Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Sunday, May 17, 2015

SIMPULAN SIHIR PADA AIR JAMPI


Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail
Pengarah Pusat Islam
Universiti Malaysia Pahang

Pendahuluan
Pada tahun 1999, Profesor Masaru Emoto dari Institut Hado di Tokyo telah menemui rahsia yang mengagumkan pada kejadian air. Dalam buku beliau, Messages from Water, beliau menyatakan bahawa molekul air berubah mengikut apa yang dituturkan oleh orang di sekelilingnya.

Penemuan ini telah dijadikan dalil oleh sesetengah orang bahawa air yang dibacakan jampi, mantera atau ayat-ayat ruqyah mampu menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh seseorang. Maka terhasillah pelbagai jenis produk air jampi dan ruqyah di pasaran dengan pelbagai nama. Bahkan lebih dari itu, terdapat pelbagai bahan campuran yang diadun bersama air jampi seperti sarang anai-anai yang makan al-Quran, kelambu kaabah, kopi ruqyah dan seumpamanya. Fenomena ini mencetuskan persoalan sejauh mana produk yang dibacakan jampi dan ruqyah ini benar-benar memberikan kesan. Adakah air jampi yang dijual di kedai-kedai mampu memberikan kesan positif kepada peminumnya?

Kisah Pesakit dan Air Jampi
Guru saya, Dr. Haji Jahid bin Sidek pernah menceritakan perihal seorang wanita yang baru kematian bapanya. Wanita tersebut mengalami kemurungan yang kronik. Suami wanita ini pergi menemui seorang perawat untuk menyelesaikan masalah tersebut. Perawat ini memberitahu bahawa penyakit wanita itu boleh sembuh dengan cara meminum air yang dibacakan Yasin dan dimasukkan sedikit tanah yang diambil dari kubur bapanya. Suami wanita tersebut melakukan sebagaimana yang disuruh. Setelah meminum air Yasin yang dicampur tanah kubur itu, keadaan wanita tersebut menjadi semakin teruk. Beliau hilang kewarasan dan sering mendengar bisikan ghaib. Beliau kadang-kadang berlari dalam keadaan tanpa pakaian dan mengetuk pintu rumah jiran untuk memberitahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi.

Air Jampi Sebagai Simpulan Sihir
Ramai orang tidak menyedari bahawa ayat-ayat jampi dan mantera yang dituturkan boleh menjadi simpulan sihir. Bahkan ayat-ayat Al-Quran yang digunakan juga boleh menjadi sedemikian. Hal ini berlaku kerana dua sebab:

1.      Apabila ayat-ayat al-Quran, jampi, mantera, serapah, wirid dan zikir tersebut diambil dari pengamal perubatan yang terlibat dalam amalan syirik seperti sihir, nujum, tilik, pemujaan makhluk halus dan seumpamanya. Ayat-ayat yang  diterima ini merupakan syarat yang ditetapkan oleh syaitan untuk memastikan kemujarabannya.

2.      Apabila ayat-ayat yang diterima itu disertai dengan amalan-amalan yang menjadi amalan kebiasaan bomoh, pawang, tukang tilik atau ahli sihir. Sebagai contoh, untuk mendapatkan kembali barang yang dicuri, ada pengamal yang mensyaratkan mangsa curi supaya membaca ayat ke 16 surah Luqman sebanyak 116 kali sambil menggoreng batu. Amalan membaca ayat tersebut merupakan doa agar Allah mengembalikan semula barang tersebut. Yang menjadi salahnya ialah apabila ayat tersebut mesti dibaca sambil menggoreng batu dengan niat pencuri tersebut akan kepanasan. Kaedah menggoreng batu adalah amalan yang diajar oleh pawang dan bomoh. Contoh lain ialah ada perawat yang mengajar untuk membinasakan orang yang zalim dengan cara dibacakan ayat 17 Surah Al-Anfal sambil memotong patung manusia yang dibentuk dari tanah liat atau tepung. Amalan sedemikian merupakan percampuran antara kaedah perubatan Islam dan amalan-amalan khurafat. Sekiranya perawat sebegini menjampi atau membaca ayat-ayat pada air, maka air tersebut boleh menjadi sebagai simpulan sihir sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Falaq ayat 4:
“…(dan aku berlindung kepada Allah) dari kejahatan penghembus-penghembus yang menghembus pada simpulan-simpulan sihir…”

Air Sebagai Medium Penyembuhan
Islam mengiktiraf bahawa air yang dibacakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa yang mathur dari hadis merupakan sebahagian dari kaedah rawatan dalam Islam. Rasulullah SAW sendiri menggunakan air yang didoakan sebagai ikhtiar untuk penyembuhan. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud dalam kitab Sunan Ibnu Majah:
“Ketika Rasulullah sedang sujud dalam solatnya, jari beliau disengat kala jengking. Setelah selesai solat, baginda bersabda: “Semoga Allah melaknat kala jengking yang menganggu nabi atau selainnya.’ Lalu baginda mengambil bekas  yang berisi air dan garam. Kemudian beliau meletakkan bahagian tangan yang tersengat kala jengking dalam larutan air dan garam (merendamnya), seraya membaca surat al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, sampai beliau merasa tenang.”

Diriwayatkan dari Ibn Abbas bahawa Nabi SAW pernah memerintahkan agar ditulis beberapa potongan ayat dari Al-Quran pada bekas minuman yang bersih lalu diberi minum dan mandi kepada wanita yang sukar untuk bersalin. Begitu juga dengan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Sahal bin Hanif r.a. yang terkena penyakit pandangan mata (‘ain). Apabila diadukan perkara ini kepada Rasulullah SAW, maka baginda SAW memerintahkan agar sahabat tersebut dimandikan dengan air yang ditadah dari wudu orang yang mengenakan ‘ain itu.

