MATI
PUCUK ANGKARA SIHIR
Dr
Mahyuddin bin Ismail
Allah SWT telah
berfirman dalam surah Al Baqarah, ayat 102:
”...Dalam
pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut &
Marut) ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya,
padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan)
dengan sihir itu seseorang pun melainkan Dengan izin Allah. dan sebenarnya
mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi
manfaat kepada mereka...”
Berdasarkan
ayat di atas, antara perkara-perkara yang sering dilakukan oleh syaitan dan
iblis ialah meretakkan hubungan suami isteri melalui pelbagai cara. Selain
mengapi-apikan perasaan dan menimbulkan rasa cemburu atau curiga dalam hati pasangan,
syaitan juga menjadi dalang dalam penggunaan ilmu sihir yang bertujuan untuk
mengganggu hubungan kelamin antara suami dan isteri. Antara bentuk gangguan
tersebut ialah hilang tenaga kelakian, mati pucuk dan lemah syahwat.
Menurut Doktor
Mohamed Hatta Shaharom dalam bukunya Psikiatri: Perubatan, Undang-undang dan
Masyarakat, penyakit mati pucuk atau impotens ditakrifkan sebagai
kegagalan zakar mencapai ketegangan atau keadaan ereksi yang secukupnya untuk
perhubungan seks yang memuaskan. Penyakit ini merupakan satu igauan buruk dan
amat ditakuti oleh kaum lelaki, dan bagi mereka yang mengidapi masalah ini,
usaha akan dilakukan bagi mencari penawarnya tanpa mengira berapa harga yang
perlu dibayar.
Perubatan moden
menjelaskan bahawa punca berlakunya mati pucuk atau anaphrodisiacs
banyak dipengaruhi oleh faktor usia, tekanan emosi, corak pemakanan dan gaya
hidup yang diamalkan. Namun kita juga tidak boleh menolak adanya unsur-unsur
penggunaan ilmu sihir dan ilmu hitam untuk menghalang berlakunya persetubuhan.
Menurut Dato Dr. Amran Kasimin dalam bukunya Tanda Sihir & Kekuatan Roh Untuk mengatasinya, jenis
sihir yang biasa digunakan untuk tujuan ini ialah sihir santau dan sihir
jerutan.
Penggunaan ilmu
sihir untuk menyebabkan mati pucuk bukanlah satu perkara yang baru dikenali di
zaman ini. Ianya sudah berlaku ribuan tahun dahulu. Menurut Walter Farber dalam
bukunya Witchcraft, magic and divination in Ancient Mesopotamia, gejala
ini telahpun wujud sejak zaman tamadun Mesopotamia (zaman Nabi Ibrahim a.s) atau
lebih awal lagi. Kaum lelaki pada zaman itu yang mengalami masalah tersebut
akan mengamalkan jampi tertentu yang dikenali sebagai Šaziga (potency)
bagi menaikkan kembali alat kelamin yang tiba-tiba tidak berfungsi. Antaranya
ialah:
Let the wind blow, let the palm
grove away,
Let the clouds mass together, and a
rainstorm pour down!
Let my potency flow like river water!
Let my penis be (as taut as) a harp
string, so that it will not slip out of her.
Di dalam sejarah Islam, Rasulullah
SAW juga pernah disihir sehingga Baginda SAW merasakan seolah-olah telah
mendatangi isterinya walhal hakikatnya ianya tidak berlaku. Peristiwa ini
diceritakan oleh Syaidatina Aisyah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhāri dalam Ṣahīhnya: “Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah SAW
telah disihir sehingga baginda merasa seolah-olah telah mendatangi
isteri-isterinya, padahal baginda tidak mendatangi mereka, dan hal ini adalah
akibat dari sihir yang kuat.”
Di Eropah, Ivo
of Chartres adalah antara ahli teologi yang menegaskan kemungkinan wujudnya
unsur sihir bagi kes-kes mati pucuk. Beliau menyatakan: ”The Catholic faith
teaches that there are demons and that by their doings they can inflict injury
to men and prevent carnal copulation.”
Richard
Keickhefer dalam bukunya Magic in the Middle Ages turut menyentuh
persoalan ini dengan menyatakan: ”Could they cause sexual impotence? Yes,
Thomas Aquinas and other authorities concluded. As a lawyer in the late
fifteenth century, Ulrich Molitoris encountered many cases in which women
charged their husbands with impotence, but physicians testified that there was
no natural cause, and thus they must be bewitched.”
