SIHIR: BUATAN ORANG ATAU BUATAN
SENDIRI?
ARTIKEL DALAM MAJALAH AL ISLAM BULAN JUN 2012
BUATAN ORANG ATAU BUATAN SENDIRI
Oleh: Dr Mahyuddin bin
Ismail
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang
Sewaktu
menunggu giliran untuk membuat urusan di kaunter KWSP Pahang, saya terdengar perbualan
dua orang wanita yang duduk di hadapan saya. Perbualan mereka itu menarik
perhatian saya kerana ianya berkaitan ilmu hitam. Mereka bercerita tentang
saudara mereka yang jatuh sakit secara tiba-tiba selepas pulang dari sebuah
negeri di utara semenanjung. Mangsa dikatakan mengalami muntah-muntah darah dan
batuk berpanjangan. Menurut mereka, mangsa telah dibawa bertemu beberapa orang
perawat dan semua perawat mengatakan bahawa mangsa terkena buatan orang. Saya
yakin para pembaca juga biasa mendengar cerita sedemikian. Persoalan yang
timbul, adakah dakwaan terkena buatan orang itu benar? Tidakkah kita terfikir ianya
mungkin berpunca dari buatan sendiri?
Seorang
pengkaji dari Barat, William Shaw telah mengkaji amalan mistik masyarakat
Melayu-Islam. Dalam bukunya Aspects of
Malaysian Magic halaman 49, beliau menyatakan bahawa sebilangan
masyarakat di Malaysia percaya bahawa mereka telah menjadi mangsa ilmu hitam dan
telah mencari jalan untuk mendapatkan rawatan di samping ’memulangkannya’ kepada
tuannya. Apa yang dinyatakan oleh William Shaw memang benar. Ramai pesakit yang
ditemui mendakwa punca sakitnya adalah berpunca dari buatan orang, di mandrem,
terkena ilmu hitam, terkena guna-guna, santau angin dan sebagainya. Dakwaan sebegini
timbul disebabkan tanda-tanda aneh yang dialami oleh mangsa dan disokong pula
oleh ramalan dan telahan oleh perawat-perawat yang tidak bertanggungjawab.
Akhirnya, timbul prasangka dalam hati pesakit terhadap individu-individu
tertentu yang disyaki menyihirnya. Lantas tercetus pergaduhan dan persengketaan.
Lebih parah lagi, mangsa turut meminta khidmat pengamal sihir untuk menyihir kembali
orang tersebut.
Bahaya Mempercayai Ramalan dan Telahan Rambang Perawat
Kepercayaan
kepada dakwaan sedemikian mengundang pelbagai kesan negatif dan ianya perlu dihindari.
Sebagai seorang Islam, kita wajar menyiasat dahulu adakah dakwaan sedemikian benar.
Perbuatan menuduh seseorang melakukan perbuatan mensyirikkan Allah (iaitu sihir
dan ilmu hitam) boleh menjejaskan akidah sekiranya tuduhan tersebut tidak benar.
Allah SWT telah mengingatkan kita akan bahaya mempercayai berita, cerita,
perkhabaran, telahan, ramalan atau tuduhan yang dilakukan oleh orang fasik. FirmanNya
dalam surah Al Hujurat ayat 6:
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu
seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak
diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu
menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Perbuatan
menemui perawat yang mempunyai kebolehan untuk mengenalpasti punca penyakit
melalui ramalan, tilikan, imbasan (scan), ilham dan lain-lain unsur
mistik boleh menjerumuskan kita ke dalam tipu daya syaitan. Ini kerana
berita-berita ghaib yang disampaikan oleh mereka adalah bersumber dari syaitan
dan jin yang dijadikan khadam atau sahabat. Firman Allah Taala dalam surah As-Syu’ara
ayat 221-223:
”Mahukah
Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun?
Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar
bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang
kebanyakan beritanya adalah dusta.”
