PENGENALAN
Baru-baru ini, seorang pelajar saya bertanya tentang
ilmu yang beliau pelajari dari seorang tukang urut tradisional.Sebagai syarat
pengijazahan, beliau dikehendaki mencelup tangan ke dalam kawah minyak panas.Dengan
melakukan demikian, maka ilmu urutan yang dipelajari akan mujarab. Seminggu
sebelum itu, seorang jemaah surau saya turut bertanya perkara yang hampir sama.
Datuknya ingin menurunkan ilmu perubatan tradisional kepada beliau dengan
syarat beliau mesti menyediakan jarum dan duit syiling 25 sen sebagai syarat
pengijazahan. Jika syarat itu tidak dituruti, maka ilmu tersebut tidak akan
menjadi.
Isu tersebut banyak berlaku dalam masyarakat kita
dengan pelbagai versi.Apabila diteliti, iasebenarnya berkisar tentang sumber
pengambilan ilmu tersebut. Ada pengamal yang memperolehi ilmu secara langsung dari
guru-guru, ustaz-ustaz, pengamal-pengamal perubatan tradisional, bomoh dan
pawang dan pelbagai lagi.Ada juga yang memperolehinya melalui carayang luar
dari kebiasaan seperti pertapaan, mimpi, ilham, kasyaf, bisikan dan seumpamanya.
INSTITUSI PERBOMOHAN
Dalam mana-mana komuniti di dunia
ini, memang terdapat individu-individu yang mempunyai kebolehan luar biasa
terutama dalam aspek berkaitan perubatan tradisional. Sebagai contoh, mereka
dikenali sebagai witchdoctor dan sorcererdi Eropah, Sangomadi
Afrika Selatan, toa malidi Pulau Flores, jhakridi Nepaldan
’arraf serta kahin dalam masyarakat Arab Jahiliyyah.
Di Malaysia, khususnya dalam
masyarakat Melayu, istilah bomoh, dukun, pawang, ahli nujum, tukang tilik
adalah antara individu-individu yang dianggap insan yang mempunyai kebolehan
luar biasa. Mereka mempunyai kedudukan dan peranan yang sangat besar dalam
masyarakat Melayu, dijadikan rujukan ketika hendak membuka tanah dan menanam
padi, menjaga tanaman, menjaga harta dan keturunan mereka.
Menurut Datuk Dr. Amran Kasimin
dalam buku beliau Sihir suatu amalan kebatinan, pada zaman dahulu, pawang
mempunyai reputasi tinggi, kakitangan kerajaan yang diberi gaji, berfungsi
merawat penyakit, memberi petua atau arahan kepada para petani, menjaga
lombong-lombong dan memberi khidmat kepada para nelayan. Pawang adalah orang
yang paling penting di sesuatu tempat seperti yang disebut dalam Perak Laws.Dalam hal ini, Walter William Skeat menyatakan
dalam bukunya Malay Magic: Being an introduction to the folklore and popular
religion of the Malay Peninsula:
The pawang is a functionary of great and
traditional importance in a Malay village, though in places near towns the
office is falling into abeyance. In the inland districts, however, the pawang
is still a power and regarded as part of the constituted order of society,
without whom no village community would be complete.
Apabila Islam mula tersebar di Tanah Melayu pada awal
kurun ke 10, maka usaha-usaha telah giat dijalankan bagi membanteras
amalan-amalan khurafat yang bercanggah dengan syara’termasuk amalan berpawang.
Pun begitu, ketaksuban dan kesebatian jiwa sebahagian dari masyarakat Malaysia
khususnya orang Melayu dengan amalan-amalan dan adat yang diwarisi dari
kepercayaan animisme, ajaran Hindu dan Buddha tetap menebal di dalam jiwa.
