Desakan agar diwujudkan undang-undang jenayah sihir sebagaimana yang disepakati dalam Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis, anjuran Jabatan Mufti Selangor pada 17 Disember 2009 telah memberi satu isyarat kepada pihak berkuasa betapa perlunya kegiatan jenayah sihir ditangani melalui mekanisma perundangan. Perkara ini telah mendapat respon yang positif dari orang ramai dan kebanyakkannya bersetuju dengan cadangan tersebut. Namun, adakah jenayah sihir hanya berleluasa di kurun ke 20 ini dan adakah usaha untuk mewujudkan undang-undang sebegini merupakan satu perkara yang baharu?
Tamadun Mesopotamia
Ilmu sihir adalah antara ilmu tertua yang diamalkan di dunia dan ia telah mula wujud sekitar 5000 tahun sebelum Masihi dan masih diamalkan secara meluas pada hari ini. Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir tersebar luas dalam kehidupan masyarakat termasuk para pemerintah serta keluarga diraja. Menurut Walter Farber dalam buku Witchcraft, Magic and Divination in Ancient Mesopotamia, amalan sihir pada ketika itu dipelopori oleh golongan bangsawan yang digelar āšipu. Menurut sarjana Islam pula, ilmu sihir yang diamalkan di zaman tersebut adalah berdasarkan pergerakan bintang dan planet (dikenali sebagai sihir Bani Kaldan) dan ianya antara kategori sihir yang hebat dan kuat. Mereka mempunyai kebolehan untuk mengubah manusia menjadi haiwan seperti keldai atau anjing dan terbang di udara dengan menunggang batang penyapu. Menyedari kesan negatif yang ditimbulkan melalui amalan sihir, maka Raja Hammurabi (1810-1750) menetapkan prosedur dan hukuman ke atas seseorang yang menuduh seseorang yang lain mengamalkan ilmu sihir. Undang-undang tersebut boleh dilihat tercatat dalam peraturan No. 2, Kod Hammurabi yang dipamerkan di Muzium Louvre, Paris.
Ilmu sihir adalah antara ilmu tertua yang diamalkan di dunia dan ia telah mula wujud sekitar 5000 tahun sebelum Masihi dan masih diamalkan secara meluas pada hari ini. Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir tersebar luas dalam kehidupan masyarakat termasuk para pemerintah serta keluarga diraja. Menurut Walter Farber dalam buku Witchcraft, Magic and Divination in Ancient Mesopotamia, amalan sihir pada ketika itu dipelopori oleh golongan bangsawan yang digelar āšipu. Menurut sarjana Islam pula, ilmu sihir yang diamalkan di zaman tersebut adalah berdasarkan pergerakan bintang dan planet (dikenali sebagai sihir Bani Kaldan) dan ianya antara kategori sihir yang hebat dan kuat. Mereka mempunyai kebolehan untuk mengubah manusia menjadi haiwan seperti keldai atau anjing dan terbang di udara dengan menunggang batang penyapu. Menyedari kesan negatif yang ditimbulkan melalui amalan sihir, maka Raja Hammurabi (1810-1750) menetapkan prosedur dan hukuman ke atas seseorang yang menuduh seseorang yang lain mengamalkan ilmu sihir. Undang-undang tersebut boleh dilihat tercatat dalam peraturan No. 2, Kod Hammurabi yang dipamerkan di Muzium Louvre, Paris.
Tamadun Mesir Kuno
Tamadun Mesir Kuno pula dianggap sebagai tempat berasalnya segala ilmu yang ghaib yang ganjil. Pengaruh sihir dalam tamadun ini adalah sangat meluas meliputi bidang perubatan hinggalah kepada pemerintahan. Catatan sejarah juga menyatakan bahawa hampir kesemua penduduk Mesir ketika itu memakai tangkal dan azimat. Pemerintah dan penguasa kerajaan juga turut menggunakan dan mengamalkan ilmu sihir bagi mengekalkan dan mengukuhkan kedudukan mereka. Antaranya ialah Niktanibas, seorang raja dan tukang sihir yang sangat kejam, yang memerintah Mesir hingga tahun 358 sebelum Masihi. Memandangkan pemerintah dan raja-raja turut terlibat dalam amalan sihir, maka pelaksanaan undang-undang untuk membanteras kegiatan sihir merupakan satu perkara yang mustahil. Justeru itu, pengutusan Nabi Musa a.s. yang dilengkapi dengan beberapa mukjizat adalah cara paling berkesan untuk menghadapi dan mengatasi kejahatan ilmu sihir yang bermaharajalela ketika itu.