Dalam kitab al-Jami’ Li Ahkam al-Quran karangan Imam Al-Qurtubhi, diriwayatkan bahawa saidatina Aisyah r.a. telah membacakan al-mu’awizatain kepada air dalam sebuah bekas, dan kemudian menyuruh seseorang menuang air itu ke atas pesakit. Bahkan amalan ini turut menjadi sebahagian dari metod rawatan ulama-ulama terdahulu sebagaimana yang diriwayatkan dari Abdullah ibn Ahmad ibn Hanbal bahawa beliau melihat ayahnya membacakan ayat al-muawizzat kepada air lalu meminumnya, dan menuangkan air itu pada dirinya (mandi).


MENJAMPI AIR MENGGUNAKAN AYAT AL-QURAN
Menjampi air menggunakan ayat al-Quran adalah digalakkan. Antara amalan orang-orang alim terdahulu ialah membacakan surah Yasin pada air pada setiap malam Jumaat. Ini kerana Al-Quran mengandungi keberkatan, dan keberkatannya ini meliputi apa sahaja yang berada di sekelilingnya sama ada daripada air atau lain-lain. Maka air tersebut menjadi berkat dengan keberkatan al-Quran, dan dengan keberkatan ini mudah-mudahan ia menjadi penyembuhan dengan izin Allah Yang Maha Esa. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 82:
Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran,ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”

Menurut Syeikh Mutawalli As-Sya’rawi dalam tafsirnya, ayat tersebut menunjukkan bahawa ayat-ayat al-Quran menjadi rahmat dan penyembuh jika dibaca oleh orang-orang yang beriman. Ia akan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada yang mendengarnya tidak kira Islam mahupun orang kafir. Dalilnya, ketika Saidina Umar mendengar ayat Quran dibaca oleh kaum musyrik dihadapannya, bertambah kebencian dan kemarahannya terhadap Islam, dan ingin ia lari dari mendengarnya. Tetapi apabila mendengar ayat tersebut dibaca oleh adiknya yang telah beriman, maka terus lembut jiwanya lantas beliau terus memeluk Islam.

Hal tersebut digambarkan oleh Allah dalam surah at Taubah ayat 124-125 yang bermaksud: ”Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.”

Justeru, sekiranya ayat-ayat Al-Quran dibaca sebagai jampi oleh seseorang perawat dengan disertai amalan-amalan khurafat atau syirik, maka ia merupakan satu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan ia merupakan amalan sihir. Ia tidak akan mendatangkan manfaat tetapi membawa kemudaratan kepada orang lain.


KAEDAH MENJAMPI PADA AIR
Untuk mengelakkan diri kita tertipu dengan lambakan perkhidmatan rawatan atau produk yang didakwa berasaskan jampi atau ruqyah dari al-Quran, maka kita perlu lebih berhati-hati. Saya sendiri pernah melihat lori-lori yang membawa muatan air yang telah diruqyah ini memasang lagu-lagu yang membingitkan telinga selain menuturkan kata-kata yang kurang elok. Besar kemungkinan molekul air yang telah diruqyah tersebut telah bertukar akibat terkesan dengan muzik dan tutur kata tersebut.

Sekiranya kita ingin berikhtiar untuk berubat dengan menggunakan perkhidmatan dan produk berasaskan air jampi ini, maka berikut adalah antara panduannya:

Yang pertama, carilah seseorang alim di kawasan sekitar yang betul-betul memelihara agamanya, tidak terlibat dalam amalan syirik. Mintalah orang ini untuk membacakan ayat-ayat al-Quran dan berdoa untuk kita.

Yang kedua, sekiranya sukar untuk menemui orang alim, maka kita sendiri boleh membaca dan berdoa agar Allah menyembuhkan kita. Doa orang dizalimi dan doa orang yang sakit antara doa yang makbul. Berikut adalah antara ayat-ayat yang pernah dibacakan oleh Rasulullah SAW, sahabat, para ulama sebagai ruqyah atau jampi untuk penyembuhan:
·                     Surah al-Fatihah, ayat 1 - 7
·                     Surah al-Baqarah, ayat 1 - 6
·                     Surah al-Baqarah, ayat 102
·                     Surah al-Baqarah, ayat 163 - 164
·                     Surah al-Baqarah, ayat 255 (ayat kursi)
·                     Surah al-Baqarah, ayat 285 - 286
·                     Surah Ali Imran, ayat 18 - 19
·                     Surah al-A’raf, ayat 54 - 56
·                     Surah al-A’raf, ayat 117 - 122
·                     Surah Yunus, ayat 81 - 82
·                     Surah Taha, ayat 69
·                     Surah al-Mukminun, ayat 115 - 118
·                     Surah As-Saffat, ayat 1 - 10
·                     Surah al-Ahqaf, ayat 29 - 32
·                     Surah Ar-Rahman, ayat 33 - 36
·                     Surah al-Hasyr, ayat 21 - 24
·                     Surah al-Jin ayat 1 - 9
·                     Surah al-Ikhlas, ayat 1 - 4
·                     Surah al-Falaq, ayat 1 - 5
·                     Surah An Nas, ayat 1 – 6
Sebelum memulakan bacaan, sebaik-baiknya kita terlebih dahulu mengerjakan solat sunat taubat dan hajat memohon agar dihapuskan dosa dan diterima doa kita untuk penyembuhan.

Bacaan ayat-ayat tersebut hendaklah dijadikan amalan harian kerana Allah menyukai seseorang yang beramal dengan sesuatu amalan secara konsisten. Sabda Nabi SAW:
”Sesungguhnya Allah mencintai seseorang dari kamu yang apabila dia beramal, maka dia tekun dan kekal beramal dengan amalan tersebut”.


