Tanpa disangka, pelancaran Kit Anti-Histeria telah mencetuskan
‘histeria’ dalam masyarakat. Pelbagai komen, positif dan negatif, diutarakan
dalam pelbagai aspek. Setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap
orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.
ISU TEKNOLOGI DALAM PENGHASILAN KIT
Idea untuk menghasilkan kit ini bermula dari kes histeria di Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Lumpur, Kuantan sekitar tahun 2008. Warga
Kuantan pasti tahu betapa haru-birunya keadaan masa itu kerana kes tersebut berlarutan.
Kejadian yang serupa turut berlaku di beberapa sekolah di seluruh negara
sehingga ke hari ini. Pelbagai kaedah, sama ada yang betul mahupun yang salah,
telah digunakan. Menyedari masalah ini, satu penyelesaian perlu dicari.
Pada 2012, kertas cadangan kajian yang memperincikan
permasalahan yang dihadapi, telah dibentangkan kepada panel penilai projek
penyelidikan UMP. Dengan kesedaran bahawa isu ini memerlukan suatu bentuk
penyelesaian yang kreatif, maka Universiti Malaysia Pahang (UMP) meluluskan geran
penyelidikan dalaman berjumlah RM 15,000.00. Dengan dana itulah, maka saya
menjelajah ke beberapa buah negeri di Malaysia untuk mengutip data di
sekolah-sekolah yang pernah mengalami histeria. Itu adalah permulaan proses
mengutip data secara rasmi dan tersusun. Selama 10 tahun sebelum itu, saya
turut terlibat untuk menangani histeria di sekolah-sekolah, tetapi tanpa catatan
terperinci dan tanpa dana dari mana-mana pihak. Dengan kerjasama Pusat Rawatan
al-Manarah, saya diberikan kebenaran untuk memodifikasi kaedah dan pendekatan
yang diguna pakai selama 20 tahun bagi merawat individu yang terkena gangguan
makhluk halus. Melalui modifikasi ini, kaedah rawatan tersebut ditambah baik
dengan penggunaan bahan yang selamat dan mudah-kendali.
Kajian tersebut telah berjaya disiapkan mengikut jadual. Kali
pertama ia dibawa kepada pengetahuan umum dalam Malaysian Technology Expo
(MTE). Kit ini diletakkan dalam kategori peralatan paramedik. Namun perbezaan
pandangan juri yang kurang terdedah dengan dunia alam metafizik telah
menyebabkan ia ditolak mentah-mentah. Dari situ, saya menyedari bahawa laluan
kit ini pasti berliku.
Dengan panduan Al-Quran dan hadis, saya mempunyai keyakinan
yang tinggi bahawa terdapat pelbagai rahsia berkaitan alam metafizik yang mampu
kita terokai dengan bantuan peralatan teknologi. Jika selama ini teknologi
hanya tertumpu kepada bidang kejuruteraan dan mesin, maka sampai masanya
teknologi untuk sesuatu yang bersifat tidak ketara (intangible) perlu
diteroka. Revolusi industri yang dipelopori pihak Barat telah meninggalkan kita
sejauh 150 tahun ke belakang. Namun, dalam aspek spiritual, peluang masih ada untuk
kita menjadi pemandu kepada mereka. Di Jepun, agensi yang mengkaji perkara ini telah
wujud seperti Hado Institute Tokyo. Oleh yang demikian, tidak mustahil kit ini
menjadi perintis kepada kajian-kajian dalam bidang metafizik yang berasaskan
teknologi.
ISU JUAL AGAMA
Apabila isu menjual
agama dibangkitkan, saya berpendapat bahawa setiap orang ada hak untuk memberikan komen, dan setiap
orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.
Apabila dilantik sebagai
pengarah di Pusat Islam UMP, perkara yang berkaitan akidah dan syariat menjadi
agenda utama kepada saya untuk diperjuangkan. Salah satu aspek yang diberikan
tumpuan ialah aspek perubatan tradisional dan pengubatan Islam yang turut diresapi
unsur-unsur yang bersalahan dengan akidah dan syariah. Maka pelbagai usaha
untuk menyelamatkan akidah umat Islam dilakukan termasuklah melalui
penyelidikan, penulisan,penerbitan, ceramah, bengkel dan hebahan.
Banyak isu dan
permasalahan telah diketengahkan sama ada kepada pihak berkuasa mahupun secara
personal kepada individu-individu yang bertanya.Mungkin perkara inimenimbulkan
rasa tidak puas hati dalam kalangan pengamal perubatan yang terlibat dengan
amalan khurafat. Produk ini diperkenalkan dengan matlamat utama untuk membantu
menyelamatkan akidah masyarakat.Isu menjual agama tidak timbul dalam hal ini,
bahkan produk ini sebenarnya menyelamatkan akidah dan syariat seseorang muslim.