Tamadun Rom dan Yunani
Pencapaian bidang perubatan dalam tamadun Mesir yang banyak menggunakan unsur-unsur sihir turut mempengaruhi kaedah perubatan tamadun Yunani. dikatakan bahawa tukang-tukang sihir pada zaman tersebut mampu menyeru roh-roh orang yang sudah mati untuk menimbulkan permusuhan dan kekacauan dalam masyarakat. Ketika pemerintahan Julius Caesar, beliau telah memperkenalkan The Twelve Tables yang memperuntukan: “That it to be decided that persons who are addicted to the art of magic shall suffer extreme punishment. Magicians themselves shall be burned alive.” Undang-undang ini dikuatkuasakan secara berterusan pada zaman empayar Byzantin dan keseluruhan Eropah sehingga akhir kurun ke 17. Selain itu, undang-undang tersebut juga menetapkan hukuman bagi sesiapa yang menyanyikan lagu-lagu berunsur pemujaan yang dikenali sebagai malum Carmen incantare dan mereka yang cuba untuk mencuri hasil tuaian menerusi jampi mantera.
Tamadun Parsi
Sihir dalam tamadun Parsi juga tersebar dan mendapat tempat dikalangan rakyat dan pemerintah. Dikatakan bahawa panglima tentera Parsi bernama Rastam pernah melihat bintang bagi menilik nasib bala tenteranya ketika berhadapan dengan tentera Islam dalam peperangan Qadisiah. Dari tilikannya, dia mendapat alamat bahawa mereka akan kalah, lalu dia mengambil keputusan untuk menamatkan pertempurannya. Begitu juga dengan bendera dan panji yang dibawa ketika berperang. Dikatakan bahawa ianya mengandungi rajah-rajah tertentu yang dicacah dengan emas yang ada kaitan dengan simbol sihir. Dalam peperangan Qadisiah, bendera tersebut telah dikoyakkan dan Rastam sendiri telah mati dibunuh. Pengaruh agama Kristian dan juga Islam yang datang selepas itu sedikit sebanyak dapat membasmi kegiatan tukang sihir.
Tamadun China
Di benua Asia, ilmu sihir dikatakan tersebar melalui negara China dan India. Menurut Donald Harper, pemerintah Dinasti Han seperti Lin Ch’e (140-87 SM) telah menjadikan istananya sebagai tempat berkumpulnya ahli sihir. semasa era Dinasti Yuan (Mongol) pula, pihak pemerintah telah menetapkan hukuman kelar hidup-hidup ke atas tukang-tukang sihir yang membunuh kanak-kanak bagi mendapatkan hati dan limpa untuk tujuan pemujaan roh. Hingga hari ini, China masih lagi mengekalkan beberapa peruntukan undang-undang jenayah yang mempunyai kaitan dengan amalan sihir. Antaranya ialah Perkara 165 Undang-undang Jenayah Republik China yang menetapkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun bagi tukang sihir yang mengamalkan sihirnya bagi tujuan mendapatkan harta secara tipuan.
Tamadun Islam
Islam pula mengakui kewujudan ilmu sihir tetapi melarang penganutnya dari terlibat di dalam amalannya dan ia dikategori sebagai salah satu dosa besar. Di dalam Al-Qur’an, perkara tentang sihir kebanyakannya disebut melalui paparan kisah-kisah yang terjadi pada zaman Nabi-nabi sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW. Bahkan terdapat juga hadis yang mengisahkan kejadian Nabi Muhammad SAW disihir oleh seorang Yahudi bernama Labid bin al A’sam. Islam juga menetapkan hukuman ke atas pengamal-pengamal sihir. Ini boleh dilihat melalui satu athar yang diriwayatkan oleh Bujalah r.a. bahawa pada zaman Saidina Umar, beliau telah menetapkan bahawa hukuman bagi ahli tukang sihir ialah mati. Majoriti ulama Islam menetapkan hukuman bunuh terhadap tukang sihir.