Selain itu, kita juga boleh bawa air ke masjid-masjid yang mengadakan bacaan yasin dan tahlil pada setiap malam jumaat atau mana-mana majlis ilmu dan zikir. Dengan cara tersebut, dapatlah kita menumpang keberkatan majlis, dan mudah-mudahan molekul-molekul air yang kita bawa itu bertindak positif terhadap perkataan-perkataan yang baik yang dibacakan dalam majlis tersebut. Itu adalah lebih baik dari kita membeli produk-produk yang kita sendiri tidak tahu siapakah yang menjampinya, ayat jampi apa yang digunanya dan untuk tujuan apa ia dijampi.

KUASA HATI MAMPU MEMATAHKAN SIHIR


Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pengarah Pusat Islam
Universiti Malaysia Pahang


Pendahuluan
Ilmu hitam atau sihir antara ilmu yang digeruni oleh kebanyakan orang. Sebut sahaja santau, tuju-tuju, voodoo, santet termasuk entiti yang berkaitan dengannya seperti polong, pelesit, hantu raya, sudah pasti timbul suatu perasaan seram dan takut kepada orang yang mendengarnya. Bukan niat untuk menakutkan tetapi hakikatnya perkara ini wujud dalam semua bangsa di dunia. Cuma ketakutan kita terhadap perkara ini selalunya tidak bertempat dan menyalahi hakikat yang sebenarnya. Ditambah lagi dengan filem dan cerita seram di televisyen serta tokok tambah lidah yang tidak berasas menjadikan ilmu hitam ini berada di suatu kedudukan yang tinggi dalam indeks seram manusia.

Ilmu sihir ajaran syaitan
Iblis dan syaitan telah merancang pelbagai misi untuk menyesatkan manusia. Mereka tidak akan melaksanakan sesuatu pelan kecuali dengan tujuan untuk memastikan manusia mengikut mereka masuk ke neraka. Mereka mengajarkan pelbagai ilmu yang menyebabkan manusia jadi jahat dan kufur. Antaranya ialah melalui ajaran sihir.  Fakta ini dinyatakan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah Al Baqarah ayat 102:
”... puak-puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia akan ilmu sihir...”.

Persepsi masyarakat terutama bagi kita yang beragama Islam tentang kehebatan ilmu hitam ini perlu dikikis. Ini kerana ilmu tersebut tidaklah sehebat dan sekuat seperti yang disangkakan. Ianya mudah diatasi sekiranya kita mengetahui rahsia dan kelemahannya. Malangnya, kejahilan kita terhadap perkara ini menyebabkan kita cepat melatah apabila diancam sihir. Mulalah kita berikhtiar dan mencari pelbagai kaedah rawatan yang kadang-kadang menyalahi ajaran Islam. Secara tidak langsung misi syaitan dan iblis untuk menyesatkan manusia berjaya.

Allah SWT tidak akan menurunkan suatu masalah dan musibah kecuali pasti Allah menyediakan panduan untuk mengatasinya sama ada melalui Al-Quran atau Sunnah Nabi. Al-Quran sendiri mengemukakan beberapa kisah pertarungan antara ahli sihir dan para utusanNya. Antara yang paling hebat ialah kisah Nabi Musa a.s. melawan ahli sihir Firaun yang sangat hebat.

Kisah Nabi Musa Mengalahkan Ahli Sihir Firaun
Nabi Musa a.s. telah diutuskan oleh Allah SWT bukan sahaja untuk berdepan dengan Firaun yang amat zalim dan kejam, tetapi juga untuk berdepan dengan ahli-ahli sihir terhebat. Allah tidak mengutuskan Nabi Musa dengan tangan kosong, tetapi dibekalkan dengan dua perkara yang menjadi mukjizat kepada Nabi Musa a.s. iaitu tongkat yang boleh bertukar menjadi ular dan tangan Baginda yang boleh mengeluarkan cahaya. Kisah ini dirakamkan dalam Al Quran, surah Ta-Ha, ayat 17-22 yang bermaksud:

“Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa?” Nabi Musa menjawab: “Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu”. Allah Taala berfirman: “Campakkanlah tongkatmu itu wahai Musa!” Lalu ia mencampakkannya. Maka tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang bergerak menjalar. Allah berfirman: “Tangkaplah akan dia, dan janganlah engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya yang asal. Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu; nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada cacat; sebagai satu mukjizat yang lain.

Apakah rahsia tongkat dan tangan Nabi Musa? Sekarang, marilah kita meneliti rahsia apabila Allah berfirman “apa yang ditanganmu wahai Musa”. Imam Fakhru Al-Razi dalam tafsirnya mengatakan, oleh kerana tajalli pandangan Allah jatuh kepada kedua objek tersebut iaitu tangan dan tongkat, maka kedua-duanya menjadi mukjizat yang sangat hebat. Lalu kedua-duanya bertukar dari keadaan yang biasa menjadi sesuatu yang luarbiasa dengan izinNya. Tongkat Nabi Musa yang merupakan batang kayu yang telah mati dan kering tiba-tiba boleh bertukar menjadi ular yang hidup. Tangan Nabi Musa bertukar menjadi bercahaya gilang gemilang. Kedua-dua perkara luar biasa ini sangat ajaib. Bagaimana ia boleh berlaku? Ini tidak lain dan tidak bukan kecuali kerana rahmat pandangan Allah yang jatuh ke atas tongkat kayu dan tangan Nabi Musa a.s. lalu ia bertukar menjadi hebat dan mampu mengalahkan topu daya ahli sihir Firaun.
Imam Ar-Razi seterusnya menyambung bahawasanya Allah SWT memandang kepada hati hambanya sebanyak 360 kali pada setiap hari. Jika hati manusia dipandang oleh Allah sebanyak itu dalam sehari, sudah pasti hati orang itu akan hidup dan menjadi lebih hebat dari tongkat Nabi Musa. Malangnya kerana hati kita selalu alpa dan lalai dari mengingati Allah, maka hati tersebut berterusan dalam keadaan mati. Apabila berdepan dengan ancaman sihir yang kecil pun, kita sudah mula mengelabah dan tiada kekuatan untuk melawannya.