Apabila disyorkan
agar isu kit ini dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, maka ia adalah cadangan yang baik kerana ada banyak lagi
penyelewengan dan bid'ah dalam
perubatan Islam yang perlu diputuskan hukumnya yang terdapat dalam fail
simpanan saya.
Menyamakan kit ini
dengan kaedah yang digunakan dalam sesetengah agama lain merupakan analogi yang
tidak tepat. Perbuatan sedemikian lebih mirip kepada perbuatan pihak gereja di zaman
gelap Eropah yang menyekat perkembangan ilmu sains teknologi. Paderi menuduh
ianya sebagai amalan bid’ah dan ia adalah cabang ilmu sihir. Jika sikap begini
diamalkan oleh agamawan kita, sudah pasti akan membawa kepada kemunduran dan
rigid dalam agama Islam. Sepatutnya pihak berkaitan meminta pencerahan (tabayun)
tentang isu ini, bukannya membiarkan orang awam terkeliru.
ISU PERBEZAAN SUDUT PANDANG TERHADAP HISTERIA
Semangat Berani Berbeza yang diterapkan kepada warga UMP
memberi dorongan kepada saya untuk memandu kajian rentas dalam bidang
bersangkutan alam fizikal dengan alam metafizik. Cabaran untuk menemukan titik
persetujuan antara kedua-dua bidang ini dalam persekitaran UMP yang berteraskan
teknologi memerlukan saya untuk berfikir dengan lebih kreatif. Sikap terbuka
pentadbiran UMP dalam mendepani masalah ummah melalui pendekatan teknologi
memberikan kekuatan kepada saya.
Kajian tentang histeria dan kit ini adalah suatu sampingan sahaja. Bidang
tujahan saya ialah tentang perundangan berkaitan sihir. Saya sendiri mengetuai Jawatankuasa
Mengkaji Penggubalan Undang-undang Jenayah Sihir Malaysia yang dianggotai oleh
lebih kurang 39 orang ahli panel dari pelbagai bidang. Kajian yang dilakukan oleh jawatankuasa ini merupakan
satu bentuk kajian rentas bidang (trans-boundaries) yang mencantumkan beberapa
bidang ilmu iaitu undang-undang jenayah, undang-undang acara, undang-undang keterangan,
sains forensik, perubatan moden, perubatan tradisional dan ilmu berkaitan mistik
dan okultisme. Kesemua bidang ini digabungkan untuk menghasilkan satu kaedah
yang praktikal bagi tujuan pembuktian kesalahan melibatkan ilmu sihir.
Kit histeria juga dihasilkan atas dasar yang sama. Saya mengambil kira
pelbagai aspek bidang berkaitan dalam usaha untuk menangani kejadian histeria
termasuk bidang psikatrik. Oleh yang demikian, apabila pakar psikatrik
mengatakan bahawa histeria hanya boleh disembuhkan melalui perubatan psikatrik,
maka ia adalah satu kenyataan yang perlu dipertimbangkan. Ilmu Allah itu
terlalu luas dan jalan untuk sampai kepada kebenaran itu terlalu banyak. Saya
memberikan penghormatan yang tinggi kepada sumbangan dan pencapaian bidang psikiatri.
Ada masa, saya berdepan dengan kes kerasukan yang hanya mampu ditangani oleh
pakar psikiatri sahaja, dan ada masa saya berdepan dengan kes histeria yang
pakar psikiatri sendiri tidak mampu menghadapinya. Pada hemat saya, ilmu dan
kepakaran yang kita miliki ini perlu dipadukan untuk tujuan kebaikan kepada masyarakat,
bukan untuk mendabik dada bahawa kita adalah champion dalam bidang itu. Garis
panduan pengurusan Histeria oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, saya kira
sudah cukup baik kerana banyak aspek psikiatri yang diguna pakai. Namun,
ketiadaan intervensi spiritual semasa kejadian histeria merupakan kelompangan
yang perlu diisi melalui sikap terbuka terhadap bidang yang kita tidak tahu.