Lebih mengelirukan apabila terdapat sebilangan pengamal perubatan yang
menggunakan kaedah dan penampilan yang kelihatan Islamik bagi mengaburi mata
pesakit. Ada di antara mereka menggunakan ayat-ayat dari Al Quran dan tasbih
untuk menilik punca penyakit misteri dan melihat siapa dalangnya. Terdapat juga
perawat yang melakukan solat sunat untuk melihat wajah orang yang melakukan
sihir terhadap mangsa. Kaedah-kaedah yang kelihatan Islamik ini menyebabkan
pesakit mempercayai sepenuh hati bahawa dakwaan perawat itu benar. Nabi Muhammad
SAW mengingatkan umatnya dengan sabdanya: ”Adalah bohong apa yang diberitahu
oleh ahli nujum sekalipun bertepatan dengan apa yang diberitahunya.”
Antara
Buatan Orang dan Buatan Sendiri
Untuk makluman para
pembaca, selain disebabkan penggunaan ilmu hitam, gangguan makhluk halus pada
manusia boleh terjadi dengan beberapa sebab yang lain. Antaranya ialah:
1)
Saka
Istilah saka (dalam konteks perubatan tradisional) merujuk kepada makhluk
halus yang dijadikan sahabat atau khadam oleh keturunan atas (ibu bapa atau
nenek moyang) untuk menjaga dirinya, anak cucunya dan harta bendanya. Apabila
tuannya meninggal dunia, maka saka ini akan mencari tuannya yang baru dari
keturunannya yang bawah (anak cucu). Makhluk inilah yang menimbulkan gangguan-gangguan
yang kelihatan sama dengan simptom disihir.
2) Amalan kebatinan yang menyeleweng
Seseorang yang menuntut ilmu kebatinan seperti
ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu pendekar, ilmu cantik juga mempunyai risiko
diganggu makhluk halus. Kehadiran makhluk halus tersebut bukan dihantar oleh
tukang sihir sebaliknya kerana pemujaan yang dilakukan oleh pengamal melalui
pelbagai amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat
tertentu dalam waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya.
3)
Rawatan menggunakan makhluk
halus
Seseorang yang mendapatkan rawatan dari perawat
yang menggunakan makhluk halus sebenarnya telah membuka ruang kepada khadam
belaan orang tersebut untuk memasuki dan menyerap dalam tubuhnya. Rawatan
ini biasanya melibatkan upacara yang aneh dan pelik seperti menurun, main
puteri, tok bageh, bedah batin, ulek mayang, alin telur dan yang seumpamanya.
4)
Memagar atau mendinding
rumah dengan cara yang berlawanan syariat
”Harapkan pagar, pagar makan padi”. Begitulah
perbuatan memagar kediaman dengan cara yang salah. Ia sebenarnya menjerumuskan
penghuni kediaman kepada gangguan makhluk halus. Ini kerana yang ditugaskan
untuk menjaga rumah bukanlah malaikat tetapi makhluk-makhluk halus yang lambat
laun akan menjahanamkan keharmonian rumahtangga.
5) Menggantung dan menyimpan sebarang
tangkal, azimat, wafaq atau barang berpuja seperti keris atau barang-barang
lama. Perbuatan ini juga akan
mengundang gangguan kepada diri dan kediaman mangsa.
