Kertas
kerja ini telah dibentangkan dalam 2nd International Seminar on Shariah and Common Law(ISCOL 2012) anjuran fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia pada 6 Mac 2012.
DAKWAAN PENGGUNAAN ILMU SIHIR DALAM KES-KES PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN DI MAHKAMAH SHARIAH: KEPERLUAN KEPADA SATU PROSEDUR KENDALIAN STANDARD (S.O.P)
Oleh: Dr. Mahyuddin bin Ismail
LLB (IIUM), MCL (IIUM), PhD (UKM)
ABSTRAK
Kertas kerja ini bertujuan untuk mencadangkan satu Prosedur Kendalian
Standard (S.O.P) bagi menangani dakwaan penggunaan ilmu sihir dalam kes-kes perkahwinan
dan perceraian di Mahkamah Syariah. Prosedur yang dicadangkan ini adalah satu
usaha untuk membantu semua pihak untuk berlaku adil dan dalam masa yang sama
dapat membela pasangan yang menjadi mangsa kepada perbuatan jahat penyihir. Keperluan
kepada Prosedur Kendalian Standard ini dijustifikasikan oleh beberapa kes yang melibatkan
dakwaan disihir di beberapa buah mahkamah syariah. Kertas kerja ini turut meneliti
pendekatan yang diambil oleh para hakim mahkamah Syariah di Kuala Terengganu
dan Kuantan dalam mempertimbangkan dakwaan tersebut dan pandangan mereka
terhadap isu ini.
Isu berkenaan penggunaan ilmu sihir dalam kehidupan manusia bukanlah
suatu perkara yang baharu. Ianya telah lama dibincangkan semenjak bermulanya
tamadun manusia hinggalah ke hari ini. Sejarah tamadun-tamadun terdahulu
seperti tamadun Mesopotamia,[1]
tamadun Rom,[2]
tamadun China,[3]
tamadun Parsi,[4]
tamadun Islam[5]
dan tamadun Barat[6]
mencatatkan kewujudan undang-undang khas bagi menyekat dan membanteras amalan
sihir dalam kegiatan jenayah. Ini disokong oleh kenyataan William Blackstone:
To deny the
possibility, nay, actual existence, of witchcraft and sorcery is at once flatly
to contradict the revealed word of God, in various passages both of the Old and
New testament: and the thing itself is a truth to which every nation in the
world has in its turn borne testimony, either by examples seemingly well attested,
or by prohibitory laws; which at least suppose the possibility of a commerce
with evil spirits.”[7]
Para Sarjana Islam dan Sarjana Barat bersetuju
bahawa ilmu sihir boleh digunakan untuk mencederakan mangsa, mengubah rupa mangsa
kelihatan seperti haiwan,[8] menghilangkan perasaan kasih sayang
antara ahli keluarga, memisahkan antara suami dan isteri,[9]
menghilangkan kewarasan akal, memperoleh harta secara tipuan,[10] menyebabkan pelbagai penyakit sehingga ke
tahap membunuh mangsa tanpa perlu disentuh.[11] Melalui pengalaman penulis sebagai
perawat, terdapat sebilangan kes-kes gangguan misteri terhadap pasangan suami
isteri berpunca dari penggunaan sihir. Maka tidak hairanlah jika timbulnya
dakwaan oleh suami atau isteri bahawa masalah rumahtangga yang dihadapi mereka adalah
akibat terkena sihir.
