebebasan (19.10%), dilarikan keluarga (2.09%) dan lain-lain sebab yang tidak diketahui (44.62%). Dari faktor-faktor yang telah dinyatakan, didapati ‘sebab-sebab yang tidak diketahui’ menjadi penyumbang terbesar dalam statistik ini. Oleh yang demikian, kertas kerja ini bertujuan untuk melihat dan meninjau tentang kemungkinan wujudnya kaitan antara kehilangan kanak-kanak di Malaysia dengan permintaan terhadap organ-organ tertentu dalam tubuh kanak-kanak untuk dijadikan bahan pemujaan dalam amalan sihir.



UPACARA PEMUJAAN DALAM AMALAN SIHIR

Ilmu dan amalan sihir bukanlah suatu perkara yang asing dalam masyarakat di Malaysia mahupun dalam mana-mana bangsa di dunia ini. Rata-rata penduduk, tanpa mengira perbezaan budaya dan agama, menerima hakikat kewujudan ilmu sihir dan percaya ianya diamalkan oleh golongan tertentu untuk tujuan tertentu. Bahkan hampir saban tahun, sebahagian daripada mereka percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa dan telah mencari jalan untuk mendapatkan rawatan disamping ’menghantar balik’ sihir itu kepada ‛tuannya’.



Secara ringkasnya, ilmu sihir didefinisikan oleh Ibnu Hajar Al-Haitami dalam Kitab As-Sihr sebagai ‛apa juga yang berlaku atau dapat dibuat atau dicapai oleh seseorang dengan pertolongan syaitan, setelah orang itu memenuhi kehendak syaitan tersebut dengan melaksanakan sesuatu yang dikehendaki oleh syaitan itu sebagai tanda atau isyarat taqarrub atau bersahabat atau tunduk dan mengikut atau menyembah syaitan itu.’ Definisi di atas jelas menunjukkan bahawa antara intipati amalan sihir ialah seseorang pengamal sihir perlu melakukan satu perjanjian dengan syaitan atau iblis bagi memastikan ilmu dan amalannya itu berkesan. Perjanjian ini mewajibkan seseorang pengamal sihir mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan yang hendak dipujanya itu. Antara syarat yang biasa dikenakan ialah pengamal sihir mesti melakukan upacara pemujaan, menyediakan bahan-bahan tertentu dan juga menyediakan korban.




Upacara pemujaan memerlukan pengamal sihir tersebut membaca jampi mantera yang terdiri dari nama-nama kebesaran dan kerajaan iblis atau syaitan dengan cara tertentu dan mengakui ketuanan makhluk tersebut ke atas dirinya. Terdapat pelbagai cara yang dilakukan seperti memuja roh-roh manusia yang sudah meninggal, kubur-kubur lama, perigi buta, busut dan barang-barang antik. Kaedah dan cara memuja mungkin dalam pelbagai bentuk, namun ia bukanlah persoalan utama. Apa yang paling dititik beratkan ialah manusia itu mesti mengambil syaitan yang dipujanya itu sebagai tuan, dan adakalanya sebagai tuhan.

Dalam upacara pemujaan, pengamal sihir juga dikehendaki menyediakan bahan-bahan tertentu yang disyaratkan oleh syaitan yang hendak dipujanya itu. Antara jenis bahan yang selalu disyaratkan ialah:

  1. bahan-bahan kotor dan busuk seperti darah, najis, bangkai, tengkorak, kain kafan mayat, air kencing, abu mayat dan yang seumpamanya.
  2. Bahan-bahan yang berbisa dan beracun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, ubur-ubur, bisa getah ipuh, buah kacang hantu, katak puru bertanduk, bisa kala jengking dan yang seumpamanya.
  3. Bahan-bahan tajam dan melukakan seperti kaca, kelonsong telur ayam, benang sutera, berus besi, kawat sental periuk, tali sabut yang direndam, kuku manusia atau binatang, pisau berkarat, paku, ranting bunga kertas dan yang seumpamanya.
  4. Bahan-bahan gatal dan miang seperti miang buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni, ulat bulu mati beragan dan yang seumpamanya.
  5. Bahan-bahan simpulan seperti kain, benang, rambut, tali sabut, tali yang mempunyai warna-warna tertentu, biasanya merah, hitam, kuning dan putih dan yang seumpamanya.
  6. Bahagian tertentu dari haiwan yang diambil dalam keadaan tertentu seperti taring harimau, gading gajah, tanduk kerbau, bulu kongkang, hati mawas putih, hati kura-kura, uri kucing, belangkas jantan betina yang melekat, telur labah-labah, tulang dagu kera duku.
  7. Bahan-bahan yang diambil dalam keadaan tidak stabil. Sebagai contoh, benda-benda yang memusing ditengah-tengah air seperti daun, kayu atau haiwan mati, atau benda-benda yang tersangkut di sarang labah-labah, atau benda-benda bergantung yang sentiasa berpusing ke kanan dan ke kiri.
  8. Tanah liat, lilin atau jerami yang diukir dan dibentuk menjadi patung. 
  9. Bahagian tertentu dari anggota badan manusia seperti tengkorak, tulang belulang, hati, limpa atau apa-apa yang terhasil darinya seperti rambut, kuku, ludah, air mani, darah haid dan yang seumpamanya.
Menyentuh tentang bahan yang berasal dari tubuh manusia, biasanya ia disediakan dalam bentuk korban yang akan dipersembahkan kepada syaitan yang dipujanya. Korban tersebut akan dibunuh dengan cara tertentu dan diambil bahagian-bahagian tertentu lalu diletakkan di suatu tempat tertentu dan diikuti dengan upacara pemujaan. Di Malaysia, ada antara pengamal sihir yang sanggup membunuh dan mengerat anggota badan untuk dijadikan korban, menggali kuburan bagi mendapatkan anggota tertentu dari mayat, menghisap darah kanak-kanak yang dibunuh, memperkosa wanita dalam jumlah tertentu, memuja tengkorak manusia atau tulang-tulang haiwan dan lain-lain lagi yang aneh. Semua ini dilakukan demi memastikan sihir yang dipelajari membuahkan hasil.