Walaupun puncanya berlainan,
namun kesan yang dirasai oleh mangsa adalah sama. Ini bermakna, apabila seseorang
terlibat dengan salah satu perkara yang
dinyatakan di atas, maka mudahlah mereka diganggu
oleh makhluk halus. Tanda-tanda gangguan makhluk ini dapat dilihat melalui
beberapa sudut. Dari aspek fizikal, kebiasaannya mangsa akan merasa badannya
sakit menyucuk-nyucuk, terasa panas, terasa bisa-bisa, terasa kebas. Adakalanya
timbul tompok lebam berwarna biru kehitaman di peha dan lengan, sakit kepala
pada waktu tertentu, terasa berat seperti memikul sesuatu, terasa sesuatu
mencakar-cakar belakangnya, muntah darah dan hilang selera makan. Dari segi
mental, mangsa biasanya menjadi resah dan gelisah sehingga tidak boleh tidur
malam, sering bermimpi dikejar binatang buas atau lembaga hitam, disengat
haiwan berbisa, atau jatuh dari tempat yang tinggi, terdengar suara atau
bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu, sering berasa was-was,
bimbang, ragu-ragu dan takut yang melampau. Emosi mangsa serangan makhluk halus
juga biasanya tidak stabil. Mangsa akan ketawa atau bercakap seorang diri,
meracau-racau, murung, marah tanpa sebab, menolak pinangan orang, tidak mahu
bergaul dengan orang sekeliling. Manakala gangguan di kediaman atau premis
perniagaan menyebabkan mangsa terlihat jelmaan atau lembaga yang menakutkan,
atau bunyi-bunyian yang pelik. Kadang-kadang pelanggan yang datang ke premisnya
nampak seolah-olah ia tertutup walaupun sebenarnya ia dibuka.
Semua
kesan yang dinyatakan merupakan petanda-petanda bahawa seseorang itu kemungkinan
mengalami gangguan mahkluk halus. Sekiranya kita atau ahli keluarga ada mengalaminya,
jangan kita terburu-buru membuat kesimpulan bahawa ianya akibat buatan orang. Boleh
jadi ianya berpunca dari buatan diri sendiri.
Tips-tips Menghadapi Gangguan Makhluk Halus
Terdapat
3 langkah mudah yang boleh dilakukan sekiranya seseorang mengalami tanda-tanda
diganggu makhluk halus.
Langkah 1: Pandang dan lihat kekuasaan Allah
Apabila
ditimpa penyakit-penyakit misteri, janganlah cepat mendakwa bahawa kita telah terkena
buatan orang atau sihir. Janganlah pula kita pergi mendapatkan khidmat perawat-perawat
yang kononnya boleh melihat dan menilik siapa yang menjadi dalangnya. Sebaliknya,
hendaklah kita segera melihat bagaimana kekuasaan Allah dalam memberi kebaikan
atau menimpakan mudarat kepada manusia. Hendaklah kita menanam dalam hati
bahawa hanya Allah SWT yang mampu memudaratkan kita, bukannya makhluk halus.
Firman Allah dalam surah Al Baqarah ayat 102:
”Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut
dan Marut) akan ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan
isterinya, padahal mereka (pengamal-pengamal sihir) tidak akan dapat sama
sekali memberi mudarat dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin
Allah.”
Langkah 2: Selidiki punca-punca terjadinya gangguan
Apabila
ditimpa gangguan misteri, hendaklah kita selidik, adakah terdapat pintu dan
lorong yang memudahkan makhluk halus untuk masuk ke dalam diri kita. Cara untuk menyelidikinya adalah dengan
bertanya soalan-soalan berikut:
- Adakah kita beramal dengan amalan-amalan khurafat?
- Adakah kita mempunyai keturunan yang bersahabat dengan makhluk halus?
- Adakah kita pernah mendapatkan rawatan dari seseorang yang menggunakan kaedah yang bertentangan syariat?
- Adakah kita ada menyimpan tangkal, azimat atau wafaq?
Sekiranya
ada, maka sayugia kita segera bertaubat mohon ampun kepada Allah. Lakukan solat
sunat taubat dan perbaharui semula syahadah kita, sebagai tanda kita kembali
bertuhankan Allah. Moga-moga dengan kembalinya kita kepada Allah, Allah akan
mendatangkan perlindungan dan pertolongan. Selepas itu, mintalah bantuan dari
Allah dengan bersabar dan bersolat.
Langkah 3: Musnahkan jalan masuk
makhluk halus ke dalam diri kita
Sekiranya
gangguan dipercayai ada kaitan dengan saka, maka barang-barang kesayangan
pemilik saka seperti senjata atau barang kemas perlu dimusnahkan. Kebiasannya,
barang-barang itu turut dijaga oleh makhluk tersebut selepas kematian tuannya.