Oleh itu, salah satu cara terbaik untuk menentang kejahatan ilmu hitam ialah dengan menghidupkan hati untuk menerima kesan rahmat dan tajalli pandangan Allah ke atasnya. Hati ini bukan sahaja akan hidup, malah berupaya mengalahkan segala tipu daya penyihir.
Bagaimana untuk menghidupkan hati? Tanyalah kepada ahli-ahli zikir dari kalangan ahli sufi kerana pada mereka ada ilmu dan petua untuk menghidupkan hati yang mati, menyembuhkan hati yang berpenyakit, mencelikkan hati yang buta, melembutkan hati yang keras, menyinari hati yang kelam.


Kisah Nabi Muhammad SAW mengatasi sihir
Nabi Muhammad SAW sendiri telah beberapa kali cuba disihir oleh kaum Yahudi. Dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat satu riwayat tentang kisah Rasulullah SAW yang disihir oleh Labib bin Al-A’sam. Bahan sihir yang digunakan ialah rambut Nabi SAW yang diikat pada mayang kurma dan ditanam dalam sebuah telaga bernama telaga Za’rawan. Akibat sihir tersebut, baginda SAW merasakan seolah-olah sudah bermalam di rumah salah seorang isterinya sedangkan Baginda SAW tidak melakukan demikian. Perkara ini berlarutan untuk suatu tempoh hinggalah Baginda SAW diberitahu oleh malaikat bahawa Baginda terkena sihir. Maka Nabi SAW telah meminta para sahabat untuk pergi mendapatkan bahan-bahan sihir yang ditanam itu dan meleraikannya. Sebaik sahaja simpulan sihir tersebut dileraikan, maka kesan sihir itu telah hilang.

Kisah nabi disihir ini merupakan satu panduan untuk kita berdepan dengan masalah sihir. Langkah pertama yang Nabi tunjukkan ialah dengan melerai dan memusnahkan bahan-bahan sihir yang digunakan untuk menyihir seseorang. Ini bermakna, selagi mana bahan tersebut masih dalam keadaan tidak dileraikan, maka selagi itulah kesan sihir itu akan dirasai oleh mangsa. Cara meleraikan bahan sihir itu juga mesti mengikut cara yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW iaitu dengan pergi mendapatkan sendiri bahan-bahan tersebut, bukannya dengan cara menarik  dari jauh melalui khidmat pawang atau bomoh.

Kadang-kadang, mangsa sihir akan mendapat petunjuk tentang bahan-bahan yang digunakan. Mungkin kadang-kadang bermimpi tempat ianya ditanam, mungkin terbayang-bayang lokasi ianya dilakukan, mungkin menyebut suatu petanda tentang bahan tersebut dikala tidak sedar akibat rasukan. Nabi SAW diperlihatkan kedudukan mayang kurma yang diikat rambut Baginda SAW dan baginda meminta para sahabat untuk pergi mengambil dan meleraikannya.


Mengenali Bahan-bahan Sihir
Bahan-bahan yang biasa digunakan untuk menyihir boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu:
  1. ‘Bahan Luaran’ iaitu bahan yang bukan berasal dari diri mangsa atau orang yang hendak menyihirnya
  1. ‘Bahan dalaman’ iaitu bahan yang berasal dari diri mangsa atau penyihirnya.
  1. Bahan-bahan kotor dan busuk seperti darah, najis, bangkai, tengkorak, kain kafan mayat, air kencing, abu mayat digunakan untuk menjadikan seseorang itu gila, dibenci, mengalami gangguan perasaan.
  1. Bahan-bahan yang berbisa dan beracun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, ubur-ubur, katak puru bertanduk, bisa kala jengking digunakan untuk menyakiti dan menyebabkan penderitaan kepada fizikal mangsa, dan boleh jadi untuk membunuh mangsa.
  1. Bahan-bahan tajam dan melukakan seperti kaca, mentol lampu, kelonsong telur ayam, benang sutera, berus besi, kawat sental periuk, tali sabut yang direndam, pisau, paku, ranting bunga kertas, kuku manusia atau binatang digunakan untuk menyakiti dan menyebabkan penderitaan kepada fizikal mangsa, dan boleh jadi untuk membunuh mangsa secara perlahan.
  1. Bahan-bahan gatal dan miang seperti miang buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni dan ulat bulu mati beragan digunakan untuk mendatangkan kemudaratan kepada tubuh mangsa terutama organ dalaman.
  1. Bahan-bahan simpulan seperti kain, benang, rambut, tali sabut, tali yang mempunyai warna-warna tertentu, biasanya merah, hitam, kuning dan putih digunakan untuk mengurung atau mengawal kehendak dan mental seseorang dari berfikir secara waras.
  1. Bahagian tertentu dari anggota badan manusia seperti tengkorak, tulang belulang atau apa-apa yang terhasil darinya seperti rambut, kuku, air liur, air mani dan darah haid digunakan untuk mengawal atau menundukkan seseorang supaya mengikut segala kehendaknya.
  1. Bahagian tertentu dari anggota haiwan seperti taring harimau, gading gajah, tanduk kerbau, taring babi hutan digunakan untuk menjadikan mangsa itu garang ditakuti orang. Bulu kongkang, hati mawas putih, hati kura-kura dan tulang dagu kera duku digunakan untuk menjadikan mangsa itu bodoh dan malu apabila melihat orang.
  1. Bahan-bahan yang diambil dalam keadaan tidak stabil seperti benda-benda yang memusing di tengah-tengah air seperti daun, kayu atau haiwan mati, atau benda-benda seperti bangkai semut, labah-labah atau lipas yang tersangkut di sarang labah-labah, atau benda-benda bergantung yang sentiasa berpusing ke kanan dan ke kiri, atau sampah, daun kayu atau binatang kecil yang telah mati diambil dari air yang berpusar. Ianya digunakan untuk menjadikan mangsa bingung, tidak keruan, gelisah dan tidak tentu arah.
  1. Patung-patung yang dibentuk dari tanah liat, lilin atau jerami, kemudian dicucuk dengan jarum atau duri nibung, disalai dan dibakar, dan sebagainya bertujuan supaya orang yang dihajati akan merasa sakit dan mati secara perlahan-lahan.



