Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Monday, September 17, 2012

CERITA ORANG BUNIAN DAN HANTU RAYA




HANTU RAYA DAN ORANG BUNIAN ADALAH BANGSA JIN
Dr Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan di Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan
Universiti Malaysia Pahang

Menjelang hari raya, semua orang sibuk memperkatakan tentang baju raya, duit raya, kuih raya dan bermacam-macam ‘raya’ lagi. Ada satu lagi perkataan raya yang sering disebut-sebut walaupun ia tiada kaitan dengan hari raya iaitu ‘hantu raya’. Sempena ketibaan hari raya aidilfitri tahun ini, elok juga dijelaskan kekeliruan yang dihadapi oleh masyarakat tentang pengertian sebenar hantu raya dan juga makhluk bunian. Ini kerana sebahagian filem dan cerita hantu yang ditayang dilayar perak sempena hari raya ini terlalu melebih-lebihkan kehebatan hantu dan puaka sehingga menyimpang dari realiti yang sebenar. Kesannya, timbul rasa ketakutan dan ketaksuban terhadap mereka sehingga wujud amalan-amalan khurafat seperti meminta izin penjaga dan penunggu sesuatu kawasan. Tidak kurang juga yang menyimpan hasrat ingin masuk ke alam bunian dan berkahwin dengan mereka.

Hantu adalah bangsa jin dan syaitan
Sebelum topik hantu raya dan orang bunian ini diperincikan, ada baiknya kita memahami konsep sebenar kejadian-kejadian makhluk di atas muka bumi. Secara asasnya, Allah adalah Tuhan yang mencipta segala makhluk yang ada di alam semesta ini. Di antara makhluk-makhluk ini, ada yang dapat dilihat dengan mata kasar dan ada pula yang halus dan ghaib. Jin dan syaitan merupakan antara makhluk ghaib yang tinggal di atas muka bumi. Dalilnya firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 36:
“Ingatlah kamu ketika Kami berfirman: Turunlah kamu semua (manusia dan jin), kamu bermusuhan antara satu sama lainnya dan bagi kamu ada tempat tinggal dan kehidupan di atas muka bumi.”

Ayat di atas jelas membuktikan bahawa jin juga tinggal di atas muka bumi seperti manusia, bukannya di suatu alam ghaib yang istimewa. Bezanya, kita tidak dapat melihat mereka kerana kejadian tubuhnya yang halus. Sebagaimana kita tidak dapat melihat angin, begitulah juga kita tidak dapat melihat jin dan syaitan walaupun mereka berada di depan mata kita.

Menurut Imam As Sayuti dalam kitabnya Ahkam al-Jan, jin dan syaitan suka mendiami tempat-tempat kotor, seperti najis binatang, sampah sarap dan sebagainya. Mereka juga tinggal di air, di udara, di tanah perkuburan, di padang pasir, di gunung, di hutan rimba dan juga pohon-pohon. Justeru, orang Melayu yang terserempak dengan makhluk ini menamakannya bersempena lokasi ianya ditemui. Timbullah istilah hantu kubur, jembalang tanah, hantu air dan hantu laut.
Dari segi fizikal, ada jin yang kerdil dan kecil maka digelar toyol, yang bertelanjang tanpa pakaian maka digelar hantu kopek, yang berbungkus kain kapan digelar hantu bungkus, yang tinggi digelar hantu galah atau hantu tinggi, yang berkulit hitam digelar orang minyak, yang terbang mengilai digelar langsuir, yang melompat-lompat digelar hantu pocong, yang menyerupai belalang digelar pelesit dan yang menyerupai manusia digelar orang bunian. Maka, dapat disimpulkan bahawa makhluk-makhluk ghaib yang dikenali sebagai hantu dalam masyarakat Melayu ini adalah makhluk jin yang menjelma dalam pelbagai rupa dan bentuk.
Kisah Nabi Sulaiman, Ifrit, Balqis dan Seorang Ilmuan tentang Al-Kitab
Untuk mengenali sifat dan sikap makhluk-makhluk ghaib khususnya yang digelar hantu raya dan orang bunian ini, maka dialog antara Nabi Sulaiman a.s. dan menteri-menterinya dalam surah An Naml ayat 38-39 boleh dijadikan sandaran. Firman Allah SWT:
Sulaiman berkata: “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya (Balqis) sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkata ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah. Berkata seorang yang mempunyai ilmu dari al-Kitab: “Aku akan datangkan singgahsana itu kepadamu sebelum matamu berkelip.” Maka setelah dilihatnya singgahsana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: “Ini adalah kurnia Tuhanku untuk menguji aku apakah aku bersyukur atau mengingkari.” Dan barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, Lagi Maha Mulia.

Dalam ayat ini, terdapat beberapa watak makhluk yang memiliki kebolehan dan kedudukan yang istimewa. Antaranya ialah Ifrit, Balqis dan seorang lelaki yang mempunyai ilmu dari Al-Kitab.

Ifrit Segagah-gagah dan sejahat-jahat Jin
Berdasarkan ayat di atas, dapat kita ketahui bahawa Ifrit adalah salah satu bangsa jin yang gagah, kuat dan perkasa. Menurut Ibnu Ajibah dalam tafsirnya Al-Bahr al-Madid, nama ifrit tersebut ialah Zakuan atau Sakhra’. Ia mendakwa mampu untuk membawa singgahsana Balqis yang diperbuat daripada emas padu bertatahkan manikam, zamrud, zabarzad dan mutiara dari negeri Saba ke Palestin dalam masa yang singkat. Selain terkenal dengan kekuatannya, ifrit juga masyhur sebagai makhluk yang sangat banyak tipu helah dan suka memperbodohkan manusia. Menurut ahli tafsir, oleh kerana ifrit bimbang Nabi Sulaiman tidak mempercayainya, maka ia terpaksa menegaskan kesungguhannya itu dengan berkata: “sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.

