Artikel ini adalah tulisan guru saya yang tersiar dalam majalah Al-Islam, Jun 2014.
MENCAPAI KESEMPURNAAN SOLAT MELALUI
TAREKAT TASAWUF
Dr Hj Jahid Hj Sidek
PENDAHULUAN
1. Solat tingkat
Islam iaitusolat golongan awamyang berhati lalai (ghaflah).
2. Solat tingkat
iman iaitu solat golongan manusia khusus(khawas) yang hati mereka selalu ingatkan
Allah.
3. Solat tingkat
ihsan iaitu solat golongan manusia yang khusus antara yang khusus (khawasul-khawas)yang
hati mereka hanya ingatkan Allah semata-mata.
Amalan zikir dalam tarekat tasawuf dapat menyegerakan
perubahan sifat-sifat hati (maqamat qalbiyyah) dan emosi hati (ahwal
qalbiyyah) menjadi lebih baik.Berubah dari lalai (ghaflah) menjadi sedar
(yaqazah), kemudian menjadi hudur dan akhirnya menjadi ghaiybah,
iaitu hilang segala ingatan terhadap makhluk, hanya Allah sahaja yang diingat.Apabila
keadaan hati bertambah baik, maka solat yang dikerjakan juga bertambah baik
sehingga menjadi sebaik-baik solat. Firman Allah SWT dalam surah al-Zumar ayat
18 yang bermaksud: “Sampaikanlah berita yang benar lagi mengembirakan hati
para hambaKu. Para hambaKu ialah mereka yang selalu mendengar pengajaran Allah
dalam al-Quran lalu mereka lakukan sebaik-baiknya.”
TAREKAT UMUM DAN TAREKAT KHUSUS
Tarekat dari sudut bahasa bermakna jalan.Di dalam
al-Quran, kalimah tarekat ini disebut beberapa kali sahaja. Antaranya dalam
surah al-Jin ayat 16 yang bermaksud: “Dan sekiranya mereka istiqamah diatas
tarekat ini (agama Islam) nescaya kami akan kurniakan mereka air yang melimpah
ruah (kebaikan zahir dan batin yang terlalu banyak)”.
Semua ahli tafsir menafsirkan kalimah at-tariqah yang
tersebut dalam surah al-Jin diatas dengan makna al-Islam.Tarekat tasawuf
juga mempunyai makna yang sama. Yang membezakan antara kedua-duanya ialah istilah
tarekat dalam surah al-Jin itu bersifat umum manakala tarekat tasawuf bersifat khusus.Tarekat
yang umum hanya didasarkan kepada dua asas sahaja iaitu beriman kepada rukun
iman yang enam dan melakukan amalan soleh yang diasaskan kepada rukun Islam
yang lima.
Tarekat dalam tasawuf adalah jalan syariat agama Islam
yang khusus kerana ia didasarkan kepada tiga syarat iaitu:
1. Beriman kepada
rukun iman yang enam.
2. Beramal solehberasaskan
rukun Islam yang lima.
3. Berzikir terus
menerus sehingga hati menjadi mutmainnah.
Ketiga-tiga syarat tersebut disebutkan oleh Allah
dalam firmanNya dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud:“Mereka
adalah orang-orang yang beriman (dan beramal soleh) dan tenang tenteram hati
mereka dengan ‘zikrullah’. Ketahuilah dengan ‘zikrullah’ itu, tenang
tenteramlah hati manusia”.
Kaedah mempelajari tarekat tasawuf dan
mengamalkannyajuga dilakukan secara khusus, dengan syarat-syarat yang khusus,
melalui tahap-tahap yang khusus, ada pimpinan yang khusus dengan tujuan yang
khusus dan sebagainya lagi.Oleh itu, orang yang beramal dengan tarekat yang
khusus dapat menjalani ketiga-tiga asas agama Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.
Maka berbezalah tarekat tasawuf yang bersifat khusus ini dengan
tarikat yang umum, iaitu jalan syariat agama Islam yang biasa diamalkan oleh
orang ramai. Tarekat atau jalan syariat agama Islam yang umum tidak terikat
dengan berbagai syarat seperti yang disebutkan diatas.Oleh kerana itu, semua
orang Islam bertarekat iaitu dengan tarekat yang umum.Mereka hanya dapat
menghayati dua asas dari tiga asas agama Islam, iaitu Islam dan iman
sahaja.Mereka tidak dapat menghayati Ihsan melainkan mereka belajar dan beramal
dengan tarekat tasawuf.
Sifat khusus tarekat dalam tasawuf dapat kita lihat
lebih jelas dalam definisiyang diutarakan oleh Syeikh Mohammad Zakaria
al-Kandahlawi dalam kitabnya Al-Syari’ahWa Al-Tariqah. Katanya: “Tarekat
ialah jalan (syariat agama Islam) yang membolehkan seseorang mukmin sampai ke
darjat Ihsan.Tanpa tarekat yang khusus ini seorang mukmin biasanya tidak akan
sampai ke darjat Ihsan, kecuali bila dapat Inayah Allah secara khusus”.