Bahan Luaran
Jenis-jenis ‘bahan luaran’ dan cara penyediaannya adalah berbeza-beza mengikut amalan tukang sihir itu. Bahan-bahan ini lebih merupakan satu simbolik yang menggambarkan bentuk kesan yang hendak dikenakan kepada mangsa. Antara ‘bahan luaran’ yang biasa digunakan dalam upacara sihir ialah:

Bahan Dalaman
‘Bahan dalaman’ pula merujuk kepada barang peribadi milik mangsa yang hendak disihir atau milik orang yang hendak melakukan sihir itu sendiri seperti rambut, bulu roma, kuku, pakaian dalam, baju, kain, seluar, tisu dan tuala yang pernah dipakai oleh mangsa. Bahan-bahan tersebut mengandungi sampel DNA mangsa dan ini memudahkan jin dan syaitan untuk mengesan mangsanya dengan tepat. Justeru, Islam telah menyeru agar umatnya mengambil berat soal penjagaan barangan peribadi. Antaranya ialah dengan menanam rambut dan kuku yang bercerai dari tubuh. Sudah pasti perkara ini ada seribu hikmah.


Kesimpulan
Oleh yang demikian, dapatlah kita simpulkan bahawa Al-Quran dan hadis telah menunjukkan beberapa kaedah yang praktikal untuk mengatasi gangguan ilmu hitam dalam kehidupan kita. Allah SWT juga telah menegaskan bahawa ilmu hitam tidak akan memberi apa-apa kesan mudarat kepada manusia melainkan dengan izinNya. Justeru, kita perlu sentiasa berdoa memohon agar Allah menjauhkan kita dari ancaman sihir. 

Saturday, May 9, 2015

HISTERIA KERANA KIT ANTI-HISTERIA


JAWAPAN KEPADA ISU-ISU BERKAITAN KIT ANTI HISTERIA MANARA

Tanpa disangka, pelancaran Kit Anti-Histeria telah mencetuskan ‘histeria’ dalam masyarakat. Pelbagai komen, positif dan negatif, diutarakan dalam pelbagai aspek. Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.


ISU TEKNOLOGI DALAM PENGHASILAN KIT
Idea untuk menghasilkan kit ini bermula dari kes histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan sekitar tahun 2008. Warga Kuantan pasti tahu betapa haru-birunya keadaan masa itu kerana kes tersebut berlarutan. Kejadian yang serupa turut berlaku di beberapa sekolah di seluruh negara sehingga ke hari ini. Pelbagai kaedah, sama ada yang betul mahupun yang salah, telah digunakan. Menyedari masalah ini, satu penyelesaian perlu dicari.

Pada 2012, kertas cadangan kajian yang memperincikan permasalahan yang dihadapi, telah dibentangkan kepada panel penilai projek penyelidikan UMP. Dengan kesedaran bahawa isu ini memerlukan suatu bentuk penyelesaian yang kreatif, maka Universiti Malaysia Pahang (UMP) meluluskan geran penyelidikan dalaman berjumlah RM 15,000.00. Dengan dana itulah, maka saya menjelajah ke beberapa buah negeri di Malaysia untuk mengutip data di sekolah-sekolah yang pernah mengalami histeria. Itu adalah permulaan proses mengutip data secara rasmi dan tersusun. Selama 10 tahun sebelum itu, saya turut terlibat untuk menangani histeria di sekolah-sekolah, tetapi tanpa catatan terperinci dan tanpa dana dari mana-mana pihak. Dengan kerjasama Pusat Rawatan al-Manarah, saya diberikan kebenaran untuk memodifikasi kaedah dan pendekatan yang diguna pakai selama 20 tahun bagi merawat individu yang terkena gangguan makhluk halus. Melalui modifikasi ini, kaedah rawatan tersebut ditambah baik dengan penggunaan bahan yang selamat dan mudah-kendali.

Kajian tersebut telah berjaya disiapkan mengikut jadual. Kali pertama ia dibawa kepada pengetahuan umum dalam Malaysian Technology Expo (MTE). Kit ini diletakkan dalam kategori peralatan paramedik. Namun perbezaan pandangan juri yang kurang terdedah dengan dunia alam metafizik telah menyebabkan ia ditolak mentah-mentah. Dari situ, saya menyedari bahawa laluan kit ini pasti berliku.

Dengan panduan Al-Quran dan hadis, saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa terdapat pelbagai rahsia berkaitan alam metafizik yang mampu kita terokai dengan bantuan peralatan teknologi. Jika selama ini teknologi hanya tertumpu kepada bidang kejuruteraan dan mesin, maka sampai masanya teknologi untuk sesuatu yang bersifat tidak ketara (intangible) perlu diteroka. Revolusi industri yang dipelopori pihak Barat telah meninggalkan kita sejauh 150 tahun ke belakang. Namun, dalam aspek spiritual, peluang masih ada untuk kita menjadi pemandu kepada mereka. Di Jepun, agensi yang mengkaji perkara ini telah wujud seperti Hado Institute Tokyo. Oleh yang demikian, tidak mustahil kit ini menjadi perintis kepada kajian-kajian dalam bidang metafizik yang berasaskan teknologi.



ISU JUAL AGAMA
Apabila isu menjual agama dibangkitkan, saya berpendapat bahawa setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.