Ifrit merupakan rakan kongsi utama syaitan dan ia menaruh dendam yang amat mendalam terhadap manusia. Ia akan melakukan pelbagai usaha untuk merosakkan manusia termasuk kepada para nabi-nabi. Ada riwayat mengatakan bahawa salah seekor ifrit yang bernama Sokhel pernah menjelma dalam rupa Nabi Sulaiman bagi memperdayakan penyimpan cincin hikmat Nabi Sulaiman. Akibat kehilangan cincin tersebut, Sokhel telah berjaya mengambil alih pemerintahan kerajaan Nabi Sulaiman selama 40 hari. Nabi Muhammad SAW juga pernah didatangi oleh ifrit untuk menggoda Baginda supaya terputus daripada mengerjakan sembahyang. Begitulah kejahatan dan kedengkian makhluk ini terhadap manusia. Namun, disebalik keburukan sifat ifrit ini, masih terdapat sebilangan manusia yang sanggup mengambil makhluk yang jahat ini sebagai sahabat atau pendamping mereka.
Dalam masyarakat Melayu, ifrit yang dijadikan sahabat ini dikenali sebagai hantu raya. Sebagaimana kebolehan ifrit di zaman Nabi Sulaiman, maka ifrit atau hantu raya yang dibela ini juga boleh menjelma menyerupai tuannya, boleh disuruh menjaga harta tuannya, boleh mengambil sesuatu jauh dengan cepat, boleh digunakan untuk menggerunkan musuh dan lain-lain. Manusia yang menggunakan khidmat ifrit kebanyakannya akan menghadapi masalah di akhir hayat mereka. Pelbagai gangguan dan penyakit akan ditimpakan ke atasnya. Apabila tuannya meninggal, ifrit ini akan mencari tuan baru dari kalangan anak cucu tuannya. Inilah yang dikenali sebagai saka. Begitulah cara ifrit melakukan tipudaya untuk menyesatkan keturunan Nabi Adam. Perkara ini telah dinyatakan oleh Allah dalam surah Al’A’raf ayat 16-17: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan menghalangi mereka (keturunan Adam) semua dari jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.
Oleh kerana itu, para ulama melarang keras umat Islam dari bersahabat dengan makhluk jin kerana ia tidak memberi sebarang manafaat. Syeikh Abdul Wahab As-Sya’rani menegaskan di dalam kitabnya Yawaqitu wal Jawahir: “Barangsiapa memilih dan melebihkan persahabatan dengan jin berbanding bersahabat dengan para ulama, maka orang itu sangat jahil.  Ini kerana menjadi tabiat jin untuk melampau-lampau dalam perbuatan dan perkataannya, dan selalu berdusta sebagaimana tabiat orang fasik.  Maka orang yang berakal harus mengelakkan diri dari bersahabat dan bersekutu dengan jin sepertimana dia perlu mengelak dari bersahabat dan bersekutu dengan manusia yang fasik.”
Balqis adalah dari keturunan manusia dan jin
Dalam ayat tersebut dinyatakan juga tentang singgahsana milik seorang ratu yang bernama Balqis. Siapakah Balqis dan apakah keistimewaan Balqis? Menurut Ibnu Kathir dan Al-Qurtubi dalam tafsir mereka, Balqis adalah anak yang terhasil dari perkahwinan pembesar kerajaan Yaman yang bernama Syarahil dengan wanita dari bangsa jin bernama Raihanah As-Sakan. Ibu Balqis ini mempunyai rupa dan tubuh yang sama seperti manusia. Cuma yang berbeza ialah beliau hanya boleh dilihat oleh suaminya sahaja. Isu perkahwinan antara jin dan manusia ini turut dibahaskan oleh para ulama. Ada yang mengatakan ianya boleh terjadi dan ada yang mengatakannya mustahil. Namun yang pasti, majoriti ulama melarang manusia dari mengahwini bangsa jin.

Bangsa jin yang berkahwin dengan manusia ini biasanya mempunyai kehidupan seperti manusia, mempunyai kampung halaman, bandar dan struktur pentadbiran. Ada juga antara mereka yang suka berpindah randah. Hal ini menyamai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Thalabah al Khisyni r.a. dimana Rasulullah SAW bersabda: “Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.”

Dalam masyarakat Melayu, bangsa jin yang mempunyai bentuk seperti manusia ini dikenali sebagai orang bunian. Dalam kamus Dewan, orang bunian membawa maksud orang halus. Secara ringkas, orang bunian ialah makhluk jin yang mempunyai rupa bentuk seperti manusia tetapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kewujudan orang bunian bukan sahaja terdapat dalam masyarakat Melayu di Malaysia, tetapi juga di serata dunia dengan nama yang berbeza. Di sebelah negara Arab, orang bunian dikenali dengan nama Rijalul Ghaib yang membawa makna yang sama iaitu ‘orang yang ghaib’. Dalam kitab Syarah At-Thohawiyyah fi al-Aqidah as-Salafiyyah, juz 3, halaman 247, dinyatakan bahawa rijalul ghaib itu adalah bangsa jin. Dalam kitab Majmu’ fatawa, juz 2 halaman 62, Ibnu Taimiyyah menyebutkan bahawasanya rijalul ghaib adalah bangsa jin yang menyerupai manusia.
Orang bunian ini boleh dikenali dengan beberapa ciri. Antaranya ialah dari aspek pemakaian, orang bunian gemar memakai pakaian yang mempunyai satu warna sahaja. Baju, seluar, kain, tudung atau serban semuanya mempunyai warna yang sama. Mereka juga sukakan bilik yang keseluruhannya dihiasi dengan fabrik berwarna kuning atau putih atau hitam sahaja. Orang bunian juga sangat bersopan dan lemah lembut dalam berurusan tetapi amat mudah berkecil hati. Mereka juga mudah menjadi agresif jika permintaannya tidak ditunaikan.

Orang bunian ini tidak boleh terbang dan menjelma dalam bentuk lain. Mereka hidup seperti manusia dengan berjalan kaki atau berkenderaan. Adakalanya mereka menumpang kenderaan manusia, malah dikatakan turut menunaikan haji dengan menaiki kapal sama seperti manusia. Guru saya iaitu Dr. Haji Jahid Sidek Al-Khalidi pernah menceritakan satu kisah benar yang berlaku sekitar tahun 70an. Ada seorang hamba Allah yang berasal dari Kedah pergi menunaikan haji dengan menggunakan kapal laut. Dalam perjalanan pulang, beliau berkenalan dengan seorang jemaah yang berasal dari Muar. Setelah sampai di Malaysia, beliau berhasrat menziarahi kenalannya ini. Apabila tiba di Muar, beliau meminta pemandu teksi menghantarnya ke alamat kenalannya itu. Pemandu teksi berasa pelik kerana tiada kampung di kawasan yang hendak dituju itu. Apabila sampai, tiada tanda wujudnya penempatan di situ. Beliau gagahi juga berjalan masuk ke dalam semak. Tiba-tiba, beliau menemui kampung dan rumah kenalannya. Kenalannya itu menjemput beliau masuk, tetapi ditolak beliau kerana lebih suka duduk ditangga bagi mengambil angin. Tersinggung dengan penolakan itu, salah seorang ahli keluarga kenalannya itu menolak beliau ke bawah. Sebaik terjatuh ke atas tanah, beliau dapati rumah dan kampung tersebut sudah ghaib dan sekelilingnya adalah semak dan belukar.

Walaupun banyak diceritakan tentang keindahan alam bunian dan kebaikan mereka, umat Islam perlu mengelak sebarang hubungan dengan makhluk ghaib ini. Dibimbangi syaitan akan mengambil kesempatan atas kelalaian kita yang menyangka bersahabat dengan jin itu boleh membantu mendekatkan diri kita kepada Allah. Syeikh Muhyiddin Ibnu al-Arabi menegaskan perkara ini di dalam kitabnya al-Futuhat:  “Adapun orang yang bersahabat dengan jin itu tiada beroleh ilmu Allah, kerana jin itu sangat jahil akan Allah dan akan sifat-Nya. Dan terkadang orang yang bersahabat dengan jin itu menyangka bahawa segala perkara (ghaib) yang dikhabarkan oleh jin itu itu adalah karamah daripada Allah Ta’ala baginya. Maka sangkaannya itu adalah batil”.

Lelaki Yang Memiliki Ilmu dari Al-Kitab
Watak ketiga yang dinyatakan dalam ayat 40 surah An-Naml itu ialah seorang lelaki yang dikurniakan Allah suatu ilmu dari al-Kitab. Terdapat berbagai-bagai riwayat tentang lelaki ini. Ada yang mengatakan bahawa lelaki itu ialah Jibril, Nabi Khidir dan ada yang mengatakan beliau ialah Nabi Sulaiman a.s. itu sendiri. Namun, pendapat yang paling masyhur ialah beliau adalah Asif b. Burkhiya, salah seorang menteri kepada Nabi Sulaiman. Dengan keimanan yang mantap dan kefahaman tentang rahsia-rahsia dari Kitab yang diturunkan, beliau mampu mengatasi keupayaan ifrit tadi. Ibnu Ajibah meriwayatkan bahawa Asif telah berkata kepada Nabi Sulaiman: “Lemparkanlah pandanganmu sejauh mana engkau mampu”. Maka Nabi Sulaiman pun memandang ke arah Yaman. Maka Asif pun berdoa dengan nama-nama Allah Yang Maha Besar iaitu Ya Hayyu Ya Qayyum. Dengan izin Allah, singgahsana Balqis muncul di hadapan Nabi Sulaiman.

