KUMAN ITU BANGSA
JIN???
(Al-Islam Januari 2016)
Pendahuluan
Kuman itu
bangsa jin? Kedengaran agak pelik. Bila masa pula kuman ini dikategorikan
sebagai jin? Saintis mana yang kata macam tu? Buku mana yang dirujuk? Mungkin
itu antara reaksi para pembaca. Untuk makluman anda, ini sebenarnya hipotesis
atau andaian yang boleh jadi benar, dan boleh jadi tidak benar. Sebagaimana
yang kita sedia maklum, alam jin dan syaitan merupakan alam ghaib yang tidak
dapat kita capai melalui pancaindera. Maka, maklumat yang paling tepat tentang
alam ini perlu datang dari Tuhan Yang Maha Pencipta. Mungkin melalui analisa yang
mendalam terhadap apa yang disabdakan oleh para Nabi dan RasulNya, mampu
membuka satu dimensi dan rahsia baru dalam dunia perubatan.
Bentuk
dan Jenis Jin
Kejadian jin tidak sama dengan kejadian
manusia. Ia dijadikan dari lidah api dan sifatnya boleh berubah-ubah.
Sesetengahnya boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Mereka juga mempunyai
pelbagai kategori dan kebolehan yang tertentu. Dalam satu hadis yang
diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda:
Jin terdiri daripada tiga golongan: Golongan yang mendapat pahala dan
juga siksa, golongan yang berterbangan di antara langit dan bumi, dan golongan
yang berupa ular dan anjing.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh
al-Hakim dari Abu Thalabah al Khisyni r.a, Rasulullah SAW bersabda:
Jin terdiri dari tiga
golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular
serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.
Maka, tidak hairanlah jika ada riwayat tentang
kisah para Nabi, sahabat dan alim ulama yang terserempak dengan jin dalam
keadaan mereka berbentuk seperti manusia, haiwan dan binatang, atau bentuk lain
seperti bayangan, lembaga hitam, hantu dengan rupa yang menyeramkan dan
pelbagai lagi. Justeru, jelas kepada kita bahawa jin itu mempunyai bentuk dan
kebolehan yang tertentu.
Jin
dan Syaitan Memasuki Tubuh Manusia
Antara kebolehan yang dimiliki oleh makhluk
jin ialah kemampuan memasuki dan bergerak dalam tubuh manusia melalui salur
darah. Sabda Rasulullah S.A.W. sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:
Sesungguhnya syaitan itu berlari (bergerak bebas) di dalam tubuh anak Adam
melalui saluran darah.”
Dalam surah Sad, ayat 41, terdapat kisah
tentang nabi Ayub a.s. yang diganggu fizikalnya melalui kemasukan syaitan ke
dalam tubuh baginda sehingga menimbulkan pelbagai penyakit. Firman Allah SWT:
Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami, Ayub ketika ia
berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ” Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan
dengan kesusahan dan azab seksa (penyakit)”.
Melalui pengalaman merawat pesakit, boleh
dikatakan bahawa sebahagian besar gangguan pada fizikal dan mental manusia bermula
apabila makhluk jin mula memasuki dan menyerap ke dalam tubuh mangsa. Penyerapan
ke dalam tubuh manusia ini berlaku kerana makhluk ini mempunyai tubuh yang halus
dan menyerupai angin. Menurut guru saya, Dr Haji Jahid Sidek, oleh kerana asal kejadian jin dan syaitan daripada
api, maka jasad mereka hanya terdiri dari dua unsur iaitu api yang bersifat
panas dan angin yang bersifat halus (yang tidak boleh dilihat tapi dapat di
rasa). Manakala dalam Kitab Al-Rūh, Ibnu Qayyim
al-Jawziyyah menggambarkan penyerapan jin ke dalam tubuh manusia umpama
serapnya air ke dalam batang kayu atau ke dalam awan, serapnya kepanasan api
dalam besi, atau serapnya makanan ke dalam badan.
Bagaimana
Syaitan dan Jin Memasuki Tubuh Manusia?
Terdapat beberapa hadis yang mengandungi pesanan oleh Rasulullah SAW untuk mencegah
kemasukan syaitan atau jin ke dalam jasad anak adam. Antaranya ialah hadis yang
diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut
dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang
terbuka).
Secara tidak langsung, kita dapat mengetahui bahawa jin
dan syaitan masuk ke dalam tubuh kita melalui mulut. Baginda juga menyuruh agar
makanan dan minuman ditutup tidak dibiarkan terdedah kerana dibimbangi akan
dimasuki syaitan dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Diriwayatkan
dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tutuplah bekas-bekas makanan
dan ikatlah kantung air kamu, kuncilah pintu-pintu dan padamkan lampu-lampu.
Sesungguhnya syaitan tidak akan membuka kantung minuman yang diikat, pintu yang
dikunci dan juga bekas makanan yang ditutup.
Berdasarkan
hadis di atas, kita dapat maklumat bahawa jin dan syaitan turut memasuki
mana-mana bekas makanan dan minuman yang tidak ditutup. Penemuan sains dan
perubatan moden menunjukkan bahawa makanan atau minuman yang terdedah akan
mudah dimasuki kuman dan bakteria. Kuman dan bakteria ini biasanya akan dibawa
masuk dan disebar melalui serangga dan haiwan melata
seperti nyamuk, lipas, tikus, cicak dan lalat yang tinggal di tempat-tempat kotor
seperti longkang, tandas dan tong sampah. Tempat-tempat yang kotor dan busuk
merupakan antara kawasan yang disukai dan dihuni oleh jin dan syaitan. Justeru,
adakah persamaan sifat dan habitat jin dan syaitan dengan kuman itu merupakan
suatu kebetulan? Bahkan, serangga yang menjadi agen penyebaran kuman ini
kebanyakkannya keluar di waktu senja, iaitu saat syaitan keluar berkeliaran dan
beroperasi. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Shahih
Muslim:” Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan
membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan
berkata kepada golongannya: “Tiada tempat untuk bermalam dan tiada makan malam
untuk kita semua di sini”. Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak
mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata kepada golongannya: “Kita telah
mendapat tempat untuk bermalam.”
