Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Monday, July 8, 2013

SYURGA UNTUK ORANG YANG KERASUKAN



Artikel Majalah Al-Islam Bulan Julai 2013
Oleh: Dr Mahyuddin Bin Ismail

Pada suatu hari, ketika Atha’ b. Abi Rabah sedang mengiringi Ibnu Abbas r.a., mereka ternampak seorang wanita berkulit hitam di sisi Kaabah. Lantas Ibnu Abbas berkata kepada Atha’: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibnu Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh”. Nabi saw bersabda:  “Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu.” Lalu wanita itu berkata: “Aku (pilih untuk) bersabar”. Wanita itu berkata lagi: “Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah.” Maka Nabi berdoa untuknya.” Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab shahihnya, juz 17, hlm. 389, hadis no. 5220.

Wanita yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah Ummu Zufar. Beliau ditimpa penyakit misteri iaitu kerasukan jin. Apabila dirasuk, beliau akan berkelakuan luar dari kebiasaan sehingga auratnya terdedah. Beliau bertemu Rasulullah SAW untuk memohon didoakan kesembuhan baginya. Maka Rasulullah SAW memberi dua pilihan; sama ada beliau bersabar dan sebagai balasan, beliau akan masuk syurga; atau beliau akan sembuh dengan berkat doa Baginda. Wanita itu memilih untuk bersabar dan mohon Nabi SAW doakan agar auratnya tidak terdedah. Setiap kali beliau dirasuk, beliau akan berada dalam keadaan bersujud dengan kedua tangannya memeluk tubuh. Dengan cara demikian, auratnya tidak terdedah.

Hadis ini sangat sesuai untuk dijadikan pedoman oleh sebahagian orang-orang Islam yang ditimpa penyakit misteri dan kerasukan. Ada antara mereka yang telah menanggung penyakit tersebut bertahun-tahun, malah ada yang berbelas dan berpuluh tahun. Walaupun beratus perawat telah ditemui dan beratus jenis ubat telah ditelan, penyakit tidak juga sembuh. Ada sebahagian dari mereka yang dapat bersabar. Tidak kurang juga yang berkata: “Apa sahaja kaedah rawatan, bomoh ke, pawang ke, bomoh orang asli ke, tok cha siam ke, aku tak kisah. Yang penting, aku sembuh”.

Jika diteliti peristiwa yang berlaku kepada Ummu Zufar, secara tidak sedar, seseorang yang mengalami gangguan misteri terutamanya kerasukan telah mendapat suatu jaminan berupa syurga sekiranya dia bersabar. Bagi seseorang yang ditimpa gangguan makhluk halus, memang agak sukar untuk menerima perkataan ‘sabar’. Seboleh-bolehnya beliau ingin segera dirawat dan cepat sembuh. Mereka ibarat seorang yang sedang lemas di lautan. Apa sahaja yang dapat dicapai, maka akan segera dipautnya sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan diri. Kalau yang dicapai itu pelampung keselamatan, Alhamdulillah, dia akan selamat. Tetapi, apa akan jadi kalau yang dipautnya itu ialah seekor jerung atau buaya?

Manusia yang ditimpa musibah ini boleh dibahagikan kepada 3 kategori:
·        Kategori 1 ialah kumpulan manusia yang apabila ditimpa musibah, maka mereka akan mengeluh dan merasa susah hati, lalu mereka melakukan apa yang diharamkan Allah seperti mendapatkan khidmat rawatan yang mengandungi unsur khurafat.
·        Kategori 2 pula ialah kumpulan manusia yang bersabar atas musibah, menahan lidah dari mengeluh dan dapat menahan diri dari melakukan apa yang diharamkan Allah. Maka mereka adalah golongan yang bersabar dan peluang untuk masuk ke syurga sangat cerah.
·        Kategori 3 ialah kumpulan manusia yang bukan sahaja dapat bersabar, malah redha dan bersyukur dengan setiap takdir Allah ke atas dirinya. Maka, orang ini bukan sahaja mendapat pahala sabar, bahkan mendapat keredhaan Allah serta dilipat gandakan ni’matnya di dalam syurga. Diriwayatkan dalam satu hadis Sahih bahawa seseorang mukmin yang mempunyai sifat sabar dan redha akan mendapat kedudukan yang tinggi di dalam syurga yang tidak dapat dicapai oleh orang lain. Kedudukan tersebut dicapai bukan kerana banyak amal ibadahnya, tetapi disebabkan kesabaran dan keredhaan atas musibah-musibah yang ditimpakan ke atasnya.