Hasilnya, amalan-amalan tersebut telah bercampur aduk
dengan amalan ibadah sehingga ada yang beranggapan bahawa pawang adalah sebahagian
daripada institusi agama Islam.Keadaan ini digambarkan oleh William Skeat seperti
berikut:
It must be clearly understood that he (pawang)
has nothing to do with the official Muhammadan religion of the mosque: the
village has its regular staff of elders- the Imām, Khātib or Bilal.
HUKUM BERTEMU DAN BERAMAL DENGAN AJARAN BOMOH DAN
PAWANG
Apabila diteliti dari aspek hukum, terdapat sejumlah hadis
yang secara terang-terangan melarang umat Islam dari terlibat dalam amalan
perbomohan. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar dari ‘Imran
bin Husain bahawa Rasulullah SAWbersabda:“Bukan termasuk dalam golongan kami sesiapa yang beranggapan sial
atau membenarkan orang yang beranggapan sial, atau sesiapa yang mendatangi
tukang ramal atau membenarkan ucapannya, atau sesiapa yang melakukan perbuatan
sihir atau membenarkannya.”
Imam Muslim pula meriwayatkan dalam Shahihnya bahawa Nabi
SAWbersabda:“Barangsiapa yang datang bertemu tukang tilik,
tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.”Manakala Imam Ahmad
meriwayatkan dalam musnadnya bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Barangsiapa mendatangi seorang dukun atau tukang tilik kemudian
membenarkan apa yang ia katakan, maka ia telah kufur terhadap apa yang
diturunkan kepada Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam.”
Hadis-hadisdi atas melarang kita dari menemui dukun
dan tukang ramal untuk bertanya sesuatu dari hal-hal yang ghaib, mistik, luar
biasa dan seumpamanya.Jika perkataan yang diucapkan bomoh pun kita dilarang
mempercayainya, maka apatah lagi jika kita belajar dan beramal dengan amalan
yang diajarkannya serta menyebarkan amalan tersebut kepada orang lain.
Larangan mempercayai pawang, dukun atau bomoh dan mempelajari
ilmu daripada mereka disebabkan terselitnya unsur-unsur penipuan dan kebatilan.Kebanyakan
perkhabaran berita, syarat dan bentuk amalan yang ditetapkan oleh mereka
merupakan ilham dan bisikan oleh syaitan. Firman Allah dalam surah as-Syu’ara
ayat 221-223:
”Mahukah Aku khabarkan kepada kamu,
kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun?Mereka selalu turun kepada
tiap-tiap pendusta yang berdosa, yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang
disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah
dusta.”
Perbuatan belajar dari bomoh dan pawang dengan tujuan
untuk beramal dengan ilmu tersebutsecara jelas mengengkari perintah Nabi SAW.Secara
tidak langsung, iamenunjukkan bahawa kita berasa tidak cukup dengan apa yang
telah dibekalkan oleh Rasulullah SAWsehingga terpaksa mendapatkan dari sumber
yang lain.
SYARAT BERAMAL DENGAN ILMU BOMOH DAN PAWANG
Antara sebab utama ilmu perbomohan dianggap sebagai
perbuatan kufur ialah kerana ilmu tersebut berasal dari syaitan.Ilmu perbomohan
menetapkan syarat-syarat yang pelik-pelik, tidak logik dan tiada kaitan dengan
sebab dan musabbab.Syarat-syarat tersebut merupakan helah iblis dan syaitan
untuk melihat sejauh mana kepatuhan anak Adam kepada mereka. Satu kisah yang
paling jelas untuk kita hayati ialah sebuahathar yang diriwayatkan oleh
Imam Al-Baihaqi dalam kitab Sunan beliau bahawa Saidatina Aisyah r.a. berkata:
“Telah datang kepadaku seorang wanita dari penduduk Daumah
Al-Jandal mencari Rasulullah SAW selepas kewafatan baginda untuk bertanya
tentang satu perkara berkaitan mempelajari sihir tetapi tidak beramal
dengannya. Kata wanita ini: “Suamiku telah hilang dariku. Kemudian datang
seorang wanita tua lalu aku mengadu hal ini kepadanya. Lalu wanita tua itu
berkata: “Sekiranya engkau melakukan apa yang aku suruh, nescaya suamimu akan kembali
kepadamu”. Apabila tiba waktu malam, wanita tua itu datang bersama dua ekor
anjing hitam.Maka aku menaiki salah satu anjing itu dan dia menaiki yang seekor
lagi.Dalam masa yang sekejap, kami sudah sampai di Babilon.Aku dapati ada dua
orang lelaki yang tergantung dengan kakinya. Lalu lelaki itu berkata: “Apa yang
kamu mahu?” Maka aku berkata: “Aku ingin belajar sihir”. Mereka berkata: “Sesungguhnya
kami ini fitnah, jangan kamu kufur. Oleh itu, pulanglah”. Aku tidak mempedulikan
nasihat mereka lalu berkata: “Aku tidak akan pulang!” Mereka berdua berkata: “Pergilah
engkau kepada bekas nyalaan api itu dan kencinglah padanya. Selepas itu,
datanglah kembali”.Maka aku pun pergi, dan aku rasa menggeletar serta takut.