Peristiwa luarbiasa ini sebenarnya memberi pengajaran kepada kita terutamanya perawat-perawat Islam tentang akhlak sebenar seorang manusia yang benar-benar beriman kepada Allah. Apabila hajat Baginda a.s. supaya singgahsana tersebut dibawa ke hadapannya termakbul, Baginda terus melafaz kesyukuran dengan mengatakan bahawa apa yang berlaku adalah kurniaan dan ihsan Allah ke atas baginda, sedangkan Baginda tidak punya kuasa untuk mengadakannya. Baginya, kehebatan dan keajaiban ini adalah ujian untuk Baginda. Disebabkan itulah, maka Nabi Sulaiman dipuji oleh Allah dalam surah Shad ayat 30 sebagai sebaik-baik hamba.

Daripada kisah ini, dapat kita simpulkan bahawa segagah-gagah dan sejahat-jahat jin tidak akan mampu menandingi manusia yang mempunyai keimanan dan tawakal yang tinggi kepada Allah. Kemampuan mengalahkan makhluk tersebut merupakan kurniaan dan rahmat dari Allah semata-mata. Ianya juga adalah ujian kepada kita sama ada kita akan bersyukur atas pertolongan tersebut atau kita mendabik dada dengan mengatakan bahawa kita ada power untuk menundukkan ifrit tersebut.

Di kesempatan bulan Ramadhan yang masih berbaki beberapa hari lagi ini, sama-samalah kita membetulkan tauhid dengan meninggalkan terus perkara-perkara yang membawa kepada kesesatan seperti bersahabat atau berkawan dengan makhluk ghaib terutama ifrit dan hantu raya. Biarlah kita menyambut hari raya tanpa hantu raya. Itu lebih baik dan lebih menepati fitrah kita sebagai manusia yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi. Mudah-mudahan dengan cara ini, Allah akan mengurniakan taqwa dan tawakal sebagai bekal menghadapi godaan syaitan yang akan kembali menjalankan misinya setelah hampir sebulan dipenjarakan. Amin.

Wednesday, August 8, 2012



HIPNOSIS MINDA BAWAH SEDAR MENURUT ISLAM
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Artikel dalam Majalah Al Islam Julai 2012

Sambutan masyarakat terhadap kursus-kursus menguasai minda bawah sedar atau separa sedar (subconcious mind) sangat mengalakkan. Kursus ini melatih minda untuk terbiasa dengan suatu arahan yang menjadi rutin hidup seseorang dan akhirnya mendorongnya berjaya dalam apa yang difikirkan. Menurut pengamalnya, penguasaan minda separa sedar akan membantu memperbaiki kehidupan kita dan orang lain. Bagi ibubapa yang mempunyai anak yang degil, atau guru yang mempunyai murid yang tidak dengar cakap, maka teknik sebegini akan digunakan bagi menguasai minda anak dan murid agar mereka taat dan patuh kepada arahan.

Melalui pengalaman mengikuti program menguasai minda separa sedar, jurulatih mendedahkan teknik menguasai diri dan kehendak kita. Pada peringkat permulaan, beliau akan menyelitkan unsur-unsur positif dan keagamaan. Katakan anda ingin bangun awal untuk solat subuh, maka anda perlu lakukan 3 langkah mudah seperti berikut. Pertama, beri arahan kepada minda separa sedar sewaktu hendak tidur dengan menyebut berulang kali: “Aku mahu bangun untuk solat Subuh pukul 6 pagi esok”. Kedua, anda perlu bayangkan keadaan itu berlaku. Bayangkan dalam fikiran bahawa anda terjaga tepat jam 6 pagi, lalu bangun, berwudu’ dan bersolat. Ketiga, anda perlu bayangkan perasan anda setelah berjaya bangun dan menunaikan solat Subuh tadi. Pastinya anda akan merasa lega kerana berjaya melaksanakan satu perintah Allah. Setelah anda telah berjaya menguasai peringkat ini, anda akan diajar dengan teknik-teknik yang seterusnya termasuklah memilih dan menentukan parking kereta anda hanya dengan petikan jari.

Di peringkat yang lebih tinggi, jurulatih akan menegaskan: “Jika kita mampu menguasai kehendak diri, kita pasti mampu menguasai kehendak orang lain.” Maka jurulatih mula mengajar anda untuk menggunakan teknik menguasai orang sekeliling anda. Contohnya untuk melariskan perniagaan, anda perlu memberi arahan kepada minda separa sedar sewaktu membuka perniagaan: “Aku mahu untung sebanyak RM 5,000 hari ini”. Seterusnya, anda akan membayangkan wajah-wajah pelanggan anda berpusu-pusu datang ke kedai anda dan anda mendapat keuntungan yang banyak. Setelah semua gambaran itu diprogramkan dalam minda, anda dikehendaki menyerahkan kepada minda separa sedar pula untuk bekerja. Anda juga akan diajar menggunakan kekuatan roh dan hati untuk berkomunikasi dengan roh dan hati pelanggan agar membeli produk anda. Sesetengah jurulatih mengajar teknik menyalurkan kemahuan anda kepada minda separa-sedar pelanggan melalui sentuhan seperti berjabat tangan, tepuk bahu dan sebagainya.

Sekiranya anda mengikuti tahap seterusnya, anda akan didedahkan dengan teknik menguasai minda lawan, menolak bala, mengelak kemalangan, membenteng dari sihir, menjadikan diri dikasihi hingga tahap boleh mengalih hujan! Ada sesetengah teknik ini mempunyai unsur-unsur ghaib dan mistik seperti hipnosis dan meditasi. Teknik tersebut memang terbukti berjaya dan ianya dijadikan testimoni bagi menarik lebih ramai lagi mempelajari kaedah ini.

Konsep Tauhid dalam Penguasaan Minda separa sedar
Apabila mempelajari sesuatu yang bersifat kerohanian dan metafizik, maka kita perlu memastikan akidah dan keimanan kita kepada Allah tidak terjejas. Tanggungjawab ini seharusnya dipikul oleh jurulatih agar orang yang dilatihnya tidak tersasar dari akidah Islam. Namun, agak mengecewakan kerana kebanyakan jurulatih kekuatan minda ini tidak menitik beratkan soal qudrat (kekuasaan) dan iradat (kehendak) Allah, tetapi lebih menekankan teori-teori psikologi Barat yang berpaksi kepada potensi dan kekuatan diri semata-mata. Jurulatih ini menanamkan dalam minda: "Kita mesti yakin kepada diri sendiri! Kita ini manusia luar biasa hebat! Kita mampu lakukan itu dan buat ini.” Lebih malang lagi apabila jurulatih tersebut adalah bukan orang Islam. Sekiranya peserta yang hadir tidak mempunyai asas akidah yang mantap, pasti tidak mampu mengaitkan antara qudrat dan iradat Allah dalam setiap perkara yang terjadi. Merangsang minda untuk berfikiran positif dan kreatif amat diperlukan dalam kehidupan kita sehari-sehari, akan tetapi kekuasaan dan ketentuan Allah Ta'ala tidak boleh diketepikan apatah lagi dinafikan. Pergantungan kepada kemampuan dan potensi diri sendiri tanpa mengaitkan dengan kekuasaan Allah boleh membawa kepada sikap riya’, takbur, bongkak, ‘ujub dan syirik.