Sekiranya dibuat penelitian, kaedah pemujaan syaitan dan iblis yang disertai dengan penyediaan korban telah pun diamalkan sejak ribuan tahun dahulu dan ianya berterusan sehingga sekarang. Masyarakat dalam tamadun Mesir Kuno, sebagai contoh, mengadakan upacara penyembahan korban yang dihidangkan untuk Osiris, satu entiti yang dianggap sebagai tuhan mereka. Upacara sedemikian akan diketuai oleh pengamal-pengamal sihir yang terdiri daripada ketua-ketua Puak. Sekiranya korban yang disediakan tidak menepati syarat yang ditetapkan, maka negara akan ditimpa bencana. Sebaliknya jika korban memenuhi persyaratan, maka seluruh negara akan makmur. Amalan ini kelihatan sama dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan pengamal sihir di Malaysia yang menjamu makhluk halus yang dipujanya dengan penyediaan beberapa jenis makanan atau ayam panggang, bertih, pulut kuning, pisang emas dan lain-lain lagi yang diletakkan di atas kubur, atau di atas ancak atau sangkak atau sanggu.



Di Barat pula, kaedah pemujaan iblis dan syaitan biasanya melibatkan penggunaan rajah-rajah tertentu. Buku A Manual of Demonic Magic mengandungi panduan serta rajah-rajah upacara pemujaan iblis. Pemujaan sedemikian dilakukan untuk pelbagai tujuan seperti menjadikan mangsanya gila atau jatuh cinta, hatta untuk memenangi kes di mahkamah. Selain rajah-rajah, buku tersebut turut menyenaraikan keperluan bahan-bahan seperti patung lilin, cermin, pedang dan pelbagai lagi bahan yang biasa digunakan dalam sihir. Buku Malleus Maleficarum, sebuah buku yang menjadi rujukan pemburu pengamal sihir di Eropah sekitar kurun ke 16, pula menyatakan bahawa antara korban yang biasa disediakan ialah anak dara untuk disetubuhi oleh syaitan.



SEJARAH SIHIR MELIBATKAN KANAK-KANAK

Menyentuh kaitan antara sihir dengan kanak-kanak pula, terdapat beberapa catatan yang menunjukkan wujudnya situasi yang mana kanak-kanak menjadi mangsa sihir atau dijadikan objek dalam upacara pemujaan. Di dalam catatan Mesir Purba, terdapat mentera khusus untuk merawat kecederaan disebabkan kebakaran, seperti kata-kata Isis dalam satu lagenda Mesir "Isis dan Orisis" untuk menyembuhkan kanak-kanak bernama Horus yang dibakar oleh pengamal sihir:

"Keluarlah, wahai engkau yang datang di dalam gelap dan masuk secara sembunyi-sembunyi! Adakah engkau datang untuk mengucup kanak-kanak ini? Aku tidak mengizinkan mengucupnya. Adakah engkau datang untuk mengambilnya? Aku tidak mengizinkanmu mengambilnya dariku. Aku telah melindunginya darimu dengan rumput apis yang memedihkanmu, dengan bawang yang menyakitkanmu, dengan madu yang manis dirasa oleh makhluk-makhluk yang hidup dan pahit di mulut makhluk-makhluk yang mati, dengan beberapa bahagian yang busuk dari ikan abad dan dengan tulang ikan sungai."




