Artikel Majalah Al Islam Bulan Oktober 2013
Oleh: Dr Mahyuddin bin Ismail
Pengarah, Pusat Islam dan Pembangunan Insan
Universiti Malaysia Pahang
KONSEP SAKA
Istilah saka mengundang pelbagai persepsi dalam
kalangan masyarakat. Ada yang melenting bila dikatakan mewarisi saka, dan ada
yang menerimanya dengan hati terbuka. Ramai yang tertanya-tanya benarkah ianya
wujud dan tidak kurang juga yang tersalah faham tentang istilah ini. Kamus
Dewan mentakrifkan saka sebagai leluhur (keturunan)
daripada sebelah emak; manakala saka baka pula ialah leluhur daripada kedua-dua
belah pihak iaitu ibu dan bapa. Dalam kalangan pengamal perubatan tradisional
dan komplementari, saka merupakan
istilah yang digunakan untuk makhluk halus (jin dan syaitan) yang diwarisi dari
keturunan. Konsep saka ini bukan hanya terdapat dalam kalangan masyarakat
Melayu sahaja, tetapi juga dikesan dalam beberapa bangsa lain dengan istilah yang
berbeza. Sebagai contoh di Sudan, ia dikenali sebagai mangu,
iaitu semangat atau roh yang diwarisi dari ibu dan bapa. Di Sri Lanka, ia dikenali sebagai mala yakā
(the inferior spirit of a dead ancestor). Dalam masyarakat Cina,
India dan masyarakat Orang Asli pula, mereka percaya bahawa roh nenek moyang yang
tidak disemadikan dengan sempurna akan kembali mengganggu anak cucu.
Dalam Al-Quran, memang tiada istilah saka
digunakan, tetapi perbuatan meminta perlindungan dari jin dan syaitan, atau
menjadikannya sahabat, khadam, pendamping ada dinyatakan dalam surah Al-Jinn
ayat 6: ”Dan bahawa sesungguhnya adalah beberapa orang
dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada
ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan
golongan jin bertambah sombong dan jahat.”
Apabila manusia memohon perlindungan dari jin atau
syaitan, maka mereka akan segera datang untuk memenuhi Sasaran Kerja Tahunan
(SKT) mereka iaitu menyesatkan anak Adam. Ada yang datang dan memasuki hati
manusia lalu menimbulkan perasaan was-was, benci, dendam dan permusuhan antara
manusia. Kebiasaannya, jenis sebegini datang silih berganti dan keluar dari
tubuh manusia. Namun, di sana, terdapat jenis jin dan syaitan yang akan tinggal
berdampingan dengan manusia, menjadi qarin dan sahabat manusia, tinggal dalam
tubuh manusia, makan, minum dan kencing dalam tubuh dan kediaman manusia. Jenis
ini bukan sahaja menimbulkan penyakit pada hati dan rohani, malah akan turut
menyakiti tubuh jasmani manusia. Ia juga akan turut mengganggu anak cucu dan
pasangan seseorang setelah kematian orang itu. Makhluk ini bukanlah diwarisi
secara sukarela, tetapi mereka berpindah kepada keturunan berikutan dendam kesumat
mereka kepada anak Adam. Inilah makhluk halus yang dipanggil saka dalam
kalangan masyarakat Melayu.
BAGAIMANA SAKA DIWARISI
Makhluk jin dan syaitan ini datang mendampingi
manusia melalui beberapa cara. Ada sesetengahnya berlaku dengan disengajakan
dan ada yang berlaku tanpa disedari dan tanpa kerelaan kita. Pewarisan saka secara
sedar biasanya dilakukan melalui upacara tertentu seperti akad atau melalui
pewarisan sesuatu barang yang menjadi simbol perjanjian antara mereka seperti
keris, barangan kemas, barang hiasan tembaga dan atau apa sahaja yang menjadi
milikan tuannya. Sekiranya seseorang waris menolak
pewarisan khadam ini, maka makhluk ini akan menimbulkan gangguan kepada waris
tersebut berupa penyakit-penyakit misteri. Gangguan juga boleh berlaku
sekiranya tuan punya khadam atau warisnya melanggar pantang larang perjanjian
seperti tidak menyediakan jamuan (ancak) atau tidak mengasapkan senjata dengan
kemenyan pada waktu tertentu dan sebagainya.
Ada ketikanya gangguan saka ini berlaku tanpa
disedari. Ini berlaku kerana keghairahan kita mengejar kehebatan dan ganjaran
dunia tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi. Antaranya ialah melalui:
1.