ISU EVIDENCE BASED
Ramai orang mengutarakan bahawa kajian sebegini perlu berpaksikan kepada evidence-based
medicine. Saya juga ingin menegaskan bahawa kajian ini adalah berdasarkan real-case
scenario. Tinjauan rambang yang saya dilakukan ke atas sekolah-sekolah
menengah di Pahang pada tahun 2012 menunjukkan hampir 61% sekolah menengah di
Pahang pernah mencatatkan kejadian histeria. Jika saintis menggunakan makmal
untuk menjalankan ujikaji, maka makmal saya ialah lokasi histeria itu sendiri. Saya
telah menjejakkan kaki selama 11 tahun di lokasi-lokasi histeria. Sepanjang
tempoh itu, saya menyiasat dan menganalisi punca
berlakunya histeria serta menguji keberkesanan kaedah dan bahan yang digunakan.
Kit ini telah diuji
pakai dengan jayanya di 11 buah institusi pengajian dan jabatan kerajaan yang
mengalami gangguan histeria dan kerasukan pada tahun 2014.
Bagi pengkaji seperti saya yang telah berdepan kes histeria lebih dari 11
tahun, saya menyaksikan impak negatif akibat kejadian histeria terutama mass hysteria.Jika di sekolah, proses
pembelajaran terganggu sehingga ada institusi yang terpaksa ditutup sementara
waktu bagi memulihkan keadaan. Selain menganggu emosi, ada juga kes histeria
dan kerasukan yang menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Pengalaman
menyaksikan kaedah perubatan yang bertentangan dengan akidah dan syariah
seperti membuang ancak, menangkap dan memindahkan jin, menggunakan tangkal,
menjamu makhluk halus menguatkan tekad untuk saya meneruskan kajian ini.
Justeru, dengan adanya Kit Anti-Histeria Manara akan
dapat membantu pihak-pihak berkaitan
untuk menangani kes-kes histeria yang berlaku dengan mudah, cepat dan selamat. Ia juga secara
tidak langsung dapat menyelamatkan umat Islam dari terjebak amalan
khurafat. Justeru, mengatakan produk ini adalah agenda tersembunyi yahudi
adalah sesuatu yang tidak logik. Dalam hal ini, pendirian saya tetap sama. Setiap orang ada hak untuk memberikan
komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang diluahkan.
ISU BERKAITAN DALIL TERHADAP BAHAN YANG DIGUNAKAN
Laporan media menyebutkan bahawa Naib Canselor UMPmengatakan
terdapat dalil dari al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa jin dan syaitan
takut kepada garam, lada hitam dan limau nipis. Laporan tersebut ada dua kesilapan.
Yang pertama, Naib Canselor tidak pernah menyatakan yang sedemikian. Yang
kedua, kami tidak pernah menyebut adanya dalil sedemikian. Yang sebetulnya ialah,
melalui pengalaman dan pemerhatian, dan telah dibuktikan dalam banyak kes yang
dihadapi bahawa makhluk halus yang meresap dalam tubuh mangsa tidak tahan atau alah
dengan bahan yang mempunyai salah satu dari 3 sifat berikut iaitu masam
(seperti cuka dan limau nipis), pedas (seperti lada dan lada hitam) dan masin
(seperti garam). Memang tidak ada nas yang menyebutkan demikian. Namun dapat
dilihat bahawa garam pernah digunakan oleh Rasulullah untuk menghilangkan bisa
terkena sengatan kala jengking, maka penggunaannya tidak menjadi sesuatu yang
menyalahi akidah dan syariah. Banyak lagi rahsia dan manfaat garam yang kita
tidak tahu.
Penggunaan bahan bersifat pedas pula merupakan hasil
pemerhatian kami kepada gejala yang dialami oleh mangsa histeria. Dalam
beberapa kes yang dirawat, mangsa histeria yang dalam kerasukan meminta
hidangan ayam yang dimasak tawar, tidak pedas, sebagai syarat untuk keluar. Selain
itu, pengalaman melihat petua orang-orang tua dahulu yang menyemburkan mata
orang kerasukan dengan lada hitam. Selain itu, mata manusia adalah antara
sasaran utama syaitan untuk menimbulkan khayalan dan rasukan sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah SWT dalam kisah Nabi Musa berdepan dengan ahli sihir
Firaun. Maka, pada hemat saya, penggunaan bahan tersebut bukanlah sesuatu yang
bertentangan dengan akidah dan syariat terutama apabila mangsa histeria
bersifat agresif sehingga mahu terjun dari bangunan tinggi.
Begitu juga penggunaan sesuatu yang
masam seperti cuka dan limau nipis. Memang telah diketahui bahawa bahan-bahan
ini mempunyai khasiat tertentu. Cuma dalam kit Anti-Histeria ini, cuka getah
atau asid formik digunakan untuk kawasan yang dikenal pasti ‘keras’. Dalam
kebanyakan kes yang dikaji, mangsa histeria mendakwa melihat istana, mahligai,
perkampungan dan lembaga-lembaga yang aneh di kawasan sekolah. Besar
kemungkinan kawasan itu menjadi kediaman makhluk halus yang merasuk mangsa.