Dalam Al Quran juga terdapat satu kisah tentang seorang kanak-kanak yang diarahkan oleh pemerintah supaya belajar ilmu sihir dari seorang pengamal sihir. Kisah yang dikenali sebagai kisah Aṣhābul Ukhdūd dapat ditatap dengan jelas melalui ayat 4 hingga 10 surah Al-Burūj. Di Eropah pula, ilmu sihir telah diamalkan secara meluas sekitar kurun ke 15. Sesetengahnya mempunyai kaitan dengan pembunuhan kanak-kanak yang dijadikan sebagai bahan pemujaan sihir. Sebagai contoh, dalam satu perbicaraan terhadap pengamal sihir semasa pemerintahan King Louis XIV di Perancis, seorang Biarawati bernama la Voisin, telah memberi keterangan berikut:


“The child was held over the altar, a sharp gash across the neck, a stifled cry, and warm drops fell into the chalice… The corpse was handed to la Voisin, who flung it callously into an oven fashioned for that purpose which glowed white in its fierceness. It was proved that regular traffic had been carried on for years with beggar women and the lowest prostitutes, who sold their children for this purpose. At her trial, la Voisin confessed that no less than 2,500 babies had been disposed of in this manner.”

Richard Kieckhefer turut menyatakan bahawa terdapat kanak-kanak yang menjadi mangsa ahli sihir pada zaman gelap Eropah. Fakta ini dapat dilihat melalui perbicaraan salah seorang ahli sihir tersebut:

…when a woman from the diocese of Novara was accused of witchcraft around the 1330s, the court sought advice from Bartolo of Sassoferrato, one of the most prominent lawyers of the day. In response, he first considered the woman’s religious crime of idolatory…Secondly, he considered the woman’s crime against humankind. She was accused of killing children by merely touching them. Is this in fact possible? The children’s mothers testified that she had bewitched them, and that the children did in fact die. Bartolo had heard certain theologians suggest that sorcerers can harm and even kill others with their touch or with the evil eye.




Di China dan Taiwan, kegiatan menculik dan membunuh kanak-kanak bagi mendapatkan organ-organ dalaman seperti hati dan limpa untuk tujuan pemujaan syaitan turut berleluasa. William Shaw menyarankan agar satu undang-undang baru perlu digubal bagi mengenakan hukuman yang berat ke atas pengamal sihir. Beliau turut memetik kata-kata J.J.M. de Groot dalam bukunya 'The Religious Systems of China':

"The Penal Code of the Yuan (Mongol) Dynasty laid down that: " Whosoever plucks life out of a man or dismembers him with intent to procure a spectre to sacrifice to, shall be slowly carved to death with knives". Similar practices were mentioned in a Imperial Edict of 1846.”




Di Uganda, lebih dari 300 kes pembunuhan dan kehilangan kanak-kanak yang dikaitkan dengan upacara pemujaan telah dilaporkan kepada pihak polis dan 18 daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah. Rentetan dari peningkatan kes tersebut, maka pihak kerajaan telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani jenayah pemerdagangan manusia termasuk upacara korban manusia. Lebih 2000 kakitangannya diberikan latihan khas oleh kerajaan Amerika Syarikat. Menurut Pesuruhjaya Jawatankuasa Khas bagi menangani jenayah ini, Moses Binoga, dorongan untuk menjadi kaya adalah antara punca meningkatnya kes sedemikian. Menurut laporan jawatankuasa itu juga, kebanyakan mayat mangsa yang dibunuh kebelakangan ini didapati hilang organ tertentu dari tubuhnya seperti buah pinggang, hati dan limpa; antara bahan yang selalu digunakan dalam pemujaan oleh pengamal ilmu hitam. Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan bahawa Uganda adalah salah satu hub antarabangsa bagi kegiatan pemerdagangan manusia dan penculikan kanak-kanak bagi tujuan pengambilan organ tubuh. Dikhuatiri kegiatan ini turut mempunyai rangkaiannya di Malaysia khususnya dan di Asia Tenggara amnya.



KEGIATAN PEMUJAAN MELIBATKAN KORBAN MANUSIA DI MALAYSIA

Di Malaysia, penggunaan anggota tubuh manusia dalam upacara pemujaan boleh dilihat melalui beberapa kes yang pernah dibicarakan dalam mahkamah. Dalam kes Francis A/L Anthonysamy v PP, perayu telah diberitahu oleh seorang bomoh bahawa dia boleh memenangi loteri empat digit sekiranya dia membawa kepala manusia untuk dipuja. Percaya dengan kata-kata bomoh tersebut, maka Perayu memenggal kepala si mati, seorang warga Bangladesh, lalu diberikan kepada bomoh untuk dipuja. Kes ini jelas menunjukkan bahawa terdapat sesetengah pengamal sihir yang menetapkan syarat-syarat tertentu bagi memastikan keberkesanan amalan tersebut. Pemujaan yang disertai dengan persembahan korban adalah sebagai memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh jin, syaitan atau iblis yang dipujanya. Melalui pematuhan syarat sedemikian, maka makhluk-makhluk tersebut akan melaksanakan permintaan pengamal sihir tersebut atau individu yang mendapatkan khidmatnya.