Ilmu dan amalan kebatinan yang menyeleweng.
Seseorang yang
menuntut ilmu kebatinan seperti ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu seri muka dan
seumpamanya akan mempunyai risiko diganggu makhluk halus. Makhluk halus ini
datang kerana upacara yang dilakukan oleh pengamal tersebut melalui pelbagai
amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat tertentu dalam
waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya. Mungkin semasa hayatnya, tiada apa-apa berlaku. Tetapi, menjelang akhir
hayatnya, terutama ketika sakaratul maut, makhluk halus ini akan menagih
balasannya. Selepas meninggal, saka ini akan mencari keturunannya pula.
2.
Khidmat rawatan menggunakan makhluk halus.
Seseorang yang
mendapatkan rawatan dari perawat yang menggunakan makhluk halus sebenarnya
telah membuka ruang kepada khadam perawat tersebut untuk memasuki dan menyerap
dalam tubuhnya. Rawatan ini biasanya melibatkan upacara
yang aneh dan pelik seperti menurun, main puteri, tok bageh, bedah batin, ulek
mayang, alin telur dan yang seumpamanya. Begitu juga perbuatan menggantung atau menyimpan sebarang tangkal, azimat, wafaq atau barang
berpuja yang dibekalkan oleh perawat tersebut boleh mengundang gangguan kepada diri dan kediaman mangsa.
3.
Memagar atau mendinding rumah dengan cara yang berlawanan syariat.
’Harapkan pagar, pagar makan padi’. Begitulah
perbuatan memagar kediaman dengan cara yang salah. Ia sebenarnya menjerumuskan
penghuni kediaman kepada gangguan makhluk halus. Ini kerana yang ditugaskan
untuk menjaga rumah bukanlah malaikat tetapi makhluk-makhluk halus yang lambat
laun akan menjahanamkan keharmonian rumahtangga. Apabila tuan rumah meninggal
dunia, makhluk yang menjaga rumah tersebut tetap mendiami rumah tersebut dan
menimbulkan gangguan kepada penghuni dan keturunannya.
4.
Menyimpan barang-barang berunsur khurafat.
Seseorang yang menyimpan barangan yang pernah
menjalani suatu upacara khusus seperti keris yang dipuja, tombak yang dimandikan
darah; atau batu permata yang dikatakan diambil dari alam ghaib; atau barang
perhiasan seperti tepak sirih yang diwarisi dari pengamal ilmu-ilmu khurafat;
atau barang kemas yang diwarisi secara turun temurun dengan syarat-syarat
tertentu, maka besar kemungkinan ianya boleh menimbulkan gangguan misteri.
Melalui pengalaman penulis, barangan tersebut biasanya dihuni dan dijaga oleh
makhluk halus ini.
BENARKAH SAKA ITU ROH NENEK MOYANG?
Ramai orang tersalah anggap tentang makhluk saka
ini. Mereka menyangka bahawa ianya adalah roh ibu bapa atau nenek moyang yang
telah meninggal dunia. Sebenarnya anggapan sedemikian sangat silap dan meleset.
Apabila seseorang meninggal dunia, rohnya akan dibawa ke alam barzakh, iaitu alam yang memisahkan antara hidup dunia
dengan kehidupan akhirat kelak. Roh manusia yang telah meninggal dunia tidak
akan kembali semula ke dunia sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mu’minun
ayat 99-100: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal
maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku,
kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal
yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan
dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang
mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal
tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).
Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa Allah tidak akan sesekali
membenarkan roh orang yang telah mati terutamanya roh orang yang kufur untuk
kembali ke dunia. Jikalau benar roh-roh ini dibenarkan kembali, nescaya penulis
yakin mereka tidak akan membuang masa untuk mengganggu anak cucu tetapi mereka
pasti akan ke rumah ibadah untuk beribadah dan melakukan pelbagai lagi amalan
soleh sebagai bekal untuk pulang semula ke akhirat. Sebaliknya, yang mengganggu
anak cucu itu adalah jin dan syaitan yang
mengambil kesempatan atas kejahilan manusia. Adakalanya seseorang itu tidak
mengetahui bahawa ada sesuatu yang mendampinginya. Apabila dia meninggal dunia, makhluk tadi akan mencari pendamping baru
yang mempunyai pertalian darah dengan si mati tadi.