Dakwaan Penggunaan Ilmu Sihir Dalam Kes Perkahwinan
dan Perceraian
Allah SWT telah menyatakan dalam surah al Baqarah ayat 102:
“Dalam pada
itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua (Harut & Marut)
ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya”
Ayat di atas secara jelas menunjukkan bahawa antara bentuk kemudaratan
penggunaan ilmu sihir ke atas manusia ialah kebolehannya memisahkan antara
seorang suami dan isterinya. Biasanya, perceraian dengan menggunakan ilmu sihir
ini berlaku dalam keadaan yang pelik dan luar dari kebiasaan. Melalui
pengalaman yang penulis pernah hadapi, ada suami yang mengadu bahawa lidahnya
seakan-akan dikuasai sesuatu sehingga melafazkan talaq terhadap isterinya. Terdapat
juga isteri yang beriya-iya mendesak suaminya agar menceraikannya tanpa
sebarang sebab. Ada pula yang mendakwa tidak sedar dan tidak ingat bila dan di
mana dia melafazkan cerai. Tidak kurang juga ada isteri memohon cerai fasakh
atas alasan suami mengalami lemah syahwat ketika hendak menyetubuhinya
sedangkan dengan isteri-isterinya yang lain tidak begitu. Kedapatan juga suami
atau isteri mendakwa berlaku perubahan mendadak pada perasaannya terhadap pasangannya
hingga timbul rasa benci dan meluat yang amat sangat hingga memukul pasangannya
tanpa kerelaan hati.
Dalam kes Mustafa Batcha lawan Habeeba Abd. Rahman,[12]
perayu mendakwa telah melafazkan talaq dalam keadaan beliau tidak sedar kerana dipengaruhi sihir. Menurut perayu,
beliau disihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin di sebuah kilang.
Akibatnya, fikirannya menjadi tidak tenteram, selalu bergaduh dan marah pada
isterinya yang disayangi. Pernah dia memukul isterinya sedangkan dia sendiri
tidak tahu apa yang dilakukannya. Dalam keadaan tidak sedar juga, beliau telah
membuat aduan kepada pihak berkuasa untuk menceraikan isterinya. Beliau ada
menemui bungkusan kain putih di dalam kantin tersebut dan menurut orang yang
mengubatinya, beliau telah terkena sihir kerana berjaya mendapatkan tender kantin
tersebut. Orang yang menyihirnya merasa dengki lalu menyihirnya agar
rumahtangganya bercerai berai.
Selain
penggunaan sihir dalam perceraian, timbul juga dakwaan penggunaan sihir bagi
tujuan memikat, menunduk, menguasai perasaan dan pertimbangan pasangan yang
ingin dikahwini. Kesannya, mangsa menuruti kehendak penyihir tanpa sedar dan di
luar kawalan. Ada isteri mengadu kepada penulis bahawa setelah beberapa tahun
berkahwin dan mempunyai beberapa orang anak, barulah beliau sedar bahawa beliau
sudah menjadi isteri orang. Lebih melucukan, lelaki yang menjadi suaminya itu juga
tidak pernah dikenalinya.
Dalam kes Re Wan Norsuriya,[13]
pemohon telah membuat permohonan kepada mahkamah agar perkahwinan beliau
dibubarkan kerana adanya unsur ketidakrelaan. Melalui temubual dengan Hakim
yang mengendalikan kes tersebut,[14]
beliau secara peribadi berpendapat wujudnya unsur penggunaan sihir dalam kes
ini. Menurut beliau, wanita tersebut tidak tahu dan tidak sedar apa yang
berlaku kepada dirinya sepanjang berada dalam kurungan defendan. Hatta ketika
berkahwin, beliau sendiri tidak menyedari bahawa beliau menyatakan persetujuan
untuk berkahwin dengan lelaki yang mengurungnya. Oleh kerana ketiadaan
peruntukan undang-undang khas mengenai dakwaan disihir, maka kes tersebut diputuskan
atas dasar tiada kerelaan dari wanita yang dikahwini.
Pendekatan yang sama juga diambil dalam kes yang baru diputuskan oleh
Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 26 Jun 2011 yang
lalu. Dalam kes tersebut, seorang warga Pakistan Muhammad Kamran Babar Nazir
Khan, 46 memohon kepada mahkamah agar mengesahkan perkahwinan beliau dengan
Yani Yuhana Mohd Zambri, 24. Hakim memutuskan perkahwinan tersebut sah di sisi
hukum syarak meskipun defendan mendakwa perkahwinan itu berlangsung dalam
keadaan beliau disihir.[15]
Senario
yang berlaku menunjukkan terdapat dakwaan
penggunaan ilmu sihir dalam kes-kes perkahwinan dan perceraian di Mahkamah Syariah.