Jika ditinjau dari sudut sejarah, konsep minda separa sedar ini diasaskan oleh Sigmund Freud, seorang ahli psikologi berbangsa yahudi yang telah memperkenalkan teori psikoanalitik. Sigmund Freud pada permulaannya mempelajari teknik pukau atau hipnosis. Setelah berjaya menguasai teknik tersebut, beliau memperkenalkan metod free-association yang berkisar kepada penguasaan minda pesakit yang telah dihipnosis bagi tujuan terapi kejiwaan. Teknik ini dikembangkan ke seluruh dunia termasuk Malaysia. Oleh kerana istilah ‘pukau’ dan hipnosis merupakan salah satu cabang sihir yang dilarang dalam Islam, maka ianya ditukar kepada nama lain yang lebih saintifik seperti mind programming, super power minds, neuro language, subconscious mind empowerment, aura metafizik dan lain-lain.

Hipnosis (pukau) adalah cabang sihir
Ibnu Kathir dalam tafsirnya, juzu’ 1, halaman 367 menyatakan bahawa penggunaan kekuatan roh oleh seseorang bagi tujuan memberi kesan dan pengaruh kepada orang lain dikategorikan sebagai salah satu bentuk sihir. Dalam dunia hari ini, hipnosis atau pukau tidak lagi melibatkan jampi mantera, tetapi cukup dengan hanya menggunakan kerahan roh yang dilatih untuk menguasai pemikiran seseorang. Dalam perniagaan, sudah ada kursus-kursus yang mengajar teknik menarik perhatian dan fokus pelanggan dengan cara menguasai minda bawah sedar mereka. Fenomena ini merupakan sebahagian dari teknik memukau pembeli untuk membeli barangan mereka.

Hipnosis sudah lama diamalkan oleh para pengamal yoga, sami hindu dan sami budha dalam agama mereka. Ianya dilakukan melalui meditasi dan pertapaan dengan mengosongkan minda dan menumpukan kepada suatu kehendak. Melalui cara ini mereka mendapat ketenangan yang akhirnya menghasilkan perkara luarbiasa seperti mampu membaca hati orang, meramal apa yang akan berlaku, mengubah nasib diri, menguasai kehendak orang lain dan sebagainya. Zahirnya ianya tidak melibatkan bacaan mantera atau jampi serapah. Tetapi tanpa disedari, ianya melibatkan peranan syaitan bagi merealisasikan impian pengamalnya. Syaitan mengetahui apa yang diidamkan oleh seseorang. Dengan memenuhi hajat pengamal, maka keyakinan seseorang terhadap kebolehan dirinya sendiri akan meningkat. Secara perlahan-lahan, pergantungan kepada Allah akan berkurangan. Justeru, ramai umat Islam tidak menyedari adanya tipu daya jin dan syaitan dalam amalan hipnosis ini.

Dalam kebanyakan praktis rawatan jiwa, pesakit perlu mengosongkan minda dan hanya memberi sepenuh fokus kepada arahan dan saranan perawat. Dalam keadaan dihipnosis, minda bawah sedar pesakit mudah diprogramkan bagi tujuan mengurangkan stress dan masalah-masalah kejiwaan. Sewaktu dihipnosis, minda akan menjadi tenang dan tenteram. Jika diukur dengan alat pengukuran gelombang otak Electroencephalography (EEG), maka bacaan graf gelombang otak juga akan menjadi stabil. Namun, keadaan ini hanya dialami oleh pesakit ketika dihipnosis oleh perawat. Setelah habis sesi rawatan, perasaan tidak tenteram akan kembali seperti sedia.

Untuk mengubah sikap dan tabiat buruk seseorang, rawatannya perlu bermula dari hati. Nabi SAW bersabda: “Dalam diri anak Adam ada segumpal darah. Jika ia baik, maka baiklah seluruh (perilaku) anggota tubuh. Jika ia jahat, maka jahatlah (perilaku) seluruh anggota tubuh. Ketahuilah bahawa itulah hati.” Hati yang jahat dan rosak hanya boleh disembuhkan dengan banyak mengingati Allah, bukan setakat kata-kata rangsangan jurulatih semata-mata. Sabda Nabi SAW: “Berzikir mengingati Allah itu adalah ubat penyembuh bagi hati.” Latihan mengosongkan hati dan minda bagi mendapatkan ketenangan dilihat tidak selari dengan saranan Allah SWT dalam surah al Ra’d ayat 19: “Tidakkah dengan berzikir mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang?” Oleh kerana itu, dalam terapi pengubatan Islam, pesakit dinasihatkan agar sentiasa memenuhi jiwa dengan ingatan kepada Allah melalui bacaan ayat-ayat Al-Quran dan zikir-zikir yang terpilih. Ini dilakukan bagi menghindari penaklukan jin dan syaitan ke dalam minda. Sekiranya minda dibiarkan kosong, maka dikhuatiri akan mudah dimasuki dan dikuasai oleh makhluk halus.

Pernah berlaku kepada seorang alim di Pekan, Pahang, yang didatangi oleh seorang pengamal yoga yang mempunyai kebolehan membaca hati manusia. Apabila berdepan dengan orang alim ini, dia tidak mampu membaca hati orang alim tersebut. Keadaan ini membingungkan sami tersebut kerana dia tidak pernah gagal membaca hati orang sebelum ini. Menurut orang alim tersebut, kebolehan sami meneroka hati dan minda tersebut dibantu oleh syaitan. Apabila berdepan dengan sami tersebut, beliau memfokuskan ingatannya hanya kepada Allah memohon pertolongan dariNya. Itulah sebenarnya kelebihan dan kekuatan yang Allah kurniakan kepada hamba-hamba Allah yang mengingatiNya.

Islam telah pun menyediakan penyelesaian terbaik bagi merawat hati dan jiwa yang berkecamuk. Al-Quran menegaskan bahawasanya hati hanya akan menjadi tenang dengan menyebut dan mengingati Allah. Kajian tentang teknologi bio-feedback yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nubli Abdul Wahab dan Ustaz Abdul Kamil Jamaluddin dari Universiti Malaysia Pahang membuktikan bahawa kaedah rawatan melalui pendekatan Islam seperti berwudu, berzikir, bertaubat dan bersolat bukan sahaja mampu menenangkan minda, malah dapat mententeramkan hati dan anggota tubuh responden. Hal ini membuktikan kebenaran firman Allah dalam surah Az-Zumar ayat 23: “Kemudian kulit dan hati mereka itu menjadi lembut (tenang) disebabkan zikrullah (ingatan mereka kepada Allah).”

Minda Separa Sedar Menurut Islam
Minda merupakan sebahagian dari kejadian roh dan ia bersifat rohani dan rabbani. Rahsia-rahsia berkaitan roh sangat sedikit diketahui oleh manusia. Allah berfirman dalam surah al Isra ayat 85: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh. Katakanlah bahawa roh itu adalah urusan Tuhanku, dan tidak Aku berikan kepada kamu ilmu tentangnya kecuali sedikit sahaja.” Oleh itu, maklumat rahsia berkenaan roh seharusnya datang dari manusia-manusia yang hampir kepada Allah seperti para Nabi dan Rasul serta ulama-ulama yang benar-benar ikhlas, wara dan bertaqwa. Bukannya dari orang-orang yang tidak beriman dan tidak mengenal Tuhan yang mencipta roh itu sendiri.