Gajala mati
pucuk akibat terkena sihir kelihatan kelihatan seolah-olah tidak masuk akal dan
sukar untuk dipercayai. Sebenarnya, kerjasama syaitan dan penyihir memang
berlaku dan ianya merupakan syarat utama keberhasilan amalan sihir. Menurut
Syeikh Wahid Abdussalam Baly dalam bukunya Ilmu Sihir dan Penangkalnya: Tinjauan
Al Quran, Hadith dan Ulama, khadam sihir (yang terdiri dari jin dan
syaitan) akan bersarang di otak atau lebih tepatnya di pusat pembangkit nafsu
seks yang mengirimkan isyarat kepada organ seks. Kemudian ia membiarkan organ
seks itu berfungsi secara biasa. Apabila seorang suami mendekati isterinya dan
ingin melakukan hubungan seks dengannya, maka khadam sihir tersebut
menghentikan aktiviti pusat pembangkit nafsu seks yang ada di otak, sehingga
isyarat-isyarat yang diberikannya tidak sampai kepada organ seks yang
mengalirkan darah ke zakar. Dengan demikian, darah akan kembali dengan cepat
dari zakar sehingga membuatnya mengendur dan mengkerut. Biasanya tanda terkena
sihir ialah apabila keupayaan lelakinya hilang apabila hendak melakukan
hubungan seks dengan orang lain selainnya isterinya atau mengalami masalah mati
pucuk apabila dia hendak bersama-sama dengan isterinya tetapi tidak pula
apabila bersama isteri-isterinya yang lain atau pelacur ataupun perempuan
simpanan. Dalam perubatan moden, ini dinamakan sebagai impotens situational.
Peter Bankart dalam
bukunya Talking
cures: A history of Western & Eastern psychotherapies, turut memuatkan panduan
untuk mengenali antara gejala mati pucuk yang disebabkan oleh sihir dan mati
pucuk yang disebabkan oleh oleh faktor semulajadi dengan berkata: ”When the
member is in no way stirred and can ever perform the act of coition, this is a
sign of frigidity of nature; but when it stirred and becomes erect, yet cannot
perform, it is a sign of witchcraft.”
Masalah ini sering
berlaku terutama dalam rumahtangga yang mengalami konflik akibat suami yang
curang, atau disebabkan kehadiran orang ketiga bahkan terjadi juga dalam
perkahwinan poligami. Sehingga kini, kemelut ini seakan-akan tiada kesudahan.
Akhirnya, kedua-dua pihak saling tuduh menuduh, dan kesudahanannya menggunakan
khidmat bomoh atau pawang untuk memulihkan tenaga batin dan menghantar semula
sihir tersebut kepada tuannya. Ironinya, syaitan telah berjaya dalam misinya
untuk memisahkan hubungan perkahwinan manusia.
Dari kacamata undang-undang,
sememangnya tidak terdapat apa-apa peruntukan untuk menghukum tukang sihir
ataupun orang yang menggunakan khidmatnya atas kesalahan menyebabkan mati
pucuk. Namun seksyen 320 (a) Kanun Keseksaan menyebut:
Hanya jenis-jenis cedera
yang berikut sahaja dinamakan “parah”:
(a)
Hilang tenaga kelakian;
Maka perbuatan menggunakan ilmu
sihir bagi melemahkan tenaga kelakian adalah tergolong sebagai kesalahan
menyebabkan cedera parah. Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut hanya terhad
kepada jenayah yang dilakukan secara fizikal dan dapat dilihat dengan mata
kasar. Jika dibuat kajian lebih mendalam, sebenarnya ilmu sihir boleh digunakan
untuk melakukan segala jenis jenayah yang kita kenali pada hari ini seperti
membunuh, menyebabkan kecederaan, mengambil harta orang lain secara salah,
merogol, mencabul kehormatan, mengurung secara salah dan lain-lain sebagaimana
yang terkandung dalam Kanun Keseksaan.
Apa yang perlu diusahakan ialah
mewujudkan satu peruntukan khusus bagi menangani jenayah sihir dan menyusun
kaedah-kaedah pembuktian di mahkamah. Sekiranya
masalah ini dibiarkan berleluasa, masyarakat akan terdedah kepada jenayah halus
ini tanpa pembelaan.
No comments:
Post a Comment