Apabila dakwaan-dakwaan sedemikian dibawa ke muka pengadilan, sama ada sebagai
satu pembelaan bagi memastikan perceraian tidak akan berlaku, atau sebagai
alasan untuk menyokong tuntutan perceraian, maka institusi perundangan
berhadapan satu masalah; sama ada untuk mengesahkannya dan menerimanya, atau
menafikannya seterusnya menolak dakwaan tersebut.
Pandangan Hakim Mahkamah Syariah Kuantan dan Kuala
Terengganu
Berdasarkan kes-kes yang telah dikemukakan serta temubual bersama 6 orang
hakim mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan juga Kuala
Terengganu, kesemua hakim percaya bahawa penggunaan sihir dalam kes-kes rumahtangga
memang wujud. Malah kesemua hakim pernah berdepan dengan dakwaan sedemikian
semasa dalam perbicaraan. Malangnya dakwaan sedemikian tidak mendapat perhatian
yang serius kerana dua sebab utama iaitu:
a)
kegagalan pihak yang mendakwa untuk membuktikan wujudnya
unsur-unsur sihir ke atas diri mereka;
b)
ketiadaan garis panduan dan peruntukan dalam
enakmen berkaitan isu ini.
Lantas para hakim mengambil jalan lebih selamat iaitu dengan mengadili kes
berkenaan atas alasan yang zahir pada pandangan mata kasar dan dapat diterima logik
akal. Para hakim juga melihat faktor-faktor sampingan seperti latar belakang
dan sikap pengadu dalam membuat penghakiman. Ini adalah pendekatan lebih
berkesan kerana terdapat sesetengah pengadu membuat dakwaan sedemikian kerana
terpengaruh dengan telahan semberono oleh perawat alternatif seperti bomoh dan
dukun yang merawat mereka. Sesetengahnya pula membuat dakwaan sedemikian sebagai
helah untuk menjaga kepentingan diri.
Masalah ini mungkin dapat
di atasi sekiranya satu prosedur khas bagi menilai kesahihan dakwaan tersebut
dapat diwujudkan dan dipakai secara seragam di seluruh mahkamah. Prosedur ini
bukan sahaja dapat membantu para hakim dan pengamal undang-undang untuk
menilai kesahihan dakwaan tersebut, malah dalam masa yang sama dapat mengelak
penganiayaan ke atas mana-mana pihak sekiranya apa yang didakwa itu tidak benar.
Bagi merealisasikan perkara ini, berikut adalah cadangan prosedur yang boleh
digunapakai dalam berhadapan dengan dakwaan sedemikian.
CADANGAN PROSEDUR
KENDALIAN STANDARD (S.O.P) UNTUK MENANGANI DAKWAAN DISIHIR
Langkah 1: Pihak yang mendakwa perlu membuktikan
dakwaan beliau
Apabila
ada pihak-pihak dalam satu perbicaraan (sama ada mangsa atau pasangannya atau
ahli keluarga terdekat)[16]
mempercayai dan mendakwa bahawa beliau atau pasangannya berkemungkinan terkena
ilmu sihir, maka hakim perlu meminta pihak yang mendakwa untuk memberi
keterangan dan mengemukakan bukti bahawa dakwaannya adalah benar.[17]
Untuk itu, orang yang mendakwa perlu membuktikan wujudnya simptom-simptom
gangguan sihir pada dirinya atau pasangannya. Kebiasaannya, seseorang yang
disihir akan menunjukkan simptom-simptom dan perubahan-perubahan tertentu pada rohani
dan jasmani. Antara simptom dan perubahan yang biasa dialami oleh
mangsa-mangsa sihir ialah:[18]
(a) Kesan
pada fikiran dan perasaan
Sihir pada kebiasaannya
akan mempengaruhi jiwa dan fikiran seseorang mangsa. Seseorang yang disihir
akan menunjukkan perubahan-perubahan pada emosi, perasaan dan cara berfikir. Antara
