ARTIKEL
DALAM MAJALAH AL ISLAM MAC 2012
MAMPUKAH SIHIR MENGHIDUPKAN ORANG YANG MATI, MEMATIKAN
YANG HIDUP?
Baru-baru ini,
sebuah stesen televisyen menyiarkan drama yang mengisahkan seorang wanita telah
disihir oleh bakal mertuanya menyebabkan jantung mangsa berhenti berdenyut.
Pakar perubatan moden turut mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia. Klimaksnya ialah apabila mangsa ‘hidup semula’
selepas seorang ustaz berjaya membebaskan mangsa dari ikatan sihir. Persoalannya,
adakah sihir boleh menjejaskan fungsi anggota dan tubuh manusia? Dan adakah
sihir boleh menyebabkan kematian?
Apabila berbicara soal ilmu
sihir, kita perlu menerima hakikat yang ianya sudah lama wujud dalam sejarah
ketamadunan manusia. Ia merupakan ilmu yang diajarkan oleh syaitan kepada
manusia dengan tujuan untuk memudarat dan menyesatkan manusia dari jalan Allah.
Fakta ini dinyatakan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah Al Baqarah ayat
102:
”... puak-puak syaitan itulah yang
kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia akan
ilmu sihir...Dan sebenarnya mereka (manusia) mempelajari perkara yang hanya memudaratkan
mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka
telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi
mendapat bahagian yang baik di akhirat”.
Para Sarjana Islam dan Sarjana Barat telah bersepakat bahawa sihir boleh menyebabkan kecederaan, kematian, perceraian, keretakan hubungan kekeluargaan, kehilangan harta benda, ketidakwarasan akal dan pelbagai gangguan dalam kehidupan mangsa. Kemudaratan tersebut terhasil daripada khayalan-khayalan yang ditimbulkan oleh khadam sihir (syaitan dan jin) dalam minda dan deria mangsa. Khayalan tersebut kelihatan seolah-olah benar-benar berlaku, menyebabkan manusia menyangka apa yang dihadapinya itu sebagai realiti. Kesan sihir ini boleh diumpamakan seperti kesan Imej Janaan Komputer (CGI) atau kesan khas (special effect) dalam sesuatu filem.
Penulis pernah berdepan dengan
seorang pesakit yang menjalani x-ray di sebuah pusat perubatan pakar di
Kuantan dan didapati terdapat berpuluh-puluh jarum dalam salur darahnya. Yang
menghairankan ialah apabila dibedah, tiada sebatang jarum pun yang dijumpai.
Imej jarum yang terhasil tadi boleh jadi adalah khayalan-khayalan yang dijana
oleh syaitan dan jin melalui peralatan moden. Khayalan ini menyebabkan pesakit
tersebut merasa seolah-olah jarum tersebut benar-benar wujud. Pada masa yang
sama, khadam sihir yang menguasai minda mangsa terutama pada deria rasa menimbulkan
rasa seperti sesuatu mencucuk-cucuk tubuhnya. Menurut
Sheikh Wahid Abdussalam Baly, apabila seseorang penyihir melakukan sihir, maka
khadam sihir akan menyerang dan bersarang di otak khususnya di bahagian yang
mengawal aktiviti pendengaran, penglihatan, pergerakan tangan mahupun kaki
mangsa. Akibatnya, kemungkinan yang akan berlaku ialah anggota tubuh tersebut
menjadi tidak berfungsi, sehingga menyebabkan buta, tuli, bisu, kaku dan lumpuh.
Kegagalan anggota tubuh untuk berfungsi termasuk jantung akibat sihir adalah perkara yang tidak mustahil kerana semuanya berlaku dengan izin dan kehendak Allah. Walau zahirnya ianya disebabkan angkara khadam sihir, tetapi hakikatnya Allah jua yang berkuasa melakukannya. Allah SWT bukan hanya berkuasa menghidup dan menghentikan jantung, bahkan bangkai keldai yang sudah reput juga boleh kembali bernyawa sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Uzair a.s.