Kemudian aku kembali mendapatkan mereka berdua dan aku berkata: “Aku telah
lakukan apa yang kamu suruh tadi”. Mereka bertanya: “Apa yang kamu nampak?”.
Aku menjawab: “Aku tidak nampak apa-apa”. Maka mereka berkata: “Engkau
berbohong. Engkau belum kencing di situ.Pulanglah ke negeri engkau dan jangan
kamu jadi orang yang kufur.Sesungguhnya engkau bertanggungan atas urusan kamu”.
Aku enggan pulang, lalu mereka berkata: “Pergilah engkau kepada bekas nyalaan
api itu dan kencinglah padanya”. Lalu aku pun pergi dan kencing padanya.Maka
aku melihat seorang pahlawan berkuda yang memakai baju besi keluar dari tubuhku
dan naik ke langit sehingga dia hilang dari pandanganku. Dan aku datang bertemu
dengan kedua-duanya lalu aku berkata: “Aku telah lakukan apa yang kamu suruh
tadi”. Mereka bertanya: “Apa yang kamu nampak?”Aku menjawab: “Aku melihat
seorang pahlawan berkuda yang memakai baju besi keluar dari tubuhku dan naik ke
langit sehingga dia hilang dari pandanganku”. Kedua-duanya berkata: “Engkau
benar. Itulah iman engkau telah keluar dari engkau.Sekarang pergilah engkau”.
Maka aku berkata kepada wanita tua itu: “Demi Allah!Aku tidak tahu sesuatu
tentang ini dan tiadalah kedua-dua orang itu memberitahu aku sesuatu apa pun”.
Maka perempuan tua itu berkata: “Bukan begitu. Tiadalah sesuatu yang engkau
inginkan kecuali ia akan menjadi. Ambil biji gandum ini dan semai”. Maka aku semaikan
dan aku berkata: “Tumbuhlah!”Maka tumbuhlah gandum itu. Dan aku berkata lagi: “Membiaklah!”
Maka gandum itu berkembang biak. Dan aku berkata: “Tuailah!”Maka iapun tertuai.
Dan aku berkata: “Kisarlah!”Maka ia pun terkisar. Dan aku berkata: “Jadilah
roti!” Maka ia menjadi roti.Dan apabila dapati setiap sesuatu yang aku inginkan
segera berada ditanganku, makaaku rasa amat menyesal.Dan demi Allah wahai Ummu
Mukminin, tiadalah aku melakukan sesuatu dan aku tidak akan melakukannya selama-lamanya.”
Berdasarkan athar di atas, kita akan dapati betapa
mudahnya untuk mempelajari sihir. Hanya dengan kencing di bara api, maka wanita
itu sudah mempunyai kebolehan yang luar biasa. Terdapat beberapa pengajaran
dari kisah di atas:
1.
Syarat utama dalam amalan perbomohan ialah
melaksanakan syarat yang ditetapkan oleh syaitan.