Kesimpulannya, tarekat tasawuf adalah satu kaedah atau
satu aliran atau satu madrasah mujahadah golongan sufiyyah yang teratur,
tersusun dan terpimpin yang membolehkan tercapainya darjat Ihsan.Ianya
mempunyai berbagai prinsip. Antaranya, mesti ada syeikh mursyid, berbaiah dengan
guru dan ditalkinkan oleh guru, adanya suhbah (hubungan yang erat dengan
guru), ada zikir dan tafakkur, melakukan uzlah dan khalwat, ada himmah
yang tinggi, bertaqwa, mencari ilmu, menjaga adab yang ditentukan dan
sebagainya.
TAREKAT
TASAWUF DAN KAITANNYA DENGAN SOLAT
Setelah
kita faham tentang tarekattasawuf seperti yang dijelaskan, marilah kita lihat
bagaimana peranannya dalam solat. Kita boleh lihat peranan penting yang dimainkan
oleh tarekat tasawuf dalam solat dari beberapa sudut seperti di bawah ini:
1.
Membaiki niat dan konsep niatdalam solat.
Dalam
ilmu fekah, kita diajar berniat mengerjakan solat semasa takbiratul ihram.Sebaliknya
dalam tarekat, niat mempunyai makna yang luas.Di samping niat mengerjakan solat,
niat difahami dalam tarekat sebagai gerak hatisebagaimana amalan adalah gerak
tubuh badan atau jasad.Ini dapat kita fahami daripada hadis nabi s.a.w yang
bermaksud:“Bahawasanya amalan-amalan itu ada berbagai niat, seseorang dapat
balasan baik dari pada amalannya setakat mana yang diniatkan.”
Dalam tarekat, ilmu dan kefahaman niat ditingkatkan kepada gerak hati yang meliputi tiga jangka masa:
a) Gerak hati sebelum
melakukan solat.
b) Gerak hati sepanjang
masa mengerjakan solat.
c) Gerak hati selepas
selesai solat.
Perlu difahami bahawa gerak hati yang baik hanya akan
wujud jika hati bersifat baik dan diselubungi oleh emosi yang baik. Kedua-dua
sifat hati dan emosi hati dikenali dalam tarekat sebagai makam-makam hati (maqamat
qalbiyyah) dan hal ehwal hati (ahwal qalbiyyah).Kedua-dua sifat hati
yang baik dan emosi hati yang baik inilah yang menjadi tumpuan pandangan Allah
atau perkiraan Allah terhadap amalan seseorang mukmin. Rasulullah s.a.w
bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak (hanya) melihat (menilai) amalan-amalan
kamu dan juga tidak melihat rupa kamu, akan tetapi Allah melihat hati kamu.”
Contohnya, sebelum masuk waktu solat, hati mula ingat
dengan penuh sedar tentang kewajipan solat, ingatkan Allah, wujudNya,
sifat-sifat jalal dan jamalNya. Dengan caraitu, maka hati terhias dengan pelbagai
sifat kehambaan iaitu bersifat taubat, sabar, syukur, takut, penuh harap pada
rahmatNya, tawakal, redha, mahabbah dan sebagainya.Emosi hati turut menjadi
sebaik-baik emosi seperti tenang, ikhlas, hanya mahukan Allah dan keredhaanNya
dan sebagainya.
2.
Memudahkan tercapainya khusyuk.
Dalam
solat, hati mesti mengingati Allah dengan penuhkhusyuk. Firman Allah dalam
surah Toha ayat 14 yang bermaksud: “…dan dirikanlah sembahyang untuk
mengingati Daku.”Kita hanya akan dapat mencapai khusyuk dalam solat jika
hati kita sentiasa berzikrullah diluar solat. Rasulullah s.a.w sentiasa ingat akanAllah
sepanjang masa, sehingga semasa tidur pun baginda s.a.w ingat Allah. Baginda
s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya dua mataku tidur sedangkan hatiku
tidak tidur.”
Seorang
mukmin yang beramal dengan tarekat tasawuf sentiasa meniru amalan zikir Rasulullah
s.a.w. Rasulullah s.a.w sentiasa berzikir.Oleh sebab itu, mudah Rasulullah
s.a.w khusyuk dalam solat.Begitulah juga ahli tarekat sepatutnya mudah khusyuk
dalam solat.