Suatu persoalan yang menarik untuk difikirkan juga ialah adakah serangga
yang melata itu, yang bertindak sebagai agen penyebaran kuman dan bakteria,
adalah tunggangan jin?
Kuman
dan Jin Menurut Ulama
Dalam memperkatakan perihal kuman dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha
menyatakan dalam kitab al Tafsir wa al Mufassirun, halaman 585:
Dan Ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata: Sesungguhnya jin itu adalah
(makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh dilihat. Dan
sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami nyatakan berkali-kali
bahawa: “Makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus, yang dikenali di zaman ini
sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop, adalah sebenarnya satu jenis dari
bangsa jin. Dan telah pun terbukti bahawa ianya merupakan antara punca bagi
kebanyakan penyakit.
Kuman dan
bakteria adalah unsur luar yang tidak dikenali yang memasuki tubuh manusia sama
ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan bergerak di dalam tubuh
badan manusia melalui salur darah lalu menempati di sel-sel serta organ-organ
dalaman. Ini adalah bersamaan dengan
sifat kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan. Ia
boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan terdedah
seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma. Fakta ini mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang
mendedahkan punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak iaitu antaranya
melalui udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar.
Kuman
Adalah Sebahagian dari penyebab Penyakit
Dalam kitab
Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa Saidina Umar
hendak pergi ke Iraq. Lalu Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya dengan berkata:
“Wahai Amirul Mu’minin! janganlah engkau ke sana kerana
di sana sembilan persepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan jin yang fasik
serta wabak penyakit yang berjangkit.”
Sebenarnya, terdapat dua unsur penting yang ada pada jasad manusia yang
banyak mempengaruhi kesihatan seorang manusia iaitu air dan darah. Fungsi darah
ialah untuk menyalurkan oksigen ke otak dan bahagian-bahagian tubuh lain
manakala air sebagai bendalir untuk penghasilan cecair-cecair enzim di dalam
tubuh dan membantu sistem perkumuhan. Sekiranya salah satu unsur ini kurang
atau terjejas akibat jangkitan kuman dan bakteria, maka ia akan memberi kesan kepada
seluruh atau sebahagian anggota badan. Kita juga biasa mendengar bahawa apabila
seseorang itu dijangkiti kuman, antara simptom paling awal yang dialaminya
ialah demam dan panas dalam tubuh. Adakah mungkin kuman yang menjangkiti itu
adalah jin kerana sifat panas itu berpunca dari jin yang dijadikan dari api?
Itu persoalan yang perlu para pembaca sama-sama fikirkan.
Menghalang
Kemasukan Jin dan Syaitan ke dalam tubuh
Sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan
tiada berbentuk sebagaimana kejadian api. Walau bagaimanapun, keistimewaan ini
mempunyai beberapa batasan. Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi
sesuatu yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya. Nabi Muhammad SAW
bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Dan kuncilah pintu-pintu kalian
dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya
syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu
yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan
sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama
Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan
matikanlah lampu-lampu pelita kalian.
Selain bacaan
Bismillah, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan sebagai jampi ruqyah. Bahkan
melalui pengalaman perawat-perawat Islam, terdapat sebahagian penyakit yang
berpunca dari jangkitan kuman dan virus dapat disembuhkan melalui bacaan ruqyah
melalui kaedah tertentu dalam satu jangka masa yang tertentu.
Andaikata
Kuman itu Bukan Jin…
Boleh jadi andaian
bahawa kuman dan bakteria adalah salah satu bangsa jin mungkin tepat, dan
mungkin juga sebaliknya. Kita tetap mengharapkan agar ada pihak yang boleh
membuat kajian lebih mendalam terutama dari sudut klinikal dan sains moden.
Melalui kajian ini, andaian tersebut boleh diputuskan sama ada tepat atau
tidak. Sekiranya tidak tepat sekalipun, kita harus percaya bahawa tubuh kita
ini boleh dimasuki oleh makhluk tersebut. Perkara ini dinyatakan oleh ulama
terkenal, Sheikh Muhammad
Mutawalli Al-Sh’arawiyy dalam kitabnya Al-Shaitan
wa al-Insan, hlm. 107-108:
Sesungguhnya darah itu terdiri daripada banyak unsur-unsur yang mengalir di
dalamnya seperti besi, fosfat, kalsium dan unsur-unsur lainnya sebagaimana yang
telah didedahkan kepada kita melalui kajian-kajian moden. Bahkan mikrob dan
kuman-kuman yang merupakan bentuk berjisim boleh menembusi kulit dan masuk ke
dalam darah dan hidup dalamnya serta membiak sehingga menjadi banyak dan
akhirnya terjadilah peperangan antara kuman-kuman tersebut dengan sel darah
putih. Sedangkan
syaitan tidak berjisim dan berbentuk lebih halus daripada kuman.
Sekiranya para pembaca mempunyai pandangan
atau cadangan tentang perkara ini, maka boleh disalurkan mellaui email.
Mudah-mudahan satu penerokaan terhadap persoalan kajian ini dapat membuka
pelbagai lagi rahsia kejadian yang Allah ciptakan.