Dalam Islam, terdapat lima perkara yang perlu dilindungi oleh umatnya dari sebarang pencerobohan iaitu agama, nyawa, akal, maruah dan harta. Islam melarang sebarang bentuk pencerobohan ke atas 5 perkara ini. Sesiapa yang melakukan pencerobohan ke atas hak ini, maka dia akan dikenakan hukuman. Sebagai contoh, orang yang menceroboh nyawa orang lain, maka dia akan dikenakan hukum bunuh balas (qisas). Hipnosis dan pukau merupakan salah satu pencerobohan ke atas roh dan akal seseorang. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan perbuatan menceroboh dan menguasai akal dan minda seseorang melalui cara tersebut.

Seseorang yang menguasai kehendak orang lain supaya menuruti perintahnya tanpa kerelaannya adalah tergolong dalam kategori manusia yang zalim. Ianya boleh menyebabkan kerugian dan penganiayaan kepada pihak yang dikuasai. Beberapa kenalan yang saya temui memberitahu bahawa mereka pernah terbeli produk dari penjual tanpa disedari. Mereka seolah-olah tidak dapat membantah dan menurut sahaja kehendak dan kemahuan penjual. Apabila tiba di rumah, barulah mereka terfikir kenapa mereka membeli sesuatu yang mereka sendiri tidak perlukan. Sekiranya penjual tersebut memang menggunakan hipnosis untuk menguasai kehendak pelanggan, maka perbuatan begini adalah suatu dosa.

Hanya Allah Berkuasa mengubah
Pendekatan memberi arahan kepada minda separa sedar sebelum tidur sebenarnya diambil dari kata-kata Thomas Edison: “Never go to sleep without a request to your subconscious”. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita seharusnya lebih mengagungkan sunnah dan ajaran Baginda berbanding lain-lain manusia. Baginda SAW mengajar agar sentiasa bergantung harap dan meletakkan kepercayaan kepada Allah dalam setiap langkah dan pekerjaan kita. Sentiasa bertaubat dan berdoa pada setiap masa. Mudah-mudahan dengan doa yang datang dari lidah dan hati yang telah bertaubat, maka Allah akan memakbulkannya. Dengan cara ini, kita akan sentiasa merasa berharap kepada Allah, bukannya kepada upaya dan usaha diri sendiri. Kita disaran supaya sentiasa menyebut La Haula Wa la Quwwata Illa Billah ‘Tiada daya dan kekuatan kecuali dengan kekuasaan Allah.’

Sekiranya berlaku perubahan positif mahupun negatif, maka kita harus sedar bahawa ianya berlaku dengan qudrat dan iradat Allah. Kita perlu menerima ketentuan qada’ dan qadar Allah dengan hati redha, kerana kita tidak punya kuasa atas diri kita mahupun diri orang lain. Hanya Allah yang berkuasa mengubahnya. FirmanNya dalam surah Al Qasas ayat 56: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak akan sesekali mampu memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasih, akan tetapi Allah lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” Oleh itu, sentiasa jadikan Allah sebagai tempat bergantung dalam hidup seharian kita.

*Artikel di atas adalah berdasarkan pengalaman mengikuti beberapa program menguasai minda separa sedar. Mungkin apa yang para pembaca ikuti berbeza dari apa yang penulis alami. Sekiranya kursus tersebut memberi manafaat, maka teruskanlah dan sentiasa mengharap rahmat Allah pada setiap perubahan positif. Sekiranya para pembaca dapati apa yang ditulis terjadi pada diri anda, maka berhati-hatilah. Dibimbangi ianya bukan dari ajaran agama kita dan membawa kepada murka Allah.

Wednesday, May 30, 2012

SIHIR: BUATAN ORANG @ BUATAN SENDIRI


SIHIR: BUATAN ORANG ATAU BUATAN SENDIRI?
ARTIKEL DALAM MAJALAH AL ISLAM BULAN JUN 2012

BUATAN ORANG ATAU BUATAN SENDIRI

  
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang

Sewaktu menunggu giliran untuk membuat urusan di kaunter KWSP Pahang, saya terdengar perbualan dua orang wanita yang duduk di hadapan saya. Perbualan mereka itu menarik perhatian saya kerana ianya berkaitan ilmu hitam. Mereka bercerita tentang saudara mereka yang jatuh sakit secara tiba-tiba selepas pulang dari sebuah negeri di utara semenanjung. Mangsa dikatakan mengalami muntah-muntah darah dan batuk berpanjangan. Menurut mereka, mangsa telah dibawa bertemu beberapa orang perawat dan semua perawat mengatakan bahawa mangsa terkena buatan orang. Saya yakin para pembaca juga biasa mendengar cerita sedemikian. Persoalan yang timbul, adakah dakwaan terkena buatan orang itu benar? Tidakkah kita terfikir ianya mungkin berpunca dari buatan sendiri?

Seorang pengkaji dari Barat, William Shaw telah mengkaji amalan mistik masyarakat Melayu-Islam. Dalam bukunya Aspects of Malaysian Magic halaman 49, beliau menyatakan bahawa sebilangan masyarakat di Malaysia percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa ilmu hitam dan telah mencari jalan untuk mendapatkan rawatan di samping ’memulangkannya’ kepada tuannya. Apa yang dinyatakan oleh William Shaw memang benar. Ramai pesakit yang ditemui mendakwa punca sakitnya adalah berpunca dari buatan orang, di mandrem, terkena ilmu hitam, terkena guna-guna, santau angin dan sebagainya. Dakwaan sebegini timbul disebabkan tanda-tanda aneh yang dialami oleh mangsa dan disokong pula oleh ramalan dan telahan oleh perawat-perawat yang tidak bertanggungjawab. Akhirnya, timbul prasangka dalam hati pesakit terhadap individu-individu tertentu yang disyaki menyihirnya. Lantas tercetus pergaduhan dan persengketaan. Lebih parah lagi, mangsa turut meminta khidmat pengamal sihir untuk menyihir kembali orang tersebut.

Bahaya Mempercayai Ramalan dan Telahan Rambang Perawat
Kepercayaan kepada dakwaan sedemikian mengundang pelbagai kesan negatif dan ianya perlu dihindari. Sebagai seorang Islam, kita wajar menyiasat dahulu adakah dakwaan sedemikian benar. Perbuatan menuduh seseorang melakukan perbuatan mensyirikkan Allah (iaitu sihir dan ilmu hitam) boleh menjejaskan akidah sekiranya tuduhan tersebut tidak benar. Allah SWT telah mengingatkan kita akan bahaya mempercayai berita, cerita, perkhabaran, telahan, ramalan atau tuduhan yang dilakukan oleh orang fasik. FirmanNya dalam surah Al Hujurat ayat 6:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Perbuatan menemui perawat yang mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti punca penyakit melalui ramalan, tilikan, imbasan (scan), ilham dan lain-lain unsur mistik boleh menjerumuskan kita ke dalam tipu daya syaitan. Ini kerana berita-berita ghaib yang disampaikan oleh mereka adalah bersumber dari syaitan dan jin yang dijadikan khadam atau sahabat. Firman Allah Taala dalam surah As-Syu’ara ayat 221-223:
”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta.”

Lebih mengelirukan apabila terdapat sebilangan pengamal perubatan yang menggunakan kaedah dan penampilan yang kelihatan Islamik bagi mengaburi mata pesakit. Ada di antara mereka menggunakan ayat-ayat dari Al Quran dan tasbih untuk menilik punca penyakit misteri dan melihat siapa dalangnya. Terdapat juga perawat yang melakukan solat sunat untuk melihat wajah orang yang melakukan sihir terhadap mangsa. Kaedah-kaedah yang kelihatan Islamik ini menyebabkan pesakit mempercayai sepenuh hati bahawa dakwaan perawat itu benar. Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya dengan sabdanya: ”Adalah bohong apa yang diberitahu oleh ahli nujum sekalipun bertepatan dengan apa yang diberitahunya.”