Amalan
zikir dalam sesuatu tarekat sememangnya bertujuan dapat mengubahkeadaan hati
daripada lalai (ghaflah) kepada sedar (yaqazah). Malahan keadaan
hati akan terus bertambah baik sehingga hati akan tenggelam dalam mengingati
Allah. Mari kita lihat tingkat-tingkat zikir seperti yang diajarkan oleh Ibnu
Ata’illah dalam kitabnya Hikam.Menurut beliau, zikirullah ada empat tingkat:
a) Zikir ghaflah
Di tingkat zikir ghaflah, tazakkur
(satu unsur penting dalam yaqazah) belum berlaku, kerana hati masih
lalai (ghaflah).Hati yang lalai tidak berfungsi.Hati yang tidak
berfungsi adalah hati yang tidur. Hati yang tidur sama juga dengan hati yang
mati. Hati inilah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Jawahir
al-Quran dengan katanya: “Sesungguhnya anda hidup di dunia ini (hati anda)
tidur, sekalipun tubuh badan anda berjaga.Hati
manusia tidur. Apabila mereka mati, maka hati mereka baru terjaga”.Jika
hati tidur tentulah sangat sukar untuk khusyuk dalam solat.Sebaliknya solatnya
tenggelam dalam lautan lalai.
b) Zikir yaqazah
Di tingkat dhikiryaqazah, tazakkur
baru bermula, kerana hati telah sedar atau telah terjaga atau telah hidup dan
dilimpahi cahaya hidayat Allah. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 122 yang
bermaksud: “dan Adakah orang yang hatinya mati,
kemudian Kami hidupkan, dan Kami jadikan baginya cahaya hidayat yang menerangi
(sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan
dapat) menyampaikan kebenaran itu kepada masyarakat manusia, (adakah orang yang
demikian keadaannya) sama seperti orang yang (hatinya tetap mati) berada dalam
berbagai kegelapan, yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya”.
Di tingkat ini, nur hidayah yang
Allah limpahkan ke dalam hati diistilahkan dengan nur intibah, kerana
hati menjadi sedar dan hidup.Orang yang menerima permulaan tazakkur ini
digelarkan dengan gelaran salik.Golongan salik inilah yang mempunyai
peluang yang besar untuk mendapat khusyuk yang minima dalam solat, kerana khusyuk
dihubungkan dengan hati yang ingatkan Allah. Firman Allah dalam surah al-Hadid
ayat 16 yang bermaksud: “Adakah belum sampaikah lagi
masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mengingati Allah
serta membaca (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)?...”
c) Zikir hudur
Di tingkat zikir yang ketiga, ingatan dan
tumpuan hati kepada Allah menjadi cukup kuat sehingga hati tertumpu kepada
Allah semata-mata.Nur yang dilimpahkan oleh Allah melalui ruang hati
diistilahkan sebagai nur al-Iqbal.Dengan nur tersebut, hati benar-benar
takut dan gerun terhadap Allah disamping bergantung kepada rahmatNya
semata-mata.Hati orang tersebut menjadi merdeka dari semua pengaruh
makhluk.Hati tersebut hanya menjadi hamba Allah, yang membolehkan orang
tersebut terus bersifat sabar semata-mata inginkan Allah dan keredhaanNya.Orang
yang disampaikan di peringkat ini digelarkan dengan salik yang khawas
atau salik yang khusus.Golongan inilah yang dapat khusyuk dalam solat
yang lebih baik.
d) Zikir ghaiybah
Di tingkat zikir ke empat, tazakkur
menjadi sempurna.Nur yang Allah limpahkan ke dalam ruang hati diistilahkan
dengan nur al-Wisol iaitu suatu Nur khusus yang menyampaikan hati
seseorang ke tingkat haqiqat dan makrifatullah, atau
menyampaikannya ke tingkat Ihsan.Di peringkat inilah biasanya orang
tersebut mengalami fana’dan kemudiannya diletakkan oleh Allah dalam
keadaan baqa’.Menurut ulama-ulama tasawuf, orang yang sampai di
peringkat ini dikenali sebagai salik yang khawasul-khawas atau salik
yang khususul-khusus.Golongan inilah yang benar-benar dapat mencapai khusyuk
sebenar dalam solat.
3. Membantu tercapainya hikmah solat.
Menurut Ibn ‘Ata’illah, Allah akan limpahkan lima
rahmat yang pentingdalam solat yang khusyukiaitu:
a) Hati
dibersihkan dari kekotoran pelbagai dosa dan sifat-sifat jahat;
b) Pandangan mata
hati (basirah) diperlihatkan berbagai ayat-ayat Allah di alam malakut;
c) Hati merasa
hampir dengan Allah sehingga dapat bermunajat kepadaNya;
d) Sirr terasa
dilimpahi berbagai hikmah ilahiyyah oleh Allah;
e) Cahaya dalam
hati kian terang benderang.
4. Membantu rohani orang yang solat merasai lazat dan
manisnya buah solat.
