Selamat Datang

::SELAMAT DATANG KE BLOG TINTA ILMU. SEKADAR MEMUATKAN ARTIKEL-ARTIKEL YANG SAYA TULIS UNTUK DIKONGSI BERSAMA. SAYA MENGALU-ALUKAN SEBARANG KOMEN, CADANGAN, ULASAN BAGI TUJUAN PENAMBAHBAIKAN DAN PENCERAHAN::

Saturday, January 28, 2012

KEHILANGAN KANAK-KANAK DAN KAITANNYA DENGAN KEGIATAN PEMUJAAN DALAM ILMU SIHIR: SATU TINJAUAN




KEHILANGAN KANAK-KANAK DAN KAITANNYA DENGAN KEGIATAN PEMUJAAN DALAM ILMU SIHIR: SATU TINJAUAN

Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail
LLB (IIUM), MCL (IIUM), PhD (UKM)



PENGENALAN

Kes kehilangan kanak-kanak adalah antara fenomena yang semakin kerap didengari dan ianya semakin meningkat dari sehari ke sehari. Statitistik yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia menunjukkan terdapat peningkatan kes tersebut antara tahun 2008 hingga tahun 2010. Antara faktor yang dikenalpasti menjadi dorongan berlakunya kes kehilangan kanak-kanak ialah mengikut kawan (17.34%), salah faham (6.58%), ikut teman lelaki (10.27%), mencari kebebasan (19.10%), dilarikan keluarga (2.09%) dan lain-lain sebab yang tidak diketahui (44.62%). Dari faktor-faktor yang telah dinyatakan, didapati ‘sebab-sebab yang tidak diketahui’ menjadi penyumbang terbesar dalam statistik ini. Oleh yang demikian, kertas kerja ini bertujuan untuk melihat dan meninjau tentang kemungkinan wujudnya kaitan antara kehilangan kanak-kanak di Malaysia dengan permintaan terhadap organ-organ tertentu dalam tubuh kanak-kanak untuk dijadikan bahan pemujaan dalam amalan sihir.



UPACARA PEMUJAAN DALAM AMALAN SIHIR

Ilmu dan amalan sihir bukanlah suatu perkara yang asing dalam masyarakat di Malaysia mahupun dalam mana-mana bangsa di dunia ini. Rata-rata penduduk, tanpa mengira perbezaan budaya dan agama, menerima hakikat kewujudan ilmu sihir dan percaya ianya diamalkan oleh golongan tertentu untuk tujuan tertentu. Bahkan hampir saban tahun, sebahagian daripada mereka percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa dan telah mencari jalan untuk mendapatkan rawatan disamping ’menghantar balik’ sihir itu kepada ‛tuannya’.



Secara ringkasnya, ilmu sihir didefinisikan oleh Ibnu Hajar Al-Haitami dalam Kitab As-Sihr sebagai ‛apa juga yang berlaku atau dapat dibuat atau dicapai oleh seseorang dengan pertolongan syaitan, setelah orang itu memenuhi kehendak syaitan tersebut dengan melaksanakan sesuatu yang dikehendaki oleh syaitan itu sebagai tanda atau isyarat taqarrub atau bersahabat atau tunduk dan mengikut atau menyembah syaitan itu.’ Definisi di atas jelas menunjukkan bahawa antara intipati amalan sihir ialah seseorang pengamal sihir perlu melakukan satu perjanjian dengan syaitan atau iblis bagi memastikan ilmu dan amalannya itu berkesan. Perjanjian ini mewajibkan seseorang pengamal sihir mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syaitan yang hendak dipujanya itu. Antara syarat yang biasa dikenakan ialah pengamal sihir mesti melakukan upacara pemujaan, menyediakan bahan-bahan tertentu dan juga menyediakan korban.