2.
Syarat yang ditetapkan selalunya tidak logik dan tiada
kaitan dengan amalan perubatan.
3.
Pematuhan syarat tersebut boleh menyebabkan seseorang
itu kufur tanpa disedari.
4.
Ilmu tersebut akan mujarab sekiranya syarat tersebut
dilaksanakan.
EVOLUSI INSTITUSI KAHIN DAN ‘ARRAF DI ZAMAN MODEN
Zaman semakin berubah. Begitu juga metodologi
perbomohan pada zaman moden ini. Jika dahulu, gelaran bomoh, pawang dan dukun diberikan
kepada pengamal perubatan tradisional.Zaman sekarang, golongan ini tanpa segan
silu menggunakan gelaran perawat Islam, kiyai, haji dan pelbagai lagi
semata-mata untuk menyakinkan pesakit.Malah, ada juga yang menggunakan gelaran
Dr., Dato, Syeikh, Prof. Emiritius dan sebagainya walaupun tidak pernah
menghasilkan sebarang kajian ilmiah atau menyumbang kepada perkembangan
akademik.
Sebahagian bomoh ini tidak lagi berpakaian serba
hitam, serba kuning, sebaliknya mula berpakaian kemas, berkot, berjubah dan
berkopiah. Sebahagian bomoh ini tidak lagi menggunakan kemenyan, beras kunyit,
ayam panggang, bertih, keris, sebaliknya mula menggunakan alatan saintifik,
aura, warna, air, minyak wangi, quran kecil dan kelambu kaabah. Sebahagian
bomoh ini tidak lagi menggunakan tilikan dalam air dan menurun, sebaliknya
menggunakan tasbih berpusing, sejadah, hypnosis dan juga solat untuk menilik
penyakit.Sebahagian bomoh ini tidak lagi menggunakan bisikan qarin, kasyaf jin,
sebaliknya menggunakan ilham, laduni dan deria keenam.Sebahagian bomoh ini
tidak lagi menggunakan gua atau hutan sebagai tempat latihan, sebaliknya mula
menggunakan dewan seminar untuk mengajarkan ilmu tersebut.
Jika dahulu tukang tilik menilik untung nasib
seseorang, jodoh pertemuan, barang hilang dan punca penyakit. Namun zaman
sekarang, bidang tilikan ini makin berkembang maju apabila ada yang sudah boleh
menilik penyakit berdasarkan nombor, menilik jumlah jin dalam tubuh pesakit dan
menilik ayat-ayat yang boleh digunakan dalam rawatan dan seumpamanya.Selain
evolusi dalam kaedah rawatan, institusi kahin juga mengalami perubahan dalam penggunaan
terma perkataan yang lebih canggih dan Islamik.Perkataan bertapa sudah ditukar
menjadi meditasi dan tafakkur.Perkataan khadam dan qarin sekarang telah ditukar
kepada roh orang soleh dan roh wali Allah.Inilah antara proses evolusi dalam
institusi bomoh dan pawang.
ISLAMISASI AMALAN PERBOMOHAN
Ada juga yang mendakwa fenomena di atas bukan evolusi,
tetapi proses islamisasi amalan perubatan tradisional. Perkara ini memerlukan
penelitian yang sangat rapi.Ini kerana sebahagian amalan perbomohanmasyarakat
Melayu berasal dari pengaruh agama Hindu, agama Buddha dan adat masyarakat Asli
yang terang-terangan mempunyai unsur syirik.Hal yang sama pernah berlaku ketika
hayat Rasulullah SAW. Baginda SAW ditanya oleh sahabat tentang jampi yang
diamalkan semasa zaman jahiliyyah. Nabi membenarkan dengan syarat ia tidak
mengandungi unsur syirik. Dalam hal ini, apa yang dimaksudkan oleh Baginda SAW
merujuk kepada jampi-jampi yang lebih bersandar kepada adat (uruf) dan tidak
melibatkan sebarang pematuhan kepada syarat tertentu yang ditetapkan syaitan. Pada
masa yang sama, Nabi juga bersabda: “Sesungguhnya jampi dan tiwalah itu
syirik”. Ini menunjukkan bahawa sebahagian besar jampi pada zaman itu
disertai dengan amalan yang berasal dari syaitan.