kesan yang biasa berlaku ialah:
(i)
Mangsa menjadi resah dan
gelisah sehingga tidak boleh tidur malam, sering bermimpi buruk dan mengerikan.[19]
Biasanya, mangsa juga akan bermimpi dikejar binatang buas atau lembaga berwarna
hitam, didatangi atau disengat haiwan berbisa seperti ular, kala jengking, atau
terasa seperti hendak jatuh dari tempat yang tinggi.[20]
(ii)
Fikiran mangsa menjadi
tidak keruan dan berserabut. Kadang-kadang tindakannya terjadi dengan sendiri
tanpa dapat dikawal. Mangsa mungkin akan meracau-racau, ketawa mengilai-gilai
atau bercakap seorang diri. Lama-kelamaan, mangsa boleh menjadi gila, hilang
ingatan, tidak siuman, mereng dan seumpamanya.[21]
(iii)
Sentiasa terkenang atau
teringat seseorang dan terasa hendak lari dari rumah, sentiasa
tercengang-cengang dan lupa, meracau-racau, mata terbeliak, tidak tetap di
satu-satu tempat, tidak fokus pada suatu pekerjaan, kerap berjalan waktu tidur.[22]
(iv)
Tanda terkena sihir
pengasih ialah perasaan cinta dan sayang yang menggila, merasa terlalu ingin
melakukan persetubuhan, tidak dapat menahan sabar ketika melihat isteri atau
kekasihnya, melihat perempuan tersebut sebagai wanita paling cantik, mengikut
perintah isteri atau suami membabi buta.[23]
(v)
Terdengar suara atau
bisikan yang memanggil atau menyuruhnya melakukan sesuatu seperti memukul
seseorang, membunuh orang, membunuh diri sendiri atau bisikan yang
mengatakan:"kamu akan mati tidak lama lagi” dan sebagainya.
(b) Kesan
pada anggota tubuh badan (fizikal)
Berikut ialah
antara kesan-kesan fizikal yang dialami oleh mangsa akibat disihir:-
(i)
Mangsa akan merasa badannya
sentiasa sakit menyucuk-nyucuk seolah-olah ditusuk sesuatu yang tajam berbisa,
anggota badan tertentu seperti belakang, leher atau dada terasa panas, terasa
bisa-bisa seluruh badan atau sebahagian daripada badan, kadang-kadang badan
terasa kebas dan sebagainya.[24] Ada
juga yang berkudis seluruh tubuh dengan bau yang busuk hingga membawa maut.[25]
(ii)
Selalu timbul tompok lebam
bewarna biru kehitaman pada anggota tertentu tubuh seperti lengan atau celah
peha.[26]
(i)
Mengalami sakit kepala
sebelah sama ada di sebelah kanan atau kiri, atau seluruh kepala pada
waktu-waktu tertentu terutama menjelang senja atau tengah malam.
(ii)
Dapat melihat sesuatu yang
tidak dapat dilihat oleh manusia biasa seperti melihat jin yang menjelma dalam
bentuk makhluk yang sangat hodoh, berbau busuk yang selalu mengekorinya.[27]
(iii)
Alat kelamin mati tiba-tiba
apabila hendak bersetubuh. Hal ini biasa berlaku terutamanya bagi lelaki yang
beristeri lebih dari satu.[28]
(iv)
Badan terasa berat seperti memikul
sesuatu dan kadang-kala terasa seperti ada sesuatu yang mencakar-cakar
belakangnya atau telinganya.[29]
(v)
Mangsa terhidu bau busuk di
merata-rata tempat sehingga menganggu kehidupannya. Terkadang orang
disekelilingnya juga boleh menghidu bau tersebut.[30]
(c) Kesan pada kediaman
dan tempat tinggal
(i)
Sekiranya sihir dikenakan
pada kediaman atau premis, maka kebiasaannya orang itu akan merasa tidak selesa
tinggal dalam rumah, dalam kedai atau di pejabat sebab terasa panas dan
serabut.