Upacara pemujaan memerlukan pengamal sihir tersebut membaca jampi mantera yang terdiri dari nama-nama kebesaran dan kerajaan iblis atau syaitan dengan cara tertentu dan mengakui ketuanan makhluk tersebut ke atas dirinya. Terdapat pelbagai cara yang dilakukan seperti memuja roh-roh manusia yang sudah meninggal, kubur-kubur lama, perigi buta, busut dan barang-barang antik. Kaedah dan cara memuja mungkin dalam pelbagai bentuk, namun ia bukanlah persoalan utama. Apa yang paling dititik beratkan ialah manusia itu mesti mengambil syaitan yang dipujanya itu sebagai tuan, dan adakalanya sebagai tuhan.

Dalam upacara pemujaan, pengamal sihir juga dikehendaki menyediakan bahan-bahan tertentu yang disyaratkan oleh syaitan yang hendak dipujanya itu. Antara jenis bahan yang selalu disyaratkan ialah:

  1. bahan-bahan kotor dan busuk seperti darah, najis, bangkai, tengkorak, kain kafan mayat, air kencing, abu mayat dan yang seumpamanya.
  2. Bahan-bahan yang berbisa dan beracun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, ubur-ubur, bisa getah ipuh, buah kacang hantu, katak puru bertanduk, bisa kala jengking dan yang seumpamanya.
  3. Bahan-bahan tajam dan melukakan seperti kaca, kelonsong telur ayam, benang sutera, berus besi, kawat sental periuk, tali sabut yang direndam, kuku manusia atau binatang, pisau berkarat, paku, ranting bunga kertas dan yang seumpamanya.
  4. Bahan-bahan gatal dan miang seperti miang buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni, ulat bulu mati beragan dan yang seumpamanya.
  5. Bahan-bahan simpulan seperti kain, benang, rambut, tali sabut, tali yang mempunyai warna-warna tertentu, biasanya merah, hitam, kuning dan putih dan yang seumpamanya.
  6. Bahagian tertentu dari haiwan yang diambil dalam keadaan tertentu seperti taring harimau, gading gajah, tanduk kerbau, bulu kongkang, hati mawas putih, hati kura-kura, uri kucing, belangkas jantan betina yang melekat, telur labah-labah, tulang dagu kera duku.
  7. Bahan-bahan yang diambil dalam keadaan tidak stabil. Sebagai contoh, benda-benda yang memusing ditengah-tengah air seperti daun, kayu atau haiwan mati, atau benda-benda yang tersangkut di sarang labah-labah, atau benda-benda bergantung yang sentiasa berpusing ke kanan dan ke kiri.
  8. Tanah liat, lilin atau jerami yang diukir dan dibentuk menjadi patung. 
  9. Bahagian tertentu dari anggota badan manusia seperti tengkorak, tulang belulang, hati, limpa atau apa-apa yang terhasil darinya seperti rambut, kuku, ludah, air mani, darah haid dan yang seumpamanya.
Menyentuh tentang bahan yang berasal dari tubuh manusia, biasanya ia disediakan dalam bentuk korban yang akan dipersembahkan kepada syaitan yang dipujanya. Korban tersebut akan dibunuh dengan cara tertentu dan diambil bahagian-bahagian tertentu lalu diletakkan di suatu tempat tertentu dan diikuti dengan upacara pemujaan. Di Malaysia, ada antara pengamal sihir yang sanggup membunuh dan mengerat anggota badan untuk dijadikan korban, menggali kuburan bagi mendapatkan anggota tertentu dari mayat, menghisap darah kanak-kanak yang dibunuh, memperkosa wanita dalam jumlah tertentu, memuja tengkorak manusia atau tulang-tulang haiwan dan lain-lain lagi yang aneh. Semua ini dilakukan demi memastikan sihir yang dipelajari membuahkan hasil.