Cara paling mudah untuk menghapuskan penempatan ini ialah dengan menyembur asid
formik di persekitaran kawasan tersebut.
Kesemua bahan ini bebas unsur metafizik atau mistik. Ianya
boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dengan syarat telah menjalani kursus
penggunaannya.Penggunaan Kit adalah berdasarkan kepada prinsip ABC iaitu ANALISIS-BERTINDAK-CEGAH.
ISU HARGA KIT ANTI HISTERIA
Antara isu yang bahan kritikan ialah
berkaitan harga. Sememangnya bahan yang terdapat dalam kit ini boleh didapati
dengan mudah di pasaran. Jika dinilai harga kos bahan, alat kelengkapan dan
pembungkusannya, nilainya mungkin tidak mencecah angka RM1,000.00 pun. Bahkan,
sesiapa sahaja boleh mendapatkannya di kedai-kedai atau di dapur-dapur rumah.
Namun, melalui pengalaman selama 11 tahun berdepan dengan kes histeria, ia
bukanlah semudah membeli sebiji panadol untuk sakit demam. Pelbagai kemungkinan
akan kita hadapi.
Sebagai penyelidik yang menjalankan
kajian field work secara holistik, menangani histeria bukanlah suatu
cerita berbentuk teori dan prinsip semata-mata, tetapi mesti ditangani secara
realistik. Setelah mengambil kira aspek persediaan sebelum kejadian, kesan
impak setelah kejadian dan risiko yang bakal ditanggung oleh mereka yang
terlibat, maka satu implikasi kewangan yang merangkumi segala kemungkinan ini
disediakan. Oleh yang demikian, aplikasi kit ini sebenarnya bukan terletak
hanya pada bahan, tetapi cara pengendalian yang betul adalah lebih penting.
Kepentingan perkara ini telah dikaji dengan sedalamnya bagi mengurangkan kos
dan risiko, dan memaksimakan keberkesanannya.
Penjualan kit ini adalah terkawal. Ia
hanya akan dijual kepada institusi, bukan kepada individu. Dengan pembelian kit
ini, 2 orang kakitangan institusi tersebut akan diberikan kursus dan latihan. Ini
bagi memastikan ianya digunakan secara betul dan mengikut prosedur. Segala kos
termasuk bahan kursus, logistik, bayaran fasilitator dan makan minum sepanjang
kursus telah diserap ke dalam pakej kit.
Kes histeria ini mempunyai pelbagai variasi dan beragam. Oleh
kerana kit ini adalah kit pertolongan cemas, maka ianya sesuai digunakan bagi
kes-kes yang dalam jangkaan. Sekiranya kes yang dihadapi itu bersifat di luar
jangka, maka pakar rawatan dari Al-Manarah akan turun sendiri untuk melihat
situasi sebenar sehingga masalah benar-benar selesai. Maka kos perjalanan,
masa, tenaga dan kepakaran perawat perlu diambil kira.Begitu juga sekiranya
histeria itu melibatkan kes-kes kronikseperti penyakit genetik atau saka
keturunan. Rawatan menggunakan kit anti-histeria adalah tidak memadai. Oleh
yang demikian, mangsa dan keluarganya perlu diberikan rawatan secara intensif
di pusat rawatan al-Manarah.
Harga pakej ini juga merangkumi kos pengurusan risiko. Ini
kerana terdapat bahan-bahan yang berbahaya dalam kit ini seperti asid formik. Maka
pengurusan risiko seperti rekod penggunaan dan butiran pengguna perlu disimpan
dan ia pasti melibatkan kos. Ianya adalah sebagai langkah berhati-hati
sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini. Kami turut menyediakan khidmat nasihat
atas talian bagi membantu pihak institusi untuk berdepan dengan kes histeria.
Prinsip dan etika sebagai penyelidik ialah mengkaji suatu
masalah dan menyediakan suatu penyelesaian holistik dengan mengambil kira
segala sudut dan kemungkinan yang akan berlaku. Penyediaan kit ini bukanlah
suatu kerja sehari dua atau sebulan dua. Justeru, jika ada pihak yang
mempertikaikan harga, maka itu terpulang kepada persepsi masing-masing.Setiap orang ada hak untuk memberikan
komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang
diluahkan. Mereka juga mempunyai hak untuk menyediakan sendiri kit ini tanpa
bantuan kami. Cuma, sejauh mana keberkesanannya, terpulang kepada kepakaran
masing.