Penulis membuat satu andaian, bahawa penyakit genetik merupakan satu
istilah perubatan moden yang sebenarnya adalah merujuk kepada saka. Kita biasa
mendengar, jika datuk atau bapa ada sakit jantung dan darah tinggi, kemungkinan
anak atau cucu lelakinya akan mewarisi penyakit yang sama kelak. Jika nenek
atau ibunya menghidap kencing manis, maka besar kemungkinan anak perempuannya
akan turut terkena kencing manis. Bahkan, banyak penyakit-penyakit moden yang
dikenali dalam perubatan moden dikatakan mempunyai kaitan dengan genetik dan
faktor keturunan seperti kanser, ketumbuhan, tumor dan sebagainya.
MEMBUANG SAKA BERDASARKAN KISAH NABI MUSA DAN SAMIRI
Tidak dinafikan bahawa merawat penyakit berpunca dari saka agak sukar
terutama apabila ada ahli keluarga yang membantah dan enggan bekerjasama ekoran
silap faham tentang isu saka ini. Penulis ingin membawa satu kaedah yang
ditunjukan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah Ta-Ha ayat 97: ”Musa
berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan
dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam
kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku ‘, dan sesungguhnya telah dijanjikan
lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas
daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama
menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur
dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.”
Kisah ini adalah berkenaan seorang lelaki bernama Samiri dari umat Nabi
Musa a.s. Menurut Ibnu Abbas r.a., Samiri adalah seorang penduduk Bajarma dan berasal daripada kaum
yang menyembah berhala. Ketika Nabi Musa pergi bermunajat kepada
Allah selama 40 hari di bukit Tursina, Samiri telah mencipta patung seekor
lembu betina dari emas untuk dijadikan bahan sembahan Bani Israel. Ahli sejarah
berpendapat patung lembu tersebut adalah patung Hathor (patung lembu
sapi betina dengan kepalanya dihiasi cakera matahari) atau Hapis (patung
lembu jantan). Istimewanya, patung lembu tersebut boleh bercakap. Menurut Ibnu
Kathir dan Ath-Tabari, kebolehan patung itu bercakap adalah kerana pertolongan
syaitan melalui ilmu sihir yang diamalkan oleh Samiri. Rahsia tersebut ialah
dengan mengambil segenggam tanah yang dipijak oleh kuda tunggangan Jibrail as. dan dicampakkan
ke dalam adunan emas yang sedang dibakar. Terpukau dengan lembu yang boleh
bercakap, maka bani Israel telah menjadikannya sebagai tuhan sembahan.
Sekembalinya Nabi
Musa dari munajatnya, baginda terkejut dengan apa yang berlaku. Lalu baginda
menghalau Samiri. Baginda juga membakar dan
menghancurkan patung lembu tersebut dan menaburkan abunya di laut sehingga
hilang lenyap. Seterusnya, nabi Musa memerintahkan agar bertaubat kepada Allah melalui firman
Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 54: ”Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa
berkata kepada kaumnya:” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri
kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka
bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu
lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima
taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat),
lagi Maha Mengasihani”.
Langkah 1: Musnahkan barang kediaman saka
Berdasarkan dua ayat di atas, terdapat dua langkah utama yang perlu
dilakukan oleh pesakit untuk mengelakkan gangguan makhluk jin dan syaitan. Yang
pertama ialah dengan menghapuskan sesuatu yang pernah dijadikan sebagai bahan perlindungan,
bahan sembahan, bahan pergantungan atau bahan simbolik perjanjian dengan
syaitan dengan cara membakar, menghancur dan membuangnya jauh-jauh ke laut atau
sungai. Oleh itu, jika kita ada menyimpan barangan-barangan tertentu yang
disimpan secara khas dengan syarat tertentu, maka eloklah dimusnahkan supaya
gangguan dapat dielakkan. Sekiranya barang tersebut berupa senjata lama yang perlu
melalui upacara khusus seperti perlu diperasap pada malam bulan purnama; atau
mungkin ianya disimpan dengan balutan khusus berwarna tertentu, maka cara untuk mematikannya ialah dengan membuangnya
ke laut sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Musa.
Sekiranya barang itu berupa barang kemas yang diwarisi dari seseorang yang diketahui
terlibat dengan perkara-perkara khurafat dan mengamalkan ilmu-ilmu kebatinan,
maka barang kemas tersebut perlu dilupuskan dengan cara menjualnya kepada
tukang emas untuk dileburkan. Sekiranya barang tersebut berupa barang perhiasan
yang diperbuat dari tembaga seperti tepak sirih, dulang, pahar atau kacip
pinang, cara untuk memusnahkannya ialah dengan melupuskan ia dari kepunyaan
kita sama ada dengan menjual atau membuangnya jauh-jauh.