Rasulullah SAW juga turut melarang keras pengambilan
unsur-unsur kepercayaan luar ke dalam Islam khususnya perkara yang berkaitan
dengan akidah. Dibimbangi ia boleh menyebabkan timbulnya kekeliruan dan fitnah.
Imam Ahmad meriwayatkan
sebuah hadis dari Jabir bin Abdullah, bahawa Umar bin al-Khattab telah bertemu Nabi
SAW dengan membawa sebuah kitab yang diambil daripada ahli Kitab. Umar pun membaca kitab itu dihadapan
Rasulullah.Tiba-tiba Rasulullah menjadi marah lantas bersabda: "Adakah
orang yang hairan dan syak wahai anak al-Khattab? Demi Tuhan yang diriku berada
di tanganNya! Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengannya dalam keadaan putih
bersih. Janganlah kamu tanya mereka mereka tentang sesuatu pun. Ditakuti mereka
itu menceritakan perkara yang haq tetapi kamu menuduhnya dusta atau pun mereka
bercerita dengan cerita batil maka engkau membenarkan kata-katanya. Demi Tuhan
yang mana diriku berada di kekuasaanNya! Sekiranya Musa masih hidup, pasti dia
juga akan mengikutiku."
Teguran Rasulullah SAW begitu keras sehingga Umar
melepaskan lembaran Taurat yang ada ditangannya. Jika perbuatan Saidina Umar
(yang mempunyai iman yang mantap) membawa dan membaca kitab Taurat (yang turut
datang dari Allah) dibimbangi akan menimbulkan fitnah setelah ketiadaan Baginda
SAW, maka bagaimana pula dengan perbuatan kita yang belajar, mengamalkan dan
mengajarkan kepada orang lain amalan perbomohan yang ditegah dalam Islam.Justeru,
islamisasi perubatan tradisional yang mempunyai amalan syirik bukanlah suatu
yang tepat kerana pokok pangkal sudah tidak menepati syara.
SARANAN RASULULLAH SAW
Sesungguhnya, sistem pengubatan Islam ini telah pun
lengkap.Tidak perlu kita mengambil dari sumber yang kita tidak pasti.Sumber
pengambilan ilmu dari bomoh dan pawang boleh menimbulkan pelbagai tohmahan dan
fitnah, sedangkan kaedah-kaedah pengubatan Islam yang lengkap telah pun
diwariskan kepada kita oleh Rasulullah SAW melalui para sahabat dan
ulama.Sayugia kita sebagai umat Baginda SAW mengambil sepenuhnya apa yang
baginda sampaikan. Firman Allah dalam surah Al-Hasyr ayat 7: “Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang
dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah.”
Sekiranya kaedah-kaedah perubatan tersebut kelihatan
meragukan, maka pesan Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam
Tirmizi dari Al-Hasan bin Ali:“Tinggalkan apa yang meragukan kamu kepada apa
yang tidak meragukan”.Oleh yang demikian, sepatutnya amalan-amalan yang
diwarisi dari sumber perbomohan dibuang dan dielakkan dari diamalkan.Ianya
merupakan fitnah yang besar kepada umat Islam.Kelak orang yang cubamembetulkannya
dianggap sebagai pemfitnah sedangkan orang itu yang sebenarnya terjatuh ke
dalam lubang fitnah yang diciptakan. Firman Allah dalam surah At-Taubah, ayat
49:
”Di antara mereka ada
yang berkata: Berilah saya keizinan dan janganlah kamu menjadikan saya
terjerumus ke dalam fitnah. Ketahuilah bahawa mereka itu telah pun terjerumus
ke dalam fitnah.”
No comments:
Post a Comment