Sihir Menghidupkan Orang Mati
Iblis dan syaitan juga diberikan kemampuan oleh Allah untuk menghidupkan makhluk yang telah mati melalui sihir. Walau bagaimanapun, kemampuan tersebut hanyalah tipu daya dan lebih berbentuk khayalan. Ini kerana, hak untuk menghidup dan mematikan makhluk adalah hak Allah. Firman Allah Taala dalam surah Az Zumar ayat 42: ”Allah (yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan jiwa yang lain (kebadannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir untuk memahaminya)”. Sekiranya ada ahli sihir mendakwa mampu menghidup orang yang telah mati atau mematikan orang yang hidup, maka dakwaan tersebut penuh dengan tipu daya dan helah.
Ibnu Battutah mencatatkan satu kisah tentang ahli sihir. Ketika beliau menjadi tetamu kepada seorang pembesar di China, beliau dipertontonkan persembahan yang sangat menakjubkan. Dalam persembahan itu, seorang ahli sihir telah memotong-motong anggota tubuh pembantunya. Setelah itu, dia mengumpulkan semula anggota tubuh yang terpisah dan melekatkannya antara satu sama lain, lalu menyepaknya. Pembantu itu bangun dalam keadaan tubuh seperti sedia kala. Ibnu Khaldun pada mulanya mempercayai ianya benar-benar terjadi. Beliau kemudiannya diberitahu bahawa apa yang disaksikan sebenarnya tidak berlaku.
Dalam kitab Al-Wahyu Al-Muhammadi, Syeikh Muhammad Rashid Redha turut mencatatkan cerita dari Dr. Alexander yang pernah menemui seorang ‘Lama’ di Tibet. Ketika itu, ada satu jenazah yang hendak dikebumikan. ‘Lama’ tersebut membaca sesuatu. Tiba-tiba jenazah tersebut bangun dan berbicara. Tetapi tidak lama kemudian, dia meninggal semula. Keadaan itu berlaku kerana jin atau syaitan yang diseru memasuki jenazah si mati dan setelah itu segera meninggalkannya.
Malaysia juga pernah digemparkan dengan kisah pengasas ajaran sesat Kerajaan Langit iaitu Ayah Pin yang didakwa telah berjaya menghidupkan seorang kanak-kanak. Akhirnya dia dianggap sebagai dewa oleh sebahagian masyarakat Hindu. Pada pendapat penulis, kanak-kanak itu bukannya mati, tetapi pengsan atau pun telah dihipnosis oleh Ayan Pin. Begitu juga dengan Sri Sathya Sai Baba yang mempunyai ramai pengikut di dunia termasuk di Malaysia. Dia disanjung dan dianggap sebagai tuhan kerana kebolehan menghidupkan orang yang mati. Keajaiban yang ditonjolkan ini telah menggugat keutuhan akidah umat Islam sehingga ada yang terpedaya dengan ‘syaitan manusia’ tersebut.
Beza Sihir dengan Mukjizat
dan Karamah
Bagi menyelesaikan kecelaruan yang ditimbulkan oleh ‘syaitan-syaitan manusia’ ini, maka perkara-perkara luar biasa tersebut perlu diperjelaskan; sama ada ianya suatu mukjizat, karamah ataupun satu bentuk sihir. Perbezaan antara perkara-perkara tersebut boleh dilihat melalui 9 aspek:
- Kaedah Belajar: Mukjizat dan karamah dikurniakan Allah tanpa perlu dipelajari atau diamalkan. Tiada syarat-syarat tertentu atau tempoh tertentu. Contohnya tongkat nabi Musa a.s. yang dikurniakan secara terus. Sihir pula perlu dipelajari dari seseorang dan diamalkan untuk suatu tempoh tertentu dengan syarat-syarat tertentu seperti bertapa, amalan mantera dan serapah.
- Kaedah Mengajar: Mukjizat dan karamah mustahil untuk diajar atau diwariskan oleh orang lain. Sihir boleh diajar dan diamalkan oleh sesiapa sahaja yang berkehendak.
- Kekerapan Berlaku: Mukjizat dan karamah berlaku secara spontan. Tidak selalu terjadi dan tanpa dirancang atau diatur. Sebagai contoh, mukjizat Nabi Muhammad SAW membelah bulan hanya berlaku sekali. Tongkat Nabi Musa a.s. pula bertukar menjadi ular hanya tiga kali. Berlainan dengan sihir. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki dan boleh diprogram serta ditentukan. Ianya boleh berulang kali. Contohnya, seorang penyihir boleh menilik lokasi barang hilang setiap kali diminta pelanggan.