Sekiranya dibuat penelitian, kaedah pemujaan syaitan dan iblis yang disertai dengan penyediaan korban telah pun diamalkan sejak ribuan tahun dahulu dan ianya berterusan sehingga sekarang. Masyarakat dalam tamadun Mesir Kuno, sebagai contoh, mengadakan upacara penyembahan korban yang dihidangkan untuk Osiris, satu entiti yang dianggap sebagai tuhan mereka. Upacara sedemikian akan diketuai oleh pengamal-pengamal sihir yang terdiri daripada ketua-ketua Puak. Sekiranya korban yang disediakan tidak menepati syarat yang ditetapkan, maka negara akan ditimpa bencana. Sebaliknya jika korban memenuhi persyaratan, maka seluruh negara akan makmur. Amalan ini kelihatan sama dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan pengamal sihir di Malaysia yang menjamu makhluk halus yang dipujanya dengan penyediaan beberapa jenis makanan atau ayam panggang, bertih, pulut kuning, pisang emas dan lain-lain lagi yang diletakkan di atas kubur, atau di atas ancak atau sangkak atau sanggu.



Di Barat pula, kaedah pemujaan iblis dan syaitan biasanya melibatkan penggunaan rajah-rajah tertentu. Buku A Manual of Demonic Magic mengandungi panduan serta rajah-rajah upacara pemujaan iblis. Pemujaan sedemikian dilakukan untuk pelbagai tujuan seperti menjadikan mangsanya gila atau jatuh cinta, hatta untuk memenangi kes di mahkamah. Selain rajah-rajah, buku tersebut turut menyenaraikan keperluan bahan-bahan seperti patung lilin, cermin, pedang dan pelbagai lagi bahan yang biasa digunakan dalam sihir. Buku Malleus Maleficarum, sebuah buku yang menjadi rujukan pemburu pengamal sihir di Eropah sekitar kurun ke 16, pula menyatakan bahawa antara korban yang biasa disediakan ialah anak dara untuk disetubuhi oleh syaitan.



SEJARAH SIHIR MELIBATKAN KANAK-KANAK

Menyentuh kaitan antara sihir dengan kanak-kanak pula, terdapat beberapa catatan yang menunjukkan wujudnya situasi yang mana kanak-kanak menjadi mangsa sihir atau dijadikan objek dalam upacara pemujaan. Di dalam catatan Mesir Purba, terdapat mentera khusus untuk merawat kecederaan disebabkan kebakaran, seperti kata-kata Isis dalam satu lagenda Mesir "Isis dan Orisis" untuk menyembuhkan kanak-kanak bernama Horus yang dibakar oleh pengamal sihir:

"Keluarlah, wahai engkau yang datang di dalam gelap dan masuk secara sembunyi-sembunyi! Adakah engkau datang untuk mengucup kanak-kanak ini? Aku tidak mengizinkan mengucupnya. Adakah engkau datang untuk mengambilnya? Aku tidak mengizinkanmu mengambilnya dariku. Aku telah melindunginya darimu dengan rumput apis yang memedihkanmu, dengan bawang yang menyakitkanmu, dengan madu yang manis dirasa oleh makhluk-makhluk yang hidup dan pahit di mulut makhluk-makhluk yang mati, dengan beberapa bahagian yang busuk dari ikan abad dan dengan tulang ikan sungai."




Dalam Al Quran juga terdapat satu kisah tentang seorang kanak-kanak yang diarahkan oleh pemerintah supaya belajar ilmu sihir dari seorang pengamal sihir. Kisah yang dikenali sebagai kisah Aṣhābul Ukhdūd dapat ditatap dengan jelas melalui ayat 4 hingga 10 surah Al-Burūj. Di Eropah pula, ilmu sihir telah diamalkan secara meluas sekitar kurun ke 15. Sesetengahnya mempunyai kaitan dengan pembunuhan kanak-kanak yang dijadikan sebagai bahan pemujaan sihir. Sebagai contoh, dalam satu perbicaraan terhadap pengamal sihir semasa pemerintahan King Louis XIV di Perancis, seorang Biarawati bernama la Voisin, telah memberi keterangan berikut:


“The child was held over the altar, a sharp gash across the neck, a stifled cry, and warm drops fell into the chalice… The corpse was handed to la Voisin, who flung it callously into an oven fashioned for that purpose which glowed white in its fierceness. It was proved that regular traffic had been carried on for years with beggar women and the lowest prostitutes, who sold their children for this purpose. At her trial, la Voisin confessed that no less than 2,500 babies had been disposed of in this manner.”