(ii)
Adakalanya kediaman atau
premis diganggu seperti dinding diketuk dan dicakar, pintu tiba-tiba terbuka,
paip air dan lampu tiba-tiba terpasang, api tiba-tiba menyala dan membakar
pakaian dalam rumah.[31]
(iii)
Jelmaan bayangan menakutkan
dan bunyi-bunyian yang pelik di premis.[32]
(d) Kesan
pada hubungan dengan ahli keluarga
(i)
Rumah tangga sentiasa
bergelora dan perkelahian antara suami isteri sentiasa berlaku walau disebabkan
oleh kesalahan yang kecil. Orang yang terkena sihir akan mudah marah yang
bersangatan tanpa sebab.[33]
(ii)
Nampak muka pasangan sangat
hodoh dan menakutkan.[34]
(iii)
Merasa sakit bersangatan
bila dipegang atau disentuh pasangan.
(e) Kesan pada
prestasi kerja atau perniagaan
(i)
Sekiranya mangsa
menjalankan perniagaan, pelanggan yang datang ke kedainya nampak seolah-olah
kedainya tutup walaupun sebenarnya ia dibuka.
(ii)
Pekerja-pekerjanya juga
sentiasa bertukar dan tidak senang dengan majikan.
(iii)
Pekerja yang asalnya
cemerlang tiba-tiba berubah menjadi malas, berat untuk datang kerja, sehingga
ada yang lupa jalan untuk ke tempat kerjanya.[35]
(i)
Sentiasa menolak pinangan
orang yang datang meminang jika mangsa tersebut anak gadis, jika anak teruna
mereka enggan berkahwin sampai ke tua.
(ii)
Mangsa akan lebih suka
menyendiri tidak mahu bergaul dengan orang sekeliling.
(iii)
Menjadi amat pemalu dan
segan tidak bertempat.
(iv)
Mula membenci kawan-kawan
dan tidak mahu bercakap dengan mereka, fikiran selalu berserabut dan pening
kepala berpanjangan. Ini antara tanda sihir pengasingan.[36]
Selain simptom di atas, mangsa sihir juga biasanya akan mengalami perubahan
mendadak terhadap sikap dan tingkahlaku, kewarasan pemikiran, rutin kehidupan
seharian dan juga kerjayanya. Untuk menentukan perubahan yang berlaku itu
adalah berpunca dari akibat disihir, pengadu dan orang yang terdekat dengannya
seperti pasangan atau ibubapanya boleh ditemubual. Antara ciri-ciri
perubahan akibat sihir ialah:
·
Perubahan itu berlaku
secara mendadak tanpa sebab;
·
Sebahagian besar perubahan
tersebut berlawanan dengan keadaan asal mangsa sebelum disihir.
·
Perubahan tersebut berlaku
setelah mangsa, sama ada secara sedar atau tidak, melakukan sesuatu perkara
yang menyebabkan mana-mana orang merasa dengki, irihati, marah, dendam, hasad,
meluat dan seumpamanya.
Sekiranya pengadu, semasa sesi
soal jawab itu, ada menyatakan pernah terjumpa sesuatu yang pelik seperti
patung tergantung atau beras kunyit di laluan masuk, bangkai haiwan yang
dibakar dan digantung depan pagar, atau telur mentah dibaling di laman rumah,
bulu kongkang bertaburan di premis perniagannya atau yang seumpamanya, maka semua
perkara itu mesti diambil kira dan disimpan sebagai bukti sokongan. Besar
kemungkinan itu adalah bahan-bahan yang digunakan untuk menyihir mangsa.