Nah! Sekarang jelas betapa besarnya balasan yang Allah sediakan kepada insan-insan yang diuji dengan derita kerasukan. Sememangnya bukan mudah untuk berhadapan dengan musibah ini. Bagi mereka yang mengalami gangguan ini, maka mereka akan mengakui betapa ia memerlukan kesabaran yang  tinggi. Sekira berjaya diharungi, maka beruntunglah. Namun, sekiranya gagal, mereka bukan sahaja rugi di dunia, malah rugi di akhirat. Oleh yang demikian, sebagai panduan kepada insan-insan yang berhadapan dengan musibah berbentuk gangguan makluk halus ini, maka anda perlu memahami beberapa perkara:

1.      Kerasukan sebenarnya adalah salah satu ujian Allah terhadap keimanan kita. Walaupun ianya berupa gangguan dari syaitan dan jin, kita tidak perlu merasa takut atau gentar kerana ianya datang dengan ketetapan dari Allah. Allah tidak akan menghantar jin dan syaitan untuk menguji kita melainkan Dia mengetahui bahawa kita mampu menghadapinya. Justeru, sayugia anda melazimi solat hajat dan berdoa mohon dikurniakan kekuatan untuk menghadapinya dan disembuhkan. 

2.      Kerasukan juga adalah satu proses Allah menghapuskan dosa-dosa kita dan menyedarkan kita dari kelalaian. Mungkin ada ketikanya kita melakukan dosa tanpa sedar. Oleh itu, diutusnya jin dan syaitan yang merasuk kita agar kita insaf dan sedar atas kesalahan dan kelalaian kita. Sabda Nabi SAW: “Tidaklah suatu musibah menimpa seseorang Muslim, kecuali Allah menghapuskan dengan musibah itu akan dosanya walau sekadar duri yang menusuknya”. Oleh itu, sayugia anda melazimi solat sunat taubat dan sentiasa beristighfar. 

3.      Kerasukan merupakan jalan pintas ke syurga, tetapi dengan syarat kita sabar dan redha. Maka, sayugia kita melazimi diri dengan amalan zikir dan tafakur di dalam hati sanubari sehingga terbuka tabir-tabir rahsia kejadian itu. Apabila tersingkap tabir tersebut, maka barulah kita sedar bahawa apa sahaja yang Allah takdirkan kepada kita merupakan satu ni’mat dan pemberian yang mengandungi 1001 hikmah. Amalan zikir dan tafakur ini perlu dipelajari dari seorang guru yang mursyid, bukan diambil dari buku, CD atau internet.

Amat malang kerana terdapat sebilangan pesakit yang mengalami gangguan misteri ini mensia-siakan peluang keemasan ini. Mereka pergi mendapatkan rawatan dari perawat-perawat yang menggunakan kaedah yang bertentangan dengan syariat seperti menilik jenis dan punca penyakit, membedah secara batin, memakai tangkal pendinding, rawatan jarak jauh, menggunakan pertolongan jin atau bunian dan pelbagai lagi. Sesungguhnya kaedah-kaedah tersebut dilarang melalui hadis-hadis yang banyak diriwayatkan dari Rasulullah SAW. Bahkan orang sebegini dibimbangi terkeluar dari golongan umat Nabi Muhammad SAW.