Antara Buatan Orang dan Buatan Sendiri
Untuk makluman para pembaca, selain disebabkan penggunaan ilmu hitam, gangguan makhluk halus pada manusia boleh terjadi dengan beberapa sebab yang lain. Antaranya ialah:
1)      Saka
Istilah saka (dalam konteks perubatan tradisional) merujuk kepada makhluk halus yang dijadikan sahabat atau khadam oleh keturunan atas (ibu bapa atau nenek moyang) untuk menjaga dirinya, anak cucunya dan harta bendanya. Apabila tuannya meninggal dunia, maka saka ini akan mencari tuannya yang baru dari keturunannya yang bawah (anak cucu). Makhluk inilah yang menimbulkan gangguan-gangguan yang kelihatan sama dengan simptom disihir.
2)      Amalan kebatinan yang menyeleweng
Seseorang yang menuntut ilmu kebatinan seperti ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu pendekar, ilmu cantik juga mempunyai risiko diganggu makhluk halus. Kehadiran makhluk halus tersebut bukan dihantar oleh tukang sihir sebaliknya kerana pemujaan yang dilakukan oleh pengamal melalui pelbagai amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat tertentu dalam waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya.
3)      Rawatan menggunakan makhluk halus
Seseorang yang mendapatkan rawatan dari perawat yang menggunakan makhluk halus sebenarnya telah membuka ruang kepada khadam belaan orang tersebut untuk memasuki dan menyerap dalam tubuhnya. Rawatan ini biasanya melibatkan upacara yang aneh dan pelik seperti menurun, main puteri, tok bageh, bedah batin, ulek mayang, alin telur dan yang seumpamanya.
4)      Memagar atau mendinding rumah dengan cara yang berlawanan syariat
”Harapkan pagar, pagar makan padi”. Begitulah perbuatan memagar kediaman dengan cara yang salah. Ia sebenarnya menjerumuskan penghuni kediaman kepada gangguan makhluk halus. Ini kerana yang ditugaskan untuk menjaga rumah bukanlah malaikat tetapi makhluk-makhluk halus yang lambat laun akan menjahanamkan keharmonian rumahtangga.
5)     Menggantung dan menyimpan sebarang tangkal, azimat, wafaq atau barang berpuja seperti keris atau barang-barang lama. Perbuatan ini juga akan mengundang gangguan kepada diri dan kediaman mangsa.

Walaupun puncanya berlainan, namun kesan yang dirasai oleh mangsa adalah sama. Ini bermakna, apabila seseorang terlibat dengan salah satu perkara yang dinyatakan di atas, maka mudahlah mereka diganggu oleh makhluk halus. Tanda-tanda gangguan makhluk ini dapat dilihat melalui beberapa sudut. Dari aspek fizikal, kebiasaannya mangsa akan merasa badannya sakit menyucuk-nyucuk, terasa panas, terasa bisa-bisa, terasa kebas. Adakalanya timbul tompok lebam berwarna biru kehitaman di peha dan lengan, sakit kepala pada waktu tertentu, terasa berat seperti memikul sesuatu, terasa sesuatu mencakar-cakar belakangnya, muntah darah dan hilang selera makan. Dari segi mental, mangsa biasanya menjadi resah dan gelisah sehingga tidak boleh tidur malam, sering bermimpi dikejar binatang buas atau lembaga hitam, disengat haiwan berbisa, atau jatuh dari tempat yang tinggi, terdengar suara atau bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu, sering berasa was-was, bimbang, ragu-ragu dan takut yang melampau. Emosi mangsa serangan makhluk halus juga biasanya tidak stabil. Mangsa akan ketawa atau bercakap seorang diri, meracau-racau, murung, marah tanpa sebab, menolak pinangan orang, tidak mahu bergaul dengan orang sekeliling. Manakala gangguan di kediaman atau premis perniagaan menyebabkan mangsa terlihat jelmaan atau lembaga yang menakutkan, atau bunyi-bunyian yang pelik. Kadang-kadang pelanggan yang datang ke premisnya nampak seolah-olah ia tertutup walaupun sebenarnya ia dibuka.

Semua kesan yang dinyatakan merupakan petanda-petanda bahawa seseorang itu kemungkinan mengalami gangguan mahkluk halus. Sekiranya kita atau ahli keluarga ada mengalaminya, jangan kita terburu-buru membuat kesimpulan bahawa ianya akibat buatan orang. Boleh jadi ianya berpunca dari buatan diri sendiri.

Tips-tips Menghadapi Gangguan Makhluk Halus
Terdapat 3 langkah mudah yang boleh dilakukan sekiranya seseorang mengalami tanda-tanda diganggu makhluk halus.

Langkah 1: Pandang dan lihat kekuasaan Allah
Apabila ditimpa penyakit-penyakit misteri, janganlah cepat mendakwa bahawa kita telah terkena buatan orang atau sihir. Janganlah pula kita pergi mendapatkan khidmat perawat-perawat yang kononnya boleh melihat dan menilik siapa yang menjadi dalangnya. Sebaliknya, hendaklah kita segera melihat bagaimana kekuasaan Allah dalam memberi kebaikan atau menimpakan mudarat kepada manusia. Hendaklah kita menanam dalam hati bahawa hanya Allah SWT yang mampu memudaratkan kita, bukannya makhluk halus. Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 102:
”Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut dan Marut) akan ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka (pengamal-pengamal sihir) tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah.”

Langkah 2: Selidiki punca-punca terjadinya gangguan
Apabila ditimpa gangguan misteri, hendaklah kita selidik, adakah terdapat pintu dan lorong yang memudahkan makhluk halus untuk masuk ke dalam diri kita. Cara untuk menyelidikinya adalah dengan bertanya soalan-soalan berikut:
  • Adakah kita beramal dengan amalan-amalan khurafat?
  • Adakah kita mempunyai keturunan yang bersahabat dengan makhluk halus?
  • Adakah kita pernah mendapatkan rawatan dari seseorang yang menggunakan kaedah yang bertentangan syariat?
  • Adakah kita ada menyimpan tangkal, azimat atau wafaq?
Sekiranya ada, maka sayugia kita segera bertaubat mohon ampun kepada Allah. Lakukan solat sunat taubat dan perbaharui semula syahadah kita, sebagai tanda kita kembali bertuhankan Allah. Moga-moga dengan kembalinya kita kepada Allah, Allah akan mendatangkan perlindungan dan pertolongan. Selepas itu, mintalah bantuan dari Allah dengan bersabar dan bersolat.

Langkah 3: Musnahkan  jalan masuk makhluk halus ke dalam diri kita
Sekiranya gangguan dipercayai ada kaitan dengan saka, maka barang-barang kesayangan pemilik saka seperti senjata atau barang kemas perlu dimusnahkan. Kebiasannya, barang-barang itu turut dijaga oleh makhluk tersebut selepas kematian tuannya.

Sekiranya kita ada beramal dengan amalan kebatinan, maka hentikanlah amalan tersebut dan banyakkanlah bertaubat. Sekiranya kita ada menyimpan tangkal, azimat atau wafaq, maka bakarlah kesemua benda-benda tersebut dan bertaubatlah kepada Allah. Mengharap perlindungan dari Allah yang Maha Kekal lebih baik dari berharap kepada sesuatu yang fana’.