Richard Kieckhefer turut menyatakan bahawa terdapat kanak-kanak yang menjadi mangsa ahli sihir pada zaman gelap Eropah. Fakta ini dapat dilihat melalui perbicaraan salah seorang ahli sihir tersebut:

…when a woman from the diocese of Novara was accused of witchcraft around the 1330s, the court sought advice from Bartolo of Sassoferrato, one of the most prominent lawyers of the day. In response, he first considered the woman’s religious crime of idolatory…Secondly, he considered the woman’s crime against humankind. She was accused of killing children by merely touching them. Is this in fact possible? The children’s mothers testified that she had bewitched them, and that the children did in fact die. Bartolo had heard certain theologians suggest that sorcerers can harm and even kill others with their touch or with the evil eye.




Di China dan Taiwan, kegiatan menculik dan membunuh kanak-kanak bagi mendapatkan organ-organ dalaman seperti hati dan limpa untuk tujuan pemujaan syaitan turut berleluasa. William Shaw menyarankan agar satu undang-undang baru perlu digubal bagi mengenakan hukuman yang berat ke atas pengamal sihir. Beliau turut memetik kata-kata J.J.M. de Groot dalam bukunya 'The Religious Systems of China':

"The Penal Code of the Yuan (Mongol) Dynasty laid down that: " Whosoever plucks life out of a man or dismembers him with intent to procure a spectre to sacrifice to, shall be slowly carved to death with knives". Similar practices were mentioned in a Imperial Edict of 1846.”




Di Uganda, lebih dari 300 kes pembunuhan dan kehilangan kanak-kanak yang dikaitkan dengan upacara pemujaan telah dilaporkan kepada pihak polis dan 18 daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah. Rentetan dari peningkatan kes tersebut, maka pihak kerajaan telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani jenayah pemerdagangan manusia termasuk upacara korban manusia. Lebih 2000 kakitangannya diberikan latihan khas oleh kerajaan Amerika Syarikat. Menurut Pesuruhjaya Jawatankuasa Khas bagi menangani jenayah ini, Moses Binoga, dorongan untuk menjadi kaya adalah antara punca meningkatnya kes sedemikian. Menurut laporan jawatankuasa itu juga, kebanyakan mayat mangsa yang dibunuh kebelakangan ini didapati hilang organ tertentu dari tubuhnya seperti buah pinggang, hati dan limpa; antara bahan yang selalu digunakan dalam pemujaan oleh pengamal ilmu hitam. Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan bahawa Uganda adalah salah satu hub antarabangsa bagi kegiatan pemerdagangan manusia dan penculikan kanak-kanak bagi tujuan pengambilan organ tubuh. Dikhuatiri kegiatan ini turut mempunyai rangkaiannya di Malaysia khususnya dan di Asia Tenggara amnya.



KEGIATAN PEMUJAAN MELIBATKAN KORBAN MANUSIA DI MALAYSIA

Di Malaysia, penggunaan anggota tubuh manusia dalam upacara pemujaan boleh dilihat melalui beberapa kes yang pernah dibicarakan dalam mahkamah. Dalam kes Francis A/L Anthonysamy v PP, perayu telah diberitahu oleh seorang bomoh bahawa dia boleh memenangi loteri empat digit sekiranya dia membawa kepala manusia untuk dipuja. Percaya dengan kata-kata bomoh tersebut, maka Perayu memenggal kepala si mati, seorang warga Bangladesh, lalu diberikan kepada bomoh untuk dipuja. Kes ini jelas menunjukkan bahawa terdapat sesetengah pengamal sihir yang menetapkan syarat-syarat tertentu bagi memastikan keberkesanan amalan tersebut. Pemujaan yang disertai dengan persembahan korban adalah sebagai memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh jin, syaitan atau iblis yang dipujanya. Melalui pematuhan syarat sedemikian, maka makhluk-makhluk tersebut akan melaksanakan permintaan pengamal sihir tersebut atau individu yang mendapatkan khidmatnya.