PUNCA KONFLIK
Antara punca isu ini digembar
gemburkan ialah tajuk yang disensasikanoleh media iaitu ‘penunduk setan’ dan
‘penghalau makhluk halus’. Sebagai penyelidik, kami mengelakkan dari
menggunakan perkataan-perkataan yang bersifat demikian. Apa yang ditekankan
ialah Kit Anti Histeria. Tetapi media
menggunakan istilah yang lebih provokatif. Media tidak bersalah kerana itu
adalah antara resepi untuk menarik perhatian pembaca. Apa yang ingin saya
tekankan ialah, kit ini bukan kit penunduk setan atau penghalau makhluk halus,
tetapi adalah kit bantuan untuk mengatasi masalah histeria.
Pada 15 Mei 2014, saya berkesempatan membentangkan
kertas kerja berkaitan masalah rasukan bersama Profesor Dr. Mohamad Hatta
Shaharom, pakar psikiatri di Cyberjaya University College of Medical Sciences yang
juga Timbalan Presiden, Pertubuhan IKRAM Malaysia. Beliau mengingatkan bahawa saya
akan berdepan dengan dua golongan yang mempertikaikan kajian yang saya lakukan.
Satu pihak iaitu pengamal perubatan klinikal yang sekular dan tidak
menghiraukan aspek religio-spiritual dan menolak amalan-amalan kerohanian
seperti doa dan munajat. Satu pihak lagi ialah pengamal perubatan spiritual
yang hanya menekankan aspek kerohanian sahaja tanpa mengambil kira aspek
biologikal, psikologikal dan sosial. Pada pendapat saya, boleh jadi ‘histeria’
yang muncul ini ada kemungkinan dicetuskan oleh golongan yang sukar menerima
teknologi dalam perubatan spiritual lalu merebak menjadi epidemik dan
berjangkit kepada orang awam yang tidak bersalah sehingga ada yang menjerit dan
meracau dalam media sosial. Bagi saya, setiap orang ada hak untuk memberikan
komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang
diluahkan.
PERKEMBANGAN POSITIF
Di sebalik kontroversi kit histeria ini, ada juga maklum
balas dan respon positif terutama dari mereka yang hadir mendengar pembentangan
saya semasa sesi pelancarannya. Ada yang menyatakan bahawa usaha ini suatu yang
bagus dan boleh membantu mereka untuk berdepan dengan kes histeria. Beberapa agensi
kerajaan dan swasta serta NGO berminat untuk mengadakan sesi penerangan kaedah
mengatasi histeria dengan mudah. Ada juga pihak yang menyatakan minat untuk
mengadakan penyelidikan bersama dalam bidang paranormal secara lebih saintifik.
Insya Allah, kajian dalam bidang ini akan diteruskan. Ada banyak lagi produk
seumpama ini yang akan dilancarkan dan didedahkan kepada umum.
Ketika melakukan kajian tentang undang-undang sihir, situasi
yang sama turut berlaku. Orang yang tidak tahu menahu tentang undang-undang
lebih banyak memberi komen berbanding pengamal undang-undang. Tetapi apabila
kajian tersebut siap dan dibentangkan kepada jawatankuasa teknikal
undang-undang syarak dan sivil JAKIM, maka ia bukanlah suatu yang mustahil.
Malah pihak media turut menunjukkan minat terhadap isu ini. Sila rujuk di sini:
https://youtu.be/xtAGVjcECx0
Tentang cadangan agar penyelidik dianugerahkan Nobel Prize,
ianya suatu cadangan yang baik walaupun berbentuk sinikal. Setiap orang ada hak untuk memberikan
komen, dan setiap orang bertanggungjawab di hadapan Allah atas apa yang
diluahkan. Jauh di lubuk hati saya, mendapat kurniaan Allah dalam bentuk ilmu
untuk dimanafaatkan bagi kesejahteraan insan itu adalah suatu anugerah yang
lebih bernilai dari mana-mana anugerah.
Sekian sahaja.
Dr Mahyuddin Ismail
4 Mei 2015.
Tahniah Dr, teruskan perjuangan.
ReplyDeleteTerima kasih
DeleteSands Casino | New York, NY | Play Slots, Blackjack, Roulette
ReplyDeleteCome out and play at the Sands Casino Resort! septcasino Enjoy a world-class gaming floor with 바카라 more than 1,400 of the hottest deccasino slots and video poker machines,