Dari Ibnu Abbas r.a. beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Telah ditunjukkan kepadaku berbagai-bagai umat. Aku melihat ada seorang Nabi dan bersamanya sekumpulan kecil manusia (antara 3 hingga 10 orang). Ada pula Nabi yang bersamanya seorang atau dua pengikut sahaja, bahkan ada pula Nabi yang langsung tidak mempunyai pengikut. Lalu diperlihatkan kepadaku satu kumpulan manusia yang besar, lalu aku mengira bahawa mereka itulah umatku. Lalu dikatakan padaku: "Ini adalah Musa dengan kaumnya. Tetapi sekarang lihatlah ke ufuk sana”. Kemudian aku pun melihatnya, lalu kelihatan di situ suatu gerombolan umat yang besar. Selanjutnya dikatakan pula kepadaku: "Sekarang lihatlah ke ufuk sana pula." Kelihatan di situ suatu kelompok manusia yang besar juga. Lalu dikatakan kepadaku: "Itulah umatmu dan beserta mereka itu ada sejumlah 70,000 orang yang dapat memasuki syurga tanpa hisab dan tidak terkena siksa." Kemudian Rasulullah s.a.w. bangun dan terus memasuki rumahnya. Para sahabat yang hadir berbincang-bincang mengenai kumpulan manusia yang memasuki syurga tanpa dihisab dan tanpa disiksa itu. Sebahagian dari sahabat itu ada yang berkata: "Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang telah menjadi sahabat Rasulullah s.a.w." Sebahagian lagi pula berkata: "Barangkali mereka itu ialah orang-orang yang dilahirkan di zaman sudah munculnya agama Islam, kemudian tidak pernah mempersekutukan sesuatu dengan Allah." Dan pelbagai lagi andaian lain yang mereka kemukakan. Rasulullah s.a.w. lalu keluar menemui mereka lalu bertanya: "Apakah yang kamu semua sedang bincangkan itu?" Para sahabat memberitahukan hal itu kepada Baginda. Selanjutnya Baginda s.a.w. bersabda: "Orang-orang yang memasuki syurga tanpa hisab dan siksa itu ialah mereka yang tidak pernah menjampi, tidak minta dijampi oleh orang lain (karena sangatnya bertawakkal kepada Allah), tidak melakukan tilikan dan mereka yang bertawakkal kepada Tuhannya." 'Ukasyah bin Mihsan al-Asadi, kemudian berkata: "(Ya Rasulullah), Doakanlah kepada Allah supaya saya termasuk golongan mereka itu." Baginda s.a.w. lalu bersabda: "Engkau termasuk golongan mereka." Selanjutnya ada pula orang lain yang berdiri lalu berkata: "Doakanlah saya kepada Allah supaya saya oleh Allah dijadikan termasuk golongan mereka itu pula." Kemudian Baginda SAW bersabda: "Permohonan seperti itu telah didahului oleh 'Ukasyah." (Muttafaq 'alaih).

Berdasarkan hadis di atas, maka kita faham bahawa syarat utama untuk bergelar umat Nabi Muhammad SAW ialah menjauhkan diri dari amalan syirik dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah. Memadailah bagi seseorang yang mengalami kerasukan untuk terus bersabar dan melazimi lidah dengan sebutan La Ilaha Illallah sebanyak-banyaknya. Dengan cara ini, seseorang itu akan diberikan kekuatan oleh Allah dalam dirinya untuk menghadapi gangguan tersebut. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat ke 27: ”Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat...” Selain itu, sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat: ”Perbaharuilah (teguhkanlah dan kuatkanlah) iman kamu dengan memperbanyak sebutan kalimah La Ilaha Illallah.” Selain menguatkan iman kita, kalimah ini juga berupaya menjadi benteng terhadap serangan makhluk tersebut. Firman Allah SWT dalam sebuah hadis Qudsi: ”Barangsiapa menyebut La Ilaha Illallah, nescaya dia telah masuk ke dalam benteng Aku. Barang siapa yang masuk ke dalam benteng Aku, maka akan selamat dari siksaan azabKu.”