Sekiranya bahan tersebut berupa fabrik, pakaian atau kertas, cara untuk
menghapuskannya ialah dengan membakarnya. Ada pesakit yang berasa sedih apabila
barang-barang tersebut termasuk gambar dimakan api. Sebenarnya, cara terbaik
untuk mengingati keturunan kita yang telah meninggal dunia ialah dengan berdoa
memohon agar rohnya dirahmati Allah, membuat majlis tahlil arwah dan lain-lain
ibadah dengan niat agar Allah menyampaikan pahala tersebut kepada mereka.
Menyimpan barang kenangan belum tentu menambah pahala kepada si mati.
Langkah 2: Banyakkan taubat
Setelah kesemua barangan tersebut dimusnahkan, maka pesakit perlu memperbanyakkan
taubat, memohon ampun kepada Allah atas segala kejahilan dan kekufuran yang
telah dilakukan. Cara taubat yang sebaik-baiknya ialah melalui taubat terpimpin
iaitu dengan menemui seorang pembimbing dari kalangan orang alim yang beramal
dengan ilmunya dan belajar cara taubat yang sebetulnya. Kebiasaannya,
sebahagian besar masalah tersebut akan dapat di atasi melalui kaedah banyak
bertaubat.
PESANAN UNTUK PEWARIS SAKA
Dalam banyak situasi, ahli keluarga pesakit enggan mengaku bahawa keluarga
mereka ada mewarisi saka. Bahkan, ada juga yang memarahi perawat kerana membuat
tuduhan melulu. Dalam menghadapi keadaan ini, ahli keluarga pesakit tidak perlu
melenting apabila didapati punca penyakit misteri yang dihidapinya berpunca
dari gangguan saka. Perawat pula janganlah beriya-iya menyalahkan keturunan
pesakit sebagai punca masalah. Sebaik-baiknya kedua-dua pihak, sama ada pesakit
atau perawat, berlapang dada menerima kenyataan bahawa masalah yang dihadapi
adalah berpunca dari kejahatan dan dendam kesumat iblis dan syaitan terhadap
Adam dan keturunannya. Firman Allah Taala dalam surah Al-A’raf ayat 16-17: Iblis
berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat
(maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari
menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka
serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan
Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”.
Penulis yakin tidak ada ibu bapa atau datuk nenek kita yang ingin melihat
keturunannya hidup dalam penderitaan dan ketakutan. Adakalanya, mereka sendiri
tidak menyedari bahawa amalan tersebut menjadi punca kedatangan jin kafir dan
syaitan untuk menganggu anak cucu mereka. Kadang-kadang, dorongan nafsu untuk menjadi
kaya, menjadi hebat, menjadi cantik menyebabkan mereka beramal dengan ilmu-ilmu
tersebut. Oleh yang demikian, jangan sesekali menyalahkan ibu bapa, datuk nenek
atas kesilapan mereka. Apa yang perlu kita lakukan ialah memohon kepada Allah
agar Allah mengampunkan dosa adn kejahilan mereka. Dalam masa yang sama, kita
berikhtiar untuk sembuh dengan cara yang ditunjukkan oleh Allah dalam Al-Quran.
Bagaimana nak buang jin saka.
ReplyDeleteAssalamualaikum tuan..
ReplyDeletebeberapa tahun yg lepas sy bermimpi bertemu seorang wanita (makcik)..dia menghulurkan tgn tetapi sy tak menyambutnya,hanya memberikan senyuman dan mengangguk..bila sy bangun tidur badan sy panas,sakit kepala dan demam..selepas sy sembuh sy mula melihat lintasan2 dan bayangan yg tak berapa jelas..semakin lama semakin jelas dan ia nya amat mengganggu dan membuatkan sy resah..pd mulanya ada sesetengah orang beritahu pd sy yg hijab / kasyaf sy mungkin terbuka..sejak kebelakangan ni gangguan yg sy terima semakin teruk..sehinggakan ada sekali wanita yg kerap kali sy nampak tu nampak mcm marah..sy terasa seperti dipasung pada katil dan tidak dapat bergerak..ia nya terjadi selepas isteri sy ingin membawa sy berubat di darul syifa..sy amat memerlukan pencerahan dan penjelasan..apakah yg sy sedang lalui? Siapa perempuan / makcik yg sentiasa muncul dan memerhatikan sy???
01128682880-wan