Apabila dilantik sebagai pengarah di Pusat Islam UMP, perkara yang berkaitan akidah dan syariat menjadi agenda utama kepada saya untuk diperjuangkan. Salah satu aspek yang diberikan tumpuan ialah aspek perubatan tradisional dan pengubatan Islam yang turut diresapi unsur-unsur yang bersalahan dengan akidah dan syariah. Maka pelbagai usaha untuk menyelamatkan akidah umat Islam dilakukan termasuklah melalui penyelidikan, penulisan,penerbitan, ceramah, bengkel dan hebahan.

Banyak isu dan permasalahan telah diketengahkan sama ada kepada pihak berkuasa mahupun secara personal kepada individu-individu yang bertanya.Mungkin perkara inimenimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengamal perubatan yang terlibat dengan amalan khurafat. Produk ini diperkenalkan dengan matlamat utama untuk membantu menyelamatkan akidah masyarakat.Isu menjual agama tidak timbul dalam hal ini, bahkan produk ini sebenarnya menyelamatkan akidah dan syariat seseorang muslim.

Apabila disyorkan agar isu kit ini dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, maka ia adalah cadangan yang baik kerana ada banyak lagi penyelewengan dan bid'ah dalam perubatan Islam yang perlu diputuskan hukumnya yang terdapat dalam fail simpanan saya.

Menyamakan kit ini dengan kaedah yang digunakan dalam sesetengah agama lain merupakan analogi yang tidak tepat. Perbuatan sedemikian lebih mirip kepada perbuatan pihak gereja di zaman gelap Eropah yang menyekat perkembangan ilmu sains teknologi. Paderi menuduh ianya sebagai amalan bid’ah dan ia adalah cabang ilmu sihir. Jika sikap begini diamalkan oleh agamawan kita, sudah pasti akan membawa kepada kemunduran dan rigid dalam agama Islam. Sepatutnya pihak berkaitan meminta pencerahan (tabayun) tentang isu ini, bukannya membiarkan orang awam terkeliru.



ISU PERBEZAAN SUDUT PANDANG TERHADAP HISTERIA
Semangat Berani Berbeza yang diterapkan kepada warga UMP memberi dorongan kepada saya untuk memandu kajian rentas dalam bidang bersangkutan alam fizikal dengan alam metafizik. Cabaran untuk menemukan titik persetujuan antara kedua-dua bidang ini dalam persekitaran UMP yang berteraskan teknologi memerlukan saya untuk berfikir dengan lebih kreatif. Sikap terbuka pentadbiran UMP dalam mendepani masalah ummah melalui pendekatan teknologi memberikan kekuatan kepada saya.

Kajian tentang histeria dan kit ini adalah suatu sampingan sahaja. Bidang tujahan saya ialah tentang perundangan berkaitan sihir. Saya sendiri mengetuai Jawatankuasa Mengkaji Penggubalan Undang-undang Jenayah Sihir Malaysia yang dianggotai oleh lebih kurang 39 orang ahli panel dari pelbagai bidang. Kajian yang dilakukan oleh jawatankuasa ini merupakan satu bentuk kajian rentas bidang (trans-boundaries) yang mencantumkan beberapa bidang ilmu iaitu undang-undang jenayah, undang-undang acara, undang-undang keterangan, sains forensik, perubatan moden, perubatan tradisional dan ilmu berkaitan mistik dan okultisme. Kesemua bidang ini digabungkan untuk menghasilkan satu kaedah yang praktikal bagi tujuan pembuktian kesalahan melibatkan ilmu sihir.

Kit histeria juga dihasilkan atas dasar yang sama. Saya mengambil kira pelbagai aspek bidang berkaitan dalam usaha untuk menangani kejadian histeria termasuk bidang psikatrik. Oleh yang demikian, apabila pakar psikatrik mengatakan bahawa histeria hanya boleh disembuhkan melalui perubatan psikatrik, maka ia adalah satu kenyataan yang perlu dipertimbangkan. Ilmu Allah itu terlalu luas dan jalan untuk sampai kepada kebenaran itu terlalu banyak. Saya memberikan penghormatan yang tinggi kepada sumbangan dan pencapaian bidang psikiatri. Ada masa, saya berdepan dengan kes kerasukan yang hanya mampu ditangani oleh pakar psikiatri sahaja, dan ada masa saya berdepan dengan kes histeria yang pakar psikiatri sendiri tidak mampu menghadapinya. Pada hemat saya, ilmu dan kepakaran yang kita miliki ini perlu dipadukan untuk tujuan kebaikan kepada masyarakat, bukan untuk mendabik dada bahawa kita adalah champion dalam bidang itu. Garis panduan pengurusan Histeria oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, saya kira sudah cukup baik kerana banyak aspek psikiatri yang diguna pakai. Namun, ketiadaan intervensi spiritual semasa kejadian histeria merupakan kelompangan yang perlu diisi melalui sikap terbuka terhadap bidang yang kita tidak tahu.



ISU EVIDENCE BASED
Ramai orang mengutarakan bahawa kajian sebegini perlu berpaksikan kepada evidence-based medicine. Saya juga ingin menegaskan bahawa kajian ini adalah berdasarkan real-case scenario. Tinjauan rambang yang saya dilakukan ke atas sekolah-sekolah menengah di Pahang pada tahun 2012 menunjukkan hampir 61% sekolah menengah di Pahang pernah mencatatkan kejadian histeria. Jika saintis menggunakan makmal untuk menjalankan ujikaji, maka makmal saya ialah lokasi histeria itu sendiri. Saya telah menjejakkan kaki selama 11 tahun di lokasi-lokasi histeria. Sepanjang tempoh itu, saya menyiasat dan menganalisi punca berlakunya histeria serta menguji keberkesanan kaedah dan bahan yang digunakan. Kit ini telah diuji pakai dengan jayanya di 11 buah institusi pengajian dan jabatan kerajaan yang mengalami gangguan histeria dan kerasukan pada tahun 2014.