Sekiranya
kita ada beramal dengan amalan kebatinan, maka hentikanlah amalan tersebut dan
banyakkanlah bertaubat. Sekiranya kita ada menyimpan tangkal, azimat atau wafaq,
maka bakarlah kesemua benda-benda tersebut dan bertaubatlah kepada Allah.
Mengharap perlindungan dari Allah yang Maha Kekal lebih baik dari berharap
kepada sesuatu yang fana’.
Sekiranya
gangguan masih berlaku, maka bersabar dan berdoalah agar Allah temukan dengan
perawat yang selari dengan syariat. Hindarkan dari mendapatkan khidmat perawat
yang suka mempamerkan perkara-perkara luarbiasa. Allah
SWT melarang orang-orang beriman dari mendapatkan khidmat seseorang untuk
meramal atau menilik punca penyakit kerana ianya sebahagian dari amalan syaitan
sebagaimana firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 90:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan
pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah
(semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu
menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan
itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu
dengan sebab arak dan judi (dan sembah berhala dan undi nasib), dan mahu
memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang.
Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji
dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
Berhati-hatilah
dengan perawat yang melakukan tilikan atau ramalan terhadap diri anda dengan
menggunakan nama ibu anda, atau tarikh lahir anda, atau warna kegemaran anda,
atau huruf-huruf hijaiyyah pada nama anda, atau hanya dengan melihat
diri anda, atau dengan cara imbasan batin (scan) sahaja, lalu menyatakan
bahawa diri anda dihuni oleh puluhan jin, atau anda telah terkena buatan orang.
Dibimbangi anda akan mengesyaki saudara terdekat atau orang-orang di sekeliling
yang melakukannya, lantas anda merasa benci dan menaruh syak wasangka padanya
sedangkan dia tidak melakukan apa-apa pun terhadap anda.
Dr, maksudnya kalau pergi berubat dengan Ustaz ke bomoh ke tak boleh la tanya apa-apa pasal penyakit tuh? Just berubat niat ikhtiar nak sembuh penyakit jelah?
ReplyDeleteKalau nak berubat, tengok dulu kaedah yg digunakan. Kalau ada unsur2 yg meragukan, syirik, mengelirukan, maka baik tinggalkan. Kalau digunakan cara yg ditunjuki oleh Nabi dan para salafussoleh, maka silakanlah. Yang terpenting, jaga hubungan dengan Allah dan hubungan dgn manusia.
DeleteSalam dr. Ibu sye kte die dh terkena buatan orang sbb mase dpatkan rawatan untuk abg sye, perawat tu seolah2 kne pukul
ReplyDeletesbb yg terkena tu bkn abg sye tp ibu sye. Pastu die suruh ibu sye duduk atas tikar sembahyang lalu die start rawatan die dan tibe2 pastu ibu sye bertuka jd lain. Teriak tak tentu pasal, sekejap nangis skjap ketawa dan muka kehijauan. kjdian tu disaksikan abg ngan pekerja restoran ayah saye. So pstu sedar2 je mak sye.perawat tu kte benda tu dah dikeluarkan tp die mungkin akan masuk.balik bdan ibu sye. So die suruh tnam tanah yg die.dh smbhyangkan.dan letak garam n ape tah sy tak tau sngat. So kes mcam nie mcam mne ye dr?? Sye risau dan tkut kalau amalan tu salah tapi pada masa yg sama sye.pun rse gelisah jugak sbb hubungan keluarga kami.sekrang nie dah mula renggang sbb kononnya yg ibu sye dh terkne buatan orang
Boleh x tindakan undang-undang dikenakan terhadap orang yang menuduh kita melakukan sihir pada dirinya? Ibu saya telah dituduh melakukan sihir oleh suami saya. Ini menimbulakan masalah dalam rumah tangga kami. Boleh bagi nasihat?
ReplyDelete