Sesetengah pengamal sihir juga percaya bahawa pemujaan melibatkan korban kanak-kanak akan membuatkan kuasa sihirnya semakin kuat dan hebat. Anggota tubuh seperti jari, kemaluan atau hati yang diadun dengan bahan-bahan tertentu boleh dijadikan tangkal dan azimat oleh pelanggan mereka. Dalam kes Tan Mui Choo & Anor v Public Prosecutor, perayu dan suaminya telah disabitkan atas kesalahan menyebabkan kematian dua kanak-kanak. Suami perayu, Andrian Lim, adalah seorang yang terlibat secara aktif dalam pengamalan sihir dan ilmu hitam. Dalam tempoh pengamalan tersebut, pelbagai jenayah dan kegiatan tidak bermoral dilakukannya seperti pelacuran, penipuan, pencabulan kehormatan dan juga rogol. Semua jenayah itu dilakukan dengan menggunakan ilmu hitam dan ramai mangsanya adalah golongan wanita yang dikuasainya melalui pukau. Perayu dan suaminya telah ditangkap setelah menculik dan membunuh dua orang kanak-kanak dengan cara yang sangat kejam. Pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan upacara bagi menguatkan lagi ilmu sihir yang diamalkan. Hal ini dapat dilihat melalui apa yang telah diperlakukan oleh tertuduh terhadap kanak-kanak tersebut:

“…The second appellant lured Agnes Ng Siew Hock drugged with Roche tablets and was sexually abused by Adrian Lim. Before they drowned her, Agnes Ng's finger was pierced and all three sipped the blood…The second appellant lured Ghazali bin Marzuki. They drowned him and again went through the ritual of drawing blood from the boy by means of a syringe and drank it from a glass. The two appellants scooped the blood from the glass and licked the blood.”




Menurut seorang responden yang ditemuramah, bagi menghasilkan bahan sihir yang dikenali dengan ‛minyak mati bunuh’ atau ‛minyak dagu’, seseorang pengamal sihir memerlukan kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Kanak-kanak itu akan dibunuh melalui upacara tertentu, ditimang hingga ketawa dan dagunya akan dilayur dengan lilin sehingga mengeluarkan minyak.




Mengulas kes kehilangan dan penculikan kanak-kanak di Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak menolak kemungkinan kegiatan tersebut turut melibatkan rangkaian sindiket penculikan antarabangsa. Pada pendapat penulis, untuk memastikan sama ada kegiatan pemujaan ilmu sihir boleh dikaitkan sebagai sebab kehilangan kanak-kanak, maka pihak berkuasa perlu melihat dan meneliti beberapa perkara. Antaranya ialah latar belakang kanak-kanak yang hilang dan ibubapa kanak-kanak tersebut. Sekiranya kanak-kanak yang hilang itu mempunyai ciri-ciri yang menjadi syarat dalam upacara pemujaan sihir, maka pihak penyiasat boleh meletakkan keberangkalian kehilangannya ada kaitan dengan kegiatan pemujaan. Sekiranya kanak-kanak tersebut ditemui mati dibunuh, pihak berkuasa boleh memastikan motif pembunuhan tersebut dengan melihat anggota tubuh dan organ-organ dalaman mangsa yang hilang. Sekiranya anggota tubuh mangsa dibelah dan diambil organnya seperti hati, limpa, buah pinggang, atau tubuhnya dikerat-kerat, besar kemungkinan kanak-kanak tersebut menjadi bahan pemujaan syaitan. Oleh yang demikian, maka adalah disyorkan agar pihak berkuasa dapat meneliti kemungkinan misteri kehilangan kanak-kanak yang semakin kerap berlaku ini mempunyai kaitan dengan permintaan terhadap organ tubuh yang hendak dijadikan bahan pemujaan sihir.



PERUNTUKAN DALAM KANUN KESEKSAAN

Undang-undang jenayah di Malaysia sebenarnya mempunyai peruntukan khas yang mempunyai kaitan dengan kes sedemikian. Seksyen 364 Kanun Keseksaan menyatakan:

Barangsiapa mencolek atau melarikan mana-mana orang dengan tujuan supaya orang itu dibunuh atau dilepaskan dengan sedemikian hingga mendatangkan kepadanya bahaya dibunuh, hendaklah diseksa dengan bunuh atau dengan penjara yang boleh sampai dua puluh tahun dan bolehlah, jika tidak dihukum bunuh, juga dikenakan sebat.




Bagi menjelaskan lagi peruntukan ini, maka misalan (a) kepada seksyen 364 menyatakan:

A mencolek Z dari Malaysia, dengan maksud atau dengan mengetahui mungkin bahawa Z boleh dikorbankan untuk suatu berhala. A telah melakukan kesalahan yang ditakrifkan dalam seksyen ini.