Rohani orang yang solat penuh khusyuk dan dapat mencapai
tujuan solat yang sebenar akan merasai sedap dan lazatnya buah solat. Apabila
dapat merasai buah solat, bererti solatnya akan diterima oleh Allah. Ibnu
Ata’illah menyebutkan: "Sesiapa yang merasai buah amalnya ketika
didunia, maka itu adalah satu tanda atau bukti amalannya akan diterima oleh
Allah di akhirat”.Buah amal ada lima perkara. Dalam solat kelima-lima buah
amal boleh dirasakan menerusi hati yang hidup iaitu:
a) Rasa sedap,
lazat pada rohani dan jasmani ketika solat;
b) Rasa manis
hati atau rohani ketika bermunajat dalam solat;
c) Hati jinak
kepada Allah ketika melakukan muraqabah dalam solat;
d) Hati atau roh
suka gembira ketika musyahadah;
e) Sirr berasa
suka gembira ketika menerima berbagai rahmat dan nikmat atau ketikamenerima
berbagai tajalliyyah.
5. Membantu mencapai
ikhlas hati dalam solat.
Dengan melihat tingkat-tingkat zikir seperti yang disebutkan
diatas, hati hanya akan bersifat ikhlas apabila sampai ke tingkat zikir
ghaiybah. Ketika itulah orang tersebut Allah sampaikan ke darjat Ihsan,
maka ia menjadi seorang muhsin. Setelah menjadi seorang muhsin barulah Allah kurniakan sifat ikhlas di dalam
hati. Sebuah hadis qudsi bermaksud:“Ikhlas adalah satu rahsia dari
berbagai rahsiaKu yang Aku limpahkan ke dalam hati seseorang yang Aku kasihi
dari kalangan para hambaKu. Keikhlasan tersebut tidak dapat diketahui oleh
malaikat, kerana malaikat tidak dapat menuliskan pahala keikhlasan hati.Syaitan
juga tidak dapat mengetahuinya.Oleh kerana itu syaitan tidak boleh merosakkan
amalan orang yang berhati ikhlas.”
Bila orang tersebut mengerjakan apa sahaja ibadat
seumpama solat, barulah keikhlasan ibadat yang dilakukan dapat dicapai.
Keikhlasan hati akan melipat gandakan balasan baik dari Allah. Maksud sebuah
hadis: “Satu solat dalam masjidku adalah lebih baik seribu kali berbanding
dengan solat dimana-mana masjid, kecuali Masjidil Haram. Satu solat di Masjidil
Haram adalah lebih baik seratus kali berbanding dengan solat di masjidku.Dan
yang terlebih baik dari yang tersebut ialah seseorang solat dua rakaat dalam
bilik rumahnya, tidak sesiapa pun yang mengetahui kecuali Allah.”Ternyata
orang yang berhati ikhlas sangat istimewa disisi Allah. Hati yang ikhlas hanya
akan dikurniakan oleh Allah apabila seseorang terus berzikir dan muroqabah.
Tanda hatinya Ikhlas ketika solat ialahapabila
seseorang itu tidak memandang solat yang dilakukan. Begitu juga dia tidak
memandang ibadat-ibadat yang lain. Yang dipandang hanyalah rahmat Allah, kerana
rahmat Allah lebih sempurna dan jauh lebih baik. Ibnu Ata’illah berkata: “Apabila
Allah kurniakan anda pada zahir taat dan pada batin berasa kaya dengan rahmat
Allah, tidak terasa kaya dengan ketaatan (amal ibadat), ketahuilah sesungguhnya
Allah telah melimpahkan berbagai nikmat yang sempurna zahir dan batin kepada
anda.”
6. Membantu menjaga dan menghayati janji dan ikrar
Seseorang yang bersolat dengan penuh kesedaran hati
kepada Allah sebenarnya sedang menerima dan menghayati pelbagai kebaikan, rahmat
dan nikmat.Dia juga sedangmelaksanakan pelbagai ikrar, janji dan pengakuan dalam
solat, sehingga menjadi mukmin sejati dan hamba Allah yang sentiasa menjaga
semua kebaikan yang tersirat dan yang tersurat dalam solat. Allah berfirman
dalam surah Al-Mu’minun ayat 9 yang bermaksud: “Dan
mereka yang tetap memelihara (berbagai kebaikan yang terkandung dalam)
sembahyangnya.”
KESIMPULAN
Sebagaimana pentingnya ilmu feqah dan tauhid dalam
suatu amal ibadah kita, maka ilmu tasawuf juga demikian juga.Sekiranya amal dan
ibadah hanya difokuskan kepada fizikal dan mental sahaja tanpa ditekankan
penghayatan dari sudut spiritual dan rohaninya, maka agar sukar untuk mencapai
kesempurnaan solat yang sebenarnya.