Langkah ini sangat penting bagi menentukan sama ada wujud kaitan antara
gangguan yang berlaku dengan apa yang dilalui oleh mangsa sebelum dan selepas
kejadian itu.[37]
Langkah
ke 2: Meminta pendapat pakar
Peranan dan kerjasama individu-indididu yang
memahami selok belok ilmu dan amalan sihir amat diperlukan. Dalam Islam, seorang yang dahulunya
terkenal sebagai ahli sihir, tetapi telah berhenti dari menjadi ahli sihir dan
bertaubat dari kejahatan tersebut boleh dipanggil sebagai saksi bagi memberikan
keterangan mengenai selok belok ilmu sihir. Inilah pendapat Ibn Rifācah
sebagaimana yang disebutkan oleh Khātib Sharbiniy.[38]
Bagi tujuan perbicaraan dalam
mahkamah Shariah pada hari ini, pendapat pakar boleh diminta bagi menentukan:
a)
sama ada simptom yang
dialami oleh mangsa adalah salah satu tanda sihir;
b)
sejauh mana kesan sihir
yang dikenakan itu terhadap hubungan rumahtangga;
c)
pertalian antara bahan
sihir (jika ada) dan kesannya kepada mangsa;
d)
kemungkinan wujudnya qarinah
yang boleh dikaitkan dalam
dakwaan yang dikemukakan;
e)
kebarangkalian bahawa mangsa
memang terkena sihir;
f)
dan lain-lain perkara
yang berkaitan.
Metodologi sebegini adalah bersesuaian dengan peruntukan seksyen 33 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Selangor) 2003[39]
yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk memanggil seseorang yang pakar dalam
undang-undang negara asing atau mengenai sains atau seni, atau tentang identiti
atau ketulenan tulisan tangan atau cap jari atau berhubungan penentuan nasab
untuk memberikan pendapat mereka di mahkamah. Keperluan kepada pendapat
pakar dalam isu sihir dapat dilihat dalam kes Mustafa Batcha lwn Habeeba Abd Rahman. Hakim Mahkamah
Rayuan menyatakan:
”Hakim yang Arif
tidak langsung mencatatkan di dalam rekod perbicaraannya fakta kes tersebut dan
juga beliau telah tidak memanggil dukun yang mengubati Perayu untuk mendapatkan
keterangan untuk mempastikan sama ada Perayu benar-benar sakit kena buatan
orang (sihir) yang menyebabkan perceraian.”[40]
Langkah ke 3: Memerintahkan mangsa mendapatkan rawatan
dari pusat rawatan bertauliah.
Sekiranya
hakim (setelah meneliti simptom yang dihadapi mangsa dan setelah mendengar
pendapat pakar tentang hal tersebut) mempunyai sebab untuk mempercayai pengadu
mengalami simptom-simptom disihir, maka hakim boleh mengeluarkan perintah agar
pengadu dirujuk ke pusat-pusat rawatan yang boleh dipercayai dan diberikan
tempoh tertentu untuk menjalani rawatan. Tujuan utama dijalankan rawatan adalah bagi memastikan pengadu
benar-benar pulih dari pengaruh sihir dan dapat dibicarakan di mahkamah dalam
keadaan beliau sempurna akal. Kebiasaannya, apabila mangsa bebas dari ikatan
sihir, beliau akan mempertimbangkan tindakan yang telah diambilnya dengan lebih
rasional. Dalam keadaan ini, maka mahkamah boleh mendengar semula tuntutan yang
difailkan sama ada oleh pengadu atau pasangannya. Kaedah ini lebih adil kerana semua
pihak dalam tuntutan atau permohonan tersebut berada dalam keadaan akal yang sempurna.
Dalam pada itu, pihak yang terlibat juga perlu berhati-hati apabila
mendapatkan rawatan dari pusat rawatan komplementari. Terdapat banyak
pusat-pusat rawatan yang menawarkan rawatan alternatif sama ada berbentuk
Islamik mahupun tradisional. Malangnya, sehingga hari ini, institusi kehakiman dan
perundangan Syariah belum mempunyai satu badan induk yang mempunyai kuasa bagi menilai
dan mengiktiraf sesebuah pusat rawatan alternatif sebagai layak untuk dijadikan
rujukan dalam kes-kes sebegini. Oleh yang demikian, banyak pusat rawatan tidak
bertauliah muncul dan sebahagian mereka menjalankan rawatan untuk menipu dan
mengambil kesempatan atas mangsa yang terdesak.