Peruntukan di atas jelas memberikan gambaran kemungkinan wujudnya kes colek seseorang bagi tujuan dijadikan korban dalam pemujaan berhala, atau lebih tepatnya pemujaan syaitan. Hal ini tidak mustahil berlaku kerana seseorang yang didorong oleh nafsu untuk mendapatkan kebendaan sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai maksudnya. Sebagai contoh, dalam kes Juraimi Bin Husin v PP, Mohd Affandi Bin Abdul Rahman & Anor v PP, atau lebih dikenali dengan kes Mona Fandey, fakta kes ini menunjukkan pembunuhan dilakukan oleh kedua-dua bomoh dengan tujuan untuk mendapatkan kekayaan (duit dari langit) melalui persembahan korban. Upacara yang dijalankan kelihatan agak luarbiasa, di mana melibatkan upacara penyucian mangsa dengan menggunakan bunga-bungaan, kepala mangsa dipenggal dan anggotanya diceraikan serta ditanam berasingan; berkemungkinan pembunuhan itu dilakukan sedemikian rupa sebagai upacara korban dan pemujaan untuk makhluk halus.




KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kajian lanjutan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi melihat kemungkinan faktor kehilangan kanak-kanak boleh dikaitkan dengan permintaan terhadap organ tubuh mereka bagi dijadikan bahan dalam upacara pemujaan. Sekiranya perkara ini terbukti berlaku, maka pengamalan ilmu sihir perlu dibanteras oleh pihak berwajib dalam kadar segera. Pembanterasan ini boleh dilakukan sama ada melalui penguatkuasaan peruntukan yang sedia ada atau melalui penggubalan satu undang-undang khusus yang lebih komprehensif. Sejarah tamadun-tamadun terdahulu seperti tamadun Mesopotamia, Tamadun Rom, Tamadun China, Tamadun Parsi, Tamadun Islam dan Tamadun Barat membuktikan bahawa memerangi ilmu dan amalan sihir melalui mekanisma undang-undang bukanlah satu perkara yang tidak pernah terjadi. Di Malaysia, kesedaran tentang hal ini juga mula timbul apabila ada desakan dari pihak-pihak yang prihatin supaya digubal satu undang-undang untuk menangani jenayah sihir. Jabatan Mufti Selangor telah mengambil langkah awal dengan mengadakan program Muzakarah Pakar pada 17 Disember 2009 dan 21 Julai 2010 bagi membincangkan permasalahan ini secara khusus. Masanya sudah sampai untuk pihak kerajaan mengambil langkah yang lebih proaktif bagi memastikan pengamalan ilmu sihir dikategorikan sebagai jenayah dan pengamalnya, atau orang-orang yang mendapatkan khidmatnya, dihakimi oleh undang-undang.


*Kertas kerja ini telah dibentangkan oleh saya pada 2 Oktober 2010 dalam Seminar Undang-undang Kanak-kanak Kebangsaan ke 2, anjuran UNISZA dan Institut Sosial Malaysia, di Institut Sosial Malaysia Bangi. Artikel asal mempunyai nota kaki dan rujukan bagi setiap fakta yang dikemukakan. Penulis memadamkannya untuk mengelakkan sebarang pelanggaran copyright. Sila hubungi saya untuk mendapatkan artikel yang asli.

Wednesday, January 25, 2012

7 SEBAB KENAPA TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN


ARTIKEL DALAM MAJALAH AL ISLAM FEBRUARI 2012
-----------------------------------------------------------------------------------------

7 SEBAB KENAPA TIDAK BOLEH MENGGUNAKAN JIN
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail

Perubatan tradisional dan komplementari (PTK) di Malaysia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kajian yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2004 menunjukkan 56% rakyat Malaysia menggunakan PTK sebagai alternatif kepada perubatan moden. Manakala kajian oleh World Health Organisation (WHO) pula menunjukkan 80% daripada populasi negara membangun dan 65% populasi negara maju bergantung kepada PTK untuk perkhidmatan kesihatan mereka. Maka tidak hairanlah banyak pusat-pusat rawatan alternatif wujud ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Malangnya, dalam keghairahan menawarkan khidmat PTK ini, terdapat segelintir pengamal perubatan Islam menggunakan kaedah yang bertentangan syara’. Antaranya ialah menggunakan khidmat makhluk halus dari kalangan jin, sama ada sebagai khadam, pendamping atau sahabat dalam proses merawat pesakit. Mereka mendakwa, jin yang digunakan adalah jin Islam dan hukumnya harus. Dakwaan sebegini bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah boleh membawa kemudaratan yang lebih besar. Jika dikaji, ada 7 sebab utama kenapa Islam tidak membenarkan penganutnya menggunakan khidmat makhluk ini, khususnya dalam merawat penyakit.