Tamadun Barat
Apabila Empayar Rom telah jatuh, maka Barat mula dilanda zaman gelap. Pada masa itu, ilmu sihir tersebar luas di eropah dan ianya sukar untuk dibendung. Menurut Martin Luther, amalan sihir pada zaman itu adalah satu perkara yang lumrah. Pihak gereja mengambil pendekatan mengawal kegiatan sihir dari sudut keagamaan. Ayat-ayat dalam Injil seperti Deuteronomi 18:11-12, Exodus 22:18, Leviticus, 20:27, Galatians 5:20, Revelation 21:8; 22:15; dan Acts 8:9; 13:6 menjadi justifikasi suci kepada para penganut Kristian untuk menghapuskan kegiatan sihir dan pengamalnya. Ramai raja dan pemerintah ketika itu turut membantah penggunaan sihir dalam masyarakat. Pada tahun 1326, Pope John XXII telah mengisytiharkan perang terhadap tukang sihir dalam usahanya untuk membanteras penggunaan sihir. Antara undang-undang yang pernah digunapakai semasa zaman Pertengahan Eropah ialah Kod Visigoth. Pada masa itu, ilmu sihir dilabelkan sebagai satu bentuk ajaran sesat, dan memperuntukkan bahawa pengamal sihir itu akan dibakar dipancang. Kegiatan membanteras amalan sihir dan pengamalnya semakin memuncak apabila buku Malleus Maleficarum atau lebih dikenali di Barat sebagai The Hammer of Witches telah diterbitkan pada tahun 1487. Pada tahun 1563, undang-undang yang diperkenalkan semasa awal pemerintahan Elizabeth I memperuntukkan bahawa sesiapa sahaja yang menggunakan, mengamalkan atau melaksanakan apa-apa sahaja penyihiran atau penangkalan yang menyebabkan kematian atau kemusnahan kepada seseorang, maka dia dikira bersalah melakukan satu jenayah besar (felony) dan akan dihukum mati. Undang-undang ini telah diluaskan lagi perlaksanaannya oleh pengganti Elizabeth iaitu James I. Akta tersebut telah digantikan dengan Witchcraft Act 1736 semasa pemerintahan George II. Pada tahun 1951, akta tersebut pula telah dimansuhkan dan diganti dengan Fraudulent Mediums Act 1951.
Kesimpulan
Undang-undang yang pernah wujud dalam tamadun-tamadun terdahulu membuktikan adanya kesedaran dalam minda pihak pemerintah tentang bahaya dan kesan negatif yang timbul dari amalan sihir. Ianya bukan sahaja boleh menyebabkan penderitaan kepada seseorang mangsa malah boleh meruntuhkan tamadun sesuatu bangsa. Masyarakat yang hidup dalam kerukunan boleh menjadi huru hara dan berpecah belah angkara sihir. Dari sudut pandangan agama pula, semua agama di dunia melarang keras penganutnya dari berkecimpung dan melibatkan diri di dalam amalan ini. Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa usaha-usaha untuk memerangi dan membanteras pengamalan sihir bukanlah suatu yang baharu bahkan ia pernah dikuatkuasakan. Cadangan agar diwujudkan akta jenayah sihir untuk menangani jenayah sihir di Malaysia adalah sangat tepat dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya. Kajian bagi mengenalpasti kaedah-kaedah pembuktian dan keterangan dalam mahkamah perlu dilakukan oleh pihak berwajib demi memastikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman damai tanpa sebarang ancaman dari tukang-tukang sihir. Emmet V. Mittlebeeler menyatakan:
“If we accept the theory that the law of crimes developed from direct public action against a malefactor, witchcraft may have been the first of all crimes.
“If we accept the theory that the law of crimes developed from direct public action against a malefactor, witchcraft may have been the first of all crimes.