Sesetengah pengamal sihir juga percaya bahawa pemujaan melibatkan korban kanak-kanak akan membuatkan kuasa sihirnya semakin kuat dan hebat. Anggota tubuh seperti jari, kemaluan atau hati yang diadun dengan bahan-bahan tertentu boleh dijadikan tangkal dan azimat oleh pelanggan mereka. Dalam kes Tan Mui Choo & Anor v Public Prosecutor, perayu dan suaminya telah disabitkan atas kesalahan menyebabkan kematian dua kanak-kanak. Suami perayu, Andrian Lim, adalah seorang yang terlibat secara aktif dalam pengamalan sihir dan ilmu hitam. Dalam tempoh pengamalan tersebut, pelbagai jenayah dan kegiatan tidak bermoral dilakukannya seperti pelacuran, penipuan, pencabulan kehormatan dan juga rogol. Semua jenayah itu dilakukan dengan menggunakan ilmu hitam dan ramai mangsanya adalah golongan wanita yang dikuasainya melalui pukau. Perayu dan suaminya telah ditangkap setelah menculik dan membunuh dua orang kanak-kanak dengan cara yang sangat kejam. Pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan upacara bagi menguatkan lagi ilmu sihir yang diamalkan. Hal ini dapat dilihat melalui apa yang telah diperlakukan oleh tertuduh terhadap kanak-kanak tersebut:

“…The second appellant lured Agnes Ng Siew Hock drugged with Roche tablets and was sexually abused by Adrian Lim. Before they drowned her, Agnes Ng's finger was pierced and all three sipped the blood…The second appellant lured Ghazali bin Marzuki. They drowned him and again went through the ritual of drawing blood from the boy by means of a syringe and drank it from a glass. The two appellants scooped the blood from the glass and licked the blood.”




Menurut seorang responden yang ditemuramah, bagi menghasilkan bahan sihir yang dikenali dengan ‛minyak mati bunuh’ atau ‛minyak dagu’, seseorang pengamal sihir memerlukan kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Kanak-kanak itu akan dibunuh melalui upacara tertentu, ditimang hingga ketawa dan dagunya akan dilayur dengan lilin sehingga mengeluarkan minyak.




Mengulas kes kehilangan dan penculikan kanak-kanak di Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak menolak kemungkinan kegiatan tersebut turut melibatkan rangkaian sindiket penculikan antarabangsa. Pada pendapat penulis, untuk memastikan sama ada kegiatan pemujaan ilmu sihir boleh dikaitkan sebagai sebab kehilangan kanak-kanak, maka pihak berkuasa perlu melihat dan meneliti beberapa perkara. Antaranya ialah latar belakang kanak-kanak yang hilang dan ibubapa kanak-kanak tersebut. Sekiranya kanak-kanak yang hilang itu mempunyai ciri-ciri yang menjadi syarat dalam upacara pemujaan sihir, maka pihak penyiasat boleh meletakkan keberangkalian kehilangannya ada kaitan dengan kegiatan pemujaan. Sekiranya kanak-kanak tersebut ditemui mati dibunuh, pihak berkuasa boleh memastikan motif pembunuhan tersebut dengan melihat anggota tubuh dan organ-organ dalaman mangsa yang hilang. Sekiranya anggota tubuh mangsa dibelah dan diambil organnya seperti hati, limpa, buah pinggang, atau tubuhnya dikerat-kerat, besar kemungkinan kanak-kanak tersebut menjadi bahan pemujaan syaitan. Oleh yang demikian, maka adalah disyorkan agar pihak berkuasa dapat meneliti kemungkinan misteri kehilangan kanak-kanak yang semakin kerap berlaku ini mempunyai kaitan dengan permintaan terhadap organ tubuh yang hendak dijadikan bahan pemujaan sihir.