Hujah Pertama: Kemudaratan yang Timbul Akibat Meminta Tolong Jin

Allah SWT telah mengingatkan manusia tentang akibat yang akan menimpa mereka sekiranya meminta pertolongan dan perlindungan dari makhluk jin. FirmanNya dalam surah Al-Jin ayat 6:”Dan bahawa sesungguhnya ada beberapa orang dari manusia meminta perlindungan kepada ketua-ketua golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” Menurut Ibnu Taimiyyah dalam kitab Al-bayān al-mubīn fi Akhbār al-jinni wa al-shayāṭin, halaman 58, jin dan syaitan yang dijadikan sekutu atau sahabat akan berasa bangga apabila diminta tolong dan mereka akan segera datang. Jin dan syaitan sangat mengetahui bahawa manusia itu lebih mulia dan lebih berkuasa dari mereka. Maka apabila manusia tunduk kepada jin dan meminta perlindungan dari mereka, ianya ibarat seorang raja yang melutut di kaki seorang hamba untuk meminta ditunaikan hajatnya.

Lebih menakutkan lagi ialah apabila Allah SWT memberi amaran bahawa azab neraka bakal menimpa orang-orang yang bersahabat dan meminta bantuan dari jin melalui firmanNya dalam surah Al-An’am ayat 128: ”Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat pertolongan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah".

Hujah Kedua: Nabi Muhammad SAW dan para sahabat tidak pernah meminta pertolongan jin

Dalam sirah Nabi Muhammad SAW dan sirah para sahabat Baginda, tidak ada satu riwayat pun yang menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah meminta pertolongan dari kalangan jin. Apatah lagi menggunakan jin bagi tujuan rawatan mahupun dalam kehidupan harian sebagai manusia biasa. Menurut Imam Al-Alusi dalam tafsirnya, jilid ke 19, halaman 83, terdapat 6 pertemuan antara jin dan Nabi SAW atas urusan dakwah dan penyampaian ilmu. Tiada langsung unsur meminta bantuan bagi urusan duniawi atau merawat pesakit. Hatta bagi menghadapi peperangan pun, Nabi SAW sendiri tidak pernah meminta bantuan dari malaikat, apatah lagi dari jin. Bala tentera malaikat turun membantu tentera Islam atas arahan Allah SWT, bukannya atas permintaan Nabi.

Hujah Ketiga: Melihat dan Menguasai jin adalah salah satu mukjizat khusus untuk para Nabi dan Rasul

Manusia biasa tidak mungkin boleh melihat jin dalam bentuk yang asal, apatah lagi menguasainya. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al A’raf, ayat ke 27: “Sesungguhnya ia (jin) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari satu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka”. Imam Syafi’i r.a., sebagaimana yang dipetik dalam Kitab Fathul Bari karangan Ibn Hajar al Asqalani, turut menegaskan bahawa sesiapa yang mendakwa dapat melihat jin nescaya terbatal penyaksiannya, kecuali dia seorang Nabi. Memang ada ulama’ yang mengatakan kemungkinan melihat jin itu ada, tetapi bukan dalam rupanya yang asal, sebaliknya dalam jelmaan seperti ular atau anjing. Keupayaan melihat dan menguasai jin merupakan satu keistimewaan dan juga mukjizat yang dikhususkan kepada para Nabi dan Rasul yang terpilih. Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan kebolehan menguasai jin dan syaitan. Kebolehan ini tidak diberikan kepada mana-mana manusia sesudah Baginda sebagaimana doa Baginda dalam surah Ar Shad ayat 35: ”Ya Tuhanku, ampunilah aku dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak dimiliki oleh seseorang juapun sesudahku, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pemberi”.

Namun, kebolehan Nabi Sulaiman memerintah jin telah dijadikan dalil oleh syaitan untuk mengharuskan manusia lain untuk berbuat demikian. Maka, timbullah dakwaan dari para perawat kononnya mereka boleh menangkap, memenjara serta menyembelih jin. Bagi menolak dakwaan batil seperti ini, Imam Muslim meriwayatkan satu hadis dalam kitab Shahihnya: “Satu ketika ketika Rasulullah hendak bersolat, tiba-tiba syaitan datang mengganggu Baginda. Lalu Baginda berjaya menangkapnya dan dicekik leher syaitan sehingga Baginda dapat merasa sejuk lelehan liurnya. Lalu Baginda bersabda: “Kalau bukan kerana aku teringat doa saudaraku Sulaiman (yang berdoa agar Allah tidak memberikan lagi kerajaan dan kebolehan menguasai jin atau syaitan kepada selainnya-rujuk ayat 35 surah Sad) pasti akan ku ikat syaitan itu pada tiang masjid supaya menjadi mainan kanak-kanak di Madinah.” Berdasarkan hadis ini, Nabi SAW dikurniakan kebolehan untuk melihat, menangkap dan merantai jin. Akan tetapi, Baginda SAW menghormati doa dan permintaan Nabi Allah Sulaiman a.s. Justeru, sayugia kita sebagai umatnya turut mengikuti contoh tauladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Oleh yang demikian, perbuatan menangkap dan mengurung jin jelas bertentangan dengan sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Sekiranya orang yang mempunyai kebolehan tersebut bukannya seorang Nabi, berkemungkinan beliau melakukan istidraj (perkara luarbiasa yang terhasil melalui tipudaya syaitan) tanpa beliau sedari.