Permasalahan tersebut telah disedari oleh beberapa pihak. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui
Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) berusaha untuk menyediakan
deraf garis panduan kepada pengamal perubatan Islam dan Tradisional Melayu. Melalui
usaha BPTK juga, para pengamal-pengamal perubatan Islam telah bersepakat untuk menubuhkan
satu gabungan pengamal perubatan Islam yang diiktiraf yang dikenali sebagai Gabungan
Persatuan Perawat Islam Malaysia atau GAPIMA. Selain itu, beberapa pihak juga telah
menganjurkan pelbagai seminar bagi menimbulkan kesedaran tentang isu ini. Antaranya Muzakarah
Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis yang dianjurkan oleh
Jabatan Mufti Selangor pada 17 Disember 2009 yang diikuti dengan Muzakarah Pakar: Cabaran Pendakwaan Ahli
Sihir di Mahkamah pada 21 Julai 2010 telah menghasilkan satu resolusi
supaya kegiatan jenayah yang menggunakan ilmu sihir dibanteras melalui
mekanisma perundangan.
Dalam hal
ini, penulis berpendapat insititusi-institusi pentadbiran dan perundangan Islam
seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan agama Islam
negeri dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) seharusnya lebih terkehadapan
dalam mendepani isu ini kerana ianya melibatkan isu perundangan Syariah dan
juga isu akidah ummah. Oleh itu, penulis mencadangkan agar kajian lebih mendalam
tentang isu-isu berkaitan undang-undang amalan sihir perlu dimulakan dalam
rangka membela nasib mangsa dan menjaga akidah ummah.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, isu penggunaan sihir dalam rumahtangga memang berlaku
dan adakalanya dibangkitkan dalam mahkamah. Ketiadaan garis panduan dan
peruntukan undang-undang mencacatkan perjalanan sistem keadilan. Justeru, kajian mendalam bagi mewujudkan satu Prosedur
Kendalian Standard (S.O.P) bagi menangani dakwaan tersebut bukan sahaja dapat
memberikan keadilan kepada pasangan suami dan isteri serta ahli keluarga, malah
dapat mengembalikan kerukunan dan keharmonian rumahtangga. Prosedur yang dicadangkan merupakan salah
satu langkah bagi mengelakkan berlaku kezaliman dan kesilapan dalam membuat
keputusan. Sesungguhnya syaitan dan kuncu-kuncunya yang mendalangi amalan sihir
sangat gembira sekiranya sesebuah institusi rumahtangga dapat diruntuhkan. Isu
jenayah sihir ini harus dipandang serius oleh semua pihak. Ini kerana jenayah
sihir bukan sahaja boleh meretakkan hubungan kekeluargaan, malah dapat
menghancurkan perpaduan dan keamanan dalam masyarakat. Emmet V.
Mittlebeeler menyatakan“If we accept the theory that the law of crimes
developed from direct public action against a malefactor, witchcraft may have
been the first of all crimes.”[
bagus.. nasib orang2 yang x bersalah akan terbela disini nanti. bila undang2 ni akan berkuat kuasa?
ReplyDeleteBuat masa skrang, pihak JAKIM dan Jab Peguam Negara telah mengadakan perbincangan dgn saya. Sudah dua kali pertemuan dan mereka nampak positif. Insya Allah kalau tiada aral, bulan september nanti akan di bawa ke Jawatan Kuasa Teknikal untuk keputusan samada perlu bawa ke peringkat nasional atau di laksanakan di mahkamah syariah dahulu. Doakan lah semoga ianya dpt direalisasi demi kesejahteraan insan.
ReplyDeleteEncik..saya pelajar dari politeknik... saya tgh buat assiment mengenai sihir.. boleh kah encik beri pandangan bagaimana hendak menangani masalah sihir ini??
ReplyDeleteSalam Dr, boleh huhungi Dr utk berbincang tentang sihir dan sop dan kaedah yang saya ada untuk membuktikan sihir wujud
ReplyDelete