PERUNTUKAN DALAM KANUN KESEKSAAN

Undang-undang jenayah di Malaysia sebenarnya mempunyai peruntukan khas yang mempunyai kaitan dengan kes sedemikian. Seksyen 364 Kanun Keseksaan menyatakan:

Barangsiapa mencolek atau melarikan mana-mana orang dengan tujuan supaya orang itu dibunuh atau dilepaskan dengan sedemikian hingga mendatangkan kepadanya bahaya dibunuh, hendaklah diseksa dengan bunuh atau dengan penjara yang boleh sampai dua puluh tahun dan bolehlah, jika tidak dihukum bunuh, juga dikenakan sebat.




Bagi menjelaskan lagi peruntukan ini, maka misalan (a) kepada seksyen 364 menyatakan:

A mencolek Z dari Malaysia, dengan maksud atau dengan mengetahui mungkin bahawa Z boleh dikorbankan untuk suatu berhala. A telah melakukan kesalahan yang ditakrifkan dalam seksyen ini.




Peruntukan di atas jelas memberikan gambaran kemungkinan wujudnya kes colek seseorang bagi tujuan dijadikan korban dalam pemujaan berhala, atau lebih tepatnya pemujaan syaitan. Hal ini tidak mustahil berlaku kerana seseorang yang didorong oleh nafsu untuk mendapatkan kebendaan sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai maksudnya. Sebagai contoh, dalam kes Juraimi Bin Husin v PP, Mohd Affandi Bin Abdul Rahman & Anor v PP, atau lebih dikenali dengan kes Mona Fandey, fakta kes ini menunjukkan pembunuhan dilakukan oleh kedua-dua bomoh dengan tujuan untuk mendapatkan kekayaan (duit dari langit) melalui persembahan korban. Upacara yang dijalankan kelihatan agak luarbiasa, di mana melibatkan upacara penyucian mangsa dengan menggunakan bunga-bungaan, kepala mangsa dipenggal dan anggotanya diceraikan serta ditanam berasingan; berkemungkinan pembunuhan itu dilakukan sedemikian rupa sebagai upacara korban dan pemujaan untuk makhluk halus.




KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, kajian lanjutan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi melihat kemungkinan faktor kehilangan kanak-kanak boleh dikaitkan dengan permintaan terhadap organ tubuh mereka bagi dijadikan bahan dalam upacara pemujaan. Sekiranya perkara ini terbukti berlaku, maka pengamalan ilmu sihir perlu dibanteras oleh pihak berwajib dalam kadar segera. Pembanterasan ini boleh dilakukan sama ada melalui penguatkuasaan peruntukan yang sedia ada atau melalui penggubalan satu undang-undang khusus yang lebih komprehensif. Sejarah tamadun-tamadun terdahulu seperti tamadun Mesopotamia, Tamadun Rom, Tamadun China, Tamadun Parsi, Tamadun Islam dan Tamadun Barat membuktikan bahawa memerangi ilmu dan amalan sihir melalui mekanisma undang-undang bukanlah satu perkara yang tidak pernah terjadi. Di Malaysia, kesedaran tentang hal ini juga mula timbul apabila ada desakan dari pihak-pihak yang prihatin supaya digubal satu undang-undang untuk menangani jenayah sihir. Jabatan Mufti Selangor telah mengambil langkah awal dengan mengadakan program Muzakarah Pakar pada 17 Disember 2009 dan 21 Julai 2010 bagi membincangkan permasalahan ini secara khusus. Masanya sudah sampai untuk pihak kerajaan mengambil langkah yang lebih proaktif bagi memastikan pengamalan ilmu sihir dikategorikan sebagai jenayah dan pengamalnya, atau orang-orang yang mendapatkan khidmatnya, dihakimi oleh undang-undang.


*Kertas kerja ini telah dibentangkan oleh saya pada 2 Oktober 2010 dalam Seminar Undang-undang Kanak-kanak Kebangsaan ke 2, anjuran UNISZA dan Institut Sosial Malaysia, di Institut Sosial Malaysia Bangi. Artikel asal mempunyai nota kaki dan rujukan bagi setiap fakta yang dikemukakan. Penulis memadamkannya untuk mengelakkan sebarang pelanggaran copyright. Sila hubungi saya untuk mendapatkan artikel yang asli.

No comments:

Post a Comment