- Matlamat: Mukjizat adalah tanda kenabian, karamah tanda kemuliaan. Sihir adalah perhambaan kepada syaitan.
- Kebolehtontonan: Mukjizat mesti dipertontonkan sebagai tanda kenabian. Karamah tidak boleh dizahirkan dan mesti disembunyikan. Sihir pula selalu dipertontonkan untuk tujuan keduniaan dan kepentingan diri.
- Kebolehbatalan: Mukjizat dan karamah tidak dapat ditandingi apalagi dibatalkan. Kesan ilmu sihir boleh dibatal dan dihapuskan oleh orang yang tahu akan kelemahannya.
- Kesan: Mukjizat dan karamah bersifat hakiki dan benar-benar terjadi. Ilmu sihir lebih bersifat khayalan dan tipu daya.
- Kesesuaian zaman: Mukjizat dikurniakan mengikut kesesuaian zaman dan tempat, dan ianya berbeza dari satu zaman ke satu zaman. Contohnya, Al Quran menjadi mukjizat yang sesuai dengan zaman perkembangan ilmu pada hari ini. Manakala sihir pula mempunyai persamaan dari segi alatan, bahan dan kaedah yang digunakan dari dahulu hingga sekarang. Ahli sihir zaman firaun sehingga hari ini masih menggunakan tongkat, tali, kemenyan, tengkorak, darah dan lain-lain bahan yang sama.
- Ciri-ciri penerima: Mukjizat dan karamah dikurniakan kepada Nabi atau Rasul yang mempunyai akhlak yang mulia dan terpuji, manusia-manusia yang bertaqwa, hampir dengan Allah, soleh dan baik akhlaknya. Pengamal sihir bukan dari golongan orang soleh dan biasanya mempunyai akhlak yang buruk lagi tercela.
Dalam Al Quran, terdapat beberapa kisah mukjizat para Nabi yang dapat menghidupkan makhluk yang sudah mati. Antaranya ialah kisah Nabi Musa a.s. yang menghidupkan orang mati dengan dipukulkan anggota lembu (surah Al-Baqarah, ayat 67-73) dan kisah Nabi Ibrahim a.s. menghidupkan burung-burung yang sudah lumat dicincang hanya dengan satu seruan (Al Baqarah 260). Nabi Isa a.s. juga dikurniakan mukjizat tersebut melalui kata-katanya dalam surah Ali Imran ayat 49: “Aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu.”
Semua keajaiban yang berlaku bertujuan memantap dan meningkatkan iman para Nabi dan umat mereka terhadap kekuasaan Allah. Justeru, semua nabi menyatakan bahawa kebolehan mereka menghidupkan makhluk yang telah mati adalah berlaku dengan izin Allah SWT, bukan dari kekuasaan mereka. Berlainan dengan perbuatan ahli-ahli sihir. Mereka menghidupkan orang mati untuk menunjukkan kehebatan diri. Perbuatan mereka juga penuh dengan tipu muslihat syaitan. Biasanya, sihir yang menghidupkan orang mati hanya akan bertahan untuk jangka masa yang singkat.
Dalam memahami isu menghidup dan mematikan makhluk ini, kita perlu menanam dalam hati bahawa Allah adalah pemilik kuasa yang mutlak. Sekiranya kehidupan dan kematian itu berlaku akibat mukjizat ataupun sihir, kita hanya perlu mengiktikadkan dalam hati bahawa itu berlaku dengan izin dan kehendak Allah, bukan kerana kuasa makhluk. Perkara ini ditegaskan oleh Allah dalam surah Al-Haj ayat 6: ”Yang tersebut membuktikan bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan yang sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
Dan firmanNya lagi dalam surah Al-Ahqaf ayat 33: ”Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya - berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Sesungguhnya nyawa manusia adalah ciptaan Allah Taala. Setiap yang ada pada manusia itu semuanya milik mutlak Allah Taala. Hanya Allah yang berhak menghidup dan mematikan.
No comments:
Post a Comment