Hujah Keempat: Tipu daya jin sangat licik

Makhluk jin adalah makhluk yang penuh tipu daya dan helah. Jin-jin yang menjadi pengikut syaitan akan menggunakan pelbagai cara, sama ada halus atau kasar bagi tujuan menyesatkan manusia. Allah mengingatkan hal ini melalui firmanNya dalam surah Al A’raf, ayat 16-17: “Iblis berkata: Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) telah menyesatkan aku, maka aku akan menghalang anak-anak Adam dari melalui jalanMu yang benar. Kemudian aku akan mendatangi mereka dari hadapan mereka, dari belakang mereka, dari kanan mereka, dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati melainkan hanya sedikit sahaja dari mereka yang bersyukur.”

Jika dilihat kepada sejarah, Nabi Sulaiman a.s., yang diberikan kebolehan untuk menguasai jin dan syaitan, juga pernah diperdaya oleh jin bernama Sokhel sehingga Baginda hilang kerajaan selama 40 hari 40 malam. Begitu juga dengan kisah Abu Hurairah r.a. yang telah ditugaskan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga stor yang menempatkan kurma zakat. Stor tersebut telah diceroboh oleh makhluk jin selama 3 malam berturut-turut. Setiap kali ditangkap, jin tersebut mencipta pelbagai helah dan memberikan pelbagai janji palsu. Akhirnya apabila ditangkap kali ketiga, jin tersebut dapat juga meloloskan diri setelah mengajarkan Abu Hurairah satu ayat yang dapat menghalangnya dari memasuki stor tersebut. Kisah di atas diriwayatkan Imam Bukhari dalam Shahihnya, kitab Al-Wakalah, hadis no. 2311. Ini menunjukkan bahawa makhluk jin dan syaitan mempunyai seribu helah dan tipu daya yang licik serta seringkali menggunakannnya untuk memperbodohkan manusia. Kalau kita manusia biasa yang bukan bertaraf Nabi mahupun sahabat, sudah tentu lebih mudah untuk ditipunya.

Hujah Kelima: Hanya orang jahil bersahabat dengan jin

Para ulama-ulama turut melarang sebarang persahabatan dan perjanjian dengan makhluk jin dan menganggap itu adalah perbuatan orang jahil. Syeikh Abdul Wahhab Asy-Sya’rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir, bahawa bersahabat dan bersekutu dengan jin itu sangat keji. Beliau mengatakan: “Barangsiapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama, maka orang itu sangat jahil. Kerana menjadi tabiat jin untuk berlebih-lebih dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana tabiat orang fasik. Maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin, sepertimana dia perlu mengelak dari bersahabat dan bersekutu dengan manusia yang fasik.” Beliau menambah lagi : “Aku tidak pernah melihat seseorang yang bersahabat dengan jin itu mendapat kebaikan, kerana asal kejadian jin itu dari api dan api itu sangat banyak geraknya, maka perbuatan dan perkataan orang itu hanya berlebih-lebihan.”

Syeikh Muhyiddin Ibnu al-Arabi turut menegaskan perkara ini di dalam kitabnya al-Futuhat: “Adapun orang yang bersahabat dengan jin itu tiada beroleh ilmu Allah, kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya. Dan terkadang orang yang bersahabat dengan jin itu menyangka bahawa segala perkara (ghaib) yang dikhabarkan oleh jin itu itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka sangkaannya itu adalah batil”. Tambah beliau lagi: “Sesetengah yang telah terjawab bahawasanya banyak orang bersahabat dengan jin itu jadilah takabbur atas segala manusia itu dan barangsiapa takabbur dimurkai Allah Ta’ala akan dia dan dimasukkan ke dalam neraka seperti yang tersebut dalam beberapa ayat Quran dan Hadis Nabi s.a.w.”