Sekiranya gangguan masih berlaku, maka bersabar dan berdoalah agar Allah temukan dengan perawat yang selari dengan syariat. Hindarkan dari mendapatkan khidmat perawat yang suka mempamerkan perkara-perkara luarbiasa. Allah SWT melarang orang-orang beriman dari mendapatkan khidmat seseorang untuk meramal atau menilik punca penyakit kerana ianya sebahagian dari amalan syaitan sebagaimana firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 90:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi (dan sembah berhala dan undi nasib), dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Berhati-hatilah dengan perawat yang melakukan tilikan atau ramalan terhadap diri anda dengan menggunakan nama ibu anda, atau tarikh lahir anda, atau warna kegemaran anda, atau huruf-huruf hijaiyyah pada nama anda, atau hanya dengan melihat diri anda, atau dengan cara imbasan batin (scan) sahaja, lalu menyatakan bahawa diri anda dihuni oleh puluhan jin, atau anda telah terkena buatan orang. Dibimbangi anda akan mengesyaki saudara terdekat atau orang-orang di sekeliling yang melakukannya, lantas anda merasa benci dan menaruh syak wasangka padanya sedangkan dia tidak melakukan apa-apa pun terhadap anda.

Monday, March 26, 2012

KHADAM AYAT: MALAIKAT @ SYAITAN?



ARTIKEL BULAN APRIL 2012

KHADAM AYAT: MALAIKAT ATAU SYAITAN?
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pensyarah Kanan Kolej Antarabangsa IKIP


Al Quran adalah merupakan satu rahmat untuk manusia khususnya umat Islam. Ia merupakan satu-satunya mukjizat Rasulullah SAW yang kekal sehingga hari kiamat. Isi kandungannya mengandungi panduan dan pedoman untuk kita melayari kehidupan. Ayat-ayatnya pula menjadi penawar bagi segala penyakit sama ada penyakit rohani mahupun penyakit jasmani. Tidak hairanlah jika ramai antara kita yang mengamalkan ayat-ayat tertentu dari al-Quran sebagai penyembuh atau untuk hajat tertentu. Antara ayat-ayat Al Quran yang biasa diamalkan dalam masyarakat kita ialah ayat 31 dari surah Al Baqarah sebagai ayat pengasih, ayat 1 dari Surah Al Masad sebagai ayat kebal, ayat 9 dari surah Yasin untuk ghaib, ayat 2-3 dari surah Al Talaq sebagai pelaris dan ayat 31 dari surah Yusuf sebagai ayat penyeri muka. Pengamalan ayat-ayat ini kelihatan lebih baik dari beramal dengan jampi serapah dan mantera yang merapu-rapu. Walau bagaimanapun, timbul persoalan, sejauh manakah amalan sebegini dibenarkan? Apakah syarat-syarat untuk beramal dengannya? Dan apakah kesan sekiranya amalan tersebut berlawanan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW?

Iman yang Mantap adalah Syarat Utama
Allah Taala telah berfirman dalam surah al-Isra ayat 82: ”Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.” Menurut Syeikh Mutawalli As-Sya’rawi dalam tafsirnya halaman 5287, ayat tersebut menunjukkan bahawa ayat-ayat al Quran hanya menjadi rahmat dan penyembuh penyakit jika dibaca dan diamalkan oleh orang-orang yang benar-benar beriman. Antara tanda-tanda orang yang tulin imannya ialah solatnya kusyuk, sentiasa menjauhi perkara melalaikan, menunaikan zakat, menjaga kemaluan, menepati janji, menjaga solat, baik akhlak, menghormati jiran dan sebagainya. Ciri-ciri ini dapat dilihat dalam Al Quran dan juga hadis Nabi SAW. Bacaan ayat-ayat Al Quran oleh orang-orang yang mempunyai ciri-ciri sebegini akan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada yang mendengarnya tidak kira Islam mahupun orang kafir.

Peristiwa pengislaman Saidina Umar merupakan contoh terbaik. Ketika Saidina Umar mendengar ayat Quran dibaca oleh kaum musyrik dihadapannya, bertambah kebencian dan kemarahannya terhadap Islam, dan ingin ia lari dari mendengarnya. Tetapi apabila mendengar ayat tersebut dari mulut adiknya yang telah beriman, maka terus lembut jiwanya dan terpancar cahaya keimanan dari lubuk hatinya lantas beliau terus memeluk Islam. Hal ini digambarkan oleh Allah dalam surah at Taubah ayat 124-125 yang bermaksud: ”Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.”

Yang demikian, jelas bahawa syarat terpenting untuk menggunakan ayat Al Quran sebagai penyembuh ialah keimanan yang mantap kepada Allah. Dalam beberapa riwayat, diceritakan bahawa para sahabat Nabi SAW mampu menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk kerasukan dan penyakit gila hanya dengan membaca surah Al fatihah dan Al Ikhlas sahaja. Keimanan dan keyakinan mereka terhadap kekuasaan Allah untuk menyembuh menjadi senjata utama mereka.

Syeikh Mutawalli Sya’rawi seterusnya berkata, sekiranya ayat-ayat Al Quran dibaca sebagai jampi oleh seseorang yang zalim, fasik atau munafik, maka ia tidak akan mendatangkan manfaat tetapi membawa kemudaratan. Sekiranya pengamal ayat-ayat ini mempunyai iman yang lemah, lama-kelamaan dia akan terpedaya oleh tipuan syaitan sehingga timbul keyakinan bahawa ayat itu yang berkuasa. Secara tidak langsung, dia telah melakukan perbuatan syirik. Apabila keadaan ini berlaku, syaitan dan jin yang jahat akan mengambil kesempatan dengan mendakwa mereka adalah khadam atau malaikat yang menjaga ayat tersebut.


Tipu daya Syaitan sebagai Khadam Penjaga Ayat
Allah menegaskan bahwa sesiapa yang berpaling dari intipati dan pengajaran sebenar dari ayat yang diturunkan, maka Allah akan jadikan syaitan sebagai qarin (pendamping) yang akan menyesatkannya dari jalan yang sebenar. FirmanNya dalam surah Az Zukhruf ayat 36-37: ”Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Ibnu Qayyim Al Jauzi dalam tafsirnya, juzu 1, halaman 490 menyatakan bahawa Al Quran adalah jalan bagi hati seseorang mendapat ketenangan. Justeru, sesiapa yang berpaling dari ajaran sebenar Al Quran atau menggunakan ayat Al Quran dari tujuan asal ia diturunkan, maka Allah akan jadikan baginya seekor syaitan yang menjadi Qarin. Qarin inilah yang akan berkhidmat kepada pengamalnya. Lalu timbul tanggapan bahawa malaikat yang menjaga ayat tersebut telah menjadi penolongnya. Inilah tipudaya dalam amalan-amalan kebatinan seperti ilmu ghaib, ilmu kebal, ilmu khadam ayat dan seumpamanya.

Melalui pengalaman merawat individu-individu yang mengamalkan ilmu tertentu khususnya ilmu khadam ayat, memang mereka mengakui memperolehi banyak kebaikan. Akan tetapi, sampai satu masa, ahli keluarga mereka (biasanya isteri) terlihat lembaga menyerupai diri pengamal walhal ketika itu beliau keluar bekerja dan tidak bermalam di rumah. Ini menunjukkan bahawa jelmaan beliau itu adalah qarin syaitan yang kononnya menjaga diri, keluarga dan kediamannya. Lama kelamaan qarin syaitan ini akan menganggu keharmonian hidup keluarga pengamal tersebut.


CARA BERAMAL AYAT AL QURAN
Para ulama ada memberi panduan khas untuk seseorang untuk beramal dengan sesuatu ayat bagi tujuan penyembuhan pesakit.