Bagi pengkaji seperti saya yang telah berdepan kes histeria lebih dari 11 tahun, saya menyaksikan impak negatif akibat kejadian histeria terutama mass hysteria.Jika di sekolah, proses pembelajaran terganggu sehingga ada institusi yang terpaksa ditutup sementara waktu bagi memulihkan keadaan. Selain menganggu emosi, ada juga kes histeria dan kerasukan yang menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Pengalaman menyaksikan kaedah perubatan yang bertentangan dengan akidah dan syariah seperti membuang ancak, menangkap dan memindahkan jin, menggunakan tangkal, menjamu makhluk halus menguatkan tekad untuk saya meneruskan kajian ini.

Justeru, dengan adanya Kit Anti-Histeria Manara akan dapat membantu pihak-pihak berkaitan untuk menangani kes-kes histeria yang berlaku dengan mudah, cepat dan selamat. Ia juga secara tidak langsung dapat menyelamatkan umat Islam dari terjebak amalan khurafat. Justeru, mengatakan produk ini adalah agenda tersembunyi yahudi adalah sesuatu yang tidak logik. Dalam hal ini, pendirian saya tetap sama. Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.



ISU BERKAITAN DALIL TERHADAP BAHAN YANG DIGUNAKAN
Laporan media menyebutkan bahawa Naib Canselor UMPmengatakan terdapat dalil dari al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa jin dan syaitan takut kepada garam, lada hitam dan limau nipis. Laporan tersebut ada dua kesilapan. Yang pertama, Naib Canselor tidak pernah menyatakan yang sedemikian. Yang kedua, kami tidak pernah menyebut adanya dalil sedemikian. Yang sebetulnya ialah, melalui pengalaman dan pemerhatian, dan telah dibuktikan dalam banyak kes yang dihadapi bahawa makhluk halus yang meresap dalam tubuh mangsa tidak tahan atau alah dengan bahan yang mempunyai salah satu dari 3 sifat berikut iaitu masam (seperti cuka dan limau nipis), pedas (seperti lada dan lada hitam) dan masin (seperti garam). Memang tidak ada nas yang menyebutkan demikian. Namun dapat dilihat bahawa garam pernah digunakan oleh Rasulullah untuk menghilangkan bisa terkena sengatan kala jengking, maka penggunaannya tidak menjadi sesuatu yang menyalahi akidah dan syariah. Banyak lagi rahsia dan manfaat garam yang kita tidak tahu.

Penggunaan bahan bersifat pedas pula merupakan hasil pemerhatian kami kepada gejala yang dialami oleh mangsa histeria. Dalam beberapa kes yang dirawat, mangsa histeria yang dalam kerasukan meminta hidangan ayam yang dimasak tawar, tidak pedas, sebagai syarat untuk keluar. Selain itu, pengalaman melihat petua orang-orang tua dahulu yang menyemburkan mata orang kerasukan dengan lada hitam. Selain itu, mata manusia adalah antara sasaran utama syaitan untuk menimbulkan khayalan dan rasukan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam kisah Nabi Musa berdepan dengan ahli sihir Firaun. Maka, pada hemat saya, penggunaan bahan tersebut bukanlah sesuatu yang bertentangan dengan akidah dan syariat terutama apabila mangsa histeria bersifat agresif sehingga mahu terjun dari bangunan tinggi.

Begitu juga penggunaan sesuatu yang masam seperti cuka dan limau nipis. Memang telah diketahui bahawa bahan-bahan ini mempunyai khasiat tertentu. Cuma dalam kit Anti-Histeria ini, cuka getah atau asid formik digunakan untuk kawasan yang dikenal pasti ‘keras’. Dalam kebanyakan kes yang dikaji, mangsa histeria mendakwa melihat istana, mahligai, perkampungan dan lembaga-lembaga yang aneh di kawasan sekolah. Besar kemungkinan kawasan itu menjadi kediaman makhluk halus yang merasuk mangsa. Cara paling mudah untuk menghapuskan penempatan ini ialah dengan menyembur asid formik di persekitaran kawasan tersebut.

Kesemua bahan ini bebas unsur metafizik atau mistik. Ianya boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dengan syarat telah menjalani kursus penggunaannya.Penggunaan Kit adalah berdasarkan kepada prinsip ABC iaitu ANALISIS-BERTINDAK-CEGAH.



ISU HARGA KIT ANTI HISTERIA
Antara isu yang bahan kritikan ialah berkaitan harga. Sememangnya bahan yang terdapat dalam kit ini boleh didapati dengan mudah di pasaran. Jika dinilai harga kos bahan, alat kelengkapan dan pembungkusannya, nilainya mungkin tidak mencecah angka RM1,000.00 pun. Bahkan, sesiapa sahaja boleh mendapatkannya di kedai-kedai atau di dapur-dapur rumah. Namun, melalui pengalaman selama 11 tahun berdepan dengan kes histeria, ia bukanlah semudah membeli sebiji panadol untuk sakit demam. Pelbagai kemungkinan akan kita hadapi.

Sebagai penyelidik yang menjalankan kajian field work secara holistik, menangani histeria bukanlah suatu cerita berbentuk teori dan prinsip semata-mata, tetapi mesti ditangani secara realistik. Setelah mengambil kira aspek persediaan sebelum kejadian, kesan impak setelah kejadian dan risiko yang bakal ditanggung oleh mereka yang terlibat, maka satu implikasi kewangan yang merangkumi segala kemungkinan ini disediakan. Oleh yang demikian, aplikasi kit ini sebenarnya bukan terletak hanya pada bahan, tetapi cara pengendalian yang betul adalah lebih penting. Kepentingan perkara ini telah dikaji dengan sedalamnya bagi mengurangkan kos dan risiko, dan memaksimakan keberkesanannya.
Penjualan kit ini adalah terkawal. Ia hanya akan dijual kepada institusi, bukan kepada individu. Dengan pembelian kit ini, 2 orang kakitangan institusi tersebut akan diberikan kursus dan latihan. Ini bagi memastikan ianya digunakan secara betul dan mengikut prosedur. Segala kos termasuk bahan kursus, logistik, bayaran fasilitator dan makan minum sepanjang kursus telah diserap ke dalam pakej kit.