Hujah Keenam: Jin tidak akan rela melakukan kerja-kerja khadam

Bagi mereka yang mendakwa jin yang digunakan adalah khadam yang dikuasainya, maka sesungguhnya orang tersebut telah tertipu dengan helah jin. Seorang khadam ialah orang yang patuh kepada perintah tuannya dalam setiap keadaan tanpa sebarang bantahan. Malangnya, jin yang kononnya menjadi khadam ini hanya membantu dalam perubatan sahaja. Selalunya dengan menampilkan perkara-perkara ajaib seperti memberitahu lokasi barang hilang, scan penyakit, mengubati pesakit dari jarak jauh, membongkar isi hati pesakit. Sekiranya khadam jin ini disuruh melakukan kerja-kerja harian sebagai khadam seperti membersih rumah, membasuh pakaian, memasak, menjaga anak, membeli barangan di pasar, membasuh kereta, nescaya mereka tidak akan melakukan. Bagi mereka, pekerjaan tersebut adalah suatu yang menghinakan. Hal ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam surah Saba ayat 14: “Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam seksa yang menghinakan.” Ayat ini menunjukkan bahawa khidmat yang diberikan oleh makhluk jin dan syaitan kepada Nabi Sulaiman adalah dalam keadaan terpaksa. Apabila nabi Sulaiman wafat, mereka merasakan mereka baru terlepas dari perhambaan yang menyeksa lagi menghinakan. Jika suruhan Nabi sulaiman pun mereka buat dalam keadaan terpaksa, apa lagi suruhan manusia biasa. Tanpa disedari, manusia pula yang menjadi khadam kepada jin tersebut kerana menuruti segala kehendak dan syarat jin itu.

Hujah ketujuh: Bersahabat dengan jin adalah evolusi kepada upacara menurun

Penggunaan jin dalam rawatan adalah bentuk satu fotokopi kepada ’upacara menurun’ dalam bentuk moden. Kaedah ini sebenarnya sama sahaja dengan kaedah merawat menerusi resapan mahkluk tersebut ke dalam tubuh perawat seperti dalam upacara tok bageh, main putri, ulek mayang dan sebagainya. Apabila umat Islam telah menyedari kaedah resapan roh menyalahi ajaran Islam, maka syaitan memperkenalkan kaedah terbaru iaitu menggunakan jin sebagai sahabat. Melalui strategi baru ini, makhluk tersebut tidak lagi meresap masuk ke dalam tubuh perawat, sebaliknya mengilhamkan sesuatu melalui bisikan, memperlihatkan sesuatu yang terselindung dan yang ghaib dari pandangan, serta pelbagai lagi perkara-perkara luar biasa. Kehebatan yang ditunjukkan ini menyebabkan orang di sekeliling menganggapnya sebagai wali yang keramat. Sebenarnya, kedudukan jin yang menyampaikan maklumat kepada pengamal melalui bisikan atau ilham ini adalah sama dengan kedudukan syaitan yang berusaha untuk menyesatkan manusia. Firman Allah dalam surah Al An’am ayat 112: ”Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan yang terdiri dari kalangan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain dengan kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu."

Oleh itu, para pembaca harus berhati-hati dan jangan tertipu dengan helah makhluk ini. Walaupun apa yang ditampilkan kelihatan sangat baik, kita tidak seharusnya menjadikan mereka sebagai sahabat. Jika difikirkan, manusia yang mempunyai jasad fizikal yang dapat dilihat secara kasar ini pun banyak melakukan penipuan, apatah lagi jin yang langsung tidak dapat dilihat. Bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa kepada permainan licik syaitan, maka umat Islam diseru menjauhkan diri dari bersahabat dengan makhluk ini. Allah SWT berfirman dalam surah Fathir ayat 6:“Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.”

Cadangan penyelesaian

Bagi memastikan umat Islam tidak terus diperdayakan oleh makhluk jin, maka insititusi-institusi pentadbiran dan perundangan Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan agama Islam negeri (JAIN) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) perlu mengambil langkah bagi memberi kesedaran kepada pengamal rawatan alternatif Islam tentang tipu daya dalam dunia perubatan, sama ada melalui penganjuran kursus, seminar dan juga sebaran am. Ini kerana ada sebahagian perawat menyangka apa yang mereka amalkan tidak salah dan bertepatan dengan ajaran Islam.

Selain itu, dicadangkan juga agar sijil tauliah Amalan Perubatan Islam dijadikan sebagai syarat kepada pusat rawatan Islam yang ingin menjalankan rawatan Islam. Pensijilan ini adalah salah satu bentuk pemantauan oleh pihak berkuasa bagi memastikan ianya tidak menyeleweng dari syariat Islam. Ketiadaan pemantauan ini menyebabkan sesiapa sahaja boleh menjalankan rawatan dan mendakwa rawatannya adalah rawatan Islam. Melalui cara ini, kaedah yang digunakan oleh pusat rawatan tersebut akan dinilai dan ditelitikan sebelum sijil tauliah dikeluarkan. Hasilnya, masyarakat akan merasa lebih yakin dan secara tidak langsung dapat menyelamatkan akidah mereka. Sekiranya perubatan moden mensyaratkan para doktor untuk memiliki sijil amalan, maka peraturan-peraturan tersebut juga patut digunapakai kepada perawat-perawat alternatif. Dengan usaha ini, diharap taktik syaitan untuk memperdaya anak Adam melalui perubatan yang terseleweng dapat dipatahkan.