Yang pertama, kita mesti mengiktikad bahawa apa segala yang berlaku hasil dari bacaan ayat-ayat tadi adalah dengan keizinan Allah. Ayat yang dibaca, sekalipun keseluruhan ayat Al Quran, tidak akan memberi bekas, bahkan Allah lah yang berkuasa memberinya. Firman Allah dalam surah al Ra’d ayat 31:
“Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, bahkan semua perkara-perkara tersebut berlaku tertentu bagi Allah.”

Imam Al Qusyairi menegaskan dalam tafsirnya, jilid 4, halaman 12, bahawa segala sesuatu yang terzahir perubahannya setelah dibacakan ayat-ayat dari Al-Quran, adalah berlaku dengan kekuasaan Allah. Yang baik atau buruk adalah dari Allah, dan kesemuanya adalah urusanNya.

Yang kedua, hendaklah kita memahami, menghayati dan melaksanakan pengajaran dari ayat yang dibacakan. Sekiranya maksudnya baik dan mengandingi panduan, maka hendaklah kita amalkan. Sekiranya maksudnya sebaliknya, maka jadikan ia sebagai tauladan dan mohonlah perlindungan Allah dari menjadi sebahagian darinya.

Sebagai contoh, ayat 31 dari Al Baqarah yang selalu dijadikan ayat pengasih bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada umatmu, Sekiranya kamu cintakan Allah maka ikutlah aku nescaya Allah akan mencintai kamu”. Jika dihayati, ayat tersebut memberi panduan bahawa jika kita ingin dicintai Allah, maka kita perlu mengikut apa yang Nabi SAW ajarkan. Antara yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada para isteri supaya dikasihi suami ialah mentaati dan melayani suami sebaik-baiknya. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Isteri tidak mahu patuh pada perintah suami, selalu melawan cakapnya dan tidak mahu melayannya sebaik-baiknya. Natijahnya, kasih suami padanya terhakis. Akhirnya, si isteri ini diajar supaya membaca ayat tadi dan dihembus ke ubun-ubun suaminya ketika tidur. Kaedah seumpama ini tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi SAW. Dibimbangi perbuatan mengamal ayat tersebut tanpa memahami pengajarannya merupakan perbuatan At-Tiwalah iaitu guna-guna yang dilarang oleh Nabi SAW.

Begitu juga dengan ayat 31 dari surah Yusuf yang sering diguna sebagai ayat seri muka. Ayat tersebut bermaksud: “Maka ketika mereka melihatnya (Yusuf), mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!" Ayat ini menceritakan reaksi isteri-isteri pembesar Mesir tatkala melihat ketampanan Nabi Yusuf a.s. Sekiranya kita memahami sikap dan akhlak Nabi Yusuf a.s., maka kita akan dapati ketampanan baginda bukan hanya pada lahiriah sahaja, tetapi juga pada batin Baginda. Hati Baginda sangat takut jika ada manusia yang tertarik kepadanya angkara nafsu, lalu Baginda berkata: “Aku tidak berlepas dari perdayaan nafsuku. Seungguhnya nafsu itu mendorong kepada kejahatan kecuali mereka yang Allah beri rahmat ke atasnya.” Oleh itu, jika seseorang membaca ayat ini untuk menarik perhatian orang kepadanya, maka cara penggunaannya bertentangan dengan pengajaran ayat tersebut. Apa yang patut dilakukan ialah menghayati sikap Nabi Yusuf a.s. dan berusaha untuk menjauhi dari tipuan nafsu.

Bagi golongan peniaga, ayat 2-3 dari Surah Al Talaq (yang juga dikenali sebagai ayat 1000 dinar) sering diamal dan digantung di premis perniagaan. Ayat ini bermaksud:“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar, serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” Ayat tersebut memberi panduan berguna bagi seseorang yang ingin melariskan perniagaannya. Yang pertama ialah TAQWA. Antara tanda taqwa ialah melakukan segala yang disuruh seperti menjaga sembahyang walau sibuk berniaga, menjual produk yang halal, baik dan bersih, tidak melakukan penipuan dalam timbangan dan sebagainya. Dengan sifat taqwa kepada Allah, maka Allah akan mengurniakan rezeki yang melimpah ruah tanpa disangka-sangka. Syarat yang kedua ialah TAWAKAL. Sekiranya perniagaan dilakukan dengan sebaik-baiknya, tetapi masih tidak menghasilkan keuntungan, maka hendaklah dia bertawakkal dan yakin bahawa Allah adalah sebaik-baik pemberi rezeki. Dengan adanya tawakal dalam hati peniaga, maka dia akan sentiasa berharap kepada Allah yang terkenal dengan sifat dengan Maha Pemurah. Malangnya, ramai antara kita hanya membaca dan menggantungnya sahaja setiap kali memulakan perniagaan, tetapi meninggalkan pengajaran ayat tersebut.

Terdapat pengamal ilmu kebal yang menggunakan ayat 1 dari Surah Al Masad. Pengamal akan membaca ayat tersebut sambil dikatupkan mulut dan diiktikad kulitnya tidak dapat ditembus apa-apa kecuali dia membuka mulut. Ayat tersebut bermaksud: “Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab, dan binasalah ia bersama!”. Ia diturunkan berikutan perbuatan Abu Lahab yang memusuhi dan memerangi Nabi SAW. Jika ditelitikan, tiada kaitan langsung antara ayat tersebut dengan kekebalan. Ayat tersebut merupakan ayat laknat terhadap musuh Allah dan musuh Rasulullah. Para ulama apabila membaca ayat-ayat berbentuk laknat ke atas musuh Islam seperti Abu Lahab, Firaun, Haman dan Abrahah (tentera bergajah), mereka akan merasa benci dan mohon dijauhkan dari bersama golongan tersebut. Jika ilmu kebal ada diajar dalam Islam, pasti Baginda SAW adalah orang pertama yang akan mengajarkannya kepada sahabat supaya mereka tidak cedera dalam peperangan. Dan sekiranya dengan membaca ayat tersebut boleh menjadikan sahabat kebal, nescaya Rasulullah SAW pasti tidak akan bertawasul mengambil keberkatan dari bapa saudaranya yang kafir.  Justeru, memahami, menghayati dan melaksanakan pengajaran ayat Al-Quran lebih dituntut berbanding membacanya untuk sesuatu kelebihan tanpa memahami apa yang diamalkan.

Syarat yang ketiga, ulama berpesan agar kita mengakhiri setiap bacaan ayat-ayat Al Quran dengan doa dan munajat, memohon kepada Allah agar mengabulkan permintaan. Imam As Suyuti menyebut dalam Kitab At Tibb An Nabawi: “Apabila kamu membaca sesuatu ayat dari Al Quran bagi mendapat sesuatu kebaikan dan pertolongan dari Allah, maka akhirilah bacaan ayat tadi dengan doa dan munajat kepadaNya.”

Sebagai kesimpulan, kita harus berhati-hati dalam beramal dengan ayat-ayat tertentu dari al-Quran agar tidak terpedaya dengan tipuan syaitan.

Monday, March 12, 2012



Seminar Undang-undang Jenayah Sihir anjuran Kolej Antarabangsa IKIP, Yayasan Pahang, Jabatan Kehakiman Syariah Pahang dan Majlis Agama Islam Pahang pada 11 Oktober 2010. 


Sesi pembentangan kedua

  

Membentangkan kertas kerja bertajuk: "Undang-undang Jenayah Sihir: Isu dan Cabaran".


Sesi soal jawab dengan dibantu oleh Ustaz Abdul Razak selaku moderator.