Kes histeria ini mempunyai pelbagai variasi dan beragam. Oleh kerana kit ini adalah kit pertolongan cemas, maka ianya sesuai digunakan bagi kes-kes yang dalam jangkaan. Sekiranya kes yang dihadapi itu bersifat di luar jangka, maka pakar rawatan dari Al-Manarah akan turun sendiri untuk melihat situasi sebenar sehingga masalah benar-benar selesai. Maka kos perjalanan, masa, tenaga dan kepakaran perawat perlu diambil kira.Begitu juga sekiranya histeria itu melibatkan kes-kes kronikseperti penyakit genetik atau saka keturunan. Rawatan menggunakan kit anti-histeria adalah tidak memadai. Oleh yang demikian, mangsa dan keluarganya perlu diberikan rawatan secara intensif di pusat rawatan al-Manarah.

Harga pakej ini juga merangkumi kos pengurusan risiko. Ini kerana terdapat bahan-bahan yang berbahaya dalam kit ini seperti asid formik. Maka pengurusan risiko seperti rekod penggunaan dan butiran pengguna perlu disimpan dan ia pasti melibatkan kos. Ianya adalah sebagai langkah berhati-hati sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kami turut menyediakan khidmat nasihat atas talian bagi membantu pihak institusi untuk berdepan dengan kes histeria.

Prinsip dan etika sebagai penyelidik ialah mengkaji suatu masalah dan menyediakan suatu penyelesaian holistik dengan mengambil kira segala sudut dan kemungkinan yang akan berlaku. Penyediaan kit ini bukanlah suatu kerja sehari dua atau sebulan dua. Justeru, jika ada pihak yang mempertikaikan harga, maka itu terpulang kepada persepsi masing-masing.Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan. Mereka juga mempunyai hak untuk menyediakan sendiri kit ini tanpa bantuan kami. Cuma, sejauh mana keberkesanannya, terpulang kepada kepakaran masing.



PUNCA KONFLIK
Antara punca isu ini digembar gemburkan ialah tajuk yang disensasikanoleh media iaitu ‘penunduk setan’ dan ‘penghalau makhluk halus’. Sebagai penyelidik, kami mengelakkan dari menggunakan perkataan-perkataan yang bersifat demikian. Apa yang ditekankan ialah Kit Anti Histeria.  Tetapi media menggunakan istilah yang lebih provokatif. Media tidak bersalah kerana itu adalah antara resepi untuk menarik perhatian pembaca. Apa yang ingin saya tekankan ialah, kit ini bukan kit penunduk setan atau penghalau makhluk halus, tetapi adalah kit bantuan untuk mengatasi masalah histeria.

Pada 15 Mei 2014, saya berkesempatan membentangkan kertas kerja berkaitan masalah rasukan bersama Profesor Dr. Mohamad Hatta Shaharom, pakar psikiatri di Cyberjaya University College of Medical Sciences yang juga Timbalan Presiden, Pertubuhan IKRAM Malaysia. Beliau mengingatkan bahawa saya akan berdepan dengan dua golongan yang mempertikaikan kajian yang saya lakukan. Satu pihak iaitu pengamal perubatan klinikal yang sekular dan tidak menghiraukan aspek religio-spiritual dan menolak amalan-amalan kerohanian seperti doa dan munajat. Satu pihak lagi ialah pengamal perubatan spiritual yang hanya menekankan aspek kerohanian sahaja tanpa mengambil kira aspek biologikal, psikologikal dan sosial. Pada pendapat saya, boleh jadi ‘histeria’ yang muncul ini ada kemungkinan dicetuskan oleh golongan yang sukar menerima teknologi dalam perubatan spiritual lalu merebak menjadi epidemik dan berjangkit kepada orang awam yang tidak bersalah sehingga ada yang menjerit dan meracau dalam media sosial. Bagi saya, setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.


PERKEMBANGAN POSITIF
Di sebalik kontroversi kit histeria ini, ada juga maklum balas dan respon positif terutama dari mereka yang hadir mendengar pembentangan saya semasa sesi pelancarannya. Ada yang menyatakan bahawa usaha ini suatu yang bagus dan boleh membantu mereka untuk berdepan dengan kes histeria. Beberapa agensi kerajaan dan swasta serta NGO berminat untuk mengadakan sesi penerangan kaedah mengatasi histeria dengan mudah. Ada juga pihak yang menyatakan minat untuk mengadakan penyelidikan bersama dalam bidang paranormal secara lebih saintifik. Insya Allah, kajian dalam bidang ini akan diteruskan. Ada banyak lagi produk seumpama ini yang akan dilancarkan dan didedahkan kepada umum.

Ketika melakukan kajian tentang undang-undang sihir, situasi yang sama turut berlaku. Orang yang tidak tahu menahu tentang undang-undang lebih banyak memberi komen berbanding pengamal undang-undang. Tetapi apabila kajian tersebut siap dan dibentangkan kepada jawatankuasa teknikal undang-undang syarak dan sivil JAKIM, maka ia bukanlah suatu yang mustahil. Malah pihak media turut menunjukkan minat terhadap isu ini. Sila rujuk di sini: https://youtu.be/xtAGVjcECx0

Tentang cadangan agar penyelidik dianugerahkan Nobel Prize, ianya suatu cadangan yang baik walaupun berbentuk sinikal. Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan. Jauh di lubuk hati saya, mendapat kurniaan Allah dalam bentuk ilmu untuk dimanafaatkan bagi kesejahteraan insan itu adalah suatu anugerah yang lebih bernilai dari mana-mana anugerah.

Sekian sahaja.



Dr Mahyuddin Ismail

4 Mei 2015.